Wednesday, April 29, 2009

Bingka Ubi Kayu (Bengkang)

Walaupun berlambak-lambak kuih-muih moden yang dirasa, kuih tradisional tetap jadi pilihan K.An. Bukan sahaja rasanya yang enak, tetapi terdetik di hati, kalau bukan kita yang memeliharanya, siapa lagi...?

Kuih bengkang ni (kata orang 'utagha') kalau dah mula makan... boleh habis satu loyang sekali ngap je.. Bila buat kuih ni, K.An selalu teringat Mak Njang kami yang sukaaa sangat bingka ubi kayu ni.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang- loyang 4 persegi besar)

4 cawan ubi kayu siap diparut
1 cawan gula pasir
1 sudu teh garam
2 cawan santan pekat daripada 1 biji kelapa

setitik dua pewarna kuning telur



Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata. Tambah 1 sudu besar gula lagi jika ingin lebih manis.

2. Panaskan loyang pada suhu 190 darjah api atas dan bawah. Lengserkan loyang dengan margerin.

3. Masukkan adunan ke dalam loyang. Ratakan. Letak di rak paling bawah dalam oven. Bakar hingga masak selama 1 - 1 1/2 jam. Keluarkan daripada oven bila bingka keperangan di bahagian atasnya.

4. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Tuesday, April 28, 2009

Kegemaran baru sekeluarga..

Cukuplah gambar-gambar ni menceritakan kesungguhan Maryam dan 'Aisyah menikmati donut kegemaran mereka


K.An suka yang ada krim durian. 2 ketul baru cukup. Asma'dan sarah suka yang ada 'almond' tu. Abang Azam pulak suka teh hijau. Iqbal...semua makan...

'Aisyah suka yang 'pink' semua. Luar pink, kat dalam pun ada krim strawberi lagi. Gambar tak ada sebab 'Aisyah tak sabar-sabar nak makan. Namanya pink twister.





Maryam tak kisah asal ada krim boleh colek dengan jari, pastu masuk mulut ke... pipi ke...

Monday, April 27, 2009

Ayam Goreng Kicap

Bahan-bahan ayam goreng kicap ni sama dengan ayam masak kicap, cuma yang berbeza, yang ini kita gunakan isi ayam di bahagian dada dan dipotong kecil-kecil.

Gaul dengan garam-kunyit, Panaskan 3 sudu besar minyak masak, dan goreng isi ayam hingga kekuningan. Jangan angkat tapi terus masukkan bahan tumisan (seperti resepi ayam masak kicap- rujuk resepi lepas) dan ikutlah proses seterusnya hingga selesai.

Masakan ni sesuai untuk ibu-ibu yang nak makan sikit je untuk 2,3 mulut dan sesuai juga dimasak untuk makan malam yang tak payah guna bahan banyak-banyak...

Sunday, April 26, 2009

Nasi Goreng Ayam

Memasak- bukan sekadar memasak tetapi kebolehan merancang juga penting. Satu kebaikannya ialah jimat masa dan satu lagi jimat wang. Yang penting, seawal pergi membeli bahan mentah di pasar, kita mesti merancang dulu apa yang kita nak masak sekurang-kurangnya untuk seminggu supaya tak ada sayur yang layu di peti ais atau ikan yang terbiar beku berminggu-minggu...
Ada juga bahan mentah yang boleh dibahagikan kepada beberapa kali memasak. Contohnya seekor ayam, boleh dimasak 3 kali. Kalau nak mudah, seawal membersihkan ayam, bahagikan kepada 3 bekas menyimpan... kan senang bila nak digunakan nanti.
Ada pulak masakan yang boleh dipelbagaikan setelah dimasak kali pertama. Contohnya nasi ayam. Masak nasinya lebih sedikit untuk tengahari. Ayam yang diperap pula jangan digoreng kesemuanya. Simpan sedikit untuk dibuat nasi goreng ayam untuk hidangan malam..
Anak-anak memang suka kepelbagaian macam ni.

Dalam edisi nasi goreng yang lepas, K.An pernah sebutkan nasi goreng ayam paling sedap yang pernah K.An rasa, masih lagi di seksyen 14 P.Jaya. Cuma dah lama tak ke sana, K.An pun tak pasti wujud lagi ke tempat tu yek...?
Tapi nak cuba resepi K.An ni pun boleh juga...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1 mangkuk nasi ayam (lebihkan kalau nak tambah)

1/2 ekor ayam yang telah diperap dengan kicap dan sup

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dimayang

1 sudu besar kicap perapan ayam

2 sudu besar sos nasi ayam

1 sudu teh sos tiram

sayur campur (jagung, kacang peas, karot)-secukupnya

1 biji telur

1/4 cawan isi ayam dipotong kecil-kecil

3 ekor udang harimau

1 mangkuk sup

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan isi ayam. Gorengkan seketika. Kemudian, terus masukkan bawang merah dan putih dan tumis hingga wangi.

2. Masukkan sos, kicap dan sos tiram. Kacau sebentar. Masukkan sayur campur, udang dan 1/4 cawan sup ayam. Pecahkan telur.

3. Masukkan nasi dan gaul hingga sebati. Tambahkan garam jika perlu. Jika telah cukup rasa, tutup api dan hidangkan bersama ayam, sos, ulaman dan sup.

***Gorengkan ayam yang telah diperap dan potong ikut citarasa. Hidangkan bersama nasi

Kuih Ketuk Ubi

Hari ni, K.An tulis resepi dulu... kalau ada kelapangan, baru tulis ceritanya..

Bahan-bahan: (menghasilkan 20 biji ketuk ubi)

450gm ubi kayu- potong 2 inci panjang, kupas kulit, dan rebus hingga empuk (belah dua jika ubi tebal dan besar)
1 1/2 cawan kelapa parut putih
1/2 cawan gula pasir
1 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Toskan ubi kayu yang telah direbus tadi. Buang uratnya dan lecek halus. Ketepikan.

2. Campurkan kelapa parut dengan garam dan gula. gaul rata. Masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan ubi yang telah dilecek dan gaul dengan campuran kelapa hingga sebati.

3.Gunakan tangan untuk mengepal campuran ubi menjadi bulat sebesar bola ping-pong. Buat hingga habis. Ketepikan dulu atau simpan dalam peti ais.

Bahan tepung untuk menggoreng:

4 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung goreng pisang Adabi
1 sudu besar tepung beras
sedikit garam

*** bancuh tepung dengan air secukupnya. Adunan agak pekat sedikit daripada adunan ketayap. (K.An lupa nak sukat..maaf ye).

Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan bebola ubi ke dalam bancuhan tepung. Goreng seperti pisang goreng hingga keperangan.

*** bebola ubi boleh tahan lama jika disimpan di tempat beku dan keluarkan bila hendak digoreng.

Saturday, April 25, 2009

Pengat Keledek

Semakin hari semakin ramai yang tidak mengenali apa itu pengat, apa itu cucur, apa itu lepat. Anak-anak semakin mengenali donut, kek coklat dan mafin.. Tak salah, sebab K.An pun suka kuih-kuih moden ni.. Tapi.. yang lama dilupa jangan... Terbukti masa K.An bawak pengat ni ke rumah abang ipar.. anak dia tanya..Apa ni..? Haa... nilah pengat keledek. Rasa, jangan tak rasa.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

300 gm keledek -kupas kulit dan potong dadu, saiznya besar sedikit daripada inti karipap
2 cawan santan sederhana pekat
1 sudu besar sagu biji- rendam dalam 1/4 cawan air
1/2 cawan air gula melaka
gula pasir secukupnya
secubit garam
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpul

Cara membuatnya:

1. Rebus keledek hingga empuk. Toskan.
2. Masukkan santan, air gula melaka, daun pandan dan keledek ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana besar. Apabila mendidih, kecilkan api. Masukkan sagu, garam dan gula pasir secukupnya. Kacau sentiasa sehingga sagu jernih kesemuanya. Tutup api dan sedia dihidang panas atau sejuk.

Friday, April 24, 2009

Asam Pedas Ikan Pari

Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan, Banyak Pengalaman...
Betapa indahnya ungkapan orang tua-tua dulu, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Walau ke mana kita pergi, bawalah diri sebaik mungkin dan kutiplah sebanyak mungkin pengalaman dan seindah mungkin kenangan...

Kenapa K.An kata begitu..? Sehingga ke hari ini dalam usia perkahwinan kami menjejak usia 15 tahun, dah 7 kali kami berpindah rumah. Kahwin dengan cikgu, tapi pindahnya mcam askar dulu-dulu. Bila sebut pindah, memang ralat pada mulanya, tapi disebabkan dah diajar ibubapa agar jadi isteri yang taat, maka K.An ikut je. Selalunya memang K.An akan buat yang terbaik agar anak-anak selesa dengan tempat baru, cepat dapat kawan dan mudah bergaul dengan jiran-jiran. Alhamdulillah setakat ni, selalunya sebulan pindah dah boleh sesuaikan diri dengan keadaan.
Hikmah berpindah-randah nilah juga menjadikan kemahiran memasak K.An bertambah. Asalnya tak tahu nak masak asam pedas Melaka atau Negeri Sembilan ni, tapi dah bergaul dengan ramai orang, pandai juga akhirnya.
Nak tau kesedapan asam pedas, bermula daripada proses menumisnya. Kalau baunya ghau...ghau... mmmph.. tandanya sedap le tu. Masa kami di SBPI Rawang, dapur rumah kami mengadap kantin sekolah dan setiap kali Pak Rabu (tauke kantin) masak asam pedas, baunya sampai ke rumah kami... Kalau teringin, K.An pun tumpang tapau seekor, dua ikan kembung. Memang sedap asam pedas Pak Rabu.

Dah selalu cium bau, maka K.An pun dah pandai buat asam pedas yang sedap, berpandukan resepi dalam majalah dan bau yang selalu K.An hidu dari dapur Pak Rabu.


Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

300 gm ikan pari- potong kecil

5 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dikisar halus bersama

1 sudu teh belacan siap dibakar

1 keping asam keping

1 cawan air asam jawa cair

1/2 cawan cili kisar

2 biji cili padi ditumbuk - jika suka pedas

5 batang kacang bendi dibuang tampuknya

daun kesum secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis, bahan dikisar hingga berbau wangi..(bau belacan).. anggaran 3 minit.

2. Masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa, asam keping dn ikan. Didihkan.

3. Masukkan kacang bendi, garam dan gula secukup rasa. Tambahkan air lagi untuk kuah yang banyk. Masukkan daun kesum dan biar mendidih hingga kacang bendi lembut. Tutup api dan sedia dihidang.

Maggie Sup

Jam dah menunjukkan pukul 10.00 malam. Mata tak mengantuk.. perut pulak terasa lapar. Ada bekalan mee segera..? Apa lagi, jom kita masak maggie sup.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

2 bungkus mee segera perisa kari

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

4 sudu besar sos cili

1 biji tomato dibelah 6

1 bungkus rempah mee perisa kari

1 biji telur

sedikit sayuran seperti kobis dan seleri

daun sup/bawang secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan 4 cawan air. Didihkan.

2 Masukkan sos cili, sayuran, tomato, rempah maggie dan didihkan lagi. Pecahkan telur dan masukkan mee segera. Gaul rata. Bila mee nampak lembut, tutup api dan tuang ke dalam mangkuk.

3. Taburkan daun sup semasa menghidang.

Thursday, April 23, 2009

Kuih Qasidah Cikgu Siti Zainab

Bersempena kunjungan Ibu dan Bapa mertua ke sini 2 minggu lepas, sempat mak mertua K.An (Cikgu Siti Zainab) berkongsi resepi kuih kegemarannya ni; Kuih Qasidah. Kuih ni kuih tradisi orang Kedah. Kali pertama tengok kuih ni dalam satu rancangan masak-masak sempena bulan puasa tahun 2006 (kalau tak silap) Pengacaranya pelakon Rozie Othman yang memaparkan resepi lauk-pauk dan kuih-muih tradisonal pelbagai negeri. Ketika berkunjung ke Kedah kuih nilah yang dipaparkan.
Pada mulanya rasa agak janggal bila tengok kuih manis dipadankan dengan bawang goreng... tapi katanya sedap. Kebetulan, beberapa bulan selepas tu, mak mertua K.An buat kuih ni untuk kenduri keluarga... Tak seperti yang disangka, sedap juga. Sesuai pulak bawang goreng dengan kuih ni. Malahan, bawang tulah yang menyedapkan Kuih Qasidah.

Bahan-bahan: (satu loyang- hidangan untuk 10 orang)

1 cawan tepung gandum
3 cawan air
7 sudu besar gula pasir
1/4 sudu teh garam (sedikit je)
1 sudu teh air kapur- cair

Bahan untuk ditabur:
5 ulas bawang merah ros, dihiris nipis
Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kecuali bawang ke dalam periuk. Gunakan api perlahan.

2. Kacau sentiasa adunan di atas api sehingga adunan pekat dan berkilat.

3. Tuangkan ke dalam acuan atau loyang. Sejukkan 30 minit.

4. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng bawang hingga keperangan. Tuang bawang dan minyaknya sekali ke atas kuih yang telah disejukkan tadi. Masukkan ke dalam peti ais sebelum dipotong untuk dihidang.


Tuesday, April 21, 2009

Nasi Goreng USA

Tak perlu naik kapalterbang, tapi boleh makan Nasi Goreng Amerika kat mana-mana di Malaysia... hebat kan..? Yang menyediakannya, Restoran Siam tapi nama USA... siapa yang cipta agaknya...?
K.An pun tak tahu.. yang tahu makan dan sedap... Tapi AWAS.. tak semua yang sedap!! Pernah sekali tu, K.An dan Abang Azam pesan Nasi Goreng USA kat satu Restoran di Shah Alam.. Alamak..!! nasi dia warna pink-pink.. bau dia bau sirap dan rasanya... aduuuh. Kenapa la tukang masak ni buat macam ni. Cuba dia rasa.. sedap ke...?

Kali pertama makan nasi goreng Usa yang sedap ialah di Zai Seafood di Bandar Sg.Buloh. (sekarang ada cawangan di kawasan jalan lama Hospital Sg Buloh). Sampai sekarang rasanya tetap sama.. 'Tauke'nya tetap sama (dah bertambah anak) dan suasananya masih sama macam 10 tahun lepas. Kalau nak makan sup sayur pun sedap kat sini.. bukan sayur sahaja yang ada, tapi macam-macam ada. Tak kedekut langsung.

Punya sedap Nasi Goreng USA kat sini, hingga satu ketika di bulan puasa... kami anak beranak, berbuka di sana dengan 3 pinggan nasi Goreng USA. (K.An satu, Abang Azam satu, Iqbal satu).. Asma' kecik lagi masa tu, yang lain belum ada.. Puas hati betuuul..
Macam biasa, bila makan yang sedap, K.An akan jadikan kayu ukur untuk resepi yang K.An reka. Selagi tak dapat rasa yang sama, K.An takkan copkan LULUS.

Disebabkan dah bertahun makan nasi Goreng USA.. rasanya pun dah sebati dan stabil.. jadi ekslusif untuk peminat periuktanah, inilah resepi Nasi Goreng USA.


Bahan-bahan Nasi Goreng: (menghasilkan 3 pinggan nasi)

1 mangkuk nasi sejuk

2 ulas bawang merah ditumbuk kasar

2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

2 helai daun sawi dipotong kecil

sedikit karot dihiris halus

sedikit bunga kobis dipotong kecil

1 ekor sotong sederhana besar dihiris kecil-kecil

sedikit daging dihiris kecil

1 sudu teh sos tiram

2 sudu besar kicap manis

2 sudu besar cili kisar

3 biji cili padi akar diketuk

1 biji cili merah dihiris nipis

1/4 biji bawang besar holland dihiris bujur

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Gunakan api sederhana. Masukkan bawang merah, bawang putih, bawang besar, cili merah dan cili padi. Tumis hingga wangi. Masukkan cili kisar. Tumis 1 minit.

2. Masukkan daging dan sotong. Kacau 1 minit. Masukkan sawi, sos tiram dan kicap.Masukkan sedikit garam. Masukkan karot dan bunga kobis. Kacau seketika.

3. Masukkan nasi yang telah dileraikan. Gaul rata.Tambahkan kicap jika suka lebih gelap.

4.Tutup api. Goreng telur mata kerbau di kuali berasingan. Hidang nasi bersama daging merah dan telur mata kerbau. *** resepi daging merah dalam -lauk-pauk-daging

Sunday, April 19, 2009

Sendiri Punya Tomyam Campur

Selain Gulai Sembilang, satu lagi masakan yang suuuka sangat nak makan di kedai ialah tomyam. Kadang-kadang tu rasanya biasa je... maksudnya tak rugi kalau tak ulang la... tapi dah jadi tabiat agaknya... bila pergi restoran makanan Thai mesti nak pesan tomyam..

Banyak-banyak kedai dan restoran yang dah kami jamah hidangannya, tomyam yang paling 'best' masih lagi tomyam kat Vichudda. (satu kat Damansara Utama dan satu lagi kat Kuang). Siapa yang tak pernah rasa...silalah ke sana.. Memang sedaaaap. Masam cukup, manis ada, pedas ada... ringkasnya, memang tak puas semangkuk.

Yang lain tu, kadang-kadang, pergi minggu lepas, lain rasanya, pergi minggu ni lain pulak rasanya. Rupa tu dah ada tapi rasanya tak stabil...
Banyak kali juga K.An masak sendiri tomyam ni berpandukan pelbagai resepi dalam majalah dan tv, tapi masih tak dapat rasa Tomyam Vichudda... (apa resepi rahsia dia agaknya..?)

Tapi setakat nak jamu anak-beranak dan tetamu yang datang bolehlah rujuk resepi ni.. Nak yang 'asli' siam punya, kenalah berguru dengan tukang masak siam juga....heheh.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia (hujung jari kelingking)- diketuk
sedikit lengkuas- diketuk
2 batang serai-diketuk

3 biji cili padi akar- diketuk

1/2 labu bawang besar holland dihiris membujur

1/2 ketul kiub tomyam Knorr

sedikit isi ayam dan ketulan ayam bertulang

udang harimau banyaknya ikut suka

sedikit sotong dihiris kecil

1 1/2 biji tomato - 1/2 biji dikisar halus, satu lagi dibelah 4

***serba sedikit sayuran

cendawan tiram, bunga kobis, karot, seleri dihiris serong

daun limau purut- dicarik-carik

1 biji limau nipis diperah airnya

Cara membuatnya:

1. Tumbuk kasar bawang merah dan bawang putih. Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia, lengkuas hingga berbau wangi.

2. Masukkan 3 cawan air dan ayam. Didihkan. Masukkan tomato kisar, cili padi, kiub tomyam dan serai. Biar mendidih.

3. Masukkan karot, bawang besar, seleri, cendawan, tomato dan sotong. Akhir sekali masukkan udang, daun limau purut dan sayuran lain jika ada. Tambah garam dan sedikit gula.

4. Tutup api. Perahkan air limau nipis dan taburkan daun sup/bawang jika suka sebelum dihidang.

***Tambahkan cili padi jika suka lebih pedas dan tambahkan perahan limau jika suka lebih masam.

***Tomyam yang ditumis lebih harum baunya. Udang dan cendawan pula menambahkan keenakan tomyam.

***jika suka, boleh tambah daging dan ketam untuk lebih variasi rasa.

Siri Berjimat.. Roti Canai Telur

Pernah tak, 'terlebih' beli roti canai untuk sarapan, lepas tu tak habis dan terbiar keras sampai petang... lepas tu terpaksa 'dibakulsampahkan' sebab tak ada siapa nak makan.....?

Harapnya selepas ni, tak berlaku lagi kes macam tu, sebab ada cara penyelesaiannya.. Cara yang K.An akan kongsi ni bukan sahaja sesuai untuk terlebih roti canai tetapi sesuai juga bagi yang suka beli 'frozen' roti canai tapi malas nak buat kuahnya.

Resepi ni, adalah resepi ibu tercinta juga dan telah kami nikmati berpuluh tahun lamanya. Masa tu bukan untuk roti canai yang sejuk tapi memang mak K.An buat roti canai telur ni sebagai hidangan sarapan sekeluarga... hebat kan mak K.An... dia tebar paling kurang 10 keping roti canai untuk kami semua...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

3 keping roti canai
3-5 biji telur -(ikut saiz roti canai)
2-3 labu bawang besar (ikut saiz bawang) -lagi banyak bawang lagi sedap
1 biji cili merah dihiris nipis
garam secukup rasa
minyak secukupnya

Cara membuatnya:

1. Belah dua bawang besar dan kemudian hiris melintang nipis-nipis. Masukkan ke dalam mangkuk. Pecahkan kesemua telur dan masukkan sedikit garam. masukkan juga cili merah yang dihiris tadi. Kacau dengan garpu hingga berbuih dan sebati.

2. Panaskan kuali. Letakkan 1 sudu teh minyak masak. Gunakan api perlahan. Letakkan sekeping roti canai dan biar panas 1 minit.

3. Terbalikkan roti. Sapukan bancuhan telur hingga sekata. Terbalikkan roti supaya bancuhan telur masak. Sementara tu, sapukan bancuhan telur di bahagian kedua. Terbalikkan lagi dan biar masak. (lagi banyak telur dan bawang lagi sedap). Renjiskan minyak lagi jika perlu.

4. Setelah kedua-dua bahagian roti masak, bolehlah diangkat dan digunting empat persegi kecil sebelum dihidangkan.

Tuesday, April 14, 2009

Sandwich Sardin Spesel

Selain pinggan- mangkuk, kipas angin dan periuk belanga, antara hadiah perkahwinan yang popular ialah 'sandwich maker' dengan harapan pemberinya, si pengantin akan rajin menyediakan sarapan untuk suaminya nanti... Bagi yang rajin, berbaloilah hadiah tu. Tapi ada juga yang jadi hiasan kabinet dapur ataupun gajah putih je. Bagi K.An, kalau ada pembakar sandwich ni memang senang nak sedia sarapan enak.. cepat pulak tu.

Sandwich sardin ni sejarahnya kembali ke zaman sekolah rendah K.An. Dah lebih25 tahun lamanya. Masa tu K.An dalam Darjah 5... Guru Besar K.An masa tu arwah Cikgu Khalid (baru meninggal akhir tahun 2008) memang rapat dengan anak muridnya. Almaklum dia cuma ada 2 orang anak, jadi anak muridlah sebagai pengganti. Bila ada kelapangan, kami anak-anak murid yang rajin ni akan bertandang ke rumahnya. Seingat K.An kami naik bas ke Kampung Kedah ramai-ramai. Memang dia jamu betul bila kami datang.

Bermula daripada makan pagi, makan tengahari sampailah ke minum petang, macam-macam juadah disediakan isterinya. Memang kenyang sentiasa dibuatnya. Dalam satu kunjungan kami tu, isterinya jamu kami dengan sandwich sardin spesel ni untuk minum petang. Maklumlah kami ni orang kampung, tak pernah tengok benda, macam 'sandwich maker' tu... apa lagi mengadap le makcik ni menggunakan perlatan canggih ni... Jadinya, taule K.An macam mana nak membuatnya. Memang sedap dan 'spesel'.

Jadinya... kepada sesiapa yang memiliki 'gajah putih' yang rupanya seakan-akan boleh buat sandwich, bolehlah digunakan pagi ni atau petang ni...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)

8 keping roti sandwich

1 tin kecil sardin- asingkan ikan dan sosnya

1 labu bawang besar-dadu kecil

1 sudu besar cili kisar

1 biji cili merah- cincang kecil

1 biji telur

garam secukupnya

margerin secukupnya

Cara membuat inti sardin:

1. Panaskan 1-2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang besar dan cili merah hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Tumis seketika. Masukkan 1 sudu besar soso tomato dalam sardin. Kacau sebati. Masukkan ikan, sedikit garam dan sedikit gula. Gaul rata dan tutup api.

3. Masukkan sambal sardin ke dalam mangkuk dan hancurkan menggunakan garpu.

Cara membuat sandwich.

1. Sapukan margerin pada satu bahagian roti. Letakkan roti ke dalam pembakar.(bahagian disapu margerin di bahagian bawah. Sapukan lagi margerin di permukaan atas.

2. Letakkan inti sardin seperti di dalam gambar. Kalau suka boleh juga ditambah timun atau salad.

3. Sapukan lagi margerin pada kepingan roti yang lain dan telangkupkan di atas inti sardin. Sapukan sedikit lagi margerin di bahagian atasnya. Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Kacau dengan garpu dan sapukan ke atas roti tadi. seperti dalam gambar) Lagi banyak lagi sedap.

4. Tutup pembakar dan bakar hingga masak. (2-3 minit). Bila dah keperangan, tutup suis. Keluarkan roti dan gunting dua seperti dalam gambar. Hidang ketika panas.





Monday, April 13, 2009

Kacang Bendi Goreng Telur

Awal-awal dulu, K.An ada kongsi resepi Kacang panjang goreng telur... dan K.An ada sebut, macam-macam sayur lain yang boleh dimasak sebegitu rupa. Tapi, lain sayur, lain rasanya... dan kali ni K.An kongsi masak sayur kacang bendi goreng telur.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

6 tangkai/batang kacang bendi- dipotong serong 1 sm-rendam dalam air seketika
2 ulas bawang merah dihiris
1 biji telur
garam secukup rasa
1 biji cili merah dihiris nipis serong

Cara membuatnya:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah hingga layu...jangan sampai perang. Masukkan kacang bendi. Masukkan 1/4 cawan air. Tutup periuk. Biar 2 minit.
2. Buka tudung periuk. Pecahkan telur. Biar telur separuh masak baru dikacau rata bersama sayur. (supaya telur tidak hancur dan nampak cantik)
3. Masukkan cili dan garam secukup rasa. Kacau rata dan tutup api. Sedia dihidang.

Sambal Petai Udang

Sambal Petai Ikan bilis dah ada resepinya. Kali ni K.An kongsi resepi Sambal Petai Udang pulak. Mungkin ada yang belum pernah cuba masak sendiri di rumah. Dah ada resepi ni, bolehlah cuba.. senang je...
bersambung...(mata dah kuyu..)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

400gm udang harimau -dibuang ekor dan potong hujung kepalanya

1 peket petai siap dikopek (boleh guna petai keping, ikut citarasa)

1/2 cawan cili kisar-pekat

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus

sedikit belacan -hujung jari kelingking

1 sudu besar santan pekat

1 sudu besar air asam jawa cair

garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga pecah minyak. Masukkan petai, air asam jawa, santan dan belacan. Masukkan 1/2 cawan air. Didihkan.

3. Masukkan udang dan kacau rata hingga udang masak. (lebih kurang 2 minit) masukkan garam dan gula secukupnya. Sedia dinikmati.

Wednesday, April 8, 2009

Payes Ikan Ibu

Nama 'payes' ni datangnya daripada bahasa Banjar yang membawa maksud apa-apa sahaja masakan yang dibalut dengan daun pisang, dimasak samada dibakar atau kukur dinamakan payes. Contohnya kuih lepat, dalam bahasa Banjar kami panggil Payes Pisang jika dibuat daripada pisang. Juga ada Payes Labu, dan Payes Ubi Kayu.

Ikan yang dibungkus dengan daun pisang dan dibakar pun kami panggil 'payes'. Yang penting bahasa Banjar ni ringkas, padat dan senang difahami. Seperti kata Mun (adik K.An) kalau buat payes ikan sedap dipadankan dengan masak lemak labu. Digandingkan dengan sambal belacan dan ulaman seperti selom, pucuk Janggus(gajus) dan ulam raja... sedapnya..

Dulu-dulu, payes disediakan oleh mak K.An secara tradisi dengan menggiling bahan-bahan dengan batu giling. rasanya memang lebih enak, tapi sekarang semuanya pakai pengisar dan kalau rajin sikit, gunalah lesung batu... rasanya hampir serupa ..yang penting, buat,jangan tak buat...!


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

2 ekor ikan kembung besar (mabong)

5 tangkai cili kering potong2 1 inci panjang- dicelur hingga lembut dan toskan

1/2 sudu teh belacan

1 sudu teh air asam jawa pekat

2 ulas bawang merah

garam dan gula secukupnya

daun pisang untuk membalut ikan

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ikan dan toskan.

2. Tumbuk/ kisar/ giling cili kering, bawang, belacan garam dan gula hingga halus. Campurkan air asam jawa dan gaul sebati.

3. Letakkan ikan di atas daun . Lumurkan sambal yang ditumbuk tadi dan bungkus ikan. Kemaskan dengan lidi atau 'stapler'.

4. Panggang dalam kuali, oven atau atas api arang hingga masak. Terbalikkan ikan agar ianya masak sekata. Ikan akan masak apabila daun bertukar keperangan... Selamat mencuba.

'Banana Split' di Rumah?

Mohon ampun maaf banyak-banyak sebab dah lama tak kemaskini periuktanah... Sibuk memanjang..campur dengan Abang Azam yang selalu 'out-station'. (dah mula musim dia tak ada) Kena pulak sekarang ni musim hujan.. Kena ambil dan hantar anak. Kain selalu tak kering dan jadinya banyak kerja tertangguh..
Tapi masak tetap masak. Cuma tak sempat nak masukkan ke dalam blog. Dah beratur tunggu giliran..he..heh. Tak apalah, yang dah ada ni pun belum tentu dah dicuba kan...?

Bila rasa macam penat dan 'tension' selalunya kita makan apa yang kita nak makan...(teruknya) tanpa mengira kesan kesihatan... sekali-sekala apa salahnya...hi..hik.(sendiri nak makan punya pasal).. selalunya kita akan pilih coklat, kek atau ais-krim. Bila masuk je kat mulut...hmmmmph..lega rasanya.

Makanya, 'banana split' ni dibuat sebab nak rasa tenang tu lah... tapi ni, K.An makan dengan 'Aisyah dan 'baby' Maryam. Yang lain pergi sekolah.. Lain kali umi buat lagi ye...

Bahan-bahan: (satu hidangan)

Aiskrim pelbagai perisa (dalam gambar tu, rasa jagung dan rasberi)
1 biji pisang masak - berangan/ emas/ awak/ rastali
dibelah dua
kacang tanah disangrai(goreng tanpa minyak) dan ditumbuk kasar- boleh juga diganti badam, gajus atau kacang lain
hiasan lain ikut suka seperti 'chocholate rice', coklat masakan diparut atau ceri

Caranya:

1. Masukkan pisang ke dalam mangkuk/ cawan. 'Scoop'kan aiskrim. Taburkan kacang tanah secukupnya. (K.An suka banyak)
2. Taburkan hiasan lain.... Apa lagi segera makanlah... kalau tak cair nanti.

Tuesday, April 7, 2009

Masak Lemak Cili Api Telur Itik dengan belimbing buluh

Tak rugi berkongsi ilmu kerana selain dapat pahala amal jariah, dapat juga menambah kenalan dan merapatkan tali silaturrahim sesama umat. Melalui pengalaman inilah juga ilmu pengetahuan k.An dalam bidang masak-memasak ni diperkayakan... Tak ada pendidikan formal dalam masakan, cuma kepandaian yang diwarisi daripada ibu tercinta, pengalaman bergaul dengan rakan-rakan serata Malaysia dan kemahuan untuk belajar tidak kira di mana.

Terima kasih kepada semua yang tak lokek ilmu bila ditanya resepi masakan yang dimasak... Bila sedap, K.An tak segan bertanya cara membuatnya.. macam tu cepatlah pandai walaupun terpaksa tebalkan muka.
Masa di Bandar Tasik Puteri dulu, gerai kami berniaga berjiran dengan gerai Pak Yan yang juga menjual nasi campur. Pak Yan dan keluarganya memang berpengalaman luas berniaga gerai dan pasar malam. Lauk-pauknya juga memang mengancam sedapnya, tapi budaya berniaga ni memang bagus... Allah dah bagi rezeki masing-masing dan tak pernah timbul rasa irihati ataupun hasad dengki. Malahan kami saling bantu-membantu melayan pelanggan ketika bergilir untuk solat Maghrib atau Isya'.
Alhamdulillah di kesempatan bersama, K.An sempat belajar resepi masak lemak cili padi telur itik ni yang menjadi 'signature dish' kepada gerai Pak Yan...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

3 biji telur itik

10 biji cili padi akar (hijau)

1 cawan santan pekat dan 2 cawan santan cair daripada 1 biji kelapa

5-10 biji belimbing buluh- ikut citarasa

1 sm kunyit hidup

serbuk kunyit jika perlu

Cara membuatnya:
1. Tumbuk/ kisar cili padi dan kunyit hidup hingga halus. Masukkan ke dalam periuk bersama santan cair.

2. Buka api sederhana. Apabila santan mula mendidih, perlahankan api dan pecahkan telur itik satu persatu sambil dikacau santannya. Telur kedua dipecahkan setelah telur pertama masak bahagian tengahnya. Begitulah seterusnya untuk telur ketiga.

3. Masukkan santan pekat dan belimbing buluh. Biarkan api perlahan tetapi mendidih. Masukkan garam dan sedikit gula. Tambah serbuk kunyit jika perlu. Apabila cukup rasa, tutup api dan sedia dihidang.

***masakan ini tidak memerlukan bawang kerana rasa dan aroma cili padi sudah cukup menyedapkan masakan.

Sunday, April 5, 2009

Seri Muka Pandan dan Gula Merah

Bila makan, berseri-seri muka disebabkan keenakannya...hihih.. Agaknya dari situlah datangnya nama seri muka. Tapi memang tak salah, kuih ni, antara yang paling K.An suka. Kalau tak kerana takut pening dan angin sebab terlebih makan pulut, memang tak ingat dunia kalau dapat makan kuih ni. Ramai pulak yang berkongsi citarasa yang sama..Adik, kawan, anak dan suami boleh dikatakan semuanya suka seri muka. Bayangkanlah, anak K.An, 'Aisyah yang baru umur 3 tahun pun suka kuih ni, tapi dia kata 'Kuih Nasik'... kejap-kejap nak lagi..habis je dalam piring, nak lagi....
Di sini K.An bagi resepi untuk kedua-duanya sekali, yang hijau dan yang coklat.


Bahan-bahan: (menghasilkan satu loyang bulat berukuran 9 inci)

Lapisan bawah:

1 cawan beras pulut direndam dengan 1 cawan air selama 30 minit

1 cawan santan sederhana pekat daripada 1/2 biji kelapa

garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus.Toskan pulut dan masukkan ke dalam loyang. Masukkan santan dan garam secukup rasa. (kurang tak apa, jangan terlebih masin). Gaul rata santan dan beras pulut.

2. Masukkan ke dalam pengukus dan kukus selama 20 minit dengan api kuat. Selepas 20 minit, angkat pengukus, gaul rata pulut dan rasa garamnya. Kalau belum masin, tambah sedikit lagi garam dan gaul sekata. Sekiranya pulut cukup masak, tekan padat ke dalam loyang dengan sudu atau senduk hingga rata.

*** sementara pulut tadi dikukus, sediakan lapisan atasnya:

Bahan-bahan:

2 biji telur gred A (jika gred kecil, guna 3 biji)

1/2 cawan gula putih

3 sudu besar tepung gandum

1 sudu besar tepung beras

1/2 cawan air pandan daripad 2 helai daun pandan

1 cawan santan sederhana pekat

sedikit pewarna hijau

Cara membuatnya:

1. Campurkan semua bahan dan kacau hingga gula hancur. Tapiskan ke atas lapisan pulut yang dipadatkan tadi dan kukus selam 15 minit atau hingga masak.

*** Untuk Seri Muka gula merah gunakan adunan berikut untuk bahagian atasnya:

1 cawan santan sederhana pekat

1/2 cawan tepung beras

3 sudu besar tepung gandum

2 biji telur gred A

3/4 cawan air gula melaka/ gula merah sederhana pekat

3-4 sudu besar gula putih- rasa manisnya

Cara membuatnya:

Campurkan semua bahan dan gaul rata hingga gula hancur. Tapiskan ke atas lapisan pulut. Kukus 15-20 minit atau hingga kuih masak.

*** gula merah yang dimasak hendaklah ditapis dahulu untuk mengasingkan hampasnya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin