Mari-mari salin resepi... lepas tu jangan simpan dalam laci je tau.. pergi pasar, cari bahan yang diperlukan, terus buat... haaa.. lepas tu baru tau kesedapannya..
Assalamualaikum wrt semua.. alhamdulillah dah selesai puasa hari kedua dan tarawikh malam ke-3... moga Allah beri kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan kemampuan beribadah di bulan yang mulia ini. Jangan lupa, memasak pun jadi ibadah jika kita niatkan kerana Allah Ta'ala dan juga boleh tambah lagi pahala jika dikongsi bersama jiran tetangga.
Berbalik kepada Sup Doraisamy yang K.An tayang gambarnya di sini tidak dimasak di Jalan Doraisamy ye, tapi dimasak di Putrajaya... resepinya K.An dapat daripada
Blog Chef Saadi di jommakan_saadi.blogspot.com Dengan kepakaran chef, K.An percaya 100 % resepi yang dikongsi dan terus mencubanya beberapa hari lepas. Alhamdulillah, walaupun kami sekeluarga tak pernah sekalipun makan sup Doraisamy, tapi sup yang K.An hasilkan, mendapat markah tinggi daripada pengkritik makanan di rumah ni... hilang penat-lelah mengerjakan sup ni yang agak renyah kerjanya berbanding sup Siam kegemaran K.An.
Resepinya mengikut resepi Chef saadi dan K.An tambah sikit bahan ikut citarasa K.An.. Terima kasih chef atas resepi yang sedap ni.
Bahan-bahan: (anggaran hidangan untuk 5 orang)
1 kg tulang yang ada daging- boleh juga guna tulang rusuk/rawan- K.An tambah lebih kurang 200 gm daging tetel
2 sudu besar rempah kurma
6 biji buah keras ditumbuk halus
8 biji bawang merah dikisar
1/2 inci halia diketuk- K.An gunakan halia muda dihiris nipis
3 ulas bawang putih dikisar
1 batang kulit kayu manis
6 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
4 biji kentang dibuang kulit- K.An gunakan 2 biji kentang bersaiz besar
2 batang seleri dipotong anggaran 1 ini panjang
garam dan lada hitam secukup rasa
***K.An tambah 1 biji tomato dibelah 8 dan sedikit gula
Cara membuatnya:
1. Rebus tulang dan daging sehingga empuk. Jika menggunakan periuk tekanan, tulang direneh anggaran 1 jam. Jika menggunakan periuk biasa, reneh(didihkan daging dengan api perlahan dan periuk bertutup) selama 2-3 jam.
3. Masukkan kentang dan seleri ke dalam periuk rebusan dan biar empuk. Setelah kentang lembut, keluarkan kentang dan seleri dan kisar halus bersama sedikit air rebusan. Masukkan semula ke dalam periuk rebusan.
4. Di dalam kuali lain, tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi... (kalau nak tahu, baunya memang wangi dan membuka selera). Kemudian masukkan rempah kurma yang telah dibancuh dengan sedikit air dan tumis lagi hingga terbit minyak. Masukkan buah keras dan kacau seketika. Masukkan tumisan rempah tadi ke dalam periuk sup.
5. Masukkan garam, tomato, sedikit gula dan lada hitam kisar secukupnya. Biar mereneh hingga sup agak pekat. Taburkan daun sup dan bawang dan sedia dihidang bersam nasi putih atau roti sandwic...