Showing posts with label sarapan. Show all posts
Showing posts with label sarapan. Show all posts

Wednesday, June 22, 2011

Fluffy Pancake

Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera semua...

Kepada yang ada di rumah dan belum bersarapan, pagi ni bolehlah cuba buat penkek sendiri... dengan sedikit bahan yang mudah, boleh dapat 5 X ganda jumlah penkek berbanding harga yang sama di restoran makanan segera yang menghidangkan menu sama... (K.An cuma rasa agak tidak munasabah harga yang dikenakan untuk 2 keping penkek dengan golden syrup...ishk..ishk..ishk..)

Sebelum ni K.An dah pernah kongsi resepi penkek versi K.An. Tapi kali ni K.An nak kongsi resepi yang laaagi mudah diingat, yang kawan merangkap Junior K.An di UIAM dulu (Nurbani) kongsikan.

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 7- 10 keping penkek-ikut saiz)

1 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar
1 biji telur A/B
1st baking powder
1 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya:

Ramai yang tanya, apa bendanya 'whisk' tu.. Ianya adalah alat mengacau adunan/ bater yang agak cair seperti adunan mafin, ketayap, kuih talam dan penkek. Boleh beli dari  pasaraya atau kedai barang-barang peralatan dapur atau kedai pembekal bahan-bahan kek.

1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk adunan. Gaul sebati menggunakan whisk hingga adunan licin. Tutup dan biarkan 30 minit.

2. Selepas 30 minit, panaskan kuali leper dan lenserkan dengan sedikit margerin. Gunakan api kecil. Sendukkan adunan secukupnya ke atas kuali. Biarkan seketika kerana adunan akan mengembang sedikit ketika dimasak. Bila penkek meletup-letup, bolehlah diterbalikkan. Biar masak seketika dan boleh diangkat.

3. Ulang proses hingga habis adunan. Bila siap, bolehlah dimakan bersama madu, krim atau sambal sardin... hmmm, yummy...

Kalau ada sesiapa yang kata buat penkek susah, memang tak patut.... Bahan senang, cara menyediakan senang, nak masak pun senang. Makan, lagi lah senang.  .... Jangan hairan kenapa K.An kata macam ni ye, bukan marah, cuma nak membuktikan hakikat kepada orang yang sebut ayat susah tu... heheheh...

***sebenarnya baru-baru ni, anak kedua K.An -Asma' nak masak penkek untuk projek sarapan Kemahiran Hidup. Cikgu dia tak bagi sebab katanya itu untuk tahap Tingkatan 3. Tingkatan 1 ni buat yang senang-senang je.... hisssh... cikgu ni.. tak patut. Pssst.. jangan bagitau sesiapa yang berkaitan ye...hehehheh..

Apapun, jutaan terima kasih Bani untuk resepi yang best ni.... K.An buat dua adunan dan bagi jiran sebelah ... dia kata, cantik sangat penkek ni sampai sayang nak makan... heheheh..kelakar la Kak Lin.." Saya bagi ni untuk makan la,.jangan pandang je...."


Tuesday, May 24, 2011

Sarapan Roti dengan Kuah Tomato

Alhamdulillah.. hari ni dapat lagi kita bersua muka di laman periuktanah, Laman Resepi dan Cerita Masak-masak K.An dan keluarga... Walaupun masak biasa-biasa je, memang betul kata orang, air tangan ibu tu amat penting dalam mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.. Paling kurang, ada sesuatu yang suami atau anak-anak ingat bila berjauhan. 
Sebut tentang masak biasa-biasa, hampir setiap keluarga ada hidangan yang digemari dan selalu diulang makan dan masak. Tak kiralah makan di kedai mahupun di rumah. Mana ada orang yang sanggup masak setiap hari, menu baru.. ye tak? Di rumah K.An ni, kami berkongsi banyak makanan kegemaran. Kalau lauk-pauk tu seperti, Masak Lemak Cili Api Telur Itik, Kurma Ayam, Ikan Keli Sambal, Sambal Tumis Petai, Sambal Goreng Tempe, Aneka Sup seperti Sup Tulang, Sup Siam, Sup Ayam, Pajeri Telur, Kari Ikan  dan macam-macam lagi. Seingat K.An , lauk-pauk ni dah beratus kali dimasak untuk suami dan anak-anak.

Makanan ringan seperti kuih-muih dan hidangan sarapan dan minum petang pun begitu juga. Aneka sanwic, Roti John, Lempeng, Mee, Mihun dan Kue-Teow dan pelbagai kuih tradisional yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Lagipun bila ada 5 orang anak, macam-macam permintaan mereka yang K.An perlu penuhi. Selalunya mereka nakkan rasa yang sama seperti  selalu K.An buat. Jadinya, cuma sekali-sekala K.An mencuba resepi baru. Jadi kalau ada yang bertanyakan resepi Kari Ikan contohnya; bolehlah punggah resepi lama-lama K.An yang ada dalam periuktanah ni... (di ruangan Cari Resepi tu ye...)

Hampir kesemua resepi yang K.An kongsikan di Periuktanah adalah yang paling K.An suka rasanya: (secukup rasa gitu..) Kecuali jika K.An sebutkan resepi yang lain yang lebih baik.. 

Antara resepi ulangan yang digemari semua daripada Abang Azam, Iqbal, Asma', Sarah dan sehinggalah Maryam dan 'Aisyah ialah kuah tomato dimakan bersama kepingan Roti sanwic. Nampak sungguh ringkas, tapi percayalah, ianya sungguh sedap dan berkhasiat. Inipun dah beratus kali K.An buat sebab mudah untuk sarapan sebelum ke sekolah.

Resepinya pernah disiarkan sebelum ni, dengan tajuk Sarapan Ala Mediterranean.. Untuk kemudahan semua K.An siarkan sekali lagi untuk dicuba....

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

2 biji tomato saiz besar (XL) buat 3 jika saiz sederhana- didadu tanpa dibuang biji
1 labu bawang besar Holland saiz sederhana-didadu
3 ulas bawang putih dicincang
2 sudu  besar minyak zaitun atau minyak masaak
secubit garam
1/2 sudu teh gula
1/2 cawan air

Roti sanwic secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau wangi, Masukkan tomato dan air. Biarkan mendidih dan tomato agar hancur.

2. Tambahkan garam dan gula. Gaul rata dan biar kuah agak pekat. Matikan api dan sedia dihidang ketika panas atau sejuk.

Monday, March 29, 2010

Sandwic Cendawan dan Keju

Kepada ibu-ibu dan isteri-isteri yang dah tak ada idea nak buat sarapan dengan roti, hari ni, K.An kongsikan resepi sandwic istimewa ala-ala piza rasanya. Resepinya K.An dapat daripada buku 'Creative Recipes with Bread' yang dihadiahkan rakan Abang Azam yang bertugas di Kilang Roti Gardenia Shah Alam sempena kunjungan tak dirancang kami ke sana tahun lepas.

Dah tua-tua ni pun seronok juga pergi melawat tempat-tempat macam ni.. almaklum, dapatle tengok pembuatan roti dari dekat. Beribu-ribu buku roti dihasilkan sehari dengan mesin yang canggih di kilang ni.
Roti yang dah siap dibakar, dibawa ke tempat penyejukan...
Tuan Haji Rosli sedang memberi penerangan kepada kami... macam budak sekolah... teruja..!!
Bertingkat-tingkat, roti yang siap dibakar sedang disejukkan. Setelah melihat sendiri keadaan di kilang ni, memang semakin yakin dengan reputasi cemerlang Gardenia dalam pembuatan roti terunggul di negara ini...

Dah siap lawat kilang, jom kita masak.....

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-4 orang)... kalau selera Abang Azam, hidangan untuk 2 orang je...

2 sudu kecil minyak masak
1 labu bawang besar Holland saiz sederhana- kalau besar, separuh pun cukup
8 cendawan butang- hiris sederhana tebal (K.An guna cendawan tiram segar- agak2 banyaknya)
1/4 biji lada benggala hijau - hiris nipis
1/2 biji cili merah- hiris nipis- ikut citarasa
2 sudu teh oregano kering
1/2 sudu teh lada hitam- 10 biji lada hitam, K.An tumbuk halus
1 sudu besar rata tepung gandum
2 sudu besar daging segar dicincang kecil
1 sudu besar kicap manis
4 keping keju Cheddar
1/6 st garam

4 keping roti sandwic atau boleh ganti roti wholemeal kepada yang menjaga diet

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang besar seketika. Masukkan daging dan biar hingga daging masak dan bawang layu.
2.Masukkan cili merah dan lada benggala. Kacau rata. Masukkan cendawan dan sedikit air. Masukkan oregano, lada hitam, garam dan kicap.
3. Kacau sebati dan masukkan tepung gandum. Gaul sebati dan ratakan di dasar periuk. Matikan api dan susun keju di atas inti tadi. Tutup periuk dan biar keju cair.

4. Sementara menunggu keju cair, bakar roti hingga keperangan. Bahagikan inti kepada 4 bahagian dan ratakan di atas roti. Sedia dihidang sebagai sarapan yang sangat mengenyangkan.

Sesuai juga dijadikan bekal ke pejabat dan untuk anak-anak ke sekolah....


*** kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih di atas pelawaan Tuan Haji Rosli melawat Kilang Gardenia Shah Alam dan kesudian beliau meluangkan masa melayan kami pada hari tersebut. Tak lupa juga terima kasih atas 'goodies bag' yang diberi... Lain kali nak bawa anak-anak yang besar pulak pergi..

Thursday, July 2, 2009

Sarapan dengan Lontong

Dah lama gambar ni terperuk kat almari dapur tu.. tak terkeluar sehinggalah Saleha tanya resepi kuah lodeh.. ok.. ada dik..

Senang je sebab semua masuk dalam periuk, tak payah tumis-tumis. Cuma yang mungkin membezakan rasanya ialah sambal tumis yang dihidangkan bersama lontong ni. Ada yang guna sambal kacang kering, kuah kacang, sambal udang kering, sambal sotong dan ada juga guna sambal ikan bilis. (k.An dapat tahu daripada seorang Makcik yang buat ulasan lintas langsung pasal lontong yang kami beli kat gerai di sini...heheh) makcik tu sibuk bercerita walaupun k.An seorang je yang melayannya... oklah makcik.. saya faham.. betul tu..

Bahan-bahan Kuah Lodeh: (hidangan untuk 3-5 orang)

sayuran serba sedikit:
karot/ kacang panjang/ kobis/ sengkuang/ bunga kobis dipotong kecil-kecil berasingan
tempe banyaknya ikut citarasa- dipotong nipis-nipis
1/2 cawan udang putih- buang kepala dan ekor
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
1 biji cili merah dihiris nipis
suun dan fucuk direndam air biasa sehingga lembut
sedikit serbuk kunyit
1 keping asam keping
*2 cawan santan biasa
*1 cawan santan pekat

*daripada sebiji kelapa

Cara membuatnya:

1. Masukkan santan biasa, udang kering, karot, kacang panjang, serbuk kunyit, bawang ke dalam periuk.
2. Masak hingga mendidih. Perlahankan api. masukkan asam keping dan garam. Kacau sentiasa hingga sayuran lembut. Masukkan suun dan fucuk.
3. Masukkan kobis,bunga kobis, sengkuang, cili merah dan tempe. Masukkan pati santan dan didihkan semula. Tambah sedikit gula jika ingin rasa manis. Sedia dihidang bersama nasi impit/ ketupat nasi dan sambal kacang atau sambal lain.

Sunday, April 19, 2009

Siri Berjimat.. Roti Canai Telur

Pernah tak, 'terlebih' beli roti canai untuk sarapan, lepas tu tak habis dan terbiar keras sampai petang... lepas tu terpaksa 'dibakulsampahkan' sebab tak ada siapa nak makan.....?

Harapnya selepas ni, tak berlaku lagi kes macam tu, sebab ada cara penyelesaiannya.. Cara yang K.An akan kongsi ni bukan sahaja sesuai untuk terlebih roti canai tetapi sesuai juga bagi yang suka beli 'frozen' roti canai tapi malas nak buat kuahnya.

Resepi ni, adalah resepi ibu tercinta juga dan telah kami nikmati berpuluh tahun lamanya. Masa tu bukan untuk roti canai yang sejuk tapi memang mak K.An buat roti canai telur ni sebagai hidangan sarapan sekeluarga... hebat kan mak K.An... dia tebar paling kurang 10 keping roti canai untuk kami semua...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

3 keping roti canai
3-5 biji telur -(ikut saiz roti canai)
2-3 labu bawang besar (ikut saiz bawang) -lagi banyak bawang lagi sedap
1 biji cili merah dihiris nipis
garam secukup rasa
minyak secukupnya

Cara membuatnya:

1. Belah dua bawang besar dan kemudian hiris melintang nipis-nipis. Masukkan ke dalam mangkuk. Pecahkan kesemua telur dan masukkan sedikit garam. masukkan juga cili merah yang dihiris tadi. Kacau dengan garpu hingga berbuih dan sebati.

2. Panaskan kuali. Letakkan 1 sudu teh minyak masak. Gunakan api perlahan. Letakkan sekeping roti canai dan biar panas 1 minit.

3. Terbalikkan roti. Sapukan bancuhan telur hingga sekata. Terbalikkan roti supaya bancuhan telur masak. Sementara tu, sapukan bancuhan telur di bahagian kedua. Terbalikkan lagi dan biar masak. (lagi banyak telur dan bawang lagi sedap). Renjiskan minyak lagi jika perlu.

4. Setelah kedua-dua bahagian roti masak, bolehlah diangkat dan digunting empat persegi kecil sebelum dihidangkan.

Tuesday, April 14, 2009

Sandwich Sardin Spesel

Selain pinggan- mangkuk, kipas angin dan periuk belanga, antara hadiah perkahwinan yang popular ialah 'sandwich maker' dengan harapan pemberinya, si pengantin akan rajin menyediakan sarapan untuk suaminya nanti... Bagi yang rajin, berbaloilah hadiah tu. Tapi ada juga yang jadi hiasan kabinet dapur ataupun gajah putih je. Bagi K.An, kalau ada pembakar sandwich ni memang senang nak sedia sarapan enak.. cepat pulak tu.

Sandwich sardin ni sejarahnya kembali ke zaman sekolah rendah K.An. Dah lebih25 tahun lamanya. Masa tu K.An dalam Darjah 5... Guru Besar K.An masa tu arwah Cikgu Khalid (baru meninggal akhir tahun 2008) memang rapat dengan anak muridnya. Almaklum dia cuma ada 2 orang anak, jadi anak muridlah sebagai pengganti. Bila ada kelapangan, kami anak-anak murid yang rajin ni akan bertandang ke rumahnya. Seingat K.An kami naik bas ke Kampung Kedah ramai-ramai. Memang dia jamu betul bila kami datang.

Bermula daripada makan pagi, makan tengahari sampailah ke minum petang, macam-macam juadah disediakan isterinya. Memang kenyang sentiasa dibuatnya. Dalam satu kunjungan kami tu, isterinya jamu kami dengan sandwich sardin spesel ni untuk minum petang. Maklumlah kami ni orang kampung, tak pernah tengok benda, macam 'sandwich maker' tu... apa lagi mengadap le makcik ni menggunakan perlatan canggih ni... Jadinya, taule K.An macam mana nak membuatnya. Memang sedap dan 'spesel'.

Jadinya... kepada sesiapa yang memiliki 'gajah putih' yang rupanya seakan-akan boleh buat sandwich, bolehlah digunakan pagi ni atau petang ni...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)

8 keping roti sandwich

1 tin kecil sardin- asingkan ikan dan sosnya

1 labu bawang besar-dadu kecil

1 sudu besar cili kisar

1 biji cili merah- cincang kecil

1 biji telur

garam secukupnya

margerin secukupnya

Cara membuat inti sardin:

1. Panaskan 1-2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang besar dan cili merah hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Tumis seketika. Masukkan 1 sudu besar soso tomato dalam sardin. Kacau sebati. Masukkan ikan, sedikit garam dan sedikit gula. Gaul rata dan tutup api.

3. Masukkan sambal sardin ke dalam mangkuk dan hancurkan menggunakan garpu.

Cara membuat sandwich.

1. Sapukan margerin pada satu bahagian roti. Letakkan roti ke dalam pembakar.(bahagian disapu margerin di bahagian bawah. Sapukan lagi margerin di permukaan atas.

2. Letakkan inti sardin seperti di dalam gambar. Kalau suka boleh juga ditambah timun atau salad.

3. Sapukan lagi margerin pada kepingan roti yang lain dan telangkupkan di atas inti sardin. Sapukan sedikit lagi margerin di bahagian atasnya. Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Kacau dengan garpu dan sapukan ke atas roti tadi. seperti dalam gambar) Lagi banyak lagi sedap.

4. Tutup pembakar dan bakar hingga masak. (2-3 minit). Bila dah keperangan, tutup suis. Keluarkan roti dan gunting dua seperti dalam gambar. Hidang ketika panas.





Friday, March 6, 2009

Sarapan Ala Mediterranean

Bila bbbaru 15 tahun kahwin... (dah 15 tahun tapi macam baru..) setiap hari masak tentu ada ketika jemu dan buntu juga memikirkan menu sajian untuk keluarga setiap hari... Kalau buat nasi lemak, kena juga pelbagaikan lauknya. Takkan 10 tahun asyik telur mata kerbau je.. sesekali buatla sambal paru ke (dah ada resepi 2008), sambal sardin ke, sambal sotong ke, ataupun rendang ayam... Mmmph baru lah suami dan anak tak 'komplen'..

Antara sajian sarapan yang K.An dah kongsi ialah pelbagai murtabak, penkek, nasi goreng dan aneka kuih-muih seperti pau sambal (burger Malaysia), donut, ketayap dan juga yang goreng-goreng seperti mihun goreng, mee goreng (2 jenis) dan kue-teow goreng. Tak ketinggalan yang boleh dijadikan sarapan ialah Roti John, Roti Telur dan Sandwich Sardin. Kalau dah cuba semua tu, apa kata kali ni cuba pula sarapan ringkas ala-ala mediterranean gitu... Yang memperkenalkan sajian ni tentulah Abang Azam yang suuuka sangat makanan Arab dan yang sewaktu dengannya... (makanan di Jordan lebih banyak dipengaruhi gaya masakan Eropah sebab kedudukannya di mediterranean.. digabungkan dengan gaya masakan Arab)


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2-3 biji buah tomato masak (saiz besar)-didadu kecil

1 labu bawang besar (holland atau merah biasa)-didadu kecil

3 ulas bawang putih dicincang

sedikit garam dan 1/2 sudu teh gula

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak masak atau minyak zaitun di dalam periuk. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi dan bawang layu.

2. Masukkan semua buah tomato yang didadu tadi ke dalam periuk. masukkan 1/4 cawan air. Perlahankan api dan kacau hingga tomato hancur dan pekat. Masukkan garam dan gula. Gaul sebati. Tutup api dan ketepikan dulu.

Bahan dan cara membuat terung bakar:

1 batang terung panjang dibelah dua dan dipotong 3 inci panjang.

1. sediakan kuali leper. Sapukan margerin pada terung dan bakar hingga keperangan. Buat kesemuanya dan terbalikkan terung agar masak rata.

2. Keluarkan isi terung menggunakan sudu. Hancurkan dan gaul sedikit dengan garam dan serbuk lada.

Hidang kuah tomato dan terung bersama roti. Isikan inti terung dan tomato di dalam roti sandwich, gulung atau lipat dan boleh dinikmati sebagai sarapan bersama keluarga. Boleh juga dicicah macam makan roti canai....


Wednesday, December 17, 2008

Belajar daripada anak..Roti telur

3 tahun lepas, masa kami di Bandar Seri putra, Asma' yang baru Tahun 2 teringin sangat nak cuba resepi roti telur yang ada kat dalam buku teks Bahasa Melayu dia.. K.An tanya nak masak sendiri ke..? Yelah.. katanya. K.An yang tak berapa harap lagi dia guna dapur menawarkan diri untuk bantu. Jadi, K.An pun rujuklah buku teks tu dan buat roti telur ikut resepi dan cara yang diberi... Hasilnya lebih mudah dan sedap daripada roti telur yang biasa K.An buat.
Asma'masak roti telur di kampung baru-baru ni
Hingga ke hari ni, Asma' pun dah boleh buat roti telur untuk sarapan... Jadinya, tak salah belajar daripada sumber yang lebih muda...

Bahan-bahan:

3 keping roti
1 biji telur gred A
secubit garam
margerin secukupnya

Cara-cara:
1. Pecahkan telur ke dalam pinggan atau mangkuk leper. Masukkan secubit garam. Pukul dengan garpu hingga garam hancur.
2. Panaskan kuali. Masukkan 1 sudu teh margerin. Celupkan roti ke dalam telur hingga rata keseluruhannya.
3. Letakkan roti di dalam kuali. Masak 2 minit dan terbalikkan. Setelah masak kedua-dua belah roti bolehlah diangkat. Buat hingga habis roti dan telur.

4. Sedia dihidang bersama sos cili dan mayonaisse

Sunday, November 30, 2008

Sarapan ala hotel.. Omelette

Jemu dengan sarapan berat...? Jemu dengan roti canai..? Jemu dengan roti bakar..? Cubalah omelette... ala-ala hotel gitu..!
Apa taknya, kalau rumah kita dah dihias lebih cantik daripada hotel, apa salahnya hidangan di dapur pun sama 'class' dengan hotel. Lagipun bukannya susah nak disediakan, cuma dengan teknik berbeza, dah jadi hidangan berbeza.



Bahan-bahan:

100 gm isi ayam dicincang(boleh tambah udang yang dibuang kulit atau isi ketam)
1/2 labu bawang besar didadu
1 sudu besar susu segar (kalau takde, tak payah letak)
2 sudu besar margerin
3 biji telur
sedikit garam
Sedikit cendawan didadu
1/4 biji tomato didadu
sedikit daun sup dihiris halus
sedikit cili merah dicincang

Cara-cara:

1. Panaskan kuali tidak melekat (non-stick pan). Masukkan 2 sudu besar margerin.

2. Masukkan isi ayam, goreng seketika. Jangan keluarkan, terus masukkan bawang, cili, cendawan dan cili merah. Kacau hingga bawang agak kekuningan.

3. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Campurkan secubit garam, susu segar, daun sup dan tomato. Pukul sedikit guna garpu.

4. Masukkan dalam kuali. Kacau cepat-cepat agar bahan rencah rata.. sekejap je... dan ratakan telur dengan mengangkat kuali seperti mendadar ketayap.

5. Bila nampak bahagian atas telur dah masak, lipat telur seperti apam balik. terbalikkan dan biar sebentar sebelum diangkat..
6. Hidang bersama sos cili dan mayonaisse.

Resepi ni pun direka selepas tengok chef kat hotel masak masa sarapan...

Wednesday, November 26, 2008

Sarapan Ringan Tapi Kenyang... Penkek

Mengikut pakar pemakanan, sarapan adalah waktu makan yang paling penting dalam sehari kerana ia pembuka hari, penyegar minda dan pembekal tenaga untuk tubuh badan sebelum kita mulakan apa-apa aktiviti.


Ada banyak pilihan sarapan, tapi tak banyak yang mengenyangkan kalau ianya bukan nasi. Ye lah.. kalau setakat roti 2 keping, atau semangkuk bijirin, tak ramai antara kita orang Malaysia yang tahan.. kalau yang bekerja pejabat, sarapan pukul 7.30, pukul 10, perut dah bising kata lapar.

Ini cadangan K.An kepada isteri yang nak mudah sedia sarapan untuk suami dan anak-anak. Boleh bawak bekal sekali ke sekolah atau pejabat sebab senang nak buat..


Penkek dengan sambal sardin atau dengan madu..

Bahan-bahan Penkek:

2 cawan tepung gandum

1 cawan tepung naik sendiri (kalau takde stok, guna tepung gandum semua, + 2 sudu teh baking powder)

2 biji telur

2 cawan air

1/2 cawan susu segar/ susu cair

3 sudu besar gula

1/2 sudu teh garam

Cara-cara:

1. Pukul gula dengan telur hingga kembang. Gunakan pemukul atau blender.

2. Campurkan bahan lain ; susu, air, tepung, garam. Pukul lagi hingga adunan licin dan tak berketul.

3. Panaskan kuali dan letak sedikit margerin. Sendukkan adunan ke dalam kuali. Masak 2-3 minit atau penkek keperangan. Gunakan api perlahan. Terbalikkan dan masak lagi.

4. Ulang proses hingga habis adunan.

Sudah siap boleh dimakan dengan sambal sardin, madu atau susu pekat.

*** Adunan boleh dipelbagaikan dengan mencampur oat, nestum, kelapa parut atau pisang lecek.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin