Showing posts with label lauk-pauk-telur. Show all posts
Showing posts with label lauk-pauk-telur. Show all posts

Tuesday, April 7, 2009

Masak Lemak Cili Api Telur Itik dengan belimbing buluh

Tak rugi berkongsi ilmu kerana selain dapat pahala amal jariah, dapat juga menambah kenalan dan merapatkan tali silaturrahim sesama umat. Melalui pengalaman inilah juga ilmu pengetahuan k.An dalam bidang masak-memasak ni diperkayakan... Tak ada pendidikan formal dalam masakan, cuma kepandaian yang diwarisi daripada ibu tercinta, pengalaman bergaul dengan rakan-rakan serata Malaysia dan kemahuan untuk belajar tidak kira di mana.

Terima kasih kepada semua yang tak lokek ilmu bila ditanya resepi masakan yang dimasak... Bila sedap, K.An tak segan bertanya cara membuatnya.. macam tu cepatlah pandai walaupun terpaksa tebalkan muka.
Masa di Bandar Tasik Puteri dulu, gerai kami berniaga berjiran dengan gerai Pak Yan yang juga menjual nasi campur. Pak Yan dan keluarganya memang berpengalaman luas berniaga gerai dan pasar malam. Lauk-pauknya juga memang mengancam sedapnya, tapi budaya berniaga ni memang bagus... Allah dah bagi rezeki masing-masing dan tak pernah timbul rasa irihati ataupun hasad dengki. Malahan kami saling bantu-membantu melayan pelanggan ketika bergilir untuk solat Maghrib atau Isya'.
Alhamdulillah di kesempatan bersama, K.An sempat belajar resepi masak lemak cili padi telur itik ni yang menjadi 'signature dish' kepada gerai Pak Yan...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

3 biji telur itik

10 biji cili padi akar (hijau)

1 cawan santan pekat dan 2 cawan santan cair daripada 1 biji kelapa

5-10 biji belimbing buluh- ikut citarasa

1 sm kunyit hidup

serbuk kunyit jika perlu

Cara membuatnya:
1. Tumbuk/ kisar cili padi dan kunyit hidup hingga halus. Masukkan ke dalam periuk bersama santan cair.

2. Buka api sederhana. Apabila santan mula mendidih, perlahankan api dan pecahkan telur itik satu persatu sambil dikacau santannya. Telur kedua dipecahkan setelah telur pertama masak bahagian tengahnya. Begitulah seterusnya untuk telur ketiga.

3. Masukkan santan pekat dan belimbing buluh. Biarkan api perlahan tetapi mendidih. Masukkan garam dan sedikit gula. Tambah serbuk kunyit jika perlu. Apabila cukup rasa, tutup api dan sedia dihidang.

***masakan ini tidak memerlukan bawang kerana rasa dan aroma cili padi sudah cukup menyedapkan masakan.

Tuesday, January 20, 2009

Malas Memasak..? Sambal Telur Pun Sedap..

Tinggal di kawasan yang cukup semua prasarana macam rumah K.An ni mencabar juga.. Semuanya dekat tak sampai 5 minit berjalan kaki.. Medan selera, kedai mamak, Bakers Cottage semua depan mata. Kalau malas berjalan angkat telefon, telefon je Domino Pizza... Broom.. sampai kat depan pintu... memang mencabar kerajinan memasak.

Tengahari, Abang Azam tak balik makan, anak-anak pula kalau balik sekolah semua nak cepat, sebab nak ke sekolah agama pulak. Nak kena makan yang mudah je. Disebabkan malas nak masak yang remeh-temeh, K.An buat je sambal telur.. Anak-anak suka tak kira masa. (kalau ada baki sambal nasi lemak pagi tadi, lagi senang, goreng telur, gaul je dengan sambal...ha..dah siap)


Disebabkan tak ada sambal nasi lemak, K.An buat sambal baru lah..

Bahan-bahan (hidangan untuk 3 orang)

3 biji telur- digoreng garing satu persatu, pecahkan kuning telur semasa menggoreng- ketepikan

Bahan sambal:

segenggam ikan bilis siap dikopek

3 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk halus

1/2 cawan cili kisar

1 sudu besar air asam jawa-cair

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Masak hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa. Masukkan garam dan gula. Didihkan dan tuang sambal ke atas telur goreng... siap.
Alhamdulillah, dalam malas-malas pun dapat masak juga...

Monday, January 5, 2009

Tiada Alasan...Telur Bistik

Tidak semua orang suka memasak sebab tugas memasak bermula dengan penyediaan bahan mentahnya. Ikan perlu disiang, ayam perlu dibersihkan dan dipotong, udang perlu dikopek kulitnya, daging perlu dihiris dan macam-macam lagi perlu dibuat. Belum lagi nak mengupas dan menghiris bawang... Pendek kata, memang perlukan kerajinan....

Tapi, bagi yang tak suka kerja-kerja 'busuk dan kotor'... masih boleh memasak pelbagai jenis menu menggunakan telur, sebab telur adalah bahan mentah yang senang diuruskan..Kalau nak dikira lebih 10 jenis masakan mudah boleh disediakan dengan menggunakan telur ayam, telur itik atau telur puyuh.
Yang penting RAJIN.. tanpa alasan.

Telur Bistik
Bahan-bahan: (hidangan untuk 2 orang)
1/2 labu bawang besar dihiris nipis membujur
3 biji telur
**campurkan bahan dan letak sedikit garam. Buat telur dadar seperti biasa. Ketepikan.
Bahan Kuahnya:
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
1/2 biji tomato didadu
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili 1 sudu teh sos ikan
2 sudu besar sayur campur dalam peket (karot, kacang peas dan jagung)
Cara-cara:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tomato. Masak hingga tomato hancur.
2. Masukkan sayur campur, sos cili dan sos ikan. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan 1 sudu teh gula dan masak hingga kuah pekat dan sayur empuk. Tutup api dan tuangkan kuah ke atas telur dadar.
Sedia dinikmati bersama nasi...
*** jika menggunakan sos ikan, tak perlu letak garam lagi kerana sos ikan dan telur dadar dah masin.

Thursday, December 11, 2008

4 dalam 1...Telur Bungkus


Minggu lepas, setelah kerajaan menurunkan lagi harga minyak, akhirnya turun juga harga ayam. Di Putrajaya ni, dah berbulan-bulan harga ayam RM 7.00 sekilo.. sekarang dah jadi RM6.50 sekilo. Walau tak seperti harga dulu-dulu RM 4.8o sekilo je, sekurang-kurangnya jimat sikit belanja dapur K.An..

Opps.. kenapa K.An cerita pasal ayam ni..? Sebenarnya masa K.An makan-makan dengan kaum kerabat dan saudara mara, ada yang sebut dalam banyak-banyak bahagian ayam selalunya bahagian dadanya atau isi tak berapa 'laku'. Kalau digoreng semuanya nak ambil bahagian peha atau kepak... tertinggallah bahagian dada.. Jadinya K.An kata, masa proses ayam lepas beli kat pasar tu, asingkan siap-siap bahagian isi dan masukkan dalam bekas berasingan. Baru simpan dalam 'freezer'. Gunanya, bila nak masak masakan ala Thai, senang nak keluarkan.. Antara menu yang boleh dibuat, Padprik ayam, ayam goreng kunyit, ayam masak merah dan telur bungkus....Jadi, taklah kita membazir ayam yang kita beli mahal-mahal tu.

Ayam Masak Merah

Bahan-bahan isinya: (ayam masak merah)- hidangan 5 orang

1 cawan isi ayam yang didadu digaul dengan garam dan kunyit

1/2 biji tomato didadu kecil

1 sudu besar cili kisar

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

3 sudu besar sos cili

1 sudu teh sos ikan (kalau tak ada pun takpe)

sedikit bunga kobis dipotong kecil

1 sudu teh garam, 1 1/2 sudu teh gula

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Masukkan ayam dan goreng hingga keperangan dan wangi. (belajar untuk kenalpasti aroma 'sedap' masakan kita)

2. Jangan angkat ayam, terus masukkan bawang dan goreng sampai wangi juga..jangan hangit pulak..! (lebih kurang 1 minit je) Masukkan cili kisar, tumis 1 minit lagi. Masukkan tomato dadu. Tambahkan 1/2 cawan air dan biar tomato agak hancur.

3. Masukkan bunga kobis, sos ikan dan sos cili. Kacau sebati. Masukkan garam dan gula. Tutup api bila kuah pekat. Ketepikan dulu.

'up-grade' jadi Telur Bungkus Periuktanah

Cara membuat telur bungkusnya:

1.Pecahkan 2 biji telur ke dalam mangkuk. Letakkan secubit garam (1/8 sudu kecil) Kacau dengan garpu.

2. Panaskan kuali. (guna kuali kecil atau yang ada pemegang supaya senang mendadar)

3.Tuangkan telur ke dalam kuali bermula dari tepi kuali (tuang ikut bulatan) Cepat-cepat angkat dan golekkan kuali agar telur nipis dan rata.

4. Perlahankan api dan masukkan isi ayam masak merah. Lipat penjuru telur dadar hingga menutupi isi telur bungkus. Sediakan pinggan yang sesuai saiznya dan tekapkan di atas kuali berisi telur bungkus. Terbalikkan dan siaplah telur bungkus periuktanah.

***kalau kuah banyak, asingkan kuah dalam mangkuk lain untuk memudahkan proses membungkus. bila dah cekap, bolehlah masukkan semuanya lain kali.

Wednesday, November 26, 2008

Tak Cukup Bajet Lauk.... Buatlah Acar Telur

Kadang- kadang kita dah masak banyak lauk masa makan tengahari, tapi bila malam banyak yang dah kurang dan tak cukup tampung semua keluarga.. Nak masak lain dah malas. Nak makan kat luar, sayang pulak lauk-pauk yang ada.
Jangan risau, kalau masih ada kuah yang lain, tak kisahlah.. kari ke, masak lemak ke, kurma ke, sambal ke, semua ni boleh 'masuk' dengan acar telur ni. Senang dan jimat.

Acar telur ni dulu arwah ayah K.An pun pandai buat sendiri. Selalunya lepas maghrib kami dah siap mengaji, arwah ayah akan tolong sediakan makan malam dan tambah lauk-pauk yang kurang. Kadang-kadang goreng ikan masin, adakalanya buat telur dadar dan kadang-kadang buat acar telur...
Kepada suami-suami yang nak tolong isteri masak, boleh belajar buat, tak ada alasan susah..


Bahan-bahan:

3 biji telur digoreng ( telur mata pun boleh, garing pun boleh)
3 sudu makan cuka
1 labu bawang besar dihiris nipis melintang
1 biji cili merah dihiris serong
2 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam

Cara-cara:
1.Masukkan telur ke dalam mangkuk.
2.Gaulkan bawang dengan cuka, garam, gula dan cili merah.
3. Curahkan campuran acar ke atas telur. Dah siap.

***tak tipu, memang mudah

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin