Monday, October 10, 2011

Menjamu Selera di Al-Sinni

Alhamdulillah...berbaloi jalan-jalan cari makan K.An dan keluarga malam Jumaat lepas setelah restoran yang ingin K.An kunjungi tidak beroperasi....maka kami membuat lencongan mencari restoran lain dengan hasrat ingin mencuba menu baru.. beberapa restoran kami tinjau dan akhirnya kami singgah di Restoran Chinese Muslim Al-Sinni yang baru dibuka di jalan Sungai Merab Bangi.... (berhampiran Perantau Hill-tetapi di jalan arah bertentangan)



Restoran ini beroperasi dari pukul 7.00 malam hingga 11.00 malam- buat ketika ini. Menghidangkan sajian Buffet steamboat dan BBQ dengan harga yang amat berpatutan. RM 19.90 bagi dewasa dan kalau tak silap K.An RM 9.90 untuk kanak-kanak.

Memandangkan ini cubaan pertama, maka kami memilih untuk makan ala-carte sahaja... Ada banyak menu ala-carte makanan China dan Arab... Tuan punya restoran Encik Yusof mencadangkan kami mencuba Nasi Ayam Hainan dan Nasi Bukhara Kambing....

Alhamdulillah...memang sedap dan menepati citarasa kami sekeluarga... memang boleh datang lagi lain kali, bawak Asma' dan Iqbal pulak...
Ini seksyen buffet steamboat dan BBQ... macam-macam ada.. buffet termasuk minuman, nasi goreng, ais-krim dan pencuci mulut... Yang paling K.An suka, syarat restoran ni, jangan membazir makanan. Setiap sisa makanan akan ditimbang dan dikenakan caj RM 10 setiap 100 gm...

Set yang dihidangkan memang banyak.. jadi kami pun asalnya cuma nak cuba.. kat rumah tadi dah makan pun... maka kami pun bungkus makanan yang tak dapat dihabiskan...

Kepada pembaca periuktanah, bolehlah ramai-ramai pergi ke Al-Sinni .. sambil makan sambil beri sokongan kepada Encik Yusof dan anaknya Aiman yang turut sama memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah mengusahakan restoran halal untuk umat Islam...

Doa K.An dan keluarga, moga Al-Sinni terus maju ke hadapan. Terima kasih banyak atas layanan Encik Yusof dan kakitangan semua...

Sunday, October 2, 2011

Kuih Kasturi / 'Cucoq' Kacang

Budak-budak zaman sekarang, kalau tunjuk kuih ni kat kedai, sahih 90 % tak tau nama dia.. apalagi pernah merasanya... almaklum, kuih kasturi ni memang tradisi betul dan jarang orang hidang di jamuan atau di kenduri  di bandar-bandar ni. Jual di gerai tepi jalan macam karipap dan pisang goreng pun payah nak jumpa. Cuma sejak akhir-akhir ini boleh juga kita jumpa kuih kasturi sejuk beku yang dikomersialkan.... alhamdulillah, taklah kuih ini pupus ditelan zaman...

Dulu-dulu masa K.An kecik, mak selalu buat kuih kasturi atau kami panggil 'cucoq Kacang' ni sebab kosnya amat murah dan hasilnya banyak.... sesuai dengan rakyat jelata di rumah..hihihi... jadinya, memang tahu sangat macamana nak membuatnya. cuma sebelum-sebelum ni, K.An pun main agak-agak je... Tapi untuk kemudahan semua, kali ni K.An bagi sukatan.... Boleh cuba nanti..

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 40-30 biji kuih kasturi mengikut saiz masing-masing)

2 cawan kacang hijau- rendam dengan air secukupnya semalaman
1 cawan kelapa parut putih
3/4 cawan gula pasir
1-2 sudu besar gula merah- ikut citarasa manis
sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak

Bahan salutan tepung:

1 cawan tepung gandum
1 biji telur
air secukupnya
sedikit serbuk kunyit dan sedikit garam
Minyak masak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Keesokan paginya, toskan kacang hijau dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan 2 cawan air biasa dan rebus kacang sehingga empuk dan kembang. (lebih mudah dan cepat jika menggunakan periuk tekanan)

2, Masukkan gula pasir, garam dan kelapa parut. Kacau rata dan perlahankan api bila kacang mula kering. Tambahkan gula merah ikut citarasa. Gaul lagi hinggalah campuran kacang menjadi pekat dan tidak berair.

3. Matikan api dan masukkan kacang ke dalam dulang ,talam atau loyang. Ratakan setebal kira-kira 1 sm. Sejukkan kira-kira 2-3 jam. (Kalau sikit, cepatle sejuk)

5. Setelah sejuk, jemputkan kacang dan bulatkan anggaran sebesar bola ping-pong. Leperkan dan padatkan. Buat sehingga habis campuran kacang.

6. Sediakan bancuhan tepung. Teksturnya agak cair sedikit daripada tepung pisang goreng agar kuih bersalut cantik. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.

7. Celupkan kuih ke dalam tepung dan goreng hingga kekuningan.... Angkat, toskan dan sedia dinikmati. 

Jika ingin dibekukan, goreng kuih separa masak dan susunkan di dalam bekas bertutup. Bekukan dan kuih ni tahan berbulan-bulan di dalam peti beku... Bila nak makan, cuma perlu digoreng semula hingga garing..
Selamat mencuba...!!!

Saturday, October 1, 2011

TomYam Kelapa Muda

Kali pertama makan TomYam kelapa Muda di Nim's Little Island Cafe- Jalan Sungai Ramal Dalam, kami sekeluarga terus jatuh cinta dengan kesedapannya.. dah  lebih 2 tahun rasanya kami dok berulang-alik ke sana semata-mata kerana nak menikmati tomyam kelapa Muda... almaklum, walaupun boleh buat sendiri, tapi nak juga rasa air tangan tukang masak di restoran tu.... lagipun sekali-sekala, nak juga berekreasi di luar kan...? Tapi di bulan puasa, bila teringin nak makan, malas pulak nak bersusah payah makan di kedai.. sudahnya K.an buat sendiri di rumah je... Boleh juga K.an kongsi resepinya dengan semua...
 Cara K.An memang sentiasa mudah... Mula-mula, beli kelapa muda.. seeloknya isinya yang sedang elok lembut dan tidak terlalu tebal...
Sediakan bahan tomyam dan masak tomyam... Bagi K.An paling sesuia buat Tomyam Kung sebab tomyam ni agak pekat dan bila dicampur air kelapa, memang sesuai rasanya... Boleh semak resepi TomYam Kung di sini
 Bila dah siap tomyam, hiriskan bahagian atas kela[a dan lebarkan bukaannya. Keluarkan airnya. Biarkan isi di dalam. Campurkan tomyam dengan air kelapa dan masukkan semula ke dalam kelapa... sedia dihidang. Kokot isi kelapa dengan sudu dan makan bersama isi tomyam... Selamat Mencuba..

Syawal 1432 Hijrah... sana- sini...

Assalamualaikum warahmatullah...

Puas bercuti panjang, pagi ni K.An kembali bersiaran bersama anda semua.. dengan harapan tak ada yang merajuk sebab dah lama K.An tak kongsi resepi baru...

Sebenarnya, bukannya periuktanah ganti periuk atau gantung periuk, cuma tuannya yang masih dalam proses menyesuaikan diri mengatur masa untuk berkarya kembali. Untuk pengetahuan semua, K.An sehingga hari ini, dah lebih 2 bulan K.An jadi pengasuh 'baby' Aireen- puteri sulung jiran sebelah rumah K.An di Putrajaya ni..

Maka... K.An kembali sibuk menguruskan rumahtangga dan anak-anak dan tak berkesempatan mengadap lap-top segala.... apatah lagi nak mengarang cerita panjang-panjang untuk tatapan semua. Ditambah kesibukan bulan Ramadhan dan Syawal... hmmm.... maka, K.An ambik cuti sendiri le jawabnya...

Lagipun Ramadhan kali ini, kami sekeluarga ( K.An , abang Azam, Sarah, Aisyah dan Maryam)hampir setiap hari berbuka puasa ramai-ramai dengan jemaah Surau Al-Mizan... Bukan sahaja meriah, malahan dapat merapatkan ukhuwwah sesama jemaah... anak-anak pun seronok...
Raya.. kami balik bercuti di kampung halaman di Perak selama 6 hari... alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar.. hampir setiap hari, K.An sinsing lengan menjamu orang kampung dan tetamu yang masing-masing dah ada menu permintaan....hmmm.. puas hati juga dapat jamu orang. Mak mertua K.An pun tak ketinggalan minta buatkan itu-ini...
Sekembali ke sini, selain sibuk dengan tugas seharian, kami sibuk juga dengan jemputan rumah terbuka dan sibuk menerima tetamu yang datang berkunjung... alhamdulillah pendek kata, Syawal kali ini sungguh bermakna buat K.An sekeluarga...

Di sini K.An paparkan sebahagian gambar-gambar sekitar Syawal...


 Majlis sambutan Aidilfitri Surau Al-Mizan
Menjamu bekas student K.An di UiTm dulu, Fizah dan Hairul dan keluarga
Di rumah terbuka rakan baik Ustaz Wan Hamiluddindan Munirah
Yang ini, di rumah terbuka Haji Omar dan Kak Sal di kediaman indah mereka di Bangi
Maryam dapat duit raya dari Makcik Salehan..
Rumah terbuka rakan Asma' -Fatini, juga di Bangi... terima kasih sudi jemput kami ke kediaman mereka
Yang ini, tetamu paling jauh.. Kak Sharifah dari Sarawak.....jamu mee Tomyam Kung...

Wednesday, September 7, 2011

Salam AidliFitri..

Walaupun seminggu telah berlalu, masih belum terlambat rasanya untuk K.An ucapkan Salam AidilFitri untuk semua pembaca Periuktanah.. samada yang jauh ataupun dekat.. yang dikenali mahupun tidak. Maaf Zahir Batin kami pinta andai ada salah dan silap. Terima kasih atas sokongan semua yang sentiasa memeriahkan Periuktanah...

Wednesday, August 24, 2011

Pisau Seramik... sentiasa tajam tanpa perlu diasah..

Pisau dan tukang masak memang tak dapat dipisahkan, sehinggakan menjadi logo utama rancangan Top Chef. Dari sekecil bahan seperti bawang hinggalah ke daging lembu yang banyak.. ketajaman pisau sangat penting untuk mempercepatkan proses memasak. Memang penat dan remeh jadinya kalau sekejap-sekejap nak kena mengasah pisau yang tumpul selepas digunakan.

Baru-baru ni K.An diperkenalkan dengan sejenis pisau yang dapat mengatasi masalah tersebut. Kawan kepada adik K.An mengedarkan pisau yang takkan tumpul walaupun digunakan berulangkali. Tak sangka dan tak percaya pada awalnya, tapi setelah menggunakannya sendiri, barulah K.An percaya.


 Menghiris bawang dan karot dengan mudah... malah, sangat nipis..
Memotong buah-buahan dengan mudah
Yang paling menakjubkan, K.An boleh potong bahagian atas kulit kelapa dengan potong licin seperti di dalam gambar tu...

K.An juga boleh memotong daging berkilo-kilo tanpa perlu mengasahnya semula..(sesuai nak buat rendang raya nanti) kalau tak percaya, anda boleh cuba sendiri kerana pisau seramik ini didatangkan bersama jaminan kepuasan pelanggan. Kalau dah beli, tapi tak berpuashati dengan prestasinya, boleh dikembalikan kepada pengedarnya. Kepada yang berminat, klik saja di iklan pisau seramik di bahagian atas periuktanah atau layari pisauseramik.com.

Tuesday, August 23, 2011

Sup Tulang Merah Singapore


Boleh dikatakan, Sup Tulang Merah ni adalah antara resepi cubaan K.An yang wajib diulang buat kerana kesedapannya dan digemari seluruh ahli keluarga. Nak dijadikan cerita dan rezeki semua, masa k.An tayang resepi Sup Jln Doraisamy dalam FB, salah seorang kawan K.An di UIA-Hasbe Zuraini 'request resepi Sup Tulang Merah ni. K.An pulak tak pernah rasa, tapi rezekilah katakan... jiran K.An Hajah Firooz yang juga jemaah surau Al-Mizan, jamu jemaah surau dengan Sup Tulang Merah untuk Berbuka Puasa hujung Minggu ke-2 berpuasa. Walaupun K.An tak sempat menyertai jemaah lain berbuka di surau, Hjh Firooz dan Kak Sabariah ajk surau 'tapaukan' sup tu untuk kami rasa. Alhamdulillah... memang sedap. Almaklum Hajah Firooz yang memang pakar masak ni asalnya Singapura... maka dapatlah K.An rasa keaslian sup ni..........  Untuk memenuhi permintaan Hasbe, K.An googlekan resepinya dan dapat dari blog favourite Recipe..

Setelah dicuba.. alhamdulillah, dapat cop lulus daripada food tester periuktanah...

Inilah resepinya: (hidangan untuk 5 orang)

1 kg tulang- pastikan banyak dagingnya.. kalau ada tulang gear-box atau tulang rawan lagi bagus
1/2 cawan sos tomato (k.an tak ada stok jadi K.An gantikan dengan 1 biji tomato masak ranum dikisar)
1/4 cawan sos cili
1/4 cawan cili kisar/ ciliboh
1/4 cawan minyak untuk menumis
1/2 sudu besar tomato puri- K.An gunakan 2 sudu besar
2 sudu besar bawang goreng
** 5 ulas bawang  merah
**5 ulas bawang putih
**1 inci halia

** kisar atau tumbuk halus
1 sudu besar jintan manis dan 2 sudu besar jintan putih disangrai dan ditumbuk halus
1 sudu teh serbuk  lada hitam
 rempah 4 beradik (kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga)
garam dan gula secukup rasa
air secukupnya

Cara membuatnya:

1. Rebus tulang dalam air yang mencukupi hingga dagingnya empuk.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah 4 beradik hingga terbit bau wangi. Masukkan jintan yang dikisar dan cili kisar.. Masukkan sos tomato, sos cili dan tomato puri dan kacau hingga terbit minyak. Masukkan semua bahan tumisan ke dalam periuk yang berisi tulang dan air rebusan.

3. Didihkan dan masak hingga kuah agak pekat. Masukkan serbuk lada hitam dan perasakan dengan garam dan gula. Akhir sekali taburkan bawang goreng dan sedikit daun sup dan bawang. Sedia dimakan bersama nasi putih atau roti...

terima kasih Tirana dari favourite recipe atas resepi yang sedap ini...
***kepada yang suka pedas, boleh tambah serbuk lada hitam atau cili kisar...

Bubur Pulut Hitam

Assalamualaikum.. salam Ramadhan untuk semua.. moga kita terus diberi Rahmat dan Keberkatan Allah di bulan yang mulia ini.

Sedar tak sedar, hari ni dah masuk hari ke-23 kita berpuasa dan berada di Bulan Ramadhan. Sangat singkat rasanya. Seminggu dua ni pulak anak-anak K.An kurang sihat sebab demam, batuk dan selsema.. maka tak berkesempatan K.An nak mengadap skrin ni untuk mengemaskini resepi terbaru... ampun maaf dipinta.

Untuk ringkas cerita, hari ni K.an kongsi resepi bubur pulut Hitam yang K.An masak di minggu kedua puasa. Memang puashati bila buat sendiri bukan sahaja banyak, tapi cukup rasa lemak manisnya. Terima kasih Cikgu Azhari yang bagi beras pulut hitam tu.. katanya buah tangan dari Kedah.. memang elok berasnya..

Bahan-bahan: (cukup untuk 20 orang makan)

2 cawan beras pulut hitam
10 cawan air
3 cawan pati santan daripada 2 biji kelapa (atau jika menggunakan kelapa parut- ambil 2 cawan santan cair dan 2 cawan pati santan)- tinggalkan 1/2 cawan untuk tambahan santan ketika menghidang
1/2 cawan gula putih- tambah jika suka lebih manis
1 sudu teh garam
2 helai daun pandan- dicarik dan simpul

Cara membuatnya:

1. Basuh beras dan toskan.
2. Masukkan ke dalam periuk yang tebal dan campurkan dengan 10 cawan air. Rebus hingga beras lembut dan betul-betul kembang . Masa memasak lebih kurang 3 jam menggunakan api kecil. Kacau sekali-sekala.

3. Apabila beras telah kembang masukkan santan cair/ sedikit air bersama daun pandan. Masukkan gula dan biar mereneh hingga bubur nampak pekat. Tambahkan garam dan pati santan. Apabila mendidih, kacau sedikit dan matikan api. sedia dihidang bersama pati santan yang dimasak bersama sedikit garam.

*** Tips bubur pulut hitam yang sedap: beras mestilah betul-betul kembang (pecah dan tiada rupa beras lagi)sebelum dicampurkan santan.
*** Bubur yang lebih lemak, lebih sedap. Untuk menjaga kesihatan, gantikan sebahagian santan dengan susu cair,

Wednesday, August 10, 2011

Ais-Krim Goreng....mesti cuba..

Malam ni, lepas berbuka , solat Maghrib, solat isya' dan Tarawikh, Tadarrus Al-Quran.. lepas tu boleh sediakan ais-krim goreng ni untuk berbuka puasa esok.. Cuba, jangan tak cuba...

K.An terpandang cara membuatnya dari album seorang kawan di fb.. Suziyana Sulaiman... tak sabar-sabar K.An nak mencubanya. Pergi kedai, beli ais-krim dan roti dan buat senyap-senyap dengan anak-anak. Siap digoreng, ... tadddaaa.. suprised untuk Abang Azam... terkejut betul dia..hihihi... thanx Suziyana.. kata suzi dia dapat resepi daripada MyResipi, tapi K.An cari-cari, tak terjumpa.. nanti kalau jumpa, K.An add linknya kemudian.


Bahan-bahan: 

ais-krim apa-apa perisa- K.An beli ais krim neopolitan Nestle.. ada 3 pilihan ikut citarasa masing-masing
1 buku besar roti sandwic

Cara membuatnya: ikut seperti di dalam gambar
1. Ambil sekeping roti sandwic. Tekapkan bentuk bulat menggunakan gelas atau cawan plastik. Buat banyak-banyak.  (Kubit/kulit roti tu jangan dibuang, boleh buat puding roti nanti..)
2. Cedokkan ais-krim secukupnya. Letakkan kepingan roti kedua di atas ais-krim. Tekan keliling menggunakan dua jari agar bahagian tepi tidak terbuka. basahkan sedikit dengan air agar melekat elok.
3. Simpan dalam bekas bertutup. Bekukan 3-4 jam atau semalaman.

4. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Keluarkan aiskrim daripada freezer. Goreng ketika minyak cukup panas selama 1-2 minit untuk setiap bahagian. Angkat dan makan segera... Rangup di luar, sejuk di dalam... yummmy....




Tuesday, August 9, 2011

Ayam Panggang Ummi... Juadah Berbuka boleh, Sahur pun boleh...


Assalamualaikum, salam sejahtera, salam persaudaraan daripada K.An untuk semua.. alhamdulillah, hari ni dah masuk hari ke-9 kita berpuasa..  Tahniah kepada yang telah berjaya mengharunginya dan tahniah kepada yang istiqamah dalam menunaikan ibadah lain seperti solat Tarawikh, bertahajjud, bertadarus dan juga bersedekah... rebutlah peluang yang Allah berikan dengan sebaik-baiknya.

Tanpa berlengah lagi, hari ini K.An sajikan resepi Ayam Panggang Ummi.. resepi ringkas dari periuktanah. Campak-campak je bahannya ikut citarasa K.An. Alhamdulillah... disukai semua.

Ini resepinya:

1 ekor ayam (K.An gunakan yang beratnya hampir 2kg). K.An belah 2 supaya mempercepatkan masa memasak. Jika guna spring Chicken (yang kecil tu) tak perlu potong.

1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh garam halus
1 sudu besar daun rosemary kering
1 sudu besar oregano kering
1 sudu teh paprika (serbuk lada benggala merah)
1 sudu besar serbuk lada hitam- ikut citarasa
2 sudu besar minyak masak / minyak zaitun
*** sedikit kicap manis jika suka

bahan untuk merenjis ayam

1 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu besar minyak masak
1 sudu besar air
1 batang serai dititik- biarkan panjang supaya senang dipegang

*** tumbuk lumat bawang merah dan putih. Masukkan ke dalam mangkuk dan campurkan minyak dan air.


Cara membuatnya:

1.Letakkan ayam di dalam dulang. Taburkan semua bahan ke atas ayam dan ratakan ke seluruh bahagian. Jika ayam tidak dipotong, ratakan juga rempah ratus di dalam perut ayam. Masukkan ke dalam zipper bag dan perap selama 2-3 jam di dalam petisejuk.

2. Setelah diperap, letakkan ayam di dalam dulang pembakar. Panaskan oven ke suhu 200 darjah Celcius. Jika oven mempunyai fungsi grill, gunakan fungsi grill.

3. Masukkan ayam ke dalam oven dan bakar selama 1 jam atau sehingga ayam masak. Renjis ayam dengan bahan renjis setiap 10 minit. Terbalikkan ayam setelah 1/2 jam dibakar agar ayam masak rata.  Untuk mengetahui ayam sempurna masaknya, cucukkan bahagian peha ayam dengan pisau. Jika air yang keluar dan isi ayam lembut, maka ayam sudah masak sepenuhnya. (sebaliknya jika darah yang keluar..)

Ayam boleh juga dipanggang di atas dapur arang atau kuali grill... bezanya, ayam yang dibakar di dalam oven, isinya lembut dan berair di dalam..

Menu sampingan Ayam panggang Ummi, Kentang bakar dan Coleslaw... hmmm, yummy. Untuk resepi kentang klik sini ye...

Friday, August 5, 2011

Menu ala-ala kampung ... Ikan Tilapia Sambal Goreng Cili Hijau


Alhamdulillah, petang semalam hujan membasahi bumi Putrajaya lagi... terasa sejuknya udara di luar rumah mengurangkan rasa letih berpuasa. Syukur atas Rahmat Kasih Sayang Allah kepada hamba-hambaNya yang lemah lagi tak  berdaya ini.

Tanpa banyak bicara, mari kita tinjau menu Periuktanah hari ini... Menu ala-ala Kampung yang ringkas tapi membangkitkan selera. Ikan Tilapia dengan Sambal Goreng Cili Hijau. Resepi dikongsikan oleh salah seorang pengunjung Periuktanah beberapa bulan lepas.. K.An pun tak salin tapi sekadar menyimpan dalam memori kurniaan Allah. Alhamdulillah bila dah siap, rasanya betul dah, sukatan bahan dan caranya..

Ini resepinya : (hidangan untuk 2-4 orang bersama lauk-pauk lain)

2 ekor Ikan Tilapia Merah saiz sederhana-bersihkan dan cuci dengan asam limau
- lumurkan dengan sedikit garam dan kunyit dan goreng separa garing- ketepikan

Bahan sambal:

6 tangkai cili hijau
1/2 sudu teh belacan
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit garam dan gula
1/2 sudu teh asam jawa xtra Adabi
sedikit minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Tumbuk bawang merah dan bawang putih. Kisar cili hijau bersama belacan menggunakan pengisar kering.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu dan berbau wangi. Masukkan cili yang telah dikisar tadi bersama sedikit air. Tumis sehingga terbit minyak.

3. Masukkan asam jawa, garam dan gula dan kacau sambal hingga berkilat. Matikan api dan tuang sambal ke atas ikan. Sedia dihidang.

K.An masak bersama sayur kobis masak lemak dan hati ayam goreng kunyit... mmmph memang licin periuk jadinya.
***sambal goreng ni boleh dibuat banyak dan simpan dalam peti sejuk. Msa bangun untuk sahur, kita hanya perlu goreng ikan yang baru dan gaulkan dengan sambal... tak ada la layu mata nak bersahur...

Wednesday, August 3, 2011

Sup Tulang Jalan Doraisamy

Mari-mari salin resepi... lepas tu jangan simpan dalam laci je tau.. pergi pasar, cari bahan yang diperlukan, terus buat... haaa.. lepas tu baru tau kesedapannya..

Assalamualaikum wrt semua.. alhamdulillah dah selesai puasa hari kedua dan tarawikh malam ke-3... moga Allah beri kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan kemampuan beribadah di bulan yang mulia ini. Jangan lupa, memasak pun jadi ibadah jika kita niatkan kerana Allah Ta'ala dan juga boleh tambah lagi pahala jika dikongsi bersama jiran tetangga.

Berbalik kepada Sup Doraisamy yang K.An tayang gambarnya di sini tidak dimasak di Jalan Doraisamy ye, tapi dimasak di Putrajaya... resepinya K.An dapat daripada Blog Chef  Saadi di jommakan_saadi.blogspot.com Dengan kepakaran chef, K.An percaya 100 % resepi yang dikongsi dan terus mencubanya beberapa hari lepas. Alhamdulillah, walaupun kami sekeluarga tak pernah sekalipun makan sup Doraisamy, tapi sup yang K.An hasilkan, mendapat markah tinggi daripada pengkritik makanan di rumah ni... hilang penat-lelah mengerjakan sup ni yang agak renyah kerjanya berbanding sup Siam kegemaran K.An.

Resepinya mengikut resepi Chef saadi dan K.An tambah sikit bahan ikut citarasa K.An.. Terima kasih chef atas resepi yang sedap ni.

Bahan-bahan: (anggaran hidangan untuk 5 orang)

1 kg tulang yang ada daging- boleh juga guna tulang rusuk/rawan- K.An tambah lebih kurang 200 gm daging tetel
2 sudu besar rempah kurma
6 biji buah keras ditumbuk halus
8 biji bawang merah dikisar
1/2 inci halia diketuk- K.An gunakan halia muda dihiris nipis
3 ulas bawang putih dikisar
1 batang kulit kayu manis
6 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
4 biji kentang dibuang kulit- K.An gunakan 2 biji kentang bersaiz besar
2 batang seleri dipotong anggaran 1 ini panjang
garam dan lada hitam secukup rasa
***K.An tambah 1 biji tomato dibelah 8 dan sedikit gula

Cara membuatnya:

1. Rebus tulang dan daging sehingga empuk. Jika menggunakan periuk tekanan, tulang direneh anggaran 1 jam. Jika menggunakan periuk biasa, reneh(didihkan daging dengan api perlahan dan periuk bertutup) selama 2-3 jam.
3. Masukkan kentang dan seleri ke dalam periuk rebusan dan biar empuk. Setelah kentang lembut, keluarkan kentang dan seleri dan kisar halus bersama sedikit air rebusan. Masukkan semula ke dalam periuk rebusan.

4. Di dalam kuali lain, tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi... (kalau nak tahu, baunya memang wangi dan membuka selera). Kemudian masukkan rempah kurma yang telah dibancuh dengan sedikit air dan tumis lagi hingga terbit minyak. Masukkan buah keras dan kacau seketika. Masukkan tumisan rempah tadi ke dalam periuk sup. 

5. Masukkan garam, tomato, sedikit gula dan lada hitam kisar secukupnya. Biar mereneh hingga sup agak pekat. Taburkan daun sup dan bawang dan sedia dihidang bersam nasi putih atau roti sandwic...

Saturday, July 30, 2011

Pengat Labu Berjagung

Seminggu yang berlalu, K.An menghabiskan banyak masa dengan mengemas pejabat aka tempat  bekerja  K.An iaitu DAPUR... mengemaskini peti ais, melupuskan barang-barang yang sepatutnya dilupuskan dan menyusun-ataur bahan mengikut keperluan bulan Ramadhan.  Sambil-sambil tu, menghabiskan saki baki stok bahan mentah yang tinggal sedikit di dalam peti ais. Ambil situ-sini, maka terhasillah  Pengat Labu berjagung ni...
Sesuai untuk berbuka puasa atau boleh juga dijadikan juadah ringan selepas solat Tarawikh..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

200 gm labu kuning yang telah dibuang biji- kupas dan potong dadu
1 tongkol jagung manis- dihiris isinya
1 cawan air
1 cawan santan cair
1/2 cawan pati santan
1 sudu besar gula merah/gula melaka/ gula perang
gula pasir secukupnya
secubit garam
1 helai daun pandan-dicarik dan disimpul
2 sudu besar sagu biji direndam dengan 1/2 cawan air selama 10 minit

Cara membuatnya:

1. masukkan labu kuning bersama 1 cawan air ke dalam periuk. Rebus sehingga labu lembut. Jangan terlalu lembut sebab ada sesetengah labu jenis yang hancur jika terlebih masak.
2. Masukkan jagung, santan cair, daun pandan, gula merah dan didihkan seketika hingga jagung empuk. Gunakan api sederhana sambil kacau pengat sekali-sekala. Masukkan pati santan dan sagu biji.

3.Akhir sekali Tambahkan sedikit gula pasir dan sedikit garam ikut citarasa  masing-masing. Apabila sagu jernih dan kuah memekat, matikan api. Sedia dinikmati ketika panas atau sejuk.
K.An suka sangat pengat ni sebab ada gabungan tekstur lembut pada labu dan tekstur rangup pada jagung. Rasa manis asli labu dan jagung juga sungguh sedap...

Wednesday, July 27, 2011

Nostalgia Ramadhan....Kuih Kosui Pandan

Setiap kali tibanya Ramadhan, ada satu perasaan halus di sudut hati ini yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ketenangan, kemeriahan, kehibaan dan kesyukuran... Yang pasti, bagi setiap umat Islam kedatangan Ramadhan sangat dinanti-nantikan sebelum tibanya hari kebesaran umat Islam pada 1 Syawal. Bagi K.An, saban tahun, Ramadhan dan Syawal meninggalkan pelbagai kenangan manis tidak kira di mana kami sekeluarga menyambutnya.

Selain Ibadah puasa dan solat Tarawikh yang ditunaikan, setiap juadah yang dijamah juga ada sejarah tersendiri. Macam-macam jenis makanan telah K.An pelajari di sepanjang hidup selama 39 tahun lepas. banyak yang telah K.an kongsikan resepinya pada tahun-tahun lepas, antaranya kuih kosui pandan ini.


Terima kasih kak Su (Puan Suliza - bekas guru di SBPI Rawang) yang berkongsi keenakan kuih ini lebih 6 tahun lepas.... setiap kali K.An membuatnya, pasti terkenangkan Kak Su sekeluarga...

Kepada pembaca Periuktanah, sekali lagi K.An kongsikan resepi mudah tapi sedap ini...

Bahan-bahan: menghasilkan +/- 25 ketul kuih bersaiz lompang.

1  1/2  cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir
1 cawan air pandan (kisar  4 helai daun pandan bersama 1 cawan air- perah dan tapis)
2 cawan air biasa
sedikit pewarna hijau
1/2 sudu teh air kapur cair- sangat cair ye...

kelapa putih secukupnya digaul dengan sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Sediakan acuan lompang. Panaskan air kukusan dan biar hingga mendidih. (Alas penutup kukusan dengan kain bersih agar air tidak menitis ke dalam kuih ketika mengukus)

2. Campurkan semua bahan kecuali kelapa putih di dalam mangkuk adunan. Gaul sebati menggunakan whisk hingga gula hancur. Tapiskan ke dalam mangkuk lain agar adunan tidak berbintil. Gaul rata dan terus isikan ke dalam acuan lompang. Isikan hampir penuh acuan. 

3.Kukus dengan api kuat selama 15-minit atau kuih nampak jernih. Angkat dari pengukus dan sejukkan selama 1/2 jam sebelum kuih dikeluarkan daripada acuan. Hidangkan bersama kelapa putih..

Jika adunan dibuat dalam kuantiti yang banyak, pastikan adunan dikacau sekali-sekali sebelum dimasukkan ke dalam acuan agar adunan tidak mendap ke bawah. Kuih ini boleh juga dikukus di dalam loyang yang bersesuaian saiznya.

Selamat mencuba...

Tomyam Kung

Kepada yang rasa tak sempat nak masak banyak-banyak lauk untuk berbuka puasa, bolehlah mencuba resepi Tomyam Kung yang sangat mudah ini. Boleh juga ajar anak perempuan yang dah boleh pegang periuk dan senduk masak sebelum mak balik dari kerja... serius! sangat senang, tapi sedap.

Bahan-bahannya:

200 gm ayam dipotong kecil -boleh juga gunakan dada ayam dipotong kecil.
serba sedikit, sotong, udang, ketam dan daging yang telah direbus empuk-  ikut citarasa
1 sudu besar pes Tomyam Kung Adabi
1 biji tomato masak dicincang
1/2 batang seleri dihiris serong
1/2 labu bawang besar Holland (warna kuning tu)
5 biji cili api diketuk- ikut citarasa pedas
sedikit karot, bunga kobis dan kobis
2 batang serai diketuk
1 biji limau nipis- diperah jusnya
garam dan gula secukup rasa
2 sudu besar santan sederhana pekat
sedikit daun limau purut

Cara membuatnya:

1. Masukkan ayam bersama 3 cawan air ke dalam periuk. Didihkan selama 5 minit, kemudian masukkan pes tomyam bersama daging,bawang besar, cili padi, tomato, karot, seleri dan serai. Didihkan lagi sebentar.

2. Kemudian masukkan sayuran lain seperti kobis, bunga kobis dan  juga santan. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Tambah air jika ingin kuah yang banyak. Akhir sekali masukkan udang dan daun limau purut yang telah dicarik kecil. Matikan api. Masukkan ke dalam mangkuk dan perahkan air limau nipis. Sedia dihidang bersama nasi panas atau mee, kue-teow dan mihun...

Tuesday, July 26, 2011

Kek Coklat Kukus lagi...

Assalamualaikum wrt...

Alhamdulillah, semalam selesai juga K.An menggantikan 30 hari puasa Ramadhan tahun lepas yang tak dapat K.An tunaikan kerana nifas selepas melahirkan almarhumah Munirah Huda... Lega rasanya sebab dah terbayar hutang dengan Allah... Bagi yang belum selesai meng Qada' puasa, ada lagi tinggal beberapa hari lagi sebelum masuk Ramadhan...

Kembali ke dapur periuktanah, hari ni K.An lontarkan idea juadah mudah untuk berbuka puasa minggu depan. Sesuai kalau nak masak banyak untuk diberi kepada jiran2 ataupun dijadikan buahtangan untuk majlis berbuka puasa di rumah mertua, kawan-kawan atau rakan sekerja di pejabat.  Sesuai juga kalau nak buat juadah untuk moreh di rumah atau surau...

Yang inipun K.An buat banyak untuk dibawa ke surau sebagai juadah pencuci mulut lepas solat Isya' di malam Jumaat. Buat kecil-kecil supaya senang dimakan dan tak membazir...

Walaupun resepinya dah ada sebelum ni, tapi K.An kongsikanjuga sebab kali ni, K.An gunakan minyak masak sepenuhnya menggantikan margerin cair.

(sumber asal daripada SajiOnline: telah diubahsuai sedikit sebanyak mengikut citarasa K.An)

Bahan-bahannya: (menghasilkan lebih kurang 90 ketul kek saiz kecil seperti apam)

3/4 cawan serbuk coklat
1 cawan gula pasir- K.An kurangkan 2 sudu besar
1 cawan minyak masak
1 cawan susu cair/ sejat
1/2 cawan susu pekat
1 1/4 cawan tepung gandum***
1 sudu teh soda bikarbonat***
1 sudu teh baking powder***

bahan bertanda *** diayak bersama

3 biji telur Gred A atau B dipukul sedikit.

Cara membuatnya:

1. Campurkan serbuk coklat, gula pasir, susu cair  dan minyak di dalam periuk. Hidupkan api sederhana. Kacau adunan hingga gula cair dan bahan sebati. Tak perlu mendidih. Angkat daripada dapur dan biarkan suam.
2. Sementara itu, ayak bersama tepung , soda bikarbonat dan baking powder.

3. Tuangkan susu pekat atau krimer manis ke dalam periuk adunan  yang dah menjadi suam tadi. Gaul rata. Masukkan telur dan gaul sebati.

4. Akhir sekali masukkan tepung sedikit-demi sedikit dan gaul hingga sebati. Sediakan acuan apam dan alas dengan cawan kertas kecil. Isikan adunan kek 3/4 penuh acuan. Kukus selama 10 minit.

Adunan boleh juga dimasukkan ke dalam loyang besar yang sesuai. Pastikan adunan cuma diisi 3/4 penuh kerana kek akan mengembang setelah dimasak. Jika menggunakan loyang masa mengukus adalah 30 minit atau sehingga kek masak (cucuk dengan lidi, bersih apabila dikeluarkan.)

Selamat mencuba

Kek Coklat kukus ini sungguh sedap kerana teksturnya yang lembab, kurang manis dan senang dimakan... dah bayak kali K.An ulang buat menggunakan resepi yang sama. Ramai juga pembaca periuktanah yang dah mencuba menggunakan resepi sebelum ini dan mendapat hasil yang memuaskan...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin