Showing posts with label mihun. Show all posts
Showing posts with label mihun. Show all posts

Saturday, October 22, 2011

Mihun Goreng Putih aka Mihun Goreng Singapore


Salam sejahtera dan salam persaudaraan untuk semua... Kepada yang sedang bersarapan, K.An ucapkan selamat bersarapan...kepada yang tengah fikir nak masak apa untuk keluarga di hujung minggu ni, boleh cuba Mihun Goreng putih ni... Boleh dihidangkan untuk minum petang nanti ataupun sarapan pagi esok. Mudah dan ringkas tapi sedap...

Selalunya K.An memang buat Mihun Goreng biasa seperti dalam resepi-resepi K.An yang lepas sebab anak-anak sukakan mihun yang ada warna.. merah ataupun gelap sedikit. Yang putih, banyak pulak soalnya nanti.. Tapi sesekali K.An nak juga makan yang putih macam ni tapi buatan sendiri yang tak ditambah bahan perisa tiruan/ segera  .. almaklum, kalau makan di kedai... aduuuh terasa di tekak banyaknya bahan perisa yang digunakan. Konon nak sedap tapi sudahnya balik rumah sakit kepala seharian...

Sebenarnya ini nasihat K.An kepada yang baru nak belajar memasak.. jangan mula gunakan sebarang bahan perisa kecuali garam, gula, asam, bawang dan yang lain-lain kecuali yang segar dan asli. Yakinlah kepada diri anda bahawa, dengan menggunakan ayam, udang, daging, sotong dan sebagainya sudah cukup untuk menyedapkan masakan anda. Penggunaan air rebusan ayam, daging dan kulit udang juga banyak membantu menambah kelazatan masakan anda terutama untuk sup dan goreng-goreng. Yang penting yakin dengan kebolehan diri.



Sebagai contoh mihun goreng putih ni, K.An gunakan sotong dan air rebusan daging sebagai bahan utama.. alhamdulillah walaupun ringkas, tapi tak kurang kesedapannya.

Bahan-bahan mihun goreng Putih: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 bungkus mihun- rendam dalam air biasa secukupnya selama 30 minit
1 labu bawang besar dihiris
5 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
200 gm daging- dihiris kecil dan direbus dengan  hingga empuk- ketepikan
100 gm sotong dihiris kecil
1 pokok sawi- K.An gunakan sawi hijau yang pendek-pendek tu- ptoong 1 sm panjang
100 gm kobis-hiris kecil
 1 tangkai cili merah dihiris
1 biji telur

1/2 sudu teh serbuk lada putih
secubit serbuk lada hitam (sedikit sahaja)
garam dan secubit gula
1 sudu besar sos tiram
minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:

1. Toskan mihun. Keluarkan daging daripada air rebusan. Panaskan 3-4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang besar dan bawang putih hingga agak layu dan berbau wangi. 

2. Masukkan sotong, daging, cili merah, sawi dan kobis. Goreng hingga sayur layu sedikit. Masukkan sos tiram, sedikit garam, sedikit lada putih, lada hitam dan gula (boleh tambah kemudian jika tidak cukup). Kacau sebentar dan pecahkan telur. Biarkan telur agak masak baru dikacau agar telur tidak hancur.

3. masukkan 1 cawan air rebusan daging. Biarkan mendidih barulah dimasukkan mihun yang telah ditoskan tadi. Kacau sekali-sekala hingga semua bahan rata dan mihun lembut. Bergantung kepada jenis mihun yang digunakan.... tambah air rebusan jika mihun belum cukup masak. Kacau lagi hingga semua bahan sebati.

4. Rasa mihun goreng dan tambah  garam, lada putih atau lada hitam lagi jika perlu... Bila mihun kering matikan api dan sedia dihidang panas-panas.

*** Taburkan bawang goreng dan daun bawang sebagai tambahan. K.An gorengkan Nugget Tempura Ramly sebagai hiasan untuk menarik minat si kecik 2 orang tu.... Tak ada pun , mihun ni dah sedap.

*** Untuk resepi mihun Goreng Putih Versi lain, boleh singgah dapur  Bro Rozzan  atau kak Ummi.

Sunday, March 28, 2010

Mihun Sup Udang

2, 3 hari ni K.An tengah 'study' menu lama-lama yang menjadi hidangan kami sekeluarga masa kecik-kecik dulu. Ada yang selalu K.An masak untuk keluarga dan ada juga yang dah laaaama tak dibuat. Seperti biasa, telefon mak tanya beberapa resepi klasik kami sekeluarga. Antaranya mihun sup udang ni. Tak pernah jumpa lagi kat tempat lain, jadi moga tak pupus, elok K.An kongsikan resepinya di sini.

Bahan dan cara membuatnya sangat mudah, almaklum mengikut bekalan kami suatu ketika dulu di kampung yang tiada bekalan elektrik dan tiada peti ais...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 peket mihun- dicelur hingga lembut- toskan
1 mangkuk udang putih, dibuang kepala dan ekor
1 ikat sawi dipotong 1 inci -ikut citarasa
1 labu bawang besar**
3 ulas bawang merah**
3 ulas bawang putih**
1 sup bunjut Adabi
3 sudu besar tomato puri/ lagi bagus kalau gunakan 1/2 tin tomato sup (kat dalam tin tu..)
1/4 cawan kicap manis
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
7 cawan air
minyak untuk menumis

Bahan ditabur di atas mihun:

1 keping Tauhu
Udang goreng
daun sup/ bawang
bawang goreng
cili merah dihiris
kicap pedas

Kicap pedas: Kisar 5 tangkai cili padi dan 2 ulas bawang merah hingga halus. Campurkan 1/4 cawan kicap manis dan perahkan sedikit limau kasturi. sedia dinikmati

Cara membuatnya:

1. Hiris halus semua bahan bertanda **. Bahagikan udang kepada 2. sebahagian digaul garam dan kunyit dan goreng separa garing. Goreng juga tauhu dan hiris nipis. Ketepikan dahulu

2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan bawang besar hingga wangi. Masukkan 7 cawan air dan sup bunjut. Didihkan. Masukkan sawi, tomato puri, sos cili, sos tiram dan kicap manis. Didihkan lagi.

3. Masukkan udang dan tambahkan garam dan gula secukup rasa. Mesti ada rasa masam, manis dan sedikit pedas. Masukkan mihun ke dalam mangkuk. Tambahkan bahan taburan dan kicap pedas. Masukkan kuah dan hidang panas-panas.
*** anak-anak K.An tak suka tauhu dan banyak sayur, jadi K.An buat versi ringkas je.... Senang dan laju je anak-anak makan...

Friday, July 17, 2009

Mihun Goreng Udang

Keluarga K.An memang suka mihun goreng.. (banyak kali dah sebut ni..hihik) tak jemu dan selalu buat untuk sarapan mahupun minum petang.. Kali ni mihun goreng versi udang pulak. Bahan pun senang je...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 peket mihun- direndam 15 minit dalam air biasa
sementara tu sediakan bahan lain;
1 labu bawang besar dihiris membujur
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 cawan udang putih, dibuang kepala dan ekornya (boleh ganti dengan udang harimau)
2 biji telur
1/2 cawan taugeh- jika tak suka ganti dengan kobis
3 tangkai daun sawi dipotong 1 inci panjang
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar cili kisar
3-5 sudu besar kicap manis
1 sudu teh garam
1 cawan air rebusan kulit udang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan udang. Tumis seketika.
2. Masukkan sos cili, garam, kicap, sawi dan air rebusan. Didihkan. Masukkan telur. Biar separa masak, baru dikacau.
3. Masukkan mihun dan tambahkan air jika perlu. Masak hingga mihun lembut (tambah air jika perlu lagi)dan masukkan taugeh. Rasa dan tambahkan kicap jika belum cukup rasanya. Gaul sebati dan tutup api. Sedia dihidang.



Wednesday, June 10, 2009

Cerita masak-masak waktu bercuti.. mihun goreng tasik kenyir

Assalamualaikum semua... lamanya k.An berehat. Dah siap mengemas sekembalinya dari bercuti panjang, pagi ni baru sempat nak menjenguk periuktanah... takut dah bersawang dan berdebu..hihih..
Ada banyak cerita yang nak dikongsi, tapi boleh juga jenguk Resmipadi
atau fb k.an atau Suara Hati (untuk gambar-gambar di Kenyir)
Kali ni lebih puas hati sebab dah bersedia bekalan secukupnya untuk masak-masak di sana. Memang berbaloi.
Sampai je di Rumah Peranginan Persekutuan Tasik Kenyir tempat kami menginap, terus k.an sediakan bahan mentah untuk minum petang.
K.An masak mihun sebab letih angkut barang tadi, perut pun dah berkeroncong... kena makan berat sikit.. mihun ni memang versi ala kadar tapi rasanya tetap sedap.. alhamdulillah



Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)
1 bungkus mihun (direndam air biasa 15 minit)
1 labu bawang besar dihiris nipis membujur
3 ulas bawang putih dihiris
1 sudu teh serbuk cili dicampur 1/2 cawan air panas
5 sudu besar sos cili
segenggam udang kering direndam air panas 5 minit, kemudian tumbuk halus
1/2 cawan isi ayam dipotong kecil (sempat beli ayam sebelum naik bot)
2 biji telur
3-5 sudu besar kicap manis ikut citarasa
1 sudu teh garam
sayuran jika ada... (k.an tak letak sebab tak bawak pun)
Cara membuatnya:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng isi ayam hingga wangi dan nampak keperangan. Terus masukkan bawang besar, bawang putih dan udang kering. Tumis 2 minit.
3. Masukkan serbuk cili yang telah dibancuh tadi. Tumis lagi. Masukkan sos cili, 1/2 cawan air, kicap dan garam.
4. Masukkan telur. Biar masak sedikit baru dikacau hancur.
5. Masukkan 1 cawan air. Didihkan. Masukkan mihun. Kacau rata. Tambahkan air jika mihun belum cukup lembut. Gaul rata hingga semua bahan sebati dan mihun masak. Angkat dan hias ikut citarasa...

Sunday, November 23, 2008

Mihun Goreng

Mihun goreng macam ni hanya boleh jumpa kat rumah mak kat kampung, dan rumah kami adik-beradik. Sama je rasanya sebab satu guru, satu citarasa. Dari rumah Kak N (yang sulung) sampai rumah Cu Da. Rumah Cu Kimi je belum rasa sebab pergi rumah miza, miza jamu mee rebus.. he..heh

Bahan-bahan: (untuk 10-12 orang makan)
1 bungkus mihun direndam air biasa
1 labu bawang besar (merah)-dihiris membujur
3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
100 gm daging dipotong nipis
2 sudu besar udang kering ditumbuk halus
100 gm udang putih dibersihkan
*** pilihan; udang harimau, isi ayam, sotong -ikut citarasa
5 tangkai sawi dipotong 1 inci- ketuk batangnya
segenggam taugeh dibersihkan
2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
5 sudu besar kicap manis(kurangkan kalau tak suka warna gelap)
2 biji telur
garam secukup rasa
telur dadar, bawang goreng, daun sup, cili merah untuk ditabur di atas hidangan
Cara-cara:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang besar hingga wangi. Masukkan udang kering, daging dan udang putih. Goreng seketika.
2. Masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan sos cili, sos tomato dan sedikit air. Kacau rata.
3. Masukkan sawi dan kicap. Masak 2 minit. Pecahkan telur dan kacau perlahan. Masukkan 1 sudu teh garam.
4. Toskan mihun dan masukkan dalam kuali. Tambah 1-2 cawan air. (Kalau ada air rebusan kulit udang atau rebusan ayam, lagi sedap)
5. Kacau mihun perlahan-lahan hingga mihun lembut. Tambah air jika kurang. Potong-potong mihun guna gunting. Rasa mihun dan kalau kurang masin, tambahkan garam. Bila mihun telah lembut baru masukkan taugeh. Kacau rata.
6. Bila cukup lembut, tutup api dan boleh dihidang untuk sarapan atau minum petang.
*** Chef Wan kata jangan buang kulit dan kepala udang camtu je. Rebus dan simpan air rebusan dalam 'freezer'. K.An ikut petua dia dan selalu guna untu goreng-goreng atau masak sayur. Tak membazir.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin