Thursday, July 21, 2011
Kuih Kalakatar lagi... 'febret' di bulan puasa
Monday, May 2, 2011
Nasi Antah (Talam Nasi)
tak apalah, asalkan kita tak kelaparan, bersyukurlah dengan nikmat yang Allah berikan.
Hari ni K.An sambung tugasan di periuktanah yang dah sebulan K.An tinggalkan. Tugas memasak tak tinggal tau....!! hari-hari masak, cuma tak masuk blog je. Ok.... kita mulakan dengan resepi orang Banjar warisan mak K.An yang tercinta. Sesuai untuk mereka yang suka kuih Seri Muka, tapi tak tahan dengan pulut...( asal makan pulut je, angin naik satu badan), boleh le cuba kuih ni... Orang banjar yang kreatif, sediakan resepi alternatif... tak kurang sedapnya..
Bahan-bahan- (adunan sesuai untuk loyang berdiameter 7 1/2 inci atau 20 sm lebih kurang)
Bahan lapisan bawah:
1/2 cawan beras- rendam dalam 1 cawan air selama 2 jam- toskan
1/2 cawan kelapa putih- dapat yang muda macam nak buat inti tu lagi sedap
1/2 cawan santan cair
sedikit garam
Lapisan atas:
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1 cawan air gula melaka atau gula merah ( K.an masak 1 keping gula melaka dengan 1 cawan air hingga gula cair)
1 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
1 1/2 cawan santan sederhana pekat
1 sudu besar gula pasir (ikut citarasa manisnya)
Cara membuatnya:
1. Panaskan pengukus. Tumbuk kasar beras yang telah direndam dan ditoskan tadi.. Gaulkan dengan kelapa dan ratakan di dalam loyang. Tuangkan santan yang telah dicampur garam. Kukus selama 15 minit. Keluarkan dari kukusan dan jika nasi telah masak (terus mengukus jika nasi belum masak), gaul semula hingga rata. tambah garam jika belum cukup masinnya. Tekan padat nasi menggunakan belakang senduk seperti buat seri muka.
2. Campurkan semua bahan lapisan atas di dalam mangkuk menggunakan whisk. Tapiskan ke atas lapisan nasi dan kukus selama 15-20 minit. Kuih masak sempurna jika kita golekkan loyang ke kiri dan kanan, bahagian tengan kuih mantap.
3. Sejukkan kuih sebelum dipotong dan dihidangkan.
Tuesday, April 13, 2010
Kuih Koci Sagu


Monday, July 27, 2009
Penakok- kuih Banjar untuk Berbuka

Wednesday, February 25, 2009
Sajian Banjar pemanis mulut..Batil Berkepala (Talam Pisang)
Banyak kali K.An cuba, hasilnya... setiap kali buat lain jadinya... Sudahnya macam biasa K.An sukat betul-betul berapa banyak tepung, air, santan gula dan bahan-bahan lain supaya rasanya tak lari dan hasilnya konsisten setiap kali dibuat.
Mungkin kita orang sekarang ni, dah tak terang hati macam orang dulu-dulu. Cepat lupa, lambat belajar. Tapi tak apalah, bagi yang nak belajar pelbagai kuih talam tradisi, yang mana K.An dah buat bolehlah dikongsi di periuktanah.
Kuih Batil Berkepala (bahasa Banjar) memang sedap dan kalau kukus seloyang, sekali hidang...liciiin... Kalau malas nak buat dua lapis boleh buat Kuih Batil sahaja... adunan pisang di bawah dan kukus. Tapi sukatannya berbeza sedikit sebab perlu ditambah gula dan santan agar lebih manis dan lemak.
Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)
Lapisan bawah:
8 biji pisang awak/ emas masak dikupas kulit dan dilecek halus
1 1/2 cawan santan -sederhana pekat
1/2 cawan tepung beras
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula
Caranya:
1. Campurkan semua bahan hingga sebati di dalam mangkuk. Panaskan pengukus hingga air mendidih.
2. Tuang adunan ke dalam loyang bulat berdiameter 20 sm. Ratakan. Kukus selama 15 minit dengan api kuat.
Lapisan atas: (sementara bahagian bawah dikukus, sediakan lapisan atas)
Bahan-bahan:
2 biji telur
1/2 cawan air gula melaka/ gula merah
1 cawan santan sederhana pekat
1/2 cawan tepung beras
3 sudu besar tepung gandum
3-4 sudu besar gula putih
Cara membuat:
1. Masukkan kesemua bahan di dalam pengisar. Kisar hingga sebati lebih kurang 2 minit.
Selepas 15 minit bahagian bawah dikukus, tuangkan adunan lapisan atas dan kukus 20 minit atau sehingga masak.
Tutup api dan keluarkan loyang daripada kukusan. Sejukkan sebelum dipotong. Jika nak cepat sejuk, masukkan loyang kuih ke dalam talam atau dulang berisi ais/ air sejuk.
***kuih ini boleh juga dibuat waktu malam dan dihidang pagi keesokannya.
Friday, January 2, 2009
Banjar Jua..Kalakatar
Dulu-dulu, mak K.an selalu buat sebab arwah ayah suka air kelapa muda, suka kalakatar dan rajin kait kelapa muda kat pokok. Bila arwah ayah meninggal, dah takde yang rajin dan jaranglah kuih ni dibuat...
Bila keluar cerita kalakatar kat majalah 3 masa bulan puasa baru ni, terdetik di hati K.An, bagus juga kalau kongsi resepinya supaya tak hilang ditelan zaman. Kena pulak ceritanya di kampung K.An (Batu 5).. jadi elok sangatlah kalau resepinya datang dari situ juga.
Macam biasa kalau tanya mak, jawapannya agak-agak je. Jadi K.An dah cuba beberapa kali dan hasilnya kuih kalakatar yang telah di cop LULUS oleh Hajah Selamah..ibu tercinta.
Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang... tapi kalau K.an, sorang pun habis..hi..hih)
1 sudu besar tepung gandum
1 cawan tepung beras
3 cawan air kelapa muda -diambil daripada 1 biji kelapa muda)
5 sudu besar gula pasir
1 biji telur
isi kelapa muda yang diambil daripada 1 biji kelapa (seeloknya yang lembut) Kalau isinya agak keras, gunting kecil-kecil agar senang dipotong nanti
1/8 sudu teh garam
Cara-cara:
1. Panaskan oven pada suhu 200 darjah Celsius. Gunakan api atas dan bawah.
2. Masukkan gula dan telur ke dalam mangkuk. Pukul hingga gula hancur.
3. Masukkan tepung beras, tepung gandum dan air kelapa berselang-seli sambil digaul menggunakan pemukul.
4. Masukkan garam dan kacau rata.
5. Lengserkan loyang dengan margerin. Tuang adunan ke dalam loyang dan masukkan ke dalam oven. (Letakkan di rak kedua daripada bawah)
6. Selepas 15 minit keluarkan loyang dan kacau rata adunan untuk mengelakkan tepung mendap ke bawah. Taburkan isi kelapa muda di atas adunan dan masukkan semula ke dalam oven.
7. Masak lebih kurang 1 jam atau sehingga kuih nampak keperangan di bahagian atas seperti di dalam gambar.
8. Setelah masak, keluarkan kuih dan sejukkan sebentar sebelum dipotong dan dihidang.