Saturday, January 28, 2012

Rezeki datang Dalam Pelbagai Bentuk..

Selepas pulangnya keluarga Pakcik, K.An menerima panggilan telefon daripada Junior K.An di UIA dulu, Mimi mengkhabarkan berita baik untuk K.An.....  Sepupunya memerlukan pembekal kuih-muih untuk Kafe yang baru diambil-alih di Wisma Putra, Putrajaya..  alhamdulillah. Walaupun K.An terpaksa tolak tawaran seorang lagi usahawan yang yang menawarkan K.an menjadi pembekal Kek Karamel kerana masalah jarak jauh, tetapi akhirnya, datang juga tawaran lain yang lebih dekat.

Keesokan harinya pula, seorang lagi rakan menghubungi K.An, menawarkan kontark membekalkan makanan untuk Tadikanya yang memulakan operasi januari 2012...

Alhamdulillah... masa untuk bekerja ya Ummi...

Tapi ada cabarannya... sebaik sahaja K.An setuju dengan kedua-dua tawaran, 'Aisyah pulak tak sihat... Athmanya datang balik gara-gara minum air sirap... (kat surau dan kenduri kahwin...) dia memang tak boleh minum air yang ada pewrana berlebihan.. makanan pun sama... Sudahnya, 3 hari seterusnya K.An berkampung di Hospital Putrajaya...


'Aisyah dah hiaskan penkek leper ni dengan jem... hmmm nampak sedap juga kan...?


 Dah cabut IV, 'Aisyah dah boleh pergi main kat playground... bestnya...





Walaupun tak sihat, 'Aisyah bagus sangat bila tiba waktu makan... dia makan banyak, makan ubat ikut jadual (walaupun kena kejutkan dari tidur waktu tengah malam) dan alhamdulillah, cepat sihat... selepas 3 hari, 'Aisyah pun boleh balik rumah..  tapi selepas ni, kami kena pantau kesihatan dia dengan lebih teliti...

beberapa hari lepas tu, K.An kena pulihkan rumah yang jadi tunggang-langgang selama ketiadaan K.An.. Terima kasih kepada Abi dan anak-anak yang telah membantu sedaya upaya....

Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara,

Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum Mati....

Maka.... hargailah setiap rezeki dan peluang yang mendatang...

Kunjungan tetamu Membawa Rezeki...

Kata orang, tetamu bawak rezeki... memang betul..

Sejak dari dulu lagi, keluarga K.An memang suka menerima tetamu dan menjamu tetamu...   sejak zaman arwah ayah ada lagi, kami anak-anak suka sangat ajak kawan-kawan balik ke rumah untuk bermalam...    masa tu, mak dan ayah akan layan tetamu sebaik mungkin.. jadinya kami anak-anak pun terus dengan tradisi yang sama..

 kalau ada yang nak datang ke rumah, silakan.... tapi kalau nak makan spesel, jangan lupa bagitau awal-awal, bolehlah K.An buat persediaan...

Sekembalinya dari Hari Keluarga, kami menerima kunjungan Pakcik Subki, Makcik Mashitah dan Suraya.. (anak2 lain tak ikut)
Bawak Pakcik dan Makcik Ronda-ronda Putrajaya... Maryam jadi pemandu pelancong..





Alhamdulillah... sempat juga buat makan-makan dan ajak semua anak saudara Pakcik yang tinggal berdekatan Putrajaya... (Kajang, Bangi dan Semenyih...) meriah sangat dan terima ksih kepada semua yang datang.... Menu Periuktanah, nasi Putih, Tomyam Kung, Ikan Bawal Bakar, Ayam Panggang Cikgu Aziz, Kek Pisang, Salad kentang, Apam Beras (sumbangan Kak Ti, Tembikai, sumbangan Moon, dan Sate UK sumbangan Hazidah...)

3 hari Pakcik dan Makcik berada di sini... puas hati dapat melayan mereka yang pertama kali datang Putarajaya... InsyaAllah ada rezeki datang lagi ye...

Selamat Tinggal 2011, selamat datang 2012

Assalamualaikum wrt...

Jutaan Terima kasih tak terhingga K.An ucapkan kepada semua yang masih sudi menatap titipan daripada periuktanah... Walaupun lama tak bersiaran, anda semua tetap dalam ingatan... cheewah..!! macam ucapan kiriman lagu kat dalam radio pulak.. hmmm.. anak-anak sekarang tak merasa la keseronokan mendengar rancangan ucapan dan lagu di radio macam zaman K.An kecil-kecil dulu. Sambil masak di dapur, sambil tunggu kot-kot ada kawan atau saudara-mara yang hantar ucapan dan lagu... seronok kan..


 sempena mengenang nostalgia lama, K.An kongsikan gambar mak dan arwah ayah K.An lebih 15 tahun dahulu..

Dan yang ini gambar keluarga Arwah Haji Shaari dan Hajjah Selamah pada 27 November 2011... Selepas selesai Hari Keluarga Edisi ke-5....

Cerita makannya dan masak-masak.... K.An dan ahli keluarga perempuan memang sinsing lengan dari awal hingga akhir program.. seperti biasa bila sibuk, tak sempat nak snap gambar... Makan tengahari pada hari utama program, kami tempah je lauk-pauknya. tinggal masak nasi putih, buat sambal belacan dan sediakan air minuman. Sarapan, K.An dan adik-beradik yang lain buat mihun goreng, kuih tako dan kek pisang... Adik K.An (Moon) yang jadi tokey tako.. memang sedap dan cantik. Dia ambil resepi dari blog Ita (Masam Manis)
Sebelah malam, selesai solat berjemaah berimamkan ustaz Ahmad Badli..abang K.An, tazkirah (ustaz Nor Azam-suami sayalah tu..).. kami buat BBQ.. Cikgu Aziz and the Gang. K.An sediakan Yong-Tau-Fu (sekelip mata habisss), Abg Mie dan keluarga sponsor Mee Rebus, Mihun Sup dan Rojak... Gambar..? tak sempat..

Apa pun keesokan harinya sempat juga buat kuih tradisi Banjar yang menjadi idaman semua... Wadei Kipeng...

Sebahagian tenaga kerja dalam menjayakan projek besar-besaran... yang lain malu-malu kucing, tak nak masuk Periuktanah.. heheheh... Peminat no- 1 Haji Dzul yang tak sabar-sabar tunggu kuih dimasak.. (nak tau rahsia.. dia buat 2,3 biji je..)

Selesai Hari keluarga, kami kembali ke Putrajaya..... 30 November, kami sekeluarga menerima kunjungan Pakcik dan Makcik K.An yang datang ke Putarajaya sempena majlis Konvokesyen anak mereka Suraya yang menamatkan pengajian Di Universiti Sains Islam Malalaysia (USIM).. K.an smabung di entri akan datang ye...

Tuesday, December 6, 2011

Marble Cheese Brownies untuk hari istimewa


Alhamdulillah pada tarikh 7 November 2011, genaplah 17 tahun perkahwinan K.An dan Abang Azam yang telah dikurniakan 6 cahayamata penyeri kehidupan. (Walaupun kehadiran Allahyarhamah Munirah cuma seketika tapi sungguh bermakna dan penuh kenangan)... Susah senang, suka duka kami harungi bersama... banyak cabaran tapi cabaran itulah yang mematangkan kami sekeluarga.

Pada tarikh yang sama, 7 November 2007, K.An telah selamat melahirkan cahayamata yang ke-5, Maryam Huda yang comel... dah 4 tahun berlalu... maryam pun dah besar...

Untuk peristiwa istimewa ni, K.An buatkan kek istimewa juga... Marble Cheese Brownies yang sungguh sedap..
Resepinya K.An salin dari dapur Yatie.. Resepi asal  Kak Rinn... Terima kasih semua..

Bahan-bahan:

Brownies

250 gm mentega
1 cawan serbuk koko
3 biji telur B
1 1/2 cawan gula kastor (K.An kurangkan 1 sudu besar)
1/2 cawan susu cair
1 1/2 cawan tepung gandum
1 st baking powder
1 st soda bikarbonat
1 st esen vanilla ( K.An gantikan 1 sudu besar pati jus oren Sunquick atau yang sepertinya)

Cara membuatnya:

1. Cairkan mentega di dalam periuk. Angkat. Masukkan koko dan kacau rata.

2.Whisk gula dan telur. Masukkan ke dalam 1. Kacau rata menggunakan whisk.

3. Masukkan susu cair. Gaul lagi.

4. Akhir sekali masukkan tepung dan gaul sebati.

5. Panaskan oven pada suhu 175 C. Alas loyang 10 X 10 inci dengan kertas minyak. Biarkan kertas berjuntai di kiri kanan loyang agar kek senang dikeluarkan. Jika tiada loyang besar 10 X 10, bahagikan adunan kepada 2 loyang agar lapisan kek tidak terlalu tebal.

6. Tuang adunan brownies dan ratakan. Tinggal sedikit untuk buat corak marble nanti (anggaran 1/4 cawan)
Bakar brownies selama 20 minit menggunakan api atas dan bawah. K.An letakkan loyang kek di rak paling bawah.

Bahan Lapisan Cheese

250 gm cream cheese (Philadelphia)
1 cawan gula kastor- (K.An gunakan 3/4 cawan sahaja)
1 biji telur B

Cara membuatnya:

1. Pukul cream cheese hingga gebu. Masukkan gula dan pukul lagi hingga sebati.
2. Masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.

Selepas 20 minit, keluarkan brownies. Tuangkan adunan cheese dan ratakan. Paipkan baki adunan brownies dan lorekkan ikut citarasa. Masukkan ke dalam oven dan bakar lagi 15 minit. Sejukkan sebelum dipotong.

**** K.An warnakan sedikit adunan cheese dan buat corak bunga tulip untuk kek pertama dan corak bunga raya untuk loyang kedua... teruja anak-anak tengok rupanya.. sayang nak makan...
Brownies ni memang sedap sebab ada rasa cheese di atasnya. Kepada yang tak suka manis eloklah dikurangkan sukatan gula untuk adunan cheesenya...

 Selamat mencuba.

Thursday, December 1, 2011

Home-made Sardine

Assalamualaikum wrt wbt...

Pagi ini sama-samalah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana masih memanjangkan umur kita bagi terus menikmati kehidupan di dunia ini. Moga kesihatan yang diberikan digunakan sebaik-baiknya dan semaksimanya kerana kita tidak pasti sampai bila nikmat ini dapat kita kecapi...

Alhamdulillah di pagi ini juga, dapat kiranya K.An kongsikan resepi membuat Ikan Sardin di rumah  macam sardin yang kita beli dalam tin tu... dan kalau nak tahu, sardin yang dibuat sendiri ni, jauh lebih sedap rasanya berbanding yang dibeli... kalau nak tahu, cubalah sendiri ye..

Resepi ni dikongsi oleh Ibu mertua K.An (Hajjah Siti Zainab) lama dulu... tapi baru je K.An mencubanya. Almaklum, dah beli ikannya, dan tomatonya...... belum sempat diproses,  dah habis digoreng dan dibuat kuah tomato kegemaran semua... 




Kebetulan baru-baru  ni, K.An ke pasar borong dan ternampak ikan sardin cantik-cantik, segar bugar dan besar-besar... hmmmm, peluang baik nampaknya... Akhirnya terlaksana juga projek terbengkalai selama ni.
Kepada yang inginkan sardin 100% HALAL, memang patut mencuba resepi ni.

Bahan-bahan:  ( Buat separuh jika pertama kali ingin mencuba)

1 kg ikan sardin segar- bersihkan, buang kepala, sirip dan ekor

1/2 kg buah tomato masak dimesin - K.An potong kecil dan mesin dengan sedikit air

1/2   cawan minyak masak
3 sudu besar tomato puri
garam dan gula secukup rasa  (K.An letak 2 sudu teh garam dan 1 sudu besar gula)

Cara membuatnya:

1. Susunkan ikan yang telah dibersihkan tadi di dalam periuk tekanan.   (wajib guna periuk tekanan ye...)
2.  Masukkan tomato kisar, tomato puri, minyak, garam dan gula. seperti di dalam gambar.
3. Tambahkan air sehingga semua ikan ditenggelami kuah. Tutup periuk tekanan.

4. Hidupkan api agak besar sehingga periuk tekanan keluar wap. Tukarkan kepada api sederhana dan masak selama 45 minit.  Matikan api, buka periuk tekanan dan sedia dihidang begitu sahaja bersama nasi atau roti.


***** ketika proses memasak, bau yang terbit daripada periuk tekanan akan berubah, daripada bau ikan kepada bau sardin dalam tomato sos yang sungguh menyelerakan.....

***sardin yang K.An buat ni, tulangnya masih belum lembut sepenuhnya. Pada pandangan K.An jika inginkan tulangnya lebih lembut, tambahkan lagi air dan masak lebih lama anggaran 60 minit ke 90 minit....(jika air tidak mencukupi, nanti sardin kita kering dan hangit pulak...

Sunday, November 20, 2011

Mushroom Soup untuk 'Aisyah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani......


Pagi-pagi di hari minggu ni, K.An hidangkan 'Mushroom Soup' untuk hidangan sarapan pagi. Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan roti. Roti Perancis boleh, roti bawang putih boleh atau roti putih biasa, dibakar sebentar dan gunting panjang-panjang... nak lagi sedap, sapukan roti dengan sedikit mentega, tumbukkan sedikit bawang putih dan bakar... hmmm...memang sedap... Dah berpuluh kali buat sup ni sebab mudah dan lebih enak berbanding yang di dalam tin atau di kedai... Nak resepi klik sini ye..


Yang ini kegemaran 'Aisyah..... Kalau K.An tengah reneh sup di dapur, dia akan datang jenguk sambil hidung ke depan... hmmmm.. sedapnye bau suuuup... bila nak siap ni ummi?.. Kali ni K.An gunakan low fat milk.. bagi K.An lebih sedap dan halus teksturnya berbanding full-cream atau fresh milk... ikut citarasa masing2 ye..

Monday, November 14, 2011

Nasi Goreng Ladna

Alhamdulillah, berlalu sudah 2 minggu yang panjang dan padat dengan pelbagai aktiviti... Balik kampung, menyambut Hari Raya AidilAdha, bercuti bersama keluarga dan kembali ke Putrajaya... 

Seperti biasa bila pulang ke kampung, tutup laptop. facebook dan juga blog..... sepenuh masa dicurahkan untuk berbakti kepada mak K.An, ibu dan bapa mertua dan ahli keluarga tercinta. Tambahan pula seminggu sebelum raya, K.An dimaklumkan, mak kurang sihat dan kurang selera makan. Begitu juga mak dan ayah mertua.  Maka, tugas K.An adalah untuk menyediakan aneka juadah yang bakal melahirkan kembali selera makan mereka. Alhamdulillah walaupun cuma 3 hari bersama, sempat K.An masakkan sesuatu yang mereka suka...


Untuk 'warm-up' bulan November, K.An mulakan dengan resepi ringkas dan mudah Nasi Goreng Ladna kegemaran K.An, 'Aisyah dan Sarah.... bukan sahaja ringkas tapi penuh khasiat.

Bahan-bahannya (hidangan untuk 3-5 orang)

3 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih- ditumbuk kasar
1/4 cawan sotong yang telah dihiris kecil
sedikit isi ayam dipotong kecil
5 ekor udang harimau
serba sedikit sayuran- Pak-choi, jagung muda, karot, bunga kobis, dihiris ikut citarasa
1 tangkai cili merah dihiris serong
3 tangkai cili padi akar diketuk- tambah jika suka lebih pedas
2 cawan air rebusan ayam (jika tiada gantikan dengan air biasa dan 1/2 ketul kiub ayam)
2-3 sudu besar tepung jagung  (bancuhkan dengan 1/2 cawan air)
1 sudu besar sos tiram
3 cawan nasi sejuk 
1-2 sudu besar kicap manis
minyak untk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 1 sudu besar minyak didalam kuali. Masukkan nasi. Renjiskan kicap dan gaul nasi bersama kicap hingga sebati. Ketepikan dahulu.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali atau periuk  lain. Masukkan isi ayam, udang dan sotong. Goreng seketika hingga naik bau wangi. (tak perlu diangkat)

3. Masukkan bawang yang ditumbuk, cili api, cili merah dan tumis lagi hingga terbit bau wangi. (1 minit) Seterusnya masukkan batang pak-choy, karot, bunga kobis, jagung muda. 

4. Masukkan sos tiram, air rebusan ayam dan sedikit garam. Biarkan mendidih. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung jagung dan daun Pak-choy. Kacau hingga kuah agak pekat. Matikan api.

5. Cedokkan nasi ke dalam pinggan dan tuang kuah bersama bahan lain ke atas nasi. Sedia dinikmati.



****Tips K.An :   

*   Untuk kuah yang sedap,  pastikan sayuran yang digunakan segar, bahan mentah dimasak sempurna tetapi tidak terlalu lama dan gunakan api perlahan ketika mereneh kuah.

*   Aneka sayuran lain boleh digunakan seperti cendawan tiram, kailan dan kobis untuk menambah rasa manis kuah.

Monday, October 31, 2011

Pai Crumble Keledek... transformasi berjaya.,..

Assalamualaikum semua...



Hari ini, K.An nak kongsi resepi Pai Crumble Keledek yang asalnya adalah resepi lain yang tak kena dengan selera K.An....huhuhu... Resepi asalnya adalah Kaserol Keledek Butter Crumbled yang K.An salin daripada satu Majalah masakan.. (tak perlu disebut namanya..)

Bila dah siap.. jadi elok rupanya tapi..... rasanya, tak kena dengan tekak K.An... ada rasa maniiiis je (walaupun K.An dah kurangkan gulanya)  Untuk tidak membazir dan di'tong' sampahkan, kepala ligat memikirkan cara mengubah kuih tu menjadi benda lain yang sedap... fikir punya fikir akhirnya, K.An jadikannya pai... sedap....alhamdulillah, K.An dan Sarah jadi tukang makannya...(yang lain phobia sebab teringat-ingat rasa yang sebelum ni)



Bila dah jadi sedap, bolehlah K.An kongsikan resepinya di sini...boleh juga tukar selera sekali-sekala.. selalunya buat pai labu, apa kata kali ni kita  buat pai keledek.

Bahan-bahan:    (PASTRI PAI)

200 gm tepung gandum
secubit garam halus
100 gm   mentega  /   margerin
2-3 sudu besar air ais
1 biji telur
1 sudu besar tepung jagung

Cara membuatnya:

1.   Ayak tepung gandum dan tepung jagung bersama garam ke dalam mangkuk.

2   Masukkan mentega.  Gaul ramas sehingga menjadi serbuk roti.

3.   masukkan telur. Tambahkan air ais sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga menjadi doh lembut.

4.   Isikan ke dalam plastik atau balut dengan 'cling wrap'.  Rehatkan di dalam peti ais selama 20 minit.


Sementara tu sediakan lapisan kastard dan inti pai.

Bahan-bahan kastard:

1/2 tin susu cair
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan di dalam periuk. Gaul dengan whisk hingga sebati.

2. Letakkan periuk di atas dapur dan hidupkan api perlahan. Masak kastard sambil dikacau sehingga kastard pekat. Ketepikan.


Cara memasak pastri. 

1. Keluarkan doh daripada peti sejuk. Canai pastri pada ketebalan bersesuaian dan letakkan di dalam tin pai bersaiz 7 inci. Biar berlebihan di tepi acuan kerana pastri akan sedikit mengecut apabila masak.

2. Panaskan oven pada suhu 180 C.  Masukkan tin pastri di tengah oven dan bakar selama 20 minit menggunakan api atas dan bawah.

Bahan-bahan Inti Pai:

150 gm keledek putih/merah- dipotong kiub dan direbus empuk
50 gm gula perang
1 biji telur
20 gm mentega
60 ml susu segar
1/2 sudu teh esen vanilla
1/4 sudu teh garam

Bahan Crumble

50 gm gula perang
20 gm tepung kek/ tepung berserbuk penaik
15 gm mentega
3 sudu besar kacang tanah yang telah disangrai dan dikisar
1/2 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Lecek keledek hingga halus. Campurkan dengan gula, mentega, esen, telur dan garam. Gaul sebati.

2. Keluarkan pastri yang telah dibakar tadi dan ratakan kastard di atasnya.  

3. Ratakan pula campuran keledek di atas lapisan kastard. Akhir sekali satukan semua bahan crumble dan gaul sebati. Taburkan di atas lapisan keledek.

4. Masukkan pai ke dalam bahagian tengah oven dan bakar pada suhu 160 C selama 30-40   minit lagi.  Sejukkan sebelum dihidang.

Friday, October 28, 2011

Tercapai Sudah Hasrat Di Hati...

Hari ni K.An pinjam Tajuk blog Kak Ina KL...tertunai hasrat di hati  .....

Alhamdulillah, akhirnya Allah pertemukan juga K.An dengan blogger masak-masak yang tak kurang 'femesnya' -Kak CM atau nama penanya Cik Manggis di majlis perkahwinan anak beliau pada 23 Oktober yang lepas... Berkali-kali kami ni ingin berjumpa, tapi ada saja aralnya walaupun tinggal sepelaung sahaja jaraknya... Syukur alhamdulillah...


Seronok tak terkata, tapi tak sempat nak berbual panjang sebab tak nak ganggu tuan rumah melayan tetamu yang hadir... Nanti kita janji makan-makan kat rumah ye kak...




Pengantin yang sama cantik, sama padan... Bagaikan Pinang Dibelah dua


Sebelum balik, ambik gambar dengan Kek Pengantin yang nampak sungguh Eksklusif...

Akhir kata, Tahniah untuk Kak CM, suami dan keluarga atas kehadiran ahli keluarga baru.. Terima kasih banyak atas jemputan... makan pun sungguh sedap, sampaikan tanpa segan silu, kami tambah nasi dan lauk-pauk.. hihihih.... Ok Jumpa lagi...

Sunday, October 23, 2011

Keledek Rebus Cicah Kelapa... bila penyakit 'M' datang




Assalamualaikum warahmatullah...

Hari ni, K.An bukan nak kongsi resepi tapi cuma nak berkongsi gambar keledek rebus dengan kelapa parut yang K.An dan Maryam makan buat minum petang kelmarin... Asalnya rebus keledek untuk dibuat cucur Badak, tapi tiba-tiba Abang Azam balik awal pulak... Tak sempat nak proses inti...Maka cucur badak jadi Cek Mek Molek... dan baki keledek, sebahagiannya K.An buat begini je.

Bukannya apa, dah lama teringin nak makan dengan kelapa parut macam dulu-dulu kat kampung tu... Sedap tau. Mudah sangat... Rebus keledek sampai empuk. Toskan. Kemudian gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam dan gula. Biar ada rasa masin dan manis.. tapi lebihkan manis... Lepas tu...Bismillahirrahmaanirrahim...ngapp...

Dulu-dulu, mak K.An banyak tanam keledek di batas bendang... Selalunya lepas menangguk Anak ikan, kami ramai-ramai cabut ubi keledek manis yang kecik-kecik warna ungu tu.. Balik rumah, bersihkan kulitnya, tak payah kupas. Rebus sekali dengan kulit untuk mengekalkan rasa manis ubi. Kalau hujan-hujan ni, memang sedap makan ramai-ramai... makan dengan kelapa parut... Cuba nanti ye...


Tiba-tiba terasa rindu dengan kampung halaman.....huhuk...

Saturday, October 22, 2011

Mihun Goreng Putih aka Mihun Goreng Singapore


Salam sejahtera dan salam persaudaraan untuk semua... Kepada yang sedang bersarapan, K.An ucapkan selamat bersarapan...kepada yang tengah fikir nak masak apa untuk keluarga di hujung minggu ni, boleh cuba Mihun Goreng putih ni... Boleh dihidangkan untuk minum petang nanti ataupun sarapan pagi esok. Mudah dan ringkas tapi sedap...

Selalunya K.An memang buat Mihun Goreng biasa seperti dalam resepi-resepi K.An yang lepas sebab anak-anak sukakan mihun yang ada warna.. merah ataupun gelap sedikit. Yang putih, banyak pulak soalnya nanti.. Tapi sesekali K.An nak juga makan yang putih macam ni tapi buatan sendiri yang tak ditambah bahan perisa tiruan/ segera  .. almaklum, kalau makan di kedai... aduuuh terasa di tekak banyaknya bahan perisa yang digunakan. Konon nak sedap tapi sudahnya balik rumah sakit kepala seharian...

Sebenarnya ini nasihat K.An kepada yang baru nak belajar memasak.. jangan mula gunakan sebarang bahan perisa kecuali garam, gula, asam, bawang dan yang lain-lain kecuali yang segar dan asli. Yakinlah kepada diri anda bahawa, dengan menggunakan ayam, udang, daging, sotong dan sebagainya sudah cukup untuk menyedapkan masakan anda. Penggunaan air rebusan ayam, daging dan kulit udang juga banyak membantu menambah kelazatan masakan anda terutama untuk sup dan goreng-goreng. Yang penting yakin dengan kebolehan diri.



Sebagai contoh mihun goreng putih ni, K.An gunakan sotong dan air rebusan daging sebagai bahan utama.. alhamdulillah walaupun ringkas, tapi tak kurang kesedapannya.

Bahan-bahan mihun goreng Putih: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 bungkus mihun- rendam dalam air biasa secukupnya selama 30 minit
1 labu bawang besar dihiris
5 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
200 gm daging- dihiris kecil dan direbus dengan  hingga empuk- ketepikan
100 gm sotong dihiris kecil
1 pokok sawi- K.An gunakan sawi hijau yang pendek-pendek tu- ptoong 1 sm panjang
100 gm kobis-hiris kecil
 1 tangkai cili merah dihiris
1 biji telur

1/2 sudu teh serbuk lada putih
secubit serbuk lada hitam (sedikit sahaja)
garam dan secubit gula
1 sudu besar sos tiram
minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:

1. Toskan mihun. Keluarkan daging daripada air rebusan. Panaskan 3-4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang besar dan bawang putih hingga agak layu dan berbau wangi. 

2. Masukkan sotong, daging, cili merah, sawi dan kobis. Goreng hingga sayur layu sedikit. Masukkan sos tiram, sedikit garam, sedikit lada putih, lada hitam dan gula (boleh tambah kemudian jika tidak cukup). Kacau sebentar dan pecahkan telur. Biarkan telur agak masak baru dikacau agar telur tidak hancur.

3. masukkan 1 cawan air rebusan daging. Biarkan mendidih barulah dimasukkan mihun yang telah ditoskan tadi. Kacau sekali-sekala hingga semua bahan rata dan mihun lembut. Bergantung kepada jenis mihun yang digunakan.... tambah air rebusan jika mihun belum cukup masak. Kacau lagi hingga semua bahan sebati.

4. Rasa mihun goreng dan tambah  garam, lada putih atau lada hitam lagi jika perlu... Bila mihun kering matikan api dan sedia dihidang panas-panas.

*** Taburkan bawang goreng dan daun bawang sebagai tambahan. K.An gorengkan Nugget Tempura Ramly sebagai hiasan untuk menarik minat si kecik 2 orang tu.... Tak ada pun , mihun ni dah sedap.

*** Untuk resepi mihun Goreng Putih Versi lain, boleh singgah dapur  Bro Rozzan  atau kak Ummi.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin