Monday, June 15, 2009

Hari terakhir di kenyir

Di pagi terakhir ni, K.An kena habiskan mana-mana bahan mentah yang perlu dihabiskan supaya kurang beban nak mengangkut semula barang balik ke bot nanti... Jadi, awal-awal lagi K.an dah ketung-ketang kat dapur... memasak. Buat nasi goreng, goreng ayam dan buat pau sambal... (menghabiskan timun dan sambal ikan bilis semalam)
Kononnya nak buat bekal dalam perjalanan ke Kuala Terengganu sekali... tapinya, makan punya makan tinggal 3 ketul je pau sambal tu. Nasi goreng tinggal semangkuk dan ayam goreng 2,3 ketul.. oklah tu... nanti dalam perjalanan kita cerita lainlah...

Dah kenyang, sempat juga kami jalan-jalan di sekitar rumah penginapan kami dan ambil angin pagi yang segar lagi nyaman...
Siap kemas barang dan tiba masa 'check-out', berat juga rasa hati.. entah bila akan ke sini lagi... memang best..!!
Dipendekkan cerita, pengalaman di Tasik Kenyir memang tak sama dengan percutian kami yang sebelum-sebelum ni. Puas, kerana apa yang dirancang berjalan dengan baik dan kami sekeluarga dapat menimba banyak pengalaman baru. Kalau panjang umur, ada rezeki, memang kami ingin ke sini lagi menikmati keindahan alam ciptaan Allah Yang Maha Agung...InsyaAllah

Setelah puas 'ronda-ronda Kuala Terengganu dan beli apa-apa yang patut, kami menuju ke Kuantan tempat persinggahan kami. Mungkin sebab penat dan lapar, tengoklah, pinggan nasi dan lauk yang kami makan malam tu... liciiin.. tapi memang sedap lauk kat Kemira Restoran tu..(terutama kangkung goreng belacan).. K.An bagi 4 bintang walaupun kedai biasa-biasa je..

Sunday, June 14, 2009

Ayam Panggang dan Cucur Udang Seri Kandis

Sambung cerita di Kenyir lagi.. Bila bangun dari tidur je, semua macam harimau kelaparan.. Tapi K.An dah siapkan cucur udang (kering) untuk semua... Senang je.. (bahan ala 'camping' la ni...)

Bahannya: 2 cawan tepung gandum, 1 labu bawang besar dihiris, segenggam udang kering direndam air panas dan tumbuk halus, 1 biji cili merah dihiris halus, 1 biji telur, garam secukup rasa.

Bancuh tepung dengan semua bahan dengan 3/4 cawan air hingga sebati. Tambah air jika terlalu pekat atau tambah sikit tepung jika terlalu cair. Panaskan minyak dan jemputkan adunan dan goreng hingga keperangan. Hidangkan dengan sos cili dibancuh sedikit air masak dan gula.


Malam tu, memang teringin nak makan ayam panggang ala-ala BBQ... tapi tak kuasa nak bakar arang kat luar tu. Lepas makan cucur udang K.An sediakan bahan perapan ayam.


Bahan-bahan:

10 ketul ayam
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
3 biji buah keras*
1 inci halia*
2 batang serai dihiris halus*
1 sudu besar gula
1 sudu besar kicap manis


Cara membuatnya:

1.Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit. Kisar atau tumbuk halus bahan bertanda*. Gaulkan bersama ayam tadi hingga sebati. Campurkan gula, kicap manis, serbuk jintan putih dan jintan manis. Gaul rata. Simpan ayam dalam peti ais sehingga sedia dipanggang.
2. Panggang ayam dalam oven, kuali atau di atas api arang sehingga masak.
Serbuk jintan boleh diganti dengan jintan biji yang ditumbuk halus, lebih sedap...

Thursday, June 11, 2009

Hari ke-2 Kembara Kenyir

Pagi ni InsyaAllah nak ke air terjun Pulau Sauk. Dah lama tak mandi air terjun.... Semuanya tak sabar-sabar nak pergi, tapi kena isi perut dulu, takut nanti masuk angin pulak.
Pagi-pagi lagi, K.An bangun untuk sedia sarapan + makan tengahari sekali. (balik mandi, mesti penat dan tak larat nak masak lagi)

Jadi, menu hari ni, nasi lemak dengan sambal ikan bilis, sambal goreng ikan bilis, telur dadar, sambal sardin dan roti telur bakar. Pagi ni kami jemput Siti dan Mus sekeluarga (kawan kami yang turut sama dalam percutian ni) datang makan di rumah kami. Siti bawak nugget goreng.

Kali ni K.An masak nasi lemak menggunakan santan dalam kotak. Daun pandan dan daun pisang memang bawak siap dari Putrajaya. Sambal sardin pulak menggunakan serbuk cili (jenis kasar sedikit). 2 sudu besar serbuk cili dicampur dengan 1 cawan air panas. Tumis macam biasa. Hasilnya, kalau tak bagitau, tak siapa tahu yang sambal tu guna serbuk cili... Memang sedap. Jadi, kepada yang suka mengembara masuk hutan ke, naik 4WD ke, panjat gunung ke, bab makan... dah banyak kemudahan yang ada. Rajin dengan tidak je...


Dah siap makan, apa lagi..jom mandi air terjun...tapi kena naik bot lagi. Yang ni paling best sebenarnya...


Kata Encik Alias , pegawai yang menguruskan RPP ni, air terjun ni 'kecik je.. ada lagi yang lebih tinggi dan besar...

Bila kami sampai je, waaahhh... puas hati. Ini pun dah cukup besar buat kami.

Mandi puas-puas sampai menggigil.. tapi kena balik cepat sebab Mus dan Siti check-out hari ni. (takde rumah kosong untuk mereka).. Berat hati nak balik, tapi hati puas. Letih betul bila sampai rumah. Mandi, solat, makan dan zzzzzzz....


Menu Makan Malam...

Selesai minum petang, K.an sempat buat pop-corn dan kami siap-siap pergi memancing di jeti RPP Pulau Sah Besar. (tempat kami menginap).... ikan memang banyak.. tapi semuanya sekolah sampai masuk universiti. Kenal pulak rupa mata kail, pancing dan umpan yang bukan selera dia..hahah

Sekadar suka-suka, tengok ikan berlumba-lumba makan roti yang anak-anak k.An beri (tapi tak makan umpan A.azam) lebih kurang 30 minit di situ, kami pun balik untuk sedia makan malam pulak...
Malam tu, K.An masak yang mudah je... nasi putih berlaukkan ayam masak kicap, ikan masin gelama goreng (beli di Kuantan) telur dadar, papedom goreng dan sambal cicah budu. Ingatkan
nak makan sikit je, tapi... macam kat rumah juga, licin periuk nasi dibuatnya... yang 'bestnya' tengok budu yang kami beli di Carrefour dalam pek mudah bawa... Dalam 1 paket ada 4 paket kecil untuk satu hidangan. Memang praktikal.. tahniah Budu Ketereh!!! Dah menembusi global ni..


Satu lagi yang seronoknya memasak di sini, dapurnya yang luas dan mengadap ke taman permainan dan tempat BBQ. Masa K.An dok masak tu, jiran depan sibuk bakar arang untuk BBQ. Kesian dia, separuh jalan... hujan pun turun... asalnya meriah kat luar tu, tapi sudahnya tinggal tukang bakar je. Yang lain dah lari masuk rumah... tak patut betul...


Wednesday, June 10, 2009

Cerita masak-masak waktu bercuti.. mihun goreng tasik kenyir

Assalamualaikum semua... lamanya k.An berehat. Dah siap mengemas sekembalinya dari bercuti panjang, pagi ni baru sempat nak menjenguk periuktanah... takut dah bersawang dan berdebu..hihih..
Ada banyak cerita yang nak dikongsi, tapi boleh juga jenguk Resmipadi
atau fb k.an atau Suara Hati (untuk gambar-gambar di Kenyir)
Kali ni lebih puas hati sebab dah bersedia bekalan secukupnya untuk masak-masak di sana. Memang berbaloi.
Sampai je di Rumah Peranginan Persekutuan Tasik Kenyir tempat kami menginap, terus k.an sediakan bahan mentah untuk minum petang.
K.An masak mihun sebab letih angkut barang tadi, perut pun dah berkeroncong... kena makan berat sikit.. mihun ni memang versi ala kadar tapi rasanya tetap sedap.. alhamdulillah



Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)
1 bungkus mihun (direndam air biasa 15 minit)
1 labu bawang besar dihiris nipis membujur
3 ulas bawang putih dihiris
1 sudu teh serbuk cili dicampur 1/2 cawan air panas
5 sudu besar sos cili
segenggam udang kering direndam air panas 5 minit, kemudian tumbuk halus
1/2 cawan isi ayam dipotong kecil (sempat beli ayam sebelum naik bot)
2 biji telur
3-5 sudu besar kicap manis ikut citarasa
1 sudu teh garam
sayuran jika ada... (k.an tak letak sebab tak bawak pun)
Cara membuatnya:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng isi ayam hingga wangi dan nampak keperangan. Terus masukkan bawang besar, bawang putih dan udang kering. Tumis 2 minit.
3. Masukkan serbuk cili yang telah dibancuh tadi. Tumis lagi. Masukkan sos cili, 1/2 cawan air, kicap dan garam.
4. Masukkan telur. Biar masak sedikit baru dikacau hancur.
5. Masukkan 1 cawan air. Didihkan. Masukkan mihun. Kacau rata. Tambahkan air jika mihun belum cukup lembut. Gaul rata hingga semua bahan sebati dan mihun masak. Angkat dan hias ikut citarasa...

Tuesday, June 2, 2009

Bercuti Ala-ala pergi berkhemah...

Assalamualaikum semua.. K.An tengah 'pack' barang untuk ke luar bandar lagi.. Kali ni kami nak cuti-cuti Malaysia ke Kuantan (singgah bermalam) dan Tasik Kenyir. Memang tak pernah ke sana lagi. Dah lama merancang, alhamdulillah, tiba juga harinya.
Memandangkan tempat yang kami nak pergi ni cuma menyediakan penginapan dan tiada kedai berdekatan di Tasik Kenyir tu, maka terpaksalah K.An sediakan pelatan macam nak berkhemah. Alhamdulillah tempat menginap tu sediakan peralatan memasak seperti dapur, periuk, pinggan-mangkuk dan peti ais... jadi separa berkhemah jelah..


Dengan sedikit pengalaman berkhemah dulu-dulu dan menguruskan pelajar-pelajar UiTm, bolehlah K.An merancang apa nak dibawa. Tengoklah kat gambar tu, ada bawang, tepung, beras (bungkus kecik-kecik), sardin tin, minyak, mee segera, mihun, garam kunyit, rempah, papedom gula, dan bahan buat minuman. Ada juga sup dalam tin,santan kotak dan yang paling 'best' kali ni, ada budu dalam paket mudah bawa... senanglah nak masak nanti..
penat juga dibuatnya tapi k.An sempat siapkan sambal ikan bilis garing tu.. boleh buat nasi lemak nanti...

Dalam seminggu ni, maknanya cutilah sekejap periuktanah ye... kami nak rehat. bye..bye. InsyaAllah jumpa lagi sekembalinya ke Putrajaya nanti.




Friday, May 29, 2009

Sandwich Gulung Istimewa


Selain rupa yang menarik, sandwich ni sangat praktikal sebagai bekalan ke sekolah atau jalan-jalan dan berkelah. Penyediaannya di waktu malam dan di pagi hari, boleh terus disajikan. Sandwich ni juga berkhasiat dan mengenyangkan kerana padat dengan lauk dan sayuran. Resepi asalnya daripada Puan Lin (Norzailina Nordin) yang mana K.An tonton rancangan masaknya lebih kurang 6 tahun lepas... (lamanya dah..) Mungkin Puan Lin pun dah tak ingat rancangan tu..

Bahan-bahan: (menghasilkan 4 gulung sandwich)

8 keping roti sandwich
1 mangkuk sambal sardin yang dihancurkan isinya bersama kuahnya
2 keping slice cheese dipotong 2(ikut citarasa) boleh diganti dengan cream cheese
daun salad secukupnya
hirisan tomato
margerin secukupnya

***timun, telur dadar ikut citarasa boleh juga dijadikan filling

Cara membuatnya

1. Nipiskan roti menggunakan pencanai agar tekstur roti padat. Buat hingga habis. Kemudian sapukan margerin/mentega di atas setiap keping roti.

2.Letakkan inti sardin dan daun salad di atas sekeping roti dan letakkan cheese dan tomato di atas kepingan roti kedua. Gulungkan roti seperti dalam video.




3. Bungkus dengan kemas dengan foil aluminium . Buat hingga habis dan simpan dalam peti sejuk selama 4 jam atau semalaman. Selepas itu, buka pembungkus dan potong sandwich setebal 1/3 inci dan boleh dihidang.
..

Tuesday, May 26, 2009

Mari-mari... Nasi Lemak Sardin Panaaas..!


Setiap kali balik kampung, jarang sekali kami melepaskan peluang menikmati nasi lemak sardin di gerai milik keluarga arwah Pakcik Halim yang terletak di hadapan Masjid Batu 5 dahulu. Selalunya selepas solat Subuh, seawal pagi lagi gerai ni dah dipenuhi pelanggan yang gemar menikmati mihun sup, kuih-muih dan nasi lemak sardin yang disajikan di sini.

Gerai ini kemudian diwarisi anak beliau yang juga telah meninggal dunia iaitu arwah Shukor.. dan sekarang gerai tersebut diuruskan oleh isteri arwah dan ahli keluarga mereka yang lain,telah berpindah di tapak pekan Rabu juga di Batu 5 kerana pertambahan pelanggan dan suasana kedai yang lebih selesa.

Zaman K.An sekolah dulu, harga nasi lemak sardin ni cuma 30 sen dan sekarang 50 sen, tetapi yang penting rasanya tetap sama..sedaap.
Tapi yang dalam gambar tu, K.An punya nasi lemak ye... walaupun tak sama 100% tapi bila dibungkus dalam daun pisang, tak kurang enaknya..alhamdulillah..


Resepi sambal sardin ni dah pernah K.An siarkan, tapi khusus untuk nasi lemak bungkus ni, K.An tulis sekali lagi untuk kemudahan semua.
Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 pinggan)

1 tin besar sardin (KingCup atau Ayam Brand)
3-5 biji cili padi diketuk
5 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih dikisar halus
3-5 ulas bawang merah dihiris (dimayang)
1 cawan cili kisar
1 labu bawang besar dihiris gelang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah hiris hingga wangi dan keperangan. Masukkan bawang kisar, cili padi dan tumis seketika. Masukkan pula cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana agar cili tidak hangus.
2. Masukkan sos tomato dalam tin sardin. Gaul rata dan tumis lagi. Tambahkan 1/4 cawan air. Masukkan ikan sardin dan bawang besar. Didihkan dan tambah garam, gula secukupnya. Padamkan api apabila cukup rasa. Sedia dihidang bersama nasi lemak.

Cara membuat nasi lemak:

3 cawan beras super 5% dibasuh dan toskan
5 1/2 cawan santan daripada 1 biji kelapa
1 inci halia diketuk
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul
2 sudu teh garam
1 sudu teh jintan putih dan jintan manis biji(dicampur)

Cara memasak:

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.

***apabila nasi masak hidangkan di dalam pinggan berlapik daun pisang kerana aroma daun pisang menyedapkan lagi rasa nasi lemak.

Senangnya nak Buat Kerabu Tomato...

Abang Azam tak balik makan tengahari sebab nak turunkan berat badan...?... K.An masak yang mudah-mudah je sebab anak-anak tak cerewet nak makan banyak jenis lauk. Tekak ni terasa nak makan kerabu tapi malaaas nak buat yang 'renyah-renyah' tu sebab satu mulut je nak makan. Sudahnya k.An buat je kerabu tomato ni...paaling senang. Ini resepi adik k.An, Moon yang pakar menyediakan sayuran dan ulaman mengikut kehendak suaminya.. heheh..

Bahan-bahan:

1 biji tomato dihiris nipis
2 sudu teh sambal belacan

Cara membuatnya:
Satukan tomato dan sambal belacan.. Gaul rata. Masukkan ke dalam piring... sedia untuk dimakan.. Tak tipu... senang dan sedap.

**** tips daripada Moon.. kalau nak tambah kaler pada kerabu, tambahkan kacang panjang yang dihiris kecil-kecil dan gaulkan dengan ikan bilis/ udang kering ditumbuk halus. Kalau rajin lagi tambahkan bawang besar dihiris halus... memang terangkat..

Monday, May 25, 2009

Pulut Kuning dengan Kari Ayam

Kepala K.An ni berdenyut-denyut sakitnya dah 2 hari disebabkan cuaca yang amat panaaasnya kat luar dan dalam rumah... Makan pun tak berapa selera sebab tekak rasa pahit-pahit sikit.. Sudahnya masak je kari ayam. Tengahari makan dengan nasi, petang nanti boleh buat pulut kuning makan dengan kari.. mmph sedap tu. Sebenarnya pulut ni 'ubat' sakit kepala lagi...hihik. biarkan..dah sakit nak buat macamana kan..? Belasah je labu...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)

1 cawan beras pulut- direndam dengan 2 cawan air, 1 keping asam keping dan sedikit serbuk kunyit semalaman atau 5 jam.

1 cawan santan pekat

garam secukup rasa

sehelai daun pandan dicarik dan disimpul

Cara memasak pulut kuning:

1. Toskan beras pulut di dalam penapis dan lalukan air bersih. Panaskan pengukus. Masukkan beras ke dalam loyang atau bekas tahan panas. Masukkan santan dan garam. Gaul rata. Letakkan sekali daun pandan. Kukus selama 20 minit atau sehingga masak.

***cara lain. Masukkan beras ke dalam periuk nasi. Masukkan 1 cawan santan, garam dan daun pandan dan masak seperti biasa.

Kari Ayam:

500 gm ketulan ayam dipotong kecil

2 sudu besar rempah kari dibancuh dengan 1 cawan air

1 biji kentang dibelah 6

2 tangkai daun kari

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

sedikit halia dihiris halus

1 kuntum bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis

1 cawan santan sederhana pekat

Cara membuatnya:

1.Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan rempah kari dan daun kari. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan ayam dan 1 cawan air. Tutup periuk dan didihkan. Setelah mendidih, masukkan kentang dan santan. Tambah air jika kuah terlalu pekat. Gaul rata. Masukkan garam secukupnya. Didihkan lagi. Padamkan api apabila kentang empuk dan sedia dihidang.

Sunday, May 24, 2009

Laksa Beras Utara

Kepada sesiapa yang biasa ke Pasar Malam Paya Jaras atau Bandar Baru Sungai Buloh, pastinya kenal benar dengan Pak Ndak Zahir yang menjual laksa Utara dengan periuk besarnya... Bukan sahaja laksanya sedap, keramahan Pak Ndak Zahir juga menggamit ramai pelanggan yang saban kali ulang membeli laksa utara di gerainya. Dah lama sebenarnya kami sekeluarga tak ke sana sejak berpindah ke Putrajaya ni. Ada lagi ke Pak Ndak di situ lagi..?

Selain Pak Ndak Zahir, bila sebut laksa utara, K.An teringat Pakcik Mie yang menjual laksa hanya dengan menaiki motorsikal di sekitar kampung K.An. Walaupun jalan kampung dah lebar dan boleh dilalui kereta, Pakcik Mie masih menjual laksa dengan motorsikalnya.. dah biasa agaknya.. Yang sedap dan istimewanya, laksa beras dengan kuih seperti telur sebagai bahan taburannya.. Jangan salah sangka.. ianya bukan telur.. k.an bagi resepinya.. (mak mertua k.An yang ajar)


Bahan-bahan:

1 kg laksa beras basah(k.an beli di pasar presint 8 putrajaya ni... memang sedap) cuma lalukan dengan air mendidih. Toskan.

Kuah Laksa:

1/2 kg ikan sardin segar- rebus dengan air banyak dengan 3 keping asam keping. Didihkan dan ketepikan.

5 biji cili merah*

1/4 cawan cili kisar

4 biji cili api*

3 labu bawang besar dikupas dan potong kecil*

1 sudu besar belacan dihancurkan*

2 kuntum bunga kantan dipotong kecil

segenggam daun kesum

3 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan bertanda * hingga halus. Toskan ikan, simpan air rebusan untuk kuah. Asingkan isi ikan dengan tulang. K.An asingkan kepala ikan dan kisar campur dengan sedikit air.. kemudian tapis. Kisar/ tumbuk isi ikan dan ketepikan.

2. Masukkan air rebusan ikan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar dan tambah air secukupnya. Masukkan isi ikan, asam keping dan cili kisar. Masak kuah hingga mendidih.

3. Biar kuah mereneh. Masukkan garam, bunga kantan dan daun kesum. Tambah sedikit garam untuk sedikit rasa manis. Perlahankan api dan biar kuah mendidih di atas dapur.

Bahan ditabur di atas laksa:

Timun, bawang besar, daun selom, cili padi dihiris halus berasingan.

Telur rebus dibelah 2 atau empat

nenas dihiris kecil jika suka

Cara membuat kuih kuning:

2 sudu besar tepung gandum dicampur dengan 1/2 cawan air. Campurkan sedikit serbuk kunyit dan garam. kacau rata. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Dadarkan kuih seperti telur dadar. Terbalikkan dan angkat apabila masak. Gunting kecil-kecil dan tabur di atas laksa.

Masukkan laksa dan bahan taburan ke dalam mangkuk. Cedokkan kuah secukupnya... sedia dinikmati.

**boleh tambah petis udang kalau suka
***kuah laksa lebih sedap apabila dipanaskan berulang kali kerana rasanya lebih sebati. Boleh tahan sehingga 5 hari jika dipanaskan selalu.

Friday, May 22, 2009

Tak Jadi tapi Sedaaap.. Slice Cheese Cake

Buat pertama kalinya K.An tak rasa kecewa bila kek yang K.An buat tak jadi sama macam resepi asal... hahhaah.. Sebabnya, walaupun tak jadi tapi dia jadi versi lain yang tak kurang sedapnya... Panjang salasilahnya kek keju ni,tapi dipendekkan cerita. K.An salin daripada blog Hana Resepi Pandan Slice Cheese Cake . Hana belajar daripada rosonigiri Terliur nengoknye.."
Tapi kenapa agaknya K.An buat jadi 2 lapis pulak ye..? Lapis atas tu memang lembut dan gebu, lapisan bawah macam puding lemak manis keju..Dah 2 kali buat sama juga.. A.Azam kata.. bior jelah..yang penting sedaaap.. (Mungkin sebab jenis cheese kot... nanti cuba jenama lain pulak.. tengok macamana hasilnya.

Bahan-bahan:

4-5 keping cheese (k.An guna 4 keping)

200 ml susu segar

70gm butter

70 gm tepung gandum (ayak dahulu)

70 gm gula

4 biji telur saiz M

esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Potong/ gunting kepingan keju kecil-kecil dan campurkan dengan susu segar. Masukkan ke dalam periuk. K.An guna kaedah 'bain-marie' ikut cara Mat Gebu. Gunakan api perlahan dan biarkan keju cair. Kacau sentiasa.

3. Masukkan butter dan kacau hingga larut. Tutup api dan sejukkan sebentar.

4. Dalam bekas lain, asingkan putih telur dan kuning telur. Pukul putih telur bersama gula hingga menjadi meringue.

5. Di dalam bekas lain, pukul kuning telur hingga kembang dan masukkan ke dalam adunan cheese tadi. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul lagi. Pastikan adunan tidak berketul.

6. Akhir sekali, campurkan meringue ke dalam aduanan tadi dan beberapa titik esen vanilla. Gunakan cara kaup balik supaya adunan cepat rata. Glis acuan kek dengan margerin dan alaskan dengan kertas. Masukkan adunan kek ke dalam acuan.

7. Bakar pada suhu 170 darjah selama 20 minit dan turunkan suhu ke 140 darjah selama 40 minit. Gunakan acuan kek berukuran 20 cm dan letakkan sedikit air di bawah loyang (kaedah 'bain-marie')untuk mendapatkan kek yang halus.

Apabila kek masak-, sejukkan sebelum dikeluarkan daripada loyang... selamat mencuba... tengok yang mana satu hasilnya..heheh

***tolong Hana.. tolong Mat..!! Kenapa kek akak jadi gitu..?

*** Tips daripada Ros empunya resepi: Bahagikan meringue kepada 3 bahagian dan campurkan sedikit demi sedikit ke dalam aduanan. Gaul menggunakan senduk kayu dan jangan 'over-mix'


Wednesday, May 20, 2009

Kuih Nagasari

Musim panas kering macam sekarang ni, tekak pun nak menjamah yang lembut-lembut, sejuk dan cair kat lidah je... kurang juga guna tenaga mengunyah.. Baki pisang ada lagi kat peti ais. Malas nak buat yang susah, buat je kuih nagasari ni... kuih tradisi lagi..


Bahan-bahan: (menghasilkan 10-12 bungkus nagasari)

Bahan A

50 gm tepung beras (3/4 cawan)

1/2 liter santan sederhana pekat(3/4 cawan)

1 sudu teh garam

Bahan B:

5-7 biji pisang masak dan manis(raja/ awak /emas)

daun pisang bersaiz 6 inci X 6 inci secukupnya

Cara membuatnya:

1. Layur daun pisang di atas api agar lembut. Ketepikan.

2. Masukkan bahan A ke dalam periuk dan kacau sebati menggunakan api perlahan. Kacau hingga adunan pekat dan berkilat. Matikan api. Ketepikan.

3.Belah dua pisang memanjang. Sediakan daun pisang. Ambil 1 sudu besar adunan bahan A yang dimasak tadi dan letakkan di atas daun pisang. Ratakan sedikit.

4. Letakkan sebelah pisang di atasnya dan ambil lagi sedikit adunan bagi menutup pisang itu.

5. Bungkus dengan kemas. Buat hingga habis. Panaskan pengukus dan kukus kuih selama 10 minit. Keluarkan daripada pengukus dan sejukkan sebelum dihidang.

Tu dia... sedia untuk di mamammm...

*** adunan yang sama boleh digunakan untuk buat kuih Tepung Bungkus

Roti Kentang dah Siap Mat...!

Sudah sekian lama K.An teringin nak buat roti yang lembut dan gebu macam yang dijual di kedai-kedai tu, tapi tak kesampaian. Banyak dah rancangan memasak termasuk rancangan Yuk Buat Roti oleh Chef Wan K.An tonton, tapi bila cuba, tak jadi juga.

Bila tersinggah blog Mat Gebu yang memang pandai memasak serba-serbi tu, tengok roti kentang yang dia buat..alamak tergoda K.An. Pergi kedai, beli bahan yang sepatutnya, terus buat roti kentang tu... Berulangkali K.An baca Bismillah masa uli tepung.. dan hasilnya, alhamdulillah.. gebu dan cantik macam yang kat kedai. Terima kasih juga kepada Kak Rin yang mula-mula buat roti ni sblm Mat. K.An bagi resepi yang Mat bagi.


Bahan-bahan:

Bahan Doh Roti:
300 g tepung roti (high protein)
2 camca teh yis segera (mauripan atau apa-apa jenis)
3/4 sudu besar susu tepung
1/2 camca teh garam
60 gm gula castor
60 gm kentang lecek (dah direbus lebih dahulu)
1/2 biji telur (guna lagi 1/2 untuk sapu atas roti)
135ml air sejuk (dari peti ais)
30 gm mentega
1/2 camca teh bread improver
1/2 camca teh bread softener

Bahan Kastard:
1 camca besar tepung gandum
1 camca besar tepung kastard
4 camca besar gula halus
1 cawan susu segar
1 biji telur saiz A
1 camca besar mentega

Cara membuatnya:
1. Untuk Doh Roti: Satukan bahan untuk doh roti kecuali air dan mentega. Gaul dengan tangan hingga sekata. Buat lubang di tengah dan tuang air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh. (K.An buat kat atas meja supaya senang menguli)
2. Tambah mentega dan terus menguli hingga menjadi doh yang kenyal dan lembut.
3. Bulat-bulatkan doh dan perap 1 jam hingga doh kembang.

Untuk Kastard:
Sementara menunggu doh naik, buat kastard. Satukan semua bahan kastard kecuali mentega dalam bekas tahan panas. Kacau rata dengan whisk. Masak secara double boiler sambil terus mengacau hingga pekat dan berkilat. Alihkan dari double boiler dan masukkan mentega. Kacau hingga sebati. Tutup kastard agar permukaannya tidak keras.

Untuk Roti kentang:
1. Keluarkan doh. Tumbuk doh untuk membuang udara. Bahagikan doh kepada 15 atau 16 bahagian. Bulat-bulatkan setiap bahagian dan susun dalam bekas yang telah disapu mentega. Buat hingga siap. Tutup adunan dan biarkan 45 minit hingga doh mengembang lagi.

Selepas 45 minit, panaskan oven. Sapukan permukaan roti dengan baki 1/2 bahagian telur tadi. Isikan kastard dalam piping bag (plastik dilubangkan di penjuru bawahnya) dan paipkan secara bersilang atas roti tadi.
Bakar dalam oven pada suhu 180 darjah celcius selama 20 minit atau hingga masak. (letakkan loyang di tengah oven)Sejukkan atas jaringan sebelum dihidang.
** memandangkan oven k.An kecik je, K.An bahagikan kepada 2 loyang. 2 kali bakar le maksudnya. Hasilnya tetap memuaskan... jangan risau kalau tak ada oven besar macam Mat.. boleh buat juga..

Donut warna-warni..

Alahai Intan.. macam tau-tau je K.An belum tidur lagi.. Nak tau tak, Jumaat lepas K.An buat roti kentang. Sementara tunggu doh roti tu kembang, baki kentang lecek yang ada tu, K.An kerjakan buat donut... Adunannya macam resepi yang ada tu (tengok kat resepi kuih-muih-pau sambal), cuma dah lepas goreng, K.An sapukan susu pekat dan taburkan 'rice' warna-warni tu... Laju je sorang-sorangnye makan..
Dulu masa kat Rawang, ada anak kawan K.An yang selalu 'order' donut macam ni.. Bila kami pindah, dia selalu tanya mak dia, bila nak dapat makan donut Cik An lagi...?
*** nak lembut lagi donut tu, tambah 1 sudu besar (rata)susu tepung dalam campuran bahan kering sebelum diuli dengan air.

Tuesday, May 19, 2009

Ikan Tenggiri Sambal

Dah memang tekak orang Melayu yang tak boleh makan nasi tanpa lauk pedas... Kalau tak ada sambal belacan, atau asam pedas, atau sambal tumis, atau kari atau masak lemak cili api.... mmph memang perlahan je suapnya. Paling kurang kena buat kicap pedas atau budu dikawankan dengan cili padi..

Di rumah ni pun dalam setiap hidangan, kena ada yang warnanya merah. Tambahan pulak si Sarah (anak K.An yang no-3 tu). Kalau bukak tudung saji, ada sambal tumis.. terus je kata sedapnya... walaupun belum makan...

Lagi satu perkara, selain boleh dibuat taucu, kalau ada lebihan ikan goreng yang tak habis, boleh juga dibuat sambal tumis macam ni.. tak membazir...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

3 ketul ikan tenggiri- bersihkan, lumur dengan garam kunyit dan goreng separa garing. Ketepikan

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk/kisar halus

1/2 cawan cili kisar

1 labu bawang besar dipotong gelang

1 sudu kecil pati asam jawa Adabi dicampur 1/2 cawan air

garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga pecah minyak.

2. Masukkan air asam jawa dan bawang besar. Biar mendidih dan bawang layu. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan sedia dihidang.

Rendang Udang

Sebenarnya tak ada idea nak masak apa... jenguk peti ais , bahan apa yang ada. setengah jam lagi abang Azam dan anak-anak dah nak balik, lengkuas ada, serai, cili, santan semua ada. Daun kunyit dan daun limau petik je kat depan rumah... Buat rendang lah kita...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

300 gm udang harimau
1 cawan cantan pekat

bahan dikisar halus:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang serai-dihiris halus
1 sm lengkuas
3 biji cili padi- tak perlu kalau tak suka pedas

2 sudu besar cili boh/kisar
1 sudu besar kerisik
daun kunyit dan daun limau purut dihiris halus

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kisar, cili kisar dan santan ke dalam kuali. Masak dengan api sederhana hingga mendidih. Kacau sentiasa hingga kuah pecah minyak dan pekat.
2. Masukkan udang dan kerisik. Kacau sebentar hingga udang masak. Masukkan garam, gula secukup rasa. Padamkan api dan taburkan daun limau purut dan daun kunyit.

Sesangan Pisang Muda dengan ikan Tenggiri

Selain pisang masak untuk dibuat kuih-muih, dapat juga bekalan pisang muda dari kampung secara tak sengaja. Masa K.An dan Abang Azam dok menebang pokok pisang kat kampung kami tu, ada la pokok yang rapaat sangat dan rapaat pula dengan pagar jaring reban ayam jiran sebelah. Dek kerana nak mengelak tumbang ke pagar jiran tu, terkorbanlah sepokok pisang yang masih muda belia buahnya... Tak apalah, kita gulaikan je pisang ni.. hihih..

Gulai lemak kuning kalau dicampur dengan ikan, kami orang Banjar namakan Sesangan. Lebih sedap jika ada ikan darat seperti sepat, haruan atau puyu... mmmph wal lllah..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1 sikat pisang muda- kupas kulit, potong serong dan rendam dalam air seketika
3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
sedikit serbuk kunyit
1 keping asam keping
1 ketul ikan tenggiri dipotong 4
1 biji cili merah dihiris serong

Cara membuatnya:

1. Rebus pisang hingga lembut. (lebih kurang 5-minit je). Toskan.
2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali santan pekat. Didihkan dan kacau sentiasa dengan api sederhana.
3. Masukkan santan pekat dan garam dan gula secukup rasa. Apabila mendidih, padamkan api dan sedia dihidang.

*** dalam gambar tu dah tak ada ikannya sebab dah habis dikerjakan a.azam dan anak-anak. Asma' kata ikan tu sedap macam ayam...heheh..

Buat sendiri Pop-Corn

Minggu lepas, terlapang sikit, dan K.An dapat panggilan daripada mak kawan Asma' yang sudi kongsi resepi pop-corn. Pergi ke c4, beli jagung kering dan jadilah pop-corn buatan sendiri. Lebih sedap, lemak dan manis. Resepinya nanti mintak izin daripada empunya resepi dulu ye...

Dah dapat keizinan untuk dikongsi resepinya.. (thanx Jeanna)

Bahan-bahan: (menghasilkan 1 periuk 4 liter pop-corn)
1/2 cawan jagung kering (murah je beli di pasaraya)

1/2 cawan minyak masak

1/2 cawan margerin

1/2 cawan gula pasir (K.an gunakan gula castor)

Cara membuatnya:

1. Panaskan kuali. Tuangkan semua minyak bermula di sekeliling kuali agar minyak rata. Masukkan jagung. Tutup kuali. Gunakan api sederhana.

2. Biarkan jagung meletus 'pop'. Semakin kurang bunyi, perlahankan api dan apabila habis bunyi, baru buka tudung kuali. Matikan api. Ketepikan dulu.

Karamel:

Dalam kuali lain, campurkan margerin dengan gula. Hidupkan api sederhana. Apabila margerin mula cair, perlahankan api. Kacau campuran gula dan margerin hingga gula hancur dan agak pekat. Jangan biar hangus. Matikan api dan masukkan jagung. Gaul rata.


Sedia dinikmati bersama keluarga...

Thursday, May 14, 2009

Sagu Gula Melaka

Di suatu hari... K.an menonton rancangan Food Lover's Guide to Australia (rancangan fav. K.An tapi, tolak bab tunjuk makan yang tak halal..). Kali ni dia melawat restoran nyonya yang menyajikan pelbagai kuih-muih tradisonal nyonya yang sangat terkenal tu... antaranya sagu gula melaka. Siap demo cara dia buat... mmp..lain sikit daripada yang selalu K.An buat dan baca di majalah. Nampak lebih mudah dan praktikal. K.An dah cuba dan memang hasilnya sangat memuaskan. Baby Maryam dan Princess 'Aisyah pun suuukaa sangat.

Bahan-bahan: (menghasilkan 5 bekas dadih kecil)

1/2 cawan sagu biji (K.An gunakan yang warna hijau)- rendam dengan 1 cawan air selama 15 minit
4 cawan air biasa
1 biji putih telur
acuan secukupnya

Cara membuatnya:

1.Masukkan air ke dalam periuk. Didihkan. Biar api sederhana. Masukkan sagu yang direndam tadi (jangan toskan) dan kacau sentiasa hingga sagu timbul dan jernih. Tuangkan ke dalam penapis halus.
2. Dalam bekas lain, kacau putih telur dengan garpu. Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul rata bersama sagu yang ditoskan tadi. Masukkan campuran sagu ke dalam acuan dan sejukkan di dalam peti ais.

Bahan sirap gula melaka:

Cairkan 1 keping gula melaka dengan 1 cawan air mendidih. Kacau sentiasa hingga air gula mendidih. Padamkan api dan sejukkan.
Campurkan sedikit garam dengan 1 cawan santan pekat. Sejukkan dalam peti ais. (jika ingin santan tahan lama, masak di atas api perlahan seperti menyediakan santan untuk cendol.

Hidangkan sagu bersama 2 sudu besar air gula melaka dan 2 sudu besar santan. (tambah jika tak cukup manis atau lemak)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin