Hari ini genap 29 hari baby Munirah meninggalkan kita semua (ketika entry ini di post).... namun masih terasa baru semalam berlalu. Hanya orang yang pernah melalui apa yang kami lalui memahami situasi kini... alhamdulillah semenjak 1 April, Allah kurniakan kekuatan dan keimanan dalam menghadapi ujian ini. Tiada kata-kata yang tepat dapat menggambarkan perasaan K.An yang berada di samping arwah hampir 24 jam sehari selama 8 bulan selepas melahirkan. Setiap gerak-geri, senyuman, suara, keletah, semuanya jelas di pandangan mata. Tambahan pula dia ni adalah yang paling rapat berbanding kakak-kakak yang lain. Manjanya pun lebih sebab Munirah paling mudah dijaga, paling comel, tak banyak kerenah, tidur malam lena dan tak pernah demam (kecuali demam kejap lepas suntikan imunisasi).
Di usia 8 bulan Munirah dah pandai panggil 'Mek' (pelat untuk mak) sebut mammamaaam... dan paling suka tengok Upin-Ipin.. bila dia nangis cari ummi, 'Aisyah dan Maryam akan nyanyi lagu Tepuk amai-amai.... dia pun senyum balik.. Munirah cukup suka tengok K.An masak sebab K.An akan dukung dia sambil kacau masakan. Dia tengok macam fahaaam je...
makan bersama di hari jadi kakak 'Aisyah
Munirah memang suka tidur bila dah kenyang makan atau minum susu... tu sebab, badannya semangat dan montel. Semua orang yang tengok dia, semua geram nak gomol2 sekali... Namun, kerana sayangnya kita kepadanyalah, maka Allah ambil Munirah lebih awal. di ketika Munirah suci daripada dosa dan sentiasa berada di ingatan semua. Ingatan yang indah sahaja. Datangnya mudah dan perginya juga mudah... Batuk-selsema dan jangkitan kuman pada paru-paru arwah hanyalah untuk dijadikan sebab pemergiannya.. Yang pasti, setakat itulah sahaja masa yang Allah beri untuk kami bersamanya. Alhamdulillah setiap detik telah dimanfaatkan....Sehingga hari ini, 'Aisyah dan Maryam setiap hari bertanyakan Munirah. Rindunya tak terkata. Walaupun tahu baby dah meninggal tapi Yam selalu tanya, "siapa nak jaga Munirah, siapa nak bagi makan, siapa nak mandikan...." K.An akan kata, Allah jaga baby laaagi elok.. Yam jangan risau ye..Bila tengok Upin-Ipin, Yam akan tanya pulak kat mana Munirah nak tengok Upin-Ipin?... kesiaaan Munirah, katanya...
'Aisyah pulak selalu tanya, "bila kita nak pergi syurga jumpa Munirah..? Hari ni ke..? Kenapa lambat sangat nak jumpa baby? Itulah cabaran paling besar.. yang dewasa, mudah diterangkan, tapi yang kecik ni, memang kena layan tiap-tiap hari soalan yang sama.. tak tahulah sampai bila baru mereka ni boleh terima..
Bagi K.An, memang ketentuan Allah ke atas segalanya penuh dengan hikmah. Sungguh ramai kawan-kawan, kenalan, rakan blogger, sahabat-handai yang mengucapkan takziah, datang ziarah dan menghulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk termasuk sokongan moral. Banyak kelegaan di hati apabila mendengar kisah dugaan yang sama beratnya malah ada yang lebih berat yang sebahagian mereka lalui. Memang benar, "tidak Allah bebankan ke atas kita dugaan yang tak mampu kita tanggung". Sama-samalah kita bersabar dan semoga dengan kesabaran itu meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah.
perjalanan terakhir Munirah ke syurga abadi di hari Jumaat diiringi hujan gerimis
InsyaAllah, bermula bulan Mei ini, K.An akan teruskan berkongsi pelbagai resepi yang K.An dah buat, untuk dimanfaatkan bersama. Moga ianya juga menjadi bekalan di akhirat nanti kerana apabila terputusnya nyawa daripada jasad kita, yang mengiringi kita ke akhirat hanyalah, pahala sedekah jariah, anak yang soleh yang mendoakan ibubapanya dan ilmu yang dimanfaatkan... Persiapkanlah diri kita secukupnya untuk ke syurga abadi dan sentiasalah memohon Rahmat daripada Allah SWT kerana dengan Rahmatnyalah kita akan berbahagia di akhirat yang kekal abadi.