Wednesday, August 26, 2009

Karipap Ayam/daging- Rezeki pertama Ramadhan

Assalamualaikum semua.... Kami sekeluarga bercuti sebenarnya dan tempat kami berada ni liputan internetnya saaangat perlahan. Maka, dah berkali-kali mencuba nak masukkan entry baru terbantut. Hari ni adalah hari terakhir kami di sini dan alhamdulillah laju sikit internet ni.. bolehlah k.An masukkan cerita baru.

Di hari pertama puasa ada rezeki sikit daripada jiran dan rakan surau, Abang Termizi dan Kak Sabariah. Asalnya K.An cuma mintak benih roselle tapi diberi pelbagai hasil kebun mereka di belakang apartment di Presint 8 ni. Tengoklah, macam-macam ada. Keledek, kacang panjang, kacang tanah, benih terung dengan terung sekali, benih cili, kacang panjang dan roselle.

Alhamdulillah, kacang dah direbus dan keledek k.An buat karipap. Buat banyak dan hasilnya dikongsi masa berbuka puasa. Inilah berkat Ramadhan.

Beza karipap kali ni ialah K.An buat menggunakan mesin mee dan juga acuan karipap. Lebih mudah dan cepat dan kurang tenaga digunakan. Almaklum bulan puasa....

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 35 biji karipap- terlupa kira hari tu)

Inti keledek:

500 gm keledek- kupas kulit dan didadu kecil
2 sudu besar rempah kari daging
100 gm daging/ isi ayam dihiris kecil
sedikit daun sup/ bawang dihiris kecil
1/2 labu bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
Garam gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Cuci bersih keledek yang didadu dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk. tumis bawang besar, putih dan daging hingga wangi. Masukkan rempah kari. Tumis hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana.

2. Masukkan 1/2 cawan air dan keledek. Tutup periuk dan biar mendidih. Perlahankan api agar inti tidak hangus. Bila keledek agak empuk masukkan garam dan gula. Gaul rata hingga inti pekat. Tambah air jika inti belum empuk. Masukkan daun bawang dan sup dan gaul rata. Tutup api sebelum dan biar sejuk sedikit sebelum digunakan.

***jika suka lebih pedas tambahkan 1 sudu kecil cili kisar ketika menumis

Pastri:

400 gm tepung gandum
80 gm margerin
3 sudu besar minyak masak
120-150 ml air sejuk dicampur 1/2 sudu teh garam
Cara membuat doh:

1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar. Buat lubang ditengahnya.
2. Panaskan margerin di dalam kuali hingga cair dan campurkan minyak. Tuang ke dalam tepung dan gaul guna garpu (sebab minyak panas) Bila agak sejuk, gaulkan adunan dengan hujung jari menggunakan teknik gaul ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
3. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh.


Cara membuat karipap.

K.An dah sedikan videonya tapi, k.an masukkan kemudian nanti bila balik Putrajaya ye.. Kalau buat di sini, alamatnya petang nanti le baru siap... (dah siap videonya.. boleh tengok sendiri)

1. Bulat-bulatkan doh sebesar bola ping-pong hingga habis doh. Set mesin mee ke no 6 (kedua tebal) nipiskan bebola doh 2,3 kali dan buat hingga habis. video
Tukar ketebalan ke no-4 dan ulang proses menipiskan kepingan pastri hingga habis. Ketika ini pastri sangat licin dan berbentuk bujur sesuai dengan acuan. video

3. Letakkan kepingan pastri di atas acuan dan isikan inti. sapukan air di tepi pastri dan cantumkan acuan. Keluarkan karipap dan susun dalam dulang. Buat hingga habis. Simpan di dalam freezer sebelum digoreng agar kulit karipap cantik apabila digoreng. video

3. Panaskan minyak dalam kuali. Sebaik minyak panas, perlahankan api. Masukkan karipap yang telah disejukkan tadi, dan goreng hingga keperangan. Apabila siap, sedia dinikmati untuk berbuka puasa.



No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin