Monday, February 28, 2011

Banana Puff


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Setelah K.An cuba sendiri menghasilkan pastri puff untuk croissant, barulah K.An pergi menjelajah pasaraya besar bagi mencari 'pastry puff' yang dah siap. Almaklum, dah terbukti, tak cukup masa nak buat sendiri sedangkan ingin sangat nak buat danish dan aneka paf pastri yang jadi kegemaran K.An.

Kebetulan masa keluar bawak Asma' beli barang keperluan di Tesco Kajang, terjumpalah puff pastry jenama Kawan yang dah lama k.An cari. (di C4 Putrajaya sebelum ni tak pernah ada. Di Mydin pun tak ada) Mat Gebu dan Kak Rinn pun gunakan jenama yang sama dalam menghasilkan pastri puff mereka. Memang betul, mudah sangat dan hasilnya sangat
memuaskan. harga pun murah... Kalau ada stok di dalam 'freezer', kalau ada tetamu datang terkejut, tergempar, boleh sediakan juadah istimewa dalam masa yang singkat.Untuk cubaan pertama, K.An buat puff pisang ni.. atau kata 'omputih'... banana puff.

Bahan-bahannya:

1 peket 'puff pastry' jenama Kawan- 10 keping semuanya
5 biji pisang emas, awak atau pisang yang tidak berair
2-3 sudu besar gula- tambah jika ingin lebih manis
1 biji telur- dipukul sedikit

Cara membuatnya:

1. Lecek pisang hingga halus dan gaulkan dengan gula. Keluarkan pastri dari freezer dan susun di dalam loyang yang telah dilengser mentega.

2. Isikan inti pisang secukupnya. Lipat 2 pastri dan tekan kelilingnya dengan garpu. Sapukan telur yang telah dipukul sedikit di permukaan paf.

3. Panaskan oven ke suhu 200 darjah Celsius. Bakar paff selama 10-15 minit atau sehingga permukaan paf keperangan.
****intinya boleh dipelbagaikan.. nak yang manis, masin mahupun pedas.. sehingga hari ni K.An dah buat 2,3 jenis.. nanti K.An kongsi di sini..


Wednesday, February 23, 2011

Nasi Goreng Pancarona... Rumah kedua dan Kes tak Ada bahan

Di musim cuti Tahun Baru China lepas, macam-macam perkara berlaku dan macam-macam aktiviti telah dijalankan.. Kami sekeluarga tak balik kampung kali ni sebab nak meluangkan masa bersama anak-anak sendiri pulak. Almaklum, bila dah masuk asrama, makin sedikit masa yang dapat dikongsi bersama. Selalunya kami suka jalan-jalan sambil makan-makan di rumah kedua kami...
K.An pernah cerita dulu yang kalau ada makanan yang macam tak habis tu, K.An akan bungkus. Ajak anak-anak naik kereta, pergila 'ronda' mana-mana.. Tak sempat ke mana, habislah bekalan makanan yang dibungkus tadi... Tak kisahlah apa, mee/ mihun/kue-teow goreng, cekodok, sandwich ataupun nasi goreng.. Memang tak rugi. Itu sebabnya K.An gelarkan kereta kami tu, rumah kedua.. tempat di mana kami sekeluarga berkumpul dan beramah mesra gitu...hehehheh..

Alkisah Nasi Goreng pancarona ni, tercipta disebabkan banyak bekalan bahan memasak terputus kerana Cuti Tahun Baru Cina. K.An kehabisan bawang merah dan minyak masak... sudahnya di petang Isnin selepas Cuti tahun Baru Cina, K.An masak nasi goreng ni dan ajak anak-anak naik kereta ke Bangi.. Walaupun bahan ala kadar, tapi laku nasi ni sebab dimakan di dalam kereta... perut pun dah terisi, hati pun senang.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3 orang)

3 cawan nasi putih
1 keping dada ayam- didadu kecil
2-3 tangkai cili api akar- diketuk (boleh lebihkan jika suka lebih pedas)
1 labu bawang besar holland- dihiris
3 ulas bawang putih diketuk
1 tangkai cili merah dan 1 tangkai cili hijau- dihiris serong
1 sudu teh sos tiram
2 biji telur kecil
sedikit sayur campur atau kacang panjang dan lobak merah dihiris kecil-kecil
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak gorengan ikan

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak gorengan ikan di dalam kuali. Masukkan ayam dan goreng sebentar hingga terbit bau harum.

2. Masukkan bawang besar, cili api, cili merah dan hijau dan tumis lagi hingga layu. Masukkan pula bawang putih. Kacau sebentar dan masukkan sos tiram juga sayuran.

3. Tambah sedikit air agar sayuran masak. Setelah sayuran masak, pecahkan telur. Biar sebentar agar telur masak sedikit. Masukkan garam dan sedikit gula.

4. Akhir sekali, masukkan nasi dan gaul rata semua bahan. Sedia dibungkus dan dimakan bersama keluarga.

*** istimewanya nasi ni ialah rasa bawang besar,cili merah dan cili hijau serasi dikunyah bersama ketulan ayam dan nasi yang enak.

Tuesday, February 22, 2011

Iklan daripada Munirah... sayang semua..


Assalamualaikum...

Ramai yang bertanyakan khabar Munirah.. Munirah sihat-sihat je.. Munirah dah pandai makan. Ummi masak bubur nasi + kentang.. Menu yang paling disukai.. Munirah sedang membina badan.. Tak percaya? tengoklah sendiri..

Berkelah dengan ummi, abi, kakak2 dan abg Iqbal (takde kat gambar)
Munirah dah boleh ikut makan kat luar.. dah boleh duduk kat 'baby chair'
Orang lain main-main, Munirah rehat jelah...

Friday, February 18, 2011

Kuih Bakar Bijan- Chef Hanieliza

Assalamualaikum semua... semoga ceria selalu di pagi Jumaat penghulu segala hari.. kepada kaum Adam, jangan lupa solat Jumaat hari ni ye.. Kaum Hawa, kalau ada yang bercadang nak window shopping tu, beringat-ingatlah.. kalau membeli tu, jangan membazir. Beli yang perlu sahaja, kalau ada duit lebih, sedekah je kat masjid dan kepada yang lebih memerlukan.

Beberapa minggu lepas, di majlis baca Yassin rumah rakan dan jiran K.An- Yana, para tetamu dijamu minum petang yang sungguh enak. Antara juadahnya ialah kuih bakar bijan... katanya, sumbangan tetamu yang hadir. Tak sempat bertanya, balik rumah K.An cari balik resepi-resepi yang disalin. Terjumpalah resepi yang K.An salin dari blog eiramalik.blogspot.com. Dah buat, memang sedap... apa taknya, resepi chef hanieliza yang dah buat banyak buku masakan tu.... cukup rasa lemaknya dan lembut teksturnya..

Terima kasih eiramalik dan chef Hanieliza...
Bahan-bahan:(menghasilkan 1 loyang bersaiz 8X8 inci)

2 cawan tepung gandum
2 cawan santan pekat (1 cawan pati santan + 1 cawan air)
3 cawan jus pandan (kisar 10 helai daun pandan dengan 3 cawan air- tapis)
1 cawan gula pasir- K.An buangkan 2 sudu besar untuk kurangkan manis
3 biji telur A
2 sudu besar margerin- kalau nak senang sebati, cairkan dulu- **boleh kurangkan sikit
1 sudu teh garam
beberapa titik pewarna hijau
2 sudu besar bijan

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven ke suhu 180 darjah Celsius. Gunakan api atas dan bawah.
2. Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati menggunakan whisk. Tapiskan ke dalam loyang yang telah dilengser dengan margerin. Tabur bijan dan bakar selama 1 jam atau kuih masak. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

**K.An letakkan loyang di rak bawah oven agar kuih masak elok atas dan bawah. K.An juga gunakan 2 sudu besar penuh margerin. Bila kuih masak minyak naik ke permukaan kuih, terpaksalah K.An lap dengan kertas tisu. Jadi, bila buat nanti, kurangkan margerin tu ye sebab santan dah berminyak. Tapi kuih ni memang menjadi elok dan sedap.

Bila kawan-kawan Telefon....

Akhir bulan Januari, K.An dan anak-anak diserang demam selsema dan batuk... Dah lama tak kena.. Bila tukar musim je.... tak tahan badan ni... Malaysia pulak dilanda banjir di sana-sini. kali ni Pahang dan Johor pula Allah turunkan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir besar. Itulah peringatan Allah sebenarnya.. ambil pengajaran, jaga alam sekitar dan tunaikan tanggungjawab sebagai insan khalifah di muka bumi. Dalam demam-demam pun, ada pulak rakan-rakan dan saudara-mara yang telefon.. macam biasalah... nak tempah..

Buat masa ni K.An memang cuma memenuhi tempahan rakan-rakan dan saudara-mara terdekat je. Almaklum, anak-anak kecik lagi ni agak susah nak buat projek besar-besaran. Tak terdaya.. lagipun K.An pentingkan kualiti dan rasa masakan. Bila masak ni, hati kena tenang, baru jadi elok..
Masalode dan kuih keria ni, kawan baik K.An, Linda yang tempah untuk majlis baca yasin di tempat kerjanya.. terima kasihlah sudi menempah dengan periuktanah..
Pada hari Jumaat yang sama, K.An buatkan juga tempahan ikan Bakar dengan air Asam untuk 30 orang, tempahan Nazirah sepupu K.An untuk makan tengahari di pejabat dia...(kalau nazirah telefon, memang tak tolak rayuan manis dia...hihihi).... dan hari tu juga K.An bawak tentera kecik pergi ambik kakak Asma' dari asrama.... fuhhh... hari yang padat, walaupun demam..

Wednesday, February 2, 2011

Croissant dan chicken-mayo sandwich

Idea nak buat croissant sendiri ni dah laaaama sangat dipendam.... almaklum, tak pernah pergi kelas atau kursus membuat croissant ni.. harapkan belajar dari blogger lain dan buku masakan je. Kena pulak masa yang terhad... asal nak buat, ada je halangannya. Tapi bulan Disember lepas, masa cuti sekolah panjang, sempatlah K.An mengumpul tenaga bagi menjayakan projek menghasilkan croissant sendiri. Walaupun tak secantik yang dibuat professional chef, tapi rasanya sungguh sedap. (sebab boleh ulang buat lagi) Agak rumit dan susah tapi berbaloi mencuba jika ada masa lapang. Kali pertama buat, saiznya agak kecil, jadi bila kali ke dua, K.An besarkan sikit dan alhamdulillah adalah rupa croissant...

Sebenarnya K.An suka sangat chicken-mayo sandwich menggunakan roti croissant yang dibeli di Dunkin Donut. Puas makan... siapa yang belum cuba, cubalah beli.. rasa sendiri kesedapannya..
Bila sebut Dunkin Donut pulak, teringat adik-adik junior K.An di Aisyah College, UIA yang rajin buat kerja part-time di Dunkin Donut- Hospital Universiti, setiap hari lepas kuliah. Ita, Atie, Sher dan Liza.... selalu juga bawak balik bekalan lepas habis kerja. Rajin adik-adik K.An ni.. walaupun penat tapi enjoy je. Pengalaman dapat, duit extra pun dapat. Dah lebih 15 tahun tak jumpa mereka ni... rindu rasanya...

Oklah... bernostalgia la pulak. Resepi kali ni sekadar berkongsi je.. tak payahle buat kalau tak ada masa... remeh sikit kerjanya.. Tukang masak pro yang baca entry ni janganle gelakkan K.An ye.. almaklum, belajar sendiri.."idakle cantik ghupe croissant teman nih..hihiihi.."

Resepi asal dan teknik membuat dari buku Aneka Roti oleh Saadiah Mohamad terbitan Alaf 21 Sendirian Berhad.

Bahan-bahan:

125 gm tepung berprotein tinggi (tepung roti)
100 gm tepung gandum
1/2 sudu teh garam
25 gm mentega dicairkan
120 gm margerin pastry(untuk lipatan)- boleh beli dari kedai bahan-bahan bakeri
1 biji kuning telur- untuk disapu di permukaan croissant

Bahan (A) dilarutkan
100 ml susu segar
50 gm gula kastor
7 gm yis segera

1biji telur

Cara membuatnya:

1. Ayak tepung roti dan garam ke dalam mangkuk adunan. Masukkan telur dan margerin. Gaulkan hingga rata.

2. Tuangkan bahan A. Uli doh hingga lembut dan kenyal. (uli selama lebih kurang 15 minit) . Bulatkan doh, masukkan ke dalam mangkuk. Tutup dengan tuala dapur atau cling wrap. Biar doh naik selama 40 minit atau dua kali ganda.
3. Canaikan doh sekali lagi hingga lembut. Masukkan margerin pastri seperti gambar di atas. Margerin pastri juga perlu dicanai beralaskan plastik supaya sesuai besar dan lebarnya dengan doh. Buat proses lipatan seperti di atas.

4. Balut dengan cling wrap dan rehatkan selama 20 minit di dalam freezer. Selepas 20 minit canai leper doh bentuk segiempat panjang dan ulang melipat seperti di atas.(tak perlu letak margerin pastri lagi). Rehatkan lagi di dalam freezer. Ulang proses sama selama 3 kali.
5. Setelah dikeluarkan dari freezer, canai doh pastri seperti gambar. Lebar yang dicadangkan ialah 25 sm dan 2 mm tebal. Boleh ikut saiz yang dikehendaki juga.

6.Potong doh menjadi bentuk segi tiga seperti gambar. gulung dan bentukkan seperti bulan sabit. Letakkan di dalam loyang pembakar dan biarkan croissant naik dua kali ganda. Panaskan ketuhar ke suhu 200 darjah Celcius dan bakar croissant hingga ke perangan.

***hati-hati ketika proses membakar. kurangkan sedikit suhu kalau rasa nak terhangit croissant tu mcm K.An punya... huhuhu...
Dah siap... dapat banyak jugak... tapi sekejap je habis bila dah dijadikan chicken-mayo sandwich. Yang pasti, saki baki lebihan doh tu, K.An gulung dan bakar sekali. Makan macam tu saja pun sedap.
Nak buat sandwich senang je. .. boleh guna isi ayam goreng, salad, sos, mayonaise. Belah dua roti dan isikan semuanya. K.An perapkan dada ayam dengan sedikit paprika, lada hitam, rosemary kering,garam dan madu. Panggang dan hiris nipis. sedap tau...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin