Friday, April 29, 2011

Perjalanan pasti diteruskan...

Assalamualaikum warahmatullah..

Hari ini genap 29 hari baby Munirah meninggalkan kita semua (ketika entry ini di post).... namun masih terasa baru semalam berlalu. Hanya orang yang pernah melalui apa yang kami lalui memahami situasi kini... alhamdulillah semenjak 1 April, Allah kurniakan kekuatan dan keimanan dalam menghadapi ujian ini. Tiada kata-kata yang tepat dapat menggambarkan perasaan K.An yang berada di samping arwah hampir 24 jam sehari selama 8 bulan selepas melahirkan. Setiap gerak-geri, senyuman, suara, keletah, semuanya jelas di pandangan mata. Tambahan pula dia ni adalah yang paling rapat berbanding kakak-kakak yang lain. Manjanya pun lebih sebab Munirah paling mudah dijaga, paling comel, tak banyak kerenah, tidur malam lena dan tak pernah demam (kecuali demam kejap lepas suntikan imunisasi).
 Di usia 8 bulan Munirah dah pandai panggil 'Mek' (pelat untuk mak) sebut mammamaaam... dan paling suka tengok Upin-Ipin.. bila dia nangis cari ummi, 'Aisyah dan Maryam akan nyanyi lagu Tepuk amai-amai.... dia pun senyum balik.. Munirah cukup suka tengok K.An masak sebab K.An akan dukung dia sambil kacau masakan. Dia tengok macam fahaaam je...



makan bersama di hari jadi kakak 'Aisyah
Munirah memang suka tidur bila dah kenyang makan atau minum susu... tu sebab, badannya semangat dan montel. Semua orang yang tengok dia, semua geram nak gomol2 sekali... Namun, kerana sayangnya kita kepadanyalah, maka Allah ambil Munirah lebih awal. di ketika Munirah suci daripada dosa dan sentiasa berada di ingatan semua. Ingatan yang indah sahaja. Datangnya mudah dan perginya juga mudah... Batuk-selsema dan jangkitan kuman pada paru-paru arwah hanyalah untuk dijadikan sebab pemergiannya.. Yang pasti, setakat itulah sahaja masa yang Allah beri untuk kami bersamanya. Alhamdulillah setiap detik telah dimanfaatkan....

Sehingga hari ini, 'Aisyah dan Maryam setiap hari bertanyakan Munirah. Rindunya tak terkata. Walaupun  tahu baby dah meninggal tapi Yam selalu tanya, "siapa nak jaga Munirah, siapa nak bagi makan, siapa nak mandikan...." K.An akan kata, Allah jaga baby laaagi elok.. Yam jangan risau ye..Bila tengok Upin-Ipin, Yam akan tanya pulak kat mana Munirah nak tengok Upin-Ipin?... kesiaaan Munirah, katanya...
 'Aisyah pulak selalu tanya, "bila kita nak pergi syurga jumpa Munirah..? Hari ni ke..? Kenapa lambat sangat nak jumpa baby? Itulah cabaran paling besar.. yang dewasa, mudah diterangkan, tapi yang kecik ni, memang kena layan tiap-tiap hari soalan yang sama.. tak tahulah sampai bila baru mereka ni boleh terima..

Bagi K.An, memang ketentuan Allah ke atas segalanya penuh dengan hikmah. Sungguh ramai kawan-kawan, kenalan, rakan blogger, sahabat-handai yang mengucapkan takziah, datang ziarah dan menghulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk termasuk sokongan moral. Banyak kelegaan di hati apabila mendengar kisah dugaan yang sama beratnya malah ada yang lebih berat yang sebahagian mereka lalui. Memang benar, "tidak Allah bebankan ke atas kita dugaan yang tak mampu kita tanggung". Sama-samalah kita bersabar dan semoga dengan kesabaran itu meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah.

perjalanan terakhir Munirah ke syurga abadi di hari Jumaat diiringi hujan gerimis

InsyaAllah, bermula bulan Mei ini, K.An akan teruskan berkongsi pelbagai resepi yang K.An dah buat, untuk dimanfaatkan bersama. Moga ianya  juga menjadi bekalan di akhirat nanti kerana apabila terputusnya nyawa daripada jasad kita, yang mengiringi kita ke akhirat hanyalah, pahala sedekah jariah, anak yang soleh yang mendoakan ibubapanya dan ilmu yang dimanfaatkan... Persiapkanlah diri kita secukupnya untuk ke syurga abadi dan sentiasalah memohon Rahmat daripada Allah SWT kerana dengan Rahmatnyalah kita akan berbahagia di akhirat yang kekal abadi.

Monday, April 4, 2011

Takdir Ilahi

Dengan Nama  Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

Mafhum Surah Al-Hadiid Ayat 1-3

Ya Allah, kurniakanlah kami ketabahan dan ketetapan iman dalam menghadapi dugaan maha besar ini. Terasa kerdil diri ini berbanding Kekuasaanmu Ya Allah...
Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah meminjamkan seorang puteri bernama Munirah Huda binti Nor Azam yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat- 27 Rabi'ulAkhir 1432 Hijrah bersamaan 1 April 2011 Masihi. Syukur alhamdulillah kerana memberi peluang kami mengandungkan, melahirkan, menyusukan, mendodoikan, mendakapnya, menyayanginya dan membesarkannya dengan sekadar kemampuan kami. Syukur jua atas keizinanMu dapat kami menyucikannya dan memakaikannya pakaian hingga ke saat akhirnya di dunia ini. Tempoh 8 bulan Munirah bersama kami telah meninggalkan kenangan teramat indah, yang tidak dapat ditukar ganti dan bakal terpahat sepanjang kehidupan kami. Bukan sahaja kehadirannya memberi sinar kepada ibu, ayah, abang dan kakak-kakaknya, malahan Munirah sentiasa menjadi buah hati sesiapa sahaja yang melihat dan memangkunya.

Ya Allah Ya Rahmaan Ya Rahiim..
Kami redha dengan KetentuanMU Ya Allah... Walau sejuta ayat kami ukirkan menggambarkan kecintaan kami kepada almarhumah Munirah Huda, tidak terbanding tingginya CintaMu terhadapnya. "Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala Urusan"  Mafhum Surah Al-Haddid ayat 5

Ya Allah, Wahai Tuhan kami, ke atasMu kami berserah dan kepadaMu kami bertaubat dan kepadaMu tempat kami kembali.
Izinkanlah kami terus menyayangi almarhumah Munirah Huda, menatap gambarnya, merinduinya dan menitiskan airmata kerana mengenangkannya kerana sesungguhnya kami ini hambamu yang lemah lagi tidak berdaya...

Ya Allah, jadikanlah dia sebagai orang yang mendahului (ibu bapanya ke syurga), khazanah, pengajaran dan pemberi syafaat kepada kami. Beratkanlah dengannya timbangan amalan kebaikan kami. Limpahkanlah ke sabaran ke dalam hati kami. Janganlah Engkau jadikan fitnah kepada kami selepas kematiannya dan janganlah Engkau menahan pahalanya daripada dinikmati oleh kami Ya Allah.

Dunia ini dan segala apa yang berada di dalamnya adalah pinjaman. Kehidupan kita seumpama sebuah kapal yang singgah di pelabuhan sementara tiba ke destinasi yang kekal abadi.

" Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan) maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dkemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan. (Al-A'raaf:34)

Walau mampu mengukir senyuman di bibir, hanya Allah yang Maha Mengetahui kehibaan dan kesedihan yang kami rasai... Terima kasih kami ucapkan kepada semua yang hadir membantu menyelesaikan urusan jenazah, para doktor dan kakitangan Klinik Lita Alis, Klinik Kesihatan Putrajaya, hospital Putrajaya yang merawat almarhumah, saudara-mara, rakan taulan, jiran tetangga...yang tak dapat kami sebutkan satu persatu, semua yang terus datang memberi sokongan, hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian semua. Ampun dan maaf jika ada kami tidak sempat menyapa kalian ketika itu...

Izinkan kami berehat seketika dan menerima hakikat pemergian insan tersayang...

Al-Fatihah.

Friday, April 1, 2011

Doakan Baby Munirah Huda.....

Kepada semua, K.An mohon pertolongan, doakan baby kami, Munirah Huda yang telah dimasukkan ke ICU Hospital Putrajaya tengahari semalam kerana pneumonia. Semasa entry ini ditulis, airmata k.An masih berlinangan.. sedih dan pilu sangat melihat keadaan dia.. Sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah moga diberi kesembuhan kepada Munirah. Tolong bacakan Surah Yaasin dan Surah Al-Hadid.. moga diberi keberkatan Allah.