Saturday, October 22, 2011

Mihun Goreng Putih aka Mihun Goreng Singapore


Salam sejahtera dan salam persaudaraan untuk semua... Kepada yang sedang bersarapan, K.An ucapkan selamat bersarapan...kepada yang tengah fikir nak masak apa untuk keluarga di hujung minggu ni, boleh cuba Mihun Goreng putih ni... Boleh dihidangkan untuk minum petang nanti ataupun sarapan pagi esok. Mudah dan ringkas tapi sedap...

Selalunya K.An memang buat Mihun Goreng biasa seperti dalam resepi-resepi K.An yang lepas sebab anak-anak sukakan mihun yang ada warna.. merah ataupun gelap sedikit. Yang putih, banyak pulak soalnya nanti.. Tapi sesekali K.An nak juga makan yang putih macam ni tapi buatan sendiri yang tak ditambah bahan perisa tiruan/ segera  .. almaklum, kalau makan di kedai... aduuuh terasa di tekak banyaknya bahan perisa yang digunakan. Konon nak sedap tapi sudahnya balik rumah sakit kepala seharian...

Sebenarnya ini nasihat K.An kepada yang baru nak belajar memasak.. jangan mula gunakan sebarang bahan perisa kecuali garam, gula, asam, bawang dan yang lain-lain kecuali yang segar dan asli. Yakinlah kepada diri anda bahawa, dengan menggunakan ayam, udang, daging, sotong dan sebagainya sudah cukup untuk menyedapkan masakan anda. Penggunaan air rebusan ayam, daging dan kulit udang juga banyak membantu menambah kelazatan masakan anda terutama untuk sup dan goreng-goreng. Yang penting yakin dengan kebolehan diri.



Sebagai contoh mihun goreng putih ni, K.An gunakan sotong dan air rebusan daging sebagai bahan utama.. alhamdulillah walaupun ringkas, tapi tak kurang kesedapannya.

Bahan-bahan mihun goreng Putih: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 bungkus mihun- rendam dalam air biasa secukupnya selama 30 minit
1 labu bawang besar dihiris
5 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
200 gm daging- dihiris kecil dan direbus dengan  hingga empuk- ketepikan
100 gm sotong dihiris kecil
1 pokok sawi- K.An gunakan sawi hijau yang pendek-pendek tu- ptoong 1 sm panjang
100 gm kobis-hiris kecil
 1 tangkai cili merah dihiris
1 biji telur

1/2 sudu teh serbuk lada putih
secubit serbuk lada hitam (sedikit sahaja)
garam dan secubit gula
1 sudu besar sos tiram
minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:

1. Toskan mihun. Keluarkan daging daripada air rebusan. Panaskan 3-4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang besar dan bawang putih hingga agak layu dan berbau wangi. 

2. Masukkan sotong, daging, cili merah, sawi dan kobis. Goreng hingga sayur layu sedikit. Masukkan sos tiram, sedikit garam, sedikit lada putih, lada hitam dan gula (boleh tambah kemudian jika tidak cukup). Kacau sebentar dan pecahkan telur. Biarkan telur agak masak baru dikacau agar telur tidak hancur.

3. masukkan 1 cawan air rebusan daging. Biarkan mendidih barulah dimasukkan mihun yang telah ditoskan tadi. Kacau sekali-sekala hingga semua bahan rata dan mihun lembut. Bergantung kepada jenis mihun yang digunakan.... tambah air rebusan jika mihun belum cukup masak. Kacau lagi hingga semua bahan sebati.

4. Rasa mihun goreng dan tambah  garam, lada putih atau lada hitam lagi jika perlu... Bila mihun kering matikan api dan sedia dihidang panas-panas.

*** Taburkan bawang goreng dan daun bawang sebagai tambahan. K.An gorengkan Nugget Tempura Ramly sebagai hiasan untuk menarik minat si kecik 2 orang tu.... Tak ada pun , mihun ni dah sedap.

*** Untuk resepi mihun Goreng Putih Versi lain, boleh singgah dapur  Bro Rozzan  atau kak Ummi.

1 comment:

Amie said...

Assalamualaikum,
mihun untuk sarapan yea.... ada lagi tak? Ni tertinggal keretapi, sampai sini waktu lunch... tapi datang sini siap bawa tapau... he hehhh..dapat mihun pun jadilah...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin