Showing posts with label bubur. Show all posts
Showing posts with label bubur. Show all posts

Tuesday, August 23, 2011

Bubur Pulut Hitam

Assalamualaikum.. salam Ramadhan untuk semua.. moga kita terus diberi Rahmat dan Keberkatan Allah di bulan yang mulia ini.

Sedar tak sedar, hari ni dah masuk hari ke-23 kita berpuasa dan berada di Bulan Ramadhan. Sangat singkat rasanya. Seminggu dua ni pulak anak-anak K.An kurang sihat sebab demam, batuk dan selsema.. maka tak berkesempatan K.An nak mengadap skrin ni untuk mengemaskini resepi terbaru... ampun maaf dipinta.

Untuk ringkas cerita, hari ni K.an kongsi resepi bubur pulut Hitam yang K.An masak di minggu kedua puasa. Memang puashati bila buat sendiri bukan sahaja banyak, tapi cukup rasa lemak manisnya. Terima kasih Cikgu Azhari yang bagi beras pulut hitam tu.. katanya buah tangan dari Kedah.. memang elok berasnya..

Bahan-bahan: (cukup untuk 20 orang makan)

2 cawan beras pulut hitam
10 cawan air
3 cawan pati santan daripada 2 biji kelapa (atau jika menggunakan kelapa parut- ambil 2 cawan santan cair dan 2 cawan pati santan)- tinggalkan 1/2 cawan untuk tambahan santan ketika menghidang
1/2 cawan gula putih- tambah jika suka lebih manis
1 sudu teh garam
2 helai daun pandan- dicarik dan simpul

Cara membuatnya:

1. Basuh beras dan toskan.
2. Masukkan ke dalam periuk yang tebal dan campurkan dengan 10 cawan air. Rebus hingga beras lembut dan betul-betul kembang . Masa memasak lebih kurang 3 jam menggunakan api kecil. Kacau sekali-sekala.

3. Apabila beras telah kembang masukkan santan cair/ sedikit air bersama daun pandan. Masukkan gula dan biar mereneh hingga bubur nampak pekat. Tambahkan garam dan pati santan. Apabila mendidih, kacau sedikit dan matikan api. sedia dihidang bersama pati santan yang dimasak bersama sedikit garam.

*** Tips bubur pulut hitam yang sedap: beras mestilah betul-betul kembang (pecah dan tiada rupa beras lagi)sebelum dicampurkan santan.
*** Bubur yang lebih lemak, lebih sedap. Untuk menjaga kesihatan, gantikan sebahagian santan dengan susu cair,

Saturday, July 30, 2011

Pengat Labu Berjagung

Seminggu yang berlalu, K.An menghabiskan banyak masa dengan mengemas pejabat aka tempat  bekerja  K.An iaitu DAPUR... mengemaskini peti ais, melupuskan barang-barang yang sepatutnya dilupuskan dan menyusun-ataur bahan mengikut keperluan bulan Ramadhan.  Sambil-sambil tu, menghabiskan saki baki stok bahan mentah yang tinggal sedikit di dalam peti ais. Ambil situ-sini, maka terhasillah  Pengat Labu berjagung ni...
Sesuai untuk berbuka puasa atau boleh juga dijadikan juadah ringan selepas solat Tarawikh..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

200 gm labu kuning yang telah dibuang biji- kupas dan potong dadu
1 tongkol jagung manis- dihiris isinya
1 cawan air
1 cawan santan cair
1/2 cawan pati santan
1 sudu besar gula merah/gula melaka/ gula perang
gula pasir secukupnya
secubit garam
1 helai daun pandan-dicarik dan disimpul
2 sudu besar sagu biji direndam dengan 1/2 cawan air selama 10 minit

Cara membuatnya:

1. masukkan labu kuning bersama 1 cawan air ke dalam periuk. Rebus sehingga labu lembut. Jangan terlalu lembut sebab ada sesetengah labu jenis yang hancur jika terlebih masak.
2. Masukkan jagung, santan cair, daun pandan, gula merah dan didihkan seketika hingga jagung empuk. Gunakan api sederhana sambil kacau pengat sekali-sekala. Masukkan pati santan dan sagu biji.

3.Akhir sekali Tambahkan sedikit gula pasir dan sedikit garam ikut citarasa  masing-masing. Apabila sagu jernih dan kuah memekat, matikan api. Sedia dinikmati ketika panas atau sejuk.
K.An suka sangat pengat ni sebab ada gabungan tekstur lembut pada labu dan tekstur rangup pada jagung. Rasa manis asli labu dan jagung juga sungguh sedap...

Saturday, July 24, 2010

Bubur Nasi je...

Sekali-sekala makan bubur nasi macam ni sedap tau... buat sahur boleh, sarapan boleh, buat supper pun ok juga. Kena pulak kalau dalam pantang.. berselera juga bila nampak sup ayam yang dipadankan bersama. Yang kecil, besar, tua, muda, semua boleh makan...

Bubur ni pun K.An jamu mak dan adik-adik untuk sarapan masa mereka di sini hari. Kena pulak anak Kimi- hanany tengah sakit mulut, boleh le dia menjamah bubur nasi dengan sup ayam..

Resepi nak juga ke...? Senang bangat nih... tapi bagi yang tak pernah buat sebab tak ada anak kecik kat rumah, tak tahu juga sukatannya yang sesuai.

Untuk bubur nasi: (hidangan untuk 5 orang)

1 cawan beras super 5%- basuh dan toskan
5 cawan air
sedikit garam


Cara membuatnya:
1)
1. Masukkan air ke dalam periuk biasa. Didihkan. Masukkan beras dan perlahankan api. Biar bubur mendidih dan kacau sekali-sekala agar tidak melekat. Proses agak lama hinggalah nasi menjadi bubur. Masukkan garam dan kacau sebati. tak perlu masin sangat sebab nanti dimakan dengan sup.

2)
Masukkan beras , garam dan air ke dalam periuk nasi elektrik yang ada fungsi bubur. Tekan on dan biar masak.

3)
Cara paling pantas ialah menggunakan periuk tekanan. Masukkan beras, air dan garam ke dalam periuk. Tutup rapat tudungnya dan hidupkan api besar. Biarkan hingga mendidih dan keluar wap. Perlahankan api dan biar 15 minit. Matikan api, buka tudung periuk dan kacau sebati. Jika ingin bubur lebih pekat, hidupkan api perlahan dan masak lagi hingga bubur pekat dengan periuk terbuka.

Sediakan sup ayam. Keluarkan ayam dan carikkan isinya. Gunakan untuk ditabur di atar bubur. Bahan-bahan lain.

Bawang goreng,
daun sup/ bawang,
kacang tanah goreng,
ikan bilis digoreng
telur masin
lobak masin
kicap pedas- kisar 2 ulas bawang merah bersama 10 biji cili padi akar. Campurkan dengan 1/2 cawan kicap manis, sedikit garam dan perahan limau kasturi

Masukkan bubur ke dalam mangkuk. Cedokkan sup dan tabur bahan lain. Sedia dinikmati


Monday, July 5, 2010

Pengat Biji Nangka

Assalamualaikum wrt semua...

Entah kenapa, hari-hari yang berlalu terasa begitu pantas.... rasa baru je bangun tidur, tau-tau dah tengahari.... siap masak, makan.... tau-tau dah lewat petang.

Rasa macam baru je pergi buat pemeriksaan bulanan pertama untuk 'baby' dalam perut ni, tup-tup... dah masuk 8 bulan kandungan ni... tak lama lagi bertambah le ahli rumah ni.... memang cepat masa berlalu.
Sebelum terlewat, jom kita semak resepi hari ni..

Pengat Biji Nangka ni sedap juga dibuat juadah berbuka puasa. Mau 2, 3 mangkuk habis kalau dah jatuh cinta dengan rasanya. Di rumah ni, semua anak-anak K.An suka... buat tak rugi sebab habis licin tak berbaki. Kalau di Pantai Timur orang panggil Kuih Butir Nangka. K.An panggil pengat Biji nangka dan K.An tambah dengan isi nangka agar rasanya lebih enak dan berlainan daripada pengat yang lain.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 1/2 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung beras -k.An letak agar kuih tidak terlalu kembang, tak letak pun tak apa
3/4 cawan air suam dicampur sedikit pewarna hijau
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh air kapur cair
4-5 biji nangka- dibuang biji dan gunting kecil-kecil
1 helai daun pandan- carik dan simpul

Untuk kuah:

2-3 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1 cawan pati santan


Cara membuatnya:

1 Masukkan tepung pulut, tepung beras, garam dan air kapur ke dalam mangkuk. Campurkan air beserta pewarna hijau sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut.

2. Ambil sedikit tepung, dan bentukkan menjadi bulat bujur seperti di dalam gambar. Susun di atas pinggan/ talam yang ditabur sedikit tepung. Buat hingga habis.

3. Didihkan 2-3 cawan air bersama daun pandan. Masukkan kuih yang siap tadi dan masak hingga timbul seperti memasak buah melaka.

4. Apabila masak kesemuanya, masukkan gula, nangka dan pati santan. Perlahankan api. Masukkan sedikit garam dan kacau hingga pengat mendidih sekali lagi. Matika n api dan sejukkan sebelum dihidang.
****K.An suka makan sebarang pengat atau bubur beberapa jam selepas dimasak kerana ketika ini, rasa kuah telah sebati dengan kuih dan pengat menjadi lebih pekat.

Friday, March 26, 2010

Bubur Jagung

Assalamualaikum semua... moga ceria di hari Jumaat yang indah ini... lagipun ramai kakitangan awam yang menarik nafas lega sebab semalam hari gaji..... selamat juga mengharungi hari-hari mencabar selama hampir 2 bulan. Di hari ceria ni, kita jamu tekak dengan bubur jagung yang sesuai dibuat juadah minum petang.

Mudah dan enak, malahan penyediaannya memakan masa tak sampai 1/2 jam... siap dihidang. Jom kita tengok resepinya:

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

2 tongkol besar jagung manis- buang kulit dan hiris / sisir isinya
2 cawan santan cair**
1 cawan santan pekat
2 sudu besar gula merah/ gula melaka
2 sudu besar gula pasir- ikut citarasa**
1/2 sudu teh garam
1 helai daun pandan- dicarik dan disimpul
2 sudu besar sagu biji- rendam dengan 1/2 cawan air selama 10 minit- lebihkan kalau suka sagu banyak..hihiih..

**boleh tambah/ kurang ikut citarasa ye..

Cara membuatnya:

1. Masak santan cair dengan gula merah hingga gula hancur. Tapis dulu jika gula merah jenis berserat/ berhampas. Masukkan kembali ke dalam periuk. Masukkan gula pasir, jagung, daun pandan dan garam.

2. Masak hingga mendidih. Perlahankan api dan kacau sentiasa hingga jagung masak. Masukkan sagu biji yang direndam tadi. Masukkan santan pekat dan didihkan lagi. Rasa manis, masin dan lemaknya. Jika cukup, bolehlah dimatikan api. Boleh dihidang panas atau sejuk.

Bila bubur telah sejuk, selalunya kuahnya akan kering diserap sagu biji, jika ingin berkuah, tambahkan sedikit air dan panaskan semula. K.An suka sagu yang agak banyak dan dimakan setelah bubur disimpan di dalam peti ais... nyaman je lalu kat tekak ni...

Saturday, February 6, 2010

Bubur Gunting

Alhamdulillah, hari ni Subuh lagi K.An jenguk Periuktanah sebab dah 2 hari tertangguh nak menaip resepi Bubur Gunting ni. Almaklum, bila anak-anak bersekolah hingga hari Sabtu (ganti cuti Tahun Baru China).... alamatnya, hari Ahad kenalah bersilat dari Subuh hingga ke tengah malam...

Mana nak mengemas, menyediakan pakaian sekolah, melawat Iqbal kat asrama, memasak lagi... hmmm.. memang sakit pinggang dibuatnya..
Apapun, pagi ni K.An bangun pagi dengan segar dan cuaca pun alhamdulillah, bagus sekali..

Kembali kepada resepi kita..

Bubur Gunting ni memang nostalgia zaman K.An 'kecik-kecik' dulu. Mudah membuatnya sebab ramai yang tolong gunting (anak mak ramai kan..heheh) dan belanjanya pun murah. Tapi hasilnya... satu periuk besar..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 10 orang sebagai minum petang)

1 1/2 cawan tepung gandum
sedikit garam dilarutkan di dalam 1/2 cawan air

Bahan kuah:

2 helai daun pandan-dicarik dan simpul
2 sudu besar gula merah
3 cawan air
1 cawan santan sederhana pekat
gula putih jika perlu
sedikit garam

Cara membuatnya: Ada masalah nak upload gambar hari ni- nanti K.An masukkan kemudian, bila dah ok ye.,. (blogspot ni pun bermasalah juga sejak akhir-akhir ni)

1. Campurkan tepung dengan air bercampur garam tadi di dalam mangkuk. Uli dengan tangan hingga menjadi doh.(lebih kurang 10 minit) Tambah 1 sudu teh air jika terlalu keras. Adunan memang lebih liat dan kenyal berbanding adunan roti canai.

2. Bahagikan kepada 5 bahagian dan bulat-bulatkan. Bentukkan bujur seperti sosej menggunakan dua tapak tangan dan leperkan setebal 1/2 cm. (semua proses ada dalam gambar yang belum diupload ye)

3. Panaskan kuali leper dengan api perlahan. Letakkan kepingan kuih di atas kuali dan masak selama 2-3 minit untuk setiap bahagian.

4. Angkat dan gunting kecil-kecil. Buat hingga habis adunan.

5. Masak gula merah bersama 1/2 cawan air hingga gula larut. Tapis dan masukkan semula ke dalam periuk. (kadangkala gula merah yang dibeli ni, berserat sikit) Tmbah lagi 2 1/2 cawan air dan didihkan. Masukkan bubur gunting bersama daun pandan. Biarkan api sederhana. Didihkan selama lebih kurang 15 minit sambil dikacau sekali sekala agar bubur tidak melekat di dasar periuk.

6. Setelah bubur masak, masukkan santan dan sedikit garam. Tambahkan gula pasir jika belum cukup manis. Terus mengacau sekali-sekala hingga bubur mendidih sekali lagi. Padamkan api dan biar bubur seketika di atas dapur (5-10 minit)sebelum dihidang. (supaya kuah meresap elok ke dalam bubur)

*** seperti pengat dan bubur jenis lain, kuah akan memekat dan meresap ke dalam kuih setelah bubur sejuk. Jika inginkan kuah cair semula ketika disajikan, campurkan 1/2 cawan- 1 cawan air biasa dan panaskan bubur hingga mendidih. Kacau sentiasa dan gunakan api perlahan. Bubur lebih sedap sebab dah sebati dengan kuah

Thursday, August 27, 2009

Bubur Gandum Mak (resepi mak)

Hari kedua berpuasa di Morib. Tengahari tadi sempat 'ronda' pekan Banting sambil 'beli dan belah'..... Hilang penat puasa anak-anak tu... Hari ni balik awal sikit supaya ada masa untuk jalan-jalan di pantai lepas siap masak nanti.

Seperti kebiasaan, hidangan biasa, cuma ulang resepi kegemaran anak-anak dan tambah 1 resepi baru untuk periuktanah. Hari ni buat sup ayam, kurma ayam, ikan goreng, air asam dan cuci mulut dengan bubur gandum.

Bubur gandum yang k.An buat mungkin tak dapat lawan rasa bubur gandum mak punya yang main agak-agak je, tapi rasanya 5 bintang. k.An yang baru belajar ni, mungkin 3 bintang je kot... tapi cubalah ye.. sedap, tetap sedap...
Sebelum buat, telefon mak dulu, nak 'confirmkan' langkah demi langkahnya....


Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

1 cawan biji gandum- basuh dan toskan
10 cawan air
2 cawan santan sederhana pekat (daripada 1 biji kelapa)
1 helai daun pandan dicarik dan disimpul
1/2 cawan gula pasir
1 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Masukkan air dan biji gandum ke dalam periuk. (guna periuk yang agak besar) Masak dengan
api sederhana hingga gandum kembang dan empuk (lebih kurang 1 jam). Warna gandum akan bertukar daripada coklat ke warna cerah agak putih.

2. Masukkan daun pandan, gula dan garam dan didihkan lagi. Pastikan biji gandum, betul-betul kembang dan empuk sebelum santan dimasukkan. Pada ketika ini, air rebusan pun hampir kering. Tambah air jika gandum belum empuk sepenuhnya.

3. Masukkan santan dan kacau hingga mendidih dan bubur agak pekat. Tutup api dan sejukkan sebelum dihidang. (boleh juga dimakan ketika panas)

Tuesday, June 30, 2009

Bubur Lemak

Satu hari tu, abg.Azam tak sihat. Diserang migraine lagi... dia kalau sakit kepala, alamatnya semua aktiviti di sekeliling akan terhenti.. tup... semua tak kena sebab kepala sakit. Malam tu segala macam benda keluar dari perut dia... macam biasa kalau jadi macam ni dia akan tidur, tidur dan tidur....
Esoknya tak pergi kerja dan K.An masakkan bubur lemak ni untuk sarapan. Isi perut dengan benda lembut macam ni agar mudah hadam.. sambil tu bagi minum air isotonik macam 100+ dan air garam ORS...

Bahan-bahan:

1/2 cawan beras dimasak dengan 5 cawan air.
sedikit halia diketuk
1/2 cawan ikan bilis direndam sebentar dan tumbuk halus
2 ulas bawang putih diketuk
sedikit karot didadu
sedikit kacang panjang dihiris halus atau kacang peas
1/2 biji kentang didadu
1/2 cawan santan
garam secukup rasa

***kicap pedas jika suka

Cara membuatnya:

1. Masak beras hingga lembut dan menjadi bubur. Perlahankan api.Masukkan ikan bilis, bawang dan sayuran. Didihkan dan biar kentang empuk.
2.Masukkan santan dan garam. Tutup api dan sedia dinikmati.

Monday, June 22, 2009

Banjar Asli wajib kenal Wadei Kipeng

Semalam ada program kesukaan ramai di rumah K.An... hihik.. program makan-makan la.. kali ni sebab nak memperkenalkan bakal ahli keluarga baru InsyaAllah. Memandangkan peti ais rumah K.An yang selalunya diisi dengan pelbagai makanan, maka terpilihlah jadi tuan rumah di antara 4 beradik yang ada di kawasan Semenyih, Balakong dan Putrajaya..
Macam-macaaam ada sebab kami sediakan makan tengahari sekali dengan makan petang. K.An masak lauk-pauk daging masak lemak cili api (dengan belimbing buloh), ikan bakar dengan air asam, udang goreng kunyit dan kerabu epal. Kak T bawak triffle, moon bawak agar-agar marble dan Cu Da bawak kek batik. esok K.An masukkan resepi untuk yang lain tu. Hari ni kita layan kuih tradisi Orang Banjar yang selalunya disajikan ketika ada majlis atau kenduri istimewa seperti kenduri bertunang, akad-nikah, pergi ke Mekah, cukur jambul atau apa-apa kenduri kesyukuran yang lain.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

500 gm tepung pulut
1 sudu besar tepung beras
1 sudu teh air kapur cair
2 -3 cawan air suam- ikut jenis tepung
1/4 sudu teh garam
2 cawan air gula melaka/ gula merah (k.an masak 1 keping gula melaka dengan 2 cawan air)-tapis
1 helai daun pandan dicarik dan disimpul
3-4 sudu besar gula putih- ikut citarasa
2 cawan santan sederhana pekat

Cara membuatnya:

1. Masukkan tepung pulut, tepung beras dan garam ke dalam mangkuk. masukkan air kapur dan bancuh tepung bersama air suam sehingga menjadi doh lembut.

2. Masukkan air sedikit demi sedikit supaya doh tidak terlalu lembut atau keras. Sediakan talam besar yang ditabur dengan sedikit tepung gandum atau pulut.

3. Cubit doh dengan hujung jari sebesar duit 5 sen dan bulatkan. tekan bebola dengan dua jari menjadi sedikit leper seperti dalam gambar. Letakkan ke dalam talam. Buat hingga habis.



4. Didihkan air gula melaka bersama daun pandan di dalam periuk. Masukkan kepingan kuih yang telah siap ke dalam periuk. Perlahankan api. Kacau sentiasa hingga kuih timbul (menandakan telah masak) Masukkan santan.


5.Tambahkan gula putih dan garam secukupnya. Didihkan dan tutup api. Wadai kipeng sedap dimakan 3 jam selepas dimasak ketika kuahnya telah meresap ke dalam kuih.

Saturday, April 25, 2009

Pengat Keledek

Semakin hari semakin ramai yang tidak mengenali apa itu pengat, apa itu cucur, apa itu lepat. Anak-anak semakin mengenali donut, kek coklat dan mafin.. Tak salah, sebab K.An pun suka kuih-kuih moden ni.. Tapi.. yang lama dilupa jangan... Terbukti masa K.An bawak pengat ni ke rumah abang ipar.. anak dia tanya..Apa ni..? Haa... nilah pengat keledek. Rasa, jangan tak rasa.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

300 gm keledek -kupas kulit dan potong dadu, saiznya besar sedikit daripada inti karipap
2 cawan santan sederhana pekat
1 sudu besar sagu biji- rendam dalam 1/4 cawan air
1/2 cawan air gula melaka
gula pasir secukupnya
secubit garam
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpul

Cara membuatnya:

1. Rebus keledek hingga empuk. Toskan.
2. Masukkan santan, air gula melaka, daun pandan dan keledek ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana besar. Apabila mendidih, kecilkan api. Masukkan sagu, garam dan gula pasir secukupnya. Kacau sentiasa sehingga sagu jernih kesemuanya. Tutup api dan sedia dihidang panas atau sejuk.

Saturday, February 14, 2009

Bubur Kacang

Ingat lagi tak peristiwa tsunami yang melanda Acheh, Phuket, Sri Lanka, Balik Pulau dan beberapa kawasan lain pada akhir Disember 2004? Banyak liputan dibuat dan antaranya krew Majalah 3 telah ke Acheh untuk melihat sendiri keadaan mangsa tsunami dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

Masih terbayang airmata Norzie Pakwan Chik yang tersentuh dengan keadaan mangsa dan kemusnahan yang berlaku di sana. Antara slot yang paling K.An ingat, pihak sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa di khemah perlindungan sementara mereka dengan serba kekurangan. Menunya ialah bubur kacang ringkas... Kacang hijau direbus empuk dan dicampur gula.. tanpa santan.. cuma air sebagai kuah. Walau ringkas, tapi cukup khasiat bagi membekalkan tenaga kepada mangsa terutamanya kanak-kanak yang kekurangan bekalan makanan.
Dalam erti kata lain, penyediaan bubur kacang, memerlukan kos yang sedikit tetapi khasiatnya banyak.. Menyingkap hari-hari masa kecil K.An, emak akan masak bubur kacang dalam periuk besar cukup untuk kami 10 beradik makan berulangkali dari pagi sampai petang. Biasanya kami makan bubur kacang dengan pulut atau biskut tawar ('cream-cracker') supaya lebih kenyang.
Nak tau nikmatnya, cubalah sendiri...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 mangkuk)

1/2 cawan kacang hijau- direndam semalaman

1 cawan santan pekat

1 helai daun pandan disimpul

2-3 sudu besar gula pasir

1 sudu besar sagu biji direndam dengan sedikit air selama 5 minit

1 sudu besar gula merah jika suka

1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Toskan kacang hijau. Masukkan ke dalam periuk bersama 2 cawan air dan rebus hingga empuk (kira-kira 30 minit) lebih cepat jika guna periuk tekanan.

2. Apabila kacang telah empuk, masukkan daun pandan, gula pasir dan gula merah. Didihkan.

3. Masukkan santan dan perlahankan api. Masukkan sagu dan garam. Kacau rata dan biar mendidih. Bila bubur nampak pekat tutup api dan sedia dihidang.

Wednesday, January 14, 2009

Bubur Asyura Manis

Bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ni, K.An teringat resepi Bubur Asyura yang K.An tulis untuk mama esyaelyn tahun lepas. Masa tu K.An bagi panduan je. Kebetulan K.An ke pasaraya Sabtu lepas dan lalu di seksyen kekacang. K.An ambil sikit-sikit 3 jenis kacang (dlm 50 sen ke Rm 1.00 harganya) dan buat bubur Asyura manis ni..

Rujuk resepinya di post 2008...




Wednesday, November 12, 2008

Bubur 'Asyura


Assalamualaikum,

Bila mama esyaelyn minta resepi bubur asyura, K.An terus teringat kemeriahan menyediakan bubur 'Asyura di kampung. Masa kecik-kecik dulu memang 'best' ikut mak pergi surau masa kenduri 'Asyura. Kalau kenduri kahwin, tukang masaknya lelaki, tetapi hari ni, kaum Hawa diberi peluang berkumpul ramai-ramai di surau seawal pagi untuk menyediakan bubur 'Asyura. Budak-budak macam K.An waktu tu pulak dapat le main-main dengan kawan-kawan kat keliling surau.

Setiap orang akan bawak bahan-bahan mentah ikut kemampuan masing-masing. Ataupun yang ada ditanam di keliling rumah. Contohnya beras, keledek, jagung, labu, Sayur pucuk manis, kacang panjang, labu air, cili dan macam-macam lagi... Meriah...! Sampai sekarang tradisi tu masih ada di kampung K.An (Parit Haji Amin), cuma K.An tak berpeluang balik masa hari buat bubur tu... rindu jugak suasananya.

Elok jugak agaknya kalau sesekali kita pakat ramai-ramai kongsi bahan, buat bubur 'Asyura kat pekan ni. Jimat pun jimat... makan pun sedap.. he..heh

Bubur 'Asyura manis

Bahan-bahan:

Pelbagai jenis kacang ikut kegemaran, tapi K.An selalu buat yang paling asas;

Kacang hijau, kacang merah, kacang putih, kacang parang, kacang kuda dan kacang soya
Semuanya sikit-sikit, lebih kurang segenggam. Senang kalau beli di pasaraya yang timbang sikit-sikit tu.

K.An dah buat:

1/2 cawan kacang merah (kidney bean)
1 cawan kacang hijau
1/2 cawan kacang putih (black eyed bean)
2 sudu besar sagu biji
1/2 cawan air gula melaka (pekat daripada sekeping gula melaka)
1/2 cawan- 3/4 cawan gula pasir (ikut rasa manis)
2 sudu teh garam
5 cawan santan
1 cawan tepung beras
5 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
1 helai daun pandan diikat
4 biji pisang awak masak dihiris 1/2 sm

Cara-cara:

1.Rendam semua kacang berasingan semalaman. Pagi tu, rebus kacang, berasingan juga sampai empuk. Lebih mudah kalau rebus guna 'pressure cooker'. Kalau guna periuk biasa, kena sabar sikit sebab ada kacang yang agak keras dan lambat empuk.

2.Bila dah empuk, toskan kecuali kacang hijau dan ketepikan dulu.

3.Sambil tu sedia bahan lain untuk dijadikan kuih. Masukkan santan, air gula merah, gula pasir, tepung gandum, tepung beras, daun pandan, tepung jagung ke dalam periuk. Masukkan semua kekacang.

4. Kacau dulu guna pemukul ('whisk') hingga tepung larut. Cedok 2 cawan campuran kacang, santan dan tepung dan kisar dengan pengisar basah hingga halus. Masukkan semula ke dalam periuk.
5. Hidupkan api sederhana. Kacau sentiasa bubur dengan senduk agar tidak hangus. Apabila bubur mula mendidih, perlahankan api.

6. Bila bubur pekat masukkan pisang dan garam. Tambahkan gula putih kalau masih belum cukup manis.

Kalau suka, boleh tambah jagung, nangka atau kismis, supaya ada rasa masam-masam manis.. Bila bubur telah pekat dan berkilat, keluarkan daun pandan dan tuang bubur ke dalam
loyang atau bekas. Ratakan dan sejukkan.

Bila dah sejuk boleh dipotong macam kuih talam..

*** kali pertama cuba, mungkin tak berapa jadi, tapi jangan putus asa, cuba dan terus mencuba..
***kepada yang tak tahan makan benda berangin macam kacang-kacang ni (macam adik K.An si Nida.. he.heh..) sedialah minum air halia madu atau makan pil garlic kalau tak nak sakit perut.

Sunday, November 2, 2008

Pot Luck

Minggu lepas, kak azah sms kata nak buat makan-makan keluarga kat rumah dia. Dia tempah nasi dan lauk-pauk. Kami dari Putrajaya diminta buat pencuci mulut. Satunya tepung talam, dan dua lagi K.An sukarela nak buat. Saja suka-suka. Jadi K.An masak yang kami anak-beranak memang suka makan.. pengat pisang, tepung talam dan cara berlauk.


Pengat pisang

Bahan-bahan:
1 sikat pisang awak di potong serong 1/2 sm tebal
1 sudu besar sagu halus direndam dengan 2 sudu besar air
4 cawan santan cair
gula secukup rasa
2 sudu teh garam
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpul
* boleh ditambah gula merah/ melaka ikut cita rasa
Cara-cara: (senang je..)
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali gula dan sagu.
2. masak menggunakan api sederhana hingga mendidih. Perlahankan api dan masukkan gula. Mula dengan 2 sudu besar. Tambahkan sedikit demi sedikit ikut citarasa.
3. Masukkan sagu. Kacau sentiasa pengat, agar tidak pecah minyak selama lebih kurang 3 minit dan pengat mendidih. Tutup api dan sedia dihidang panas atau sejuk.
** pisang awak boleh diganti dengan pisang abu atau pisang raja

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin