Showing posts with label nasi goreng. Show all posts
Showing posts with label nasi goreng. Show all posts

Monday, November 14, 2011

Nasi Goreng Ladna

Alhamdulillah, berlalu sudah 2 minggu yang panjang dan padat dengan pelbagai aktiviti... Balik kampung, menyambut Hari Raya AidilAdha, bercuti bersama keluarga dan kembali ke Putrajaya... 

Seperti biasa bila pulang ke kampung, tutup laptop. facebook dan juga blog..... sepenuh masa dicurahkan untuk berbakti kepada mak K.An, ibu dan bapa mertua dan ahli keluarga tercinta. Tambahan pula seminggu sebelum raya, K.An dimaklumkan, mak kurang sihat dan kurang selera makan. Begitu juga mak dan ayah mertua.  Maka, tugas K.An adalah untuk menyediakan aneka juadah yang bakal melahirkan kembali selera makan mereka. Alhamdulillah walaupun cuma 3 hari bersama, sempat K.An masakkan sesuatu yang mereka suka...


Untuk 'warm-up' bulan November, K.An mulakan dengan resepi ringkas dan mudah Nasi Goreng Ladna kegemaran K.An, 'Aisyah dan Sarah.... bukan sahaja ringkas tapi penuh khasiat.

Bahan-bahannya (hidangan untuk 3-5 orang)

3 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih- ditumbuk kasar
1/4 cawan sotong yang telah dihiris kecil
sedikit isi ayam dipotong kecil
5 ekor udang harimau
serba sedikit sayuran- Pak-choi, jagung muda, karot, bunga kobis, dihiris ikut citarasa
1 tangkai cili merah dihiris serong
3 tangkai cili padi akar diketuk- tambah jika suka lebih pedas
2 cawan air rebusan ayam (jika tiada gantikan dengan air biasa dan 1/2 ketul kiub ayam)
2-3 sudu besar tepung jagung  (bancuhkan dengan 1/2 cawan air)
1 sudu besar sos tiram
3 cawan nasi sejuk 
1-2 sudu besar kicap manis
minyak untk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 1 sudu besar minyak didalam kuali. Masukkan nasi. Renjiskan kicap dan gaul nasi bersama kicap hingga sebati. Ketepikan dahulu.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali atau periuk  lain. Masukkan isi ayam, udang dan sotong. Goreng seketika hingga naik bau wangi. (tak perlu diangkat)

3. Masukkan bawang yang ditumbuk, cili api, cili merah dan tumis lagi hingga terbit bau wangi. (1 minit) Seterusnya masukkan batang pak-choy, karot, bunga kobis, jagung muda. 

4. Masukkan sos tiram, air rebusan ayam dan sedikit garam. Biarkan mendidih. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung jagung dan daun Pak-choy. Kacau hingga kuah agak pekat. Matikan api.

5. Cedokkan nasi ke dalam pinggan dan tuang kuah bersama bahan lain ke atas nasi. Sedia dinikmati.



****Tips K.An :   

*   Untuk kuah yang sedap,  pastikan sayuran yang digunakan segar, bahan mentah dimasak sempurna tetapi tidak terlalu lama dan gunakan api perlahan ketika mereneh kuah.

*   Aneka sayuran lain boleh digunakan seperti cendawan tiram, kailan dan kobis untuk menambah rasa manis kuah.

Wednesday, February 23, 2011

Nasi Goreng Pancarona... Rumah kedua dan Kes tak Ada bahan

Di musim cuti Tahun Baru China lepas, macam-macam perkara berlaku dan macam-macam aktiviti telah dijalankan.. Kami sekeluarga tak balik kampung kali ni sebab nak meluangkan masa bersama anak-anak sendiri pulak. Almaklum, bila dah masuk asrama, makin sedikit masa yang dapat dikongsi bersama. Selalunya kami suka jalan-jalan sambil makan-makan di rumah kedua kami...
K.An pernah cerita dulu yang kalau ada makanan yang macam tak habis tu, K.An akan bungkus. Ajak anak-anak naik kereta, pergila 'ronda' mana-mana.. Tak sempat ke mana, habislah bekalan makanan yang dibungkus tadi... Tak kisahlah apa, mee/ mihun/kue-teow goreng, cekodok, sandwich ataupun nasi goreng.. Memang tak rugi. Itu sebabnya K.An gelarkan kereta kami tu, rumah kedua.. tempat di mana kami sekeluarga berkumpul dan beramah mesra gitu...hehehheh..

Alkisah Nasi Goreng pancarona ni, tercipta disebabkan banyak bekalan bahan memasak terputus kerana Cuti Tahun Baru Cina. K.An kehabisan bawang merah dan minyak masak... sudahnya di petang Isnin selepas Cuti tahun Baru Cina, K.An masak nasi goreng ni dan ajak anak-anak naik kereta ke Bangi.. Walaupun bahan ala kadar, tapi laku nasi ni sebab dimakan di dalam kereta... perut pun dah terisi, hati pun senang.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3 orang)

3 cawan nasi putih
1 keping dada ayam- didadu kecil
2-3 tangkai cili api akar- diketuk (boleh lebihkan jika suka lebih pedas)
1 labu bawang besar holland- dihiris
3 ulas bawang putih diketuk
1 tangkai cili merah dan 1 tangkai cili hijau- dihiris serong
1 sudu teh sos tiram
2 biji telur kecil
sedikit sayur campur atau kacang panjang dan lobak merah dihiris kecil-kecil
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak gorengan ikan

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak gorengan ikan di dalam kuali. Masukkan ayam dan goreng sebentar hingga terbit bau harum.

2. Masukkan bawang besar, cili api, cili merah dan hijau dan tumis lagi hingga layu. Masukkan pula bawang putih. Kacau sebentar dan masukkan sos tiram juga sayuran.

3. Tambah sedikit air agar sayuran masak. Setelah sayuran masak, pecahkan telur. Biar sebentar agar telur masak sedikit. Masukkan garam dan sedikit gula.

4. Akhir sekali, masukkan nasi dan gaul rata semua bahan. Sedia dibungkus dan dimakan bersama keluarga.

*** istimewanya nasi ni ialah rasa bawang besar,cili merah dan cili hijau serasi dikunyah bersama ketulan ayam dan nasi yang enak.

Thursday, March 18, 2010

Nasi Goreng Nenas

K.An pernah tengok Maria Tunku Sabri buat nasi goreng Nenas ni dalam satu rancangan mempromosikan produk nenas di TV3, tapi tak pernah cuba buat. Masa K.An makan-makan dengan kawan-kawan sekolah di Kelab Tasik Putrajaya beberapa bulan lepas, kawan K.An makan nasi goreng nenas... hmmm sedap juga rupanya..

Kebetulan dalam siri JJCM kami di Bangi terserempak dengan seorang kawang Abang azam yang bagi petua mudah untuk pengidap gout macam abang Azam. setiap kali lepas makan, makan nenas untuk meneutralkan balik uric acid yang masuk dalam badan... wah senang petua tu... Lepas tu, macam-macam lauk dicampur dengan nenas K.An masak. Salah satunya, Nasi goreng ni...

Bahn-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 mangkuk nasi putih( 2-3 cawan)
3 ulas bawang putih dan 2 ulas bawang merah- tumbuk halus
segenggam ikan bilis, bersihkan dan kisar halus
sedikit isi ayam jika suka
3 biji cili padi akar- ketuk
1 sudu teh sambal belacan-
sekeping bulat nenas (ikut citarasa)- dadu kecil
1 biji telur
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
1 sudu teh sos tiram
sayuran ikut citarasa seperti kacang panjang, bunga kobis, jagung manis, cendawan tiram- hiris halus

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng isi ayam seketika. Masukkan bawang, cili padi dan ikan bilis. Goreng hingga wangi.

2. Masukkan sayuran, sambal belacan, sos tiram, garam dan telur.Tambah sedikit air (1 sudu besar) Masukkan nasi dan kacau rata. Tambah garam jika belum cukup masin. Masukkan nenas dan gaul nasi hingga sebati.

3. Tutup api dan hidangkan panas-panas.

Thursday, August 27, 2009

Bersahur dengan Nasi Goreng Ikan Masin

Alhamdulillah di hari pertama di Rumah Peranginan, selesai solat Tarawikh Berjemaah bersama keluarga dan tadarus bersama anak-anak. Lain juga rasanya bila tak ada pengaruh Astro ni. Hidup lebih lapang dan lebih banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga.

Waktu sahur, k.An buat Nasi Goreng Ikan Masin dengan Nugget Tempura Goreng. Sedia sekali untuk dua orang baby yang tak 'poce' tu... tak payah pening kepala nak masak lagi siang nanti.

Inipun dah ada resepinya, tapi k.an ulang tayang je.. lain sikit-sebanyak tu biasalah... ikut citarasa masing-masing dan bekalan bahan yang ada.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

3 cawan nasi putih sejuk
1-2 keping ikan tenggiri masin (ikut saiz dan citarasa)- k.An suka banyak
sedikit isi ayam-bahagian dada
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar atau dicincang halus
sayuran ikut bekalan
2 tangkai cili padi diketuk- tambah jika suka pedas
1 biji telur
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng ikan masin hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
2. Masukkan isi ayam dan goreng seketika hingga wangi. Masukkan cili padi, bawang merah dan putih dan tumis hingga wangi juga. Masukkan sayuran dan biar layu sebentar.

3. Masukkan telur, nasi dan ikan masin yang telah dihancurkan dan gaul rata. Masukkan garam atau sos ikan jika nasi belum cukup masin. Tambahkan sedikit lada sulah jika suka.
Tutup api dan sedia dihidang.


Sunday, April 26, 2009

Nasi Goreng Ayam

Memasak- bukan sekadar memasak tetapi kebolehan merancang juga penting. Satu kebaikannya ialah jimat masa dan satu lagi jimat wang. Yang penting, seawal pergi membeli bahan mentah di pasar, kita mesti merancang dulu apa yang kita nak masak sekurang-kurangnya untuk seminggu supaya tak ada sayur yang layu di peti ais atau ikan yang terbiar beku berminggu-minggu...
Ada juga bahan mentah yang boleh dibahagikan kepada beberapa kali memasak. Contohnya seekor ayam, boleh dimasak 3 kali. Kalau nak mudah, seawal membersihkan ayam, bahagikan kepada 3 bekas menyimpan... kan senang bila nak digunakan nanti.
Ada pulak masakan yang boleh dipelbagaikan setelah dimasak kali pertama. Contohnya nasi ayam. Masak nasinya lebih sedikit untuk tengahari. Ayam yang diperap pula jangan digoreng kesemuanya. Simpan sedikit untuk dibuat nasi goreng ayam untuk hidangan malam..
Anak-anak memang suka kepelbagaian macam ni.

Dalam edisi nasi goreng yang lepas, K.An pernah sebutkan nasi goreng ayam paling sedap yang pernah K.An rasa, masih lagi di seksyen 14 P.Jaya. Cuma dah lama tak ke sana, K.An pun tak pasti wujud lagi ke tempat tu yek...?
Tapi nak cuba resepi K.An ni pun boleh juga...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1 mangkuk nasi ayam (lebihkan kalau nak tambah)

1/2 ekor ayam yang telah diperap dengan kicap dan sup

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dimayang

1 sudu besar kicap perapan ayam

2 sudu besar sos nasi ayam

1 sudu teh sos tiram

sayur campur (jagung, kacang peas, karot)-secukupnya

1 biji telur

1/4 cawan isi ayam dipotong kecil-kecil

3 ekor udang harimau

1 mangkuk sup

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan isi ayam. Gorengkan seketika. Kemudian, terus masukkan bawang merah dan putih dan tumis hingga wangi.

2. Masukkan sos, kicap dan sos tiram. Kacau sebentar. Masukkan sayur campur, udang dan 1/4 cawan sup ayam. Pecahkan telur.

3. Masukkan nasi dan gaul hingga sebati. Tambahkan garam jika perlu. Jika telah cukup rasa, tutup api dan hidangkan bersama ayam, sos, ulaman dan sup.

***Gorengkan ayam yang telah diperap dan potong ikut citarasa. Hidangkan bersama nasi

Tuesday, April 21, 2009

Nasi Goreng USA

Tak perlu naik kapalterbang, tapi boleh makan Nasi Goreng Amerika kat mana-mana di Malaysia... hebat kan..? Yang menyediakannya, Restoran Siam tapi nama USA... siapa yang cipta agaknya...?
K.An pun tak tahu.. yang tahu makan dan sedap... Tapi AWAS.. tak semua yang sedap!! Pernah sekali tu, K.An dan Abang Azam pesan Nasi Goreng USA kat satu Restoran di Shah Alam.. Alamak..!! nasi dia warna pink-pink.. bau dia bau sirap dan rasanya... aduuuh. Kenapa la tukang masak ni buat macam ni. Cuba dia rasa.. sedap ke...?

Kali pertama makan nasi goreng Usa yang sedap ialah di Zai Seafood di Bandar Sg.Buloh. (sekarang ada cawangan di kawasan jalan lama Hospital Sg Buloh). Sampai sekarang rasanya tetap sama.. 'Tauke'nya tetap sama (dah bertambah anak) dan suasananya masih sama macam 10 tahun lepas. Kalau nak makan sup sayur pun sedap kat sini.. bukan sayur sahaja yang ada, tapi macam-macam ada. Tak kedekut langsung.

Punya sedap Nasi Goreng USA kat sini, hingga satu ketika di bulan puasa... kami anak beranak, berbuka di sana dengan 3 pinggan nasi Goreng USA. (K.An satu, Abang Azam satu, Iqbal satu).. Asma' kecik lagi masa tu, yang lain belum ada.. Puas hati betuuul..
Macam biasa, bila makan yang sedap, K.An akan jadikan kayu ukur untuk resepi yang K.An reka. Selagi tak dapat rasa yang sama, K.An takkan copkan LULUS.

Disebabkan dah bertahun makan nasi Goreng USA.. rasanya pun dah sebati dan stabil.. jadi ekslusif untuk peminat periuktanah, inilah resepi Nasi Goreng USA.


Bahan-bahan Nasi Goreng: (menghasilkan 3 pinggan nasi)

1 mangkuk nasi sejuk

2 ulas bawang merah ditumbuk kasar

2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

2 helai daun sawi dipotong kecil

sedikit karot dihiris halus

sedikit bunga kobis dipotong kecil

1 ekor sotong sederhana besar dihiris kecil-kecil

sedikit daging dihiris kecil

1 sudu teh sos tiram

2 sudu besar kicap manis

2 sudu besar cili kisar

3 biji cili padi akar diketuk

1 biji cili merah dihiris nipis

1/4 biji bawang besar holland dihiris bujur

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Gunakan api sederhana. Masukkan bawang merah, bawang putih, bawang besar, cili merah dan cili padi. Tumis hingga wangi. Masukkan cili kisar. Tumis 1 minit.

2. Masukkan daging dan sotong. Kacau 1 minit. Masukkan sawi, sos tiram dan kicap.Masukkan sedikit garam. Masukkan karot dan bunga kobis. Kacau seketika.

3. Masukkan nasi yang telah dileraikan. Gaul rata.Tambahkan kicap jika suka lebih gelap.

4.Tutup api. Goreng telur mata kerbau di kuali berasingan. Hidang nasi bersama daging merah dan telur mata kerbau. *** resepi daging merah dalam -lauk-pauk-daging

Monday, March 2, 2009

Nasi Goreng Ikan Masin

Aromanya memang menusuk hidung ketika digoreng....Lepas menggoreng pulak habis satu rumah kena sembur pewangi.. kalau tidak berduyun-duyun le lalat datang menjengah, nak tumpang jamu selera juga.
Itu istimewanya nasi goreng ikan masin.. kalau tak tahan dengan baunya.. tak payahle susah-susah masak..

Bahan-bahan: (hidangan 3 pinggan)

2 cawan nasi putih sejuk
1/2 cawan isi ayam dipotong dadu
2 potong ikan masin tenggiri
2 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
3 tangkai cili padi diketuk (tambah kalau suka pedas)
1 tangkai cili merah dihiris serong
1 tangkai kailan dipotong 1 sm panjang (Batangnya dihiris nipis)
sedikit lobak merah dihiris halus
2 biji telur
sedikit garam jika perlu, serbuk lada putih secukupnya dan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng ikan masin hingga separa garing. Angkat dan hancurkan. Ketepikan dulu.
2. Dalam kuali yang sama goreng isi ayam hingga kekuningan dan wangi. Masukkan bawang, cili padi dan cili merah. Tumis hingga wangi.
3. Masukkan 1/4 cawan air rebusan ayam/ kulit udang. Masukkan kailan dan karot. Kacau seketika. Masukkan telur. Kacau sedikit dan terus masukkan nasi.
4. Gaul hingga sekata. Masukkan ikan masin yang telah dihancurkan tadi. Gaul dan rasa. Tambahkan serbuk lada dan garam jika perlu.
5. Kacau nasi hingga sebati dan garing. Tutup api dan sedia dinikmati.

Saturday, December 27, 2008

Nasi Goreng Kunyit Ibuku

Nasi goreng ni panjang sejarahnya, tapi dipendekkan cerita, inilah nasi goreng yang paling ringkas boleh dibuat masa kami kecik-kecik dulu dengan keadaan serba kekurangan. Kampung K.An tak ada bekalan elektrik hinggalah ke tahun akhir 80-an dan jalan berturap hingga ke tahun 90-an. Tak tahulah kenapa sedangkan negara kita masa tu dah lama merdeka. Peti ais tak ada, jadi lauk-pauk kena beli setiap hari. Nasi goreng kunyit ni dibuat menggunakan bahan yang sentiasa ada di rumah dan tahan lama. Sayur pun, kalau ada yang dipetik dari bendang di belakang rumah.


Bahan-bahan: (Hidangan untuk 2 orang)

1 mangkuk nasi

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris

1/2 cawan ikan bilis digoreng garing -simpan minyaknya untuk menumis

1 tangkai cili kering dipotong 1 sm

1 biji telur

sedikit serbuk kunyit

garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Masukkan 3 sudu besar minyak (bekas menggoreng ikan bilis) ke dalam kuali

2. Tumis bawang hingga wangi. Masukkan 1/4 sudu teh serbuk kunyit. Tambah sedikit air.

3. Masukkan cili kering dan telur. Kacau rata. Masukkan garam dan nasi.

4. Masukkan ikan bilis goreng tadi dan gaul rata dengan nasi. Sedia dihidang bersama kicap pedas dan sambal belacan. Walaupun ringkas, tapi tetap menyelerakan.

Friday, November 28, 2008

Elakkan pembaziran..Nasi Goreng Periuk Tanah

Dengan semangkuk nasi sejuk, boleh jadi hidangan yang sedap kalau rajin pelbagaikan bahan memasak. Kat Malaysia ni macam-macam nasi goreng ada. Bubuh itu,ini... taruk nama jadila resepi baru.

Dah umur macam K.An ni berpuluh jenis nasi goreng yang K.An dah rasa.. Yang sedap ada, yang tak sedap mestilah ada juga... he..heh. Antara kegemaran K.An, Nasi goreng Cina, Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Kunyit mak K.An, Nasi Goreng Ladna (sbb banyak sayur) Nasi Goreng USA (terutama kat Zai Tomyam) dan Nasi Goreng Pattaya. (Dah selalu buat sendiri untuk keluarga kat rumah).

Yang penting jangan takut mencuba... Kurang pedas, makan dengan sambal belacan, kurang masin tambahle garam atau kicap.. tak siapa marah.

Yang ni pulak K.An reka je sebab perut dah lapar, 'baby' Maryam meragam, apa yang ada, campak je... jadilah Nasi Goreng Periuk Tanah.
Tengokla gambar 'Aisyah makan tu. Kejap-kejap tambah.." cedap umi, aicah ngke (suka) ummi.. aicah nak tambah agi.."

Bahan-bahan:
2 mangkuk nasi putih (sejuk boleh, tak sejuk pun boleh..)
3 ulas bawang merah ditumbuk kasar
2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
2 sudu besar ikan bilis kopek - direndam air panas sekejap dan tumbuk halus
2 sudu besar sambal ikan bilis (baki buat nasi lemak semalam, simpan dalam peti ais)
sedikit sayuran, sawi, karot, kobis, bunga kobis dihiris halus
3 biji telur
3 sudu besar kicap manis (Tambah kalau suka warna lebih gelap)
Cara-cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang yang ditumbuk dan ikan bilis hingga wangi.
2. Masukkan sambal ikan bilis, sedikit air dan sayur-sayuran. Goreng hingga sayur layu.
3. Masukkan garam, kicap dan sebiji telur. Kacau rata. Masukkan nasi. Kacau lagi.
4. Tambahkan kicap lagi kalau suka. Gaul nasi hingga warna dan nasi masak sekata. Tutup api dan ketepikan dulu.
5.Panaskan kuali lain dan masukkan sedikit minyak. Pecahkan dua biji telur di dalam mangkuk dan campur sedikit garam. Pukul dengan garpu.
6. Tuangkan telur ke dalam kuali dan kacau hingga jadi 'scrambled egg'
7. Angkat dan hidang bersama nasi goreng Periuk Tanah....



LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin