Sunday, November 30, 2008

Cantik di Mata..Sedap di Lidah.. Bawal Masam Manis

Kata orang, pandangan pertama tu amat penting sebab ianya menentukan langkah seterusnya.. Macam tu juga dengan selera makan.. Kalau mata yang memandang kata ..wau.. menarik, otak pun bagi signal sedap.. tangan pun laju la menyuap..

Jadi, jangan ambil ringan bab-bab menghidang makanan ni. Kalau tak sempat menghias, paling kurang, pilih menu yang menggabungkan pelbagai warna. Ada kuning, merah, hijau dan coklat misalnya.. Kalau makanan tu dah sedia pudar warnanya, letakkan di dalam pinggan yang bercorak warna-warni di kelilingnya..

Disebabkan warnanya yang menarik, dan rasanya sedap, ada pedas, masam dan manis, Bawal Masam Manis ni antara lauk kegemaran kami sekeluarga juga. Lagipun kalau di kedai dengan hidangan RM20 tak puas makan.. Masak sendiri, boleh ratah puas-puas..


Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal ( 500 gm)- dibersihkan, kelar serong

200 gm nenas dipotong kecil

Bahan dikisar (A)

1/2 labu bawang besar

4 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

Dikisar berasingan(B):

3 biji cili merah

1 biji tomato

1 inci halia dihiris halus

200 gm timun dibuang empulur/biji, dihiris memanjang-jangan kupas kulit

1/2 labu bawang holland dihiris membujur

3 sudu besar sos cili

1 sudu besar cili kisar/cili boh

Cara-cara:

1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng ikan separa garing. Ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam periuk.(boleh guna minyak gorengan ikan tadi). Tumis bawang yang dikisar dan halia yang dihiris hingga wangi.

3. Masukkan cili kisar, tumis sebentar. Masukkan bahan kisar (B). Tambah 1/4 cawan air. Tumis hingga pekat dan cili masak.

4. Masukkan sos cili, nanas dan timun. Tambah 1/4 cawan air lagi. Masukkan garam dan sedikit gula. Masak seketika lagi hingga kuah pekat. Tutup api dan curahkan ke atas ikan. Hias ikut citarasa.


No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin