Friday, July 31, 2009

Beriyani Darat Johor


Sebenarnya, set nasi beriyani ni adalah hidangan berbuka puasa Isnin lepas, tapi sebab panjang ceritanya dan ambil masa nak menaip, K.An tangguhkan dulu 'entry'ni. Apapun, set ini adalah buah tangan daripada kawan lama k.An masa sekolah menengah dulu (Roslinda- ni Banjar Gunung Semanggol) ketika berkunjung ke rumah beberapa bulan yang lalu. (tersimpan dalam 'freezer') dan baru tergerak hati nak buat..heheh.

Ianya adalah set lengkap Nasi Beryani Darat Johor beserta semua rempah yang diperlukan yang dipeket dalam kotak mudah bawa. Sesuai dijadikan buahtangan untuk rakan atau saudara-mara di luar negara... (kalau nak order boleh hubungi terus 606-9538843/ 606-9538845)... promosi percuma jugak ni..heheh..

Ijan, Hana, Hanan, Ros, Intan dan lain-lain yang jauh dari Malaysia, bolehlah cuba pek ni. Yang mudahnya, rempah dan bahan telah disukat secukupnya.. cuma perlu tumis dan masak. Rasa dan keenakannya...., K.An bagi 3 bintang.. Beras Basmathi pun dah ada dalam pek ni.

**** cuma bagi K.An yang masak pakai campak je ni, agak merenyahkan sebab nak baca arahan satu persatu.. resepinya agak kurang 'user friendly' dan perlu diperbaiki...

***esok K.An sambung dengan resepinya ye..

Resepi ayam beriyani seperti tertera di kotaknya; semua bahan disediakan, kecuali ayam..heheh..

Bahan-bahan:

800 gm ayam
1 peket rempah beriyani -anggaran 2 sudu besar
minyak campuran- siap di beri
bawang goreng
susu campuran serbuk (dibancuh dengan 50 ml air)
450 ml air
sos beriyani Pak Ngah- macam tomato puri rupanya
kismis dan buah gajus
daun saderi, daun bawang dan daun ketumbar- dihiris halus

Cara memasak:

1. Bersihkan ayam. K.An lumur garam, kunyit dan goreng separa garing.
2. Tumis rempah beriyani dengan minytak campuran sehingga harum baunya. Jangan tumis terlalu lama.
3. Masukkan air, bawang goreng, bancuhan susu, sos beriyani, kismis, gajus dan akhir sekali daun saderi, daun bawang dan daun ketumbar. K.An tambahkan 1 sudu besar madu untuk rasa manis.Didihkan dan tutup api. Sedia dihidang.

**** daripada pemerhatian k.an, minyak campuran yang diberi sama seperti bau minyak gorengan bawang, halia dan rempah tumis sebab baunya yang wangi. Jika ingin memasak ayam masak beriyani menggunakan rempah biasa, ikut arahan resepi di belakang bungkusan rempah. InsyaAllah sedap.

Nasi Beriyani

Bahan-bahan: (siap sedia juga, tapi k.an masak separuh je sebab takut berlebih sangat)

2 cawan beras basmathi
2 1/2 cawan air
1 sudu besar susu campuran
rempah tumis
bawang goreng
rempah beriyani
kismis dan buah gajus
pewarna kuning
sehelai daun pandan dicarik dan disimpul

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi kecuali kismis, gajus dan pewarna. Gaul rata dan tekan suis on dan cook. Masak seperti biasa. (tak perlu tambah garam sebab dah dicampur dalam rempah dan susu + tiada dalam arahan)
2. Apabila nasi masak, celupkan lidi ke dalam pewarna dan cucuk-cucukkan ke serata nasi. Biar seketika baru dikacau agar warnanyan cantik. Masukkan gajus dan kismis. Tutup suis dan tutup periuk) boleh dihidang bersama lauk lain.

Untuk resepi dalca, rujuk entry lepas-lepas ye.. dah habis kuasa ni..

Thursday, July 30, 2009

Roti Naik

Dah lama tak masukkan resepi roti, malam tadi terr...rajin mencari-cari resepi roti yang senang dan cepat... tapi sedap. Jenguk dapur Mat Gebu (yang memang ada macam-macam resepi roti tu...) dan terjumpalah resepi Roti Naik ni.. Tengok bahannya memang senang sangat... Uli tepung, perap doh sementara tengok CSI gitu, 10.45 malam bakar... habis CSI.. boleh supper dengan roti naik dan teh panas..

Salasilah resepi asalnya dari R.NET dan K.An salin dari dapur Mat Gebu je...

Bahan-bahan: (resepi asal 2 kali ganda)- oven k.An 'kecik' cukup adunan menghasilkan 9 biji bun macam dalam gambar tu..

200 gm tepung roti (protein tinggi)
50 gm tepung Hong Kong... Mat guna tepung gandum, k.An guna tepung gandum juga..
125 ml air
50 gm susu tepung (k.An ikut petua k.pah- ganti dengan 50 gm susu pekat manis)
1/4 sudu teh bread improver
90 gm gula perang (brown sugar)
50 gm mentega- k.an guna margerin je..
2 sudu teh yis segera
1 sudu teh esen vanilla

resepi asal letak warna kuning- k.an tak letak, takut anak-anak tak makan..heee..

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan di dalam mangkuk kecuali mentega. Uli hingga menjadi doh, masukkan mentega sedikit demi sedikit dan terus menguli hingga doh kenyal dan tidak melekat di tangan. (15 minit)
**kalau uli dengan tangan, k.an buat di atas meja supaya senang menguli guna dua belah tangan.

Cara lain: masukkan semua bahan ke dalam Bread maker.. set doh, tekan on dan tunggu siap.

2. K.An skip langkah perap dan tumbuk doh, ikut petua k.pah lagi. Selepas doh siap diuli, K.An bahagikan kepada 9 biji kecil/ Sapukan mentega pada loyang. Bulat-bulatkan doh dan susun dalam loyang. Tutup dengan tuala dapur bersih dan perap 45 minit.

3. Panaskan oven pada suhu 190 darjah. Masukkan roti dan bakar 15-20 minit. Sapukan mentega pada permukaan roti sebaik di keluarkan daripada oven...

Tengoklah rupanya... Terima Kasih tak terhingga kepada penyumbang resepi..



Tuesday, July 28, 2009

Selera kampung- Sambal Tempoyak Masak

Dah lama tak cerita pasal lauk-pauk, hari ni K.An kembali dengan selera kampung- selera Perak Tengah.... (Peghok bunyinya...)
Teringat zaman K.An dan kawan-kawan buat program Motivasi dan keluarga angkat di Layang-layang Kiri, Parit, Perak. Masa tu musim buah-buahan dan setiap hari makan lauk-pauk kampung berasaskan tempoyak... tak jemu-jemu, malahan berselera tiap-tiap hari. Di sinilah K.An belajar buat tempoyak masak ni... Cuba, jangan tak cuba ye..

Bahan-bahan: (5-10 kali hidangan)- ikut selera-....... K.An ngan abg.Azam, 3 kali hidang dah liciiin...

1 cawan tempoyak (seeloknya yang dibuat sendiri-sebab pasti asli daripada durian)
1/2 cawan ikan bilis siap dikopek, rendam sebentar
10 tangkai cili api akar

Cara membuatnya:

1. Toskan ikan bilis dan tumbuk kasar. Ketepikan dulu. Tumbuk halus cili api. Campurkan dengan ikan bilis.
2. Hidupkan api perlahan. Masukkan tempoyak, ikan bilis dan cili padi. Masukkan 2 sudu besar air. Gaul perlahan-lahan hingga sambal pekat dan berkilat. Gaul rata. Tak perlu tambah garam kerana tempoyak sudah masin. Padamkan api dan sedia dihidang.

Hari ni K.An buat masak lemak labu, buat ikan goreng tepung dan goreng sepat masin. Boleh terbalik periuk dibuatnya..heeee...

Monday, July 27, 2009

Cempedak Goreng

Tak cukup lagi hidangan berbuka hari ni.. kalau ada cempedak boleh kita buat cempedak goreng.. mengancam baunya bila digoreng kan..?

Bahan-bahan: (20-25 ulas cempedak)

1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi
3 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung beras
1/3 cawan air biasa
1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati hingga tidak berketul.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan cempedak ke dalam adunan tepung. biar rata. Gunakan sudu untuk mengambil cempedak untuk digoreng supaya tepung tidak menitik/ meleleh daripada buah. Terbalikkan cempedak dan goreng hingga rata keperangan. Angkat dan toskan minyaknya. Sedia dihidang.

*** ini versi rangup sebab, cempedak ni, kalau terlalu masak mudah meresap minyak...


Jom Makan Buah @ Putrajaya




Awal Pagi Sabtu lepas, sempat K.An ke Taman Warisan Pertanian Presint 16 di Putrajaya ni bagi memeriahkan lagi kempen Jom Makan Buah sempena musim buah-buahan tempatan kali ini. Tahun lepas, tak berkesempatan sebab balik kampung, maka tahun ni, dalam kesibukan tugas harian, lari kejap 'bawak' 'Aisyah ke sana...

Seronok juga melayan 'Aisyah yang dok tanya, ni buah apa, ni buah apa...? K.An suruh makan, semua dia tak nak.. rugi betul la .... percuma pun taknak...

Tak nak lama-lama, dah puas merasa pelbagai jenis buah-buahan, K.An beli serba sedikit manggis, rambutan, buah mata kucing, duku dan cempedak. Ingat di hati nak beli durian, tapi tangan dah penuh kiri,kanan... esok-esoklah pulak ye..


Memang puas hati, dapat makan dan beli buah-buahan tempatan dengan harga yang amat murah berbanding hari biasa.

Kepada yang tak sempat pergi tahun ni, jangan ketinggalan kalau ada lagi promosi macam ni.... memang berbaloi..





Penakok- kuih Banjar untuk Berbuka


Assalamualaikum semua.. hari ini kita dah memasuki bulan Sya'aban dan ramai yang berpuasa sunat Isnin dan Sya'aban sekali. Bila berpuasa macam ni, teringat K.An kuih-muih Banjar yang mak K.An selalu buat untuk berbuka Puasa. Antaranya kuih Penakok ni... kalau nak dinamakan ikut Bahasa Melayu, kuih Talam Pandan agaknya.. sebab aroma pandan kuih ni sangat membuka selera ketika dikukus nanti..

Dulu-dulu, kalau buat kuih ni, paling kurang 2 loyang baru cukup.. sebab nak simpan untuk sahur keesokannya pulak.. Resepi agak-agak bahannya tentulah daripada ibu tercinta.. dan telah K.An sukat untuk kemudahan semua mencubanya
Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 biji telur
1 cawan santan daripada 1/2 biji kelapa
1/2 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung gandum
1/2 cawan gula
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan air pandan (4 helai daun pandan dikisar dengan 1/2 cawan air)
sedikit pewarna hijau

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus.
2. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk. Gaul rata dengan 'whisk' hingga sebati dan gula hancur. Masukkan ke dalam loyang bulat berdiameter 6 inci dan kukus selama 15 minit atau sehingga kuih masak.

Sejukkan sebelum dipotong dan dihidangkan.

Friday, July 24, 2009

Sambal Kerang Mengancam

Sambal Kerang ni kalau makan dengan nasi lemak daun pisang memang mengancam..."Teringin pulak nak makan nasi lemak pagi esok..." (apa la k.An ni, sendiri cerita, sendiri yang teringin...tak apalah kan..asal tak menyusahkan orang..hehe..) Tak perlu cerita panjang, jom kita tengok resepinya..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 kg kerang- direbus sebentar dan kopek kulitnya- kalau rebus lama, hilang manisnya- ambil 1/2 cawan air rebusan kerang
3/4 cawan cili kisar
5 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dikisar halus
1/2 labu bawang besar dihiris nipis
1 sudu besar air asam jawa cair
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Masukkan bawang kisar dan tumis hingga wangi anggaran 1-2 minit. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana dan kacau sekali-sekala.

2. Masukkan air rebusan dan air asam jawa. Masak lagi hingga kuah agak pekat. Masukkan bawang besar, kerang, garam dan gula secukup rasa. Didihkan dan kacau sebati. Tutup api dan hidangkan bersama nasi putih atau nasi lemak.



Thursday, July 23, 2009

Lempeng Berinti Daging

Sesekali buntu juga kepala otak ni memikirkan hidangan untuk seisi keluarga, yang mana semua orang suka dan akan habiskan apa yang kita hidangkan... ishk...ishhk.. memang otak tengah buntu ni.. ayat pun dah tak betul....

Apa yang K.An maksudkan; selain goreng pisang, cucur udang dan mee goreng (kebiasaan minum petang..) apa yang semua orang suka makan..? Kaum Adam selalunya tak berapa suka hidangan yang manis-manis... Yang masin dan pedas pulak selalunya susah sikit nak membuatnya.. Anak-anak pulak, kalau tak cantik dan nampak pedas, memang alamatnya dia pandang je apa yang kita hidang.. lepas tu kata kenyanglah, makan roti jelah... hah.. tak nak cuba lah tu..

Sambil mendodoi 'baby' Maryam, timbul idea nak buat lempeng inti daging ni. 2 bulan lepas tengok chef iskandar (dapur bujang tu...) buat lempeng inti buah-buahan sebagai pencuci mulut masa dia masak dalam rancangan Periuk Bergendang Belanga Menari (canggihnya nama
program..hihik).. jadi.. K.An tukar ikut tekak kami sekeluarga yang suka masin dan agak pedas atau berempah.

Maka jadilah lempeng Berinti Daging.. Iskandar nak cuba tak..? sedaaap..

Bahan-bahan: (menghasilkan 8-10 gulung lempeng)

Bahan inti:

2/3 cawan daging kisar (k.an guna jenama Ramly)
1/2 labu bawang besar didadu kecil
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 sudu besar rempah kari daging- bancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu teh cili kisar atau 2 biji cili merah dicincang halus- ikut citarasa
1 biji kentang- kupas kulit dan didadu kecil
1 sudu teh tepung gandum (ejen pemekat) + bancuh dengan sedikit air (petua chef liza untuk inti yang sedap)
minyak untuk menumis
sedikit daun sup/bawang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 1 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang besar dan putih hingga layu sedikit. Masukkan rempah kari dan cili kisar/ cili merah. Tumis hingga pecah minyak. (kacau agar tidak hangus dan perlahankan api)

2. Masukkan kentang dan daging. Tambah 1/4 cawan air. Gaul rata dan tutup periuk. Biar 3-5 minit hingga daging masak dan kentang empuk.

3. Buka tudung periuk dan kacau sebati inti daging. Masukkan daun sup, garam dan sedikit gula.
Apabila inti nampak pekat, masukkan campuran tepung gandum dan gaul sebati. Padamkan api dan ketepikan dulu.

Bahan lempeng:

1 1/2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 3/4 cawan air biasa (jangan masuk semua terus)
sedikit serbuk kunyit
minyak/ margerin untuk mendadar

Cara membuatnya:

1. Campurkan tepung, telur, serbuk kunyit dan air (tinggal sedikit) dan gaul rata menggunakan whisk. Tambahkan baki air jika adunan masih pekat. Gaul hingga adunan tidak berketul. Teksturnya sama dengan adunan ketayap.

2. Panaskan kuali. letakkan sedikit minyak/ margerin. Ratakan. Sendukkan adunan dan dadarkan seperti ketayap atau lempeng biasa. Buat hingga habis adunan.

Apabila selesai, masukkan 1 sudu besar inti daging dan gulung kemas. Sedia dinikmati bersama keluarga. Selamat mencuba..!!!


Tuesday, July 21, 2009

Hujung Minggu yang Padat

Seperti hujung minggu yang lain, hujung minggu baru-baru ni pun dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.. sangat padat... tapi yang penting menggembirakan semua..

Kebiasaan Sabtu pagi, K.An akan ke pasar membeli bekalan lauk-pauk untuk 1 minggu termasuk barang keperluan tempahan makanan. Balik rumah siang ikan, ayam, sotong, udang dll dan simpan dalam 'freezer'. memandangkan ada tetamu petang nanti, sedangkan tengahari kami makan di luar, jadi k.An masak siap-siap lauk untuk tetamu sebelum pergi. Buat sup tulang rawan dan lala goreng cili. Yang lain boleh tambah kemudian. Sambil cuci kain (auto je) dan kemas rumah, 12.30 sedia semuanya untuk ke Hi-Tea di Hotel UiTM... yea..!!

Makan-makan kali ni adalah tanda kesyukuran A.Azam dapat Anugerah cemerlang, hari jadi asma' dan hadiah untuk anak buah (Laila) yang dapat sijil Dekan lagi... Tahniah suamiku dan Laila.. (lain kali dapat lagi, boleh kami semua tumpang rezeki makan hihih)

Hi-Tea di Hotel UiTM memang tidak mengecewakan.. harga berpatutan dan makan sedaaap.. Hari tu ada macam-macam, laksa Johor (sedap macam k.An makan dulu-dulu juga), mihun sup utara, Lasagna Ayam (saaangat sedap)- (boleh jadi penanda aras untuk lasagna yang bakal dibuat sendiri nanti..), sate dan nasi impit, aneka salad buah dan seafood, rojak, aneka jeruk, aneka kuih muih tradisonal, kek dan pastry...dan bla..bla.. Alhamdulillah rezeki pemberian Allah.

Tapi kami kena bergegas balik Putrajaya sebab tetamu dah menunggu..yuhuuuu...Sampai rumah panaskan sup, solat asar dan tetamu tiba.. Fitri UNIC, isterinya Saleha, anak mereka Sofea dan adik Fitri -Nazirah. Hidang minuman dan cheese-cake. Sambil sembang, masak nasi, celur mee, sedia kerabu tomato, sambal kicap pedas dan 6.00 ptg.. jom makan... nasi ada, mee pun ada..

Kerabu tomato tu, macam yang lepas juga cuma k.An tambah bahan seperti cadangan Moon adik k.An empunya resepi- kacang panjang hiris kecil dan bawang besar.
Lala goreng cili pun dah ada resepinya.. godek la entri lepas..

Sup tulang rawan dan sambal kicap pedas tak sempat snap gambar sebab sibuk sangat..heheh.. Gambar tetamu pun tak sempat nak snap.. sibuk bersembang sambil tengok Man U lawan Malaysia kat TV. Lain kali datang kita upah jurugambar lah ye...Sebagai buah tangan, Fitri bawakkan CD terbaru UNIC - Langkah Tercipta. Siapa yang belum beli, boleh cari kat kedai CD ye.. tak rugi beli sebab album ni mengandungi 14 lagu kompilasi dan 4 lagu baru. Menampilkan juga ahli baru UNIC Fakhrul Radhi (juara Akademi Al-Quran 3)... wau, punya promosi... K.An paling suka lagu Jalan Pulangku.. sungguh syahdu.

Lagu-lagu lama seperti Ainul Mardhiah, Jalinan, Balkis dan Insan Bernama Kekasih pulak memang 'febret' kami sekeluarga sejak dulu lagi... so, beli, jangan tak beli...

InsyaAllah ada kelapangan lagi kita jumpa dan boleh ambik gambar ye...
Hari Ahad, kemas barang Iqbal, jalan-jalan Alamanda (ada orang tu beli hadiah untuk diri sendiri lagi... bestnye..) makan tengahari di Rasamas (Ayamas) dan balik rumah. Sempat buat kuah durian dan makan dengan roti untuk minum petang....

Tapi...capeeeeek pak!!! Biasa lah hujung minggu..

Monday, July 20, 2009

Agar-Agar Roti Belang

Assalamualaikum... resepi asasnya sama dengan agar-agar roti minggu lepas cuma kali ni k.an campurkan sebahagian adunan dengan serbuk coklat... esok k.an sambung cara membuatnya.. selamat beradu..

...sambungan..
alhamdulillah hari ni hujan lebat di Putrajaya.. berkat bulan Sya'aban agaknya. Sejuk dan nyaman cuaca.. sibuk sikit menghantar dan mengambil anak-anak (a.azam out-station lagi) petang baru sempat mengadap lap-top ni..
Agar-agar atau puding belang macam ni memang dah lama k.an nak buat tapi tak ada motivasi nak melapis satu -persatu. Inipun dikira agak tebal, tapi alhamdulillah cantik juga kan rupanya..

Kalau nak buat kek belang macam ni pun boleh, petuanya; kalau masa mencampur adunan tu, kita nampak tekstur yang pekat, bolehlah dilapis begini. Begitu juga dengan apa-apa jenis puding. Sebab kalau cair, kita tak akan dapat hasil belang yang cantik dan sekata.

Kebetulan, masih banyak baki kubit roti sandwich minggu lepas, maka k.An buat lagi agar-agar roti tetapi dengan penampilan corak berbeza..heheh..

Bahan-bahan:

1 cawan agar-agar kering telah dibasuh lembut dan toskan
7 cawan air
170 gm kubit roti
2 cawan susu cair/ susu segar
1 biji telur
2/3 cawan gula
3 sudu besar serbuk coklat

Cara membuatnya:

1. Masukkan kubit roti, susu cair, telur ke dalam pengisar. Kisar hingga halus.
2. Masak agar-agar dengan 7 cawan air hingga agar-agar larut kesemuanya. Masukkan gula dan kacau sebati. Didihkan. Perlahankan api dan masukkan campuran kubit roti.
3. Tutup api apabila agar-agar mendidih. Kacau campuran dan bahagikan2 bahagian sama banyak. Sediakan loyang 8X 6 inci atau acuan bulat berdiameter 8 inci. (boleh juga guna loyang 8X8 inci)

4. Campurkan serbuk coklat ke dalam bahagian A dan biarkan bahagian B seperti asal. Sendukkan 1 cawan adunan krim ke dalam loyang dengan menuangnya di tengah loyang. Biarkan ia mengalir ke bahagian tepi secara sendiri.

5. Cedok 1 cawan adunan coklat dan tuang di tengah loyang seperti adunan krim. biar mengalir sendiri.... jangan ratakan atau kacau. Ulang proses berselang-seli, hingga adunan habis. Sejukkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam peti ais untuk dibekukan.

*** malam tu, K.An tak videokan sebab semua pembantu dah mengantuk. Lain kali k.An rakamkan supaya lebih faham kan...

Masak Lemak Jantung Pisang dengan Udang

Mesti ramai yang tak pernah makan masak lemak jantung pisang macam ni apa lagi memasaknya..
Masakan kampung begini, mudah sangat cara memasaknya.. bahannya pulak datang dari keliling rumah sahaja. Jantung pisang ni pun K.An ambil dari belakang rumah.. kat Putrajaya ni, jantung sulung daripada pokok pisang yang k.An tanam setahun setengah yang lalu. Puas hati tengok buahnya menjadi elok.. tak lama lagi dapat la merasa buahnya pulak.

Hari ni kita 'cilok' jantungnya dulu dan buat masak lemak dengan udang. Kalau kat kampung, mak K.An masak dengan ikan darat seperti ikan sepat, haruan atau puyu... tapi kat sini tak ada, k.an 'taruk' je udang.. sedap juga..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 biji jantung pisang- buang kulit luar berwarna gelap belah dua dan hiris 1 sm lebar. Rendam dalam air 10 minit untuk menghilangkan getah

udang harimau- banyaknya ikut citarasa
1/2 labu bawang besar dihiris
3 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih dihiris halus
sedikit serbuk kunyit
1 keping asam keping
2 cawan santan sederhana pekat
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan jantung pisang dan rebus dalam air hingga mendidih. Kacau seketika. Biar mereneh lebih kurang 5 minit agak-agak jantung lembut. Padamkan api dan toskan.

2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk termasuk jantung pisang. Masak dengan api sederhana hingga mendidih. Perlahankan api, kacau seketika dan rasa garamnya. Kalau dah cukup bolehlah diangkat dan dihidang.


Friday, July 17, 2009

Mihun Goreng Udang

Keluarga K.An memang suka mihun goreng.. (banyak kali dah sebut ni..hihik) tak jemu dan selalu buat untuk sarapan mahupun minum petang.. Kali ni mihun goreng versi udang pulak. Bahan pun senang je...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 peket mihun- direndam 15 minit dalam air biasa
sementara tu sediakan bahan lain;
1 labu bawang besar dihiris membujur
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 cawan udang putih, dibuang kepala dan ekornya (boleh ganti dengan udang harimau)
2 biji telur
1/2 cawan taugeh- jika tak suka ganti dengan kobis
3 tangkai daun sawi dipotong 1 inci panjang
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar cili kisar
3-5 sudu besar kicap manis
1 sudu teh garam
1 cawan air rebusan kulit udang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan udang. Tumis seketika.
2. Masukkan sos cili, garam, kicap, sawi dan air rebusan. Didihkan. Masukkan telur. Biar separa masak, baru dikacau.
3. Masukkan mihun dan tambahkan air jika perlu. Masak hingga mihun lembut (tambah air jika perlu lagi)dan masukkan taugeh. Rasa dan tambahkan kicap jika belum cukup rasanya. Gaul sebati dan tutup api. Sedia dihidang.



Alhamdulillah.. Menjadi juga Slice Cheese Cake ni..

Bak kata pepatah, Rajin Dan Usaha, Tangga Kejayaan... Gagal sekali, tak bermakna gagal selamanya... betul tak..?

Ini cubaan ke-3 buat slice cheese cake ni dan alhamdulillah berjaya mendapatkan hasil seperti resepi asalnya.. tq Ros atas petua berguna... Hana dan Mat, mai tengok rupa kek yang dah jadi elok ni.. dah tak jadi dua lapis lagi... gebu dah tu..

K.An salin semula resepinya untuk kemudahan bersama
Bahan-bahan:

4 keping slice cheese (K.An guna cheesedale)
200ml susu segar
70 gm butter/ margerin
70 gm tepung gandum diayak dahulu
70 gm gula pasir (k.an guna yang halus)
4 biji telur saiz M
2 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Siat/ potong keju kecil-kecil dan campurkan dengan susu segar. Masukkan ke dalam periuk. Gunakan kaedah bain-marie untuk mencairkan kejeu tadi. (masukkan periuk ke dalam bekas berisi air dan letak atas dapur) Gunakan api perlahan.
2. Kacau campuran dan biar keju cair. Masukkan butter, kacau hingga . Tutup api. Sejukkan sebentar.
3. Didalam mangkuk lain, asingkan putih telur dengan kuning telur. Pukul putih telur bersama gula hingga menjadi meringue.
4. Di dalam mangkuk lain, pukul kuning telur hingga kembang. (guna speed laju). Masukkan ke dalam adunan cheese tadi. Pukul lagi. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul sebati guna speed sederhana. Pastikan adunan tidak berketul.

5. Akhir sekali, campurkan meringue ke dalam adunan tadi sedikit demi sedikit. (buat 3 peringkat) ** k.an cuma masukkan putih telur yang jadi gebu... baki yang cair seperti air, k.An buangkan.
Gunakan teknik kaup-balik supaya adunan cepat rata, dan campurkan esen vanilla. Gaul sebati. Glis acuan kek dengan mentega dan alaskan dengan kertas. Masukkan adunan kek ke dalam acuan.

6. Panaskan oven pada suhu 170 darjah dan bakar selama 20 minit. Turunkan suhu ke 140 darjah dan bakar selama 40 minit lagi. K.An gunakan api atas dan bawah, acuan berukuran 20 cm dan letakkan sedikit air di bawah dulang (cara bain-marie) untuk mendapatkan kek yang halus.

Kue-teow Kerang Goreng

Salam sejahtera di pagi hari kepada semua.. Kalau tak ada idea nak sarapan apa, ada stok kue-teow, jom kita masak kue-teow goreng dengan kerang. Kalau tak sempat pagi ni, boleh singgah pasar masa balik kerja nanti dan sediakan untuk minum petang.... tak sampai 30 minit, siap sajian menyelerakan untuk keluarga...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 pinggan)

1 peket kue-teow (basuh dengan air dan toskan)- gaulkan dengan 2 sudu besar kicap manis. jika guna kicap masin, tak perlu letak garam dalam masakan
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
3 tangkai daun kucai- potong 1 sm panjang
segenggam taugeh dibersihkan(kalau tak suka boleh ganti dengan kobis)** k.an suka banyak taugeh
3 sudu besar cili kisar -kurangkan jika cili jenis pedas
3 sudu besar kicap manis
1 sudu teh sos tiram
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan kerang yang telah direbus dan dikopek kulit
1/4 cawan air rebusan kulit udang
1 biji telur A

Cara membuatnya: (proses memasak sangat cepat)- gunakan api sederhana

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali (tak perlu minyak banyak sebab kue-teow dah berminyak). Tumis bawang merah dan putih hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak (1 minit). Masukkan kerang dan kucai. Masukkan air rebusan kulit udang, kicap, sos tiram dan garam. Didihkan.
3. Masukkan telur, kue-teow dan taugeh. Kacau sebati. Rasa.. jika kurang masin, tambahkan kicap dan gaul rata.
4. Tutup api dan hidangkan ketika panas.

**** mengikut pengalaman k.An rasa kue-teow goreng lebih sedap jika cukup pedasnya.


Wednesday, July 15, 2009

Agar-agar Roti

Assalamualaikum semua.. jamu mata dulu ye..kepala sakit sikit ni. Petang-petang sikit nanti K.An masukkan resepi.. Nak rehat kejap...

Ingat lagi tak masa K.an buat sandwich ayam, K.An ada sebutkan, kubit/kulit roti yang dipotong tu jangan dibuang sebab ada gunanya. Resepi ni mak k.an yang ajarkan sebab nak elakkan pembaziran.. Bukan sahaja jimat kos, agar-agar roti ni juga sedap dinikmati sebagai pencuci mulut untuk makan tengahari nanti... Selamat mencuba..


Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

150 gm kubit roti
1 biji telur
2 cawan susu cair
2/3 cawan gula
1 cawan agar-agar kering yang telah dibasuh menjadi lembut dan ditoskan
7 cawan air
sedikit pewarna merah dan hijau

Cara membuatnya:

1. Masukkan air dan agar-agar ke dalam periuk. Masak hingga agar-agar hancur.
2. Sementara tu, masukkan kubit roti, telur dan susu cair ke dalam pengisar. Kisar hingga hancur. Ketepikan dulu.

3. Masukkan gula ke dalam periuk agar-agar dan kacau hingga gula cair. Cedok 1 senduk kecil agar-agar dan masukkan ke dalam pinggan leper. Campurkan sedikit pewarna merah.
Cedok 1 senduk lagi agar-agar dan lakukan proses sama sperti yang tadi tetapi campurkan dengan pewarna hijau. Sejukkan di dalam peti ais.

4. Perlahankan api. Masukkan campuran kubit roti yang dikisar tadi ke dalam periuk agar-agar. kacau sentiasa. Apabila mendidih kacau seketika dan tutup api.

5. Sediakan loyang berukuran 10 inci X 10 inci. ( boleh juga gunakan acuan kecil jika suka) Tuang campuran agar-agar dan kacau rata. Keluarkan agar-agar merah dan hijau daripada peti ais dan potong dadu kecil. Masukkan ke dalam campuran agar-agar dan kacau sedikit agar agar-agar berwarna sekata. Sejukkan sebelum dipotong.

Sambal Petai Ikan Bilis

Selalunya musim durian seiring dengan musim petai.. bila pergi pasar kalau ada tempoyak, ada jugalah petai tergantung di sana-sini. Tergoda tengok petai montel-montel tu... K.An sambar seikat. Kita buat sambal petai ikan bilis hari ni..

Dah pernah letak resepi ni, tapi tak kisahlah kan... resepi ulangan pun tak apa..

Bahan-bahan:

1 papan petai- kopek kulit dan keluarkan isinya
1/2 cawan ikan bilis- k.An beli yang belum dan dikopek, kopek sendiri sebab jenis ni selalunya lembut bila dibuat sambal -bersihkan, cuci dan toskan
4 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
1/2-1 cawan cili kisar (ikut citarasa)
1 sudu besar air asam jawa
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bawang dan ikan bilis. Goreng seketika hingga wangi. Jangan sampai ikan bilis garing.
2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa , petai, garam dan gula. Tambahkan 1/2 cawan air. Kacau sambal, biarkan hingga petai lembut dan kuah pekat.
Tutup api dan boleh disajikan...

Tuesday, July 14, 2009

Penkek dan Rendang Ayam

Lauk hari ni dikira 2 dalam 1. Tengahari makan dengan nasi dan petang boleh makan dengan penkek untuk minum petang. Selalunya kita makan penkek dengan madu, atau k.An suka juga makan dengan sambal sardin, tapi kali ni kita tukar selera makan dengan rendang ayam.

K.An sengaja buat banyak kuahnya supaya boleh dicicah dengan penkek... Ok semua, jemput makan...

Bahan-bahan rendang ayam:

1/2 ekor ayam dipotong kecil
1 cawan cili kisar
2 cawan santan sederhana pekat
2 sudu besar kerisik
daun kunyit dihiris halus
sedikit daun limau purut- buang urat dan hiris halus

Bahan dikisar halus

8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
sedikit kunyit hidup
3-5 biji cili padi (ikut citarasa)
garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kecuali daun kunyit, daun limau purut dan kerisik ke dalam kuali. Hidupkan api sederhana dan masak rendang hingga mendidih. Kacau rendang sekali-sekala hingga kuah pecah minyak dan menjadi pekat. Masukkan garam, gula, dan kerisik. Kacau rata.
2. Taburkan daun kunyit dan daun limau purut. Gaul rata dan tutup api. Hidangkan bersama nasi, pulut kuning, ketupat atau penkek macam k.an buat...
Bahan-bahan penkek:

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung naik sendiri (jika tiada, gunakan semua tepung gandum + 2 sudu teh baking powder)
2 biji telur
2 cawan air
1/2 cawan susu cair/ segar
2 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam

1. Campurkan semua bahan dan kacau sebati menggunakan 'whisk'. Ketepikan 15-20 minit.
2. Panaskan kuali. Sapukan sedikit margerin dan cedokkan 1 senduk kecil adunan dan ratakan. Masak seketika (1 minit) terbalikkan dan biar 1-2 minit hingga penkek masak. Gunakan api sederhana ketika memasak. Buat hingga habis adunan.

*** adunan boleh juga dikisar di dalam pengisar atau diputar menggunakan mesin.

Singgang Kepala Ikan Tenggiri

Putrajaya panas lagi.. nampak redup ala-ala nak hujan, tapi matahari menyinar hingga ke petang... Kalau macam ni gayanya, masak yang berkuah jelah yang sedap. Makan nasi panas dengan kuah singgang kepala tenggiri macam ni, kena sambal belacan dengan ulam...mmmph..lega rasanya. Lupa kepanasan di luar tu.

Nak resepi... kat mana pun sama je bahan asas singgang ni..apa-apa tambahan sayur tu ikut citarasa.. Lauk untuk ibu lepas bersalin, memang sesuai sangat... makan hari-hari pun tak apa.

Bahan-bahan:

1 ketul kepala ikan tenggiri (200 gm)
2 batang serai dititik

**bahan ditumbuk halus
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia
sedikit kunyit hidup
sedikit lengkuas

2 biji cili padi diketuk (jika suka)
1/2 labu bawang besar dihiris membujur
1 cawan air rebusan ayam (kalau tak ada, guna 1/4 kiub ikan bilis/ kiub ayam)
1 keping asam keping
5 tangkai kacang bendi dibuang tampuknya

Garam gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan kepala ikan, bahan ditumbuk halus, cili padi, bawang besar, 2 cawan air dan serai ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
2. Masukkan air rebusan, kacang bendi, garam, asam keping dan gula jika perlu. Didihkan hingga bendi lembut. Tutup api dan sedia dihidang. Senang kan...? Suami yang isterinya dalam pantang, memang boleh masak dan hidang untuk isteri yang patut berehat tu...ehemmm

Monday, July 13, 2009

Roti Jala Kuah Durian

Maaf ye... demam durian belum habis lagi..
Kali ni K.An kongsi resepi kuah durian atau serawa durian yang boleh dimakan bersama pulut, roti atau roti jala. Kalau nak hirup macam tu saja pun boleh. Tak ada orang nak marah kan... asalkan suka, hati senang, perut kenyang....

Serawa Durian:

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-10 orang)

10-15 Ulas durian (ikut saiz)- sebahagiannya asingkan isi dan biji. sebahagian lagi biarkan dengan biji- supaya nampak cantik apabila dihidang
3 cawan santan daripada 1 biji kelapa
gula dan sedikit garam
sehelai daun pandan dicarik dan disimpul
***boleh tambah gula melaka jika suka warna gelap

Caranya senang sangat...
1. Masukkan semua bahan kecuali garam dan gula ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih. Kacau sentiasa.
2. Apabila mendidih, perlahankan api dan masukkan sedikit garam (1/2 sudu teh) dan gula. Jika duriannya sudah manis, letak sedikit sahaja gula bagi mengekalkan rasa asli durian.
3. Kacau lagi hingga kuah agak pekat. Apabila cukup rasa, tutup api dan boleh dihidang ketika panas atau selepas disejukkan.

*** Kuah yang cukup masak, disejukkan sebentar dan disimpan di dalam bekas di peti sejuk, boleh tahan sehingga 3 hari dengan rasa yang sama (sedap)
***jangan simpan kuah yang panas di dalam peti ais kerana ini akan menyebabkan kuah cepat rosak atau basi.

Resepi roti jala, rujuk N3 lepas ye..

Aduuh..komputer Rosak..

Assalamualaikum semua.. Maaf jika pergerakan periuktanah agak perlahan minggu ni sebab komputer K.An rosak.... Banyak gambar-gambar yang dah di'upload' yang belum tahu nasibnya.. (harapnya dapat diselamatkan)..huhuk..

Kalau ada rezeki, bolehlah kemaskini resepi baru..

Thursday, July 9, 2009

Ringkas..Ayam Goreng dan Coleslaw

Assalamualaikum semua.. dah makan tengahari ke hari ni..? Hari ni kita makan yang ringkas je ye. Ayam goreng ala-ala KFC dan coleslaw. Nak makan dengan nasi pun boleh, kalau tak nak pun tak apa.

Coleslaw ni senang sangat nak membuatnya.. anak-anak pun boleh buat sendiri..

Bahan dan cara membuatnya: 180 gm kobis bulat- dihiris halus/ 20 gm karot dihiris halus/ 1 sudu besar cuka/ 2-3 sudu besar mayonaise/ 1 sudu teh gula
>>> masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata. Sejukkan sebelum dihidang.

Ayam goreng ni pulak K.An gunakan tepung ayam goreng yang dah siap dijual tu... tapi tak semua yang sedap. K.An selalu guna jenama yang kat dalam gambar tu.. Bahan dan caranya:

1/2 ekor ayam dipotong kecil
1 biji telur dipukul sedikit
tepung ayam goreng secukupnya

>>> Panaskan minyak lebih kurang 1 1/2 cawan. Celupkan ayam ke dalam telur. Biar rata. Gaulkan dengan tepung dan goreng. Gunakan api sederhana. Buat proses sama untuk semua ketulan ayam.
Untuk isi ayam yang lembut dan berair , tutup periuk atau kuali ketika awal 5 minit menggoreng. Kemudian baru buka tudung dan terbalikkan ayam dan goreng hingga keperangan.

Tuesday, July 7, 2009

Sambal Bacang pelengkap hidangan keluarga


Sabtu lepas, sempat juga kami menjenguk adik abg.Azam, Atie dan suaminya zul dan 5 anaknya termasuk 3 kembar di Gombak.. dah lama tak jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan seharian terutama menjaga si kecil masing-masing..heheh

Sesuai dengan keadaan, K.An bawak buah tangan berupa hidangan makan tengahari terus dari Putrajaya.. atie masak nasi je ye..

Hari tu K.An masak asam pedas pari, ayam bakar dan pari bakar cikgu aziz, udang goreng kunyit, kailan ikan masin, dan yang 'spesel' nya sambal bacang dan ulaman sebagai pelengkap hidangan.. berpeluh-peluh kami makan..
Elok pulak anak-anak semuanya elok main-main sementara ibu-ibu makan.. tengoklah gambar Adam, Yusof dan Hawa yang dah pun berusia 10 bulan. Jangan keliru ye, mereka ni kembar tak seiras, tu sebab rupa lain-lain.

Yang lain, dah ada resepi, jadi kat sini K.An kongsi resepi sambal bacang je.. senang dan sedap..



Bahan-bahan:

1 biji bacang saiz besar
5 biji cili padi
2 biji cili merah
sedikit belacan
2 ulas bawang merah
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit bacang dan cuci bersih bagi membuang getahnya. Hiris isi bacang halus-halus membujur dan kemudian melintang. Tegakkan pisau ketikan hirisan melintang agar sabutnya tertinggal di biji.

2. Tumbuk bahan-bahan lain hingga lumat. Gaulkan dengan bacang tadi dan tambah garam, gula secukupnya. sedia dimakan bersama lauk lain dan ulam-ulaman.

Monday, July 6, 2009

Mafin Strawberry

Petang semalam sempat 'menggodek penimbang, oven dan tepung dan terjadilah mafin strawberry ni... ambik resepi kat dapur mat Gebu lagi. tq Mat.. sedaap mafin ni..

Bahan-bahan: (menghasilkan 12 biji mafin besar)

180 gm mentega
140 gm gula halus
2 biji telur gred A
100 ml susu segar (k.An guna susu cair je)
220 gm tepung gandum
2 camca teh baking powder (diayak bersama tepung)
1 camca teh strawberry emulco (k.An tak ada, ganti dengan 1 sudu besar perisa minuman strawberry)

Cara membuatnya:
1. Putar mentega bersama gula hingga putih. Tambah telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang. Perlahankan kelajuan. Masukkan tepung berselang-seli dengan susu hingga habis. Gaul rata.

2. Masukkan perisa strawberry dan gaul sebati. (adunan agak pekat.. jangan risau ye..) Sudukan adunan ke dalam acuan mafin 3/4 penuh.
3. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 darjah Celsius selama 18- 20 minit (ikut oven)




Tenggiri Masin Goreng...

Bila masuk bulan Rejab ni, dah makin terasa hampir bulan puasa sebab ramai yang dah mula puasa sunat.. sekarang puasa Rejab, lepas ni Sya'aban dan terus Ramadhan.. InsyaAllah.

Antara lauk penting yang perlu ada bulan puasa macam ni tentunya ikan masin, telur masin, acar buah, serunding dan pencicah seperti tempoyak dan budu bagi membuka selera waktu bersahur.
Minggu lepas, sempat goreng ikan tenggiri masin ni sebagai lauk tambahan bersahur.. alhamdulillah kenyang..

Caranya cukup mudah: Hiris bawang besar, cili padi dan cili merah ikut suka banyaknya. Basuh ikan masin dan toskan. Gunakan minyak yang sedikit je untuk menggoreng. Masukkan bawang dan cili, goreng 1 minit untuk setiap bahagian. Masukkan bawang dan cili dan goreng lagi hingga layu. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas.

Sunday, July 5, 2009

Kek Karot Lembab

Usia resepi ni pun dah mencecah 8 tahun tapi baru beberapa bulan lepas K.An mencubanya.. Tahu sajalah, nak membuat kek karot ni agak mengambil masa sebab nak memarut lobak merah lagi.. dan selalunya bila belek buku resepi kek, terbantut aje hasrat nak membuatnya... Buat kek yang lebih cepat dan mudah..

Selepas kali pertama mencubanya dulu, dah 3 kali K.An buat sebab rasanya sangat sedap dan lebih sedap daripada kebanyakan kek karot yang dibeli di bakeri (yang harganya agak mahal). K.An sukakan tekstur lembab dan gebu apabila digigit. Memang ada rasa tersendiri... waau..

Nak tau pulak, anak K.An 'Aisyah, kalau dapat dia pegang bekas kek karot ni alamatnya tak dapatlah kat orang lain. Dia nak 'abishkan cumenye'...

Resepi ni K.An salin daripada majalah Jelita lamaaa dulu dan seingat K.An dalam gambar tu tak ada rupa kek karot sebab dah dihias dengan krim icing.

Bahan-bahan: (menghasilkan 1 1/2 kg kek)

340 gm mentega
340 gm gula perang (kali ni K.An guna gula putih) warnanya cerah sedikit tapi dua-dua jenis sedap
7 biji telur A (asingkan putih dan kuning- ambil 5 biji putih sahaja dan 7 biji kuning telur)
340 gm tepung kek (naik sendiri)- diayak
4 batang lobak merah diparut halus (lbh kurang 360 gm)
3 sudu besar susu cair

Cara membuatnya:

1. Pukul putih telur dalam bekas berasingan hingga gebu
2. Pukul mentega dan gula hingga gebu. Masukkan kuning telur satu persatu sambil dipukul hingga sebati. Masukkan lobak merah sedikit demi sedikit dan gaul guna 'speed' perlahan.
3.Masukkan susu cair dan tepung dan pukul lagi hingga sebati.
4. Masukkan putih telur dan gaul rata.
5. Bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 45 minit di rak paling bawah jika guna oven kecil macam K.An punya. Cucuk dengan lidi di bahagian tengah untuk mengetahui kek masak sempurna atau belum.

***sejukkan kek dan masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais agar kek tahan lebih lama (jika tak habis dimakan...)
*** untuk cubaan pertama, buat separuh adunan dulu sebab k.An buat separuh pun dah banyak.

Gulai Darat Ikan Kembung

Lauk kali ni sesuai untuk ibu-ibu berpantang lepas bersalin atau anak-anak lelaki lepas berkhatan. Walaupun ringkas tapi cukup menyelerakan. Tapi ikannya gantikan dengan ikan yang tak gatal seperti ikan nyok-nyok, bawal, senangin, tenggiri atau ikan merah..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 2 orang)

2 ekor ikan kembung
1 sudu besar rempah kari ikan dibancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 sudu teh halba campur
3 ulas bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai daun kari
1 sudu besar air asam jawa cair
1 biji tomato dibelah 4
1 cawan air
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halba campur dan daun kari hingga wangi. Masukkan rempah kari. Tumis dan kacau hingga pecah minyak.( gunakan api perlahan)

2. Masukkan air, air asam jawa dan tomato. Didihkan. Masukkan ikan dan garam secukup rasa. Tutup periuk dan biar 3 minit.

3. Terbalikkan ikan, gaul rata dan masak lagi 5 minit. Tutup api dan sedia dihidang.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin