Cuaca di luar agak panas dan berbahang... tidak senyaman dan sesejuk cuaca petang beberapa minggu lepas... namun alhamdulillah, itulah nikmat Allah yang patut kita fikirkan hikmah kejadiannya.. Hujan, panas, ribut, tenang, aman dan kacau, pasti ada sebab dan musababnya..
Begitulah juga dengan kekalutan yang berlaku di Sabah ketika ini. Apapun, doa K.An agar Allah memberi kita jalan keluar yang terbaik dan memelihara umat Islam semua.. Takziah kepada semua ahli keluarga pejuang kita yang terkorban. Percayalah, tidak sia-sia pengorbanan mereka itu...
Bila berlakunya situasi begini, Terasa betapa masa yang kita ada tidak tentu bila hujungnya.. mungkin esok, mungkin minggu depan... maka cepat-cepat K.An kembali menulis supaya lebih banyak resepi dapat K.An kongsikan dengan semua... mata dah nak pejam, tapi caiyo-caiyo... teruskan usaha ....
Hari ni, K.An kogsi resepi mudah ayam panggang bersama cendawan shitake.
Cendawan shitake segar ini adalah buah tangan Abang Azam ketika bermesyuarat di Gunung Jerai Kedah Darul Aman.. Dipetik dari ladang dan dipek cantik seperti di dalam gambar. Menurut pemilik ladang, cendawan shitake ini banyak khasiatnya dan boleh merawat pelbagai penyakit seperti tertulis di kotak tersebut. Kalau nak tahu, cendawan ni boleh dimakan mentah atau dimasak mengikut citarasa masinbg-masing.
Puas juga kami makan cendawan sebab Kak An keluarkan cendawan dari kotak dan simpan dalam bekas kedap udara (tupperware) kemudian baru disimpan di dalam peti sejuk. Tahan sebulan lamanya..
Diringkaskan cerita, ini resepi ayam panggang bersama cendawan shitake..
Bahan-bahan:
1 kg ayam (K.An ambil bahagian pinggan ke peha ayam)
1 sudu teh rempah campuran arab (abaikan jika tiada)
1 sudu teh paprika
1 sudu teh oregano kering (ikut citarasa)
1 sudu teh lada hitam segar dikisar
3-5 sudu besar minyak zaitun
sedikit garam dan kuyit secukup rasa
sedikit (1/8 st) serbuk kulit kayu manis)
Cendawan shitake ikut suka banyaknya
Cara membuatnya:
1. Gaulkan semua bahan perapan bersama minyak zaitun di dalam mangkuk. Ratakan ke seluruh bahagian ayam dan perap 15 minit.
2. Panaskan kuali pemanggang dan gliskan sedikit dengan minyak zaitun. Masukkan ayam dan tuangkan sebahagian bahan perapan bersama. Tutup kuali pemanggang agar ayam dimasak tidak kering. Masak selama 15 minit setiap bahagian. Cucuk bahagian peha ayam dengan pisau untuk mengetahui ayam sudah cukup masak atau tidak. Bahagian dalam ayam sudah masak jika air yang keluar adalah jernih dan tidak berwarna merah bila dicucuk dengan pisau.
3. Masukkan cendawan yang telah dihirs ke dalam mangkuk bahan perapan dan perap sementara ayam dipanggang.
4. Keluarkan ayam daripada kuali dan terus gorengkan cendawan selama 3- 5 minit kerana khasiatnya akan hilang jika dimasak terlalu lama. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain atau enak dimakan begitu sahaja bersam sos cili, sos thai atau sos lada hitam.
1 comment:
sedap sedap memang sedap
Jom ramai ramai makan Minyak Ikan
Post a Comment