Wednesday, March 31, 2010

Ikan Senangin Masak Asam

Assalamualaikum... menyambung siri resepi warisan mak K.An (mak mertua k.An pun suka masakan ni).... kali ni K.An kongsi resepi ikan masak Asam yang saaangatlah mudahnya.

Boleh diganti dengan apa-apa ikan pun. Selalunya dimasak bila ada lebihan ikan goreng waktu makan tengahari, bila makan malam, jelmakan jadi masak asam... Lagipun ikan goreng sejuk kan ke dah tak berapa sedap walaupun dipanaskan semula. Daripada membazir, lebih elok ditukar sikit je, dah sedap. Satu lagi kalau di bulan puasa, ikan goreng waktu berbuka puasa, dibuat masak asam untuk sahur. Terbuka selera jadinya. Tak ketinggalan, bagi ibu-ibu lepas bersalin, boleh juga cuba resepi ni dan boleh tambah sedikit lada hitam bagi memanaskan badan...

Ini resepinya:

2 ekor ikan senangin sederhana besar- bersihkan, potong 2, lumur garam dan kunyit dan goreng separa garing
1 labu bawang besar dimayang
1/2 sm halia, 2 ulas bawang merah dan ulas bawang putih dihiris halus
1 cawan air asam jawa- K.An guna 1 sudu teh pati asam jawa Adabi + 1 cawan air
4 biji cili padi diketuk
1 biji cili merah dihiris nipis atau dibelah 4
1/2 biji tomato dipotong 3
garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang besar, bawang merah, halia dan bawang putih hingga berbau wangi.

2. Masukkan cili merah dan cili padi dan tumis seketika. Masukkan air asam jawa dan tomato. Didihkan. Masukkan ikan, garam dan sedikit gula secukup rasa. Masak Asam ni mesti ada rasa masam, manis dan masin. Gaul rata dan matikan api. Bolehlah dihidang panas-panas.

Monday, March 29, 2010

Sandwic Cendawan dan Keju

Kepada ibu-ibu dan isteri-isteri yang dah tak ada idea nak buat sarapan dengan roti, hari ni, K.An kongsikan resepi sandwic istimewa ala-ala piza rasanya. Resepinya K.An dapat daripada buku 'Creative Recipes with Bread' yang dihadiahkan rakan Abang Azam yang bertugas di Kilang Roti Gardenia Shah Alam sempena kunjungan tak dirancang kami ke sana tahun lepas.

Dah tua-tua ni pun seronok juga pergi melawat tempat-tempat macam ni.. almaklum, dapatle tengok pembuatan roti dari dekat. Beribu-ribu buku roti dihasilkan sehari dengan mesin yang canggih di kilang ni.
Roti yang dah siap dibakar, dibawa ke tempat penyejukan...
Tuan Haji Rosli sedang memberi penerangan kepada kami... macam budak sekolah... teruja..!!
Bertingkat-tingkat, roti yang siap dibakar sedang disejukkan. Setelah melihat sendiri keadaan di kilang ni, memang semakin yakin dengan reputasi cemerlang Gardenia dalam pembuatan roti terunggul di negara ini...

Dah siap lawat kilang, jom kita masak.....

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-4 orang)... kalau selera Abang Azam, hidangan untuk 2 orang je...

2 sudu kecil minyak masak
1 labu bawang besar Holland saiz sederhana- kalau besar, separuh pun cukup
8 cendawan butang- hiris sederhana tebal (K.An guna cendawan tiram segar- agak2 banyaknya)
1/4 biji lada benggala hijau - hiris nipis
1/2 biji cili merah- hiris nipis- ikut citarasa
2 sudu teh oregano kering
1/2 sudu teh lada hitam- 10 biji lada hitam, K.An tumbuk halus
1 sudu besar rata tepung gandum
2 sudu besar daging segar dicincang kecil
1 sudu besar kicap manis
4 keping keju Cheddar
1/6 st garam

4 keping roti sandwic atau boleh ganti roti wholemeal kepada yang menjaga diet

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang besar seketika. Masukkan daging dan biar hingga daging masak dan bawang layu.
2.Masukkan cili merah dan lada benggala. Kacau rata. Masukkan cendawan dan sedikit air. Masukkan oregano, lada hitam, garam dan kicap.
3. Kacau sebati dan masukkan tepung gandum. Gaul sebati dan ratakan di dasar periuk. Matikan api dan susun keju di atas inti tadi. Tutup periuk dan biar keju cair.

4. Sementara menunggu keju cair, bakar roti hingga keperangan. Bahagikan inti kepada 4 bahagian dan ratakan di atas roti. Sedia dihidang sebagai sarapan yang sangat mengenyangkan.

Sesuai juga dijadikan bekal ke pejabat dan untuk anak-anak ke sekolah....


*** kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih di atas pelawaan Tuan Haji Rosli melawat Kilang Gardenia Shah Alam dan kesudian beliau meluangkan masa melayan kami pada hari tersebut. Tak lupa juga terima kasih atas 'goodies bag' yang diberi... Lain kali nak bawa anak-anak yang besar pulak pergi..

Sunday, March 28, 2010

Cekodok Labu Manis

Selain pisang, labu kuning pun boleh dikira sebagai buah pelbagai guna. Malahan bukan sahaja boleh dijadikan sayur, boleh juga dibuat pengat, aneka manisan dan kuih muih seperti kuih talam, lepat dan inti tat dan pai.... pendek kata semua sedap.

Dulu-dulu, mak K.An banyak tanam labu kuning pelbagai jenis di batas sawah dan keliling rumah. Maka, banyak le bekalan labu hampir sepanjang masa..

Kali ni, menyambung siri kuih-muih dan hidangan warisan mak K.An, K.An kongsikan resepi cekodok labu manis yang sangat enak ini. Mudah dan kalau ada baki labu yang dibuat masak lemak kat peti ais tu, boleh le dijelmakan menjadi cekodok..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

300 gm labu kuning - masa timbang ni,belum dibuang kulit, tapi bijinya K.An dah buang..sebabnya kalau nak labu tahan lama, sebelum simpan dalam peti ais, buang dulu bijinya.

2-3 sudu besar gula pasir
1/2 sudu teh garam
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan air
1 biji telur gred C- kalau telur besar, tambah sikit lagi tepung/ kurangkan sikit air

Cara membuatnyaL

1. Kupas kulit labu dan potong dadu. Rebus hingga empuk dan toskan. (boleh juga dikukus)
2. Masukkan labu bersama gula pasir ke dalam mangkuk. Lecek halus labu dan gaul hingga gula hancur. Senang dibuat ketika labu masih panas.
3. masukkan tepung, air dan garam. Gaul dengan tangan atau senduk hingga adunan sebati.
4. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Jemputkan adunan ke dalam kuali. Kacau sekali-sekala agar cekodok masak rata dan bulat cantik. Goreng hingga keperangan.

Angkat dan toskan. Hidang ketika masih panas atau sejuk sebab, cekodok kekal lembut di dalam walaupun ketika sejuk.... anak-anak K.An memang suka....

Mihun Sup Udang

2, 3 hari ni K.An tengah 'study' menu lama-lama yang menjadi hidangan kami sekeluarga masa kecik-kecik dulu. Ada yang selalu K.An masak untuk keluarga dan ada juga yang dah laaaama tak dibuat. Seperti biasa, telefon mak tanya beberapa resepi klasik kami sekeluarga. Antaranya mihun sup udang ni. Tak pernah jumpa lagi kat tempat lain, jadi moga tak pupus, elok K.An kongsikan resepinya di sini.

Bahan dan cara membuatnya sangat mudah, almaklum mengikut bekalan kami suatu ketika dulu di kampung yang tiada bekalan elektrik dan tiada peti ais...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 peket mihun- dicelur hingga lembut- toskan
1 mangkuk udang putih, dibuang kepala dan ekor
1 ikat sawi dipotong 1 inci -ikut citarasa
1 labu bawang besar**
3 ulas bawang merah**
3 ulas bawang putih**
1 sup bunjut Adabi
3 sudu besar tomato puri/ lagi bagus kalau gunakan 1/2 tin tomato sup (kat dalam tin tu..)
1/4 cawan kicap manis
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
7 cawan air
minyak untuk menumis

Bahan ditabur di atas mihun:

1 keping Tauhu
Udang goreng
daun sup/ bawang
bawang goreng
cili merah dihiris
kicap pedas

Kicap pedas: Kisar 5 tangkai cili padi dan 2 ulas bawang merah hingga halus. Campurkan 1/4 cawan kicap manis dan perahkan sedikit limau kasturi. sedia dinikmati

Cara membuatnya:

1. Hiris halus semua bahan bertanda **. Bahagikan udang kepada 2. sebahagian digaul garam dan kunyit dan goreng separa garing. Goreng juga tauhu dan hiris nipis. Ketepikan dahulu

2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan bawang besar hingga wangi. Masukkan 7 cawan air dan sup bunjut. Didihkan. Masukkan sawi, tomato puri, sos cili, sos tiram dan kicap manis. Didihkan lagi.

3. Masukkan udang dan tambahkan garam dan gula secukup rasa. Mesti ada rasa masam, manis dan sedikit pedas. Masukkan mihun ke dalam mangkuk. Tambahkan bahan taburan dan kicap pedas. Masukkan kuah dan hidang panas-panas.
*** anak-anak K.An tak suka tauhu dan banyak sayur, jadi K.An buat versi ringkas je.... Senang dan laju je anak-anak makan...

Friday, March 26, 2010

Bubur Jagung

Assalamualaikum semua... moga ceria di hari Jumaat yang indah ini... lagipun ramai kakitangan awam yang menarik nafas lega sebab semalam hari gaji..... selamat juga mengharungi hari-hari mencabar selama hampir 2 bulan. Di hari ceria ni, kita jamu tekak dengan bubur jagung yang sesuai dibuat juadah minum petang.

Mudah dan enak, malahan penyediaannya memakan masa tak sampai 1/2 jam... siap dihidang. Jom kita tengok resepinya:

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

2 tongkol besar jagung manis- buang kulit dan hiris / sisir isinya
2 cawan santan cair**
1 cawan santan pekat
2 sudu besar gula merah/ gula melaka
2 sudu besar gula pasir- ikut citarasa**
1/2 sudu teh garam
1 helai daun pandan- dicarik dan disimpul
2 sudu besar sagu biji- rendam dengan 1/2 cawan air selama 10 minit- lebihkan kalau suka sagu banyak..hihiih..

**boleh tambah/ kurang ikut citarasa ye..

Cara membuatnya:

1. Masak santan cair dengan gula merah hingga gula hancur. Tapis dulu jika gula merah jenis berserat/ berhampas. Masukkan kembali ke dalam periuk. Masukkan gula pasir, jagung, daun pandan dan garam.

2. Masak hingga mendidih. Perlahankan api dan kacau sentiasa hingga jagung masak. Masukkan sagu biji yang direndam tadi. Masukkan santan pekat dan didihkan lagi. Rasa manis, masin dan lemaknya. Jika cukup, bolehlah dimatikan api. Boleh dihidang panas atau sejuk.

Bila bubur telah sejuk, selalunya kuahnya akan kering diserap sagu biji, jika ingin berkuah, tambahkan sedikit air dan panaskan semula. K.An suka sagu yang agak banyak dan dimakan setelah bubur disimpan di dalam peti ais... nyaman je lalu kat tekak ni...

Thursday, March 25, 2010

Asparagus Goreng Ikan Masin

Semenjak dua menjak ni pantang Abang Azam dah lebih daripada pantang orang lepas bersalin. Ayam, daging, seafood, telur dan ikan yang gatal-gatal semua tak boleh makan.
Jenuh le K.An memerah otak setiap hari memikirkan menu yang sedap dan sesuai untuk dia. Tak pernah pulak dia 'allergic' seteruk sekarang ni...

Macam asparagus ni, selalunya orang buat goreng belacan, tapi mengenangkan nanti ada yang tak boleh makan, K.An buatla goreng ikan masin.

kalau sebut asparagus ni depan mak-mak kita yang dah lewat emas usianya, mesti dia tanya balik... aa... sayur apa? argus..? heheh... As...pa..raa..gus la mak..

Sekali tengok macam mahal sebab harganya lebih Rm 10 /kg.. Tapi sebenarnya asparagus ni ringan je dan hampir semua bahagiannya boleh digunakan berbanding kangkung atau pucuk paku yang berat pada batang je..

Kebetulan masa ke pasar hari tu, nampak asparagus jenis yang kecil-kecil gini... Jadinya, K.An rembat le secekak... pasti rangup digoreng ni...

Resepinya mudah saja dong...!!

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

20-30 batang asparagus segar -K.An beli jenis kecil-kecil
1 keping ikan masin tenggiri
3 ulas bawang putih, 2 ulas bawang merah ditumbuk kasar
1 biji cili merah potong kecil dan ditumbuk halus
minyak untuk menumis
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Buang bahagian keras asparagus. Caranya jika liat ketika dipatahkan, buang bahagian tu.(macam kita nak pilih bendi). Jenis yang K.An beli ni semuanya segar dan rangup. tak terbuang sikit pun..
Potong serong bahagian lain seperti memotong kacang panjang. Asingkan batang dengan pucup untuk dicelur.

2. Didihkan sedikit air dicampur 1 sudu besar minyak masak di dalam periuk. Masukkan batang asparagus dan matikan api. setelah 1 minit, masukkan pula bahagian pucuk yang lebih lembut.celur sekejap sahaja. Toskan.

3. Di dalam kuali lain, panaskan 2 sudu besar minyak. Goreng ikan masin hingga separa garing dan angkat. Hancurkan isinya dan buang tulang. Ketepikan. Gunakan minyak yang sama untuk menumis bawang dan cili merah. Tumis hingga wangi dan tambah 1/4 cawan air. masukkan ikan masin tadi dan asparagus yang telah dicelur. Tambah garam jika perlu. Gaul rata dan matikan api. Tak perlu digoreng lama kerana jika asparagus layu, hilangle keenakan rasa rangupnya.

Selamat mencuba semua....


Bahulu kukus dan Bahulu Bakar

Dah 3 hari K.An tak dapat nak edit gambar disebabkan lap-top kerja sedang diservis dek banyaknya penyakit yang mengganggu.... Kalau nak tunggu siap alamat basilah resepi-resepi yang nak K.An kongsikan di sini. Sudahnya, 'up-load' je lah gambar asli ni.. (tapi siapa-siapa nak 'copy' minta izin tuan rumah dulu ye...

Edisi kali ni, K.An siarkan resepi bahulu kukus yang K.An jumpa di SajiOnline. Tak pasti siapa penghantarnya(boleh semak kat situ ye)... Disebabkan rupanya yang sangat menggoda, terujalah K.An nak mencubanya, walaupun ada beberapa langkah yang kurang jelas.... K.An buat sahaja ikut pengalaman yang ada.

Di dalam gambar yang ditunjukkan, rupa bahulu kukus ni merekah macam apam beras K.An tu, tapi bila K.An buat, tak pulak merekah walaupun dikukus lama. (kata penulis resepi ni, kukus hingga bahulu merekah... puas tunggu, tak merekah pun.. so, setakat tu jelah yang jadinya. Kot kalau orang lain buat merekah, sila bagitau ye...

Jom kita semak resepi pula:

Bahan-bahan: (lebih kurang 25 biji bahulu)

5 biji kuning telur
4 biji putih telur
250 gm gula
300 gm tepung gandum
1/2 st soda bikarbonat- ayak bersama tepung gandum
175 ml air sprite/ 7Up/ aiskrim soda
1.2 st esen vanilla
sedikit pewarna merah dan hijau

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan didihkan airnya. Sediakan acuan apam. (dalam resepi katanya guna mangkuk kertas, tapi tak disebut pulak kena masukkan dalam acuan atau tidak. Tak yakin, K.An guna acuan lagi senang)

2. Pukul telur, gula, esen vanilla hingga kembang. Setelah kembang masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang-seli dengan air soda/ sprite. Gaul rata.

3. Asingkan 5 sudu besar adunan dan warnakan. Sudukan adunan tidak berwarna dan yang berwarna ke dalam acuan seperti dalam gambar.

4. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga kuih masak

Tekstur bahulu ni agak berat walaupun kembang juga setelah dikukus. Makan 2, 3 ketul dah kenyang. Anak K.An yang kecik sekali suka sangat kuih ni berbanding kakak-kakaknya yang lain yang lebih sukakan bahulu bakar. (takle membazir buat...)



Beberapa hari sebelum tu, K.An buat bahulu bakar berpandukan resepi daripada majalah Rasa. Yang inipun K.An tak ikut sangat sebab setelah dicampur bahan cair, ketika ditambah tepung sukatan yang diberi agak melampau banyaknya dan K.An kurangkan ikut pengalaman juga.

Rupanya memang cantik, tapi kurang gebu. Tapi kalau bahulu bakar ni, cepat habisnya sebab anak-anak suka makan cicah air teh O macam orang dulu-dulu...

Ketika dibakar... kembang juga...

Nanti bila K.An buat sekali lagi dan jadi gebu elok, baru K.An kongsi resepi ye...

Tuesday, March 23, 2010

Ayam Gajus Dengan Sos Mangga

Masa kami makan-makan di Kelab tasik Putrajaya hari tu, Abang Azam makan nasi berlaukkan ayam gajus. Sedap juga dan ada rasa tersendiri. Tapi rupanya agak gelap- mungkin banyak sos tiram dan kicap pekat.
Di kelapangan minggu lepas, K.An membelek beberapa resepi ayam gajus tetapi tak dapat nak mengikut resepi-resepi tersebut disebabkan ketiadaan minyak bijan - yang belum terjumpa yang ada cop Halal JAKIMnya(semua resepi yang K.An jumpa menggunakan minyak bijan dalam masakan ini)

Sudahnya, dengan bekalan mangga Siam yang masih berbaki, K.An olah resepi ni yang mendapat reaksi senyum lebar suami dan anak-anak selepas menjamahnya. Malahan mungkin di lain edisi perlu digandakan jumlahnya.....supaya tak berebut-rebut mencedoknya...
Mengancam tak mangga ni..? Beli di Carrefour dengan harga RM 2.69 sahaja /kg. K.An beli 3 jenis, yang panjang, yang berkulit kekuningan dan berkulit hijau. Yang kulit hijau ni paling manis dan kalau buat pulut mangga, pasti sedap...
Bahan-bahan Ayam Gajus: (hidangan untuk 3 orang)

1 keping dada ayam- dipotong sederhana kecil
3 ulas bawang putih dan 3 ualas bawang merah -hiris dan ditumbuk kasar
3 tangkai cili kering digunting 1 sm panjang
3 biji cili padi di ketuk
1/2 biji mangga masak- lecek halus isinya
3 sudu besar sos cili
1 sudu teh sos tiram
1 sudu teh kicap manis
2 sudu besar minyak masak
garam secukupnya

1/2 cawan gajus, dipanggang keperangan- boleh beli yang siap dipanggang juga.

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng isi ayam hingga keperangan dan berbau wangi (ayam tak perlu digaul garam, kunyit ye...)

2. Tak perlu angkat ayam, terus masukkan bawang yang ditumbuk, cili kering dan cili padi. Tumis sebentar sahaja hingga berbau wangi juga. (anggaran 2 minit)

3. Tambah 1/2 cawan air. Masukkan sos cili, isi mangga, kicap manis dan sos tiram. Tambah garam secukupnya. K.An tak tambah gula sebab mangga yang digunakan sudah cukup manis.

4. Masak hingga kuah pekat. Padamkan api dan masukkan gajus. Gaul rata dan sedia dihidang dengan nasi panas.

***Keistimewaan ayam gajus ni pada rasa cili kering yang digoreng dan gajus yang lemak rangup. Tak rugi mencuba...

Nasi Daging

Selain nasi putih dengan lauk-pauk ala kampung, dan juga nasi Maqlubah, kalau makan nasi Daging ni pun boleh makan berpinggan-pinggan sebab rasanya yang tak 'muak' jika dimakan banyak. Walaupun ringkas, tetapi tetap istimewa terutama bagi Orang Utara yang menyajikan nasi ni semasa kenduri-kendara atau majlis istimewa yang diadakan.

K.An mula-mula masak nasi ni, sejak 5 tahun lepas atas permintaan rakan-rakan guru yang selalu tempah makanan daripada K.An. Masa tu selain dimakan dengan air asam, mereka minta K.An buatkan sekali Dalca Daging atau ayam sebagai lauk sampingan.

Kali ni, K.An kongsikan set asas Nasi Daging yang terdiri daripada nasi, air asam, daging rebus dan supnya...
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang dewasa)

500 gm daging segar
2 cawan beras Basmathi- basuh dan toskan
1 sudu besar rempah kurma- campur dengan 1/2 cawan air
**4 ulas bawang merah
**3 ulas bawang putih
**sedikit halia
semua bertanda ** dihiris halus

serba sedikit- 3 kuntum bunga cengkih, sekuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga dan kulit kayu manis
3 sudu besar minyak masak - boleh campur dengan minyak sapi jika suka
sehelai daun pandan, dicarik dan disimpul
sedikit pewarna kuning -(ikut citarasa)

Cara membuatnya:

1. Potong daging anggaran 2 inci X 2 inci. Basuh, toskan dan rebus dengan 10 cawan air hingga empuk. (lebih cepat jika guna periuk tekanan. Jika guna periuk biasa, bila daging yang direbus mendidih, tutup periuk dan perlahankan api. Biar mereneh hingga daging empuk- lebih kurang 30 minit ikut jenis daging.

Apabila daging masak tutup api dan sedia untuk proses memasak nasi.

2. Gunakan periuk nasi biasa. Masukkan beras yang telas ditoskan tadi ke dalam periuk. Masukkan 3 cawan air rebusan daging. Masukkan sedikit garam.

3. Didalam kuali atau periuk lain- Panaskan 3 sudu besar minyak masak. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan rempah kurma dan tumis hingga pecah minyak. Tutup api dan tuangkan ke dalam periuk nasi.

4. Masukkan daun pandan dan masak nasi seperti biasa. Apabila nasi masak, celupkan lidi sate ke dalam pewarna kuning dan cucukkan di beberapa tempat pada nasi dan biar 5 minit sebelum dikacau rata.

Bahan dan cara membuat sup:

*** keluarkan daging daripada air rebusan dan hiris nipis

3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan sedikit halia-dihiris halus
rempah ratus- bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis
1 sudu besar minyak masak
sebungkus sup bunjut
garam secukup rasa

a. Tumiskan bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan air rebusan daging dan sup bunjut. Didihkan. Masukkan garam secukupnya dan taburkan daun sup dan daun bawang. Tutup api dan sedia dihidang.

Air Asam

Tak lengkap nasi Daging, tanpa air Asam. Rasanya juga penting untuk menambah keenakan nasi Daging.

Bahan-bahan:

1 labu bawang besar- hiris nipis
1 cawan air asam jawa- K.An campurkan 1 sudu teh pati asam jawa Adabi dengan secawan air
4 biji cili padi- dihiris nipis
1 biji cili merah- dihiris nipis
1 sudu besar sos cili
1 biji tomato dihiris nipis
1/2 cm belacan siap dibakar
garam dan gula secukup rasa
1/2 sudu teh kerisik

Masukkan semua bahan didalam mangkuk dan gaul sebati. Hidang bersama nasi Daging, sup dan daging yang dihiris nipis.

**** K.An masak nasi dengan beras basmathi sama caranya dengan nasi biasa, cuma airnya K.An kurangkan sedikit berbanding beras super tempatan. Contohnya beras biasa 1 beras 2 air (1:2)
Jika beras basmathi 1 beras, 1 1/2 cawan air, jika 2 cawan beras, 3 cawan air. Jika 3 cawan beras, 5 cawan air.

*** tetapi jika beras direndam dahulu seperti kebanyakan resepi nasi beriyani, sukatan airnya perlu sama dengan beras supaya nasi tidak terlalu lembut.

Thursday, March 18, 2010

Nasi Goreng Nenas

K.An pernah tengok Maria Tunku Sabri buat nasi goreng Nenas ni dalam satu rancangan mempromosikan produk nenas di TV3, tapi tak pernah cuba buat. Masa K.An makan-makan dengan kawan-kawan sekolah di Kelab Tasik Putrajaya beberapa bulan lepas, kawan K.An makan nasi goreng nenas... hmmm sedap juga rupanya..

Kebetulan dalam siri JJCM kami di Bangi terserempak dengan seorang kawang Abang azam yang bagi petua mudah untuk pengidap gout macam abang Azam. setiap kali lepas makan, makan nenas untuk meneutralkan balik uric acid yang masuk dalam badan... wah senang petua tu... Lepas tu, macam-macam lauk dicampur dengan nenas K.An masak. Salah satunya, Nasi goreng ni...

Bahn-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 mangkuk nasi putih( 2-3 cawan)
3 ulas bawang putih dan 2 ulas bawang merah- tumbuk halus
segenggam ikan bilis, bersihkan dan kisar halus
sedikit isi ayam jika suka
3 biji cili padi akar- ketuk
1 sudu teh sambal belacan-
sekeping bulat nenas (ikut citarasa)- dadu kecil
1 biji telur
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
1 sudu teh sos tiram
sayuran ikut citarasa seperti kacang panjang, bunga kobis, jagung manis, cendawan tiram- hiris halus

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng isi ayam seketika. Masukkan bawang, cili padi dan ikan bilis. Goreng hingga wangi.

2. Masukkan sayuran, sambal belacan, sos tiram, garam dan telur.Tambah sedikit air (1 sudu besar) Masukkan nasi dan kacau rata. Tambah garam jika belum cukup masin. Masukkan nenas dan gaul nasi hingga sebati.

3. Tutup api dan hidangkan panas-panas.

Monday, March 15, 2010

Kuih Kosui Pandan

Di musim cuti sekolah macam ni, bila anak-anak ada di rumah, kenalah lebih rajin daripada biasa. Memasak dari pagi hingga ke malam adalah perkara biasa. Tak kering dapur dibuatnya.

Kepada yang mengalami situasi yang sama pastinya sibuk mencari idea untuk menyediakan seharian. Bagi yang belum buat minum petang, mungkin boleh cuba kuih kosui pandan yang mudah ni. Dah selalu buat tapi sebelum ni K.An agak-agak je ikut pengalaman membuatnya. Untuk pembaca periuktanah, K.An sediakan resepinya.... Idea asal kuih ni K.An belajar daripada seorang rakan lama, Cikgu Suliza, ketika tinggal di kuarters kakitangan SBPI Rawang. Waktu tu, bulan puasa .. macam biasa tukar-tukar juadah... dapat kuih ni daripada dia.. terus mintak resepi. Dia pun bagi bahan-bahan je, sukatannya K.An reka sendiri.
Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir
1 cawan air pandan (kisar 5 helai daun pandan dengan 1 cawan air- tapis dan sukat 1 cawan)
2 cawan air biasa
1/2 sudu teh air kapur cair
sedikit pewarna hijau

1 cawan kelapa parut putih digaul dengan sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Campurkan air pandan, gula, tepung dan air di dalam mangkuk. Gaul rata menggunakan 'whisk' hingga gula hancur. Tambahkan sedikit pewarna hijau ikut citarasa.
2. Masukkan air kapur dan gaul rata.
3. Panaskan pengukus dan sediakan loyang. (tak perlu di lengser) Tapiskan adunan ke dalam loyang dan kukus kuih selama 15- 20 minit. Untuk mengelakkan air masuk ke dalam loyang, tutup loyang dengan aluminium foil atau tuala dapur, ketika mengukus.

4. Apabila kuih masak, keluarkan daripada pengukus dan sejukkan sebelum dipotong. Boleh juga disimpan di dalam peti ais agar cepat sejuk.

5. Potong kuih dan gaul dengan kelapa parut yang telah digaul dengan garam. Sedia dihidang.

*** jika loyang tidak ditutup, cedok lebihan air yang bertakung di atas kuih, sebaik dikeluarkan daripada pengukus.

Sunday, March 14, 2010

Sekilas Edisi Minum Petang- menu ulangan

Karipap keledek kesukaan semua. Sekarang ni bukan sahaja yang besar-besar suka, 'Aisyah (3 tahun)dan Maryam (2 tahun) pun suka karipap. Kali ni K.An tambah 'extra' 1 sudu besar margerin lagi daripada resepi sebelum ni sebab nak buat pastri yang lebih tebal tapi gebu dan rangup- almaklum budak-budak tak berapa suka inti banyak, tapi nak 'tepung' (atau kerepek dalam bahasa dia...heheh) banyak...

*** tapi pastri ni tak boleh guna mesin mee sebab teksturnya yang gebu. Bila masuk mesin, dia tak bergerak dan melekat sebab licin sangat. Kena gelek guna 'rolling pin' macam biasa.

Buat banyak-bayak dan bekukan dalam freezer untuk digoreng lagi di lain kali.
Saja suka-suka dan gatal tangan. K.An tak pernah belajar buat cup-cake. Tengok dalam majalah macam boleh je buat sendiri... Ini percubaan pertama. Krim menteganya ikut resepi majalah Rasa... jadi elok, tapi anak-anak K.An memang tak suka krim macam ni... maryam je yang makan. Yang lain kata cantik, tapi tak makan pun....

Bila K.An dah jumpa resepi yang betul-betul sedap, baru K.An kongsikan ye... tapi kat blog lain pun dah ada banyak resepi cup-cake macam ni kan...
Ini kegemaran semua juga... tak pernah tak habis... berebut-rebut bila siap je dikukus. Resepi kat sini ye...
Donut biasa tapi dihias dengan cooking chocholate yang dicairkan dan diwarnakan 'pink'.. Laku juga. Resepi donut...
Kali kedua buat.... Hasilnya macam yang pertama dulu juga.... baunya yang mengancam semua yang menghidu... segar bau kopi... Untuk resepi, klik sini..

Friday, March 12, 2010

Pulut Mangga dan Pulut Ikan Masin

Pulut durian

pantas. Pejam-celik, makan-minum... dah sampai penghujung minggu. Alamak!!! banyaknya resepi yang belum dimasukkan.

Alkisahnya, minggu ni lap-top ni meragam sikit. Tak boleh baca thumb-drive dan memory card kamera..... aduuuh... tergendala la tugas mengedit gambar. Kalau ada rezeki, mood baik, boleh pulak dia baca... macam pagi ni. Tapi sebab takut nanti dia meragam balik, K.An up-load terus ke blog ajelah ye...

Ahad lepas, dalam perjalan pulang dari kenduri kahwin yang kami hadiri di Cheras, sempat menyinggah di R & R Serdang dan 'menyambar' beberapa biji jambu batu epal dan mangga. Masa pegang mangga tu, dah terbayang-bayang pulut mangga... hihihiiii.. dah dasar kuat makan, ada je ideanya. Balik tu, terus jenguk dapur kawan-kawan, almaklum selalu sangat bila teringat macam tu, ada juga blogger yang lain masak benda yang sama dalam minggu yang sama... macam berjangkit... betul tekaan K.An... rupanya Ijan kat Finland pun ada buat pulut mangga beberapa minggu lepas...

Tambah le keterujaannya....

Petang esoknya, K.An tanak je pulut, masak santan dan makan dengan mangga.

K.An punya resepi senang je sebab tanak macam biasa. Sukatannya:

2 cawan pulut- basuh dan toskan
2 cawan air
1 sudu besar minyak masak

Masukkan ke dalam periuk nasi, masak seperti biasa. (K.An gunakan pressure cooker sebab lebih cepat masaknya)

2 cawan santan sederhana pekat dimasak dengan sedikit garam dan sehelai daun pandan disimpul. Dengan api perlahan, masak hingga mendidih. Tutup api. Masukkan pulut ke dalam mangkuk. Curahkan santan ikut citarasa banyaknya. (K.An suka banyak....) Taburkan sedikit gula pasir. dan makan dengan hirisan mangga masak....

Kalau nak pulut tahan lebih lama, contohnya nak masak banyak untuk jamu tetamu, eloklah pulut dikukus seperti membuat pulut kuning. Boleh tengok caranya di Myresepi oleh Tulip Putih.

Bila Abang Azam balik kerja, masuk je rumah, terbau pulut, terus mintak K.An gorengkan ikan masin... Haaa... tu gambar kat atas, pinggan Abang Azam punya...

Sarah balik dari sekolah agama, mintak pulak pulut durian... nasibla ada bekalan durian beku kat peti ais... untuk Sarah pulut durian. Asma'- memang tak suka benda macam ni.... dia makan nasi lauk tengahari tadi je...

Monday, March 8, 2010

Mee Kari


Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah, beberapa hari ni, hujan turun membasahi bumi Putrajaya yang agak kontang sebelum-sebelum ni. Walaupun di dalam rumah masih terasa bahang panasnya, tetapi sekurang-kurangnya turun sedikit suhu di luar.
Dan entah kenapa, bila hujan, perut ni mudah je terasa laparnya... Beberapa hari lepas, walaupun dah menjamah hidangan petang dan anak-anak dah makan nasi lepas pulang dari sekolah, lepas Maghrib, perut ni mendendangkan lagu merdu pulak.

Dengan masa yang singkat dan bahan caca-marba yang ada dalam peti ais, maka terhasillah mee kari ekspress ni.

Sebenarnya mee kari ni adalah antara hidangan yang paling mudah disediakan juga, jika ada tetamu terkejut-tergempar datang mengetuk pintu rumah kita..... Lagipun bahan yang digunakan selalunya ada dalam simpanan kebiasaan orang yang memasak di rumah.


Ok kita tengok resepinya.. boleh tukar atau tambah bahan ikut citarasa:

Bahan-bahan:( hidangan untuk 5 orang)

1 peket mee kuning- celur dan toskan
200 gram ayam dipotong kecil
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih dan sedikit halia- hiris nipis
sekuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih sedikit kulit kaytu manis
3 sudu besar rempah kari ayam/daging- bancuh dengan 1 cawan air
3 cawan santan sederhana pekat

bahan2 lain ikut citarasa:

1 biji kentang, kupas kulit dan potong 8
5 biji fish-ball
1 batang fish-cake
2 ketul tauhu gabus goreng- yang bulat2 tu
sayuran seperti sawi, kobis bulat, bunga kobis, kacang panjang serba sedikit
minyak untuk menumis, garam dan gula secukup rasa

segenggam kerang rebus untuk lagi sedap- kalau tak ada , tak apa

bahan taburan- bawang goreng, buah tomato, limau kasturi , tauge dan telur rebus dibelah 2

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Gunakan api perlahan. Tumis, bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga bawang keperangan dan wangi.Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan ayam dan santan. Didihkan. Masukkan kentang, fish-ball, fish-cake, sayuran seperti sawi, kobis, bunga kobis, kacang panjang dan tauhu. Masukkan juga air rebusan kerang jika ada.

3. Masukkan garam secukup rasa. Kalau nak ada rasa manis, masukkan sedikit gula. Setelah mendidih, padamkan api dan sedia dihidang bersama mee dan bahan taburan.

*** melalui pengalaman merasa pelbagai versi mee kari, mee kari yang sedap mempunyai pelbagai bahan campuran seperti fish-ball, fish-cake, pelbagai sayuran dan kerang. Ini kerana jus sayuran dan air rebusan kerang yang manis, menambah keenakan kuah kari.

Friday, March 5, 2010

Harsh Brown Selera Malaysia

Dah selalu buat kentang bakar, potato wedges dan kentang putar, teringin pulak nak makan benda lain berasaskan kentang ni. Lagipun, anak-anak K.An semuanya suka segala yang berasaskan kentang. Kalau dalam sup ayam atau daging pun, selalunya kentang dihabiskan dulu.

Belek-belek majalah lama, terjumpalah resepi harsh brown ala Malaysia... asalnya nak ikut resepi dalam majalah tu, tapi sudahnya diubahsuai, sebab ikut resepi asal agak 'lembek' dan susah dibentuk. Mungkin kentang yang K.An gunakan jenis berair kot.. tapi tak apalah, kalau nak cuba ikut resepi K.An pun silakan. Di tekak kami sekeluarga sedap je sebab liciiin tak berbaki pun harsh brown ni...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)
(idea asal oleh chef Nicholas E Pillai- Majalah Rasa Januari 2006)

500 gm kentang- rebus empuk dan buang kulitnya, sebahagian k.An lecek dan sebahagian K.An potong dadu kecil
1/2 labu bawang besar putih- dicincang
sedikit daun kucai- potong kecil
1 sudu teh paprika- boleh ganti dengan sedikit serbuk cili jika suka
1 biji cili merah- dicincang
sedikit garam
secubit serbuk lada hitam
150 gm serbuk roti
1 biji telur
2 sudu besar tepung gandum.
sedikit minyak untuk menggoreng

***sos thousand island, mayyonaise dan sos cili untuk dihidang bersama

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kecuali serbuk roti di dalam mangkuk. Gaul rata. Kalau terlalu lembut, tambah sikit lagi tepung gandum.
2. Bentukkan mengikut citarasa. Selalunya rupa harsh brown bujur leper. Kalau nak buat bulat leper pun boleh....heheh..
3. Panaskan kuali leper dengan sedikit minyak. Letakkan serbuk roti di dalam pinggan. Golekkan kepingan kentang agar serbuk roti rata di semua bahagian. Goreng harsh brown hingga keperangan.

Hidangkan ketika panas ataupun sejuk... sedap juga.

*** nanti nak cuba sos cheese yang ada kat dapur K.Rinn pulak. Rupa macam thousand island, tapi nampak lebih sedap.

Thursday, March 4, 2010

Baby-Kailan ikan Masin

Dua hari lepas, K.An ke pasar Presint 8 ni... nasib tak pengsan je nengok harga ikan melambung tinggi. Katanya cuma ikan import yang naik harga.. tapinya ikan bawal 'kecik' yang rasanya datang dari Kuala Selangor pun mencecah RM 20 sekilo. Belum lagi tenggiri, siakap dan ikan Merah.
Sudahnya, K.An balik dengan sayur-sayuran, telur ayam sepapan dan 4 biji telur itik. Semalam, buat masak lemak cili api telur itik dengan belimbing buluh, goreng baby-kailan, dan goreng ikan tamban masin..... Biarkanlah ikan naik harga, kita cari le makanan lain buat sementara waktu ni.

Kebetulan juga, ada kawan pejabat abang Azam yang tanya resepi kailan ikan masin. Almaklum dah tua, K.An rasa macam dah letak.... rupa-rupanya belum, walaupun dah berpuluh kali buat... Sori ye... disebabkan pemintaan, K.An masak 'spesel' punya sebab guna 'baby-kailan' yang lebih rangup dan sedap.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

200 gm baby-kailan (potong 1 inci panjang)
1 keping ikan tenggiri masin
3 ulas bawang putih dan 2 ulas bawang merah ditumbuk kasar
1 sudu teh sos ikan
**1 sudu teh sos tiram
**1 sudu besar kicap manis
garam jika perlu.
sedikit minyak masak.
Baby-kailan yang telah dicelur
Cara membuatnya:

1. Didihkan 2 cawan air bersama 1 sudu besar minyak masak di dalam periuk. Apabila mendidih, padamkan api dan masukkan sayur baby- kailan yang telah dibersihkan. Biar 3 minit. kemudian toskan. Proses ini adalah bagi mengekalkan kerangupan dan warna hijau sayur yang akan dimasak nanti.

2. Proses menggoreng memakan masa yang cukup singkat. Sediakan bahan secukupnya sebelum memasak.

3. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng ikan masin hingga separa garing. padamkan api. Angkat, buang tulangnya dan hancurkan. Ketepikan dahulu.

4. Gunakan kuali dan minyak yang sama untuk menumis bawang sebentar sahaja. Masukkan sos ikan, kicap dan sos tiram. Tambahkan sedikit air jika ingin sayur berkuah sedikit. Masukkan ikan masin dan sayur. Tambah garam jika perlu. Padamkan api dan gaul sebati. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain.

*** jika menggunakan kailan biasa, asingkan batangnya dan hiris nipis. Jika tidak dicelur, masak batangnya dahulu hingga lembut dan kemudian baru masukkan bahagian daun agar daun tidak terlalu layu.

Wednesday, March 3, 2010

Lempeng Pisang dengan Kelapa


Malas masak, tak bererti tak perlu masak. Kalau dah perut lapar minta diisi, masak je yang mudah-mudah. Yang penting dapat juga jimat masa (keluar dan beli kat kedai) dan jimat belanja.

Banyak jenis masakan yang mudah... contohnya lempeng macam ni. Lagipun ni sajian tradisi yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Anak-anak suka dan bila buat, tak pernah tak habis...

Bahan-bahannya: (menghasilkan 5 keping lempeng)

5 biji pisang masak (awak, emas , abu atau berangan)
1/3 cawan gula pasir
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan kelapa parut putih
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan - 3/4 air- bergantung kepada jenis pisang

sedikit minyak untuk memasak

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit pisang dan lecek halus bersama gula pasir. Masukkan tepung, kelapa, garam dan air dan kacau sebati.

2. Panaskan kuali dan renjiskan sedikit minyak masak. Ambil 1 senduk kecil adunan dan ratakan secara membulat di atas kuali. Tebalnya lebih kurang 1/2 sm. Gunakan api sederhana. Biar lebih kurang 3-5 minit. Terbalikkan dan masak lagi. Angkat apabila lempeng keperangan.

3. Ulang proses hingga adunan habis. Gunting kecil lempeng agar mudah dimakan.Hidang ketika minum petang.

*** lempeng ni tak perlu dicicah kerana sudah cukup rasa lemak kelapa dan manis pisang.