Friday, November 13, 2009

Mee Bandung Muar- versi ekspress

Assalamualaikum.. salam penuh kesegaran dan keceriaan daripada K.An sebab beberapa hari ni cuaca sungguh nyaman di Putrajaya ni... hampir setiap petang hujan dan menyebabkan perut sentiasa lapar minta diisi... heheh...

Kali ni K.An nak kongsi kesedapan mee bandung muar versi ekspress. Sebenarnya pes ni adalah antara siri buahtangan rakan K.An, Linda selain pes soto dan set Beriyani Gam Johor yang telah k.An siarkan lama dulu.

Memang ada pelbagai jenis pes segera dalam pek mudah bawa yang dipasarkan sekarang tak kira di 'kiosk' IKS ataupun di pasaraya besar
... Namun tak semuanya sedap dan asli rasanya. Tapi bila k.An cuba pes ni, alhamdulillah memang sedap dan tak mengecewakan.... Malahan lebih sedap daripada yang dibeli di restoran yang menyajikan Mee Bandung Muar di dalam menu mereka yang pernah K.An cuba.


Maklumlah, yang ini dah diuji tahap mutu dan 'standard' rasanya. Jika ikut sahaja arahan yang diberi pasti tidak silap... Kepada yang ingin mencuba boleh beli terus daripada K.An juga...

Resepinya mudah sahaja:
*** disertakan juga resepi pada pek, tapi K.An buat yang asas sahaja... tupun dah sedap..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 8-10 orang)

1 pek pes Mee Bandung Muar
2 peket mee kuning dicelur dan toskan
100 gm sawi hijau- dipotong 1 inci panjang
50 gm udang
50 gm daging- hiris nipis dan rebus empuk
5 biji telur
sayuran lain ikut citarasa seperti bunga kobis, jagung muda dan karot
bawang goreng dan limau nipis untuk dihidang bersama mee

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1.2 liter air di dalam periuk. Masukkan daging + 1/2 cawan air rebusan, sayuran dan udang.
2. Apabila mendidih masukkan telur sebiji, demi sebiji. Jangan biar kuningnya pecah. Apabila telur nampak masak (ada juga yang suka telur separa masak) padamkan api.
3. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atas mee. Taburkan bawang goreng dan perahkan limau kasturi. Sedia dinikmati.


Tuesday, November 10, 2009

Apam Beras lagi...

Buat lagi, lagi dan lagi....... Setiap kali jenguk periuktanah, pastinya 'kelibat' apam beras menyapa mata dulu... dah jadi kegemaran kami semua di rumah ni dan masih tak jemu-jemu menjamahnya. Boleh dikatakan juga, K.An sentiasa ada bekalan 'frozen' apam beras kat dalam peti sejuk beku di dapur tu...
Beberapa hari lepas, di pagi ulangtahun periuktanah, teringat pula nak masukkan kembali beberapa langkah membuat apam beras yang dulu tak sempat dikongsi bersama resepi yang disiarkan. Kebetulan K.An nak cuba warna baru yang lebih 'garang' (sebab anak-anak suka kuih warna-warni...) maka K.An rakamkan beberapa gambar menarik sepanjang proses kuih apam dimasak.

Untuk pengetahuan semua, antara sebab K.An suka buat kuih ni ialah "semacam ada rasa kepuasan yang tak terbayang apabila melihat apam yang dikukus mekar cantik dan tekstur gebunya apabila dimakan.... hmmmm... memang best.

Untuk resepi.. klik sini ye...
***tips galakan:

***apam yang siap dikukus dan dikeluarkan daripada acuan hendaklah dibiarkan sejuk sepenuhnya sebelum dimasukkan ke dalam bekas bertutup atau plastik yang di'seal' dan dimasukkan ke dalam bahagian beku peti ais.

*** Apam yang dibekukan tahan berbulan dan boleh dikukus semula apabila ingin dinikmati.

*** ragi yang elok juga memainkan peranan penting dalam mempastikan kuih apam yang enak dan gebu.

Saturday, November 7, 2009

Seri Muka (resepi II)

Assalamualaikum semua..

Resepi Seri Muka kali ni, K.An kongsikan khas untuk mereka yang sukar nak mendapatkan bekalan santan segar... yang ada cuma santan peket, tetapi teringin nak buat kuih-muih tradisi yang menggunakan santan.

Cari punya cari, terjumpa dengan resepi daripada maryam dari My Resepi. K.An dah cuba.. hasilnya memang sedap. Berbeza sedikit dari segi lemak dan lembabnya sahaja. Santan segar lebih lemak dan lembab berbanding santan serbuk. Tetapi resepi ni sangat sesuai kalau nak buat seri muka dalam kuantiti yang banyak (untuk jamuan dan kenduri) kerana tidak lembik dan mudah dipotong...

Terima kasih maryam atas resepi ini:

Bahan-bahan: (menghasilkan dua loyang bulat berdiameter 7 inci)

***kalau kali pertama cuba buat separuh adunan cukup- jadi satu loyang)

Lapisan Bawah:
50 gm santan serbuk + 2 cawan air
1 sudu teh garam, masukkan ke dalam santan
500 gm beras pulut
2 sudu makan minyak masak

Lapisan atas:

2 sudu besar pandan paste (K.An guna air pandan daripada2 helai daun pandan)
1/2 sudu teh garam
3 biji telur
100 gm santan serbuk + 2 1/2 cawan air
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
1 cawan gula

Cara membuatnya:

1. Rendam beras pulut selama 20-30 minit. Toskan.
2. Panaskan pengukus. Masukkan santan bercampur garam dan beras pulut ke dalam loyang. Masukkan minyak dan gaul sebati. Kukus pulut selama 20 minit.
3. sementara pulut dikukus, campurkan bahanbahan lapisan atas. Kacau menggunakan whisk. Tambah sedikit pewarna hijau bagi mencantikkan warna kuih.

4. Selepas 20 minit, Keluarkan loyang. Gaul rata pulut agar santan dan pulut sebati. Tekan padat dan ratakan menggunakan belakang senduk.

5. Masukkan loyang ke dalam pengukus semula. Pastikan pengukus panas dan airnya mendidih. Tapiskan adunan lapisan atas tadi ke atas pulut. Kacau sedikit dengan sudu dan tutup pengukus. Kukus selama 15-2o minit. (bagi mengelakkan air masuk ke dalam loyang, tutup loyang dengan aluminium foil atau tuala dapur bersih)

*** kuih masak apabila loyang disengetkan, bahagian tengah kuih tidak bergoyang- kental
***sekiranya loyang tidak ditutup aluminium foil, cedokkan air yang masuk ke dalam kuih, menggunakan sudu bagi mengelakkan kuih menjadi 'lembek' apabila sejuk.

Sejukkan kuih 3-5 jam sebelum dipotong dan dihidang...

Friday, November 6, 2009

Hadiah Ulangtahun Periuktanah

Alhamdulillah..... syukur nikmat atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita semua...

Rezeki K.An dan keluarga juga bila Abg Azam membawa pulang Sistem Rawatan Air AMWAY yang terbaru untuk rumah kami. eSpring namanya... Dah lebih 10 tahun Sistem Rawatan Air Generasi Pertama AMWAY berkhidmat di rumah kami, dan perkhidmatannya saaangat memuaskan. Berkat rezeki yang ada, kami bertukar kepada yang baru, yang lebih canggih dan mempunyai 16 patent antarabangsa... Hadiah yang sangat bermakna untuk kami sekeluarga dan menggalakkan lagi K.An untuk masak-masak...

Yang penting sumber airnya diyakini bersih dan sihat... barulah makanan yang kita nikmati bukan sahaja sedap tetapi berkhasiat untuk tubuh badan.... (untuk maklumat lanjut layari www.Amway2U.com)

Buttered Prawn

Resepi mudah, tapi menyelerakan.... dah banyak kali buat tapi ini kali pertama K.An masukkan dalam periuktanah... Asalnya dulu-dulu, tak berapa menjadi kuning telur tu, sebab dalam resepi yang k.An baca, tak disebut teknik yang tepat ketika memasaknya... sehinggalah K.An terjumpa di blog Nita- sudipkayu.blogspot.com.... maka cantiklah rupa 'Buttered Prawn' ini bersama kesedapan rasanya.... cuba jangan tak cuba... tq Nita untuk tips berguna..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

500 gm udang -ikut citarasa masing-masing, nak buang kepala ke, nak tinggal ekor ke, tapi kalau udang saiz besar elok sangat kalau dibelah belakangnya supaya cepat masak

2 biji kuning telur gred A
3- tangkai daun kari- dilurut daunnya
5 ulas bawang putih dicincang halus- K.An ketuk sahaja
5 biji cili api (akar) dihiris halus

sedikit garam, kunyit dan 1/2 sudu teh lada sulah

2 sudu besar mentega
1/2 cawan minyak untuk menggoreng udang

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Gaulkan udang dengan garam, kunyit dan lada sulah. Goreng udang selama 3-5 minit (bergantung kepada saiz udang) dan angkat. Toskan.
2. Keluarkan sebahagian minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja. Panaskan dan goreng daun kari, cili padi dan bawang putih hingga wangi. (baunya sungguuuuh... sedap) Angkat dan taburkan di atas udang goreng tadi.

3. Campurkan mentega ke dalam minyak dalam kuali tadi. Sediakan acuan roti jala. Pukul sedikit kuning telur dengan garpu. Panaskan kuali. Masukkan kuning telur ke dalam acuan roti jala. Lalukan acuan roti jala mengikut arah jam di dalam kuali sambil sebelah tangan lagi mengacau telur tersebut. Apabila telur nampak garing... cedokkan dengan sudip berlubang. Taburkannya di atas udang goreng tadi. Sedia dinikmati..

Tuesday, November 3, 2009

Popia Basah Idamanku...

K.An sukaaa sangat popia basah ni.. selalu beli kat pasar malam je.. tapi sejak anak-anak dan abg.Azam pun 'join' sekali jadi penggemarnya... dah tak puas makan bila kena beli kat luar.. Tibalah masa untuk belajar buat sendiri kat rumah.

Dah lama bertanya dan mencari resepinya, akhirnya minggu lepas, jumpa di My Resepi.. sebelum ni tak terfikir nak cari kat situ... Sedia bahan, sedia peralatannya... K.An pun bukak gerai popia di rumah... alhamdulillah, cubaan pertama, terus menjadi elok.. Ketika N3 ini ditulis, dah masuk kali ketiga, K.An buat popia basah ni.. boleh le bagi tips sikit-sebanyak...

Terima kasih banyak-banyak Kak Umie yang sudi kongsi resepi..

Bahan-bahannya: menghasilkan 12-15 keping kulit popia- ikut saiz masing-masing

2 cawan tepung gandum
1 biji putih telur
3/4 cawan air
2 sudu makan cuka
secubit garam

Cara membuat kulit:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati. Boleh guna tangan atau sudu. Jika adunan nampak agak pekat, tambah 1-2 sudu besar air (ikut jenis tepung). (K.An tambah 2 sudu besar).. Tutup dan perap sekurang-kurangnya 30 minit.

2. Selepas 30 minit.. panaskan kuali leper atas dapur. K.An gunakan kuali antik roti jala atau roti canai atau murtabak tu... memang mudah. Kata kak Ummie boleh guna kuali non-stick, tapi k.An rasa mungkin agak kekok dengan tepi kuali sebab takut melecur pulak nanti. Apabila kuali panas, perlahankan api...

3. Ambil sejemput adunan dan lengserkan atas kuali seperti video tu...



4. Biarkan kulit popia masak dan kemudian angkat perlahan-lahan dengan menarik kulit popia dari tepi.

5. Ulang proses hingga adunan habis. boleh letak kulit tu bertindan antara satu dengan lain sebab ianya tak melekat.
(nanti k.an sambung dengan intinya ye.. ada iklan susu kejap)Bahan-bahan sos: (boleh disediakan lebih awal)

15 tangkai cili kering-buang biji, rebus, toskan dan kisar bersama 1 cawan air hingga halus
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih- ikut citarasa
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula pasir- kalau belum cukup manis
1 sudu teh kicap manis
minyak untuk menumis

*** resepi kak Ummie, guna 1 sudu besar gula perang dan 2 sudu besar kicap manis... k.an dah sesuaikan ikut tekak k.an yang kurang gemar rasa kicap yang banyak.

*** sos ni lebih sedap jika manis seperti sambal pada pau sambal/ burger Malaysia

Cara membuatnya:

1. Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan cili dan masak hingga pecah minyak. Masukkan gula perang, gula pasir dan kicap manis. Masak hingga pekat menggunakan api perlahan. Tambah garam secukupnya dan padamkan api. Ketepikan.

Inti popia: ada banyak versi inti popia dan resepi ni adalah versi Mak K.An turun temurun- ini yang paling K.An suka.

Bahan-bahan:

250 gm sengkuang- kupas kulit, hiris nipis dan hiris memanjang seperti buat pasembor
2 genggam taugeh, bersihkan- kalau rajin, buang akarnya
100 gm kobis bulat- racik halus
1/2 batang karot- hiris halus memanjang
segenggam udang putih, buang kepala dan ekor- potong kecil-kecil
1/2 labu bawang besar-dicincang halus- k.an guna bawang besar holland
2 ulas bawang putih- dicincang halus
1 sudu teh udang kering yang ditumbuk halus
garam dan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis udang, bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Gunakan api sederhana. Masukkan kobis dan karot. Kacau hingga sayur layu.

2. Masukkan taugeh, sengkuang, udang kering dan sedikit garam. Kacau sebati dan rasa garamnya. Jika cukup semuanya.. padamkan api dan sedia digunakan.

(masak inti ni sekejap sahaja bagi mengekalkan kerangupan sayur ... sedap bila kunyah krap...krup..krap..krup)

Bahan tambahan penyedap rasa popia:

Segenggam kacang tanah disangrai , buang kulit dan kisar halus.
Udang geragau kering, disangrai dan ditumbuk halus
Bawang goreng secukupnya

Dah siap semuanya, bolehlah diisikan inti ke dalam kulit popia seperti gambar...

Okey semua, mai-mai jemput makan Popia Idaman K.An...
Tips galakan:

***Popia yang dibuat sendiri, jauh lebih sedap daripada yang dibeli kerana intinya yang segar dan bahan tambahan seperti sos, udang kering, bawang goreng dan kacang tanah boleh diletak sebanyak mungkin ikut citarasa sendiri.

***Tangan kita tidak akan melecur ketika melengser tepung di atas kuali kerana api perlahan dan tangan kita disaluti tepung. Adunan yang agak cair, mempercepatkan proses ini tanpa mencederakan tangan.

*** kulit yang terhasil daripada adunan resepi di atas lebih lembut berbanding jika adunan terlalu pekat- kulit popia menjadi liat dan sukar digigit.

*** kulit popia boleh dibuat banyak sekaligus dan disimpan di tempat beku dan kukus semula ketika hendak digunakan. (boleh juga dinyahbeku menggunakan microvawe oven)

***seperti biasa tempahan popia basah dibuka sekarang, kepada yang ingin menempah ye...

Monday, November 2, 2009

Mushroom Soup

Beberapa hari lepas, ada permintaan daripada Sharifah (kawan adik ipar K.An) yang inginkan resepi mushroom soup ala-ala pizza hut tu..

K.An ada beberapa resepi, tapi K.An paling suka versi ni yang mudah dan kurang menggunakan bahan perisa.. Sedap dan digemari suami, anak-anak dan tetamu yang merasa.. Resepi asal daripada minami133@myresepi.com.. Tq banyak-banyak minami... sup ni lebih sedap daripada yang dibeli di dalam tin..

Bahan-bahan:( hidangan untuk 6-10 orang)

1 keping dada ayam- potong kecil
1000 ml air
500 ml susu segar kotak    (boleh guna juga susu low fat/ full cream dalam kotak)
1 ketul kiub ayam
1 tin kecil cendawan butang
1 cawan tepung gandum- dibancuh dengan 500 ml air- kacau sebati guna whisk

garam secukupnya

Cara membuatnya:

1. Didihkan air di dalam periuk. Masukkan potongan kecil isi ayam dan didihkan hingga isi ayam masak.

2. Kemudian masukkan susu dan kiub ayam. Perlahankan api. Kacau sentiasa dan kemudian masukkan cendawan yang dipotong kecil-kecil.

3. Masukkan bancuhan tepun gandum dan kacau hingga pekat.   (guna api kecil ye... supaya sup masak rata...).

4.   Tambah garam secukup rasa dan siap dihidang bersama roti bakar atau roti bawang putih... hmmm.. yummmy..

Sunday, November 1, 2009

Selamat Hari Ulangtahun Pertama Periuktanah...



Assalamualaikum wrt kepada semua pengikut dan pembaca blog Periuktanah yang dikasihi... Rasa sayu pulak.. Alhamdulillah, hari ini pada tarikh 1 November 2009, genaplah umur
PERIUKTANAH setahun... masih setahun jagung dan baru boleh berjalan jatuh..

Walaupun begitu, blog ini lahir dari hati tulus ikhlas K.An, Abg Azam dan anak-anak yang ingin menjadikan periuktanah wadah bagi kami berkongsi menu dan resepi masakan dari dapur kami setiap hari.

Terima kasih tak terhingga K.An ucapkan kepada suami tersayang, yang bersungguh-sungguh memulakan blog ini dan banyak membantu di peringkat awal.. (almaklum, K.An ni lembab sikit bab-bab teknikal dan IT ni.. kalau Kaunseling..haaa tak payah ajar pun lajuuu je..

Banyak cabaran juga dalam setahun ni, ada ketikanya.. gangguan talian internet, sehingga terpaksa menaip berulangkali sebab teks dan gambar yang dimuatnaik, hilang sebelum sempat disimpan dan tak kurang juga cabaran mengejar masa kerana sibuk dengan tugas seharian.

Walau apa pun yang paling penting bagi periuktanah juga adalah para pengunjung setia saban hari yang sudi singgah bertanya khabar, memberi komen dan mencuba resepi yang dikongsi di sini. Alhamdulillah , puasa tahun ini juga tugas K.An lebih mudah kerana adik-beradik dan saudara-mara yang inginkan resepi masakan, hanya perlu mengunjungi PeriukTanah... tanpa bersusah-payah menghabiskan bil telefon kerana bertanyakan resepi.

Dengan keupayaan melangkaui sempadan negara, Periuktanah juga berjaya memperkenalkan K.An kepada ramai rakan blogger yang lain terutama dalam bidang masakan tidak kira di dalam mahupun di luar negara..

Sekali lagi K.An panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana memberi kekuatan untuk K.An insyaAllah meneruskan usaha berkongsi pelbagai resepi enak, terutama resepi tradisi yang tak ingin kita biarkan hilang dan luput dek arus permodenan. Semoga usaha yang ditabur dan nikmat yang kita perolehi bersama menjadi amal ibadah kita kepada Allah
dan bekalan di akhirat nanti.

***gambar bersama K.Ina (wulan) yang dikenali melalui Periuktanah




*** bersama Cik Daun (blogger juga) dengan baby Iqbal Wafiq yang
comel





Hari ini dengan kunjungan ke 36 250 (ketika N3 ini ditulis), genaplah
setahun umur Periuktanah... Terima kasih Ibu K.An, Ibu Mertua, makcik-makcik, kakak-kakak, adik-adik, ipar duai, rakan rakan blogger, Cik Mat, Kak Umie, Hana (Jepun), Ijan(Finland), Cik Manggis( Putrajaya), Dr Zaidi, Kak Rinn, Cik Wan, Rose (Jepun), Hazila, Intan Zaizurin dan Syed(Swiss), Wulan, Cikgu Zam, Jannah, Saleha (Singapore), k.Fatahyah, K.Zulfa (Dubai), Fida (Ireland), Saadiah (kawan sekolah rendah) dan ramai lagi tak dapat disebut -kalau ingat nanti K.An tambah....(jangan kecil hati ye...)

Shukran Jazilan.... .. Jemputlah singgah selalu...


Friday, October 30, 2009

Kerapu 3 Rasa Dengan Epal

Dah lama juga tak berjumpa dengan ikan kerapu segar di pasar Presint 8 Putrajaya ni... kalau ada pun dah lembik dan pucaaat matanya. Nak beli pun tak sampai hati. Nak dijadikan rezeki, minggu lepas.. dapat yang agak berkilat matanya dan mantap isinya. K.An sambar seekor.. boleh buat 3 rasa, kukus atau sweet sour... sedap kan..?

Kali ni K.An sengaja cuba bahan tambahan yang lain sikit daripada biasa. Ada separuh epal kat dalam peti yang dah tak berapa rangup, k.An dadukan dan campur dalam masakan... hmmm tak rugi mencuba..
Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

1 ekor ikan kerapu berat anggaran 500 gm

**2 ulas bawang merah, 1/4 labu bawang besar, 2 ulas bawang putih, sedikit halia, 1/2 biji tomato, 1 biji cili merah, 2 tangkai cili padi- **dikisar halus

2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos ikan namphla
sedikit sayuran seperti karot, bunga kobis dan jagung muda
1/2 biji epal fuji didadu kecil
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng ikan hingga separa garing. Letakkan dalam pinggan besar. ketepikan dahulu.

2. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan tadi dan panaskan di dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga naik baunya. (3-5 minit)

3. Masukkan sos cili, 1/2 cawan air, sos ikan, dan sayuran termasuk epal yang didadu. Biarkan mendidih dan sayur lembut. Masukkan garam dan gula secukupnya. Kacau rata dan tutup api. Tuang kuah ke atas ikan dan sedia dinikmati panas-panas.



Apam Tepung Gandum



Kuih apam tepung gandum ni, kategori kuih tradisi juga. Beza dulu dan sekarang cuma dari segi penggunaan raginya. Dulu-dulu, K.An ingat lagi, mak K.An guna ibu biji yang dibeli di dalam botol. Ibu nilah digunakan untuk buat pau, cakoi, pau dan 'cucoq bantal' (sedap ni.. nanti K.An kongsi resepinya). Masa tu tak ada yis kering segera... tapi yang bagusnya ' ibu biji' ni, kita boleh buat adunan tepungnya waktu malam, perap/peram dan kukus pagi esoknya. Ini kerana, ia mengambil lebih masa untuk mengembangkan adunan tepung kita tu..

K.an suka kuih apam ni, tapi macam biasa, mak K.An semua guna agak je... Kalau tak mengadap dia buat, memang nak buat sendiri guna agak-agak, mau 2,3 kali buat baru menjadi elok.

Cari-punya cari, jumpa juga resepinya di dapur Cik Mat Gebu kita.... sukanya dalam hati.. Bahannya senang sangat... jadi, jom kita masak.. Terima kasih banyak-banyak Cik Mat atas resepi ni....

Bahan-bahannya:

500 gm tepung gandum
3/4 cawan brown sugar
2 cawan air
11 gm yis segera + 1/2 cawan air, larutkan
Kelapa parut putih secukupnya

Cara membuatnya:

1. Gaul tepung dan gula perang hingga rata. Tuang bancuhan yis dan kacau rata guna senduk. Tambah air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga sebati dan tidak berbintil-bintil.

2. lengser loyang bulat berukuran 10 inci dengan sedikit minyak.
(K.An guna acuan berlubang tengah macam dalam gambar) Tuang adunan ke dalam loyang dan biar 1 jam atau hingga bancuhan naik 2 kali ganda memenuhi loyangl
*** K.An buat separuh adunan je, jadi tak penuh loyang
3. Kukus atas air mendidh selam 40-45 minit. (k.An kukus 20 minit je.. dah masak sebab separuh adunan puan-puan dan tuan-tuan ye...)

***cik Mat balut loyang dengan kitchen towel supaya air
kukusan tak masuk dalam kuih bila dikukus lama. K.An tak balut sebab loyang berlubang ni senang diurus...heheh.. air tak masuk kuih maksudnya..

Sejukkan apam sepenuhnya sebelum dipotong dan dihidang bersama kelapa putih yang digaul sedikit garam halus.


Thursday, October 29, 2009

Roti Sosej Goreng

Musim periksa macam sekarang ni, elok juga kalau kita sediakan sarapan dan bekal sekolah yang mengenyangkan untuk anak-anak. Almaklum, kalau perut kenyang, cukup tenaga nak memerah otak dan lancarlah menjawab soalan yang ditanya...

Dalam sibuk pagi-pagi, kenalah cari menu yang cepat disediakan sperti roti sosej goreng ni... Nak bawak bekal pun senang. Satu gulung dah cukup..
Bahan-bahan:

10 batang sosej
10 keping roti sandwich- gilis dengan 'rolling pin' hingga nipis
1 1/2 cawan serbuk roti
1 biji telur dipukul sedikit
1 sudu besar tepung gandum dicampur 1 sudu teh air- bancuh rata untuk dijadikan gam

minyak untuk menggoreng
sos cili, mayonaise ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Sediakan serbuk roti dahulu: 2 cawan kulit/kubit roti. Kalau takde, guna 2 keping roti sandwich- letakkan dalam piring, biar terbuka dan simpan dalam peti ais semalaman. Kulit roti akan keras di pagi esoknya. Kisar halus. Letakkan dalam pinggan leper.

2. Sediakan bahan lain. Letakkan sosej di bahagian dalam roti. Gulung kemas dan sapukan bancuhan tepung gandum ditepi gulungan. Cantumkan.

2. Celupkan ke dalam telur dan golekkan di dalam serbuk roti hingga rata keseluruhannya. Goreng dalam minyak sederhana panas dan golekkan roti agar masak rata. Angkat dan toskan apabila roti keperangan. ulang proses untuk kesemua roti dan sosej.

Hidangkan bersama sos cili atau sos tomato.

** jalan-jalan ke blog lain, ternampak cikwan pun buat roti sosej macam ni jugak.... macam janji pulak..

Sayur Campur Rebus

Sudah hampir seminggu Abang Azam memulakan program dietnya... Makan nasi 50 sen sekali sehari, minum jus diet, dan makan sup sayur atau tomyam sayur je waktu malam... Kesiaaan cik abang saya ni..... Nak kembalikan saiz pinggang 2 tahun lepas lah ni... Harapnya istiqamahle dalam berdiet. Jangan tergoda je dengan masakan K.An kat dapur... asal nak rasa sikit, jadi terlebih rasa..heheh...

Hmmm.. baru tahu rasa macam mana K.An berpantang 44 hari lepas bersalin.. semuanya kukus, rebus, bakar dan sup... sorry le nak makan yang bukan-bukan. Alhamdulillah, berkat kesabaran, boleh jaga berat badan ideal walaupun dah ada anak 5..... Tak ramai ibu-ibu sekarang yang sanggup buat macam tu.. Tak tahan godaan tekak..
Sayur rebus ni antara menu untuk abang Azam... senang dan berkhasiat. Nak sedap lagi, buat je sambal tempoyak, kemudian goreng ikan... makan dengan nasi panas.. tak ingat dah masak-masak lemak yang lain...

Bahan-bahan:

1/2 batang karot- dipotong baji (ikut citarasa)
2 tangkai sayur sawi- asingkan batang dengan daun dan potong 1 inci panjang
3 keping cendawan tiram- carik kasar
2 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih- hiris nipis
1 sudu besar ikan bilis siap dikopek
1 tangkai cili merah- hiris serong
garam secukup rasa
2 cawan air untuk merebus

Cara membuatnya:

1. Masukkan air, ikan bilis, batang sawi, karot, bawang dan cili ke dalam periuk. Rebus hingga mendidih.
2. Biar karot agak lembut, barulah masukkan cendawan, daun sawi dan garam secukupnya. Didihkan dan padamkan api. Sedia dihidang.

Wednesday, October 28, 2009

Pelbagai Menu Lagi....

Sambung cerita semalam...

Menu yang dimasak, tapi tak sempat masuk blog...

Nasi Beriyani Ayam dengan Dalca Daging Tetel ketika abg Azam 'out-station'. Masak 2 ketul ayam dengan satu cawan nasi pun dah cukup untuk kami 3 beranak... Maryam dan 'Aisyah makan sikit je...


Kat sebelah kiri tu, 'potato wedges' buat minum petang. Resepi ambik kat blog Hana... memang sedap dan puas makan dengan keluarga.. resepi kat sini

Yang ini, Shawerma roti Arab... intinya macam K.An buat shawerma, tapi tak guna roti pita. Beli Roti Arab yang dah siap tu, isi je inti kat dalam.. tempahan untuk 'refreshment' mesyuarat.




Donut coklat ni dibuat di suatu petang lepas chat ngan kawan sekolah kt fb... K.An tak share resepinya sebab, waktu panas, donut ni gebu, tapi bila dah sejuk jadi keras sikit... Rasanya pun
tak berapa cukup pekat coklatnya... dengan coating coklat tu, baru best.... Bila dapat resepi yang 5 bintang, baru K.An kongsi ye..
Yang ni, roti John untuk mesyuarat juga... resepi dah ada, boleh klik kat sini..

Akhir cerita kali ni, K.An masak nasi Ayam Penyet..
ambik resepi dari Dapur Ijan (resepi klik sini) .. terlupa nak ambik gambar... nasi dan ayam dah habis... ada baki rempah perapan ayam.. K.An perap hati dan pedal dan goreng.. Jadi lauk untuk makan malamnya pulak..

Banyak lagi yang tertinggal... ada masa lagi, akan datang k.An selitkan..

Tuesday, October 27, 2009

Pelbagai Menu....

Assalamualaikum.. hari ni k.An sengaja masukkan gambar-gambar menu ketika K.An tak sempat nak masukkan 'entry' di waktu sibuk dengan macam-macam tugas... Kebanyakannya dah ada resepi, jadi rajin-rajinlah semak resepi yang lepas ye...

Puteri mandi ni, jiran K.An yang bagi
sebagai juadah berbuka
puasa.. Kuih orang Kelantan... sedap juga.. ada yang buat warna-
warni, tapi yang ini warna oren dan kelapa yang digaul jadi warna kuning. memang menarik..




Udang Bercili ni, buat banyak (sambal penuh sampai tak nampak rupa udang)...untuk pot-luck berbuka puasa di rumah Kak T (kakak K.An) Resepinya sama dengan Ketam Bercili (resepi kat sini). K.An buat sebab Dr Zaidi kata ganti ketam dengan udang pun sedaaap... betul kata dia.. (cadangnya nak posing cantik2 dan masuk N3, tapi tak sempat.. bila dah buka puasa, lauk pun dah liciiin..)




Yang ini ayam masak merah berempah ala utara... lauk popular kenduri di negeri-negeri belah 'utagha' termasuk kampung K.An di 'Paghit Buntaq' nun dan Bagan Serai....

Yang ini pulak antara menu berbuka puasa ringkas kami, kari ayam dengan kentang, telur masin, sambal belacan dan ikan goreng..

Pajeri terung ni pun, antara menu
berbuka puasa...
makan dengan nasi putih, ikan goreng dan sambal kicap... ringkas..

Sebelah kiri tu, gulai tempoyak, stail Perak..
K.An campur kacang bendi.. nak resepi pelbagai gulai tempoyak boleh jenguk dapur Mat Gebu.. boleh ye Mat...


Esok K.An sambung dengan menu lain... Wassalam..




Saturday, October 24, 2009

Nasi Antara Benua

Sebenarnya, ni kes malas nak fikir nak masak lauk apa lagi hari ni????.... ada tinggal sejam je sebelum anak-anak balik dari sekolah.. Ayam dah dinyahbekukan... ada sayur serba sedikit kat dalam peti ais tapi macam tak cukup je... Malas nak cerita panjang, gabungkan je bahan yang ada, masak ikut suka hati... Jadi le Nasi Antara Benua... gabungan nasi maqlubah, nasi hujan panas (yang warna-warni tu) nasi beriyani, dan nasi bukhari... tak ada beras basmathi, beras biasa pun jadi....

Salad tu pulak, baru belajar dari Kak Jun masa open house rumah Fazli UNIC minggu lepas... cuma K.An tambah cuka sikit.... senang je..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 batang lobak merah- potong baji
50 gram bunga kobis- potong kecil
*** goreng sebentar dalam 3 sudu besar minyak masak. Angkat dan ketepikan

2 cawan beras- cuci dan toskan
1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar rempah beriyani faiza
1/2 cawan susu cair
1 cawan air biasa

Bahan tumisan:
1/2 labu bawang besar- didadu
3 ulas bawang merah-dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
sedikit halia diketuk
bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis serba sedikit
3 biji buah pelaga

1/2 biji tomato buang biji dan didadu kecil
pewarna merah dan hijau

1/2 ekor ayam dipotong 5
2 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak sapi dan 2 sudu besar minyak gorengan karot di dalam periuk nasi. Letak atas dapur gas. Masukkan semua bahan tumisan dan tumis hingga wangi. Campurkan rempah beriyani dengan sedikit air dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan beras dan goreng seketika (1 minit). Angkat periuk dan letak diatas periuk nasi elektrik. Masukkan susu cair, air, ayam, garam, karot dan bunga kobis. Masak nasi seperti biasa.

3. apabila nasi hampir masak celupkan lidi ke dalam pewarna merah dan cucuk di beberapa tempat di dalam nasi. Begitu juga dengan warna hijau. Jangan kacau. Apabila nasi betul-betul
masak, taburkan buah tomato yang didadu tadi, biji gajus(kalau suka) dan kismis. Gaul nasi dengan senduk agar nasi jadi berwarna-warni.

Hidangkan bersama taburan bawang goreng dan daun sup juga bawang.

Salad:

serba sedikit timun, tomato dan daun salad
**campurkan dengan 1 sudu besar mayonaise, 1 sudu teh cuka, sedikit garam dan gula. gaul sebati dan hidangkan bersama nasi... opps.. K.An buat juga sos macam sos nasi ayam sebab kalau tak ada pedas, tak boleh jalan..(resepi kat sini)

*** bila masak ekspress macam ni, semua suka dan berselera pulak... heheh.. alhamdulillah, berbaloi projek rekacipta hari ni..

Friday, October 23, 2009

Pau Daging dan Pau Cicah Kaya

Beberapa hari lepas, ada tempahan karipap daging.. K.An buat intinya lebih sikit sebab teringin nak buat pau daging. Sambil tu boleh buat pau cicah kaya sekali. Pau kosong macam ni dan kaya buatan sendiri, memang kegemaran K.An dan adik-beradik sejak kecil lagi. Buat kaya tu kurang manis supaya boleh cicah banyak-banyak masa makan. Kena pulak pau panas.... fuhh memang berpuluh biji pun habis kami kerjakan.

Bahan-bahan pau: (menghasilkan 12 biji pau)

250 gm tepung pau (k.An guna Blue Key)
2 1/2 sudu teh yis kering
2 sudu teh gula
1 sudu besar minyak masak
secubit garam
1/2 cawan air suam
1/4 cawan air biasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan 1 sudu teh gula dan yis kering ke dalam air suam. Biar larut dan yis berbuih (lebih kurang 5 minit). Sementara tu, masukkan tepung ke dalam mangkuk.Campurkan minyak, 1
sudu teh gula, secubit garam di dalam mangkuk.

2. Tuangkan air campuran yis dan gaul sebati. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh licin dan kenyal.

3. Sediakan loyang dan gliskan dengan sedikit minyak masak. Bahagikan doh kepada 12 bahagian. Bulat-bulatkan. Bagi yang kosong, leperkan sedikit dan susun di dalam loyang. Tutup dan biar adunan kembang selama 15 minit.

4. Bagi yang perlu diisi inti, leperkan di atas tapak tangan dan isikan inti daging atau sebarang inti lain. (K.An guna baki inti karipap daging semalam yang disejukkan je..). Jemputkan setiap penjuru doh dan cantumkan baik-baik agar inti tidak terkeluar. Letakkan di bahagian bawah ketika menyusun pau di atas loyang. Buat hingga habis dan tutup loyang dan biarkan 15 minit.

5. Panaskan pengukus dan kukus pau selama 15 minit.

Pau daging ni khas untuk Abang Azam yang tak berapa suka kuih manis.. tapi bila dah siap, yang lain pun berebut sama... tak cukupla pulak.. lain kali kena buat lebih lagi..

Kaya Pandan

2 biji telur
1 cawan santan sederhana pekat- (1/2 cwn santan pekat + 1/2 cawan air)
1/4 cawan gula pasir
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu teh gula perang
secubit garam
pewarna hijau dan setitik perisa pandan

Campurkan semua bahan di dalam periuk. Kacau rata menggunkan whisk hingga tepung larut. Hidupkan api perlahan. Kacau campuran kaya menggunakan senduk hingga mendidih dan kaya pekat.. Sedia dihidang bersama pau panaaas...


Serunding Pedas Kupang

Assalamualaikum semua.. tak sempat cerita panjang, hari ni kita masak yang bahannya main campak-campak je... lepas tu bagi nama.. Dah puas makan daging dengan ayam, kita pergi cari kupang kat pasar atau pasaraya.. yang dah siap kopek tu.. Balik rumah masak..
Bahan-bahan: (hidangan untuk3-5 orang)

200 gm kupang siap dikopek kulit
3 sudu besar cili kisar (pekat)
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, sedikit halia dan 2 batang serai dititik- kisar halus
1 sudu besar kerisik
garam dan gula secukup rasa

sedikit daun sup dan bawang dihiris halus

Cara membuatnya:

1. Lalukan air ke atas kupang dan toskan. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan isi kupang dan kerisik. Gaul rata sebentar. (2 minit) masukkan garam ,gula dan daun sup juga bawang. Gaul sebati dan tutup api. Sedia dihidang

Wednesday, October 21, 2009

Kek Lapis Bumi

Masak apa hari ni..? Waktu macam ni tentu dah sibuk meyiapkan hidangan tengahari bagi yang di rumah. Yang di pejabat pasti dah berkira-kira mahu makan di mana hari ni... jemu juga kalau makan di tempat yang sama selalu kan..?

Kepada yang bercadang untuk menyediakan minum petang istimewa, sempat lagi kalau nak cuba kek lapis bumi, bingkisan. K.An hari ni. Kek ni pun jauh sejarahnya. Resepi sumbangan rakan baik K.An masa di UIA dulu, Najahah.. (dah lama tak berhubung..) Masa tu dia bawa sebagai buahtangan dari rumah bila balik hujung minggu. (kampung dia di Meru Klang je..) Bila sedap, K.An tak lepas peluang tanya resepi... Sejak dari tu, memang selalu K.An masak kek ni untuk hidangan tetamu sebab kek ni cuma perlu dikukus. Almaklum, awal-awal kahwin dulu belum ada oven untuk bakar kek, tapi K.An suka masak kek untuk tetamu. Jadinya resepi kukus-kukus macam ni memang berguna untuk K.An.

Bahannya pun mudah dan murah.. apa lagi cubalah..!! K.An suka kek ni sebab keknya lembab dan tak rasa tercekik bila makan.. heheh.. tapi kena sejukkan dulu sebelum simpan dalam bekas dan simpan dalam peti ais untuk tahan lama.

Kalau nak makan bersama keluarga je, buat separuh adunandah cukup sebab resepi ni untuk hidangan banyak ye..


Bahan-bahan:

500 gm margerin
1 cawan gula pasir
1 sudu teh esen vanilla
10 biji telur
1 cawan kaya- perisa biasa atau pandan
3 cawan tepung naik sendiri jika guna telur gred A- kurangkan sedikit jika saiz telur lebih kecil
pewarna merah, hijau dan coklat emulco- ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Pukul margerin dan gula bersama esen vanilla hingga kembang.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul lagi hingga gebu.
3.Masukkan kaya- kacau dengan senduk hingga rata. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kaup-balikkan hingga adunan sebati.
4. Bahagikan adunan kepada 5 bahagian. satu diwarnakan merah, satu hijau, satu merah sat campur dengan 1/2 sudu teh coklat emulco dan satu lagi dibiarkan kosong.
5. Lengserkan loyang dan lapis dengan kertas minyak. Panaskan pengukus. Masukkan 1 senduk adunan hijau dan ratakan. Kukus selama 10 minit. Cakar sedikit bahagian atas lapisan kek dengan garpu sebelum dimasukkan lapisan kedua. Kukus lagi. Ulang proses hingga adunan habis.

6. Sejukkan kek sebelum dipotong dan dihidang. Selamat mencuba.

Friday, October 16, 2009

Kambing Bakar dan Sos Kacang Panggang

Kebiasaan makanan Barat yang disajikan di Restoran Makanan Barat atau di Dapur hotel-hotel dihidang bersama aneka sos pelbagai perisa. Tetapi yang kurang 'syoknya' sos tu diletak ala-ala
malu-malu kucing kat atas atau keliling daging dan ayam bakar yang dihidang... dalam erti kata lain, 'ciput' sangat... belum habis daging, sos dah licin.. Kalau nak 'extra' sos, ada 'extra' bayar pulak.... kedekutnya lah...

Menyediakan makanan barat sebenarnya tak susah.. Kebanyakannya dibakar dan dimakan dengan sos. Sedap tak sedap, bergantung kepada sosnya.

Kali ni, K.An kongsi resepi sos kacang panggang yang mudah yang K.An pelajari daripada K.Mah dan Abg Jis (kakak dan abang ipar K.an). Mereka jamu kami chicken Chop bersama sos ni, tapi K.An buat kambing bakar sebagi variasi. Maksudnya juga, boleh buat sos ni banyak-banyak, pastu masak le salmon panggang ke, kambing panggang ke, chicken chop ke... semua boleh...

Sejarahnya, Abg Jis yang rajin dan pandai masak, belajar resepi ni nun lebih 25 tahun lepas masa dia masih di maktab perguruan Pulau Pinang. Dulu sibuk membesarkan anak-anak, sekarang baru berpeluang cuba pelbagai masakan sebab dah banyak masa lapang...
Kambing Panggang: (hidangan untuk 2 orang)

1 keping daging kambing -bahagian buat lamb-chop tu..
1/2 sudu teh lada hitam ditumbuk halus
1/2 sudu teh paprika
sedikit garam
1 sudu teh minyak masak

Cara membuatnya:
1. perap daging bersama rempah selama 1 jam. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celsius dan bakar lebih kurang 15-20 minit atau hingga daging masak. (boleh juga dipanggang atas kuali)

Sos Kacang Panggang:

Bahan-bahan:
1 cawan kacang panggang dalam tin- lecek kacang hingga hancur
1 sudu besar sos cili
1/2 labu bawang besar didadu
1 ulas bawang putih dicincang
1/2 sudu teh serbuk lada hitam (K.Mah tak letak- K.An tambah sendiri, sedap)
2 sudu besar sup campbell (tak ada tak apa) K.An ganti dengan 1/4 cawan air
minyak untuk menumis
sayur campur kalau suka- K.An tak letak

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Masukkan kacang panggang, sos cili dan air atau sup campbell. Biar mendidih.

2. masukkan lada hitam, sayur campur jika ada, garam dan sedikit gula secukup rasa. Biar sos pekat dan tutup api. Sedia dihidang.

** K.an buat sekali kentang bakar (dah ada resepi), makan dengan kambing ni memang sedap.


Cucur Kurma

Assalamualaikum.. aduuuh, lamanya K.An tak berkesempatan menjenguk periuktanah ni... ampun maaf banyak-banyak. Memang sibuk memanjang bercampur dengan jemputan rumah terbuka, buat rumah terbuka sendiri, tempahan memasak, masalah talian internet yang kejap ada, kejap tak ada...campur lagi sibuk dengan kerja rumah biasa... tapi yang penting, dapur rumah ni, memang berapi (tak berasap sebab guna dapur gas kan..) sentiasa. Tangan K.An ni pun, kalau tumbuk orang, mau pengsan tau..!! sebabnya dok uli tepung tiap-tiap hari.. tak payah angkat berat lagi, dah kental jadinya.. hahah... melalut la pulak ni.

Oklah, kita terus ke resepi mudah tapi sedap hari ni... Cucur Kurma ni banyak kali dah K.An buat masa bulan puasa hari tu. Jiran K.An , Kak Sal yang ajarkan. Memang sedap... Kalau ada baki kurma bulan puasa yang belum habis, habiskan hari ni... kita buat cucur kurma..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

A)
8 biji kurma - keluarkan biji dan belah 3
B)
1/2 cawan tepung naik sendiri (tepung kek)
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan kelapa parut putih
sedikit garam
3/4 cawan air biasa

Cara membuatnya:

1. Bancuhkan semua bahan B di dalam mangkuk. Gaul sebati.
2. Panaskan 1 cawan minyak untuk menggoreng. Masukkan kurma ke dalam adunan tepung. Gaul rata. Cedokkan kurma bersama tepung menggunakan sudu (kurma sebagai inti cucur) dan goreng hingga keperangan.
3. Toskan dan sedia dihidang.

***kalau nak pandai memasak, kenalah rajin bertanya.. Cucur kurma ni asalnya K.Sal hantar mesa membalas juadah K.An masa puasa lepas. Bila K.An makan, sedap, terus k.An tanya bahan yang digunakan... Macam biasa, K.an cuba sendiri dan terus jadi sebab senang sangat...

Jadinya, kalau makan apa-apa yang sedap kat mana-mana, jangan diam je.. tanya resepinya.. barulah boleh memperkayakan kemahiran memasak. Tak payah susah-susah pergi kelas memasak kan...

Tuesday, October 6, 2009

Bingka Roti Berjagung

Dah lama K.An mencari-cari resepi bingka roti berjagung dan kadang-kadang berkismis yang lemak manis tapi tak berjumpa... mungkin tak ada yang nak berkongsi rahsia resepi mereka.

Di bulan Ramadhan lepas, K.An sempatkan berjalan-jalan ke blog masak-masak kawan-kawan cyber dan terjumpa resepi ni di blog K.Rinn yang terkenal dengan kamera yang canggih, masakan yang enak dan gambar-gambar yang 'cun'.. K.An salin resepinya dan berkesempatan buat untuk berbuka puasa minggu lepas..

Memang sedap, lemak dan lembut... Walaupun tidak seperti yang K.An nikmati di SBPI Kubang Pasu (masa ikut abang Azam kerja 2 tahun lepas) tapi versi bingka K.Rinn ni cukup untuk mengubat keinginan makan bingka roti dengan jagung.

Kalau nak cuba, buat separuh adunan dah cukup sebab kalau buat penuh sukatan, boleh jamu satu kampung... siapa yang jadi jiran K.An, dah dapat merasa keenakan bingka roti berjagung ni.. adik K.An kata rasanya 5 bintang.. Terima kasih Kak Rinn.. lain kali boleh buat lagi..

Bahan-bahan:

3 biji telur (K.An guna gred B)
150 g gula kastor
100 g mentega dicairkan
1/2 sudu teh garam halus
300 g roti
200 g tepung gandum
1 liter santan sederhana pekat (atau 1 liter susu segar) *** k.an campur santan dan susu cair
200 g jagung krim (dalam tin)

Cara membuatnya:

1. Pukul sebati telur dan gula. Masukkan mentega yang telah dicairkan, santan, tepung dan garam. Gaul rata.

2. Carikkan roti dan masukkan ke dalam adunan. Rendam selama 15 minit. Selepas itu masukkan jagung. Kacau sebati.

3. Alaskan loyang berukuran 8 inci X 8 inci atau loyang berlubang di tengah. Bakanr bingka pada suhu 180 darjah celsius selama 1 jam atau bingka keperangan di bahagian atasnya. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang

Monday, October 5, 2009

Pulut Pasong.. Hidangan Istimewa AidilFitri

Salam ceria kepada semua.. almaklum selalunya hari Isnin ni semuanya berat hati nak bekerja tambahan pulak kekenyangan selepas menghadiri banyak rumah terbuka sempena Syawal pada hujung minggu lalu..
Dalam beraya tu, ingat-ingat tanggungjawab ye.. kerja mesti diteruskan..

Meriahnya Hari Raya masih terasa di sana-sini dan ramai juga tetamu yang bertandang ke rumah... tak lengkap sajian hari Raya kalau tak ada ketupat, nasi impit, lemang dan rendang. Bagi kami orang Banjar di kampung K.An kalau tak ada pulut Pasong ni, macam tak cukup syarat beraya.

K.An kongsi resepinya sebagai satu lagi pilihan hidangan istimewa Hari Raya...
Cara membuatnya mudah dan rasanya enak sekali.. tak seperti lemang yang kadang-kadang kalau tak sabar dan cermat ketika membakar, boleh hangus dibuatnya .. pulut pasong yang dibalut dengan daun pisang dan dikukus juga mempunyai tekstur yang lebih lembut dan berwarna putih sebab tiada kesan dibakar...


Bahan-bahan:

2 cawan beras pulut- bersihkan dan tos
2 cawan santan sederhana pekat -( kalau beli pati santan, campurkan satu cawan pati santan dengan satu cawan air masak)
1/2 sudu teh garam

** masukkan kesemua bahan di atas di dalam periuk nasi dan masak hingga pulut masak. Ketepikan.

sementara itu sediakan 10 helai daun pisang berukuran 6 X 7 inci- lap bersih dan layur atas api.

Cara membungkus dan memasak pulut pasong:

1. Sediakan tali rafia secukupnya untuk mengikat. Belah 2 atau 3 agar tali tidak begitu tebal.
2. Sendukkan pulut yang telah masak di atas daun pisang. Tekan dan padatkan pulut dengan kedua belah tangan berlapikkan daun pisang tadi beberapa kali agar pulut kejap/ padat.

3. Kemudian bentukkan memanjang seperti silinder dan gulung dengan daun pisang seperti membuat kuih lopes.

4. Ikat bahagian tengah pembalut. Matikan dan gunting.
Ikat pula di setiap hujung silinder dan potong lebihan daun agar kemas. Buat sehingga habis. Susun dalam periuk pengukus.

5. Panaskan pengukus dan kukus pulut selam 30 minit agar pulut tahan lebih lama. Keluarkan dan sejukkan sebelum dipotong dan dihidang bersama rendang atau kari ayam dan daging.

Thursday, October 1, 2009

Kek Buah Makcik Siah

Di musim beraya macam sekarang ni ramai yang kurang menjaga pemakanan.. patut pantang manis, tapi bila pergi ke rumah terbuka semua 'main belasah' je... Tak boleh makan daging, tengok rendang terhidang, pasti meruntun tekak yang ingin menjamahnya.. Apa pun beringatlah sebelum mendatangkan mudharat.. betul tak?

Kepada yang gemarkan biskut raya dan kek, cuba-cubalah yang kurang manis macam kek buah K.An ni... Dari dulu lagi K.An tak berapa gemarkan kek buah yang padat dengan buah dan maniiiis sampai melekat di tekak.. Tapi sejak berkahwin dengan Abang Azam dan merasa kesedapan kek buah Makcik Siah (makcik dia la ni) dalam kunjungan raya lebih 10 tahun lepas... K.An dah dapat resepi kek buah pilihan hati..

Jadi, bila nak makan kek buah terutama bila raya dan buat rumah terbuka, K.An buat sendiri je.. boleh sesuaikan rasa manisnya.. Kek ni kek wajib setiap tahun dan teknik pembuatannya pun mudah..
Resepi asal: Makcik Siah Titi Serong, Perak.. Terima kasih makciiik...
Bahan-bahannya:

4 biji telur gred A
2 cawan tepung kek (tepung naik sendiri)
2 cawan tepung gandum
2 cawan gula
2 cawan margerin
2 cawan air biasa
3/4 cawan buah-buahan campuran (K.An suka guna yang campur betik dan kurang kismis sebab kurang manis- boleh didapati di kedai menjual bahan2 bakeri)
2 sudu teh soda bikarbonat

Cara membuatnya:

1. Masukkan gula, margerin, air dan buah-buahan campuran ke dalam periuk. Biar hingga mendidih selama 2 minit dan warna bertukar agak keperangan. Kacau sebati. Sejukkan.

***selalunya K.An masak waktu malam dan sambung proses lain keesokan paginya

2. Pukul telur sehingga kembang (berbuih). masukkan bahan rebusan ke dalam telur. Gaul sebati. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil digaul dengan senduk. Gaul sebati.

3. Panaskan oven dengan api bawah pada suhu 190 darjah celsius. Lengserkan loyang berukuran 8 inci X 8 inci dan alas dengan kertas minyak. (atau apa-apa kertas putih yang agak tebal)

4. Tuangkan adunan kek ke dalam loyang dan bakar kek dengan api bawah sehingga kek naik (lebih kurang 20 minit bergantung jenis oven)

5. Tukarkan kepada setting api atas dan bawah dan bakar lagi hingga kek masak sepenuhnya.

Sejukkan kek sebelum dipotong dan dihidang.

*** boleh cuba separuh adunan menggunakan loyang 4 inci X 8 inci...

Kek buah ni bukan sahaja sedap tetapi juga lembab dan gebu... Simpan kek dalam bekas bertutup di tempat sejuk dan kering untuk tahan lebih lama.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin