Saturday, December 27, 2008

Sajian Mengenyangkan...Roti Jala dan kari ayam

K.An mula mengambil tempahan Roti Jala, masa berkawan dengan seorang pemilik restoran di Country Homes kat Rawang. Kak Asiah ni ibu kepada salah seorang anak murid Abang Azam di SBPI Rawang... Restoran "Cafetaria My Place" terkenal dengan hidangan tengahari ala kampung yang menyelerakan. Walaupun terletak di tingkat 1 (1st floor) bangunan kedai, tapi disebabkan sedap, restoran ni sentiasa dipenuhi pelanggan di waktu makan tengahari. Kami sekeluarga pun kalau jemu makan di rumah, di situlah kami menjamu selera.

Selain menguruskan restoran Kak Asiah juga menerima tempahan katering. Masa bulan puasa ramailah yang buat majlis berbuka puasa dan kalau ada tempahan roti jala, Kak Asiah "sub' pada K.An.... Di situlah bermulanya cerita roti jala...


Bahan-bahan: (Hidangan untuk 10-15 orang- menghasilkan lebih kurang 50 keping)

5 cawan tepung gandum

1 biji telur

1 cawan santan cair

4 cawan air

1 sudu teh garam

serbuk kunyit secukupnya

minyak dan daun pandan untuk menjala

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati. Tapiskan ke dalam mangkuk. Cuba adunan menggunakan acuan. Jika adunan pekat, tambah sedikit air kerana kadangkala jenis tepung gandum berbeza, mempunyai kecairan berbeza

2. Sediakan kuali leper di atas dapur. Panaskan dan sapukan permukaannya dengan minyak menggunakan daun pandan yang dicarik sedikit dan diikat agar roti jala tidak melekat.
3. Cedok adunan menggunakan acuan roti jala, dan mula menjala seperti di dalam video.

4. Apabila masak, angkat roti jala dan letakkan dalam pinggan. Jangan lipat lagi. teruskan menjala lagi. Sementara menunggu roti jala masak, lipatkan roti jala pertama tadi. Buat begitu berselang-seli hingga habis adunan.
*** roti jala yang baru diangkat masih rangup dan susah untuk dilipat. Biar 1 minit baru roti jala jadi lembut.

5. Apabila siap semuanya,sedia dimakan bersama kuah kari ayam/ daging atau kuah durian.

Bahan-bahan Kari Ayam:

400gm ayam dipotong kecil

2 biji kentang dikupas dan dipotong dadu kecil

5 ulas bawang merah dihiris

2 ulas bawang putih dihiris

1/2 inci halia dihiris

kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang dan 3 kuntum bunga cengkih

3 sudu besar rempah kari ayam/daging dibancuh dengan 1/2 cawan air

2 cawan santan daripada 1/2 biji kelapa

1 tangkai daun kari

garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang, rempah ratus dan daun kari hingga wangi dan bawang kekuningan.

2. Masukkan rempah kari. Kacau hingga pecah minyak. Masukkan ayam, santan dan kentang. Masak hingga empuk. Masukkan garam secukup rasa. Tambah air jika mahu kuah yang banyak. Didihkan dan tutup api. Hidangkan bersama roti jala

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin