Showing posts with label kerabu. Show all posts
Showing posts with label kerabu. Show all posts

Monday, May 9, 2011

Kerabu Limau Bali Dengan Tilapia.. hidangan segar di Hari Ibu


Ramai yang belikan kek khas untuk ibu di Hari Ibu, tapi tak semua mak yang sukakan kek. Kena pulak yang dah di usia emas. Kalau anak tolong masakkan nasi dengan lauk-pauk kampung, mungkin lebih istimewa untuk mak sebab boleh makan banyak-banyak. Kalau kek, setakat sepotong dua je, yang lain anak cucu le yang tolong habiskan.... Jadi, apa kata kita pakat masak untuk ibu, emak, mommy, ummi, di hari Ibu. 

Istimewa, tak semestinya susah... ingat tu.. 
Hari ni, kita buat kerabu Limau Bali dengan Ikan Tilapia 'spesel' dan tak boleh dapat kat kedai kecuali kedai tu kita punya sendiri..hihihih...

 Yang kat dalam gambar tu, rupa Limau Bali ye tuan-tuan... Kalau selalu ke Utara Malaysia, singgah di Hentian Rehat dan Rawat di Perak, pastinya akan kelihatan kelibat Limau Bali yang banyak dijual di gerai buah-buahan. Mungkin bagi yang tak pernah  cuba merasa, tak tahu keenakannya; tapi bagi yang menggemarinya, rasa manis, rangup dan berair limau bali, memang menyegarkan di musim  panas begini.

Selain dimakan begitu sahaja, limau bali boleh dijadikan salad atau kerabu. Ikutlah citarasa masing-masing nak gunakan bahan asasnya. Boleh guna ayam, sotong, udang ataupun ikan. Ikut resepi asal yang K.An tengok di TV, chef tu gunakan ayam. K.An tukarkan menggunakan ikan tilapia goreng. Bahan-bahan lain pun K.An campurkan ikut citarasa.... Nak tahu sedap atau tidak, cubalah sendiri.. memang tak rugi, InsyaAllah..
 Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang bersama lauk-pauk lain)

1 ekor ikan Tilapia Merah saiz sederhana -gaul dengan garam dan kunyit, goreng separa garing (Boleh gantikan ikan tilapia dengan ikan lain seperti ikan keli, ikan kembung atau kerisi)
200 gm isi Limau Bali dicerai-ceraikan sedikit
1 urat kacang panjang- dipotong kecil
3 ulas bawang merah dihiris nipis
  5 tangkai cili api akar- ditumbuk halus (ikut citarasa pedas)
1 batang serai dihiris kecil dan ditumbuk halus juga
1 biji tomato- dihiris kecil atau didadu
1 biji limau nipis- perah jusnya
sedikit garam dan gula

Cara membuatnya:

1. Asingkan isi ikan daripada tulang dan carik kecil-kecil. Masukkan ke dalam mangkuk.
2. Masukkan bahan-bahan lain, kacang panjang, bawang merah, cili padi, tomato, serai dan limau bali. Perahkan limau nipis dan gaul sebati. Perasakan dengan garam dan gula. Gaul lagi dan sejukkan sebentar di dalam peti ais. (Jika limau sememangnya telah disejukkan, bolehlah dihidang terus bersama nasi dan lauk-pauk lain)

Untuk lauk sepadan, lauk-pauk ala Thai sungguh sesuai dihidang bersama sebab kerabu ni ikut selera Thai yang ada pedas, masam, manis dan rangup.

Tuesday, June 15, 2010

Salad Ayam Seleri @ Kerabu Ayam 2

Sejak akhir-akhir ni, ingatan K.An tak berapa sempurna sikit. Agaknya banyak terminum air atau gula bekas semut yang dok berkeliaran di serata rumah ni...

Masa dok edit gambar ni, di ingatan K.An kerabu ayam je... bila dah selesai, jenguk semula resepi asal,..... alamak!!! rupanya, namanya Salad Ayam Seleri.... ikutlah nak guna yang mana pun. Salad tu 'omputih' kata, kerabu tu, Orang Melayu kata....

Bahan senang, sajian sihat, cara membuat pun saaangat mudah... Apa lagi, cubalah resepi ni. Walaupun ringkas, tapi cukup membuka selera.

Resepi asal daripada sekumpulan Chef Hotel Allson Klana, Putra Nilai, Negeri Sembilan. Disiarkan dalam Majalah Rasa Oktober 2009 Edisi Rumah Terbuka Hari Raya... (ramai chefnya, tak tau siapa punya air tangan..

Bahan-bahan:(hidangan untuk 5 orang)

200 gm isi ayam- potong kecil dan rebus dalam sedikit air

**2 batang seleri
**2 helai daun limau purut
**1 labu bawang besar holland
**2 batang serai
**5 biji cili padi

semua bahan bertanda** dihiris halus
1 sudu makan pes tomyam- ikut citarasa
1/4 sudu teh lada sulah
garam dan gula secukup rasa


Cara membuatnya:

1. Toskan isi ayam dan masukkan ke dalam mangkuk. Campurkan bahan lain yang telah dihiris dan tambahkan pes tomyam, lada sulah, garam dan gula.

Pes tomyam yang K.An gunakan. Boleh cuba jenama lain juga

2. Tambah sedikit air rebusan jika suka salad sedikit berkuah. Gaul rata dan sedia dihidang
*** baru-baru ni, K.An telah menjalani ujian kesihatan, dan telah dinasihatkan doktor agar kurangkan makanan berminyak walaupun mempunyai berat badan ideal... tapi nampak gayanya 'sinki' K.An pun dan macam sinki sumbat.... huhuk... terpaksalah kurangkan makan nasi lemak dan kuih-muih tradisi kegemaran K.An tu.... Kita makan salad ngan kerabu je ye..

Wednesday, May 19, 2010

Kerabu Selom dan Taugeh

Assalamualaikum wrt...

Kalau 20 tahun lepas, orang berkarya dengan mata pena.. maka jika tak da pensil atau pen, tak dapatlah nak menulis. Tapi sekarang hampir semua orang berkarya di skrin komputer... tak ada komputer atau komputer riba, maka... patahle tangan...

Macam tulah keadaan K.An sejak Abang Azam bertukar tempat kerja ni.. patah tangan kerana mata pena dibawa bersama ke tempat kerja. Hari ni, ada peluang sebab dia 'out-station' ke Johor... heheheh... bolehle pinjam kejap ye bang...

Banyak resepi dan hidangan yang tertangguh sejak seminggu lepas... K.An mulakan dengan kerabu Selom dan Taugeh ni... Belajar daripada jiran K.An dan juga isteri Pengetua sekolah lama Abang Azam dulu.. K.Yah.. ni kes tukar-tukar juadah masa bulan puasa la ni... tapi dah 5 tahun berlalu.. K.Yah ni orang Jawa, seangkatan dengan Hana.. tapi K.Yah ni Jawa Tanjung Karang. Bukan Jawa Johor..

Resepinya: Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 ikat selom (kalau beli kat pasar le... kalau petik sendiri anggaran 2 cekak)- hiris halus
10 sen taugeh- buang ekornya
1/2 cawan kelapa putih- disangrai sedikit hingga kering dan wangi. (jangan sampai perang)
1 tangkai cili merah dihiris
**5 biji cili padi
**1 batang serai
** 3-4 ulas bawang merah
**segenggam ikan bilis dibersihkan

***kisar / tumbuk halus semua bahan bertanda **
1 biji limau nipis saiz besar-diperah jusnya
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1 Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. Perahkan jus limau nipis. Boleh tambah kalau suka lebih masam. Masukkan garam dan gula secukupnya. Gaul sebati.

2. Sedia dihidang.

*** taugeh boleh juga diganti dengan bunga kantan atau ditambah kacang panjang yang dihiris halus... sedap juga...

Thursday, April 29, 2010

Kerabu Jantung Pisang

Alhamdulillah, berkat doa semua, hari ni K.An dah hampir pulih sepenuhnya daripada sakit perut yang menyerang 3 hari lepas... Sampai habisla ubat yang doktor bekalkan... malam tadi ada lagi sesekali sakitnya, tapi menjelang petang rasanya macam dah ok betul...

Bila dah ada tenaga kembali, semangat nak memasak pun kembali seperti biasa. Tengahari tadi K.An sempat buat Kerabu Jantung Pisang yang cukup menyelerakan ini. Sesuai le kalau nak dijadikan juadah berbuka atau bersahur di bulan puasa.

Resepi asal adalah daripada buku Air Tangan Sheila Rusly, (pelakon serba-boleh tuuu....) Edisi 20 Resepi Kerabu terbitan Karangkraf... Macam-macam kerabu ada kat dalam buku ni... Terima kasih le kepada adik K.An Hanida yang hadiahkan buku ni masa hari Jadi K.An tahun lepas.. berbaloi..
K.An dah ubahsuai sikit resepinya mengikut bekalan bahan yang ada dan citarasa K.An.. Apapun terima kasih banyak Kak Sheilaaaa...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

Bahan A:

1 biji cili merah
5 biji cili padi
1 sm belacan siap dibakar
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 biji lada hitam

*** tumbuk semua bahan A hingga lumat

Bahan B:

1/2 biji jantung pisang awak- saiz besar, kalau kecik guna 1 biji ye..
- buang kulit luarnya hingga tinggal bahagian dalam berwarna cerah.
1 biji tomato dihiris nipis
1/2 labu bawang besar dihiris nipis
1 ekor ikan senangin/ kembung/ sardin- gaul garam dan kunyit dan goreng separa garing (resepi asal ikan kembung direbus)- ambil isinya sahaja dan carikkan dengan tangan.
2 sudu besar santan pekat/ pati santan
1 biji limau nipis- diperah jusnya
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Didihkan air dalam periuk. Jantung pisang dibelah 2 dan dicuci dengan air.Rebus jantung pisang selama 15 minit. Angkat dan toskan. Hiris nipis dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan Bahan A yang telah ditumbuk diikuti bahan B. Gaul rata dan rasa masin dan manisnya. Jika cukup, bolehlah dihidangkan. Simpan dalam bekas bertutup di dalam peti ais jika ada baki sebelum dihidang lagi....
Selamat Mencuba...

*** tips sedap: kerabu memang selalunya lebih enak jika terasa kepedasannya, tapi bagi yang 'perut nipis'boleh gantikan cili padi dengan cili merah atau kurangkan jumlahnya....

***kerabu ni boleh dimakan dengan nasi putih tanpa lauk lain kerana telah ada isi ikan di dalamnya.

Tuesday, January 19, 2010

Layan Tekak Pahit dengan Kerabu Sotong

Assalamualaikum wrt... sejuk segar hari ni sebab pagi tadi hujan turun dengan lebatnya di Putrajaya. Petang ni, hujan turun sekali lagi membasahi bumi... barulah ada 'mood' nak mengemaskini periuktanah... Almaklum, sekarang ni baby Maryam ngan 'Aisyah tu, pantang je tengok K.An bukak komputer, budak berdua ni pun sibuk nak 'buat kerja' juga.. nak main 'lukish-lukish', main 'ketok-ketok', tengok gambarlah dan macam-macam lagi...

Terpaksalah bagi laluan kat budak-budak ni....

Hari ni, ada peluang sikit dan 'trick' budak-budak tu suruh main benda lain... haaa.. kita layan resepi..
Ini resepi popular untuk menghilangkan rasa tekak pahit... banyak kali dah buat dan dah ada dalam N3 terdahulu.. kali ni, Kerabu Sotong versi ekspress dan mudah..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

200 gm sotong- dipotong cincin kecil-kecil
2 batang serai- ambil bahagian lembut je- batang keras buang ye
3 biji cili padi akar (cukup pedasnya)
1/2 labu bawang holland- dibelah 2 dan hirins membujur nipis
1/4 biji timun- buang biji dan hiris panjang, halus
1/2 biji tomato- hiris nipis
1 biji limau nipis - perah jusnya
garam, 1/2 sudu besar gula
cili merah dan hijau, hiris halus untuk mencantikkan warnanya
1 sudu teh kacang tanah yang telah disangrai dan tumbuk kasar

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1/4 cawan air di dalam periuk. Masukkan sotong dan terus tutup api. Kacau sotong hingga lembut. Sejukkan sebentar.

2. Tumbuk serai (yang telah dihiris nipis) dan cili padi hingga halus. Masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan hirisan tomato, timun, bawang besar holland, cili merah, cili hijau dan kacang tanah. Gaul rata.

3. Masukkan isi sotong dan 3 sudu besar air rebusan. Masukkan jus limau nipis, garam dan gula. Gaul sebati dan sedia dihidang.

Yang ini kerabu mangga yang selalu juga K.An buat...tak jemu-jemu.... boleh rujuk resepi kat sini ye...

Tuesday, September 1, 2009

Kerabu Sotong

Kalau nak berselera makan di bulan puasa ni, kalau di tekak K.An anak-beranak, nak kena pedas dan ada masam-masam sikit, terutamanya waktu sahur.... Untuk anak-anak wajib lauknya mesti ada warna merah. Tapi kalau untuk abinya, ada kerabu ni... dah cukup membuka selera.

Sepertimana kerabu siam yang lain, bahannya hampir sama, cuma bahan utamanya kita tukarkan seperti ayam, udang dan sotong. Boleh juga guna isi ikan yang digoreng. Selamat mencuba..!!

Bahan-bahan; (hidangan untuk 5 orang)

200 gm sotong sederhana besar- dipotong cincin
1/2 cawan kelapa putih disangrai sebentar hingga berbau wangi- jangan garing, cukup keperangan sedikit sahaja

Bahan dikisar halus:

2 batang serai dihiris kecil
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
5 tangkai cili api akar- ikut citarasa

2 biji limau nipis diperah jusnya
1 sudu besar rata gula pasir- boleh ganti dengan gula perang
1 sudu teh sos namphla
1/2 sudu teh garam
segenggam taugeh-buang akarnya- jirus air panas sebentar
1 urat kacang panjang dihiris halus
1/2 labu bawang besar dihiris halus
1 biji cili merah dihiris panjang- untuk warna

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan di atas hingga halus. Masukkan 1/4 cawan kelapa goreng dan kisar 3 saat, agar kelapa halus. (baki kelapa simpan dalam bekas bertutup dalam freezer untuk buat kerabu lain)

2. Celur sebentar (2 minit) sotong dalam 1/4 cawan air mendidih dan toskan. Jangan buang airnya.
3. Masukkan bahan kisar termasuk kelapa, isi sotong, jus limau dan 2 sudu besar air rebusan di dalam mangkuk. Masukkan sos ikan, cili merah, bawang besar hiris, taugeh, kacang panjang, sedikit garam dan gula dan gaul sebati kerabu.

4. Boleh dihidang segera atau sejukkan dalam peti ais sebelum dihidang.




Wednesday, August 5, 2009

Nyonya Kerabu Telur

Sangaaaat sedap...!!!

Inilah komen yang K.An beri kepada resepi Nyonya Kerabu Telur ni... resepi oleh Mat Gebu yang sangat mengancam semua masakannya tu... Tak pernah, K.An rasa kerabu macam ni... Masa dok menggaul bahannya pun dah kecur liur.. baunya saaangat sedap. Tak sabar nak makan.
Bila siap je, ngap sesudu...waaah memang secantik rupa, rasanya.... cuma bagi yang perut nipis tu, boleh kurangkan cili padinya.. Masa K.An dan Abg.Azam makan...fuah..fuah... kepedasan.!!!

K.An close-up rupa kerabu ni, sebab di Dapur Tanpa Sempadan Mat tayang pinggan antik dia yang cun melecun tu.. sampai tenggelam rupa kerabu...heee...

Bahan-bahan: (K.An kurangkan sikit daripada resepi asal- hidangan cukup untuk 5 orang)

3 biji telur
1 biji bawang besar Holland (kuning)
1 biji tomato
1 kuntum bunga kantan
3 biji cili padi
sedikit daun kesum (K.An tak ada stok, ganti dengan 3-5 tangkai daun selom)
1 biji besar limau nipis diperah airnya (mat guna limau kasturi)
garam dan gula secukup rasa

Bahan ditumbuk Halus:

1 biji cili merah
3 biji cili padi
1 ulas bawang putih
1/2 inci belacan dibakar

Cara membuatnya:

1. Dadar nipis telur satu persatu seperti buat ketayap. Gulung dan gunting 1/2 sm lebar.
2. Tomato dibelah 4 dan buang bijinya. Hiris nipis-nipis. Hiris kecil bunga kantan, daun selom, cili padi, cili merah dan bawang besar.
3. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan ditumbuk , garam, gula dan perahan limau nipis. Gaul rata dan sedia dihidang.

Tuesday, June 23, 2009

Kerabu Epal

Apapun jenis kerabu, memang K.An suka.. rangup-rangup lagi masa makan tu...mmmph.. makan macam tu saja pun boleh..

Kerabu epal ni, belajar masa tengok rancangan Makan Tapi Diet nuuun musim pertama 3 tahun lepas.. masa tu, Chef Nazri, anak Chef Wan tu yang jadi hostnya.. macam-macam dia masak, semua nampak sedap. Dalam banyak-banyak resepi yang dia kongsi, paling selalu k.An buat..nilah dia, kerabu epal. Resepi asal Chef Nazri campur dengan udang harimau besar yang dicelur.. ikutlah citarasa masing-masing, kalau suka boleh buat macam tu juga...

Bahan-bahannya sama macam nak buat kerabu mangga:

4 biji epal hijau segar (dihiris nipis memanjang)
2 sudu besar sos ikan (namphla)
1/2 cawan kacang tanah disangrai, buang kulit dan kisar halus+ kasar
1/2 cawan udang kering- disangrai dan kisar halus
3 biji limau nipis diperah airnya
garam gula secukup rasa
1/2 labu bawang besar holland dihiris nipis
2 biji cili merah dihiris nipis panjang-panjang 1 inci

Bahan ditumbuk halus:
3 ulas bawang merah
5 biji cili padi akar
3 batang serai dihiris nipis

Cara membuatnya:

1. Potong epal dan rendam dalam air ais agar kekal rangup. Apabila siap bahan lain, baru toskan epal dan masukkan ke dalam mangkuk. Campurkan dengan semua bahan. Gaul rata. Simpan dalam peti ais sehingga sedia dihidang.



Tuesday, May 26, 2009

Senangnya nak Buat Kerabu Tomato...

Abang Azam tak balik makan tengahari sebab nak turunkan berat badan...?... K.An masak yang mudah-mudah je sebab anak-anak tak cerewet nak makan banyak jenis lauk. Tekak ni terasa nak makan kerabu tapi malaaas nak buat yang 'renyah-renyah' tu sebab satu mulut je nak makan. Sudahnya k.An buat je kerabu tomato ni...paaling senang. Ini resepi adik k.An, Moon yang pakar menyediakan sayuran dan ulaman mengikut kehendak suaminya.. heheh..

Bahan-bahan:

1 biji tomato dihiris nipis
2 sudu teh sambal belacan

Cara membuatnya:
Satukan tomato dan sambal belacan.. Gaul rata. Masukkan ke dalam piring... sedia untuk dimakan.. Tak tipu... senang dan sedap.

**** tips daripada Moon.. kalau nak tambah kaler pada kerabu, tambahkan kacang panjang yang dihiris kecil-kecil dan gaulkan dengan ikan bilis/ udang kering ditumbuk halus. Kalau rajin lagi tambahkan bawang besar dihiris halus... memang terangkat..

Thursday, March 5, 2009

Kerabu Kampung Kerang dan Pucuk Paku

Dah lebih 15 tahun K.An bermastautin di Lembah Klang, namun selera utara tetap menjadi pilihan utama tekak K.An. Terutama sekali ketika kenduri-kendara. Bagi yang belum pernah menikmati sajian kenduri kahwin di kampung-kampung kawasan utara Perak dan kawasan Seberang Perai, jika ada jemputan...penuhilah jemputan tu dan nikmati sendiri keenakan lauk-pauk kenduri kahwin di tempat kami. Memang istimewa. Tambahan pula lauk-pauk dimasak di pagi kenduri dan bukan di waktu malam sebelumnya. Ini menyebabkan lauk-pauk berkuah, lembut dan enak sebab baru dimasak.

Ayam dan daging masak merahnya memang tak sama dengan resepi di kawasan tengah Semenanjung. Gulai daging, air asam dan kerabu menyebabkan makan berpinggan-pinggan walaupun di majlis kenduri kahwin... (biasanya kita makan sikit je kat kenduri kahwin ni..) itu belum termasuk lagi acar rampai atau kacang buncis digoreng dengan hati ayam berempah kari sedikit... mmmph tak dapat nak tolak pinggan nasi tu..

Dalam banyak-banyak lauk, antara yang paling istimewa, ialah kerabu kerang dengan pucuk paku.. selalunya bahannya disediakan berasingan dan ketika nak dihidang barulah digaulkan agar kerabu lebih tahan lama.. sebab tak ada peti ais besar nak simpan..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-5 orang)

1/2 kg kerang

1 ikat pucuk paku-dibasuh dan diambil daun, batang dan pucuk yang lembut-celur hingga lembut.

5 ulas bawang merah ditumbuk halus

2 sudu besar cili kisar/ 3 tangkai cili kering direndam dengan air panas dan ditumbuk halus

1 sudu teh belacan yang telah dibakar

2 sudu besar kerisik

2 sudu besar air asam jawa / 1 sudu besar pati asam jawa Adabi dicampurkan 1 sudu besar air

segenggam tauge dilalukan air mendidih di dalam penapis- toskan

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Basuh kerang bersih-bersih. Masukkan dalam periuk. Masukkan air secukupnya hingga tenggelam kerang. Didihkan dan tutup api. Kacau sedikit agar kerang masak rata. Kopek kulitnya dan ketepikan.

2. Bancuhkan air asam jawa dengan belacan, bawang, kerisik, cili kisar.

3. Masukkan tauge, pucuk paku dan kerang ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan-bahan yang dibancuh tadi. Masukkan sedikit garam dan gula. Gaul hingga semua bahan sebati.

Dah siaaap...

*** pucuk paku dan taugeh dicelur seketika sahaja bagi mengekalkan kerangupan dan kesegarannya

***boleh ditambah air limau nipis jika ingin lebih masam dan cili padi jika suka lebih pedas

Thursday, February 12, 2009

Kerabu Ayam

Setiap kali buat kerabu, K.An teringat adik ipar K.An, Zulkifli-suami Mun yang mengamalkan pemakanan sihat setiap hari. Maksudnya piramid makanan tu dia ikut betul-betul. Banyakkan makan sayuran dan buah-buahan.. Tak ramai yang boleh ikut macam dia yang suka makan ulam-ulaman. Abang azam pun jenuh nak didik banyak makan sayur... Sudahnya K.An juga yang terpaksa ratah sayur dan ulam yang berlebihan. Kalau nak Abang Azam makan sayur mentah, kenalah K.An buat kerabu. Baru liciiin...

Selain kerabu kampung, K.An kenal pelbagai kerabu yang enak daripada restoran makanan Thai. Ada macam-macam, kerabu sotong, kerabu ayam, kerabu mangga- dah masuk blog, kerabu kerang, kerabu ikan keli dan yang pelik tapi popular juga ialah kerabu kaki ayam... (kawan k.An 'order di restoran siam betul tapi K.An tak lalu nak makan..heheh)

Semasa bazar Ramadhan di Bandar Tasik Puteri, Restoran Bintang Raya kegemaran kami, menjual aneka kerabu ni di bazar ramadhan.. Masa tu, kalau malas nak buat, K.An beli kerabu (apa-apa jenis) Rm2 dan simpan untuk makan sahur.. sedaap.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 cawan isi ayam dipotong dadu

** rebus isi ayam dengan 1 cawan air hingga masak. Ketepikan.

Bahan ditumbuk:

2 batang serai- dihiris halus

3 biji cili padi

2 ulas bawang merah dihiris halus

1 ulas bawang putih

1 sudu besar udang kering/ ikan bilis siap dikopek

Bahan dihiris:

1 biji cili merah

2 urat kacang panjang-hiris halus

Bahan lain:

1/2 cawan kelapa parut putih-disangrai sebentar hingga wangi- jangan sampai perang

segenggam taugeh dibersihkan dan dilalukan air mendidih

2 biji limau nipis diperah airnya

1 sudu besar sos ikan (namphla)

garam (jika perlu)dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan isi ayam. Ambil 1 sudu besar air rebusan. (yang lain simpan beku untuk digunakan lain kali- buat mee goreng ke, tomyam ke...)

2. Masukkan semua bahan termasuk isi ayam ke dalam mangkuk. Gaul rata dan sedia dihidang. (atau simpan dalam peti ais dahulu sementara lauk lain disediakan) Kerabu lebih sedap dimakan sejuk bersama nasi dan lauk-pauk lain.

Saturday, January 10, 2009

Kerabu Mangga

Sebut je mangga, terus kecur air liur sebab yang masam-masam ni kata orang pembuka selera. Dibulan puasa K.An memang hampir setiap hari buat pelbagai kerabu supaya berselera masa makan sahur. Kalau tak ada kerabu, K.An buat acar ikan masin atau sambal kering ikan bilis. Memang laju makan...

Buat kerabu ni tak susah kalau kita dah sediakan bahan asasnya 'in advanced' Contohnya; K.An memang sentiasa ada dalam simpanan, kacang tanah yang siap disangrai (goreng tanpa minyak), ikan bilis yang siap dikisar, udang kering yang telah disangrai dan dikisar, kerisik dan kelapa putih yang disangrai hingga agak keperangan dan wangi. Semuanya K.An masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Bila nak digunakan, keluarkan je dan campur dengan bahan-bahan basah.

Kerabu Mangga

Bahan-bahan: Hidangan untuk 5 orang

2 biji mangga muda dikupas dan hiris halus memanjang
2 sudu besar kacang tanah yang telah disangrai dan dikisar halus
1 sudu besar udang kering, disangrai dan dikisar halus
2 biji cili padi, 1 batang serai dititik, 2 ulas bawang merah- dikisar halus 2 biji cili merah dibuang biji dan hiris memanjang
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar 'brown sugar'
2 sudu teh gula pasir
1/2 sudu teh garam
1/2 biji limau nipis diperah airnya

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata. Sedia dihidang.
2. Kalau tak habis, simpan di dalam peti ais di dalam bekas bertutup. makan masa sejuk pun sedap.

Wednesday, December 24, 2008

Kerabu Tuna Kacang Kelisa Chef Wan

Rancangan memasak dan yang berkaitan dengan makanan memang berlambak-lambak di TV. Tak kira saluran media utama mahupun media satelit berbayar... Setiap hari pasti ada rancangan yang memaparkan pelbagai resepi masakan dan makanan dari pelbagai pelusuk tempat. Memang 'best' menonton rancangan macam ni... Yelah, semua orang makan hari-hari dan makan adalah keperluan hidup.

Persoalannya, berapa ramai yang menonton rancangan memasak, kemudiannya mencuba resepi yang baru ditonton tu..?
K.An rasa 20 % je yang mencuba, dan yang lainnya dilupakan sahaja.. Kesian.. chef-chef yang penat-penat memasak tu.. Bagi K.An, kalau yang bahannya mudah, murah dan caranya juga tidak remeh atau cerewet, memang K.An cuba. Contohnya kerabu tuna ni.. K.An ikuti rancangan Chef Wan dengan Tuna TC Boy 5 tahun lepas... Ini salah satu resepi yang kekal dalam ingatan sebab sedaaap dan tak macam makan sayur pun (bagi anak-anak)

Bahan-bahan:

1 tin Tuna Cili Padi TC Boy (K.An dah cuba jenis lain, tak sama rasanya.. jadi gunakan yang dalam resepi ye.. jangan tukar)

1 cawan kelapa putih parut- disangrai sedikit hingga wangi kekuningan

2 sudu besar udang kering direndam sebentar dan tumbuk halus

4 sudu besar cili kisar

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus

2 batang serai dititik dan ditumbuk halus

1 sudu besar kerisik

2 biji limau nipis diperah airnya

8 urat kacang kelisa dipotong 3 mm tebalnya (kalau nipis sangat, tak terasa rangup bila mengunyahnya)

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, putih, dan serai hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis sampai pecah minyak.

2. Masukkan udang kering, kelapa parut dan kerisik. Gaul rata hingga campuran kelapa agak kering. Tutup api dan ketepikan.
3. Buka tin tuna dan tuangkan minyak di dalamnya. Keluarkan semua isi tuna dan masukkan ke dalam mangkuk besar.

4. Masukkan kacang kelisa yang telah dipotong tadi dan sambal kelapa kedalam mangkuk berisi tuna. Perahkan air limau nipis. Gaul rata. Masukkan garam dan sedikit gula. Sesuaikan rasa. Ada masam, manis, masin dan pedas...

*** Terima kasih Chef Wan kerana berkongsi resepi yang sedap ni.

Kerabu ni boleh juga dimakan dengan roti pita, roti sandwich atau roti burger.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin