Showing posts with label mee. Show all posts
Showing posts with label mee. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Mee Rebus Tulang Rusuk

Minggu lepas, untuk kesekian kalinya Kak Azah order mee rebus untuk pot-luck di pejabatnya. Macam yang lepas, tak sempat K.An nak ambil gambar ketika bahan-bahannya lengkap sebab bakinya habis dimakan isi rumah ni... ada saki baki sikit tu, letak je kat dalam pinggan... tulangnya, dagingnya, udangnya... semua dah tak ada... bayangkan jelah ye.. ada semua benda tu di atas mee rebus tulang rusuk ni...

Resepi K.An setelah mencuba pelbagai resepi mee rebus... yang ini dah berkali dibuat, selalunya istimewa untuk tempahan atau menjamu tetamu di hari istimewa..

Bahan-bahan (hidangan untuk 20 orang)

5 peket mee kuning (celur sebentar dengan air mendidih, toskan dalam penapis dan lalukan air sejuk)

Bahan Kuah:

1/2 kg tulang rusuk- dipotong kecil
200 gm daging tetel- potong kecil
1 bungkus sup bunjut
3 liter air

*** rebus tulang rusuk dan daging dan biar mereneh (Api perlahan) sehingga daging empuk. Masukkan sup bunjut dan biarkan 2-3 jam.

Bahn lain:

 1 kg ubi keledek merah- kupas kulit, potong kecil dan rebus hingga empuk. Toskan.
200 gm udang putih- buang kepala dan ekor, ketepikan
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1 cawan cili kisar/ cili boh
1 cawan sos cili- ikut citarasa pedas
2 sudu besar sos tomato
garam dan gula secukup rasa
200 gm kacang tanah, sangrai, buang kulit dan kisar halus
1/2 cawan minyak untuk menumis
3-5 liter air
3 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1 cawan air
20 ekor udang harimau...atau lebih

Cara membuatnya

1. Kupas dan hiris nipis bawang merah, bawang putih dan halia.
2. Masukkan keledek ke dalam pengisar bersama air. Kisar halus. Masukkan ke dalam mangkuk. Ketepikan.
3. Masukkan pula udang putih bersama air ke dalam pengisar. Kisar halus juga.
4. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga bawang keperangan dan berbau wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Kacau sekali-sekala dan gunakan api sederhana.
5. Masukkan air rebusan tulang beserta tulang dan daging ke dalam periuk. Masukkan juga, keledek yang telah dikisar, sos cili, sos tomato, udang kisar dan kacang tanah. Tambahkan air secukupnya. Biarkan mendidih dengan api sederhana. Tambahkan bancuhan tepung jagung
6. Kacau sekali-sekali. Perasakan dengan garam dan gula. Kuah mesti ada rasa pedas, manis dan masin secukupnya. Apabila kuah mendidh dan nampak pekat, barulah dimasukkan udang harimau. Apabila udang masak, matikan api dan sedia dihidang bersama mee kuning dan bahan taburan.

Bahan taburan

taugeh- dicelur sebentar
4 biji ubi kentang, direbus dengan kulit sehingga empuk- kupas dan hiris nipis
5 biji telur rebus
2 biji tomato-hiris nipis
bawang goreng
cili merah
 daun sup dan bawang
3 keping tauhu- digoreng dan potong kecil
limau kasturi dibelah 2

Masukkan mee ke dalam mangkuk. Taburkan dengan bahan sampingan. Letakkan kuah dan perahkan limau kasturi... Sedia dinikmati.. Rasa sekali, nak lagi..

Monday, March 8, 2010

Mee Kari


Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah, beberapa hari ni, hujan turun membasahi bumi Putrajaya yang agak kontang sebelum-sebelum ni. Walaupun di dalam rumah masih terasa bahang panasnya, tetapi sekurang-kurangnya turun sedikit suhu di luar.
Dan entah kenapa, bila hujan, perut ni mudah je terasa laparnya... Beberapa hari lepas, walaupun dah menjamah hidangan petang dan anak-anak dah makan nasi lepas pulang dari sekolah, lepas Maghrib, perut ni mendendangkan lagu merdu pulak.

Dengan masa yang singkat dan bahan caca-marba yang ada dalam peti ais, maka terhasillah mee kari ekspress ni.

Sebenarnya mee kari ni adalah antara hidangan yang paling mudah disediakan juga, jika ada tetamu terkejut-tergempar datang mengetuk pintu rumah kita..... Lagipun bahan yang digunakan selalunya ada dalam simpanan kebiasaan orang yang memasak di rumah.


Ok kita tengok resepinya.. boleh tukar atau tambah bahan ikut citarasa:

Bahan-bahan:( hidangan untuk 5 orang)

1 peket mee kuning- celur dan toskan
200 gram ayam dipotong kecil
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih dan sedikit halia- hiris nipis
sekuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih sedikit kulit kaytu manis
3 sudu besar rempah kari ayam/daging- bancuh dengan 1 cawan air
3 cawan santan sederhana pekat

bahan2 lain ikut citarasa:

1 biji kentang, kupas kulit dan potong 8
5 biji fish-ball
1 batang fish-cake
2 ketul tauhu gabus goreng- yang bulat2 tu
sayuran seperti sawi, kobis bulat, bunga kobis, kacang panjang serba sedikit
minyak untuk menumis, garam dan gula secukup rasa

segenggam kerang rebus untuk lagi sedap- kalau tak ada , tak apa

bahan taburan- bawang goreng, buah tomato, limau kasturi , tauge dan telur rebus dibelah 2

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Gunakan api perlahan. Tumis, bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga bawang keperangan dan wangi.Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan ayam dan santan. Didihkan. Masukkan kentang, fish-ball, fish-cake, sayuran seperti sawi, kobis, bunga kobis, kacang panjang dan tauhu. Masukkan juga air rebusan kerang jika ada.

3. Masukkan garam secukup rasa. Kalau nak ada rasa manis, masukkan sedikit gula. Setelah mendidih, padamkan api dan sedia dihidang bersama mee dan bahan taburan.

*** melalui pengalaman merasa pelbagai versi mee kari, mee kari yang sedap mempunyai pelbagai bahan campuran seperti fish-ball, fish-cake, pelbagai sayuran dan kerang. Ini kerana jus sayuran dan air rebusan kerang yang manis, menambah keenakan kuah kari.

Friday, November 13, 2009

Mee Bandung Muar- versi ekspress

Assalamualaikum.. salam penuh kesegaran dan keceriaan daripada K.An sebab beberapa hari ni cuaca sungguh nyaman di Putrajaya ni... hampir setiap petang hujan dan menyebabkan perut sentiasa lapar minta diisi... heheh...

Kali ni K.An nak kongsi kesedapan mee bandung muar versi ekspress. Sebenarnya pes ni adalah antara siri buahtangan rakan K.An, Linda selain pes soto dan set Beriyani Gam Johor yang telah k.An siarkan lama dulu.

Memang ada pelbagai jenis pes segera dalam pek mudah bawa yang dipasarkan sekarang tak kira di 'kiosk' IKS ataupun di pasaraya besar
... Namun tak semuanya sedap dan asli rasanya. Tapi bila k.An cuba pes ni, alhamdulillah memang sedap dan tak mengecewakan.... Malahan lebih sedap daripada yang dibeli di restoran yang menyajikan Mee Bandung Muar di dalam menu mereka yang pernah K.An cuba.


Maklumlah, yang ini dah diuji tahap mutu dan 'standard' rasanya. Jika ikut sahaja arahan yang diberi pasti tidak silap... Kepada yang ingin mencuba boleh beli terus daripada K.An juga...

Resepinya mudah sahaja:
*** disertakan juga resepi pada pek, tapi K.An buat yang asas sahaja... tupun dah sedap..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 8-10 orang)

1 pek pes Mee Bandung Muar
2 peket mee kuning dicelur dan toskan
100 gm sawi hijau- dipotong 1 inci panjang
50 gm udang
50 gm daging- hiris nipis dan rebus empuk
5 biji telur
sayuran lain ikut citarasa seperti bunga kobis, jagung muda dan karot
bawang goreng dan limau nipis untuk dihidang bersama mee

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1.2 liter air di dalam periuk. Masukkan daging + 1/2 cawan air rebusan, sayuran dan udang.
2. Apabila mendidih masukkan telur sebiji, demi sebiji. Jangan biar kuningnya pecah. Apabila telur nampak masak (ada juga yang suka telur separa masak) padamkan api.
3. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atas mee. Taburkan bawang goreng dan perahkan limau kasturi. Sedia dinikmati.


Wednesday, September 16, 2009

Mee Hailam

Istimewa atas permintaan Nurul, K.An kongsikan resepi Mee Hailam Periuktanah- hasil gabungan pengalaman merasa aneka mee hailam di gerai, restoran, rumah terbuka dan sebagainya... Ada pengalaman enak dan banyak yang kurang enaknya...

Antara mee hailam yang masih K.An ingat kesedapannya, ialah di Cafe Kolam Renang UiTM Shah Alam (zaman K.An kerja 8 tahun lepas), mee hailam di Zai Tomyam dan mee hailam yang kakak K.An, K.t buat masa 'open-house' harijadi anaknya Firzanah beberapa tahun lepas...

Yang lain... belum ada dalam ingatan kerana kebanyakannya hanya mee kuah berperisa sos tiram dan kicap.. tiada yang istimewa.
Versi periuktanah adalah gabungan perkongsian rasa dan maklumat antara kawan-kawan dan pelbagai cubaan... insyaAllah, ini yang paling sedap di tekak kami sekeluarga..
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 bungkus mee kuning (450 gm)- celur sebentar dalam air mendidih, lalukan air sejuk dan toskan

Bahan kuah:

100 gm daging tetel (banyak pun tak apa)- hiris nipis dan rebus empuk dengan 4 cawan air dan sup bunjut / bunjut sup tulang
5 ekor udang harimau
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih- ditumbuk halus
1 sm halia- diketuk
serba sekuntum bunga cengkih, lawang, kulit kayu manis dan pelaga
1 sudu besar sos tomato

minyak untuk menumis
sayuran seperti jagung manis, karot, bunga kobis dan sawi serba sedikit
1 biji telur
1 sudu besar rata tepung jagung- dibancuh dengan sedikit air
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.

3. Masukkan sos tiram, dan air rebusan daging dan daging. Biar mendidih. Masukkan sos cili, kicap, sos tomato dan sayuran. Biar mereneh hingga sayuran lembut.

4. Masukkan udang, garam dan gula. (sedikit sahaja kerana sos dan kicap dah ada rasa). Masukkan tepung jagung dan kacau rata. Pecahkan telur dan biar seketika sebelum api dipadamkan.

5. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atasnya. Taburkan bawang goreng, daun sup dan perahkan limau kasturi sebelum dimakan....

*** boleh tambah sotong dan lebih telur ikut citarasa.
*** hasilnya mungkin tidak 100 % seperti yang K.An buat, tapi insyaAllah boleh ikut resepi ni sebagai panduan sebab air tangan ni memainkan peranan juga... (bak kata Cik Mat Gebu..)


Tuesday, September 8, 2009

Mee Rebus Udang Tradisi

Resepinya... lepas tarawikh nanti K.An sambung...

Alhamdulillah selesai tarawikh tapi...., tak sempat taip resepi sebab baby 2 orang tu.. ajak main macam-macam.. Ayahnye pulak out-station, kakak-kakak buat kerja sekolah, jadi ummi le kena melayan main 'puzzle', 'wipe-out', doktor dengan pesakit... nyanyi2... haaa sampai tertidur semuanya...

Dah sahur pagi ni 3 beranak... buat nasi goreng kampung, telur mata.. makan dengan sambal goreng ikan bilis.. Alhamdulillah

Ok, kita terus ke resepi mee rebus udang ni... seperti biasa resepi asal daripada ibu tercinta..Hjh Selamah yang dimasak turun-temurun oleh anak-anak perempuan dalam keluarga.. Bezanya, dulu-dulu (sekarang pun rasanya) mak gunakan udang laut yang memang banyak di kampung sana... Kita di bandar ni semuanya guna udang harimau bela..

Malahan di bulan puasa ni, bekalan udang putih kecil pun langsung tak ada di Putrajaya ni... Jadinya masak je apa yang ada..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

A)
2-3 peket mee kuning- celur air mendidih, toskan dan segera lalukan air sejuk

B)- kuah

250 gm keledek- kupas kulit, potong kecil dan rebus hingga empuk
1/2 cawan udang putih, buang buang kepala dan kisar halus. (kalau tak ada, guna isi udang harimau)
1/2 cawan kacang tanah yang siap disangrai, buang kulit dan kisar halus
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dihiris halus
3/2 cawan cili kisar (pekat)- tambah jika suka lebih pedas
10 cawan air rebusan kulit udang
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar gula
10 ekor udang harimau
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan halia hingga wangi dan keperangan. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan air rebusan kulit udang. Sementara mendidih, kisar keledek hingga halus(+ sedikit air agar mudah hancur)

3. Apabila rebusan mendidih, masukkan keledek, kacang tanah, sos tomato dan udang yang dikisar. Masukkan tepung jagung, garam dan gula. Biar mereneh dan kacau kuah agar sebati dan agak pekat.

4. Akhir sekali, masukkan udang harimau dan tutup api sebaik sahaja udang masak. Siap dihidang bersama mee dan bahan taburan.

C) ditabur di atas mee

2 biji tomato dihiris halus
3 biji telur direbus dan belah 4
2 biji kentang, rebus empuk dengan kulit sekali, kupas kulit dan hiris nipis
tauhu digoreng- hiris nipis
bawang goreng secukupnya
daun sup dan bawang dihiris halus
limau kasturi

Taburkan bahan C di atas mee sebelum dicurahkan kuah di atasnya. Mee rebus udang sedap dimakan dengan kuah yang banyak... selamat mencuba.




Wednesday, May 13, 2009

Nostalgia Mee Sanggul dengan Kuah Kacang

Anak-anak suka betul dengar cerita zaman dulu-dulu masa K.An 'kecik' dan masa K.An sekolah rendah sebab semua tu dah tak ada di zaman Malaysia membangun ni.
Masa tu bekal belanja cuma 30 sen. harga kuih 10 sen. Nasi lemak 30 sen. air pun cuma 10 sen segelas. Siapa bawak duit bekal 50 sen, dah kira anak orang berada yang bapaknya ada sawah berekar-ekar. Tak pun anak tauke kedai runcit.

Ya lah, zaman tu gaji pegawai besar pun cuma RM 1 ribu lebih. Arwah ayah K.An yang jadi cikgu lebih 15 tahun pun gajinya cuma RM 700... tapi bahagia betul zaman tu.. Pergi sekolah, naik basikal sejauh 2 batu. Kalau hujan, kena pakai baju biasa dan selipar je ke sekolah sebab takut kotor. Dah sampai sekolah, baru tukar dengan 'uniform'. Itupun kalau ada sebab bagi yang kurang mampu, baju sepasang basah dek hujan (tak ada mesin basuh masa tu) tak kering di jemuran... alamatnya pakai baju biasa je. Yang penting belajar...

Kantin sekolah K.An masa tu kecik je tapi cukup untuk menampung 2 sesi rehat semua pelajar. Makanannya semua sedap sebab orang kampung yang masak... selain nasi lemak dan laksa, K.An ingat betul mee sanggul kuah kacang yang dibalut dengan daun pisang yang dijual di kantin tu. 'Simple' tapi sedap... Baru-baru ni mak mertua K.An bekalkan mee sanggul buatan orang Islam.. mmmph, teringat nostalgia dulu-dulu. Apa salahnya buat dan bagi anak-anak rasa.


Bahan dan cara membuatnya sama macam kuah kacang biasa cuma untuk menyedapkan lagi, tambahkan udang putih kecil atau udang harimau ketika memasak kuah kacang. Resepi asal kat kantin sekolah K.An, guna udang kering atau udang kecil je. Celurkan mee sanggul dan tuangkan kuah kacang ke atasnya, macam nak makan spaghetti.


Rupa mee sanggul setelah digaul dengan kuah kacang...

Tuesday, February 17, 2009

Mee Goreng Basah

Kat luar gelap gelita, walaupun baru pukul 4.50 petang. Angin kuat tapi hujan sikit-sikit je.. Pekena mee goreng basah sedap juga waktu macam ni.

Bahan-bahan: (hidangan 5 pinggan)

1 bungkus mee kuning- celur dalam air mendidih 3 minit dan toskan

2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

2 ulas bawang merah ditumbuk halus

2 sudu besar cili kisar

1 sudu teh sos tiram

segenggam taugeh

3 tangkai sawi- asingkan daun dan batang- batangnya dipotong 1 inci panjang dan ketuk dengan pemegang pisau dan daunnya dipotong 1 inci panjang juga

kicap manis secukupnya- anggaran 3-5 sudu besar

5 ekor udang harimau

sotong, daging dihiris kecil -ikut suka (tak ada pun tak apa)

1 biji telur

1 cawan air rebusan kulit udang atau ayam (baki buat kerabu ayam hari tu...)

minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih hingga wangi. .. lebih kurang 1minit je. Api sederhana besar.

2. Masukkan cili kisar. Tumis seketika. Masukkan batang sawi. Kacau. Masukkan udang, sos tiram, kicap dan daun sawi. Kacau goreng 1 minit.

3. Masukkan air rebusan. Didihkan. Masukkan mee, taugeh dan telur. Kacau rata 1/2 minit. Tambah kicap kalau belum cukup hitamnya. Tutup api dan hidang segera dengan taburan bawang goreng, daun sup dan cili merah.
***rasa enak mee goreng basah terhasil daripada rasa bawang putih, manis udang, manis air batang sawi dan kepedasan cili kisar. Jangan sesekali memasukkan garam ke dalam mee kerana mee kuning sudah cukup masin.

Friday, January 30, 2009

Tiada Lagi Rahsia..Mee Abah

Alkisah tersebut ceritanya di sebuah pekan di utara Perak bernama Bagan Serai, tinggal sebuah keluarga yang amat dihormati penduduk sekitar iaitu keluarga Haji Abdullah dan Hajjah Siti Zainab atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Dolah dan Cikgu Zainab kerana kedua-duanya adalah pesara guru sekolah.

Selain terkenal kerana tugas mendidik anak bangsa, Cikgu Haji Dolah juga terkenal kerana perniagaan menyewakan van dan pengangkutan bas kilang suatu ketika dulu. Dipendekkan cerita, satu lagi sebab mereka terkenal adalah kerana mee abah yang hanya dihidangkan kepada tetamu di Hari Raya Aidilfitri saban tahun sejak berpuluh tahun dahulu..
Antara tetamu Cikgu Haji Dolah ialah arwah ayah K.An yang merupakan kawan baik cikgu Dolah yang kini bapa mertua K.An...he..heh..
Seingat K.An, masa K.An kecik-kecik lagi bila tibanya Hari Raya, arwah ayah yang bertandang ke rumah abah akan dibekalkan mee abah untuk kami sekeluarga nikmati di rumah. (Kami tak ke sana sebab jarak rumah ketika itu dikira jauh dan kami tiada pengangkutan untuk ke sana)

Kerana persahabatan yang terjalin itulah maka salah satu sebabnya K.An dan abang Azam disatukan... selain kami memang mengenali antara satu sama lain. Alhamdulillah ada hikmahnya kerana sehingga sekarang, hanya K.An yang mewarisi resepi mee abah ni...

Sementelah adanya blog periuktanah, ingin K.An kongsikan resepi mee abah untuk semua kerana takut tiada lagi yang mewarisinya kalau Abah dan K.An tak sempat memperturunkannya. Kan sayang, resepi yang istimewa dan sedap, tidak dapat dinikmati oleh orang lain hanya kerana nak menyimpannya sebagai harta 'ekslusif'...

Bersempena cuti Tahun Baru China baru-baru ni, K.An masak 'mee abah' dan menjemput jiran tetangga dan saudara mara terdekat datang ke rumah bagi menikmati sendiri mee abah, daripada air tangan K.An. Lebih kurang 50 pinggan dihidangkan... (termasuk 10 pinggan untuk A.Azam..he..heh)



Bahan-bahannya: (hidangan 30-50 pinggan)

10 bungkus mee kuning, dicelur, siram dengan air sejuk dan toskan

Kuahnya:
1 batang tulang kaki / 'gear-box' (berat lebih kurang 3 kg)
1 kg daging campur (gred 2) dipotong sederhana (1x1 inci)
300 gm udang putih/ harimau saiz kecil- dibersihkan dan dikisar tanpa dibuang kulit dan kepala
3-5 biji kentang dikupas kulit dan dikisar
3 ketul tauhu putih dilecek/ hancurkan
2 ikat sawi dipotong 2 inci panjang
1 kg sos cili (K.An guna sos kimball dalam peket)
1/2 cawan sos tiram
1/2 cawan sos tomato
1 cawan kicap manis
1 cawan kacang tanah yang telah disangrai, dan dikisar halus
50 sen daun sup dan bawang dipotong 1 inci

3 bungkus sup bunjut/ sup bunjut tulang

Bahan tumisan:

10 ulas bawang merah dihiris nipis

5 ulas bawang dihiris nipis

4 inci halia dipotong kecil dan diketuk

Kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih secukupnya

Cara-cara membuatnya: (masak waktu malam)

1. Rebus tulang 'gear-box' bersama daging dalam 10 liter air (lebih kurang) selama 4 jam. Gunakan api sederhana. Masukkan sup bunjut dan didihkan lagi. Tumis bahan tumisan didalam kuali lain sehingga bawang keperangan dan tuang ke dalam sup.

(Kalau nak makan sup gear-box dah boleh dah ni, tapi masukkan garam berasingan di dalam mangkuk lain)

2. Sup tadi hendaklah sentiasa dibiar di atas api perlahan sepanjang proses memasak. Masukkan sos cili, sos tiram, kicap dan bahan-bahan lain (sawi, udang, kacang, tauhu, kentang, daun sup)ke dalam sup. Didihkan lagi dan masukkan garam secukupnya.

3. Sekiranya kuah nampak terlalu pekat, tambahkan 3 cawan air lagi. Tutup periuk dan renehkan kuah di atas dapur dengan api perlahan 1 jam lagi. Tutup api, dan buka sedikit tudung periuk agar kuah menyejuk sebelum dirapatkan tudungnya.

Keesokan paginya didihkan lagi kuah agar, rasa kuah sebati dan makin pekat.

Bahan-bahan ditabur di atas mee:

5 biji tomato dihiris nipis

13 biji telur direbus, dikupas kulit dan dibelah 4

5 biji kentang sederhana besar direbus bersama kulit hingga empuk. Kupas kulit dan potong sederhana nipis

5 tangkai cili merah dihiris nipis

10 biji limau kasturi dibelah 2

50 sen tauge dicelur sebentar

5 keping tauhu digoreng dan dipotong dadu kecil

Daun sup dan bawang secukupnya dihiris halus

Bawang goreng secukupnya

Cara menghidang:

Masukkan mee ke dalam pinggan. Taburkan bahan hiasan dan tuangkan kuah ke atas mee. Lagi banyak kuah lagi sedap... Pastikan limau diperah ke dalam mangkuk kerana rasanya bertambah sedap dengan perahan air limau.

Teringat K.An, ketika kami di SBPI Rawang, mee abah memang terkenal di kalangan guru-guru yang pernah merasa kesedapannya dan satu ketika, K.an masak istimewa mee abah untuk kumpulan In-Team yang datang memberi kursus motivasi kepada pelajar SBPI Rawang...

Selamat mencuba dan mudah-mudahan resepi ini akan menjadi sebahagian amal jariah Keluarga Cikgu Dolah kepada semua pembaca blog periuktanah. (Kepada yang tak sempat masak sendiri, boleh tempah je dengan K.An dengan saiz hidangan di atas)

Friday, January 16, 2009

Mee Goreng Mamak

Kami sekeluarga jarang sangat pesan mee goreng di kedai kecuali mee goreng mamak. Sebabnya, jarang sekali dapat yang betul-betul puas di tekak dan puas di hati. Selalunya kalau nak makan mee goreng basah, K.An masak sendiri ( nanti K.An kongsi resepinya sebab dah masak hari tu, tapi habis licin sebelum sempat ambil gambar) dan kalau nak makan mee goreng mamak, barulah kami makan di ...kedai mamak.. memang lain rasanya. Lagipun itulah peluang nak rehat memasak dan makan di kedai.. ye tak? he..heh..

Yang ini rasanya macam mee goreng mamak tapi dimasak oleh ummi Raihan... Yang 'special'nya mee kuning ni dibuat sendiri oleh adik K.An (Raidah) hasil kursus membuat mee yang dihadirinya. Untuk mee kuning Ateh ni, K.An bagi 5 bintang..

Bahan-bahan: (hidangan 5 pinggan)

1 bungkus mee kuning- dicelur dengan air panas seketika,toskan)
2 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
5 ekor udang harimau (kalau kat kedai tak ada udang)
1 biji telur
1 keping tauhu lembut dihancurkan
segenggam taugeh
2 tangkai sawi dipotong 1 inci

1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar cili kisar
sedikit kicap manis dan kicap masin ikut rasa
limau kasturi untuk diperah airnya di atas mee

bawang goreng untuk ditabur
*** jangan letak garam ketika menggoreng mee kerana mee dah masin dan kicap juga dah masin


Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. (Gunakan api besar untuk hasil yang memuaskan) Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan sawi, kicap dan udang. Goreng seketika.
3.Masukkan tauhu yang dihancurkan, telur dan taugeh. Masukkan mee dan kacau cepat-cepat.
4. Tambah kicap manis jika perlu. Kacau rata dan tutup api. Hidang bersama bawang goreng dan limau kasturi.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin