Thursday, February 26, 2009

Khasiat Brokoli

Selain sedap dimakan brokoli mempunyai pelbagai khasiat yang amat baik untuk tubuh badan kita. Brokoli dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Brassica oleracea italica dan berasal dari keluarga kobis Brassica. Ia dapat menjauhkan penyakit barah. Ia adalah di antara jenis makanan yang paling kaya dengan bahan-bahan fotokimia berfungsi melindungi tubuh badan daripada penyakit barah, gangguan kardiovaskular, dan masalah kedutan.
Amalan memakan satu setengah cawan sayur brokoli pada setiap hari berkesan untuk menghindarkan penyakit barah di kawasan paru-paru, usus besar, perut, mulut, farinks dan prostat. Brokoli juga mengandungi beta-carotene dan alpha- carotene, sejenis bahan antipengoksidaan yang bertindak melawan penyakit barah paru-paru dan menghalang pertumbuhan sel ketumbuhan. Kandungan klorofil yang tinggi dalam sayur kalori menyekat pertumbuhan pertumbuhan sel barah dan merangsang pembiakan sel darah merah dan hemoglobin.
Diringkaskan cerita, selalulah memasukkan sayur brokoli dalam hidangan kita agar khasiat tersebut dapat kita nikmati bersama.

Sayur campur Brokoli -(hidangan untuk 3 0rang)

1/2 kuntum brokoli

100 gm kobis panjang dihiris kecil

100 gm karot dipotong ikut suka

1 biji cili merah dihiris nipis serong

2 ulas bawang merah dihiris halus

2 ulas bawang putih dihiris halus

5 ekor udang putih atau udang harimau ikut citarasa

Minyak, garam secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis Bawang merah dan putih hingga layu. Masukkan udang. Goreng seketika.

2. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan karot dan brokoli. Tutup periuk dan biar mendidih 2 minit. buka tudung periuk, masukkan cili merah dan kobis.

3. Masukkan garam dan kacau 1/2 minit hingga kobis layu sedikit. Tutup api dan sedia dihidang.

** brokoli sedap juga dikukus bersama jagung muda(manis) dan karot. Setelah empuk, angkat dan sapukan margerin.

Satu Adunan Pelbagai selera

Dah tengok resepi murtabak nangka dalam post Disember 2008? Kali ni K.An nak kongsi 2 jenis lagi murtabak yang selalu kami (adik-beradik) nikmati sekeluarga. Murtabak pisang dan murtabak kucai.... Dengan adunan yang sama boleh juga dibuat roti telur, roti canai ataupun roti boom.

Bahan-bahan: (menghasilkan 7 keping murtabak/ roti telur)

3 cawan tepung gandum

1/2 cawan air dicampur 1 sudu teh garam

1 sudu besar susu pekat

1/2 cawan minyak masak untuk merendam doh

Cara membuatnya:

1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar. Campurkan susu pekat. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil menguli tepung dengan tangan. Uli doh seperti menguli doh roti/ donut.

2. Uli adunan sehingga licin dan lembut. Bulat-bulatkan sebesar saiz bola golf. Bentukkan hingga licin seperti dalam gambar. Buat hingga habis doh.Masukkan ke dalam loyang/ mangkuk leper yang berisi minyak masak. Tutup dan biar terendam 1 jam.
Cara membuatnya:
-Roti Telur
1. Hiris 1 labu bawang besar dan campurkan dengan 3 biji telur untuk 3 keping roti telur. Campurkan sedikit garam.
2. Tebarkan doh di atas talam atau dulang besar. Renjiskan minyak setiap kali menarik doh agar roti tidak koyak. Lebih mudah jika ditebar di atas daun pisang. Rujuk resepi murtabak nangka.
3. Letakkan campuran telur dan bawang secukupnya. Lipat setiap penjuru membentuk segi empat sama.
4. Angkat dan telangkupkan di atas kuali yang telah disapukan minyak. Masak roti telur hingga keperangan dengan api sederhana.

*** kalau nak roti telur tanpa bawang macam kat kedai, tak perlu letak bawang... Bahan Inti untuk murtabak pisang: (3 keping murtabak)

6 biji pisang awak/abu/ emas masak -dihiris nipis

1 biji telur

1-2 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk dan gaul hingga gula hancur.Bahagi 3 inti. Lakukan proses sama seperti membuat roti telur.

*** Beza roti pisang dengan murtabak pisang ni, roti pisang tidak dicampur dengan telur pada intinya manakala campuran telur pada murtabak pisang ni menambahkan keenakan rasa lemak manisnya.

Murtabak Kucai:

Setahu K.An cuma orang Banjar yang mengetahui kewujudan murtabak kucai macam ni. Itupun kepada yang masih 'pekat Banjarnya'.... kalau ditanya kepada Banjar separuh macam Abang Azam, sahih... dia tak tahu...
Bahan-bahan intinya: (untuk 2 keping murtabak)
3 tangkai kucai dipotong 1 sm panjangnya
3 biji telur
1 labu bawang besar dihiris nipis melintang
10 ekor udang putih dibersihkan dan digunting kecil-kecil
garam secukup rasa
Cara membuatnya:
1. Gaulkan semua bahan didalam mangkuk hingga sebati. Bahagi 2. Ulang proses seperti membuat murtabak pisang, nangka dan roti telur.
2. Murtabak kucai sedap dihidang ketika panas.

Wednesday, February 25, 2009

Sajian Banjar pemanis mulut..Batil Berkepala (Talam Pisang)

Antara kepakaran mak K.An yang tak dapat ditandingi ialah bab mengagak sukatan kuih kukus-kukus ni. Tak pernah K.An tengok mak buat kuih pakai buku resepi. Semuanya pakai senduk dan ukur kepekatan adunan dengan hujung jari...

Banyak kali K.An cuba, hasilnya... setiap kali buat lain jadinya... Sudahnya macam biasa K.An sukat betul-betul berapa banyak tepung, air, santan gula dan bahan-bahan lain supaya rasanya tak lari dan hasilnya konsisten setiap kali dibuat.

Mungkin kita orang sekarang ni, dah tak terang hati macam orang dulu-dulu. Cepat lupa, lambat belajar. Tapi tak apalah, bagi yang nak belajar pelbagai kuih talam tradisi, yang mana K.An dah buat bolehlah dikongsi di periuktanah.
Kuih Batil Berkepala (bahasa Banjar) memang sedap dan kalau kukus seloyang, sekali hidang...liciiin... Kalau malas nak buat dua lapis boleh buat Kuih Batil sahaja... adunan pisang di bawah dan kukus. Tapi sukatannya berbeza sedikit sebab perlu ditambah gula dan santan agar lebih manis dan lemak.


Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

Lapisan bawah:
8 biji pisang awak/ emas masak dikupas kulit dan dilecek halus
1 1/2 cawan santan -sederhana pekat
1/2 cawan tepung beras
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula

Caranya:
1. Campurkan semua bahan hingga sebati di dalam mangkuk. Panaskan pengukus hingga air mendidih.
2. Tuang adunan ke dalam loyang bulat berdiameter 20 sm. Ratakan. Kukus selama 15 minit dengan api kuat.

Lapisan atas: (sementara bahagian bawah dikukus, sediakan lapisan atas)

Bahan-bahan:

2 biji telur

1/2 cawan air gula melaka/ gula merah

1 cawan santan sederhana pekat

1/2 cawan tepung beras

3 sudu besar tepung gandum

3-4 sudu besar gula putih

Cara membuat:

1. Masukkan kesemua bahan di dalam pengisar. Kisar hingga sebati lebih kurang 2 minit.

Selepas 15 minit bahagian bawah dikukus, tuangkan adunan lapisan atas dan kukus 20 minit atau sehingga masak.

Tutup api dan keluarkan loyang daripada kukusan. Sejukkan sebelum dipotong. Jika nak cepat sejuk, masukkan loyang kuih ke dalam talam atau dulang berisi ais/ air sejuk.

***kuih ini boleh juga dibuat waktu malam dan dihidang pagi keesokannya.

Tuesday, February 24, 2009

Cepat dimasak Sedap dimakan..Ayam Goreng Kunyit

Bab memasak, K.An memang suka yang ringkas, cepat dan sedap. Bahan-bahannya pula biarlah yang senang didapati samada di pasar atau kedai berhampiran. Tak perlu nak ke 'kedai khas' baru boleh memasak. Yang paling penting, kosnya berpatutan dengan kepuasan menikmati makanan tu.
Yelah... kadang-kadang, dah beli bahan mahal-mahal, masak tak menjadi, dan akhirnya membazir. Asal nak pahala, dapat dosa la pulak..

Sebut ringkas dan sedap, ayam, daging, sotong atau udang yang digoreng kunyit pastinya tidak mengecewakan kalau kena cara menggorengnya. Masa K.an 'kecik-kecik' dulu, kami adik-beradik memang awal-awal lagi pandai masak goreng kunyit ni. Sebab senang sangat.. yang kelakarnya, di awal perkahwinan kami yang perempuan ni, menu goreng kunyit nilah yang kami paling pakar. Hinggakan abang Jis, suami K.Mah 'komplen' asyik-asyik goreng kunyit, asyik-asyik goreng kunyit..... hah...hah. K.Mah kena 'komplen' sebab Abg Jis pandai masak...., tapi bagi kami yang suami pandai makan je..memang selamaaat..

Tapi ada perkara yang ramai tak tahu.. walaupun bunyinya senang, kalau tak kena cara.. sori.. tak sedap juga. Sebabnya, lain bahan, lain caranya..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 cawan isi ayam yang dipotong kecil (ambil bahagian dada) digaul dengan garam dan kunyit

1/2 labu bawang besar holland-dihiris membujur

2 ulas bawang putih diketuk

3 biji cili padi diketuk

1 biji cili merah dihiris serong

2 urat kacang panjang dipotong 1 inci/ 4 urat kacang buncis dipotong serong (pilih salah satu)

100 gm bunga kobis dipotong kecil

3 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan isi ayam dan goreng hingga berbau wangi dan ayam keperangan di luar.

2. Masukkan bawang besar, cili padi dan cili merah. Tumis hingga wangi dan bawang besar layu. Tambah 1/2 cawan air.

3. Masukkan bawang putih dan kacang panjang. Tutup kuali dan biar mendidih dan kacang lembut. Selepas 2-3 minit, buka tudung kuali dan masukkan bunga kobis. Masukkan sedikit garam dan kacau 1 minit. Tutup api dan sedia dihidang.

Thursday, February 19, 2009

Gulai Pekat Daging Rusa

Resepi gulai daging yang paling sedap tentunya datang daripada tak lain tak bukan, mak K.An sendiri. Dah berpuluh tahun makan gulai daging di tempat lain, masih tak sesedap yang mak K.An buat. Terutama sekali bila mak buat gulai daging di Hari Raya untuk dimakan dengan pulut atau lemang.

Semasa mak mertua Kimie (adik K.An) balik ke Sarawak cuti panjang lepas, dia bawakkan buah tangan berupa daging rusa dari sana. Memandangkan tak pernah masak daging rusa, jadi menu paling selamat ialah buat kari/ gulai sebab apa-apa daging pun kalau dibuat gulai insyaAllah takkan silap.
Alhamdulillah, setelah dimasak, dagingnya sangat lembut dan sedap rasanya dan bolehlah dikongsi dalam 'periuktanah'.

Bahan-bahan: (hidangan 5-8 orang)

500 gm daging rusa -dihiris nipis dan kecil- dibersihkan

2 sudu besar rempah kari ayam/daging- dibancuh dengan 1 cawan air

1 sudu besar kerisik yang ditumbuk hingga pecah minyak

1 tangkai daun kari

3 ulas bawang merah dihiris

2 ulas bawang putih dihiris

1/2 inci halia dihiris halus

1 inci kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, bunga cengkih

1 sudu besar cili kisar

kentang dibelah 4 jika suka

1 cawan santan kelapa daripada 1/2 biji kelapa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah 3 serangkai hingga wangi dan bawang keperangan.

2. Masukkan rempah kari dan daun kari dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan cili kisar. Tumis lagi 2 minit sambil dikacau. Gunakan api perlahan.

3. Masukkan daging dan 1 cawan air. Gaul rata dan tutup periuk. Kecilkan api dan biar daging mereneh hingga empuk.

4. Apabila daging empuk masukkan kerisik dan santan kelapa. Masukkan garam dan kentang. masak hingga kentang empuk dan kuah pekat.

5. Tutup api dan sedia dihidang.

Udang Goreng Tepung

Ada banyak versi lauk-pauk yang digoreng tepung ni... Sebenarnya senang je nak dibuat di rumah dan kosnya amat murah. Tak taulah kenapa harganya di kedai mahal sangat dan agak tidak berbaloi.
Baik udang mahupun sotong, dijadikan lauk sampingan memang menyelerakan. Kena pulak dengan rasa sos pencicah yang masam, pedas dan manis. 10 ekor pun tak cukup dibuatnya.


Bahan-bahan:

10 ekor udang harimau- dibuang kepala dan kulitnya. Tinggalkan ekor agar nampak cantik. Kepala dan kulit direbus dan simpan air rebusan untuk digunakan kemudian.

1 sudu besar tepung gandum

1 sudu besar tepung beras

1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi

3-5 sudu besar air

Cara-membuatnya:

1. Gaulkan udang dengan sedikit garam dan kunyit. Bancuh tepung dengan air hingga sebati. Bancuhan agak pekat.

2. Panaskan minyak dalam kuali. Celupkan udang ke dalam tepung satu persatu dan goreng di dalam minyak hingga keperangan. Angkat, toskan dan segera hidang panas-panas bersama sos pencicah. (boleh beli siap dalam botol)

Tuesday, February 17, 2009

Mee Goreng Basah

Kat luar gelap gelita, walaupun baru pukul 4.50 petang. Angin kuat tapi hujan sikit-sikit je.. Pekena mee goreng basah sedap juga waktu macam ni.

Bahan-bahan: (hidangan 5 pinggan)

1 bungkus mee kuning- celur dalam air mendidih 3 minit dan toskan

2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

2 ulas bawang merah ditumbuk halus

2 sudu besar cili kisar

1 sudu teh sos tiram

segenggam taugeh

3 tangkai sawi- asingkan daun dan batang- batangnya dipotong 1 inci panjang dan ketuk dengan pemegang pisau dan daunnya dipotong 1 inci panjang juga

kicap manis secukupnya- anggaran 3-5 sudu besar

5 ekor udang harimau

sotong, daging dihiris kecil -ikut suka (tak ada pun tak apa)

1 biji telur

1 cawan air rebusan kulit udang atau ayam (baki buat kerabu ayam hari tu...)

minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih hingga wangi. .. lebih kurang 1minit je. Api sederhana besar.

2. Masukkan cili kisar. Tumis seketika. Masukkan batang sawi. Kacau. Masukkan udang, sos tiram, kicap dan daun sawi. Kacau goreng 1 minit.

3. Masukkan air rebusan. Didihkan. Masukkan mee, taugeh dan telur. Kacau rata 1/2 minit. Tambah kicap kalau belum cukup hitamnya. Tutup api dan hidang segera dengan taburan bawang goreng, daun sup dan cili merah.
***rasa enak mee goreng basah terhasil daripada rasa bawang putih, manis udang, manis air batang sawi dan kepedasan cili kisar. Jangan sesekali memasukkan garam ke dalam mee kerana mee kuning sudah cukup masin.

Saturday, February 14, 2009

Bubur Kacang

Ingat lagi tak peristiwa tsunami yang melanda Acheh, Phuket, Sri Lanka, Balik Pulau dan beberapa kawasan lain pada akhir Disember 2004? Banyak liputan dibuat dan antaranya krew Majalah 3 telah ke Acheh untuk melihat sendiri keadaan mangsa tsunami dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

Masih terbayang airmata Norzie Pakwan Chik yang tersentuh dengan keadaan mangsa dan kemusnahan yang berlaku di sana. Antara slot yang paling K.An ingat, pihak sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa di khemah perlindungan sementara mereka dengan serba kekurangan. Menunya ialah bubur kacang ringkas... Kacang hijau direbus empuk dan dicampur gula.. tanpa santan.. cuma air sebagai kuah. Walau ringkas, tapi cukup khasiat bagi membekalkan tenaga kepada mangsa terutamanya kanak-kanak yang kekurangan bekalan makanan.
Dalam erti kata lain, penyediaan bubur kacang, memerlukan kos yang sedikit tetapi khasiatnya banyak.. Menyingkap hari-hari masa kecil K.An, emak akan masak bubur kacang dalam periuk besar cukup untuk kami 10 beradik makan berulangkali dari pagi sampai petang. Biasanya kami makan bubur kacang dengan pulut atau biskut tawar ('cream-cracker') supaya lebih kenyang.
Nak tau nikmatnya, cubalah sendiri...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 mangkuk)

1/2 cawan kacang hijau- direndam semalaman

1 cawan santan pekat

1 helai daun pandan disimpul

2-3 sudu besar gula pasir

1 sudu besar sagu biji direndam dengan sedikit air selama 5 minit

1 sudu besar gula merah jika suka

1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Toskan kacang hijau. Masukkan ke dalam periuk bersama 2 cawan air dan rebus hingga empuk (kira-kira 30 minit) lebih cepat jika guna periuk tekanan.

2. Apabila kacang telah empuk, masukkan daun pandan, gula pasir dan gula merah. Didihkan.

3. Masukkan santan dan perlahankan api. Masukkan sagu dan garam. Kacau rata dan biar mendidih. Bila bubur nampak pekat tutup api dan sedia dihidang.

Thursday, February 12, 2009

Kerabu Ayam

Setiap kali buat kerabu, K.An teringat adik ipar K.An, Zulkifli-suami Mun yang mengamalkan pemakanan sihat setiap hari. Maksudnya piramid makanan tu dia ikut betul-betul. Banyakkan makan sayuran dan buah-buahan.. Tak ramai yang boleh ikut macam dia yang suka makan ulam-ulaman. Abang azam pun jenuh nak didik banyak makan sayur... Sudahnya K.An juga yang terpaksa ratah sayur dan ulam yang berlebihan. Kalau nak Abang Azam makan sayur mentah, kenalah K.An buat kerabu. Baru liciiin...

Selain kerabu kampung, K.An kenal pelbagai kerabu yang enak daripada restoran makanan Thai. Ada macam-macam, kerabu sotong, kerabu ayam, kerabu mangga- dah masuk blog, kerabu kerang, kerabu ikan keli dan yang pelik tapi popular juga ialah kerabu kaki ayam... (kawan k.An 'order di restoran siam betul tapi K.An tak lalu nak makan..heheh)

Semasa bazar Ramadhan di Bandar Tasik Puteri, Restoran Bintang Raya kegemaran kami, menjual aneka kerabu ni di bazar ramadhan.. Masa tu, kalau malas nak buat, K.An beli kerabu (apa-apa jenis) Rm2 dan simpan untuk makan sahur.. sedaap.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 cawan isi ayam dipotong dadu

** rebus isi ayam dengan 1 cawan air hingga masak. Ketepikan.

Bahan ditumbuk:

2 batang serai- dihiris halus

3 biji cili padi

2 ulas bawang merah dihiris halus

1 ulas bawang putih

1 sudu besar udang kering/ ikan bilis siap dikopek

Bahan dihiris:

1 biji cili merah

2 urat kacang panjang-hiris halus

Bahan lain:

1/2 cawan kelapa parut putih-disangrai sebentar hingga wangi- jangan sampai perang

segenggam taugeh dibersihkan dan dilalukan air mendidih

2 biji limau nipis diperah airnya

1 sudu besar sos ikan (namphla)

garam (jika perlu)dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan isi ayam. Ambil 1 sudu besar air rebusan. (yang lain simpan beku untuk digunakan lain kali- buat mee goreng ke, tomyam ke...)

2. Masukkan semua bahan termasuk isi ayam ke dalam mangkuk. Gaul rata dan sedia dihidang. (atau simpan dalam peti ais dahulu sementara lauk lain disediakan) Kerabu lebih sedap dimakan sejuk bersama nasi dan lauk-pauk lain.

Wednesday, February 11, 2009

Karipap Sardin

Asal nama karipap adalah daripada perkataan 'curry' dan 'puff'... maknanya paff(pastrinya) diisi inti keledek dengan rasa kari.. Tapi bila dibuat inti lain pun masih juga disebut karipap. Antara yang sedap ialah karipap inti sardin. Tapi kalau intinya tak sedap, macamana catik kulitnya pun, kuihnya akan jadi tak sedap. Maka, dalam pembuatan karipap, intinya adalah nombor satu perlu dipelajari.
Karipap sardin kali ni dibuat atas tempahan Hanida (Madulebah) untuk program MASKARA yang dia dan kawannya anjurkan setiap bulan di Rumah PENA (program baca puisi)... Dengar kata program tu dapat sambutan hangat, sehangat sambutan ke atas karipap sardin yang dihidang...he..heh..

Bahan-bahan inti: (menghasilkan 30-40 biji karipap)

1 tin besar sardin King Cup/ Ayam Brand-asingkan sos tomatonya dengan ikan

2 labu bawang besar dihiris halus

3 ulas bawang putih dicincang

4 sudu besar cili kisar

1 sudu besar sos tomato dalam tin sardin

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang besar hingga layu. Masukkan bawang putih dan tumis 1/2 minit. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan sos dari dalam sardin dan ikan sardin. Masak hingga mendidih. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Tutup api dan ketepikan.

Bahan-bahan pastri:

500 gm tepung gandum

80 gm margerin

3 sudu besar minyak masak

1/2 cawan air sejuk yang dicampur sedikit garam

Cara-membuatnya:

1. Masukkan tepung gandum ke dalam mangkuk. Buatkan lubang ditengahnya menggunakan senduk.

2. Masukkan margerin dan minyak masak ke dalam periuk/ kuali. Cairkan di atas api. Bila sudah cair, terus tuang ke dalam tepung dan gaul ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.

3. Tambahkan sedikit demi sedikit air sambil diuli hingga menjadi doh. Tambahkan air jika doh masih liat kerana kadangkala tepung berlainan jenis mempunyai kekenyalan berbeza.

4. Apabila siap diuli, canaikan doh dan terapkan mengikut saiz kesukaan. Masukkan inti sardin ke dalam mangkuk dan hancurkan ikan bersama kuahnya menggunakan garpu.

5. Masukkan inti secukupnya ke dalam pastri dan klimkan. Proses ini perlu dilakukan berhati-hati kerana jika inti terkeluar, karipap akan pecah ketika digoreng.

6. Buat proses sama hingga habis doh dan inti. Masukkan ke dalam bahagian beku peti ais dan biarkan sekurang-kurangnya 1 jam. Keluarkan dan goreng karipap dalam minyak yang banyak dengan api perlahan.

7. Goreng hingga keperangan dan sedia dihidang.

**** karipap yang dibekukan boleh tahan hingga sebulan jika intinya dimasak dengan betul dan tidak terlalu lembab

Puding Marmar

Masa k.An buat mee Abah dan ajak saudara-mara dan jiran tetangga datang menjamu di rumah, sempat juga K.An buat kuih-muih sebagai pencuci mulut. Antaranya kuih sagu (post 2008), puding roti dan puding marmar (puding 'marble')

Selain sedap, ianya boleh dipelbagaikan ikut citarasa. Semasa K.An belajar cara buat puding ni daripada adik K.An, (Moon) dia buat marble warna pink. Sedap juga. Kemudiannya barulah K.An cuba campurkan serbuk coklat bagi menghasilkan 'marble' coklat. Yang ini pun sedap. Kalau nak cuba warna lain dan perasa lain pun tak jadi masalah...
Puding marmar merah jambu dalam gambar tu, K.An buat masa kenduri Hari Raya Haji yang lepas di rumah mertua K.An. Memang dapat sambutan

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5-10 orang)

10 gm agar-agar kering- (kalau tak boleh timbang, guna petua K.an- basuh agar-agar, masukkan dalam cawan- sukatannya adalah 1/2 cawan)

3 cawan air

3 sudu besar tepung kastard-bancuh dengan 1/2 cawan air dan kacau hingga tidak berketul

1 cawan susu cair

1/2 cawan gula

1 sudu besar serbuk coklat - tambah 1 sudu lagi jika suka rasa coklat yang banyak

Cara membuatnya:

1. Masukkan agar-agar bersama 3 cawan air ke dalam periuk. Masak hingga agar-agar cair. Masukkan gula dan didihkan.

2. Masukkan susu cair. Kacau sebati. Perlahankan api. Masukkan bancuhan tepung kastard. Kacau puding perlahan-lahan hingga agak pekat. Tutup api.

3. Cedok 1 cawan adunan puding dan campurkan dengan serbuk coklat(B). Masukkan lebihan adunan puding (A)di dalam periuk tadi ke dalam acuan.

4. Tuangkan bancuhan bersama coklat sedikit demi sedikit ke dalam acuan berisi (A). Tuang ke serata acuan. Jangan setempat je.

5. Akhir sekali kacau sedikit campuran dalam bentuk bulatan agar terbentuk corak marmar pada puding. Sejukkan sebelum dihidang.

.Masak Lemak Cili Api Daging

Banyak-banyak masak lemak cili api, masak lemak cili api daging yang paling Abang Azam suka. Kalau kena daging yang disalai, lagi ummph!!

Walaupun namanya sama, tapi masak lemak cili api berbeza sedikit bahannya bergantung apa bahan mentah yang digunakan... samaada ayam, udang, ikan, ketam ataupun telur itik. Rasanya pun berbeza-beza walaupun warnanya sama. Contohnya masak lemak cili api daging ni dimasak dengan serai, halia, bawang, cili api dan kentang tetapi jika telur itik dimasak dengan belimbing buluh dan cili api sahaja.


Namun setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri dan enak dinikmati walau setiap hari.. tapi awas!! Jangan selalu makan yang bersantan ni.. tinggi lemak dan kolesterolnya pulak.


Masak lemak cili api daging ni K.An masak untuk salah seorang penggemar masakan K.An, selain Abang Azam, anak-anak, Mun dan Hanida... Fitri UNIC, isterinya Saleha dan keluarga. Cadangnya mereka nak singgah ke rumah K.An sekembalinya dari Singapura tetapi disebabkan ada 'show' mengejut di Shah Alam, K.An bekalkan dalam mangkuk tingkat je dan menjengah ke program mereka bersempena siaran langsung rancangan Halaqah di TV9.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

500gm daging dihiris kecil dan direbus empuk
10 tangkai cili api ditumbuk halus
1 batang serai dititik
3 ulas bawang merah dan 1/2 inci halia ditumbuk halus
2 biji kentang dikupas kulit dan belah 8
1 keping asam keping
1/2 inci kunyit hidup ditumbuk halus
garam gula secukup rasa
1 cawan santan pekat

Cara-membuatnya:

1. Masukkan daging bersama 1/2 cawan air rebusan ke dalam periuk. Masukkan kentang, cili api, kunyit, halia, bawang, serai, dan asam keping.
2. Hidupkan api dan masak hingga kentang empuk. Masukkan pati santan, garam dan gula secukup rasa. Didihkan dan kacau sentiasa agar santan tidak pecah minyak.

Sedia dihidang.

Friday, February 6, 2009

Ayam Goreng Berempah


Minggu lepas Abang Azam sempat pergi memancing bersama rakan-rakan seperjuangannya di kelong pantai Bagan Lalang. Memancing bukanlah kemahiran Abang Azam, tapi sesekali dia pergi juga ikut kawan-kawan untuk melapangkan fikiran dan rekreasi hujung minggu.
Sebelum pergi sempat K.An masak dan bekalkan dia nasi lemak berlaukkan ayam goreng berempah...
Resepi ni, K.An belajar daripada kakak K.An, K.T yang tinggal di Bandar Rinching semenyih masa 'pot-luck' buka puasa kat rumah dia 2 tahun lepas.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1/2 ekor ayam dibersihkan dan dipotong kecil-kecil

1 sudu besar biji ketumbar

1/2 sudu teh jintan manis(biji)

1/4 sudu teh jintan putih(biji)

1 batang serai

1/2 inci lengkuas

1/2 inci halia

1/2 inci kunyit hidup

garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Tumbuk semua bahan rempah ratus, halia dan lengkuas hingga halus. Boleh juga dikisar dengan pengisar kering.

2. Gaulkan ayam dengan garam hingga rata di dalam mangkuk. Campurkan dengan semua rempah yang ditumbuk tadi. Gaul rata dan perap 30 minit.

3. Selepas 30 minit, panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ayam beserta rempah dengan api sederhana hingga keperangan dan garing. Gunakan sudip berlubang supaya mudah mencedok rempah ratus yang digoreng sekali. Angkat ayam dan toskan.

Sedia dinikmati bersama nasi putih, nasi ayam atau nasi lemak.

** jika suka rempah yang banyak , gandakan sukatan bahan. Pastikan ayam adalah yang segar bagi mendapatkan ayam berempah yang enak.

Sambal Goreng Ikan Bilis Rangup

Setiap kali nak pergi melawat anak di asrama, otak pun ligat memikirkan masakan apa nak dibawa sebagai bekalan... Yelah.. kadang-kadang sedih juga bila masak sedap-sedap di rumah, teringat anak di asrama, makan lauk apa agaknya...? Tapi bila teringat pulak masa K.An sekolah asrama daripada tingkatan 1 sampai 5 dulu lagi susah, tak ada pelawat sebab jauh dari kampung, maka Iqbal, jauh lebih beruntung sebab, tiap-tiap minggu jumpa ibubapa dan adik-adik...

Minggu lepas, sebagai bekalan tambahn lauk di asrama, K.An buatkan sambal ikan bilis rangup ni sebab sambal ni memang kegemarannya. Yang istimewanya, kali ni, 'baby' kecik Maryam pun tolong Asma' kopek ikan bilis. Comel je... (tak boleh up-load video hari ni.. problem sikit..)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

100 gm ikan bilis siap dikopek dibasuh dan toskan

2 sudu besar cili kisar- pekat

2 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk halus

1 sudu teh air asam jawa

1 sudu besar gula

minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis dengan api sederhana hingga garing. Ketepikan.

2. Di dalam periuk lain, ambil 2 sudu besar minyak dari gorengan ikan bilis tadi dan panaskan. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan cili kisar. Tumis garing. masukkan sedikit air dan masukkan air asam jawa.

3. Bila sambal pekat, masukkan sedikit garam dan 1 sudu besar gula. Didihkan. Tutup api dan masukkan ikan bilis goreng. Gaul hingga sebati. Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas kedap udara. Kalau disimpan di dalam peti ais boleh tahan sampai sebulan.

Wednesday, February 4, 2009

Puding Roti dengan Buah-buahan

Beli roti, tapi tak sempat nak makan...? Esok dah sampai tarikh luput... Jangan panik. Buat puding roti, boleh hantar jiran sebelah.. makan dapat, pahala pun dapat. Tak membazir..lagi..

Resepi asal puding roti ni K.An pelajari daripada majalah 4 tahun lepas. K.An dah ubahsuai menjadi kurang gula, kurang garam, lebih serat dan lebih berkhasiat..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

6-8 keping roti

margerin secukupnya

4 biji telur saiz A

1 tin susu sejat/ cair

1/2 cawan gula pasir

1 biji buah lai- kupas kulit dan didadu

1/2 biji buah epal hijau-kupas kulit dan didadu

1 biji buah ceri merah dan 1 biji buah ceri hijau

1 sudu teh esen vanilla

sedikit serbuk kulit kayu manis- jika suka

Cara-cara membuatnya:


1. Lenserkan loyang segi empat panjang dengan margerin. Sapukan roti dengan margerin di satu bahagian sahaja. Susunkan ke dalam loyang. Buat hingga habis.

2. Pukul telur dengan gula hingga gula hancur. Perlahan-lahan, masukkan susu cair dan akhirnya masukkan esen vanilla.

3. Tuangkan ke atas roti, biar rata. Taburkan epal dan lai yang didadu tadi. Letakkan ceri dan serbuk kulit kayu manis.

4. Ketepikan 15 minit supaya kastard meresap ke dalam kepingan roti.

5. Panaskan oven ke suhu 180 darjah Celcius. Bakar puding roti menggunakan api atas dan bawah selama 30 minit atau puding keperangan dan berbau harum.

6. Sejukkan dan sedia dihidang.



Sotong Aneka Rasa

Jemu dengan sambal sotong? Cubalah resepi ringkas K.An ni...


Bahan-bahan: (Hidangan untuk 3 -5 orang)

500 gm sotong dibersihkan dan dipotong kecil
1/2 labu bawang besar dihiris membujur
2 ulas bawang putih diketuk
1 biji cili merah dihiris serong
1 sudu besar rempah kari dibancuh dengan sedikit air
1 biji telur

2 urat kacang panjang dipotong 1 inci panjang
sedikit serbuk kunyit

Cara-caranya:

1.Panaskan minyak dalam periuk. Tumis Bawang besar, bawang putih dan cili merah hingga wangi. Masukkan rempah kari. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan sotong dan sedikit serbuk kunyit. Kacau dan tutup periuk 2 minit. Buka tudung periuk, pecahkan telur. Masukkan kacang panjang dan kacau rata. Masak hingga kacang panjang lembut.

3. Masukkan garam secukup rasa. Kacau seketika dan tutup api. Sedia dihidang.

'Baby-Kailan' Goreng Belacan

Tak sempat nak cerita panjang sebab hari ni Maryam meragam sikit.. nak tumbuh gigi baru lagi. Jadi anak kangaroo dari pagi lagi.. Malam tadi pun tidur tak lena. Diringkaskan cerita, kalau hidangan sayur, insyaAllah sihat dan berkhasiat.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1 peket 'baby-kailan'

1 sudu teh udang geragau

sedikit belacan (sebesar hujung jari kelingking) ditumbuk bersama 2 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih

minyak untuk menggoreng

Cara-caranya:

1. Ceraikan sayur kailan dari batangnya. Rendam seketika dalam air untuk menghilangkan kotoran.

2. Potong sayur 1 1/2 inci panjang. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang dan belacan hingga wangi.

3. Masukkan udang dan sayur. Masukkan 1/4 cawan air. Tutup kuali 1 minit. Buka tudung dan kacau goreng sayur hingga layu sedikit. Masukkan sedikit garam dan gaul rata. Tutup api dan sedia dihidang.

*** sayur 'baby-kailan' hanya perlu digoreng sekejap sahaja bagi mengekalkan kerangupannya.

Monday, February 2, 2009

Sesegar Jus Pisang

Alhamdulillah, berkat RahmatNya dapat kita meneruskan kehidupan memasuki bulan Februari 2009.. Pagi tadi K.An menerima berita salah seorang adik K.An dimasukkan ke hospital kerana sedikit masalah kesihatan...
Insaf sebentar, betapa kita ni kadang-kadang, masa makan tu tak ingat nak jaga kesihatan. Apa yang di depan mata, semuanya bedal.. (peringatan untuk K.An sendiri). Bila dah sakit, baru nak muhasabah diri dan barulah nak berpantang itu ini.
Mengingatkan diri dan pembaca semua, maka bulan ini K.An mulakan dengan sajian seimbang jus pisang. Kaya dengan serat, vitamin, protein, kalsium dan karbohidrat. Sesuai juga disediakan sebagai sarapan untuk anak-anak sebelum ke sekolah.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 4-5 gelas)

4 biji pisang berangan masak saiz besar- kupas kulit
1/2 cawan susu segar (seeloknya)- kalau tiada boleh diganti susu cair
1 sudu besar susu pekat (pilihan)
1 sudu besar gula
2 cawan air masak/ mineral/ telah dirawat
1/2 cawan air batu (ais)

Cara-cara membuatnya:

1.Masukkan semua bahan ke dalam pengisar. Kisar hingga hancur dan sebati.
2. Tuangkan ke dalam gelas dan sedia dihidang.

**tambahkan air batu ketika menghidang, jika suka jus yang sejuk

Friday, January 30, 2009

Tiada Lagi Rahsia..Mee Abah

Alkisah tersebut ceritanya di sebuah pekan di utara Perak bernama Bagan Serai, tinggal sebuah keluarga yang amat dihormati penduduk sekitar iaitu keluarga Haji Abdullah dan Hajjah Siti Zainab atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Dolah dan Cikgu Zainab kerana kedua-duanya adalah pesara guru sekolah.

Selain terkenal kerana tugas mendidik anak bangsa, Cikgu Haji Dolah juga terkenal kerana perniagaan menyewakan van dan pengangkutan bas kilang suatu ketika dulu. Dipendekkan cerita, satu lagi sebab mereka terkenal adalah kerana mee abah yang hanya dihidangkan kepada tetamu di Hari Raya Aidilfitri saban tahun sejak berpuluh tahun dahulu..
Antara tetamu Cikgu Haji Dolah ialah arwah ayah K.An yang merupakan kawan baik cikgu Dolah yang kini bapa mertua K.An...he..heh..
Seingat K.An, masa K.An kecik-kecik lagi bila tibanya Hari Raya, arwah ayah yang bertandang ke rumah abah akan dibekalkan mee abah untuk kami sekeluarga nikmati di rumah. (Kami tak ke sana sebab jarak rumah ketika itu dikira jauh dan kami tiada pengangkutan untuk ke sana)

Kerana persahabatan yang terjalin itulah maka salah satu sebabnya K.An dan abang Azam disatukan... selain kami memang mengenali antara satu sama lain. Alhamdulillah ada hikmahnya kerana sehingga sekarang, hanya K.An yang mewarisi resepi mee abah ni...

Sementelah adanya blog periuktanah, ingin K.An kongsikan resepi mee abah untuk semua kerana takut tiada lagi yang mewarisinya kalau Abah dan K.An tak sempat memperturunkannya. Kan sayang, resepi yang istimewa dan sedap, tidak dapat dinikmati oleh orang lain hanya kerana nak menyimpannya sebagai harta 'ekslusif'...

Bersempena cuti Tahun Baru China baru-baru ni, K.An masak 'mee abah' dan menjemput jiran tetangga dan saudara mara terdekat datang ke rumah bagi menikmati sendiri mee abah, daripada air tangan K.An. Lebih kurang 50 pinggan dihidangkan... (termasuk 10 pinggan untuk A.Azam..he..heh)



Bahan-bahannya: (hidangan 30-50 pinggan)

10 bungkus mee kuning, dicelur, siram dengan air sejuk dan toskan

Kuahnya:
1 batang tulang kaki / 'gear-box' (berat lebih kurang 3 kg)
1 kg daging campur (gred 2) dipotong sederhana (1x1 inci)
300 gm udang putih/ harimau saiz kecil- dibersihkan dan dikisar tanpa dibuang kulit dan kepala
3-5 biji kentang dikupas kulit dan dikisar
3 ketul tauhu putih dilecek/ hancurkan
2 ikat sawi dipotong 2 inci panjang
1 kg sos cili (K.An guna sos kimball dalam peket)
1/2 cawan sos tiram
1/2 cawan sos tomato
1 cawan kicap manis
1 cawan kacang tanah yang telah disangrai, dan dikisar halus
50 sen daun sup dan bawang dipotong 1 inci

3 bungkus sup bunjut/ sup bunjut tulang

Bahan tumisan:

10 ulas bawang merah dihiris nipis

5 ulas bawang dihiris nipis

4 inci halia dipotong kecil dan diketuk

Kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih secukupnya

Cara-cara membuatnya: (masak waktu malam)

1. Rebus tulang 'gear-box' bersama daging dalam 10 liter air (lebih kurang) selama 4 jam. Gunakan api sederhana. Masukkan sup bunjut dan didihkan lagi. Tumis bahan tumisan didalam kuali lain sehingga bawang keperangan dan tuang ke dalam sup.

(Kalau nak makan sup gear-box dah boleh dah ni, tapi masukkan garam berasingan di dalam mangkuk lain)

2. Sup tadi hendaklah sentiasa dibiar di atas api perlahan sepanjang proses memasak. Masukkan sos cili, sos tiram, kicap dan bahan-bahan lain (sawi, udang, kacang, tauhu, kentang, daun sup)ke dalam sup. Didihkan lagi dan masukkan garam secukupnya.

3. Sekiranya kuah nampak terlalu pekat, tambahkan 3 cawan air lagi. Tutup periuk dan renehkan kuah di atas dapur dengan api perlahan 1 jam lagi. Tutup api, dan buka sedikit tudung periuk agar kuah menyejuk sebelum dirapatkan tudungnya.

Keesokan paginya didihkan lagi kuah agar, rasa kuah sebati dan makin pekat.

Bahan-bahan ditabur di atas mee:

5 biji tomato dihiris nipis

13 biji telur direbus, dikupas kulit dan dibelah 4

5 biji kentang sederhana besar direbus bersama kulit hingga empuk. Kupas kulit dan potong sederhana nipis

5 tangkai cili merah dihiris nipis

10 biji limau kasturi dibelah 2

50 sen tauge dicelur sebentar

5 keping tauhu digoreng dan dipotong dadu kecil

Daun sup dan bawang secukupnya dihiris halus

Bawang goreng secukupnya

Cara menghidang:

Masukkan mee ke dalam pinggan. Taburkan bahan hiasan dan tuangkan kuah ke atas mee. Lagi banyak kuah lagi sedap... Pastikan limau diperah ke dalam mangkuk kerana rasanya bertambah sedap dengan perahan air limau.

Teringat K.An, ketika kami di SBPI Rawang, mee abah memang terkenal di kalangan guru-guru yang pernah merasa kesedapannya dan satu ketika, K.an masak istimewa mee abah untuk kumpulan In-Team yang datang memberi kursus motivasi kepada pelajar SBPI Rawang...

Selamat mencuba dan mudah-mudahan resepi ini akan menjadi sebahagian amal jariah Keluarga Cikgu Dolah kepada semua pembaca blog periuktanah. (Kepada yang tak sempat masak sendiri, boleh tempah je dengan K.An dengan saiz hidangan di atas)

Thursday, January 29, 2009

Pai Pisang

Bagi yang menggemari hidangan berasaskan pisang, sesekali pelbagaikanlah resepi. Tentu anak-anak suka. Pai pisang ni K.An reka sendiri berpandukan resepi pai yang lain (seperti pai strawberi, pai ceri, dan pai labu) daripada buku resepi dan rancangan di televisyen. Mudah dan enak.


Bahan-bahannya: (hidangan untuk 6 orang)
Kulit Pai
150 gm tepung gandum diayak
1/2 sudu teh gula aising
65 gm mentega sejuk didadu
45 ml air ais
Cara-cara:
1. Campurkan tepung, gula dan mentega. Gaul ramas hingga menjadi serbuk roti. Campurkan air dan uli hingga menjadi doh. Masukkan ke dalam plastik dan simpan dalam peti sejuk selama 20
minit.
2. Sediakan loyang pai berukuran 8 inci. Lenserkan dengan margerin. Keluarkan doh daripada peti sejuk dan canai mengikut saiz loyang. Letakkan ke dalam loyang. Cucukkan dengan garpu untuk menghilangkan gelembung udara ketika memasak. Panaskan oven ke suhu 200 darjah C. Masukkan loyang dan bakar selama 10 minit.
Kastard:
1 biji telur
2 biji kuning telur sahaja
3 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam
1 cawan susu sejat
Topping
5 biji pisang awak/ emas dihiris nipis
1 sudu besar gula pasir/ perang
Cara-cara:
1.Pukul semua bahan menggunakan 'whisk' hingga sebati. Masukkan ke dalam periuk. Masak di atas api perlahan hingga campuran pekat. Kacau sentiasa agar tidak hangus.
2. Tutup api dan tuang kastard ke atas doh pai. Susun hirisan pisang di atas kastard dan taburkan gula pasir di atas pisang. Turunkan suhu ke 160 darjah dan bakar pai selama 20 minit.
Keluarkan dan sejukkan sebelum dihidang.

Cucur Jagung

Jagung manis ni, selain sesuai dimakan begitu sahaja dengan direbus, dikukus atau dibakar, sedap juga kalau dibuat bubur jagung dan cucur jagung. Selain tidak bermusim, jagung senang didapati samada di pasar-pasar basah, pasar malam ataupun di pasaraya.

Di kampung K.An, jagung ditanam di batas-batas sawah dan di tepi-tepi taliair sebagai tanaman kontan sebelum tibanya musim menuai padi. Masa K.An kecik-kecik dulu, sekali tiba musim menuai jagung, sekali petik dapat seguni... memang puas makan anak-beranak.

Maka sebab itulah, daripada dulu-dulu lagi K.An dah biasa sangat dengan makanan dan kuih- muih berasaskan jagung. Cucur jagung ni pula sedap dimakan panas-panas dengan sos cili samada waktu pagi ataupun petang. Kalau makan ramai-ramai, sambil berebut-rebut, paling kurang 3 adunan baru cukup...


Bahan-bahannya: (untuk hidangan 3-5 orang)

1/2 tongkol jagung dihiris isinya (kalau kecil, guna 1 tongkol)

1/2 labu bawang besar dihiris nipis

1 cawan tepung gandum

1 biji telur ayam

1 sudu teh garam

1 sudu besar udang kering (geragau) ... boleh diganti dengan udang putih dihiris halus atau udang kering biasa ditumbuk halus

120 ml air (lebih sedikit daripada 1/2 cawan)

Cara-caranya:

1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk dan gaul sebati.

2. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Jemputkan adunan dan goreng hingga keperangan. Ulang hingga adunan habis.

3. Sedia dihidang panas-panas bersama sos cili yang dicampur sedikit air dan gula pasir.

Wednesday, January 28, 2009

Keledek dan Pisang Goreng Rangup

Minum petang dengan sajian pisang goreng, keledek goreng atau cempedak goreng sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia. Sebabnya sajian ini mudah didapati samada dibeli siap di gerai-gerai di tepi jalan atau disediakan sendiri di rumah. Tambah pula kalau musim hujan. Pekena teh o panas atau kopi o panas dengan pisang goreng, memang tak cukup sepinggan..

Walaupun mudah, tapi tak semua yang tahu macamana nak menyediakan bancuhan tepung yang rangup bila digoreng dan dihidang. Ada yang guna tepung rangup yang dah siap dijual, ada yang guna tepung beras campur air kapur, ada yang guna tepung gandum campur tepung beras dan pernah juga K.An belajar dengan seorang kawan, guna tepung beras campur perahan air limau nipis.
Resepi yang K.An beri ni, yang mudah sahaja..:


Bahan-bahan:(hidangan untuk 2 orang)

5 biji pisang awak separa masak dikupas kulit dan belah dua

2 sudu besar tepung gandum

1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi

1 sudu besar tepung beras

1/2 cawan air

1/4 sudu teh garam

****( sudu besar penuh)

Cara-cara:

1 Bancuhkan adunan di dalam mangkuk dan gaul hingga sebati. Masukkan pisang dan gaul rata.

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng pisang hingga keperangan.

3. Hidangkan ketika masih panas. Pisang goreng akan kekal rangup sehingga 20 minit selepas digoreng dan diletak di dalam pinggan.

*** Gunakan sukatan sama untuk keledek tetapi hiris keledek nipis-nipis dan hidangkan keledek goreng dengan madu atau gula.

Wednesday, January 21, 2009

Citarasa semua... Nasi Ayam

Setelah hampir seminggu bercuti dari menulis di blog ni, K.An kembali dengan resepi nasi ayam yang juga mudah dan cepat disediakan. Hasilnya juga.. enak dinikmati bersama keluarga mahupun tetamu yang datang bertandang. Tak sempat nak fikir lauk apa nak masak, nasi ayam adalah jalan penyelesaian yang mudah.

Nasi ayam adalah antara resepi terawal yang K.An pelajari bukan daripada mak. Masa tu K.An belajar di Pusat Matrikulasi UIA dan belum ada adik-beradik lain yang tinggal di Kuala Lumpur. Yang ada emak dan bapa saudara pupu (sepupu)- anak kepada arwah Toksu K.An. Salah seorangnya, Makcik Arbaayah yang tinggal di Selayang Baru, dekat dengan Pasar Borong Selayang. Memandangkan senang dapat bas ke sana, di hujung minggu kalau tak ada program luar, K.An akan naik bas dekat Bankok Bank menuju ke Selayang Baru.

Di kesempatan hujung minggu tulah K.An belajar masak nasi ayam yang belum pernah dipelajari di kampung sebab dulu-dulu tak ada orang kat kampung yang tahu buat nasi ayam. (nasi ayam datang daripada pengaruh masyarakat cina di bandar). Alhamdulillah sejak tahu resepinya, dapatlah K.An sesekali pulang ke kampung, K.An masak untuk mak, arwah ayah dan keluarga.

Dalam tempoh hampir 20 tahun, pelbagai nasi ayam telah K.An jamah. Antara yang paling K.An ingat kesedapannya:
Nasi ayam kat medan selera seksyen 11 S.Alam- sosnya sedap
Nasi ayam dan nasi goreng ayam melaka di medan selera seksyen 14 P.Jaya- dulu-dulu selalu ulang beli
Nasi ayam di medan selera Tesco Saujana Impian - ada bau daun ketumbar-sedap
Nasi ayam Rasamas (dulunya Ayamas) -ayam 'black-pepper')dan sosnya sedap juga
dan yang terbaru K.An rasa nasi ayam Chef Sabri di Seri Teja presint 9.. lain sebab ada sos black-pepper.
Walau apapun, yang asas tetap sama; ayam, sup, sos, kicap dan ulam-ulamannya:
Resepi ni adalah yang pertama K.An belajar dan tak banyak diubah...


Bahan-bahannya: (untuk hidangan 5 orang/ 5 pinggan)

A) sup

1/2 ekor ayam-dibersihkan- direbus hingga empuk bersama 1 bungkus sup bunjut adabi dan 10 cawan air. Letakkan garam secukup rasa.Ketepikan dulu.

5 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1 inci halia dihiris halus

2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih dan 3 biji buah pelaga

5 sudu besar marjerin

daun sup dan bawang secukupnya

Cara-caranya:

1. Masukkan margerin ke dalam kuali. Tumis bawang dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan.

2. Bahagi dua bahan yang ditumis tadi. Satu bahagian bersama minyaknya dimasukkan ke dalam periuk nasi. Satu bahagian lagi dituang ke dalam sup ayam tadi.

Nasi:

1. Cuci 2 1/2 cawan beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk berisi bahan tumisan. Masukkan 5 cawan air sup dan masak nasi seperti biasa. Kalau suka nasi yang berwarna kuning, tambahkan sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk nasi.

Ayam:

1.Keluarkan ayam daripada sup dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan 1/2 cawan sup ke dalam mangkuk.Tuangkan kicap manis secukupnya. Terbalikkan ayam agar kicap rata. Perap 15 minit.

2. Selepas 15 minit, keluarkan ayam dan goreng dalam minyak banyak. Asingkan kicap dan masukkan ke dalam mangkuk lain untuk dihidang bersama nasi nanti. Goreng sebentar sahaja (sehingga nampak ayam berkilat) bagi mengelakkan ayam keras.

3. Angkat ayam dan potong 5 bahagian.

***boleh ditambah madu atau lada hitam yang ditumbuk semasa proses memerap ayam untuk kelainan rasa

Sos:

Masukkan 3 sudu besar sos cili, 1/2 biji tomato, 2 biji cili merah, 1 biji cili padi dan 1/2 cawan air ke dalam pengisar. Kisar bahan hingga hancur dan sebati. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk. Tambah garam dan gula secukup rasa. (jika suka rasa bawang putih, masukkan 1 ulas kecil bawang putih semasa mengisar)

Akhir sekali panaskan sup dan taburkan daun sup dan bawang sebelum dihidang. Sediakan ulaman seperti timun, salad dan tomato.

Tuesday, January 20, 2009

Malas Memasak..? Sambal Telur Pun Sedap..

Tinggal di kawasan yang cukup semua prasarana macam rumah K.An ni mencabar juga.. Semuanya dekat tak sampai 5 minit berjalan kaki.. Medan selera, kedai mamak, Bakers Cottage semua depan mata. Kalau malas berjalan angkat telefon, telefon je Domino Pizza... Broom.. sampai kat depan pintu... memang mencabar kerajinan memasak.

Tengahari, Abang Azam tak balik makan, anak-anak pula kalau balik sekolah semua nak cepat, sebab nak ke sekolah agama pulak. Nak kena makan yang mudah je. Disebabkan malas nak masak yang remeh-temeh, K.An buat je sambal telur.. Anak-anak suka tak kira masa. (kalau ada baki sambal nasi lemak pagi tadi, lagi senang, goreng telur, gaul je dengan sambal...ha..dah siap)


Disebabkan tak ada sambal nasi lemak, K.An buat sambal baru lah..

Bahan-bahan (hidangan untuk 3 orang)

3 biji telur- digoreng garing satu persatu, pecahkan kuning telur semasa menggoreng- ketepikan

Bahan sambal:

segenggam ikan bilis siap dikopek

3 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk halus

1/2 cawan cili kisar

1 sudu besar air asam jawa-cair

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Masak hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa. Masukkan garam dan gula. Didihkan dan tuang sambal ke atas telur goreng... siap.
Alhamdulillah, dalam malas-malas pun dapat masak juga...

Monday, January 19, 2009

Agak Remeh Tetapi Berbaloi..Ayam Merah Kukus

Ada banyak sebab kenapa wanita gemar membeli majalah.. Ada majalah keluarga, ada majalah fesyen, ada majalah hiburan dan ada majalah hiasan dalaman... Apa yang dibeli adalah mengikut apa yang ingin dibaca dan dilihat. Ramai juga yang membeli majalah hanya kerana nak baca resepi yang ada di dalamnya..

K.An pun kalau belek majalah keluarga, ruangan yang K.An selak dulu ialah ruangan resepi. Kalau ada yang menarik dan baru, K.An akan beli majalah tu. Tapi tu dulu-dulu lah.. Sekarang dah jarang sangat beli sebab banyak lagi keperluan anak yang nak dipenuhi. Jadinya, sekarang K.An cuma belek majalah lama dan cuba resepi-resepi yang ada dalam koleksi buku resepi peribadi.
Resepi ayam merah kukus ni, K.An dapat daripada Majalah Mingguan Wanita lebih kurang 4 tahun lepas. Masa tu bulan puasa juga (selalunya bulan puasa kena pelbagaikan resepi supaya semuanya berselera nak makan sahur)... Dalam majalah tu, ayam ni dimasak seekor terus, tapi untuk memudahkan anak-anak makan, K.An potong kecil-kecil sebab rasanya tetap sama.

Dah banyak kali menu ni K.An hidangkan untuk saudara-mara dan kawan-kawan... semuanya suka tetapi bila dengar cara memasaknya ada 3 peringkat, (goreng, masak dan kukus)resepi tinggal resepi... tak ada lagi yang cuba masak sendiri di rumah.

Percayalah.. walaupun nampak remeh, tapi bila selalu buat, senang je dan kalau masak ayam merah kukus, dah cukup dimakan dengan nasi. Tak perlu lauk lain lagi...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

A)

1/2 ekor ayam (dipotong 5)

2 sudu besar tepung jagung

sedikit garam dan kunyit

minyak untuk menggoreng


Cara-cara:

1.Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit hingga rata. Taburkan tepung jagung dan gaul hingga sebati. (seperti dalam gambar). Goreng hingga kekuningan dan ketepikan.


B) Bahan-bahan masak merah
5 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1 sm halia- dikisar halus
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato/ 1/2 biji tomato dicincang
1 batang serai
1/4 cawan santan pekat/ 1/4 cawan susu cair
1 biji kentang, kupas kulit dan belah 8
garam, gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bahan yang ditumbuk hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar. Tumis 1 minit. Masukkan sos cili, tomato/ sos tomato dan serai. Tambah 1/2 cawan air.
3. Masukkan kentang dan santan. Masak hingga kentang empuk. Masukkan ayam dan gaul rata. Biar 1 minit dan tutup api.
Cara mengukus:
1.Sediakan 2 keping pembungkus aluminium (agak cukup untuk membalut ayam). Panaskan air dalam pengukus.
2. Keluarkan ayam dan kentang daripada periuk dan masukkan ke dalam pembungkus aluminium.Curahkan sedikit kuah ke atas ayam. Balut ayam dan masukkan ke dalam pengukus. Kukus 15 minit dengan api kuat.
3. Selepas 15 minit, keluarkan ayam dan hidang dengan nasi bersama baki kuah masak merah.

Sunday, January 18, 2009

Hidangan Mewah Di Rumah- Apple Crumble

Sekiranya ada yang nak taja K.An sambung belajar, ada dua bidang yang K.An nak ambil. Yang pertama, kaunseling dan yang kedua,' pastry'. K.An suka sangat pelbagai hidangan pencuci mulut, kek, manisan, pai dan puding. Kalau ada peluang makan di hotel, K.An cari yang tu dulu.. Setakat hari ini banyak jenis kuih-muih, kek, puding,mafin dan pai yang K.An dah cuba buat. Banyak juga yang diulang berkali-kali sebab anak-anak suka.

Mungkin kalau masa zaman K.An kat sekolah menengah dulu, bidang masakan dan katering ni popular macam sekarang, tentu K.An dah sambung belajar dalam bidang tu. Baru pagi tadi K.An tengok cerita pasal 'World's Richest People' salah seorangnya adalah chef berasal dari Peranchis yang membuka perniagaan coklat di New York. Baru berumur 48 tahun tapi bernilai 25 billion Dolar US... Wauu..

Dulu-dulu, tak ada cerita tukang masak jadi kaya-raya.. tu sebabnya tak tau..he..heh. Sekarang, bila duduk di rumah, semua rancangan masakan K.An tengok. Yang ada Bob Blumer, Jamie Oliver, Chef Skuter, Chen Kenichi, Anna Olsen, Nigella, chef in Black... semua K.An suka. Yang kat Malaysia, no.1 mesti Chef Wan.. sebab dia ni kalau masak, terangkan caranya sampai kita faham betul. Yang lain K.An suka, Chef Liza, Chef Sabri dan Norzailina Nordin.

Resepi 'Apple Crumble' ni, K.An tengok sambil lalu masa sahur puasa tahun lepas. Rancangan memasak bersama MM VitaOil. Puan Norzailina yang masak.Tak salin pun resepinya, tapi sempat tengok bahan dan dicuba.. Sedaap...3 kali K.An buat untuk makan berbuka puasa tahun lepas. Tapi K.An dah ubahsuai sedikit sebab, kalau Puan Lin baca resepi ni, tak sama pulak macam dia buat... anyway, terima kasih Puan Lin, Apple Crumble ni memang sedap..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-10 orang)

A) Intinya:

4 biji epal hijau, dikupas kulit dan dipotong dadu

1 biji buah lai (XL- kalau saiz kecil, guna 2 biji)-dikupas kulit dan didadu juga

1/2 cawan gula

1/3 cawan air

1 batang kulit kayu manis (1 inci)

Cara membuatnya:


1. Campurkan buah-buahan tadi di dalam periuk. Asingkan 1 cawan dan ketepikan dulu. Masukkan gula, air dan kulit kayu manis ke dalam periuk dan masak inti menggunakan api sederhana.

2. Apabila mendidih kacau sentiasa inti, hingga sebati. Apabila epal hancur dan hampir pekat, keluarkan kulit kayu manis dan masukkan 1 cawan buahan tadi ke dalam periuk (supaya inti ada rasa rangup apabila dikunyah)

3. Apabila inti pekat, tutup api dan ketepikan dulu.

Bahan-bahan 'crumble':

1 1/2 cawan tepung gandum

100gm margerin

1 cawan nestum original dewasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan tepung dan margerin ke dalam mangkuk. Gaul ramas menggunakan hujung jari hingga menjadi serbuk roti.

2. Masukkan nestum dan gaul rata.

3. Sediakan loyang empat persegi 18 sm x 18 sm. (loyang bulat pun tak apa) Lengserkan dengan margerin. Panaskan oven ke suhu 180 darjah api atas dan bawah.

4. ambil 1 1/2 cawan adunan crumble dan ratakan di dalam loyang. Jangan ditekan. Masukkan kesemua inti dan ratakan. Akhir sekali ambil lebihan 'crumble dan ratakan menutupi semua inti.

5. Masukkan loyang di rak bawah sekali dan bakar lebih kurang 20 minit pada suhu 190 C, atau hingga Apple Crumble berbau wangi.

Apabila masak, sejukkan sebelum dipotong dan dihidang bersama sos kastard.

Cara membuat sos kastard:

Masukkan 1 tin susu cair, 2 sudu besar gula dan 2 sudu besar tepung kastard di dalam 'blender' . Kisar 1 minit. Tuang ke dalam kuali atau periuk dan masak hingga hampir pekat. Gunakan api perlahan dan kacau sentiasa agar tidak hangus. Jangan masak hingga pekat sangat, agak-agak cantik dituang... ke atas 'Apple Crumble'.. Selamat Mencuba..

Saturday, January 17, 2009

Cucur Badak dan Kuih Gelang (Keria)

Kuih Keria dan Cucur Badak ni dah menjadi kegemaran K.An adik-beradik sejak kecik-kecik lagi. Yang paling K.An ingat, Kak N dan Kak Mah selalu beli dua jenis kuih ni dari pasar malam Parit Buntar yang sangat terkenal di kawasan kami Daerah Kerian. Bersempadan dengan Bandar Bharu, Kedah dan Seberang Prai, P.Pinang, menjadikan pasar malam P.Buntar menjadi tumpuan beribu pengunjung setiap petang Jumaat.

Masa K.An kecik-kecik dulu (belum sekolah lagi) pasar malam ni letaknya di sepanjang sungai Kerian di pekan Parit Buntar. Luas sangat.. dan sekarang, setelah tepi sungai dicantikkan menjadi tempat rehat yang lebih selesa, pasar malam Jumaat ni mengambil tempat di tengah pekan lama Parit Buntar. Namun tetap meriah macam dulu-dulu juga.

Berbalik cerita kuih cucur badak dan keria.. Dulu-dulu kuih cucur badak berharga 20 sen adalah sebesar tapak tangan dan kuih keria pun kalau nak makan kena potong 4.. kami panggil kuih tayar lori sebab saiznya yang besar.. Yang istimewanya rasanya yang sedap, lembut dan asli.

Kalau ditanya daripada siapa K.An belajar buat kuih ni..? Mestilah daripada mak K.An (Hajah Selamah).. memang pakar buat kuih tradisi.. Kalau kami sekeluarga, sekali buat, satu talam besar baru cukup.. tapi saiznya comel-comel, baru senang nak makan...

Untuk periuktanah K.An buat satu adunan dan kemudian dibahagi 2:

Bahan-bahan: ( menghasilkan 8 biji cucur badak dan 6-8 biji keria)

500 gm keledek- dikupas kulit dan potong sederhana besar
1 cawan tepung gandum

Cara membuat doh:

1. Rebus keledek dalam air yang banyak sehingga empuk. Toskan dan lecek hancur menggunakan penekan daging burger. Kalau tak ada, boleh guna belakang senduk. (Buat ketika keledek masih panas). Sejukkan 5 minit.
2. Masukkan keledek ke dalam mangkuk. Campurkan tepung sedikit demi sedikit dan uli hingga sebati. kalau masih melekat-lekat, jangan tambah terlalu banyak tepung tetapi, taburkan tepung di tapak tangan ketika membentuk kuih. (ada jenis keledek yang berair, tapi kalau keledek yang K.An beli ni, inilah sukatan yang tepat)

3.Apabila doh sebati, bahagi dua. satu untuk keria, satu untuk cucur badak.

Bahan-bahan inti cucur badak:

1 cawan kelapa putih

15 ekor udang putih - bahagi 2, sebahagian dihiris kecil-kecil, sebahagian dibiar seekor-seekor

1 batang serai-dititik dan tumbuk halus

1 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk halus

sedikit serbuk kunyit

2 sudu besar cili kisar

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang tumbuk dan serai hingga wangi. Masukkan udang yang dihiris kecil dan cili kisar. Kacau seketika. Masukkan kelapa dan sedikit serbuk kunyit. Masukkan garam dan gula. Kacau rata.

2. Masukkan 1 sudu teh garam dan gula (anggaran 1 sudu besar). Gaul hingga kelapa sebati dengan semua bahan lain. Tutup api dan bolehlah dimasukkan ke dalam doh.

Cara membuat cucur badak:

1. Bulat-bulatkan doh sebesar bola ping-pong. Tekan leper dan isi inti secukupnya. Tutup kuih dan bulatkan kembali. Tekan sedikit menjadi bentuk cucur badak dan letakkan udang di atasnya. Buat hingga habis.

2. Goreng kuih hingga keemasan. Cara membuat kuih Keria:

1. Bentukkan bulat sebesar bola golf. Tekan leper dan buat lubang di tengahnya. Bentukkan menjadi kuih keria.

2. Buat hingga habis dan goreng hingga keemasan. Ketepikan.

Cara membuat sira gula:

1/4 cawan gula pasir dicampur 1/4 cawan air. Masukkan dalam kuali dan kacau hingga mendidih. Gunakan api sederhana. Kacau sentiasa hingga air gula agak pekat. Perlahankan api tapi pastikan air gula sentiasa mendidih. Masukkan semua kuih keria dan terus mengacau hingga menjadi sira. Tutup api. dan sejukkan kuih.

Friday, January 16, 2009

Mee Goreng Mamak

Kami sekeluarga jarang sangat pesan mee goreng di kedai kecuali mee goreng mamak. Sebabnya, jarang sekali dapat yang betul-betul puas di tekak dan puas di hati. Selalunya kalau nak makan mee goreng basah, K.An masak sendiri ( nanti K.An kongsi resepinya sebab dah masak hari tu, tapi habis licin sebelum sempat ambil gambar) dan kalau nak makan mee goreng mamak, barulah kami makan di ...kedai mamak.. memang lain rasanya. Lagipun itulah peluang nak rehat memasak dan makan di kedai.. ye tak? he..heh..

Yang ini rasanya macam mee goreng mamak tapi dimasak oleh ummi Raihan... Yang 'special'nya mee kuning ni dibuat sendiri oleh adik K.An (Raidah) hasil kursus membuat mee yang dihadirinya. Untuk mee kuning Ateh ni, K.An bagi 5 bintang..

Bahan-bahan: (hidangan 5 pinggan)

1 bungkus mee kuning- dicelur dengan air panas seketika,toskan)
2 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
5 ekor udang harimau (kalau kat kedai tak ada udang)
1 biji telur
1 keping tauhu lembut dihancurkan
segenggam taugeh
2 tangkai sawi dipotong 1 inci

1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar cili kisar
sedikit kicap manis dan kicap masin ikut rasa
limau kasturi untuk diperah airnya di atas mee

bawang goreng untuk ditabur
*** jangan letak garam ketika menggoreng mee kerana mee dah masin dan kicap juga dah masin


Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. (Gunakan api besar untuk hasil yang memuaskan) Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan sawi, kicap dan udang. Goreng seketika.
3.Masukkan tauhu yang dihancurkan, telur dan taugeh. Masukkan mee dan kacau cepat-cepat.
4. Tambah kicap manis jika perlu. Kacau rata dan tutup api. Hidang bersama bawang goreng dan limau kasturi.

Thursday, January 15, 2009

Aneka sayur

Bila kita memasak untuk keluarga, ingatlah bahawa diri kita adalah apa yang kita makan... Makanan seimbang penting untuk kesihatan. Lebihkan sayuran dan makanan berserat. Lagipun memasak sayuran ni, mengambil masa yang singkat dan boleh melatih anak ke dapur... Kalau K.An, masa nilah K.An minta bantuan Asma' dan Sarah potong sayur sebab kerjanya mudah dan menyeronokkan.. (budak-budak suka buat kerja orang dewasa..he..heh)



Sayur campur tumis air (jenis sayur boleh ditambah ikut citarasa)

Bahan-bahan:(hidangan untuk 3 orang)

200 gm bunga kobis dipotong ikut suka

sedikit sayur sawi dipotong 1 inci panjang

200 gm cendawan tiram dicarik-carik

5-10 ekor udang putih

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dalam periuk/ kuali. Tumis bawang merah dan putih seketika. Jangan sampai perang. Masukkkan udang, kacau sedikit dan terus masukkan sayuran.

2. Masukkan 1/2 cawan air. Tutup periuk 1 minit. Buka tudung periuk, masukkan sedikit garam. Kacau sedikit dan tutup api.

Sedia dihidang.

Labu Air Rebus (orang Banjar kata, Gangan Labu Ayaq)

Bahan-bahan:(hidangan untuk 3 orang)

1/2 biji labu air- kupas kulit dan potong 1/2 sm tebal
1 labu bawang besar dihiris nipis membujur
5-10 ekor udang putih
garam sebukup rasa
suun (direndam 2 minit)-kalau suka

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang dan udang hingga bawang layu.
2. Masukkan 1 cawan air (atau lebih). Masukkan labu air dan tutup periuk. Biar mendidih dan labu empuk(warnanya bertukar jernih)
3. Masukkan suun dan sedikit garam. Tutup api bila suun lembut. Sedia dinikmati.

Bayam Tumis dengan Lobak Merah

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

sedikit ikan bilis telah dikopek

1 ikat bayam dibersihkan dan dipetik daun dan batang yang lembut sahaja

1/2 batang lobak merah dihiris nipis

1 biji cili merah dihiris serong

garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang dan ikan bilis hingga wangi. Masukkan 1/4 cawan air.

2. masukkan sayuran. Kacau sedikit dan tutup periuk 1 minit. Masukkan garam.

3. Kacau rata sayur dan tutup api bila sayur sudah masak.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin