Thursday, September 30, 2010

Blueberry Cheese cake... yummy...

Salam ceria.... moga semuanya sihat di pagi Khamis yang sejuk nyaman di Putrajaya ni.. alhamdulillah sejak lepas raya hari tu, cuaca agak lembab hampir setiap hari di sini. Bagi yang tak suka panas dan dudk di rumah macam K.An, suka sangat cuaca macam ni. Tapi bagi yang nak pergi kerja.... aduuuh.. liat juga dibuatnya nak melangkah keluar dari rumah... betul tak?... ni berdasarkan pengalaman sendiri juga dulu-dulu..

K.An ni macam mengejar due-date juga.. dah nak habis bulan, baru le sibuk terkejar-kejar nak siapkan tugas.. hehehhe... tugas meng'update' blog... sori bos ye...
Apapun, menu hari ni sedap tau, boleh buat minum petang nanti ataupun nak jamu tetamu yang datang beraya... senang je. Resepi 'cheese cake' ni dikongsi oleh kakak angkat K.An- Roswani lebih 5 tahun lepas...(masuk ni, baru 2 kali buat sebab cheee kan ke mahal...hehehe..- tapi sesekali buat memang berbaloi). Buat kali ni sebab dah terliur sangat tengok cheese cake lapis coklat K.Aida ngan cheese cake Intan kat Swiss tu...habis pantang je, peluang K.An pulak nak menge'cis'... alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan..

Terima kasih Kak Ros atas resepi yang mudah ni..

Bahan-bahannya: (menghasilkan kek sebesar loyang 20 sm)

250 gm Philadelphia Cream Cheese
1/2 cawan susu cair- boleh juga guna 1/2 cawan krim putar
75 gm gula kastor
3 biji telur A
sedikit esen vanilla

1 peket Biskut Marie original
20-25 gm mentega
jem blueberry secukupnya

Cara membuatnya:

1. Kisar biskut marie hingga halus. Dapatkan 1 1/2 cawan.
2. Cairkan mentega dalam microwave atau kuali. Jangan didihkan. Campurkan dengan biskut marie tadi. Gaul rata dan tekan kejap ke dalam acuan spring foam. Ratakan. Simpan di dalam peti ais sementara bahan lain disediakan.

3. Pukul keju dengan gula hingga kembang dan gebu.(guna kelajuan tinggi) Masukkan telur atu persatu dan gaulkan rata.( jika guna mixer, guna kelajuan sederhana)

4. Masukkan susu cair dan esen vanilla dan putar perlahan hingga semuanya sebati.

5. Panaskan oven pada suhu 170 darjah Celsius. Tuangkan adunan keju ke atas pastri biskut marie tadi. Balut loyang dengan aluminium foil sebanyak 2 lapis dan masukkan ke dalam bekas lain yang berisi air. Bakar kek selama 45 minit atau sehingga permukaan kek keperangan.

***dah ada yang bertanya, tak berapa faham step ni.. Begini sebenarnya: kek keju selalunya dibakar menggunakan teknik 'water bath' atau 'bain marie'.(supaya tekstur kek gebu) maksudnya loyang kek dimasukkan ke dalam bekas yang lebih besar yang diisi air. Kemudian baru dimasukkan ke dalam oven. Memandangkan kek keju dimasak di dalam loyang spring foam (dasarnya boleh ditanggalkan) loyang perlu dibalut aluminium foil agar kek tidak dimasukki air.

Kek boleh juga dimasak di dalam loyang biasa tapi tak boleh le nak dikeluarkan sebiji gitu macam kat gambar kat bawah ni... nanti berderai dasarnya... kalau guna loyang biasa, kenalah dipotong di dalam loyang dan disudukan keknya dengan berhati-hati.

***kalau guna oven yang kecil dan tak muat nak letak bekas air yang lebih besar, boleh juga letakkan bekas berisi air di rak paling bawah dan letak kek di rak di atasnya.

6. Apabila kek sudah masak, ratakan jem blueberi atau jem buah kegemaran anda di atasnya.
7. Sejukkan kek di dalam peti ais sebelum dihidangkan.


Nanti nak cuba resepi yang Intan bagi pulak...

Kurma Ayam-resepi II

Assalamualaikum semua...

"Jangan marrah ya...." ramai yang ketuk pintu tuan rumah periuktanah tapi tak berjawab.... Ampun banyak, betul punya cakap, buat masa sekarang ni memang tak sempat sangat nak mengadap komputer. Sibuk dengan anak-anak, sibuk dengan kerja rumah dan macam-macam hal yang mesti diselesaikan... almaklum bila kakak-kakak dah ke sekolah, ayahnya dah ke tempat kerja, tinggal 3 anak kecil yang masih perlu diuruskan... memang tak cukup masa dibuatnya. Kena pulak 'Aisyah dan Maryam dah cop komputer ni setiap kali K.An bukak suis...Tak bagi peluang kat ummi langsung.. Malam pulak nak kena tengok anak-anak belajar dan menyiapkan kerja sekolah lagi... cuma lega sikit sekarang ni sebab Asma' dah selesai UPSR. Tinggal UPSRA je lagi minggu depan...

K.An memang memasak setiap hari, tapi tak sempat nak dikongsi di sini sebab dah habis masa senggang mengadap blog dengan kerja-kerja rumah. Bila lewat malam, baru anak-anak tidur.... masa tu, K.An pun dah kehabian bateri... hihihih.... ZZZZZzzz lagi sedap...

Hari ni, sebelum tutup bulan September, K.An gagahkan diri jenguk periuktanah. Dah minum entah berapa cawan kopi, nak bagi mata segar...

Hari ni K.An kongsi lauk biasa je, tapi dengan rasa yang berbeza daripada resepi sebelum ni... Kata Abang Azam, kena bagitau resepi ni sebab dah menepati kualiti yang dia dok makan kat kedai mamak tu... (katanya la)... Jadinya, inilah resepi hasil pemerhatian K.An pada kurma ayam di kedai mamak kegemaran kami sekeluarga...

Bahan-bahan (hidangan untuk 3-5 orang)

1/2 ekor ayam dipotong ikut citarasa
4 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih dan 2 biji buah pelaga
2 biji kentang dikupas kulit dan belah 6
3 sudu besar rempah kurma - K.An guna Baba's- bancuhkan dengan 1 cawan air
2 tangkai daun kari-lurut daunnya
3-5 tangkai cili kering- dicuci dan dikerat 1 inci panjang
1 labu bawang besar dibelah 6
1 cawan santan pekat
air secukupnya
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Gunakan api sederhana. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan daun kari dan cili kering. Tumis lagi hingga bawang keperangan.

2. Masukkan rempah kurma dan tumis hingga pecah minyak. Kacau sentiasa agar rempah tidak hangus. Masukkan 1 cawan air dan ayam yang telah dibersihkan tadi. Tutup periuk dan biar mendidih.

3. Masukkan kentang dan tutup semula periuk dan biar hingga kentang empuk. Tambah air jika perlu. Masukkan bawang besar, santan dan garam. Didihkan kurma dan biar mereneh hingga kurma nampak pekat. Matikan api dan sedia dihidang.

****beza resepi ni dengan yang sebelumnya ialah pada penggunaan cili kering yang menjadikan rasa kurma lebih sedap dan berbau harum.


Yang ini lauk selingan, kalau nak buat berbuka puasa... resepi dah ada dah... Cencaru sumbat..
Kalau ada bekalan pisang, jom kita buat goreng pisang...

***dimaklumkan dengan dukacitanya.. kamera K.An rosak sebab terjatuh masa nak ambk gambar raya hari tu... lagi le mambantutkan kerja K.An... huhuk...

Wednesday, September 22, 2010

Salam Aidilfitri dan Kembali Bersiaran...

Asalamualaikum wrt.wbt...

Pertama sekali, K.An dan keluarga ingin mengucapkan salam aidil fitri kepada semua... walaupun dah masuk hari ke-13 kita beraya, kalau di Lembah Kelang ni, masih ramai yang mengadakan rumah terbuka sempena AidilFitri dan juga jamuan raya di pejabat-pejabat atau tempat bertugas. Tak kurang juga yang menyambut raya selepas selesai mengerjakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.... Pendek kata, ramai yang masih beraya..

Di kesempatan ini kami menghulur tangan memohon kemaafan jika ada sebarang salah dan silap selam K.An bersiaran di sini. Antaranya, terlebih mohon cuti raya kali ni..hehehhe... almaklum bila balik ke kampung tu, memang nak luangkan sepenuh masa dengan sanak-saudara yang jarang dapat berjumpa.... tak teringat nak menjenguk lap-top yang dibawa bersama. Apatah lagi nak mengemaskini 'entry'

InsyaAllah walaupun dalam kesuntukan masa , K.An akan cuba kembali berkongsi aneka resepi lagi untuk semua.

Hari ni masuk hari ke-2 Asma' UPSR dan esok selesai... Tunggu Iqbal yang nak PMR pulak bulan Oktober nanti... Terasa 24 jam berlalu begitu pantas...

Friday, September 3, 2010

Kuih Bom diberi Nama....

Assalamualaikum wrt... sibuk nampaknya kakak-kakak, adik-adik di dapur tu buat kuih raya. Tahun ni, K.An beralah le nampaknya. Hasrat di hati nak buat juga, tapi apa kan daya, ada dua tangan je... tak sempat nak dikejar semuanya. Alamatnya... K.An beli kerepek-kerepek je gayanya. Kalau biskut raya, kalau tak ditempah dari kakak K.An, memang jarang K.An beli yang dah siap dijual tu... tak puas hati dengan rasanya....

Dalam sibuk-sibuk buat kuih tu, jangan lupa meningkatkan amal ibadat di 10 malam terakhir Ramadhan ni... Ganjaran malam Lailatul Qadar yang Allah janjikan tak ternilai harganya..

Dalam dok sibuk,petang semalam masa dah nak berbuka puasa, jiran K.An mengetuk pintu menghantar juadah. Kebetulan kelmarin K.An buat kuih ketayap. Seperti biasa buat inti lebih untuk sebarang projek tambahan. Dalam masa suntuk gitu, teringat nak baut kuih bom. Bahan pun ada... 30 minit, siap 8 biji (buat sikit)sebab kuih berasaskan pulut ngan tepung pulut K.An tak boleh makan lagi... Tu pasalnya terbantut sikit aneka kuih tradisonal kali ni....

Abang Azam pun tak percaya tau... bila K.An suruh hantar balasan ke rumah jiran... Tak percaya??... cubalah sendiri... yang penting inti kelapa dah tersedia...
Ada sejarah kuih bom yang diingat mak K.An dan 7 adik-beradik perempuan dalam keluarga kami... Alkisah, dulu-dulu masa K.An kecik, kawan-kawan arwah ayah selalu bertandang ke rumah kami bersama keluarga mereka.. Ada seorang cikgu ni datang dengan anak dan isterinya di suatu petang. Kebetulan kami tengah menyediakan kuih bom ni. Macam biasa, setalam punya bajet. Sungguh- sungguh makcik ni nak tolong juga membuatnya, jadi kami pun berilah laluan..

Sebenarnya masa dia dok menolong tu kami dah nampak kesilapannya... Kuih ni jangan dikepal-kepal masa nak membulatkannya lepas diisi inti tu... nanti masa digoreng, meletup tau... tapinya tetamu, tak adalah mak K.An menegur... Bila digoreng je, apa lagi, yang makcik ni buat... jadilah macam bom... sampai sekarang tiap kali buat kuih ni, teringat sejarah silam...

Di tempat kami, kuih ni juga dikenali sebagai onde-onde... Bahan mudah, cara pun senang: Resepi turun-temurun mak K.An Hajah Selamah...

Bahan-bahan menghasilkan 8 biji kuih bersaiz bola golf:

1 cawan tepung pulut
1 sudu besar (penuh) tepung gandum
1/4 sudu teh garam

1/2 cawan air biasa
bijan secukupnya
minyak untuk menggoreng

inti kelapa secukupnya

Cara membuatnya:

1. Gaulkan tepung gandum, tepung pulut dan garam di dalam mangkuk. Masukkan air sedikit-demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh lembut.

2. Ambil sedikit doh sebesar bola ping-pong dan leperkan di tapak tangan. Isikan inti secukupnya.

3. Cantumkan keliling doh dan bulatkan dengan menggolekkan di antara dua tapak tangan. Jangan dikepal atau di picit-picit ye.... ni pantang kuih bom.. nanti meletup.

4. Taburkan bijan di atas pinggan leper. Golekkan kuih yang siap diisi inti tadi di atas bijan hingga rata. Buat hingga habis sambil kuih yang siap digoreng agar kuih lembut setelah dimasak.

5. Panaskan minyak dan goreng kuih dengan api sederhana. Kacau sentiasa agar kuih masak rata. Goreng hingga keperangan. Angkat, toskan dan sedia dihidang.


Munirah Jumpa doktor...

Assalamualaikum pakcik-pakcik dan makcik-makcik semua... Munirah dah makin tembam sekarang...

Hari ke 34 jumpa Dr.Zarul, berat Munirah dah jadi 3.9 kg... alhamdulillah semuanya sihat...

Pose istimewa dengan Dr Zarul yang baru balik dari mengerjakan umrah... rambut dan kepala sama dengan Abi... susah nak dapat gambar Dr.Zarul dengan fesyen macam ni...hehehh...
Sementara tunggu doktor...
Munirah dah pandai berjaga siang dan malam sekarang ni....

Thursday, September 2, 2010

Ayam Kicap Aroma-Resepi Makcik Linda

Ini bukan sebarang masak kicap tau...!!! Lain daripada yang lain sebab aromanya sahaja sudah cukup menggambarkan rasanya yang istimewa. Tak percaya? tanya anak-anak K.An... Tapi yang istimewa lagi, resepinya daripada kawan baik K.An masa sekolah menengah dulu... Linda Sabri yang resepi cili jeruknya pernah K.An kongsikan lamaaaa dulu....

Dia ni memang pandai masak, kena pulak dia pun berketurunan Banjar macam K.An.... memang samalah selera kami ni...

Ayam Kicap Aroma yang K.An masak

Masa dia berkunjung melawat K.An yang baru bersalin hari tu, dia bawakkan sebekas besar ayam masak kicap yang aromanya cukup untuk menggoda K.An yang dalam pantang ni. Walaupun belum boleh makan yang berminyak, K.An curi rasa juga ayam ni sebab nanti nak kongsi dalam periuktanah.(kena tahu rasa yang sebenar)..Ampun ye....
Ayam Kicap yang Linda bawak
Makcik Linda dengan Anak-anak saudara yang suuuka sangat Makcik Linda dan semua buah tangan yang dibawa....

Resepinya begini... ikut sukatan K.An ye... Yang terlebih, terkurang ikut citarasa ye..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 ekor ayam anggaran 1 kg- potong kecil
sedikit garam dan kunyit
minyak untuk menggoreng ayam

5 ulas bawang putih dihiris atau diketuk sedikit sahaja
1 inci halia- hiris halus
2 batang serai- diketuk atau dipotong serong panjang 1 inci
1-2 sudu besar sos tiram
sedikit lada sulah
3 sudu besar kicap manis- ikut citarasa
2 labu bawang besar dihiris ikut citarasa- banyak lagi sedap
10 helai daun limau purut dihiris halus- banyak lagi sedap

Cara membuatnya:

1. Gaulkan ayam dengan garam dan kuyit. Goreng separa garing dalam minyak yang banyak. Angkat dan ketepikan.

2. Masukkan 5 sudu besar minyak gorengan tadi ke dalam kuali lain. Tumis bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan serai, kicap masin,lada sulah dan sos tiram. Tambah sedikit air dan didihkan.

3. Masukkan ayam dan gaul rata. Masukkan bawang besar yang dihiris dan daun limau purut. Gaul rata dan tambah garam jika belum cukup masin. Sedia dihidang bersama nasi panas.....

*** Terima kasih banyak Linda untuk resepi yang sedap ini....
***K.An buat lebih sikit kicap dan agak berkuah sebab anak-anak suka sangat berebut kuah... tau jelah...

Juadah Pilihan Keluarga

Salam Sejahtera untuk semua....

Alhamdulillah dapat lagi K.An bersiaran dan berkongsi apa-apa yang patut di sini... (yang tak patut, tak payah kongsi....) Almaklum, terasa betul sibuknya bulan puasa kali ni dengan kehadiran anak kecil Munirah dan kesibukan menguruskan suami dan anak-anak besar yang berpuasa, (asma' dan Sarah) menguruskan lagi 2 orang anak kecil yang tak berpuasa (Maryam dan 'Aisyah) di samping memenuhi keperluan K.An yang masih berpantang. Tak menang tangan dibuatnya.

Walaupun ramai yang bising bila terjumpa K.An di pasar dan di pasaraya, kerana membeli barang keperluan dapur, K.An tak kisah pun sebab kalau tak buat macam mana lagi kan...? Dah keperluan... kena pulak nak membeli pakaian raya anak-anak... K.An le yang paling faham bab-bab ni... betul tak bang?

Tak apalah, yang penting, K.An akan pastikan K.An dapat rehat yang cukup bila ada peluang... Selain daripada tu, seperti yang K.An sebutkan sebelum ni, juadah untuk berbuka puasa dan bersahur, K.An buat yang ringkas je...

Roti John permintaan Sarah dan Asma'..... tak payah berbaris panjang kat gerai, buat sendiri boleh buat banyak dan pastinya sedap. Puas makan dan tak membazir.... (resepi Roti John)
Sup ayam campur sawi dan karot. Yang lain boleh makan, K.An pun boleh makan juga...
Pengat pisang dah 2 kali K.An buat di bulan puasa ni sebab 'favourite' K.An dan anak-anak. Jiran K.An pun suka...( sempat hantar semangkuk...) (Resepi Pengat Pisang)

Monday, August 30, 2010

Agar-agar Bandung

Dah habis seloyang agar-agar gula merah, hari ni, kita buat pulak agar-agar bandung... Anak-anak perempuan kat rumah ni, memang suka kuih-muih warna 'pink' . Belum masuk waktu berbuka, dah habis separuh agar-agar dikerjakan 'Aisyah dan Maryam....sampai kena sorok untuk kakak-kakak yang berpuasa...


Bahan-bahan:

1 peket agar-agar (12 gm)
1/2 cawan gula
4 cawan air
1 cawan susu cair
2/3 titik pewarna merah
1 titik esen pisang atau esen ros

Cara membuatnya:

1. Masukkan agar-agar yang telah dibasuh dan ditoskan ke dalam periuk. Masukkan air dan didihkan hingga agar-agar cair.

2. Masukkan gula pasir. Biar hancur. Masukkan pewarna merah, susu cair dan esen pisang/ ros.

3. Kacau sebati dan didihkan. Matikan api dan tapiskan ke dalam acuan pilihan. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Agar-agar Gula Merah

Assalamualaikum wrt...

Ramadhan sudah memasuki minggu-minggu terakhir dan kemeriahan sambutan Hariraya makin terasa. Ramai juga yang hampir terlupa pula dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia. Kepada yang menyaksikan rancangan Khas Bersamamu Bebaskan BUmi Palestine di TV3, pasti insaf dengan kemakmuran negara kita dan nikmat yang dikecapi.

Yang penting, hargailah segala apa yang ada di depan kita dan bersyukur atas nikmat Allah SWT.
Masih juadah bertema Ramadhan, antara yang senang disediakan dan digemari semua ialah hidangan manisan pencuci mulut seperti beraneka jenis agar-agar. Macam-macam boleh dibuat. Contohnya agar-agar gula merah ni... sungguh mudah.

Bahan-bahan:

1 peket agar-agar kering (12g)
4 cawan air biasa
1 cawan susu cair
1 biji telur
150 gm 'brown sugar' - yang halus dalam peket

Cara membuatnya:

1. Masukkan agar-agar yang telah dibasuh dan ditoskan ke dalam periuk. Masukkan air. Masak hingga agar-agar cair.

2. Masukkan gula perang. Pukul telur dengan susu menggunakan whisk di dalam mangkuk lain hingga sebati.

3. Apabila campuran agar-agar telah mendidih. Matikan api. Tapiskan ke dalam acuan. Masukkan campuran susu cair dan telur. Kacau rata.

4. Sejukkan agar-agar hingga keras dan potong untuk dihidang,

Thursday, August 26, 2010

Ayam dan Udang Panggang Santan Utara

Assalamualaikum....

Entah kenapa, di bulan puasa ni, dalam keadaan perut lapar nilah kita dok teringin jenguk blog masak-masak, tengok rancangan masak-masak kat Tv dan intai restoran dan hotel yang sediakan pelbagai juadah berbuka puasa.... tahu-tahu sajalah bila keinginan menguasai diri, dah lupa dah keperluan sebenar.....hmmm itulah namanya nafsu. Jadi sebelum nak menempah, membeli dan memasak tu, tanya dulu saiz perut yang nak diisi. Petua K.An, selalulah membuat anggaran separuh daripada yang disebut di mulut. Contohnya kalau buat karipap 10 ketul, maknanya 5 ketul je yang larat di makan.

Kalau beli taufu-fa 2 bekas, 1 bekas je yang mampu dijamah. Kalau awal-awal dah rasa tak habis, cepat-cepat sedekah kat jiran... Untung dapat pahala lebih daripada biasa.

Bagi yang memilih untuk berbuka di hotel-hotel tu, selain berpada-pada, pastikan juga hotel yang dipilih telah mendapat sijil halal daripada JAKIM. Mencari yang halal itu wajib bagi setiap orang Islam.. (hujung minggu lepas, Jakim umumkan 10 hotel yang ditarik sijil halalnya).. Rujuk di laman web Jakim.

Kalau teringin sangat nak makan bufet, buat aje senarai makanan yang nak dimakan... belilah 1 atau 2 jenis sehari sampai habis Ramadhan. Kalau rajin memasak, masak sendiri di rumah. Segar, bersih dan pasti halal.

Hari ni kalau teringin nak makan ayam panggang, boleh cuba resepi klasik k.An ni.

Sebenarnya, resepi ayam panggang atau ayam percik ni lebih kurang sama je. Tapi yang penting, tempoh perapan dan cara memasaknya yang membezakan rasanya. Paling sedap jika dipanggang di atas api arang atau sabut macam di kampung-kampung. Boleh juga dipanggang di dalam oven. Kalau nak sihat, panggang je dalam kuali tak melekat. Apapun, jom kita tengok resepi....

Bahan-bahan:

1 ekor ayam 1 1/2 kg (sederhana)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 sudu teh jintan manis
1/2 sudu teh lada hitam
4 biji buah keras

**** giling/ tumbuk/ kisar semua bahan di atas

2 keping asam keping
1 batang serai
1 sudu teh gula pasir/ boleh ganti dengan madu
1 biji kelapa- ambil 3 cawan santan
sedikit garam

Cara membuatnya:
1. Masukkan bahan giling ke dalam periuk dan gaul dengan ayam. Masukkan asam keping, serai, gula, garam dan santan. Gaulkan.

2. Jerangkan ayam samapai 3/4 masak. Terbalikkan agar ayam masak sekata.

3. Angkat ayam. Asingkan kuah dan panggangkan ayam. Siramkan kuah ketika memanggang ayam. Jika memanggang di dalam oven gunakan suhu 190 darjah dan siramkan kuah sekali-sekala hingga ayam masak. Cucuk dengan garpu dan jika air yang keluar jernih, bermakna ayam sudah masak. Potong dan hidang. Jika ada baki kuah, renehkan hingga pekat dan hidangkan bersama ayam panggang.

*** uadang tu K.An masak sbentar sahaja dan panggang sebentar juga kerana udang lebih cepat masak. K.An tak makan sebab masih pantang, tapi abang Azam kata sedap sangat rasa udang tu... Alhamdulillah

*** Petua seorang rakan yang juga cikgu Sains... katanya bila makan sate atau makanan yang dipanggang dengan arang, makanlah timun bersama untuk meneutralkan karbon yang kita dah telan bersama ayam atau daging yang dipanggang. ooo... gitu rupanya..

Sandwich Goreng...menu bujang...

Assalamualaikum...

Hari ni, kononnya nak puasa juga sebab rasa tak seronok juga bila orang lain puasa, tapi kita, bangun sahur juga, tapi tak boleh puasa.... Habis juga sehari penuh sampai berbuka , tapi belum ada rezeki nampaknya... kepada ibu-ibu lepas bersalin tentu faham kan... kadang-kadang sampai 10 kali bersuci pun, belum tentu suci... Ada lah hikmahNya tu... belum cukup rehat agaknya..

Kali ni, untuk semua menu ringkas, sesuai untuk semua acara di bulan puasa, sahur boleh, berbuka boleh, nak makan masa 'moreh' pun boleh... Di rumah K.An, laku betul sandwich goreng ni... senang dan mengenyangkan..
Bahan-bahan: Menghasilkan 4 set sandwich

Inti:( boleh guna untuk 2 kali hidangan)

1 tin kecil sardin
2 sudu besar cili kisar
1 labu bawang besar dihiris nipis
sedikit garam
1 sudu teh gula

Cara menyediakan: Tumiskan bawang hingga layu. Masukkan cili kisar dan tumis hingga masak. Masukkan sardin bersama sosnya. Tambahkan sedikit air, garam dan gula. Didihkan sebentar hingga pekat. Ketepikan.

Adunan luaran sandwich:

1 biji telur A
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar air biasa
secubit garam

*** bancuh sebati didalam mangkuk leper.

Cara membuat sandwich goreng.

Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Potong dua roti sandwich. Hancurkan isi sardin bersama kuahnya. Isikan inti dan cantumkan. Celupkan ke dalam adunan telur. Goreng hingga keperangan menggunakan api sederhana.. Toskan dan sedia dinikmati panas atau sejuk.
Sandwich kekal lembut walau beberapa jam selepas disediakan..

Thursday, August 19, 2010

Telur Bungkus dan Menu Ulangan

Assalamualaikum wrt...

Hari ke 9 solat Tarawikh.. anak-anak K.An kata, surau dah tak berapa ramai orang.. dah tak berebut tempat (kat bawah kipas) lagi...

Kenapa macam tu ye..? minggu pertama, berduyun-duyun semua ke masjid dan surau nak bertarawikh... tapi makin lama, makin pendek safnya.. tak baik gitu tau. Sepatutnya, makin dekat raya, makin berlumba-lumba kita beribadah sebab makin banyak ganjaran yang dijanjikan Allah terutamanya ganjaran malam Lailatul Qadar. Yang hairannya, ke mana pulak perginya jemaah yang ramai-ramai sebelum ni.. takkan sibuk 'shopping' raya pulak? Apapun, kepada anda yang membaca, K.An harap kita tak tergolong dalam golongan yang hangat-hangat 'taik ayam' ni ye...

Selain ibadah khusus, jangan lupa juga, memasak pun jadi ibadah juga di bulan puasa ni... nak-nak lagi memasak dan menyediakan makan untuk orang yang berpuasa. Banyak pahalanya. Walaupun penat, luangkanlah sedikit masa menjenguk dapur.

Dengan keadaan masih berpantang di hari kedua puasa K.An masak menu ulangan je. Tomyam Udang(resepi tomyam) dan Telur Bungkus (Resepi) kegemaran anak-anak.
Kuih apam Gandum tu, K.An buat untuk hidangan sarapan masa mak dan ayah mertua datang bertandang sebelum puasa. sangat mudah, sebab tak guna banyak tenaga ibu berpantang ni.. Ayah mertua K.An suka kuih ni.

Buah rambutan tu hidangan berbuka puasa, pemberian jiran selang sebuah rumah kami.. Masak merah sotong tu pulak lauk hari ke berapa entah dah tak ingat.... hihihi....
Tengok menu-menu tu, jangan ingat K.An tak pantang.... lauk orang pantang ada... ikan bakar dengan singgang ikan tu untuk saya... (Resepi singgang kat sini..)
Tapi ikan pari dengan air asam tu bukan K.An punya.. Ikan pari tak boleh makan.... bisa...

Sebenarnya teringin juga tengok anak-anak ngan abg Azam punya lauk-pauk... tapi sabaaar ummi.. nanti dah habis pantang boleh makan semula...

***untuk resepi, klik pada menu yang dah di'link' kan....

Tuesday, August 17, 2010

Krim Karamel Lapis Coklat

Banyak-banyak bersabar ye..... kalau tengok gambar, semuanya sedap kalau perut dah lapar macam ni... Tuan-tuan dan puan-puan semua, kalau ada pinggan jiran sebelah yang belum dipulangkan, bolehlah buat krim karamel ni yang 'spesel' sikit berbanding krim karamel biasa... (walaupun yang biasa tu pun kalau kat restoran eksklusif/ hotel, reganya spesel yang amat)...

Bahannya mudah dan masa membuatnya pun singkat... tambah pulak kalau memang dah ada gula hangus dalam simpanan. lagi cepat... Resepi ni dah disalin setahun lepas dari Dapur Ijan kt Finland tu..masa dia baru bersalinkan si Darwish..(opps..... tersasyul pulak.... sori aaa Ijan.. mmg sahih tgh pantang ni) nama anak Ijan si Mikael... Darwish anak Hana... hai baru 2 orang sepupu dah tersasyul...) nama anak K.An- Munirah... hehehheh...

Kalau tak silap katanya dia skodeng resepi kat rumah Jiya dan Kak Ummi pun dah buat puding ni... yang penting... sedaaaap...Terima kasih kepada semua yang dah kongsi resepi (mana-mana yang tertinggal, bagitau ye...)

Bahan-bahan:

Gula Hangus

Cara membuatnya:
Masukkan 1 cawan gula pasir ke dalam periuk. Gunakan api perlahan dan biarkan gula mencair. Kacau sekali-sekala seperti di dalam gambar. Apabila gula telah hangus dan cair kesemuanya, masukkan 1 cawan air. Biarkan hingga mendidih dan kacau hingga karamel cair. Ketepikan dahulu.
Bahan-bahan puding:

Bahan A:

1 tin susu cair
5 sudu besar gula pasir- K.An guna 4 sudu besar sahaja
3 biji telur A/ 4 biji telur B
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar tepung jagung (resepi asal tak letak)

Bahan B:

1 tin susu cair
5 sudu besar gula
3 biji telur A/ 4 biji telur B
4 sudu besar serbuk koko/ 1 sudu teh Nescafe+ 1 sudu teh pes coklat (coklat emulco)

Cara membuatnya:

1. Campurkan Bahan A dan bahan B dalam mangkuk berasingan. Kacau rata. (K.An pukul sikit telur dan gula menggunakan 'whisk' hingga gula hancur .. kemudian campurkan bahan lain) Tapiskan.
2. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci. Lenserkan loyang dengan sedikit margerin.

3. Tuangkan sebahagian gula hangus dan masukkan loyang ke dalam pengukus yang telah mendidih airnya. Masukkan 1 cawan adunan A. Kukus selama 5-7 minit. Setelah masak, masukkan 1 cawan adunan B pula dan ulang proses hingga habis adunan..

4. Sejukkan sebentar puding sebelum dikeluarkan daripada loyang. (Cungkil keliling loyang dengan pisau nipis agar puding tertanggal daripada loyang) Tekapkan bekas/ pinggan yang lebih besar di atas loyang dan segera terbalikkan. Potong dan hidangkan bersama baki gula hangus.

Lebih sedap dihidang ketika sejuk... terasa coklatnya...

Friday, August 13, 2010

Amalan Berjimat dan Bersedekah di Bulan Puasa

Assalamualaikum wrt...

Masak apa hari ni ye..? Bagi yang tak dapat memasak kerana kesuntukan masa pastinya akan mengunjungi bazar-bazar Ramadhan yang berada di kawasan masing-masing. Yang penting, sebelum membeli, fikirkan dulu saiz perut yang nak diisi... jangan main beli je... sudahnya banyak yang dibakul sampahkan berbanding yang dijamah. Asalnya nak berjimat di bulan puasa, lain pula jadinya.

Bagi K.An dan keluarga, dah bertahun kami amalkan, berbuka puasa di rumah dan memasak sendiri hidangan walaupun ringkas. Kalau nak cari lauk-pauk dan kuih-muih penuh meja, memang tak ada di rumah kami. Cukup sekadar 1 atau 2 jenis lauk dan juga 2 jenis kuih. Air pun macam biasa je, teh o suam... sekali-sekala je nak buat air sejuk sebab air yang berais akan menyebabkan badan lesu dan berat pulak nak bertarawikh nanti.
Di hari pertama puasa, K.An masak Ayam Merah Kukus kegemaran semua. Klik resepi kat sini ye.. Masak banyak sekali untuk bersahur nanti. Buat kuih sagu... air oren dan teh O suam. Dah siap
Hari-hari berikutnya pun tak banyak beza.. masak ikut permintaan anak-anak terutamanya.. lagipun tak sempat pun nak mencari-cari reepi baru dengan iklan yang banyak sepanjang hari hehehhh...
Apa yang penting di bulan puasa ni kena banyakkan bersedekah dan banyakkan berjimat... Kalau masak banyak, hulur-hulurlah sepinggan dua kepada jiran sebelah...

Batil / Talam Pisang Kukus

Selamat Berpuasa semua... dah masuk hari ke-3 berpuasa, tentu dah tak terasa kepenatan lagi... Alhamdulillah, hari ni di Putrajaya, hujan turun dengan lebatnya di tengahari Jumaat menyejukkan suasana. Segar rasanya..

K.An tak nak cerita panjang sebab, tak sempat pulak nanti nak taip resepi... singkatnya masa, tapi kalau ada resepi mudah tu, rajin-rajinkan diri ke dapur. Lebih seronok rasanya berbuka puasa dengan air tangan sendiri.

Hari ni K.An sajikan kuih mudah warisan mak K.An.. kuih orang banjar tapi tak pasti Banjar di tempat lain. Kuih ni mudah sebab tak perlu daun pisang untuk membalut, tak perlu banyak bahan... yang wajib ada cuma pengukus...
Bahan-bahan:

10 biji pisang masak- K.An gunakan pisang awak (lebih kurang 300 gm)
1 cawan tepung beras
3-5 sudu besar gula pasir (ikut jenis pisang)
1 sudu teh garam
2 cawan santan pekat- K.An gunakan 200ml santan kotak dicampurkan air menjadi 2 cawan.

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus. Sediakan loyang berdiameter 7 inci.
2. Lecek pisang hingga hancur. Gaulkan bersama tepung, santan, gula dan garam. Masukkan ke dalam loyang. Ratakan.
3. Kukus selama 20 minit atau hingga kuih masak. Sejukkan selama 5 jam sebelum dipotong.

*** Seeloknya masak di waktu malam dan boleh dihidang diwaktu pagi. Kalau nak sedia untuk hidangan berbuka, masak waktu malam, waktu sahur simpan di dalam peti sejuk. Bila nak berbuka nanti bolehlah dihidang.
Yang kat bawah ni saudara mara kuih ni jugak. Dah pernah siarkan resepi sebelum ni... Namanya Batil juga tapi Batil Berkepala, maksudnya ada lapisan gula merah atasnya tu.. Nak resepi klik kat sini ye..

Tuesday, August 10, 2010

Sup Ikan Merah untuk sahur....

Dah fikir nak masak apa untuk sahur nanti..? Bagi K.An sekeluarga, kami tak begitu cerewet bab makan ni. Alhamdulillah selalunya baki lauk berbuka boleh dibawa untuk sahur. Kalau habis, cukup dengan sambal telur pun berselera makan untk alas perut berpuasa keesokannya.

Kebetulan K.An berpantang, sesuai untuk semua, sup ikan merah ni bukan sahaja mudah tapi cukup sejenis lauk ditambah sambal belacan dan nasi putih... dah siap hidangan.

Sebelum ni dah ada sup ikan Nyok-nyok, tapi resepi tu K.An gunakan sup bunjut ikan Adabi. memang mudah. Kali ni K.an maska gunakan rempah sup yang serbuk biasa je... (rempah sup serbuk adabi)

Bahan-bahan:

1 ekor ikan merah +/- 300 gm- potong 3
1 sudu besar rempah sup Adabi-serbuk
1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih, 1 inci kulit kayu manis, 3 biji buah pelaga
4 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1/2 inci halis- dihiris halus
minyak untuk menumis
daun sup, bawang
1 sudu teh Asam Jawa Xtra Adabi
1 biji tomato dibelah 6_ ikut citarasa
3 biji cili padi diketuk- jika suka
1 batang seleri dihiris nipis
1/4 labu bawang besar holland dihiris kasar
air, garam secukupnya
Ikan segar hasil ekspedisi memancing (yang ini dapat dengan rawai)

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan.

2. masukkan 2 cawan air dan rempah sup. masukkan cili padi, asam jawa, seleri, bawang besar, tomato dan biarkan mendidih selam 5 minit supaya rempah masak.

2. Masukkan ikan dan garam. Tutup periuk dan didihkan lagi 5 minit. Rasa garamnya dan taburkan daunsup dan bawang yang dihiris halus.. jika sudah cukup rasanya bolehlah dimatikan api dan dihidang.

*** tambah air jika ingin kuah yang lebih banyak. Sup akan terasa manisnya selepas lebih kurang 10 minit api dimatikan.. tak tau kenapa, mungkin masa ni air daripada ikan dah sebati dengan kuah. (K.An tak pernah letak gula dalam sup sebab K.an suka rasa manis semulajadi daripada ikan, sayur daging atau tulang)

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan..

Assalamualaikum wrt.... Alhamdulillah, dipanjangkan umur kita sekali lagi pada tahun ini bagi mengecap nikmat bulan Ramadhan yang sangat mulia.

Selain kewajipan berpuasa, solat Sunat Terawikh dan amalan bertadarrus telah dijanjikan Allah ganjaran berlipat ganda banyaknya. Gunakanlah kekuatan diri yang ada memaksimakan amaln kebajikan di bulan penuh rahmat.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah K.An panjatkan kerana kelahiran zuriat ke-6 Munirah Huda yang lebih awal daripada tarikh jangka lahir. InsyaAllah ada rezeki sempatlah K.An berpuasa. Yang paling terasa nikmatnya nanti, hari Raya kali ini adalah hari ke -45 K.An bersalin... mmmmph.. raya betul la tu..

InsyaAllah jika ada kesempatan, dapatlah K.An kongsi pelbagai resepi seuai dengan hidangan sahur dan berbuka puasa... almaklum, dah tak menang tangan dibuatnya sekarang ni..

Akhir kata selamat berpuasa dan selamat berterawikh...


Wednesday, August 4, 2010

Mai-mai... Gulai Sembilang...

Dah 8 hari berlalu... tak terasa dah selesai juga masa-masa kritikal lepas bersalin... K.An kembali ke dapur seawal hari ke-3 selepas melahirkan... almaklum, dah anak ke-6, jaga sendiri je..

setakat hari ni, baby Munirah pun tak banyak ragam... tidur lena siang dan malam.. minum susu pun banyak dan dah mula salin kulit nak membesar. Risau juga takut kena demam kuning, tapi alhamdulillah di hari ke-3, ambik darah di hospital, ada sikit kuning tapi tak sampai kena masuk wad. Ikut petua ramai, K.An pun minum susu kambing dan bagui juga baby minum susu kambing tu... Alhamdulillah , berkesan juga..
Dah lama tak bersiaran, hari ni K.An kongsi resepi yang patutnya ke skrin untuk bulan Julai tapi dah ter'masuk' wad pulak.. Ikannya abang Azam dapat masa ekspedisi memancing di Pulau Ketam 20 Julai lepas.... sempat lagi tu, walaupun isteri dah saraaat sangat... (bagi can kat dia...)

Gulai sembilang ni kegemaran Abang Azam (suami saye tu...) dan biras-birasnya ...(abg Mie, abg Zul...abg Jis suka ke...?.. tak ingat pulak) Selalunya makan di kedai kat Kuala Kurau atau batu 5 sebab susah nak dapat sendiri yang segar kalau cari di pasar. Semua dah diborong kedai makan.

Kepada yang tak tahu, Ikan sembilang ni rupanya macam ikan keli tapi ianya jenis ikan laut dan Warnanya gak ke merahan (pink gitu).. Tak tahulah rasa gulai K.An ni macam kat kedai ke tidak, tapi kalau nak makan gitu-gitu boleh lah... (ye tak bang?)
Bahan-bahannya: (hidangan untuk 2-3 orang)

1 ekor ikan sembilang saiz sederhana (lebih kurang 500 gm)- potong kecil dan bersihkan macam ikan laut lain sebab tak berbau

3 sudu besar rempah kari ikan- bancuh dengan 1 cawan air
1-2 sudu besar cili kisar
3 tangkai cili kering- kerat 1 inci
4 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris
2 tangkai daun kari- lurut daunnya
1/2 sudu teh halba campur-ikut citarasa
1/2 cawan santan pekat
air secukupnya
1/2 sudu teh asam jawa xtra Adabi
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, putih, cili kering dan halba campur hingga wangi. Masukkan rempah kari, daun kari dan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan 1 cawan air dan santan pekat. Masukkan asam jawa dan biarkan mendidih. Tambah garam dan gula. Jika ingin kuah banyak, boleh tambah sikit lagi air. Masukkan ikan dan didihkan gulai hingga ikan lembut.(tutup periuk)
3. Cucuk ikan dengan garpu... jika ikan telah masak bolehlah dimatikan api dan dihidang bersama nasi putih.


Thursday, July 29, 2010

K.An Dah Selamat Bersalin..Alhamdulillah...

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah pada 27 Julai 2010 bersamaan 15 Syaaban 1431 yang lepas K.An telah selamat melahirkan anak yang ke -6 , seorang puteri yang kami namakan Munirah Huda.

Asalnya baru je K.An nak masukkan N3 menceritakan yang doktor K.An nak tetapkan 1 Ogos sebagai tarikh bersalin sebab tak nak kelam kabut dan risau tak sempat sampai hospital waktu sampai masa nanti.

Tapi itulah yang dikatakan manusia merancang tapi Allah yang menentukan. Allah dah tentukan lebih awal lagi dan mengambil sempena hari yang mulia dan mudah didingati .. Hari Nisfu Sya'aban. Alhamdulillah semuanya juga berjalan lancar dan mudah.

24-26 Julai: dah terasa sakit-sakit perut yang ketara... doa supaya bersalin selepas Asma' selesai trial UPSR yang berakhir Rabu 28 Julai.

27 Julai... malam tu dah terasa sakit makin kuat tapi buat kerja macam biasa. Cuci kain, masak, mengemas dsb. Tapi dah tengahari tu, rasa tak tertahan pulak sakitnya. Telefon segera abang Azam, suruh dia balik tengahari tu juga. Tunggu anak-anak balik sekolah, siap dan terus ke Pusat Rawatan Putra, Sg. Buloh.

4.00 ptg: tiba di hospital, doktor suruh masuk wad terus tapi K.An nak buat CTG dulu. Dah buat CTG, cek pintu rahim dan contraction, doktor kata kena tahan daaa......

6.00 ptg, sekali lagi cek memang sah dah nak bersalin. Doktor K.An kata dia akan datang segera untuk sambut baby...

7.15 mlm: doktor pecahkan air ketuban dan selepas tu mula contraction yang lebih kerap. Pukul 8.15 mulalah proses kelahiran...

8.43 malam: K.An selamat melahirkan bayi Munirah ke dunia ini.. Alhamdulillah....


Terima kasih tak terhingga kepada semua yang mendoakan K.An dan baby dan kepada semua kakitangan Pusat Rawatan Putra Sg. Buloh yang dah macam ahli keluarga kami sendiri.. Jasa kalian dikenang selamanya...

Saturday, July 24, 2010

Nasi Dagang Terengganu dan Gulai Ikan Tongkol

Masuk yang ini dah 3 kali K.An buat nasi Dagang Terengganu berlaukkan Gulai Ikan Tongkol resepi yang disalin daripada rumah Mat Gebu beberapa bulan lepas.

Sebelum ni tak masukkan dalam periuktanah sebab tak berapa cukup bahannnya. tapi kali ni, semua bahan lengkap tapi rasanya tak banyak lari daripada yang K.An masak sebelum ni. Memang puas hati sebab dapat rasa keasliannya.
Dulu-dulu ada kawan K.An orang Terengganu yang bekalkan rempah siap, tapi sejak pindah ke sini, terpaksalah buat ramuan sendiri. Dengan resepi ni, tak kempunan le K.An nak makan nasi Dagang asli ni..
Terima kasih banyak Mat sebab tolong sebarkan resepi sebab kalau Mat yang masak, insyaAllah boeh sangaaat dipercayai...

Bahan-bahan Nasi Dagang:

K.An yang dah 'buyong' ni masak yang simple je, tak pakai pengukus sebab nak cepat... Nak versi kukus, cari kat Dapur Mat ye..

2 cawan beras super 5%- basuh dan toskan
1/2 cawan beras pulut- basuh dan toskan
4 cawan santan cair- ikut citarasa.. kalau nak pekat sikit pun tak apa. K.An jaga kesihatan..heheheh
3 ulas bawang merah dihiris
1/2 inci halia dihiris
1/2 sudu teh halba biji
garam secukup rasa

Cara memasaknya: Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.


Gulai Ikan Tongkol: sumber Mat Gebu

K.An dah kurangkan sikit ikannya sebab yang ini pun dah banyak. Mat kata dia dapat tips memasak gulai ni daripada Kak Maz.., bolehle jenguk dapur Kak Maz sekali ye..

Bahan-bahan:

1 ekor ikan tongkol 500 gm- potong kecil
4 keping asam gelugor(keping)
1 camca besar gula melaka
1 st garam
1/2 inci halia-hiris
3 ulas bawang putih- diketuk
air secukupnya

**** rebus semua bahan di atas hingga ikan empuk. K.An rebus dalam periuk tekanan selama 1/2 jam hingga tulang ikan pun lembut. Jika guna periuk biasa biarkan rebusan mendidih selama 1 jam

Bahan lain:

700 ml santan sederhana pekat
1 batang serai dititik
5-6 biji cili padi- ketuk
1 sudu besar kerisik
garam dan gula
2 sudu besar cili kisar - K.An letak 5 sudu besar sebab suka lebih pedas

Bahan dikisar halus:

8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 sm lengkuas
2 sudu besar ketumbar- ganti dengan serbuk pun ok jugak rasanya
1 st jintan putih
2 biji buah keras

Cara memasaknya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan kerisik. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan 1 cawan air rebusan, santan, ikan, cili padi, asam gelugor , serai, garam dan gula. Masak Gulai hingga kuah pekat.

Matikan api dan sedia dihidang bersama nasi dagang dan acar mentah/ jelatah.

*** gulai Ikan tongkol lebih sedap setelah dipanaskan berulangkali seperti kuah laksa utara.


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin