Monday, December 29, 2008
Masak Lemak Labu
Bahan-bahan: (Hidangan untuk 5 orang)
1/2 biji labu dikupas kulit dan dipotong dadu besar
1 labu bawang besar (merah) dihiris membujur
sedikit udang putih atau 1 sudu besar udang kering
1 biji cili merah dihiring serong
2 cawan santan cair
1/2 cawan santan pekat
garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Masukkan santan cair, labu, bawang, cili dan udang kering ke dalam periuk. Masak hingga mendidih. Perlahankan api dan kacau perlahan-lahan hingga labu empuk.
2. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan pati santan, terus mengacau dan biar masak lemak mendidih.
3.Tutup api dan sedia dihidang.
Saturday, December 27, 2008
Nasi Goreng Kunyit Ibuku
Bahan-bahan: (Hidangan untuk 2 orang)
1 mangkuk nasi
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris
1/2 cawan ikan bilis digoreng garing -simpan minyaknya untuk menumis
1 tangkai cili kering dipotong 1 sm
1 biji telur
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
Cara-cara:
1. Masukkan 3 sudu besar minyak (bekas menggoreng ikan bilis) ke dalam kuali
2. Tumis bawang hingga wangi. Masukkan 1/4 sudu teh serbuk kunyit. Tambah sedikit air.
3. Masukkan cili kering dan telur. Kacau rata. Masukkan garam dan nasi.
4. Masukkan ikan bilis goreng tadi dan gaul rata dengan nasi. Sedia dihidang bersama kicap pedas dan sambal belacan. Walaupun ringkas, tapi tetap menyelerakan.
Sajian Mengenyangkan...Roti Jala dan kari ayam
Selain menguruskan restoran Kak Asiah juga menerima tempahan katering. Masa bulan puasa ramailah yang buat majlis berbuka puasa dan kalau ada tempahan roti jala, Kak Asiah "sub' pada K.An.... Di situlah bermulanya cerita roti jala...
Bahan-bahan: (Hidangan untuk 10-15 orang- menghasilkan lebih kurang 50 keping)
5 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 cawan santan cair
4 cawan air
1 sudu teh garam
serbuk kunyit secukupnya
minyak dan daun pandan untuk menjala
Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati. Tapiskan ke dalam mangkuk. Cuba adunan menggunakan acuan. Jika adunan pekat, tambah sedikit air kerana kadangkala jenis tepung gandum berbeza, mempunyai kecairan berbeza
2. Sediakan kuali leper di atas dapur. Panaskan dan sapukan permukaannya dengan minyak menggunakan daun pandan yang dicarik sedikit dan diikat agar roti jala tidak melekat.
3. Cedok adunan menggunakan acuan roti jala, dan mula menjala seperti di dalam video.
5. Apabila siap semuanya,sedia dimakan bersama kuah kari ayam/ daging atau kuah durian.
Bahan-bahan Kari Ayam:
400gm ayam dipotong kecil
2 biji kentang dikupas dan dipotong dadu kecil
5 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris
kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang dan 3 kuntum bunga cengkih
3 sudu besar rempah kari ayam/daging dibancuh dengan 1/2 cawan air
2 cawan santan daripada 1/2 biji kelapa
1 tangkai daun kari
garam secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang, rempah ratus dan daun kari hingga wangi dan bawang kekuningan.
2. Masukkan rempah kari. Kacau hingga pecah minyak. Masukkan ayam, santan dan kentang. Masak hingga empuk. Masukkan garam secukup rasa. Tambah air jika mahu kuah yang banyak. Didihkan dan tutup api. Hidangkan bersama roti jala
Lala Goreng Cili
Bahan-bahan: (Hidangan untuk 3-5 orang)
500 g lala segar
2 biji cili merah dikisar bersama 3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 2 batang serai yang dititik
1 tangkai daun sup dihiris halus
garam secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan lala dan 1/2 cawan air. Kacau lala hingga kulitnya bertukar warna dan terbuka. Masukkan daun sup dan garam. Kacau rata dan tutup api. Sedia dihidang bersama nasi putih.
Friday, December 26, 2008
Reka resepi sendiri..Cendawan Tiram Goreng Tepung
Bahan-bahan:
1 paket cendawan tiram (dicarik dua kalau besar-besar), dibersihkan
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan air
1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi
1 sudu teh tepung beras
1 sudu teh tepung jagung
1/2 sudu teh garam
1 sudu besar rempah ayam masak merah/ 1 sudu teh rempah kari ayam
1 sudu besar bijan
Cara-cara:
1. Bancuhkan semua bahan dan gaul rata hingga tak bergentel
2. Celupkan cendawan dan goreng dalam minyak banyak.
3. Terbalikkan cendawan agar ianya masak rata.
4. Angkat dan toskan minyaknya apabila gorengan bertukar warna keperangan.
5. Sedia dihidang dengan sos cili atau sos pencicah.
Thursday, December 25, 2008
Laksa Kak Tie Sarawak
Sejak menjadi sebahagian ahli keluarga Hajah Selamah, antara masakan yang paling menyerlah ialah laksanya yang kau...kau.. Resepinya diilhamkan mak Miza sendiri yang berasal dari Sarawak tapi dah sebati dengan masakan semenanjung terutamanya masakan utara semenanjung.
Kali pertama rasa laksa buatan tangan Miza dan Kak Tie Sarawak (Mak Miza) ni memang lain sedapnya.. K.An pun dah cuba buat sendiri dan, alhamdulillah, jadi seperti yang diharapkan.
Bahan-bahan: (Hidangan untuk 8-10 orang)
1 bungkus laksa kering (direndam semalaman)
1/2 kg ikan sardin segar
*** rebus ikan dalam periuk berisi 6 cawan air dan 10 keping asam keping. Didihkan hingga ikan lembut. asingkan isi ikan dengan tulang dan kisar isi ikan hingga hancur
1 tin kecil sardin King Cup-lecek ikan sardin hingga hancur
1 cawan cili kisar
3-5 labu bawang besar - dikisar halus
1 ketul belacan 1inci X 1 inci -tumbuk hancur
5 biji cili padi ditumbuk halus (jangan campurkan kalau tak nak pedas)
10 keping asam keping
1 kuntum bunga kantan dihirs kasar
1 ikat daun kesum
Garam secukup rasa
Bahan ditabur di atas laksa
1 batang timun dihiris halus memanjang
4 biji cili merah dihiris nipis
5 biji telur direbus, dikopek kulit dan dibelah 4
2 labu bawang besar dihiris nipis melintang
3 tangkai daun selum dihiris halus
nanas dihiris kecil-kecil jika suka.
5 biji limau kasturi dibelah dua
cili padi dihiris halus jika suka
Cara-cara:
1. Rebus laksa dalam air yang banyak hingga laksa lembut. Toskan.
2. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam periuk besar. Masukkan bawang kisar dan tumis hingga wangi. Masukkan cili kisar dan belacan. Tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan isi ikan sardin segar dan sardin dalam tin. Kacau rata.
4. Masukkan air rebusan ikan, asam keping dan bunga kantan. Masukkan juga cili padi jika suka.
5. Tambahkan 5 cawan air lagi dan biar kuah mendidih. Masukkan daun kesum dan garam dan rasa kuah. Perlahankan api dan biar kuah sentiasa panas.
Hidangkan laksa dengan bahan tabur dan kuah panas-panas. Kuah akan bertambah sedap jika dipanaskan berulangkali.
Wednesday, December 24, 2008
Kerabu Tuna Kacang Kelisa Chef Wan
Persoalannya, berapa ramai yang menonton rancangan memasak, kemudiannya mencuba resepi yang baru ditonton tu..?
K.An rasa 20 % je yang mencuba, dan yang lainnya dilupakan sahaja.. Kesian.. chef-chef yang penat-penat memasak tu.. Bagi K.An, kalau yang bahannya mudah, murah dan caranya juga tidak remeh atau cerewet, memang K.An cuba. Contohnya kerabu tuna ni.. K.An ikuti rancangan Chef Wan dengan Tuna TC Boy 5 tahun lepas... Ini salah satu resepi yang kekal dalam ingatan sebab sedaaap dan tak macam makan sayur pun (bagi anak-anak)
1 tin Tuna Cili Padi TC Boy (K.An dah cuba jenis lain, tak sama rasanya.. jadi gunakan yang dalam resepi ye.. jangan tukar)
1 cawan kelapa putih parut- disangrai sedikit hingga wangi kekuningan
2 sudu besar udang kering direndam sebentar dan tumbuk halus
4 sudu besar cili kisar
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
2 batang serai dititik dan ditumbuk halus
1 sudu besar kerisik
2 biji limau nipis diperah airnya
8 urat kacang kelisa dipotong 3 mm tebalnya (kalau nipis sangat, tak terasa rangup bila mengunyahnya)
garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, putih, dan serai hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis sampai pecah minyak.
2. Masukkan udang kering, kelapa parut dan kerisik. Gaul rata hingga campuran kelapa agak kering. Tutup api dan ketepikan.
3. Buka tin tuna dan tuangkan minyak di dalamnya. Keluarkan semua isi tuna dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
4. Masukkan kacang kelisa yang telah dipotong tadi dan sambal kelapa kedalam mangkuk berisi tuna. Perahkan air limau nipis. Gaul rata. Masukkan garam dan sedikit gula. Sesuaikan rasa. Ada masam, manis, masin dan pedas...
*** Terima kasih Chef Wan kerana berkongsi resepi yang sedap ni.
Kerabu ni boleh juga dimakan dengan roti pita, roti sandwich atau roti burger.
Tuesday, December 23, 2008
Sambal Paru
K.An mula mengenali sambal paru dan mula menikmati keenakannya ketika K.An di UIA juga. Ada sepasang makcik dan pakcik Jawa menjual nasi lemak dengan pelbagai lauk di Cafe UIA Petaling Jaya.. "To all my friends.. Ingat lagi tak cafe 2 tingkat kita kat sebelah SMAWIP yang menyajikan aneka makanan enak dan murah masa tu...?(15 years ago) Ada nasi beriyani (selalu sedekah pisang pada hari Jumaat)- ayam berempah dia sedap. Ada gerai 'special order', tempat K.An pesan sup sayur masa demam. Ada nasi campur, ada nasi dengan lauk pauk ala Arab, Ada Roti Nan dan Tandoori, ada juga Dunkin' Donut dan ada gerai roti canai dan roti jala.
Dah lama tak ke sana, tak taulah macamana keadaan cafe tu.. Entah ada atau tidak, lagi.
Berbalik cerita pakcik dan makcik jual nasi lemak ni, lauk-pauknya semua sedap-sedap. Yang paling K.An suka, nasi lemak dengan rendang daging (makcik akan gunting daging tu kecil-kecil supaya senang nak makan) dan nasi lemak dengan sambal paru... Ummm sedapnya.
Tapi K.An dah tak ingat kat mana K.an belajar cara masak paru ni.. cuma dah agak lama juga sampai tak ingat... ha..hah
Bahan-bahannya:
300 gm paru (paru ni ringan, ni pun dah banyak)
1 cawan cili kisar
3 ulas bawang merah, 1/2 labu bawang besar, 2 ulas bawang putih dikisar halus
1 sudu besar air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1/2 labu bawang besar dihiris kasar
minyak untuk menggoreng dan menumis
Cara membuatnya:
1. Basuh paru dan potong 4. Lumurkan dengan garam dan kunyit. Masukkan 2-3 cawan air ke dalam periuk dan didihkan di atas dapur. Masukkan paru yang dah bergaram kunyit tadi.
3. Tutup api, bila paru dah nampak kecut dan bertukar warna. Keluarkan dan toskan.
4.Hiris paru nipis-nipis lebih kurang 2-3 mm. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam kuali. Goreng paru separa garing. (lebih kurang 5 minit) Kepada yang suka rasa rangup, goreng hingga garing.
5. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
Cara masak sambalnya:
1. Sama seperti memasak sambal yang lain juga. Tumis bawang kisar hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa. Masukkan bawang besar hiris. Tambahkan sedikit air.
3. Masukkan garam dan gula. Masak hingga sambal pekat. Tutup api. Masukkan paru ke dalam periuk dan gaul rata dengan sambal... Ummm... sedap dimakan dengan nasi putih atau nasi lemak.
*** Sambal paru ni dah jadi kegemaran Iqbal sebab dia cuba kat asrama dia..
*** Jika suka rasa paru yang rangup, sejukkan sambal dahulu sebelum digaulkan dengan paru goreng.
Kuih Ketayap
1. Campurkan kesemuanya di dalam mangkuk dan kacau sebati menggunakan pemukul.
Wednesday, December 17, 2008
Nasi Goreng Cina dan Pattaya
Bahan-bahan:
1 mangkuk nasi sejuk
1/2 cawan isi ayam dipotong kecil
3 ulas bawang putih dan 2 ulas bawang merah ditumbuk kasar
3 biji cili api diketuk
1 urat kacang panjang dihiris halus
1/2 batang karot dipotong halus
3 ekor udang harimau dibersihkan
1/4 kiub ikan bilis Knorr
1 sudu kecil serbuk lada putih
2 biji telur
garam secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam kuali. Goreng isi ayam hingga wangi dan keperangan.
2. Jangan angkat ayam, terus masukkan bawang dan cili padi. Goreng lagi hingga wangi.
3. Masukkan udang dan sayuran. Tambah 1/4 cawan air dan biar mendidih hingga sayur layu.
4. Masukkan 1/4 kiub ikan bilis, garam dan telur. Kacau sedikit. Masukkan telur,biar 1 minit baru dikacau. Masukkan nasi dan serbuk lada putih. Kacau rata nasi.
5. Rasa nasi goreng, jika belum cukup masin, tambahkan garam dan gaul lagi hingga sebati. Tutup api dan sedia dihidang.
6. Jika ingin membuat nasi pattaya, gunakan kaedah sama seperti membuat telur bungkus.. (rujuk resepi ayam masak merah dan telur bungkus) Formulanya, 3 biji telur untuk 2 hidangan nasi pattaya.
Nasi Goreng PattayaSementelah buat nasi goreng ni, K.An nak cerita pengalaman kami makan di Bukit Fraser.. Malam Sabtu lepas, di tengah kedinginan grrr... Bukit Fraser, kami membelah malam menuju ke ala..ala medan selera kat sana. Tak banyak pilihan. Ada 5 kedai makan termasuk 1 yang tak beroperasi. Pengunjungnya ramai, tapi, nak tak nak kami pilih satu gerai yang menyajikan masakan panas ala Thai dan sebelahnya ada kedai roti canai. K.An 'order' nasi goreng kampung, iqbal-nasi goreng daging merah dan asma'- nasi goreng ikan masin. Abang Azam 'order' 'yee mee hot-plate'.
Tunggu punya tunggu... kaki dah menggigil baru sampai air dan lama kemudian baru sampai nasi goreng yang pertama. Semua kata nasi goreng kampung kot sebab warnanya tak macam nasi goreng ikan masin.. jadi, K.An makanlah..
Dah 4,5 sudu rasanya macam nasi goreng ikan masin. Kuis-kuis, memang jumpa ikan masin dua-tiga ketul. K.An kata yelah ni, nasi Asma' ni... K.An 'pass' kat dia balik.
Seketika kemudian sampai satu lagi nasi goreng, yang ini kenal sebab ada daging merah. K.An rasa sesudu. Sama rasa dengan nasi asma', cuma takde ikan masin dan yang ini dimakan dengan daging merah... Lama pulak kemudian datang nasi K.An dan mee A.Azam. Nasib baikla nasi goreng kampungnya lain rasa daripada yang dua tadi.. Ada Rasa nasi goreng Kampung. Mee A.Azam.. Pangkah... Macam yee mee dicelur dan dituang 1/2 cawan sos tiram dan kicap... tak sedap, tapi A.Azam tala je.. xnak membazir.
Jadinya.. kami rasa, tukang masak kedai ni cuma sempat belajar masak nasi goreng kampung je.. Lepas tu dia terus bukak restoran dan masak ikut suka asal ada warna dan rasa lain..
Lepas bayar, A.Azam 'order' pulak 2 benjo dan 2 burger daging kat gerai burger sebab tak puas hati makan kat gerai tadi...he..heh
Pengajarannya, kalau buat nasi goreng, biar jelas namanya... walaupun main campak je bahannya, tapi nak jual kat orang, biar betul-betul.. kalau tak, alamat sekali jelah orang makan kat gerai kita... lepas tu..Pangkah..
Enaknya Maggie Goreng...
Ingat lagi tak iklan dulu-dulu, sekitar akhir 70-an dan awal 80-an.. Yang K.An tau, lahir-lahir dah ada mee maggie. Tak kira jenama apa, Cintan ke, Mamee ke, Ibu ke.. semua panggil maggie. Tapi yang penting, mee segera ni memang berguna waktu lapar dan nak cepat makan. Siapa yang pernah hidup bujang atau di asrama, tak sah kalau tak biasa makan mee segera...
Walau zaman berlalu, mee segera tetap dinikmati walau apa cara sekalipun. Bagi K.An dan keluarga, sejak kecil resepi kami tetap istimewa.. sup atau digoreng.. sedaap.
Bahan-bahan:
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris halus
3 bungkus Mee Maggie perisa kari
2 sudu besar sos cili
1 sudu teh sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 tangkai daun sup dipotong halus
2 biji telur
1 sudu besar perencah mee maggie kari dalam paket
sedikit kobis dihiris halus jika suka
minyak dan air secukupnya
Cara-cara:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang yang dihiris hingga wangi.
3. Masukkan sos cili, sos tiram dan kicap. kacau seketika. Masukkan 1/2 cawan air. Didihkan.
4. Masukkan 2 biji telur ke dalam kuali. Biar 1 minit sebelum dikacau. Masukkan perencah maggie kari.
5. Tambahkan 1/2 cawan air lagi dan masukkan sayuran. Masukkan maggie yang telah dipecah-pecahkan sedikit (selapis) ke dalam kuali. Tekan-tekan dan gaulkan mee agar tenggelam di dalam kuah yang mendidih.
6. Gaul rata mee agar mee lembut sekata. Jika nampak air tidak mencukupi, tambah lagi sedikit air. Apabila mee lembut, air kering dan rencah sekata, tutup api dan boleh dihidang bersama cili merah, daun bawang atau bawang goreng.
Sup Sayur Anak-anakku
Yang ini, anak-anak suka sebab ada suun..
Sup Sayur Anak-Anakku
Bahan-bahan:
3 ketul kecil ayam (bahagian ada tulang)
5 ekor udang putih/ 3 ekor udang harimau
1 ekor sotong dihiris kecil-kecil
1 batang jagung muda
1/4 batang karot dipotong ikut suka
sedikit bunga kobis
sedikit sawi dipotong 1 inci
sedikit kobis dihiris halus
1/4 kiub ikan bilis Knorr
Suun direndam
Kalau suka, bebola ikan atau kek ikan
2 ulas bawang putih dan 3 ulas bawang merah ditumbuk kasar
1 biji cili merah dihiris serong
garam secukup rasa
Cara-caranya:
1. Masukkan 2 cawan air ke dalam periuk. Masukkan ketulan ayam dan hidupkan api.
2. Didihkan lebih kurang 5 minit. Masukkan bawang, cili, karot, jagung muda dan sawi. Biar hingga sayuran lembut. Masukkan bahan lain; sotong, udang, kobis dan bunga kobis. Didihkan lagi. Tambah air jika ingin kuah banyak.
3. Masukkan kiub ikan bilis, bebola ikan dan suun. Tambah garam secukup rasa. Tutup api bila sup mendidih.
Kek Pisang Mudah
Tak percaya..? Cubalah.
Bahan-bahan:
4 biji pisang emas/ awak (saiz sederhana)- hiris nipis dan lecek
1 cawan gula pasir
1 cawan minyak masak
4 biji telur gred A
1 1/2 cawan tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powder dan 1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu besar air limau nipis
1 sudu teh esen pisang/ esen vanilla
Cara-cara:
1. Panaskan oven ke suhu 185 darjah Celcius api atas bawah.
2. Sediakan loyang 4 persegi. Lenser dengan margerin dan alas kertas minyak atau kertas biasa AA
3. Kisar gula, telur, minyak di dalam 'blender' hingga putih. (3-5 minit)
4. Tuang ke dalam mangkuk. Masukkan campuran tepung. Kacau rata dengan senduk.
5. Masukkan pisang, esen pisang dan air limau. Gaul sebati.
6. Tuang adunan ke dalam loyang dan masak dalam oven selama 45 minit atau kek keperangan seperti di dalam gambar. Cucuk bahagian tengah kek dengan lidi sate untuk mengetahui kek masak sempurna atau tidak.
*** Letakkan kek di rak paling bawah oven ( kalau guna oven elektrik 21 l) api atas bawah sepanjang proses untuk hasil memuaskan.
Daging Masak Lada Hitam dengan Kailan
Yang ini dah dirasa oleh ramai tetamu K.An dan banyak kali dimasak untuk keluarga. Setakat ni, semua suka... dan siap 'order' kalau buat 'pot-luck'
Bahan-bahan:
500 gm daging dipotong nipis (kalau bukan batang pinang, rebus dulu hingga empuk dan simpan airnya untuk diguna masa memasak nanti)
4 ulas bawang putih dan 3 ulas bawang merah ditumbuk kasar
1/4 cawan lada hitam biji ditumbuk/kisar halus
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
1 sudu teh tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
1 ikat kailan atau 'baby kailan' ikut citarasa
secubit garam
Cara-cara:
1. Potong kailan 1 inci panjangnya. Asingkan batang yang dihiris nipis jika guna kailan besar. Ketepikan.
2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.
3. Masukkan batang kailan dan 1/4 cawan air (atau air rebusan daging). Masukkan daging dan tutup periuk. Perlahankan api dan biar hingga daging empuk.
4. Setelah daging lembut, masukkan lada hitam, kicap dan sos tiram. Kacau hingga kuah pekat (supaya lada dan sos benar-benar masak)
5. Masukkan daun kailan, sedikit air dan sedikit garam. Kacau goreng hingga kailan lembut. Masukkan tepung jagung, kacau dan tutup api. Sedia dinikmati bersama nasi.
*** Ada perbezaan rasa jika tidak dicampur kailan. Bagi K.An, yang ada kailan lebih sedap. Anak-anak pun suka
Nyok-nyok Bakar Berlada Hitam
Bahan-bahan:
3 potong ikan Nyok-nyok( boleh diganti dengan ikan merah, siakap atau tenggiri)
1 sudu besar lada hitam ditumbuk halus
garam dan kunyit secukupnya.
Cara-cara:
1. Gaulkan ikan dengan lada, garam dan kunyit. Perap 10 minit.
2. Panaskan pemanggang, kuali atau oven. Masukkan ikan dan bakar hingga masak.Terbalikkan ikan agar masak sekata. Jika guna kuali letakkan sedikit minyak masak agar tidak melekat.
3. sedia dihidang bersama air asam, sambal kicap atau cicah budu.
Belajar daripada anak..Roti telur
Bahan-bahan:
3 keping roti
1 biji telur gred A
secubit garam
margerin secukupnya
Cara-cara:
1. Pecahkan telur ke dalam pinggan atau mangkuk leper. Masukkan secubit garam. Pukul dengan garpu hingga garam hancur.
2. Panaskan kuali. Masukkan 1 sudu teh margerin. Celupkan roti ke dalam telur hingga rata keseluruhannya.
3. Letakkan roti di dalam kuali. Masak 2 minit dan terbalikkan. Setelah masak kedua-dua belah roti bolehlah diangkat. Buat hingga habis roti dan telur.
4. Sedia dihidang bersama sos cili dan mayonaisse
Sambal Daging Kak T
Bulan Jun lepas, kami buat hari keluarga, dan kak T masak sambal daging... makan dengan nasi impit je. Nak buat lauk pun boleh juga.. Sedaap.
500 gm daging batang pinang (Potong nipis agar cepat masak)
5 ulas bawang merah dan 1/2 labu bawang besar dikisar
3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
1/2 inci halia ditumbuk kasar
3/4 cawan cili kisar
1/2 cawan santan sederhana pekat
garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak masak di dalam periuk.
2. Tumis semua bawang dan halia sehingga wangi.
3. Masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan daging. Kacau sedikit dan tutup periuk. Perlahankan api dan biarkan hingga daging empuk.
4. Bila daging empuk, masukkan santan garam dan sedikit gula. Masak hingga kuah pekat. Jika suka ada rasa masam sikit, tambahkan 1 sudu besar air asam jawa. Bila kuah pekat cantik, dan cukup rasanya, tutup api dan boleh dihidang.
Tuesday, December 16, 2008
Cerita berjimat...
B) Telur bungkus (dua ketul dada ayam -RM 4.00)+ 2 biji telur (.60 sen)
Sup sayur ( sedikit ayam, udang putih, sayur, suun, bebola ikan- RM 5.00)
Sambal belacan (.50 sen)
Thursday, December 11, 2008
Sardin 'Spesel'
Sesekali balik kampung memang menyeronokkan, cuma kali ini agak singkat dan banyak yang dirancang tak sempat nak dibuat. Tapi bab masak-memasak semuanya menjadi.. K.An sempat buat tapai pulut dengan mak K.An dan sempat juga merakamkan detik mak K.An buat nasi goreng kunyit dan Asma'( anak perempuan sulung) buat roti telur. Malam balik dari rumah K.Mah, K.An buat lagi sambal sardin sebab ada permintaan resepinya...
Yang bagusnya sambal sardin ni boleh digandingkan dengan macam-macam masakan. Antaranya, nasi lemak sardin (sedaaap..) roti canai (teringat roti canai kat kedai makan di Masjid Shah Alam masa K.An di Uitm dulu..) penkek, roti parata, sandwich dan boleh juga dibuat inti popia goreng. Satu lagi yang sedap, sandwich sardin gulung.. (nanti K.An 'share' cara buatnya) Satu lagi... karipap inti sardin pun boleh..
Bahan-bahan:
1 tin besar sardin King Cup (pilihan utama K.An zaman berzaman)
5 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih dikisar atau ditumbuk halus
3 ulas bawang merah dihiris (dimayang)
1/2 cawan cili kisar (kalau nak buat nasi lemak, lebihkan cili sebab perlu lebih kuah)
1 labu bawang besar dihiris melintang
1 biji kentang dihiris nipis (kalau suka)
3 biji cili padi diketuk
garam, gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumiskan bawang merah hiris hingga kekuningan. Masukkan bawang kisar dan cili padi. Tumis lagi hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos tomato dalam sardin dan kacau sambal hingga sebati. Tambahkan 1/2 cawan air. Perlahankan api.
3. Masukkan kentang dan bawang besar. Masukkan ikan sardin. Masak hingga kentang empuk dan sambal pekat. Kacau rata. Tambah garam (+/-1 sudu teh) dan gula (1 sudu besar) jika perlu.
4. Tutup api dan sedia dihidang.
*** bawang hiris yang ditumis dan cili padi, menambahkan keenakan sambal sardin
4 dalam 1...Telur Bungkus
Minggu lepas, setelah kerajaan menurunkan lagi harga minyak, akhirnya turun juga harga ayam. Di Putrajaya ni, dah berbulan-bulan harga ayam RM 7.00 sekilo.. sekarang dah jadi RM6.50 sekilo. Walau tak seperti harga dulu-dulu RM 4.8o sekilo je, sekurang-kurangnya jimat sikit belanja dapur K.An..
Opps.. kenapa K.An cerita pasal ayam ni..? Sebenarnya masa K.An makan-makan dengan kaum kerabat dan saudara mara, ada yang sebut dalam banyak-banyak bahagian ayam selalunya bahagian dadanya atau isi tak berapa 'laku'. Kalau digoreng semuanya nak ambil bahagian peha atau kepak... tertinggallah bahagian dada.. Jadinya K.An kata, masa proses ayam lepas beli kat pasar tu, asingkan siap-siap bahagian isi dan masukkan dalam bekas berasingan. Baru simpan dalam 'freezer'. Gunanya, bila nak masak masakan ala Thai, senang nak keluarkan.. Antara menu yang boleh dibuat, Padprik ayam, ayam goreng kunyit, ayam masak merah dan telur bungkus....Jadi, taklah kita membazir ayam yang kita beli mahal-mahal tu.
Ayam Masak Merah
Bahan-bahan isinya: (ayam masak merah)- hidangan 5 orang
1 cawan isi ayam yang didadu digaul dengan garam dan kunyit
1/2 biji tomato didadu kecil
1 sudu besar cili kisar
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
3 sudu besar sos cili
1 sudu teh sos ikan (kalau tak ada pun takpe)
sedikit bunga kobis dipotong kecil
1 sudu teh garam, 1 1/2 sudu teh gula
Cara membuatnya:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Masukkan ayam dan goreng hingga keperangan dan wangi. (belajar untuk kenalpasti aroma 'sedap' masakan kita)
2. Jangan angkat ayam, terus masukkan bawang dan goreng sampai wangi juga..jangan hangit pulak..! (lebih kurang 1 minit je) Masukkan cili kisar, tumis 1 minit lagi. Masukkan tomato dadu. Tambahkan 1/2 cawan air dan biar tomato agak hancur.
3. Masukkan bunga kobis, sos ikan dan sos cili. Kacau sebati. Masukkan garam dan gula. Tutup api bila kuah pekat. Ketepikan dulu.
'up-grade' jadi Telur Bungkus Periuktanah
Cara membuat telur bungkusnya:
1.Pecahkan 2 biji telur ke dalam mangkuk. Letakkan secubit garam (1/8 sudu kecil) Kacau dengan garpu.
2. Panaskan kuali. (guna kuali kecil atau yang ada pemegang supaya senang mendadar)
3.Tuangkan telur ke dalam kuali bermula dari tepi kuali (tuang ikut bulatan) Cepat-cepat angkat dan golekkan kuali agar telur nipis dan rata.
4. Perlahankan api dan masukkan isi ayam masak merah. Lipat penjuru telur dadar hingga menutupi isi telur bungkus. Sediakan pinggan yang sesuai saiznya dan tekapkan di atas kuali berisi telur bungkus. Terbalikkan dan siaplah telur bungkus periuktanah.
***kalau kuah banyak, asingkan kuah dalam mangkuk lain untuk memudahkan proses membungkus. bila dah cekap, bolehlah masukkan semuanya lain kali.
Yang manis dan menawan..Murtabak Nangka
Balik kampung baru-baru ni, mak K.An (Hjh Selamah) sempat buat kuih ni, tapi masa tu K.An di rumah mertua. Jadi tak dapat sukatannya.. sebelum-sebelum ni (sebelum ada blog) K.An selalu juga buat murtabak nangka ni sebab anak-anak suka.. tapi main agak-agak macam mak K.An, sebab dah biasa. Tapi untuk 'periuktanah', K.An kena sukat betul-betul supaya pembaca dapat manfaatnya sekali.. (boleh buat sendiri di rumah)
Alhamdulillah, dalam kesempatan cuti sekolah, mak K.An sempat datang bertandang ke Putrajaya dan sempat menghabiskan 4 hari 4 malam di rumah K.An. Sempat juga K.An menyiapkan beberapa projek makanan tradisional Banjar yang K.An janjikan.
2 1/2 cawan tepung gandum
1 mangkuk air yang dicampur 1/2 sudu teh garamCara membuatnya.
1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli dengan tangan seperti menguli doh roti sehingga licin dan lembut. Proses memakan masa lebih kurang 10 minit supaya doh betul-betul lembut.
2. Sediakan mangkuk leper diisi dengan 1/2 cawan minyak masak. Bulat-bulatkan doh sebesar bola tenis dan gentel hingga licin.
3. Masukkan kesemua bebola doh ke dalam mangkuk berisi minyak.Golek-golekkan agar doh disaluti minyak. Tutup dan biarkan sejam.
Bahan-bahan inti murtabak:
2 paket nangka masak
2 biji telur
1/2 cawan gula pasir
Cara-caranya:
1. Keluarkan biji nangka dan gunting atau hiris isi nangka nipis-nipis. Buat sehingga habis. 2 paket nangka menghasilkan 3 cawan isi nangka yang digunting atau dihiris.2. Masukkan isi nangka, gula dan telur ke dalam mangkuk. Gaul dengan senduk sehingga gula hancur dan telur berbuih. Ketepikan.
Cara membuat murtabak:
1. Sediakan tempat menebar samada talam ataupun meja marmar atau aluminium.2. Sediakan sekeping daun pisang berukuran 15 sm X 15 sm. Letakkan di atas tempat menebar doh. Letakkan doh di tengah-tengah dan mula menebar. Tekan dan tarik tepung sambil dicelup hujung jari ke dalam minyak agar doh licin dan tidak koyak.
3. Buat sehingga kulit murtabak nipis dan luas melebihi daun pisang tadi. Letakkan inti di tengah-tengah dan lipat empat penjuru murtabak sebesar saiz daun pisang.
4.Panaskan kuali leper dan letakkan 1 sudu kecil minyak. pegang murtabak berlapikkan daun pisang dan telangkupkan di atas kuali. Gunakan api sederhana dan sekata di bawah kuali. Kawal api agar murtabak tidak hangus.
5. setelah 3-5 minit, terbalikkan murtabak dan masak setiap bahagian hingga keperangan. Sambil memasak, bolehlah menebar doh yang lain.
Ulang proses hingga doh dan inti habis. Setelah masak, angkat, sejukkan seketika dan gunting murtabak empat persegi kecil-kecil. Enak dimakan waktu pagi atau minum petang.
Wednesday, December 10, 2008
Masakan Utara..Gulai Udang Berkacang Buncis
Pengaruh masakan Utara lebih kepada yang berempah macam masakan mamak.. Masak Merah Berempah, Daging Kurma, Dalca dan pelbagai jenis gulai atau kari. Gulai Udang dengan kacang buncis ni pun antara masakan terkenal di tempat K.An.
Bahan-bahan:
300 gm udang harimau (untuk makan 3-5 orang)
5 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris
2 sudu besar rempah kari udang/ rempah kari ayam
1/2 cawan santan
5-10 batang kacang buncis dipotong serong 1 inci
1 tangkai daun kari dilurut daunnya
garam secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang dan daun kari hingga keperangan dan wangi.
2. Masukkan rempah kari yang dicampur 1/2 cawan air ke dalam periuk. Kacau dan tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan kacang buncis dan santan. Masak hingga mendidih. Masukkan udang dan garam secukupnya. Didihkan 2 minit dan tutup api. Sedia dihidang bersama nasi putih.
***Jangan didihkan masakan udang terlalu lama supaya manis udang tidak hilang..
Sihat dan sedap..Bawal Kukus
Setelah 5 kali bersalin dengan pelbagai pengalaman (normal, mudah, bedah,sakit lama, vakum pun dah rasa), alhamdulillah, tempoh berpantang bagi K.An tidaklah menyeksakan. Yang penting K.An memang berselera makan dan bertenaga sepanjang tempoh tu.. Air susu untuk 'baby' pun banyak. Rezeki daripada Allah..
Bab makan, K.An tak cerewet dan senang nak bela K.An..heh.he. (tapi bela diri sendiri selalunya..) Menu pantang K.An antaranya, sup sayur, sup ayam, sup Ikan Nyok-nyok atau ikan merah, telur dadar, ikan dan ayam kukus, ikan dan ayam bakar dan cicah air asam dengan lada hitam. Di sini K.An kongsi resepi mudah untuk semua, masa pantang boleh, pantang tengok pun boleh...
Ikan Bawal Kukus. (boleh diganti dengan siakap, bawal putih atau ayam dll)
1/2 cawan air asam jawa
1 labu bawang besar dibelah dua dan dihiris melintang
2 biji cili padi dihiris halus
1 biji cili merah dihiris
1 sudu besar sos cili (jika suka)
secubit belacan
1/4 sudu teh kerisik
1/2 biji tomato dihiris
1 sudu besar perahan limau nipis atau kasturi
garam, gula secukup rasa
*** campurkan semua bahan di dalam mangkuk dan kacau sebati. Sedia dihidang
Tepung Pelita vs Kuih Tako
Ha..hah.. adik-adik K.An, Mun dan Nida memang suka cerita-cerita macam ni.. Sebenarnya secara tak langsung, drama ni telah mengangkat populariti kuih tako melebihi kuih-kuih lain yang sewaktu dengannya.. (Kuih kukus-kukus)
K.An pulak memang suka kuih -muih manis macam ni, seperti lepat, tepung torak, bengkang, tepung bungkus dan tepung pelita.
Ada yang tanya K.An, ada beza ke Tako dan Tepung Pelita? Memang ada bezanya.. Pertamanya kuih tako berasal dari selatan Semenanjung, manakala tepung Pelita berasal dari Perak. (juga dikenali sebagai Kuih Jongkong atau Kuih Sampan) Kuih Tako menggunakan tepung jagung, atau Hoen Kwe manakala Tepung Pelita menggunakan tepung beras. Dan yang nyata sekali, Kuih Tako dimasak di dalam daun pandan, manakala Tepung Pelita dimasak di dalam daun pisang.
Ditanya yang mana K.An suka..? K.An lebih suka tepung pelita walaupun rupanya kurang cantik berbanding tako. Sebabnya, K.An gemarkan tekstur lembut, berair gula bila tepung pelita dicedok dengan sudu ke dalam mulut.. ummph.. sedapnya..
Resepinya..? nanti K.An tuliskan..
Kuih Tako- di dalam kelongsong daun pandan
***resepi ini disesuaikan daripada majalah Rasa September 2006
15 helai daun pandan dibuat kelongsong- takde visual nak tunjuk, takpelah ye...
Bahan A:
300 ml air pandan (lebihan daun pandan yang dibuat kelongsong, dikisar dengan 300ml air)
100gm gula pasir
30 gm tepung jagung
**kalau ada sengkuang cina, boleh dipotong dadu kecil dan dicampur dengan adunan. lagi sedap.
Bahan B
300 ml santan (daripada 1/2 biji kelapa)
15 gm tepung beras
secubit garam
Cara-cara:
1. Campurkan kesemua bahan A dan masak sehingga pekat (jernih) di atas api perlahan.
2. Kacau sentiasa agar tidak hangus. Tutup api dan tuang adunan menggunakan sudu ke dalam kelongsong.. separuh penuh.
3. Masak bahan B di dalam periuk lain dan kacau sehingga pekat di atas api perlahan. Tambah garam jika kurang masin.
4. setelah masak, angkat dan tuang di atas adunan berwarna hijau tadi hingga penuh kelongsong.
5. Panaskan pengukus.. Kukus 5 minit. Angkat dan sejukkan 1 jam sebelum dihidang
Tepung Pelita-di dalam kelongsong daun pisang
Daun pisang dipotong segiempat tepat 10 X 20 sm. Dilayur atas api. Lipat dua, bentuk jadi kelongsong dan 'staple'kan. Buat 15 kelongsong. (pastikan tidak bocor)
Bahan-bahan adunan
A) 1 mangkuk gula pasir yang agak halus
B) 15 gm tepung beras
300ml air pandan
***campur bahan dan kacau dalam periuk hingga hampir pekat menggunakan api perlahan
C) 15 gm tepung beras
300 ml santan (daripada 1/2 biji santan)
garam secukup rasa
***campur bahan dan masak dalam periuk hingga hampir pekat menggunakan api perlahan
Cara-cara:
1. Susunkan acuan/ kelongsong di dalam pengukus. Panaskan pengukus hingga air mendidih
2. Masukkan 2 sudu teh gula ke dalam setiap kelongsong. Kukus 10 minit/ hingga gula cair.
3.Masukkan adunan hijau di atas gula yang telah cair, separuh kelongsong. Kukus 15 minit.
4.Masukkan pula adunan C (bersantan )hingga penuh kelongsong/ sama banyak dengan adunan pandan tadi. Kukus 15 minit.
5. Tutup api dan sejukkan kuih sebelum dihidang.
*** Adunan boleh juga dimasukkan terus ke dalam kelongsong tanpa dimasak dahulu, tetapi cara begini kadang-kadang menyebabkan kuih tak menjadi cantik.
***sesiapa yang ada resepi asli/ tak payah masak dulu, boleh 'share' kat sini. Terima kasih.
Saturday, December 6, 2008
Jalan-jalan Cari Makan - Rumah Kak Mah & Cikgu Aziz
"Keli sambal" (Sarah suka). Terdengar suara latar, Abang Azam menyampuk "ayam bakarrr". Heh heh.
Dari kiri.. Maryam, K.An, K.Mah, Asfarina (anak bongsu K.Mah) dan Cikgu Aziz
Sunday, November 30, 2008
Nasi Lemak Telur Mata
***untuk makan 6 orang
2 cawan beras dibasuh dan ditoskan
4 cawan santan (kalau suka nasi yang peroi, kurangkan 1/4 cawan)
1 helai daun pandan dicarik dan diikat
1 inci halia diketuk
2 sudu teh garam
sedikit jintan putih dan jintan manis
Campurkan kesemuanya di dalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila dah masak gaul dengan senduk agar santan sekata.
Sambal ikan bilis.
1 cawan ikan bilis yang telah dikopek dibasuh dan toskan
5 ulas bawang merah dan 1/2 labu bawang besar dikisar
3 ulas bawang putih ditumbuk atau kisar bersama bawang merah
3 cawan cili kisar/ cili boh
3 sudu besar air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar dihiris membujur
Cara-cara:
1. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis menggunakan api perlahan hingga ikan garing. Angkat dan ketepikan.
2. Ambil 5 sudu besar minyak gorengan ikan bilis tadi dan panaskan di dalam periuk. Tumis bawang kisar hingga wangi. (5 minit+/-)
3. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak. Tambah sedikit air jika terlalu pekat dan sambal belum pecah minyak. Kacau selalu.
4. Masukkan air asam jawa, bawang hiris, garam dan gula. Masak hingga sambal pekat.
5. Buangkan lebihan minyak sebelum dicedok untuk dimakan bersama nasi lemak dan ikan bilis goreng dan telur mata kerbau. (***kurangkan minyak dalam masakan...)
"Sarah dah makan nasi lemak kat dalam gambar tu.. sekejap je dah nak habis..."