Showing posts with label laksa. Show all posts
Showing posts with label laksa. Show all posts

Sunday, December 26, 2010

Laksam Seri Mutiara



Tetiba teringin nak makan Laksam buatan sendiri. Sebelum-sebelum ni, cuma abang Azam yang makan laksam dan laksam tu dibeli dari kedai. K.An cuma tumpang sesudu dua. Mungkin sebab jemu dengan menu yang serupa, K.An saja suka-suka buat laksam ni minggu lepas. Rupanya bila dah siap, ramai juga peminatnya. Habis licin laksamnya. Kuahnya yang sengaja dibuat lebih ada berbaki sedikit.Tapi maknanya, bolehlah dibuat lagi lain kali...

Resepi laksam ni kak An dapat dari adik K.An- Mun. Katanya dia ambik dari MyResipi.Net. Resepi kuahnya pulak, k.An ambik dari majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008. resepi sumbangan sekumpulan chef dari Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara. Memang sedap dan berbaloi mencubanya.
Jom kita tengok resepi.

Laksam:

3 cawan tepung beras
6 sudu besar tepung jagung
6 cawan air
1 sudu besar pati santan
1 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk. Gaul rata menggunakan whisk. Tapis adunan ke dalam mangkuk lain. Rehatkan adunan selama 30 minit sebelum dikukus.
2. Panaskan pengukus dan sediakan tudung periuk atau loyang utnuk memasak.
3. Lenserkan loyang dengan sedikit minyak. Tuangkan adunan secukupnya (nipis) hingga menutupi keseluruhan dasar loyang atau tudung periuk. Masak selama 3-5 minit.

4. Keluarkan loyang dan gulung laksam seperti di dalam gambar.Ulang proses hingga habis adunan. Gunting laksam sepanjang 1 sm dan hidangkan bersama kuah, ulaman dan sambal belacan.

Bahan kuah:

1 kg ikan kembung- K.An gunakan campuran ikan kembung dan sardin
(k.An rebus bersama asam keping dan asingkan isi dan tulang macam buat laksa utara)

Bahan dikisar:
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sm halia
1 batang serai

750 ml santan
3 keping asam keping
1/2 sudu teh lada hitam
20 gm tauge- buang ekornya
2 batang kacang panjang-hiris nipis
50 gm kobis bulat-hiris nipis
1 tangkai daun kesum
1.5 liter air
garam dan sedikit gula

Bahan sambal:

10 biji cili merah
3 biji cili padi
20 gm belacan
garam dan gula secukup rasa

Cara memasaknya:

1. Kisar isi ikan menggunakan air rebusan. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar lain, santan, asam keping dan lada hitam.

2. Masak menggunakan api sederhana dan kacau hingga mendidih. Masukkan daun kesom, garam dan sedikit gula. Matikan api apabila kuah pekat. Sedia dihidang bersama laksam, ulaman dan sambal.


Thursday, February 4, 2010

Laksa Utara II

Assalamualaikum... salam penuh keriangan untuk semua....

Yang ini menu minum petang Jumaat lepas ye... kepada yang teringin tu, ampun maaf le... dah 'abish'... kalau nak, lain kali kita buat lagi..


Laksa utara ni memang mudah nak membuatnya sebab main campak-campak je, kalau dah selalu buat. Didihkan semua bahan dalam periuk... dah siap.. lagi lama dipanaskan... lagi KAU...

Untuk resepi kali ni: (boleh tengok juga resepi laksa yang lepas kat sini atau kat sini....)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-8 orang)

1 peket laksa basah (beli kat pasar)
***tak perlu direbus, cuma celur sebentar dalam air mendidih dan toskan. Kalau beli laksa beras basah, cuma lalukan dengan air panas dan toskan)

3 ekor ikan sardin dan 2 ekor ikan kembung- itu stok yang ada..heheh..
-rebus bersama 3 keping asam keping hingga masak

5 biji cili kering- celur
2-3 biji cili padi
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 sudu besar belacan- boleh tambah kepada yang suka rasa belacan
air secukupnya bersama air rebusan ikan
secekak daun kesum
bunga kantan dihiris nipis- jika ada
Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Keluarkan ikan dari periuk. Asingkan isi dengan tulang. Masukkan ke dalam pengisar bersama 1 cawan air rebusan.
2. Masukkan cili padi, cili kering, belacan, bawang besar, bawang putih dan kisar halus.
3. Masukkan semua bahan kisar ke dalam periuk. Tambah air lebih kurang 2 cawan lagi (termasuk air rebusan ikan bersama asam kepingnya). Masak hingga mendidih.

4. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan garam secukupnya. Jika kita menggunakan ikan yang segar, kuah laksa akan terasa manisnya. Tapi kalau rasa kuah tu tak berapa manis, boleh tambah sikiiiit gula. Biar kuah mereneh di atas dapur dan bolehlah diceduk kuah untuk dihidang bersama laksa dan bahan taburan .

Bahan taburan:

daun selom- hiris halus
bawang besar-hiris halus
timun- hiris panjang
nenas muda
limau kasturi/ nipis
telur rebus

**** dah lama teringin nak makan laksa.. 'order' kat Mun tak sampai-sampai..heheh... terpaksalah k.An buat sendiri....

Tuesday, June 30, 2009

Sedapnya Laksa Johor...

Disebabkan kerajinan abg. Azam, hari Sabtu tu, siap 1 kg spaghetti di dapur kami. Dah jamu Zura dan Ariff, ada banyak lagi spaghetti yang tinggal... jadinya buat laksa johorlah kita....

Ada kisah benar di sebalik Laksa Johor ni.. tapi nama dan tempat dirahsiakan ye..
Di suatu ketika... selepas Raya di Malaysia ni, semua orang sibuk buat rumah terbuka.. puasa sebulan, raya pun sebulan.. meriah dan seronok juga sambil merapatkan hubungan silaturrahim.. K.An dan abg Azam dipelawa K.T dan Abg Zul ke rumah kawan mereka yang buat rumah terbuka ni..

Dipendekkan cerita, dia jamu tetamu dengan laksa Johor. Masing-masing ambik sepinggan dan makan... Bila jamah je.. tak ingat dah pun macamana rasanya, tapi tak boleh giii.. Kawan abg Zul siap tanya..."Camna zul, sedap ke..?" Dengan penuh susah-payah, abg zul kata...sedaap.. Kami habiskan juga makan dan bila keluar je dari rumah tu, K.An ngan K.T pakat gelak sampai keluar air mata sebab mengenangkan rupa abg Zul yang berusaha menghabiskan laksa johor tu...

Sejak hari tu, K.An tak jamah Laksa Johor sebab takut tak boleh gi lagi sehinggalah di satu hari, kami sekeluarga makan hi-tea di hotel UiTM... salah satu juadahnya ialah Laksa Johor. Memandangkan rupanya mengancam dan baunya menyelerakan, K.An cuba semangkuk.. Kalau macam ni rasa laksa johor, memangla sedaaap.. alhamdulillah k.an cuba, kalau tidak tak merasa lah keenakan laksa johor yang sebenar.
Semenjak tu, dah banyak kali k.an makan laksa johor yang sedap rasanya. Antaranya yang dimasak K.Za isteri Kamal, Dalila isteri Kapten Razali dan Laksa Johor di Restoran Anje Beriyani Gam.
Tapi ini kali pertama K.An masak sendiri laksa johor dengan spaghetti Made In Putrajaya..
Resepinya dalah gabungan pelbagai koleksi resepi laksa johor termasuk berpandukan resepi Chef Nazri (anak Chef Wan)dalam rancangan memasaknya di TV 2.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

100 gm ikan tenggiri (1- 2 keping)
300 gm ikan kembung putih (pelaling)
3 sudu besar kerisik ( Kelapa disangrai garing dan ditumbuk halus hingga pecah minyak)
2 sudu besar rempah kari ikan (bancuh dengan 1/2 cawan air)
1/2 cawan cili kisar (daripada 10 tangkai cili kering)- tambah jika suka lebih pedas
3 keping asam keping
1/2 cawan udang kering dikisar halus

Bahan dikisar halus:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
sedikit halia
sedikit lengkuas
2 batang serai dihiris

1 sudu besar ketumbar biji ditumbuk halus

1 cawan santan pekat
1 batang serai dititik
segenggam daun kesum
1 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar gula
1 batang bunga kantan (k.An tak letak sebab tak ada) dihiris kecil

Bahan ditabur:

1 batang timun dihiris nipis dan potong membulat seperti buat nasi kerabu (jadi gelang lilit)
1 labu bawang besar dihiris nipis
limau kasturi
tauhu goreng dan potong kecil
kacang panjang dihiris nipis
taugeh dibersihkan (tak perlu celur)

Cara membuat kuah:

1. Rebus ikan bersama 6 cawan air dan asam keping hingga mendidih dan empuk. Toskan ikan dan asingkan tulang dan isinya. Simpan air rebusan ikan untuk proses seterusnya.

2. Kisar isi ikan dengan mencampur 2 cawan air rebusan. Ketepikan dulu.
3. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar, rempah kari dan kerisik dan tumis hingga pecah minyak. Gunakan api perlahan dan kacau sentiasa.
4. Tambahkan sedikit air rebusan. Masukkan isi ikan, ketumbar, dan udang kering . Tumis lagi hingga wangi. (baunya memang sedap.. ada bau rempah kari, kerisik, serai..mmmph)
5. Masukkan kesemua air rebusan dan santan dan biar kuah mendidih. Tambah air jika kuah terlalu pekat. Masukkan serai, daun kesum dan bunga kantan dan air asam jawa. Masukkan garam secukup rasa dan gula. Biar kuah mereneh kerana kuah laksa bertambah sedap apabila dididihkan berulangkali.
Hidangkan bersama spaghetti dan bahan taburan.. Laksa Johor juga dihidangkan bersama sambal belacan jika suka...

Moral of the day...
*** jika kali pertama kita merasa makanan tapi rasanya tak kena dengan selera kita, tidak semestinya ianya tak sedap... cuba dan cuba lagi.. dan kalau tak kena juga, bukan rezeki kita lah agaknya...

** asalnya nak jamu atie (adik ipar k.An yang ada anak kembar 3 tu..)ngan family dia, tapi tak jadi datang. So..K.An bungkus, pergi asrama Iqbal, makan ngan dia.. Dia kata dia lebih suka Laksa Johor ni daripada Laksa biasa (Penang /Utara).. hilang penat masak.. abg Azam dan anak-anak lain pun suka.. nyam..nyam

Sunday, May 24, 2009

Laksa Beras Utara

Kepada sesiapa yang biasa ke Pasar Malam Paya Jaras atau Bandar Baru Sungai Buloh, pastinya kenal benar dengan Pak Ndak Zahir yang menjual laksa Utara dengan periuk besarnya... Bukan sahaja laksanya sedap, keramahan Pak Ndak Zahir juga menggamit ramai pelanggan yang saban kali ulang membeli laksa utara di gerainya. Dah lama sebenarnya kami sekeluarga tak ke sana sejak berpindah ke Putrajaya ni. Ada lagi ke Pak Ndak di situ lagi..?

Selain Pak Ndak Zahir, bila sebut laksa utara, K.An teringat Pakcik Mie yang menjual laksa hanya dengan menaiki motorsikal di sekitar kampung K.An. Walaupun jalan kampung dah lebar dan boleh dilalui kereta, Pakcik Mie masih menjual laksa dengan motorsikalnya.. dah biasa agaknya.. Yang sedap dan istimewanya, laksa beras dengan kuih seperti telur sebagai bahan taburannya.. Jangan salah sangka.. ianya bukan telur.. k.an bagi resepinya.. (mak mertua k.An yang ajar)


Bahan-bahan:

1 kg laksa beras basah(k.an beli di pasar presint 8 putrajaya ni... memang sedap) cuma lalukan dengan air mendidih. Toskan.

Kuah Laksa:

1/2 kg ikan sardin segar- rebus dengan air banyak dengan 3 keping asam keping. Didihkan dan ketepikan.

5 biji cili merah*

1/4 cawan cili kisar

4 biji cili api*

3 labu bawang besar dikupas dan potong kecil*

1 sudu besar belacan dihancurkan*

2 kuntum bunga kantan dipotong kecil

segenggam daun kesum

3 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan bertanda * hingga halus. Toskan ikan, simpan air rebusan untuk kuah. Asingkan isi ikan dengan tulang. K.An asingkan kepala ikan dan kisar campur dengan sedikit air.. kemudian tapis. Kisar/ tumbuk isi ikan dan ketepikan.

2. Masukkan air rebusan ikan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar dan tambah air secukupnya. Masukkan isi ikan, asam keping dan cili kisar. Masak kuah hingga mendidih.

3. Biar kuah mereneh. Masukkan garam, bunga kantan dan daun kesum. Tambah sedikit garam untuk sedikit rasa manis. Perlahankan api dan biar kuah mendidih di atas dapur.

Bahan ditabur di atas laksa:

Timun, bawang besar, daun selom, cili padi dihiris halus berasingan.

Telur rebus dibelah 2 atau empat

nenas dihiris kecil jika suka

Cara membuat kuih kuning:

2 sudu besar tepung gandum dicampur dengan 1/2 cawan air. Campurkan sedikit serbuk kunyit dan garam. kacau rata. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Dadarkan kuih seperti telur dadar. Terbalikkan dan angkat apabila masak. Gunting kecil-kecil dan tabur di atas laksa.

Masukkan laksa dan bahan taburan ke dalam mangkuk. Cedokkan kuah secukupnya... sedia dinikmati.

**boleh tambah petis udang kalau suka
***kuah laksa lebih sedap apabila dipanaskan berulang kali kerana rasanya lebih sebati. Boleh tahan sehingga 5 hari jika dipanaskan selalu.

Thursday, December 25, 2008

Laksa Kak Tie Sarawak

Sudah jadi kebiasaan keluarga K.An, menyediakan sendiri hidangan untuk keluarga. Samada anak-anak mak, mahupun menantu-menantu mak. Alhamdulillah, setakat ni semuanya pandai memasak. Menantu bongsu,Miza walaupun muda tapi tak kurang hebatnya dalam bab masak-memasak ni. Kena pulak anak sulung perempuan, tambah lagi mak dia memang berniaga makanan.. Memang elok sangat.
Sejak menjadi sebahagian ahli keluarga Hajah Selamah, antara masakan yang paling menyerlah ialah laksanya yang kau...kau.. Resepinya diilhamkan mak Miza sendiri yang berasal dari Sarawak tapi dah sebati dengan masakan semenanjung terutamanya masakan utara semenanjung.
Kali pertama rasa laksa buatan tangan Miza dan Kak Tie Sarawak (Mak Miza) ni memang lain sedapnya.. K.An pun dah cuba buat sendiri dan, alhamdulillah, jadi seperti yang diharapkan.

Bahan-bahan: (Hidangan untuk 8-10 orang)

1 bungkus laksa kering (direndam semalaman)

1/2 kg ikan sardin segar
*** rebus ikan dalam periuk berisi 6 cawan air dan 10 keping asam keping. Didihkan hingga ikan lembut. asingkan isi ikan dengan tulang dan kisar isi ikan hingga hancur
1 tin kecil sardin King Cup-lecek ikan sardin hingga hancur
1 cawan cili kisar
3-5 labu bawang besar - dikisar halus
1 ketul belacan 1inci X 1 inci -tumbuk hancur
5 biji cili padi ditumbuk halus (jangan campurkan kalau tak nak pedas)
10 keping asam keping
1 kuntum bunga kantan dihirs kasar
1 ikat daun kesum
Garam secukup rasa

Bahan ditabur di atas laksa
1 batang timun dihiris halus memanjang
4 biji cili merah dihiris nipis
5 biji telur direbus, dikopek kulit dan dibelah 4
2 labu bawang besar dihiris nipis melintang
3 tangkai daun selum dihiris halus
nanas dihiris kecil-kecil jika suka.
5 biji limau kasturi dibelah dua
cili padi dihiris halus jika suka

Cara-cara:

1. Rebus laksa dalam air yang banyak hingga laksa lembut. Toskan.
2. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam periuk besar. Masukkan bawang kisar dan tumis hingga wangi. Masukkan cili kisar dan belacan. Tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan isi ikan sardin segar dan sardin dalam tin. Kacau rata.
4. Masukkan air rebusan ikan, asam keping dan bunga kantan. Masukkan juga cili padi jika suka.
5. Tambahkan 5 cawan air lagi dan biar kuah mendidih. Masukkan daun kesum dan garam dan rasa kuah. Perlahankan api dan biar kuah sentiasa panas.

Hidangkan laksa dengan bahan tabur dan kuah panas-panas. Kuah akan bertambah sedap jika dipanaskan berulangkali.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin