Showing posts with label puding. Show all posts
Showing posts with label puding. Show all posts

Tuesday, October 5, 2010

Puding Jagung

Di sepanjang bulan puasa yang lalu, macam-macam permintaan resepi yang K.An terima tetapi memandangkan masa tu K.An masih dalam pantang, banyak yang tak dapat K.An tunaikan. Ada yang K.An dah tak ingat siapa yang mintak, tapi tak kisahlah kan... yang penting resepinya ada. Antara yang dah K.An buat selepas raya ni ialah puding jagung.

Ada 2 jenis puding jagung yang K.An biasa buat, satu jenis yang menggunakan tepung kastard dan santan/ susu cair dan satu jenis lagi yang dicampur agar-agar dan teksturnya lebih licin. Dua-dua sedap dan ada rasa tersendiri tapi memandangkan permintaannya yang jenis ala agar-agar gitu, K.An kongsi resepi versi yang dicampur agar-agar lah....

Bahan-bahan: (k.an gunakan loyang bulat berukuran 22 sm)

Bahan A:
6 gm agar-agar kering (1/2 peket agar-agar 12 gm)
2 cawan air
3 sudu besar gula pasir

**masak bahan di atas di dalam periuk hingga mendidih dan gula hancur. Jangan matikan api tetapi perlahankan sahaja.

Bahan B

1/2 cawan tepung kastard
1 cawan air
1 cawan jagung krim dalam tin
1 cawan susu cair/ sejat

sedikit pewarna kuning

Cara membuatnya:

1. Bancuhkan tepung kastard dengan air di dalam periuk hingga tepung larut. Hidupkan api perlahan. Masukkan jagung krim dan susu sejat.

2. Kacau campuran hingga campuran mula memekat. Masukkan bahan A tadi dan sedikit pewarna kuning, dan kacau lagi hingga puding pekat dan berkilat. Rasa manisnya dan tambah sedikit gula lagi jika perlu. Angkat daripada dapur dan tuangkan ke dalam acuan pilihan. sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Sejak kamera K.An terjatuh dan tercedera... gambar pun kelabu je sebab guna kamera telefon untuk ambik gambar..huhuh.... tak pelah asal ada rupa puding boleh diterima...
***Masa balik raya hari tu, sempat merasa puding jagung air tangan watie sepupu abang Azam.. sedap rasanya walaupun dia sibuk kata lembek...K.An mintak resepi tapi tak sampai-sampai pun, jadinya K.An kongsi yang K.An punya resepi la... (lebih kurang sama ja Watie kan...) nanti kalau ada bahan lain yang tertinggal watie tolong tambah ok..

Tuesday, August 17, 2010

Krim Karamel Lapis Coklat

Banyak-banyak bersabar ye..... kalau tengok gambar, semuanya sedap kalau perut dah lapar macam ni... Tuan-tuan dan puan-puan semua, kalau ada pinggan jiran sebelah yang belum dipulangkan, bolehlah buat krim karamel ni yang 'spesel' sikit berbanding krim karamel biasa... (walaupun yang biasa tu pun kalau kat restoran eksklusif/ hotel, reganya spesel yang amat)...

Bahannya mudah dan masa membuatnya pun singkat... tambah pulak kalau memang dah ada gula hangus dalam simpanan. lagi cepat... Resepi ni dah disalin setahun lepas dari Dapur Ijan kt Finland tu..masa dia baru bersalinkan si Darwish..(opps..... tersasyul pulak.... sori aaa Ijan.. mmg sahih tgh pantang ni) nama anak Ijan si Mikael... Darwish anak Hana... hai baru 2 orang sepupu dah tersasyul...) nama anak K.An- Munirah... hehehheh...

Kalau tak silap katanya dia skodeng resepi kat rumah Jiya dan Kak Ummi pun dah buat puding ni... yang penting... sedaaaap...Terima kasih kepada semua yang dah kongsi resepi (mana-mana yang tertinggal, bagitau ye...)

Bahan-bahan:

Gula Hangus

Cara membuatnya:
Masukkan 1 cawan gula pasir ke dalam periuk. Gunakan api perlahan dan biarkan gula mencair. Kacau sekali-sekala seperti di dalam gambar. Apabila gula telah hangus dan cair kesemuanya, masukkan 1 cawan air. Biarkan hingga mendidih dan kacau hingga karamel cair. Ketepikan dahulu.
Bahan-bahan puding:

Bahan A:

1 tin susu cair
5 sudu besar gula pasir- K.An guna 4 sudu besar sahaja
3 biji telur A/ 4 biji telur B
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar tepung jagung (resepi asal tak letak)

Bahan B:

1 tin susu cair
5 sudu besar gula
3 biji telur A/ 4 biji telur B
4 sudu besar serbuk koko/ 1 sudu teh Nescafe+ 1 sudu teh pes coklat (coklat emulco)

Cara membuatnya:

1. Campurkan Bahan A dan bahan B dalam mangkuk berasingan. Kacau rata. (K.An pukul sikit telur dan gula menggunakan 'whisk' hingga gula hancur .. kemudian campurkan bahan lain) Tapiskan.
2. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci. Lenserkan loyang dengan sedikit margerin.

3. Tuangkan sebahagian gula hangus dan masukkan loyang ke dalam pengukus yang telah mendidih airnya. Masukkan 1 cawan adunan A. Kukus selama 5-7 minit. Setelah masak, masukkan 1 cawan adunan B pula dan ulang proses hingga habis adunan..

4. Sejukkan sebentar puding sebelum dikeluarkan daripada loyang. (Cungkil keliling loyang dengan pisau nipis agar puding tertanggal daripada loyang) Tekapkan bekas/ pinggan yang lebih besar di atas loyang dan segera terbalikkan. Potong dan hidangkan bersama baki gula hangus.

Lebih sedap dihidang ketika sejuk... terasa coklatnya...

Sunday, November 15, 2009

Puding Kukus Laici

Jalan-jalan ke dapur Ijan di Finland, tergoda dengan Puding Kukus Laici yang dia buat. Nampak sedaaaap... Bahan-bahan pun kebetulan ada di 'gobok' K.An... tiada alasan untuk tidak mencuba..
Terima kasih kepada empunya resepi, Kimin03@MyR, Hazila yang dah beberapa kali buat puding ni ... memang sedap, tapi macam Ijan, puding yang bawah tu tak selembut yang hazila buat... mungkin lain jenama roti kot...

Resepinya:

Bahan-bahan:

1 tin susu cair
4 keping roti putih
4 biji telur
1 sudu makan gula pasir
isi laici dalam tin secukupnya

1 peket jeli nona- perisa rasberry atau strawberry
400 ml air

Cara membuatnya:

1. Rendam roti di dalam susu cair selama 3 minit. Masukkan ke dalam pengisar. Campurkan telur dan gula. Kisar hingga halus.

2. Panaskan pengukus. Lenser loyang berukuran 8 inci dengan sedikit margerin. Tuangkan adunan puding dan kukus selama 20 minit.

3. Angkat dan sejukkan sebentar. Susun isi laici di atas puding. Sementara itu, didihkan 400 ml air dan campurkan jeli nona. Kacau hingga larut dan padamkan api. Tuangkan segera ke atas puding. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Thursday, August 27, 2009

Ayam Sos Pedas, Lemak Cili Api Tenggiri dan Puding Santan Pandan


Sepatutnya cuma 3 hari di Morib ni, tapi berat hati pulak nak balik.
Belum puas bersantai bersama suami dan anak-anak. Abang Azam pun memang awal-awal lagi ambil cuti sampai Rabu. Sudahnya, pukul 10 pagi K.An telefon pengurus Rumah peranginan... merisik kekosongan rumah. Banglo yang kami duduk ni, dah ada penghuni untuk hari ni, tapi nak dikatakan ada rezeki kami... ada lagi rumah berkembar yang kosong. Tanpa fikir panjang, K.An tempah terus sampai esok....

Kemas barang, angkut ke rumah depan... hahah... kelakarnye.. Rumah ni pencahayaannya sangat bagus... puas hati... Lepas Solat Zohor, terus masak sebab lepas Asar nak ke bazar Ramadhan pulak....
Iqbal dah pesan, hari ni nak makan yang pedas-pedas... ok... ikan cantik ada, cili api ada tapi lesung batu pulak tak ada... Buat aje, asal jadi...

Bahan-bahan:

3 keping ikan tenggiri
5-10 tangkai cili api- k.an cincang halus je sebab tak boleh tumbuk**
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, dicincang halus**
sedikit halia diketuk
sedikit serbuk kunyit
1 1/2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam dan gula secukup rasa
1 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, kecuali santan pekat. Biar mendidih. Perlahankan api.
2. Terbalikkan ikan agar masak rata. Masukkan garam. Cucuk ikan dengan garpu untuk mengetahui ikan telah masak sepenuhnya.
3. Masukkan santan pekat dan didihkan. Kacau seketika dan tutup api.

pencuci mulut hari ni- puding santan pandan.. resepinya di sini. Kali ni rupanya lebih cantik dan licin..

Ayam Sos Pedas

Menu ni pun dah ada dalam entry lepas.. kali ni k.An lebihkan cili kisar untuk lebih pedas. Yang lain sama sahaja.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

5 ketul ayam- gaul dengan garam dan kunyit. Goreng separa garing.
3 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
sedikit halia dihiris halus
kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih serba satu
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam periuk atau kuali. Tumis bawang merah, putih halia dan rempah ratus hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos cili dan 1/2 cawan air. Masukkan ayam dan tutup seketika hingga mendidih.

3. Buka tudung periuk. Gaul rata ayam dan kuah. Masukkan gula dan tambah garam jika perlu. Angkat bila kuah pekat dan boleh dihidang bersama lauk lain.

Monday, July 20, 2009

Agar-Agar Roti Belang

Assalamualaikum... resepi asasnya sama dengan agar-agar roti minggu lepas cuma kali ni k.an campurkan sebahagian adunan dengan serbuk coklat... esok k.an sambung cara membuatnya.. selamat beradu..

...sambungan..
alhamdulillah hari ni hujan lebat di Putrajaya.. berkat bulan Sya'aban agaknya. Sejuk dan nyaman cuaca.. sibuk sikit menghantar dan mengambil anak-anak (a.azam out-station lagi) petang baru sempat mengadap lap-top ni..
Agar-agar atau puding belang macam ni memang dah lama k.an nak buat tapi tak ada motivasi nak melapis satu -persatu. Inipun dikira agak tebal, tapi alhamdulillah cantik juga kan rupanya..

Kalau nak buat kek belang macam ni pun boleh, petuanya; kalau masa mencampur adunan tu, kita nampak tekstur yang pekat, bolehlah dilapis begini. Begitu juga dengan apa-apa jenis puding. Sebab kalau cair, kita tak akan dapat hasil belang yang cantik dan sekata.

Kebetulan, masih banyak baki kubit roti sandwich minggu lepas, maka k.An buat lagi agar-agar roti tetapi dengan penampilan corak berbeza..heheh..

Bahan-bahan:

1 cawan agar-agar kering telah dibasuh lembut dan toskan
7 cawan air
170 gm kubit roti
2 cawan susu cair/ susu segar
1 biji telur
2/3 cawan gula
3 sudu besar serbuk coklat

Cara membuatnya:

1. Masukkan kubit roti, susu cair, telur ke dalam pengisar. Kisar hingga halus.
2. Masak agar-agar dengan 7 cawan air hingga agar-agar larut kesemuanya. Masukkan gula dan kacau sebati. Didihkan. Perlahankan api dan masukkan campuran kubit roti.
3. Tutup api apabila agar-agar mendidih. Kacau campuran dan bahagikan2 bahagian sama banyak. Sediakan loyang 8X 6 inci atau acuan bulat berdiameter 8 inci. (boleh juga guna loyang 8X8 inci)

4. Campurkan serbuk coklat ke dalam bahagian A dan biarkan bahagian B seperti asal. Sendukkan 1 cawan adunan krim ke dalam loyang dengan menuangnya di tengah loyang. Biarkan ia mengalir ke bahagian tepi secara sendiri.

5. Cedok 1 cawan adunan coklat dan tuang di tengah loyang seperti adunan krim. biar mengalir sendiri.... jangan ratakan atau kacau. Ulang proses berselang-seli, hingga adunan habis. Sejukkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam peti ais untuk dibekukan.

*** malam tu, K.An tak videokan sebab semua pembantu dah mengantuk. Lain kali k.An rakamkan supaya lebih faham kan...

Wednesday, July 15, 2009

Agar-agar Roti

Assalamualaikum semua.. jamu mata dulu ye..kepala sakit sikit ni. Petang-petang sikit nanti K.An masukkan resepi.. Nak rehat kejap...

Ingat lagi tak masa K.an buat sandwich ayam, K.An ada sebutkan, kubit/kulit roti yang dipotong tu jangan dibuang sebab ada gunanya. Resepi ni mak k.an yang ajarkan sebab nak elakkan pembaziran.. Bukan sahaja jimat kos, agar-agar roti ni juga sedap dinikmati sebagai pencuci mulut untuk makan tengahari nanti... Selamat mencuba..


Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

150 gm kubit roti
1 biji telur
2 cawan susu cair
2/3 cawan gula
1 cawan agar-agar kering yang telah dibasuh menjadi lembut dan ditoskan
7 cawan air
sedikit pewarna merah dan hijau

Cara membuatnya:

1. Masukkan air dan agar-agar ke dalam periuk. Masak hingga agar-agar hancur.
2. Sementara tu, masukkan kubit roti, telur dan susu cair ke dalam pengisar. Kisar hingga hancur. Ketepikan dulu.

3. Masukkan gula ke dalam periuk agar-agar dan kacau hingga gula cair. Cedok 1 senduk kecil agar-agar dan masukkan ke dalam pinggan leper. Campurkan sedikit pewarna merah.
Cedok 1 senduk lagi agar-agar dan lakukan proses sama sperti yang tadi tetapi campurkan dengan pewarna hijau. Sejukkan di dalam peti ais.

4. Perlahankan api. Masukkan campuran kubit roti yang dikisar tadi ke dalam periuk agar-agar. kacau sentiasa. Apabila mendidih kacau seketika dan tutup api.

5. Sediakan loyang berukuran 10 inci X 10 inci. ( boleh juga gunakan acuan kecil jika suka) Tuang campuran agar-agar dan kacau rata. Keluarkan agar-agar merah dan hijau daripada peti ais dan potong dadu kecil. Masukkan ke dalam campuran agar-agar dan kacau sedikit agar agar-agar berwarna sekata. Sejukkan sebelum dipotong.

Thursday, May 14, 2009

Sagu Gula Melaka

Di suatu hari... K.an menonton rancangan Food Lover's Guide to Australia (rancangan fav. K.An tapi, tolak bab tunjuk makan yang tak halal..). Kali ni dia melawat restoran nyonya yang menyajikan pelbagai kuih-muih tradisonal nyonya yang sangat terkenal tu... antaranya sagu gula melaka. Siap demo cara dia buat... mmp..lain sikit daripada yang selalu K.An buat dan baca di majalah. Nampak lebih mudah dan praktikal. K.An dah cuba dan memang hasilnya sangat memuaskan. Baby Maryam dan Princess 'Aisyah pun suuukaa sangat.

Bahan-bahan: (menghasilkan 5 bekas dadih kecil)

1/2 cawan sagu biji (K.An gunakan yang warna hijau)- rendam dengan 1 cawan air selama 15 minit
4 cawan air biasa
1 biji putih telur
acuan secukupnya

Cara membuatnya:

1.Masukkan air ke dalam periuk. Didihkan. Biar api sederhana. Masukkan sagu yang direndam tadi (jangan toskan) dan kacau sentiasa hingga sagu timbul dan jernih. Tuangkan ke dalam penapis halus.
2. Dalam bekas lain, kacau putih telur dengan garpu. Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul rata bersama sagu yang ditoskan tadi. Masukkan campuran sagu ke dalam acuan dan sejukkan di dalam peti ais.

Bahan sirap gula melaka:

Cairkan 1 keping gula melaka dengan 1 cawan air mendidih. Kacau sentiasa hingga air gula mendidih. Padamkan api dan sejukkan.
Campurkan sedikit garam dengan 1 cawan santan pekat. Sejukkan dalam peti ais. (jika ingin santan tahan lama, masak di atas api perlahan seperti menyediakan santan untuk cendol.

Hidangkan sagu bersama 2 sudu besar air gula melaka dan 2 sudu besar santan. (tambah jika tak cukup manis atau lemak)

Wednesday, March 11, 2009

Puding Santan Pandan

Bila masuk je cuti sekolah, memang K.An sibuk sangat. Bila anak-anak ada di rumah, tak menang tangan dibuatnya. Belum lagi tak menang mulut..heh..heh.. Masak dan mengemas pulak dari celik mata sampai tutup mata balik.. semuanya macam singa kelaparan. Letak je habiiis... letak lagi, habiiis lagi.. Tapi alhamdulillah ada selera makan, senang juga nak diurus..

Disebabkan sibuk, K.An kongsi puding santan yang mudah ni. Boleh diganti air pandan dengan air gula merah atau gula melaka. Sedap juga..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)
1/2 cawan agar-agar kering ( dibasuh lembut, toskan dan disukat dengan cawan)
4 cawan air
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan gula putih
1 biji telur saiz A- guna 2 biji kalau saiz kecil
1/2 cawan air pandan
sedikit pewarna hijau epal
Cara membuatnya:
1. Masukkan agar-agar dan air ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan agar-agar cair.
2. Masukkan gula dan air pandan. Kacau hingga gula hancur.
3. Pukul telur dengan santan menggunakan garpu hingga sebati. Tutup api dapur. Masukkan campuran telur dan santan ke dalam periuk. Gaul sebati 1 minit.
4. Sediakan acuan empat persegi anggaran 8x8 inci. (tebal agar-agar lebih kurang 1 inci)Tuang campuran agar-agar ke dalam acuan. Kacau seperti buat bulatan agar agar-agar rata. Biar sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.Agar-agar akan membentuk 2 lapisan selepas 5 minit.
5. Apabila agar-agar keras, bolehlah dipotong dan dihidang.

Wednesday, March 4, 2009

Krim Karamel

Krim Karamel antara hidangan manisan yang popular di mana-mana di dunia ni. Dihidangkan di Restoran Arab, Restoran Melayu, Restoran Siam mahupun Restoran Sajian Barat. K.An pernah tengok Bob Blumer (Surreal Gourmet), Jamie Oliver, Anna Olsen dan ramai chef tempatan menyediakan aneka jenis Krim Karamel... Selain bahan-bahan asas, Krim Karamel boleh dihidangkan dengan sirap buah-buahan atau buah dalam tin seperti peach, laici, anggur atau dicampurkan mangga kisar dalam bater bagi menjadikan krim karamel mangga... Sedap kan...?


Bahan-bahan: (menghasilkan 8 bekas dadih kecil)

2 biji telur gred A/B
1 tin susu sejat F & N atau Ideal
3/4 cawan gula perang- dihanguskan dan ditambah 3/4 cawan air menjadi karamel -ketepikan
1 sudu besar gula kastor/ pasir halus
1 sudu teh esen vanilla
sedikit margerin

Cara membuatnya:

1. Sediakan dan panaskan pengukus. Sapukan margerin pada bekas dadih/ acuan. Tuangkan gula hangus(karamel) sama banyak untuk semua bekas. Ketepikan.

2. Pukul gula kastor dengan telur hingga gula hancur. Campurkan susu sejat dan esen vanilla dan kacau rata.

3.Masukkan adunan ke dalam bekas/ acuan berisi gula hangus. Kukus 15 minit dengan suhu tinggi.

4. Setelah masak, sejukkan. Ketika hendak menghidang, boleh dimakan terus daripada bekas atau terbalikkan ke dalam piring dan hidang.
***krim karamel boleh juga dihidang ketika panas. Jika tidak suka rasa gula hangus, didihkan sahaja gula perang bersama air dan masukkan ke dalam acuan.

Wednesday, February 11, 2009

Puding Marmar

Masa k.An buat mee Abah dan ajak saudara-mara dan jiran tetangga datang menjamu di rumah, sempat juga K.An buat kuih-muih sebagai pencuci mulut. Antaranya kuih sagu (post 2008), puding roti dan puding marmar (puding 'marble')

Selain sedap, ianya boleh dipelbagaikan ikut citarasa. Semasa K.An belajar cara buat puding ni daripada adik K.An, (Moon) dia buat marble warna pink. Sedap juga. Kemudiannya barulah K.An cuba campurkan serbuk coklat bagi menghasilkan 'marble' coklat. Yang ini pun sedap. Kalau nak cuba warna lain dan perasa lain pun tak jadi masalah...
Puding marmar merah jambu dalam gambar tu, K.An buat masa kenduri Hari Raya Haji yang lepas di rumah mertua K.An. Memang dapat sambutan

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5-10 orang)

10 gm agar-agar kering- (kalau tak boleh timbang, guna petua K.an- basuh agar-agar, masukkan dalam cawan- sukatannya adalah 1/2 cawan)

3 cawan air

3 sudu besar tepung kastard-bancuh dengan 1/2 cawan air dan kacau hingga tidak berketul

1 cawan susu cair

1/2 cawan gula

1 sudu besar serbuk coklat - tambah 1 sudu lagi jika suka rasa coklat yang banyak

Cara membuatnya:

1. Masukkan agar-agar bersama 3 cawan air ke dalam periuk. Masak hingga agar-agar cair. Masukkan gula dan didihkan.

2. Masukkan susu cair. Kacau sebati. Perlahankan api. Masukkan bancuhan tepung kastard. Kacau puding perlahan-lahan hingga agak pekat. Tutup api.

3. Cedok 1 cawan adunan puding dan campurkan dengan serbuk coklat(B). Masukkan lebihan adunan puding (A)di dalam periuk tadi ke dalam acuan.

4. Tuangkan bancuhan bersama coklat sedikit demi sedikit ke dalam acuan berisi (A). Tuang ke serata acuan. Jangan setempat je.

5. Akhir sekali kacau sedikit campuran dalam bentuk bulatan agar terbentuk corak marmar pada puding. Sejukkan sebelum dihidang.

Saturday, November 15, 2008

Puding Koktel

Puding koktel ni memang popular dan digemari di rumah-rumah terbuka atau mana-mana majlis makan-makan. Rasanya yang sedap, masam-manis dan menenangkan menjadi pilihan semua. Rupa pun cantik...

Resepi puding ni dah lama K.An gunakan sejak lebih 10 tahun dulu(masa K.An dok di Kuang) lagi. Sabtu lepas anak saudara K.An, Nurul (lebih dikenali 'Aloi')mintak resepi puding koktel ni sebab dia dah tersalah ikut resepi puding yang bukan citarasa dia. Kebetulan masa dia sekeluarga datang, K. An buat puding ni.

Jadi Aloi, jangan tak cuba pulak lepas ni....



Bahan-bahan:

3/4 cawan agar-agar kering( dibasuh lembut dan disukat dengan cawan)

5 cawan air

5 sudu besar gula (tambah kalau suka manis)

1 cawan susu cair

2 sudu besar tepung jagung

1 biji telur

1 cawan buah-buahan dalam tin dan sirapnya

Cara-cara:

1. Masak Agar-agar dengan 5 cawan air di dalam periuk hingga semua agar-agar cair

2. Bila mendidih, masukkan gula. Kacau hingga gula hancur.

3. Masukkan susu cair. Perlahankan api. Sementara tu sediakan acuan.

4. Masukkan buah-buahan dan 3-5 sudu besar sirapnya ke dalam acuan. Ratakan. Biar satu lapisan sahaja agar puding senang dipotong nanti.

5.Campurkan telur dan tepung jagung di dalam mangkuk. Pukul dengan garpu hingga tepung tidak berketul. Masukkan ke dalam periuk dan kacau rata.

6. Tuang campuran puding ke dalam acuan dan kacau buah-buahan dan sirap hingga rata. Ketepikan dulu sehingga puding suam. Kemudian baru masukkan ke dalam peti ais. Boleh dipotong selepas 1 jam.

****Selamat mencuba. Untuk Aloi, cuba jangan tak cuba. Nanti boleh jamu bakal mak mertua..he..heh

Petua: Simpan lebihan buah dalam tin di dalam bekas plastik (tupperware) sebelum disimpan di dalam peti ais kerana tin yang telah dibuka akan berkarat dan bertukar warna di dalam peti ais.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin