Showing posts with label roti/pizza. Show all posts
Showing posts with label roti/pizza. Show all posts

Wednesday, May 5, 2010

Pizza Ria

Antara hidangan serba lengkap dan sesuai dihidang tak kira pagi, petang, tengahari mahupun malam ialah Pizza...... Bukan sahaja mengenyangkan, malahan boleh dipelbagaikan 'topping' nya mengikut citarasa kita..

Bulan April lepas, masa jalan-jalan di dapur Mat Gebu tergoda K.An dengan resepi Pizza Gebunya... Mat Gebu gunakan resepi Alex Goh untuk dohnya dan topping ala-ala Italia asli... sangat menarik persembahannya..
Kalau, di rumah K.An ni, nak letak dengan buah zaitun hitam dan hijaunya lagi dengan jeruk lagi, dengan capsicum beso-beso lagi, alamatnya budak-budak ni akan ketepikan topping dan makan roti dengan sos pizza je... kalau nak rasa macam Pizza Gebu, buat satu loyang cukup lah...

Jadi kali ni, K.An cuba resepi dohnya yang lain sikit sebab ada madu dan istilah 'gebu' yang digunakan tu amat mengujakan... toppingnya K.An buat sendiri ikut citarasa suami dan anak-anak. Hasilnya amat memuaskan hati semua... sehingga riang-ria selepas menjamahnya... tu sebab bagi nama Pizza Ria... hehehh..

Sebenarnya K.An buat pizza ni masa sakit perut yang amat sangat tu... macam nak merangkak masa menyediakannya... alhamdulillah selesai juga.. Abang Azam kata, tengok pizza tu macam tukang masaknya tak sakit... Yelah kan... dah tanggungjawab, sakit pun dikuatkan juga....
Bahan-bahan: (menghasilkan 3 loyang bulat berdiameter 7/8 inci- ikut ketebalan doh masing-masing)

Doh: Resepi Alex Goh, dan dipopularkan semula oleh Mat Gebu

300 gm tepung gandum
6 gm yis segera ( 1/2 peket)
20 gm mentega- (k.An guna margerin)
10 gm gula halus
1 st bread improver
1/4 st garam
1 1/2 sudu besar madu
170 ml air- K.An guna air suam
sedikit tepung untuk ditabur ketika mencanai

Cara membuatnya:

1. Masukkan 100 ml air suam ke dalam mangkuk. masukkan gula dan yis. Biarkan yis mengembang selama 10 minit (yis akan berbuih). Masukkan bahan lain ke dalam mangkuk kecuali tepung untuk ditabur.

2. Masukkan campuran yis tadi dan uli tepung hingga menjadi doh. Tambahkan baki 70 ml air sedikit demi sedikit ketika menguli. Uli sehingga doh tidak melekat di tangan dan kenyal lagi licin.

3. Bulatkan dan tutup dengan 'cling wrap'. Biar selama 10-15 minit. Selepas itu tumbuk doh bagi mengeluarkan angin dan uli semula. Bahagikan kepada 3 bahagian atau ikut saiz loyang masing-masing. Canaikan dan letak di dalam loyang yang telah dilengser dengan sedikit margerin tekan doh dengan hujung jari bagi memenuhi loyang dan tebalkan bahagian tepi seperti di dalam gambar. Cucukkan dengan garpu dan bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190 darjah Celcius selama 10-15 minit. (bahagian atasnya nampak kering)

Sementara tu sediakan bahan-bahan topping: ikut citarasa masing-masing. Yang ni yang K.An buat.. boleh ikut juga..

Untuk sos:

1/2 cawan tomato puri/ sos tomato
1 labu bawang besar di dadu
2 ulas bawang putih dicincang
1/2 cawan ayam dicincang- boleh ganti daging
3 sudu besar sos cili
1/2 biji tomato
sedikit garam dan gula
1 biji cili merah dicincang
minyak
sedikit air

Cara membuatnya:

1. Tumiskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Boleh juga guna minyak zaitun. Tumis bawang besar dan putih hingga layu. Kemudian masukkan ayam. Goreng sebentar.
2.Masukkan sos cili, tomato puri, buah tomato dan cili merah. Tambah sedikit air anggaran 1/4 cawan. Masak hingga pekat. Tambah garam dan gula secukup rasa. Ketepikan.

Bahan lain:

4 batang sosej- apa-apa perisa- potong serong
4 batang jejari ketam- potong 1/2 sm tebal
1/2 biji tomato- didadu
2 keping nenas bulat dipotong kecil
capsicum hijau jika suka
1 sudu teh oregano
keju mozarella secukupnya- boleh juga guna keju cheddar, almaklum mozarella tersangatlah mahalnya... huhuk...
sedikit daun ketumbar- baunya sangat sedap..

** bahagikan sama banyak untuk 3 pizza

Cara menyediakan pizza:

1. Keluarkan doh yang dibakar tadi. Sapukan sos secukupnya. Taburkan bahan sayuran, keju dan oregano kering. Bakar pada suhu 190 darjah Celcius hingga roti pizza nampak perang dan keju mencair.... hidangkan panas-panas..

**** jika inginkan sos pizza yang sedap, gunakan tomato puri yang ada buah tomato didalamnya dan ramaskan buah tersebut sebelum dimasak. K.An gunakan tomato segar dan hasilnya tidak mengecewakan.

**** topping boleh dipelbagaikan ikut citaras dan boleh ditambah kepedasannya dengan menambah sos cili atau cili merah.

Pizza Ria ni, boleh dimakan begitu sahaja tanpa perlu dicicah sos cili dan sebagainya kerana rasanya yang lengkap.. Yang penting tak ada bahan-bahan yang dikelurkan daripa roti pizza... licin dijamah.

Petang tu, Asma' dan Sarah pergi kelas Fardhu Ain berbekalkan 2 keping pizza setiap seorang :))
Abang Azam terbang ke Kelantan, dan kami makan pizza sampai ke malam...

Terima kasih banyak pada Mat Gebu sebab kongsi resepi roti pizza yang gebu dan lembut ni.. memang tak rugi cuba..

Friday, November 20, 2009

Pizza Mee Segera Dengan Tuna Pedas

Sekali makan, memang tak perasan, pizza ni dibuat berasaskan mee segera... Itulah pengalaman K.An ketika kawan K.An Noni bawakkan pizza seperti ni ketika berkunjung ke rumah minggu lepas. Memang istimewa dan patutlah resepi ni pernah memberi kemenangan kepada Noni dalam satu pertandingan memasak yang dia sertai...

Tidak terlalu berat tapi mengenyangkan. Sesuai pula tak kira untuk sarapan, makan tengahari, minum petang ataupun makan malam... Pendek kata memang patut cuba resepi ni..

Pizza yang Noni bawak, 'toppingnya dibuatnya daripada kari ayam.. seperti biasa kita yang gatal tangan ni, dah ubah ikut citarasa sendiri... heheh.. halal ye Noni. K.An buat 'topping' menggunakan 'chilli tuna' ... semua suka dan tak sampai 10 minit dihidang dah liciiin...
Resepinya.... (resepi asal Norzafurah- junior K.An sekolah dulu... nama manja, Noni.. tq banyak-banyak ye..)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 peket Mee Segera (K.An guna jenama Maggie perisa Kari)
4 biji telur gred B atau A
1 sudu teh perencah kari Maggie
1/2 biji lada benggala hijau dihiris nipis
1/2 biji bawang besar didadu- ikut citarasa
1/2 biji tomato didadu kecil
1 tin Tuna cili Padi TC Boy
keju mozarella- tak ada stok, K.An guna cheese slice je...
hirisan nenas
herba oregano ikut citarasa
Cara membuatnya:

1. Didihkan 3-4 cawan air di dalam periuk. Padamkan api dan celurkan mee hingga kembang. Toskan dan lalukan air biasa agar mee sejuk.

2. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Campurkan perencah kari Maggie dan pukul telur menggunakan garpu.

3. Panaskan oven pada suhu 190 arjah Celsius. Lengserkan loyang dengan sedikit margerin. K.An gunakan loyang empat segi panjang berukuran 12 inci X 8 inci. Ratakan mee di atas loyang.
Tuangkan campuran telur ke atas mee. Pastikan rata ke seluruh loyang.

4. Keluarkan tuna daripada dalam tin. Buang minyak dan airnya- ambil isi sahaja. Hancurkan isi tuna dan campurkan sedikit garam. Kalau suka campur sedikit rempah kari Maggie lagi. (K.An campur kari ayam lauk tengahari... heheh.. campur sikit isi ayam)

5. Ratakan campuran tuna ke atas lapisan mee. Taburkan lada benggala, buah tomato, bawang besar, keju, nenas dan bahan lain di atas pizza.

6. Bakar pizza selama 20 - 30 minit- mengikut saiz loyang menggunakan api atas dan bawah. Hidang ketika masih panas bersama sos cili.

Tips Galakan

****topping boleh dipelbagaikan ikut citarasa masing-masing

****telur yang digunakan dalam jumlah yang banyak dalam pizza ini, menambahkan keenakan rasanya.. tanpa menyumbang rasa 'kurang enak' kepada yang tak berapa suka 'rasa telur'.

***menurut Noni, pizza ni boleh juga dimasak didalam kuali bertutup, dengan menggunakan api perlahan selama 30 minit.. atau sehingga masak.

Monday, August 3, 2009

Roti Berinti Epal

Assalamualaikum semua... ampun maaf sebab tak sempat nak bersiaran.. kebiasaan Jumaat, Sabtu dan Ahad..... masa penuh.. takde masa nak berblogging... sapa-sapa anak 2,3 je, tunggulah bila dah jadi 5,6 haaa.... tahulah macamana sibuknya melayan kerenah anak-anak... yang tengah sarat tu... nanti dah ada wua..wua..kalau tak ada pembantu rumah (yang boleh disuruh bantu)....timbul lah iklan susu, iklan lampin, iklan mee segera, iklan air....

Jadilah blogger banyak iklan macam K.An. Kejap-kejap terbantut..
Tapi tak apalah kan..itulah irama dan senandung bagi ibu-ibu macam K.An ni.. dah terbiasa
sampai tak boleh tak ada suara anak-anak.. sunyi rasanya..

OKlah memandangkan ramai yang terleleh tengok roti epal tu... kita terus masuk tajuk..
Akhir-akhir ni rajin roti meroti sebab K.An dah beli Bread Maker.. murah-murah je..beli
daripada kawan yang dah tak aktif meroti sebab anak-anak dah besar. Terima kasih K.Nani..
baru 2, 3 hari dah macam-macam roti K.An buat.
Ini projek 4 hari lepas... jalan-jalan ke dapur Mat, teringin tengok roti inti epal ni... rupa pun sangaaat menawan..

Resepi asal Doh Bun Manis daripada buku Alex Goh yang diubahsuai oleh Mat Gebu yang hasil tangannya sangat mengancammm...

K.An salin semula di sini:

Bahan Doh Bun Manis: (boleh dijadikan pelbagai roti)

A)
480 gm tepung roti
120 gm tepung gandum
110 gm gula halus
10 gm garam
20 gm tepung susu
4 ct yis segera
1 ct bread improver **
1 ct bread softener**

** tak letak pun tak apa, K.An letak separuh je

B)
1 biji telur
300 ml air

C)
60 gm mentega / margerin
D)inti epal secukupnya

E) 1 kuning telur
1 camca besar susu cair (k.An guna 1 sudu teh susu tepung + 1 sudu besar air)
1/2 ct esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan A dan gaul rata. Tambah bahan B dan uli
hingga menjadi doh. Tambah C dan terus menguli hingga menjadi doh yang lembut dan anjal (20-25 minit). Doh agak lembut dan kalau menguli dengan tangan seeloknya tambah air sedikit demi sedikit hingga doh tidak melekat di tangan.

2. Alih dalam bekas lain yang disapu mentega dan tutup dengan plastik 'cling'. Biar 1 jam hingga doh naik 2 kali ganda.

Kaedah Lain:

Masukkan semua bahan di atas (A, B dan C) ke dalam Bread Maker(BM). Pilih setting doh dan tekan On. Biar hingga siap (anggaran 30 minit) K.An tak ada manual (sbb k.nani kata dah hilang)- kat BM tu set uli doh sampai 1 jam 30 minit (agaknya sekali perap).. jadi selepas BM sibuk uli dalam 20 minit, doh dah licin, K.An stopkan je BM tu.... dan buat langkah seterusnya.

Keluarkan doh dan perap dalam bekas lain yang lebih besar selama 1 jam.

Untuk Roti inti epal:

Bahan inti: (sediakan sementara doh diperap)

4 biji epal hijau- kupas kulit dan dipotong dadu kecil- menghasilkan 2 cawan epal siap didadu
2 sudu besar gula pasir
1 inci kulit kayu manis/ sedikit serbuk kulit kayu manis (ikut citarasa)
1/4 cawan air
1 sudu besar mentega
1 sudu teh tepung jagung-bancuh dengan sedikit air

Masukkan semua bahan kecuali tepung jagung ke dalam periuk.
Masak menggunakan api perlahan dan kacau hingga epal lembut. Apabila air kering dan inti mula pekat, masukkan bancuhan tepung jagung dan gaul rata. Tutup api dan sejukkan seketika.

Roti Epal:

1. Ambil 600 gm daripada doh tadi (k.an ikut Mat Gebu- yang lain buat roti jenis lain)
Bahagikan kepada 12 bahagian sama besar- 50 gm setiap satu)
2. Bulat-bulatkan dan ketepikan. Ambil satu dan canai membujur. Doh agak lembut, jadi K.An taburkan tepung supaya mudah mencanai.

3. Potong seakan-akan jejari pada sebahagian doh, isi inti epal dan gulung seperti dalam gambar.. Nak tengok yang cantik, jenguk dapur Mat Gebu ye puan-puan....

4. Alih ke dalam dulang pembakar yang telah disapu mentega.
Buat hingga siap. Biar 50 minit hingga naik (k. An perap 40 minit je sebab kejar masa nak ambil anak sulung dari asrama)


5. Bakar dalam oven pada suhu 180 darjah celcius selama 25-30 minit atau roti keperangan.


6. Lepas 15 minit roti dibakar, ikut macam Mat, keluarkan loyang daripada oven dan sapu bancuhan telur (E) pada permukaan roti (part ni K.An suka) Sambung bakar hingga siap. Apabila roti masak, sejukkan atas jaringan


**** walaupun agak rumit, tapi roti yang dihasilkan saaangat sedap dan anak-anak juga abang Azam berebut-rebut makan sampai kena sorok untuk 'snap' gambar...

Asma' kata, ummi buat lagi roti macam ni ye..

Sebahagian adunan lagi K.An buat sultanas roll- nanti2 k.an siarkan.

Jam dah pukul 1.46 pagi.. jom tidooooo..zzz




Thursday, July 30, 2009

Roti Naik

Dah lama tak masukkan resepi roti, malam tadi terr...rajin mencari-cari resepi roti yang senang dan cepat... tapi sedap. Jenguk dapur Mat Gebu (yang memang ada macam-macam resepi roti tu...) dan terjumpalah resepi Roti Naik ni.. Tengok bahannya memang senang sangat... Uli tepung, perap doh sementara tengok CSI gitu, 10.45 malam bakar... habis CSI.. boleh supper dengan roti naik dan teh panas..

Salasilah resepi asalnya dari R.NET dan K.An salin dari dapur Mat Gebu je...

Bahan-bahan: (resepi asal 2 kali ganda)- oven k.An 'kecik' cukup adunan menghasilkan 9 biji bun macam dalam gambar tu..

200 gm tepung roti (protein tinggi)
50 gm tepung Hong Kong... Mat guna tepung gandum, k.An guna tepung gandum juga..
125 ml air
50 gm susu tepung (k.An ikut petua k.pah- ganti dengan 50 gm susu pekat manis)
1/4 sudu teh bread improver
90 gm gula perang (brown sugar)
50 gm mentega- k.an guna margerin je..
2 sudu teh yis segera
1 sudu teh esen vanilla

resepi asal letak warna kuning- k.an tak letak, takut anak-anak tak makan..heee..

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan di dalam mangkuk kecuali mentega. Uli hingga menjadi doh, masukkan mentega sedikit demi sedikit dan terus menguli hingga doh kenyal dan tidak melekat di tangan. (15 minit)
**kalau uli dengan tangan, k.an buat di atas meja supaya senang menguli guna dua belah tangan.

Cara lain: masukkan semua bahan ke dalam Bread maker.. set doh, tekan on dan tunggu siap.

2. K.An skip langkah perap dan tumbuk doh, ikut petua k.pah lagi. Selepas doh siap diuli, K.An bahagikan kepada 9 biji kecil/ Sapukan mentega pada loyang. Bulat-bulatkan doh dan susun dalam loyang. Tutup dengan tuala dapur bersih dan perap 45 minit.

3. Panaskan oven pada suhu 190 darjah. Masukkan roti dan bakar 15-20 minit. Sapukan mentega pada permukaan roti sebaik di keluarkan daripada oven...

Tengoklah rupanya... Terima Kasih tak terhingga kepada penyumbang resepi..



Friday, June 26, 2009

Pizza.. pizza lagi dan lagi...

Hari terakhir cuti sekolah, sempat juga 'order' delivery Domino pizza untuk Iqbal yang dah lama mengidam pizza. Dulu masa di Bandar Seri Putra, K.An selalu buat pizza kat rumah sebab tak ada langsung delivery pizza atau restoran pizza terdekat. Kadang-kadang saja suka-suka telefon pizza Hut tanya tak hantar ke pizza ke sini...? Dah tau pun, tapi saja gatal nak tanya.
Bila dah pindah Putrajaya, Pizza Hut dekat boleh 'dine in' dan tahun ni yang malangnya beberapa langkah di belakang rumah kami dah ada Domino Pizza... Kupon-kupon promosinya memang sentiasa menggoda. Tapi memang puashati sebab tak payah susah tunggu..telefon..haa.. sampai depan pintu. Kat dalam gambar tu, kami order pizza Tuna Temptation New York Crust. Xtra Large.. Sedaap..
Esoknya anak-anak dok sebut nak makan pizza lagi.. Kena buat le jawabnya. Kalau tidak boleh rabak poket dibuatnya... petang, siaplah pizza gitu-gitu. Topping ayam, bawang, nenas, tomato puri dan sliced cheese... Gitu-gitu pun liciin..

Ujung minggu lepas Iqbal balik lagi sebab minggu ni sekolah ganti. Sabtu, K.An sedia sarapan pizza lagi. Kali ni topping, sos tomato, bawang, capsicum, daging dan tuna putih (dalam minyak) nenas letak lebih....
Tak ada stok Mozarella cheese...Guna sliced cheese je sebab tu je yang ada... Semua kata.. sama je rasanya macam kat kedai. Rotinya K.An buat nipis ala-ala New York Crust juga... Alhamdulillah... puas hati kenyangnye..
Tengahari, kami makan di Food Court UNITEN. K.An teringin nak makan asam pedas. Siapa tak pernah rasa, nak makan asam pedas, pergilah ke sana. Macam-macam ikan ada... pari, sembilang, daging tetel, (menggoda betul) patin, tenggiri, semua sedaap.. hari tu K.An makan asam pedas patin dengan nasi putih... mmmph.. memang boleh ulang lagi

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin