Tuesday, June 30, 2009

Sedapnya Laksa Johor...

Disebabkan kerajinan abg. Azam, hari Sabtu tu, siap 1 kg spaghetti di dapur kami. Dah jamu Zura dan Ariff, ada banyak lagi spaghetti yang tinggal... jadinya buat laksa johorlah kita....

Ada kisah benar di sebalik Laksa Johor ni.. tapi nama dan tempat dirahsiakan ye..
Di suatu ketika... selepas Raya di Malaysia ni, semua orang sibuk buat rumah terbuka.. puasa sebulan, raya pun sebulan.. meriah dan seronok juga sambil merapatkan hubungan silaturrahim.. K.An dan abg Azam dipelawa K.T dan Abg Zul ke rumah kawan mereka yang buat rumah terbuka ni..

Dipendekkan cerita, dia jamu tetamu dengan laksa Johor. Masing-masing ambik sepinggan dan makan... Bila jamah je.. tak ingat dah pun macamana rasanya, tapi tak boleh giii.. Kawan abg Zul siap tanya..."Camna zul, sedap ke..?" Dengan penuh susah-payah, abg zul kata...sedaap.. Kami habiskan juga makan dan bila keluar je dari rumah tu, K.An ngan K.T pakat gelak sampai keluar air mata sebab mengenangkan rupa abg Zul yang berusaha menghabiskan laksa johor tu...

Sejak hari tu, K.An tak jamah Laksa Johor sebab takut tak boleh gi lagi sehinggalah di satu hari, kami sekeluarga makan hi-tea di hotel UiTM... salah satu juadahnya ialah Laksa Johor. Memandangkan rupanya mengancam dan baunya menyelerakan, K.An cuba semangkuk.. Kalau macam ni rasa laksa johor, memangla sedaaap.. alhamdulillah k.an cuba, kalau tidak tak merasa lah keenakan laksa johor yang sebenar.
Semenjak tu, dah banyak kali k.an makan laksa johor yang sedap rasanya. Antaranya yang dimasak K.Za isteri Kamal, Dalila isteri Kapten Razali dan Laksa Johor di Restoran Anje Beriyani Gam.
Tapi ini kali pertama K.An masak sendiri laksa johor dengan spaghetti Made In Putrajaya..
Resepinya dalah gabungan pelbagai koleksi resepi laksa johor termasuk berpandukan resepi Chef Nazri (anak Chef Wan)dalam rancangan memasaknya di TV 2.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

100 gm ikan tenggiri (1- 2 keping)
300 gm ikan kembung putih (pelaling)
3 sudu besar kerisik ( Kelapa disangrai garing dan ditumbuk halus hingga pecah minyak)
2 sudu besar rempah kari ikan (bancuh dengan 1/2 cawan air)
1/2 cawan cili kisar (daripada 10 tangkai cili kering)- tambah jika suka lebih pedas
3 keping asam keping
1/2 cawan udang kering dikisar halus

Bahan dikisar halus:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
sedikit halia
sedikit lengkuas
2 batang serai dihiris

1 sudu besar ketumbar biji ditumbuk halus

1 cawan santan pekat
1 batang serai dititik
segenggam daun kesum
1 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar gula
1 batang bunga kantan (k.An tak letak sebab tak ada) dihiris kecil

Bahan ditabur:

1 batang timun dihiris nipis dan potong membulat seperti buat nasi kerabu (jadi gelang lilit)
1 labu bawang besar dihiris nipis
limau kasturi
tauhu goreng dan potong kecil
kacang panjang dihiris nipis
taugeh dibersihkan (tak perlu celur)

Cara membuat kuah:

1. Rebus ikan bersama 6 cawan air dan asam keping hingga mendidih dan empuk. Toskan ikan dan asingkan tulang dan isinya. Simpan air rebusan ikan untuk proses seterusnya.

2. Kisar isi ikan dengan mencampur 2 cawan air rebusan. Ketepikan dulu.
3. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar, rempah kari dan kerisik dan tumis hingga pecah minyak. Gunakan api perlahan dan kacau sentiasa.
4. Tambahkan sedikit air rebusan. Masukkan isi ikan, ketumbar, dan udang kering . Tumis lagi hingga wangi. (baunya memang sedap.. ada bau rempah kari, kerisik, serai..mmmph)
5. Masukkan kesemua air rebusan dan santan dan biar kuah mendidih. Tambah air jika kuah terlalu pekat. Masukkan serai, daun kesum dan bunga kantan dan air asam jawa. Masukkan garam secukup rasa dan gula. Biar kuah mereneh kerana kuah laksa bertambah sedap apabila dididihkan berulangkali.
Hidangkan bersama spaghetti dan bahan taburan.. Laksa Johor juga dihidangkan bersama sambal belacan jika suka...

Moral of the day...
*** jika kali pertama kita merasa makanan tapi rasanya tak kena dengan selera kita, tidak semestinya ianya tak sedap... cuba dan cuba lagi.. dan kalau tak kena juga, bukan rezeki kita lah agaknya...

** asalnya nak jamu atie (adik ipar k.An yang ada anak kembar 3 tu..)ngan family dia, tapi tak jadi datang. So..K.An bungkus, pergi asrama Iqbal, makan ngan dia.. Dia kata dia lebih suka Laksa Johor ni daripada Laksa biasa (Penang /Utara).. hilang penat masak.. abg Azam dan anak-anak lain pun suka.. nyam..nyam

Bubur Lemak

Satu hari tu, abg.Azam tak sihat. Diserang migraine lagi... dia kalau sakit kepala, alamatnya semua aktiviti di sekeliling akan terhenti.. tup... semua tak kena sebab kepala sakit. Malam tu segala macam benda keluar dari perut dia... macam biasa kalau jadi macam ni dia akan tidur, tidur dan tidur....
Esoknya tak pergi kerja dan K.An masakkan bubur lemak ni untuk sarapan. Isi perut dengan benda lembut macam ni agar mudah hadam.. sambil tu bagi minum air isotonik macam 100+ dan air garam ORS...

Bahan-bahan:

1/2 cawan beras dimasak dengan 5 cawan air.
sedikit halia diketuk
1/2 cawan ikan bilis direndam sebentar dan tumbuk halus
2 ulas bawang putih diketuk
sedikit karot didadu
sedikit kacang panjang dihiris halus atau kacang peas
1/2 biji kentang didadu
1/2 cawan santan
garam secukup rasa

***kicap pedas jika suka

Cara membuatnya:

1. Masak beras hingga lembut dan menjadi bubur. Perlahankan api.Masukkan ikan bilis, bawang dan sayuran. Didihkan dan biar kentang empuk.
2.Masukkan santan dan garam. Tutup api dan sedia dinikmati.

'Home-made' Spaghetti

Seperti dijanjikan, inilah resepi spaghetti yang k.An dan Abang Azam buat sendiri di rumah. Resepinya disertakan bersama-sama mesin pasta/ mee yang dibeli. Ikut je resepi dan juga pengalaman melihat Jamie Oliver buat pasta dalam rancangan Jamie At Home kat AFC tu..

Bahan-bahan: (menghasilkan 250 gm spaghetti)

125 gm tepung gandum
1 biji telur gred A
1 sudu teh garam
sedikit air anggaran 10 ml- jika perlu

Cara membuatnya:

1.Masukkan tepung bersama garam ke dalam mangkuk. Gaul rata. Masukkan telur dan uli hingga menjadi doh.

2. Jika doh tidak dapat dibentuk, tambahkan sedikiiiit je air dan uli lagi. (proses ni dalam 5 minit)

3. Jangan risau jika doh tidak rata atau licin kerana doh akan rata apabila dimesin nanti.

4. Bahagikan doh kepada 2 bahagian. Sediakan mesin pasta dan dulang.
Putar tahap ketebalan kepada yang besar (ikut jenis mesin). K.An mula dengan no 7. Mesin doh hingga nipis. Lipat dua doh dan mesin lagi hingga nipis. Ulang proses ini sekurang2nya 3 kali.


5. Kecilkan tahap ketebalan. K.An buat no 5. Ulang proses sama (mesin dan lipat 2) sekurang-kurangnya 5 kali agar kepingan doh menjadi mantap dan pasta yang dihasilkan cukup kenyal. Hari tu, Abg.Azam yang suka buat kerja ni, ulang sampai 10 kali agaknya.. hehe.. dia suka sangat main ngan mesin tu..

6. Buat proses yang sama untuk sebahagian lagi doh. Tukar kedudukan pemutar ke bahagian pasta saiz kecil (satu saiz lagi untuk kue-teow) dan putar kepingan doh menjadi mee. Tadah dengan tangan dan hamparkan ke dalam dulang agar pasta tidak bersimpul.

7. Sementara tu rebus 3 liter air dalam periuk dan masukkan 1/4 cawan minyak. Didihkan dan masukkan pasta yang telah siap dimesin tadi. Masak hingga pasta timbul dan biar mendidih 3 minit. Toskan dan sedia dinikmati bersama kuah bolognese atau digoreng bersama bahan kegemaran.








Merai Pengantin Baru di Hujung Minggu..


Seperti biasa hujung minggu kami selalunya meriah dengan kehadiran tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan dan saudara-mara..

Sabtu baru-baru ni, kami meraikan rakan kami Arif dan Zura yang baru melangsungkan perkahwinan sebulan lepas. Dah balik 'honeymoon', cuti dah habis, sambil kerja, sambil jamu selera di rumah kami yang dah macam kakak dan abang mereka sendiri..

K.An masak spaghetti bolognese (tengok resepi pasta yang lepas) dan cuci mulut dengan kuih sagu hijau. Yang istimewanya, spaghetti tu bukan peket punya ye... Tu, K.An dan abang Azam buat sendiri.
Sementara Arif buat kerja, K.An dan Zura layan makan sampai kenyang dulu.. sorry Arif ye.. kami dah lapar..hihik
Zura ni sebenarnya pembantu chef Makanan Barat di salah sebuah hotel di Jalan Klang Lama. Mestilah pandai masak kan.. Tapi kepakaran dia makanan Barat..jadi nanti kalau ada kelapangan K.An mintak dia kongsi apa-apa resepi yang menarik dan mudah untuk pembaca periuktanah.

Esok K.An masukkan bahan dan cara-cara buat pasta tu ye.. dah mengantuk sangat ni... bye..ZZZZZZZ



Monday, June 29, 2009

Sandwich Ayam

Ada ayam goreng yang tak habis dimakan terutama bahagian dada, jangan dibuang... Meh K.An jelmakan dia jadi sesuatu yang sangat sedap lagi menyelerakan.. (k.an belajar daripada k. Khairani -Nani UiTM).. tiba-tiba terasa rindu pulak dekat k.Nani..huhuk..
Bahan-bahannya macam kat dalam gambar tu;
Ayam goreng (panggang/ berempah/KFc/ ayamas dll)-hiris nipis-nipis
Salad/ timun/ tomato
margerin/ mayonaisse
sos cili jika perlu- kAn tak letak sebab guna ayam goreng pedas KFC yang tersangat pedasnye..
Roti sandwich dibuang kulitnya (jangan buang, nanti k.an bagi resepi agar-agar guna kulit roti pulak)
Cara membuatnya: senang dan seperti sandwich lain; sapukan kepingan roti dengan margerin. Sapukan mayonaisse. Lagi banyak, lagi sedap. Boleh letak thousand island kalau suka...Susunkan timun, dan salad yang lain. Letak kepingan ayam dan cantumkan roti... Dah siap.
*** K.An bungkus dalam plastik dan siap untuk bekal anak dan abang Azam esoknya..

Sunday, June 28, 2009

Roti Manis Berkismis

Bila dah sekali menjadi buat roti, memang gian nak buat lagi. Walaupun penat menguli, tapi puashati bila dapat makan 'home-made bread' ni... Tambahan pula bila aroma roti yang dibakar memenuhi ruang dapur... macam aroma terapi pulak.. heheh (jadila kan... aroma terapi kat dapuur..)

K.An memang suka roti manis macam ni terutama yang ada kismis atau apricot. Manis dan ada masam-masam sikit.

Setelah belek-belek pelbagai resepi roti, K.An pun merekaciptala roti yang tak seberapa ni..

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung protein tinggi (200gm)
1 sudu teh penuh yis kering
2 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam
1 biji telur
3/4 cawan air suam
1 sudu besar susu tepung
1 sudu besar mentega
1/4 cawan kismis

Cara membuatnya:

1. Campurkan semua bahan kering kecuali mentega dan air suam di dalam mangkuk. Buat lubang di tengahnya. Pecahkan telur dan gaul rata.

2. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil uli tepung hingga menjadi doh. Tambah mentega dan uli lagi hingga menjadi doh yang kenyal dan licin. Bulatkan, tutup mangkuk dan rehatkan 10 minit. Selepas 20 minit, tumbuk doh bagi mengeluarkan udara.

3. Uli lagi dan bentukkan ikut suka hati. Masukkan ke dalam loyang 3 in X 8 in X 3 in. yang telah dilengser dengan mentega. Rehatkan lagi 30 minit.

4. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius dan bakar roti selama 20 minit atau hingga roti keperangan.

5. Keluarkan daripada loyang dan potong roti kepada kepingan sebelum dihidang.

Friday, June 26, 2009

Murtabak Daging

Seperti biasa, setiap kali bangun pagi otak ni dah ligat merancang apa nak dibuat hari ni... bukan orang kerja 'opis' je yang merancang tau... surirumah pun kena merancang supaya tugas-tugas harian berjalan dengan lancar.. Kalau tak, otak penat, badan letih, haaa...angin pun jadi tak elok kan..
Bila sebut merancang, tentu tak terlepas, merancang apa nak makan hari ni.. Pagi ni teringin nak makan murtabak daging atau ayam.. dah lama tak makan sebab dah lama tak ke pasar malam.. tak berkesempatan sebab cik abang selalu tak ada.. dah sampai tahap mengidam ni, nampaknya terpaksalah godek dapur sendiri dan tebar murtabak sendiri. Tapi nak senang kerja, tengahari K.an masak lauk kari daging dan petang nanti boleh buat murtabak.. jimat masa dan tenaga..
Resepi ni sekadar untuk dikongsi.. tak sempat buat, buat kat pasar malam je.. lagi senang..
Bahan-bahan: (untuk 4 keping murtabak)
Inti; Kalau dah ada kari daging.. lagi senang.
1/2 cawan daging dikisar/ cincang- tambah kalau nak banyak daging
1 sudu besar rempah kari
1 sudu serbuk ketumbar
1 labu bawang besar didadu
garam secukup rasa
Tumis dan masak seperti masak kari biasa.
asak hingga pekat. Ketepikan.
Bahan lain untuk inti: 2 labu bawang besar dihiris nipis
4-6 biji telur ikut citarasa
garam secukupnya
Bahan doh murtabak:
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan air dicampur sedikit garam
minyak untuk merendam doh
cara membuatnya:
1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil uli tepung hingga jadi doh licin selama 10-15 minit. Bahagikan 4 dan bulat-bulatkan.
2. Masukkan ke dalam mangkukleper berisi minyak. Golekkan sedikit bebola doh agar diliputi minyak. Perap 15 minit.
3. Selepas 15 minit, Tebar doh di atas meja atau di atas dulang leper hingga nipis. (seperti dalam gambar. Doh yang elok tidak akan koyak dan berlubang apabila ditebar.
4. Sambil tu, campurkan telur dengan bawang, kari daging dan sedikit garam. Pukul dengan garpu hingga sebati. Panaskan kuali, letakkan sedikit minyak. Tuang 1 senduk campuran telur dan ratakan jadi segiempat. Biar separa masak dan kemudian leretkan telur ke tengah tepung yang ditebar tadi.
5. Lipat setiap penjuru menjadi 4 persegi dan goreng di atas kuali hingga masak. Renjiskan minyak di atas murtabak sekali-sekala ketika menggoreng agar murtabak masak lembut.
Bahan acar bawang:
1-2 labu bawang besar hiris nipis
1 sudu besar cuka
secubit garam
1 sudu teh gula
sedikit pewarna merah
Campur semua bahan hingga sebati. Hidang bersama murtabak daging tadi.
**** dalam gambar tu ada 8 biji doh sebab k.An buat 4 keping murtabak, 3 keping roti bom dan 1 keping roti telur... hahh.. baru cukup dan kenyang semuanya.. tapi tak sempat nak 'snap' gambar roti bom sebab laku sangat..

Sotong Goreng Tepung

Masak macam ni sesuai sangat kalau stok sotong dah tinggal 'ciput' tapi yang nak makannya ramai.... Dengan menggunakan seekor sotong besar ,boleh dapat sepinggan penuh sotong goreng tepung... puas meratah.. cicah dengan sos pencicah siam tu.. (Kelantan mari) kalau takde siapa tegur, habis dikerjakan abang Azam semuanya... (ye tak bang..?)

walaupun senang nak buat, tapi k.an bagi je resepi k.an ni ye.. (kalau tak, ada yang tanya pulak nanti)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang bersama nasi dan lauk lain)
400 gm sotong besar (seekor je ni) -sotong macam ni lembut bila digoreng
potong kecil kecil memanjang atau ring)- gaul dengan garam dan kunyit
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi (boleh guna tepung rangup lain)
1 sudu teh tepung beras
sedikit air
Cara membuatnya:
1. Bancuhkan semua tepung dengan air hingga sebati.. teksturnya agak pekat supaya tepung melekat pada sotong. Masukkan sotong. Gaul rata.
2. Panaskan minyak agak-agak tenggelam sotong ketika digoreng. Gunakan sudu untuk mengambil sotong agar tepung dapat dicedok sekali. Goreng sotong hingga keemasan. Hidang segera bersama nasi dan lauk-pauk lain.

Pizza.. pizza lagi dan lagi...

Hari terakhir cuti sekolah, sempat juga 'order' delivery Domino pizza untuk Iqbal yang dah lama mengidam pizza. Dulu masa di Bandar Seri Putra, K.An selalu buat pizza kat rumah sebab tak ada langsung delivery pizza atau restoran pizza terdekat. Kadang-kadang saja suka-suka telefon pizza Hut tanya tak hantar ke pizza ke sini...? Dah tau pun, tapi saja gatal nak tanya.
Bila dah pindah Putrajaya, Pizza Hut dekat boleh 'dine in' dan tahun ni yang malangnya beberapa langkah di belakang rumah kami dah ada Domino Pizza... Kupon-kupon promosinya memang sentiasa menggoda. Tapi memang puashati sebab tak payah susah tunggu..telefon..haa.. sampai depan pintu. Kat dalam gambar tu, kami order pizza Tuna Temptation New York Crust. Xtra Large.. Sedaap..
Esoknya anak-anak dok sebut nak makan pizza lagi.. Kena buat le jawabnya. Kalau tidak boleh rabak poket dibuatnya... petang, siaplah pizza gitu-gitu. Topping ayam, bawang, nenas, tomato puri dan sliced cheese... Gitu-gitu pun liciin..

Ujung minggu lepas Iqbal balik lagi sebab minggu ni sekolah ganti. Sabtu, K.An sedia sarapan pizza lagi. Kali ni topping, sos tomato, bawang, capsicum, daging dan tuna putih (dalam minyak) nenas letak lebih....
Tak ada stok Mozarella cheese...Guna sliced cheese je sebab tu je yang ada... Semua kata.. sama je rasanya macam kat kedai. Rotinya K.An buat nipis ala-ala New York Crust juga... Alhamdulillah... puas hati kenyangnye..
Tengahari, kami makan di Food Court UNITEN. K.An teringin nak makan asam pedas. Siapa tak pernah rasa, nak makan asam pedas, pergilah ke sana. Macam-macam ikan ada... pari, sembilang, daging tetel, (menggoda betul) patin, tenggiri, semua sedaap.. hari tu K.An makan asam pedas patin dengan nasi putih... mmmph.. memang boleh ulang lagi

Thursday, June 25, 2009

Triffle

Sambung cerita menu makan-makan Ahad lepas.. kali ni giliran buahtangan Kak T- triffle pandan.
Kalau di KL ni memang selalu jumpa triffle ni kat majlis makan-makan tapi dalam pelbagai versi. Ada yang menggunakan kek span, swiss roll atau kek coklat untuk lapisan bawahnya dan topping jeli pulak boleh dipelbagai mengikut perisa jeli yang digunakan. Selalunya K.An gunakan kek coklat lembap untuk lapisan bawahnya dan jeli perisa rasberi atau strawberry untuk topping. (ikut versi Salina yang mula-mula bagi resepi ni) Kegemaran kami sekeluarga ni..

Bila Kak T buat kek pandan kat bawah dan jeli perisa mangga..hmmm sedap juga sebab tak berapa manis dan boleh makan banyak-banyak.. cuma tak sempat makan banyak, dah habiiis.. huk.huk..

Kat sini K.An bagi resepinya tanpa resepi kek sebab boleh letak apa-apa kek ye.. Walaupun ramai dah tahu resepinya , K.An bagi juga sebab pembaca periuktanah terdiri pelbagai latarbelakang, termasuk kakak2 dan makcik-makcik K.An kat kampung tu... ramai yang nak cuba buat sendiri....

Bahan-bahan untuk hidangan 10 orang:

Lapisan A: Kek coklat lembab/ kek span/ swiss roll sebarang perisa- potong setebal 1 sm dan susun dalam bekas tahan panas/ sejuk (anggaran ukuran 8 inci X 8 inci)

Lapisan B:
1 tin susu cair + 2 sudu besar gula + 2 sudu besar tepung kastard.

Kisar dalam blender dan masak dalam periuk dengan api perlahan hingga ala-ala pekat. Kacau sentiasa agar tidak hangus. Sejukkan sebentar. Tuang dan ratakan di atas lapisan kek tadi.

Lapisan C:

Toskan buah-buahan dalam tin (cocktail). Ambil sedikit sahaja sirapnya. Tabur rata di atas lapisan kastard.

Lapisan D:

Jeli kristal segera atau agar-agar segera perisa strawberry/ rasberi/ mangga atau ikut citarasa.
Sediakan ikut arahan pada label kotak. Ratakan di atas lapisan buah-buahan. Sejukkan di dalam peti ais sebelum dihidang.

*** boleh juga disediakan dalam bekas-bekas kecil supaya senang nak dihidang secara individu. (mangkuk kecil, bekas puding atau gelas berkaki untuk lebih ekslusif)

Wednesday, June 24, 2009

Pergedil Daging


Pergedil Daging (atau ada yang sebut bergedil..) nipun antara resepi terawal k.An cuba, selain masakan yang mak ajar... Dah lebih 20 tahun usia resepi ni sebab K.An salin daripada rancangan memasak Chef Wan, zaman K.An sekolah-sekolah dulu..
Kali pertama buat je ikut resepi asal, bila dah lama-lama, main agak-agak je sebab lauk-pauk ni, ikut citarasa masing-masing kan. Kalau nak lebih daging, tambah je banyak mana nak.

Bahan-bahan: (menghasilkan 8 ketul pergedil)
2-3 biji kentang (kupas kulit dan potong 10)
50 gm daging dikisar halus
1 sudu teh biji lada hitam ditumbuk halus
2 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk kasar
1 sudu besar daun sup dan bawang yang dihiris halus
1 biji telur dipukul sedikit
garam secukup rasa (+/- 1/2 sudu teh)
Cara membuatnya:
1. Goreng kentang hingga keperangan. Angkat dan tumbuk hingga halus.
2. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk bersama kentang yang telah ditumbuk tadi. Gaul rata seeloknya dengan tangan.
3. Bentukkan jadi bulat leper seperti di dalam gambar. Buat hingga habis.
4. Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan kepingan pergedil ke dalam telur dan goreng hingga berwarna perang gelap.
Sedia dinikmati bersama lauk-pauk yang lain atau boleh juga dimakan begitu sahaja.
*** versi kedua pergedil (juga resepi chef Wan) menggunakan 'bread crumb' dan telur yang digaul sekali dengan bahan-bahan lain. InsyaAllah lain kali K.An kongsikan di sini.

Tuesday, June 23, 2009

Sup Kambing

Jumaat lepas, rasa macam tak ada bahan dan tak ada idea nak masak apa.. jenguk dapur blogresipi.. dan terjangkitla nak buat sup kambing macam Ijan buat. Selalunya kalau kambing, K.An masak kurma je.. tapi kali ni nak cuba versi yang Ijan masak. Tengah mendidih sup tu, Abang Azam telefon kata ada kawan nak tumpang makan sekali... hahhh.. nasibla labu. Ada ikan cencaru sumbat, sambal belacan, ulam ngan kari daging semalam... sup kambing ni rezeki hangpa la... ingatkan sorang je... tup-tup jadi 3 orang.. Makanlah apa yang ada. Alhamdulillah sup kambing tu sedap... nak resepi..? Singgahle rumah Ijan..

Kerabu Epal

Apapun jenis kerabu, memang K.An suka.. rangup-rangup lagi masa makan tu...mmmph.. makan macam tu saja pun boleh..

Kerabu epal ni, belajar masa tengok rancangan Makan Tapi Diet nuuun musim pertama 3 tahun lepas.. masa tu, Chef Nazri, anak Chef Wan tu yang jadi hostnya.. macam-macam dia masak, semua nampak sedap. Dalam banyak-banyak resepi yang dia kongsi, paling selalu k.An buat..nilah dia, kerabu epal. Resepi asal Chef Nazri campur dengan udang harimau besar yang dicelur.. ikutlah citarasa masing-masing, kalau suka boleh buat macam tu juga...

Bahan-bahannya sama macam nak buat kerabu mangga:

4 biji epal hijau segar (dihiris nipis memanjang)
2 sudu besar sos ikan (namphla)
1/2 cawan kacang tanah disangrai, buang kulit dan kisar halus+ kasar
1/2 cawan udang kering- disangrai dan kisar halus
3 biji limau nipis diperah airnya
garam gula secukup rasa
1/2 labu bawang besar holland dihiris nipis
2 biji cili merah dihiris nipis panjang-panjang 1 inci

Bahan ditumbuk halus:
3 ulas bawang merah
5 biji cili padi akar
3 batang serai dihiris nipis

Cara membuatnya:

1. Potong epal dan rendam dalam air ais agar kekal rangup. Apabila siap bahan lain, baru toskan epal dan masukkan ke dalam mangkuk. Campurkan dengan semua bahan. Gaul rata. Simpan dalam peti ais sehingga sedia dihidang.



Biskut Batik

Makan punya makan, tak ingat nak 'snap' gambar untuk periuktanah. Tu tinggal 3 ketul baru teringat.. tak kisahlah kan, janji ada..
Biskut batik ni antara koleksi resepi tertua k.An.. kawan sekolah menengah dulu yang bagi.. lama tu. Terima kasih Mazlina.. sampai sekarang aku dok guna reespi hang ni.. kali ni adik K.An, Cu Da yang buat.. nak resepi versi dia pnuya,blh tengok kat 'comment'. Versi K.An kat bawah ni...
Budak-budak memang suka kuih ada coklat macam ni. Buat la waktu raya ke..mesti laku..

Bahan-bahan:(hidangan untuk 10 orang)

600 gm Biskut Meri
1 cawan gula pasir
4 cawan santan sederhana pekat
4 biji telur saiz A- pukul sedikit dengan whisk
6 sudu besar margerin
4 sudu besar serbuk koko

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kecuali biskut meri ke dalam kuali. Masak hingga margerin dan gula cair. Perlahankan api dan kacau hingga campuran pekat dan berkilat.
2. Tutup api dan biar sebentar hingga suam. Jangan sampai sejuk pulak.

Sementara tu, patah dua biskut meri hingga habis. Masukkan ke dalam campuran coklat tadi dan gaul sebati.

Sediakan loyang berukuran 10 inci X 10 inci dan alaskan dengan kertas minyak/ 'cling wrap (supaya senang nak potong nanti) Tuang campuran biskut coklat dan tekan dengan senduk atau penekan burger hingga biskut padat dan rata. Sejukkan dalam peti ais sebelum dipotong dan hidang.

Monday, June 22, 2009

Terima Kasih Semua

Bersempena kunjungan ke 10,000 pada jam 10.40 malam (waktu Malaysia) bertarikh 22 Jun 2009, semanis ungkapan penghargaan daripada K.An:

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
K.An blogger baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Kalau ada sumur di ladang,
boleh saya tumpang bermandi
kalau ada umur yang panjang,
boleh kita berjumpa lagi...





Banjar Asli wajib kenal Wadei Kipeng

Semalam ada program kesukaan ramai di rumah K.An... hihik.. program makan-makan la.. kali ni sebab nak memperkenalkan bakal ahli keluarga baru InsyaAllah. Memandangkan peti ais rumah K.An yang selalunya diisi dengan pelbagai makanan, maka terpilihlah jadi tuan rumah di antara 4 beradik yang ada di kawasan Semenyih, Balakong dan Putrajaya..
Macam-macaaam ada sebab kami sediakan makan tengahari sekali dengan makan petang. K.An masak lauk-pauk daging masak lemak cili api (dengan belimbing buloh), ikan bakar dengan air asam, udang goreng kunyit dan kerabu epal. Kak T bawak triffle, moon bawak agar-agar marble dan Cu Da bawak kek batik. esok K.An masukkan resepi untuk yang lain tu. Hari ni kita layan kuih tradisi Orang Banjar yang selalunya disajikan ketika ada majlis atau kenduri istimewa seperti kenduri bertunang, akad-nikah, pergi ke Mekah, cukur jambul atau apa-apa kenduri kesyukuran yang lain.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

500 gm tepung pulut
1 sudu besar tepung beras
1 sudu teh air kapur cair
2 -3 cawan air suam- ikut jenis tepung
1/4 sudu teh garam
2 cawan air gula melaka/ gula merah (k.an masak 1 keping gula melaka dengan 2 cawan air)-tapis
1 helai daun pandan dicarik dan disimpul
3-4 sudu besar gula putih- ikut citarasa
2 cawan santan sederhana pekat

Cara membuatnya:

1. Masukkan tepung pulut, tepung beras dan garam ke dalam mangkuk. masukkan air kapur dan bancuh tepung bersama air suam sehingga menjadi doh lembut.

2. Masukkan air sedikit demi sedikit supaya doh tidak terlalu lembut atau keras. Sediakan talam besar yang ditabur dengan sedikit tepung gandum atau pulut.

3. Cubit doh dengan hujung jari sebesar duit 5 sen dan bulatkan. tekan bebola dengan dua jari menjadi sedikit leper seperti dalam gambar. Letakkan ke dalam talam. Buat hingga habis.



4. Didihkan air gula melaka bersama daun pandan di dalam periuk. Masukkan kepingan kuih yang telah siap ke dalam periuk. Perlahankan api. Kacau sentiasa hingga kuih timbul (menandakan telah masak) Masukkan santan.


5.Tambahkan gula putih dan garam secukupnya. Didihkan dan tutup api. Wadai kipeng sedap dimakan 3 jam selepas dimasak ketika kuahnya telah meresap ke dalam kuih.

Talam Ubi Kayu

Tiba-tiba terasa nak makan kuih berasaskan ubi kayu... nak buat lepat, malas pulak nak mengerjakan daun pisang bila dah lewat petang ni... yang senang, buat kuih talam je kan..bancuh-bancuh, masuk loyang.. kukus.. dah siap.

Bahan-bahan:

Lapisan Bawah
2 cawan ubi kayu siap diparut halus
1/2 cawan air gula melaka (1/2 keping gula melaka dimasak dengan 1/2 cawan air)
1/2 cawan santan pekat
1 sudu teh garam
1/2 cawan gula pasir

Cara membuatnya:

Panaskan pengukus. Gaul sebati semua bahan didalam mangkuk. Ratakan ke dalam loyang berukuran 7/ 8 inci. Kukus 15 minit dengan api kuat.

sementara tu sedikan lapisan atas:

2 cawan santan
1/2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung gandum
2 sudu teh tepung jagung
1 sudu teh garam

Cara membuatnyaL
Bancuh rata semua bahan dengan whisk. Apabila lapisan bawah masak, tapiskan adunan lapisan atas dan kukus lagi 15 minit. Apabila masak, keluarkan daripada pengukus dan sejukkan sebelum dihidang.

Friday, June 19, 2009

Sup Daging Tumis Darat

2, 3 hari ni tak berapa ada selera nak makan ayam atau ikan... daging je rasanya boleh jalan... Anak-anak pulak asal ada kuah warna merah... ok je.. sudahnya, K.An masak sup daging dipadankan dengan daging masak merah. K.An tumis darat je sup tu... senang.. resepi daging masak merah dah ada, jenguk je kat entri lepas2 ye...

Bahan-bahan:

200 gm daging pejal campur dengan daging yang ada lemak-lemak sikit
(potong nipis dan kecil supaya cepat empuk)
5 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1 sudu besar rempah sup (serbuk)
1 batang celeri dipotong serong
1 biji kentang dikupas dan belah 6
karot jika suka
daun sup dan bawang secukupnya

Cara membuatnya:

1. Rebus daging dengan api sederhana hingga mendidih. Perlahankan api apabila mendidih dan biar mereneh hingga daging empuk.
2. Masukkan rempah sup, kentang, seleri, karot dan garam secukupnya.
3. Dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis rempah tumisan bersama bawang merah, putih dan halia hingga wangi. Curahkan ke dalam sup dan biar seketika. Tutup api dan taburkan daun sup, bawang sebelum dihidang.

***kalau nak rasa macam sup siam, perah je limau nipis dan ketuk 3 biji cili api, lepas tu campak je dalam sup tu...

Wednesday, June 17, 2009

Krim Puff

Dah lama tak buat krim puff ni walaupun senang je nak buatnya.... Kali ni kebetulan anak-anak makan kek harijadi abinya, semua pakat tinggal krim yang menimbun-nimbun tu.. makan kek ngan jem dia je. K.An memang tak suka membazir.. lagipun kan krim tu mahal harganya...
K.An kumpul krim kat dalam pinggan dan simpan dalam peti ais. Esoknya kerjakan jadi kastard krim puff...
Bahan-bahan krim puff:

150 gm margerin
150 gm tepung gandum
1 cawan air (250ml)

4 biji telur saiz B
1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Masukkan air ke dalam periuk. Didihkan. Masukkan margerin dan biar cair. Masukkan tepung sekaligus dan kacau cepat-cepat dengan senduk supaya jadi kental seperti doh.
2. Biarkan sejuk seketika.

Sementara tu sediakan kastard sebagai inti.

2 biji telur dipukul sebentar
2 biji kuning telur dipukul sebentar
3-4 sudu besar gula (ikut citarasa)
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung kastard
190 ml susu segar (boleh ganti dengan susu cair)
2 sudu besar perahan oren (jika suka)
300 ml krim putar

Cara membuatnya:

1. Masak semua bahan di dalam periuk dengan api perlahan. Kacau sentiasa sehingga kastard pekat. Ketepikan.

Cara menyediakan Krim puff:

1.Masukkan doh tadi ke dalam mangkuk. Masukkan garam dan telur satu persatu. Pukul hingga sebati.

2. Masukkan ke dalam piping bag. Guna nozzle untuk samprit (bunga). Paipkan ke dalam loyang yang telah disapu margerin seperti dalam gambar.

3. Buat hingga habis. Bakar pada suhu 200 darjah Celsius selama 20 minit. (10 minit pertama K.An letakkan loyang di bahagian bawah dan 10 minit ke dua k.an pindahkan ke tengah oven supaya krim puff masak cantik)

4. Setelah masak, belahkan bahagian tengah puff dan isikan kastard tadi. Sedia dihidang..


** kalau tak ada masa nak buat kastard, boleh juga dimakan dengan kaya atau madu.

** puff k.An ni tak nampak corak bunganya sebab k.An guna telur gred A, jadi adunan tu lembut sikit.. tapi puffnya teramat gebuuu..

Selamat Hari Jadi Abi...


Abi pergi Out-station... balik je, kami buat suprise....!!! Saja suka2 khas untuk abi dan anak-anak juga... We Love You Abi....!!!

Mexican Bun (Roti Boy/ papa Roti/ Mama Roti)

Dah lewat malam baru sempat mengadap blog ni.. resepi dan ceritanya, k.An taip esok lah ye...

Sambung cerita... sejak balik bercuti, pergerakan periuktanah agak perlahan sebab cuti sekolah.. abang Azam out-station lagi (ke Sabah) dan K.An sibuk lah melayan kerenah anak-anak di rumah.. Bila dah habis cuti, barulah boleh menjalankan aktiviti seperti biasa termasuk membawa keluar resepi-resepi minggu lepas yang dok tersimpan di dalam bakul kat dapur tu..
Dalam sibuk-sibuk mengemas minggu lepas, sempat K.An buatkan Mexican Bun ni untuk anak-anak. Dah lama tak makan sebenarnya.

Awal-awal roti ni diperkenalkan di Malaysia ni (kurang lebih 7 tahun lepas) harganya di bakeri cuma RM 1. Masa tu nama dia Papa Roti ( kami kenal sebab ada dijual di tingkat atas Pasaraya Hiong Kong kat Sg Buloh). Tiap kali pergi, mesti beli 4 biji. Kemudian harga nya naik ke Rm 1.20. Masa tu kami beli di Selayang Mall. (rasanya nama dia Mama Roti ke, Mama Bun... dah tak ingat)

Tahun berganti tahun, seiring dengan kenaikan harga tepung, gula, mentega dan macam-macam lagi, harga Mexican Bun ni dah mencecah RM 1.60... Ahli keluarga K.An pun dah bertambah. Kalau beli, nak kena ada 7 biji paling kurang... nampaknya kenalah buat sendiri, baru puas makan...

Kepada yang suka roti ni, cubalah buat sendiri, memang tak susah... kena rajin sikiiit je. Resepi ni K.an salin daripada dapur cikwan (aisyah)

K.An sediakan Inti dan Toppingnya waktu malam dan simpan dalam peti ais. Esoknya baru uli tepung untuk roti.

Bahan Inti:

200 gm mentega
1/2 sudu teh esen vanilla
70 gm gula perang

Cara membuatnya:

Pukul mentega dengan mixer pada kelajuan sederhana selama 3 minit. Masukkan esen dan gula perang. Pukul lagi hingga sebati. Simpan dalam bekas bertutup dalam peti ais hingga sedia digunakan.

Topping: (banyak ni dah cukup, k.An ikut kata Hana) - resepi asal sukatannya 2 kali ganda

100gm mentega
80 gm gula icing (tak ada gula icing, k.An guna gula halus je..)
2 biji telur gred B
1 sudu besar nescafe dicampur 1/2 sudu besar air panas
100 gm tepung gandum

Cara membuatnya:

Putar mentega dengan mixer pada kelajuan sederhanan selama 5 minit. Perlahan-lahan masukkan telur, gula icing dan kopi segera. Ayakkan tepung ke dalam adunan dan putar lagi pada kelajuan perlahan sehingga semua sebati. simpan dalam peti ais sehingga sedia untuk digunakan.

Doh Roti
500 gm tepung berprotein tinggi (tepung roti)- diayak
1 sudu kecil bread improver + 1 sudu kecil bread softener (optional)
20 gm susu tepung
75 gm gula kastor
3 sudu teh yis kering
1 sudu teh garam
1 biji telur dipukul

250 ml air/ susu segar (jangan guna susu tepung jika guna susu segar)
60 gm mentega

Cara membuatnya:

1. Gaul rata tepung, gula dan garam di dalam mangkuk. Masukkan yis, bread improver dan softener (jika menggunakannya) dan gaul rata lagi.

2. Masukkan telur dan air/ susu segar.

3. Uli adunan sehingga menjadi doh. (K.An uli di atas meja supaya senang menggunakan teknik tarik dan tolak doh agar doh cepat lembut) Masukkan mentega dan uli lagi sehingga doh kenyal dan tidak melekat di tangan selama 10- 15 minit.

4. Bahagikan doh kepada 17/ 18 bola kecil sebesar bola golf dan tutup dengan 'cling wrap' selama 10 minit.

5. Leperkan doh di atas tapak tangan dan isikan 2 sudu teh inti. Tutup seperti membuat pau, agar inti tidak meleleh keluar sewaktu dibakar. (senang dibuat sewaktu inti masih beku)

6. Susun di atas loyang pembakar yang telah dilenser dengan mentega. K.An jarakkan dalam 1 1/2 inci antara satu sama lain.

7. Rehatkan selama 45 minit di tempat agak panas (warm)

8. Sementara tu, keluarkan topping dari peti ais dan masukkan dalam piping bag. Selepas 45 minit, paipkan topping di atas bun secara spiral bermula dari top centre.

9. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 darjah celcius selama 15 minit atau bun keperangan. (letakkan loyang di tengah oven agar bun masak sempurna)

** memandangkan oven K.An kecik je, k.an kena masak 4 round, tapi jangan risau,hasilnya alhamdulillah... sangat memuaskan. Abg Azam kata, lepas ni memang tak payah beli lagi kat kedai.. yum, yumm..kata Maryam..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin