Saturday, July 30, 2011

Pengat Labu Berjagung

Seminggu yang berlalu, K.An menghabiskan banyak masa dengan mengemas pejabat aka tempat  bekerja  K.An iaitu DAPUR... mengemaskini peti ais, melupuskan barang-barang yang sepatutnya dilupuskan dan menyusun-ataur bahan mengikut keperluan bulan Ramadhan.  Sambil-sambil tu, menghabiskan saki baki stok bahan mentah yang tinggal sedikit di dalam peti ais. Ambil situ-sini, maka terhasillah  Pengat Labu berjagung ni...
Sesuai untuk berbuka puasa atau boleh juga dijadikan juadah ringan selepas solat Tarawikh..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

200 gm labu kuning yang telah dibuang biji- kupas dan potong dadu
1 tongkol jagung manis- dihiris isinya
1 cawan air
1 cawan santan cair
1/2 cawan pati santan
1 sudu besar gula merah/gula melaka/ gula perang
gula pasir secukupnya
secubit garam
1 helai daun pandan-dicarik dan disimpul
2 sudu besar sagu biji direndam dengan 1/2 cawan air selama 10 minit

Cara membuatnya:

1. masukkan labu kuning bersama 1 cawan air ke dalam periuk. Rebus sehingga labu lembut. Jangan terlalu lembut sebab ada sesetengah labu jenis yang hancur jika terlebih masak.
2. Masukkan jagung, santan cair, daun pandan, gula merah dan didihkan seketika hingga jagung empuk. Gunakan api sederhana sambil kacau pengat sekali-sekala. Masukkan pati santan dan sagu biji.

3.Akhir sekali Tambahkan sedikit gula pasir dan sedikit garam ikut citarasa  masing-masing. Apabila sagu jernih dan kuah memekat, matikan api. Sedia dinikmati ketika panas atau sejuk.
K.An suka sangat pengat ni sebab ada gabungan tekstur lembut pada labu dan tekstur rangup pada jagung. Rasa manis asli labu dan jagung juga sungguh sedap...

Wednesday, July 27, 2011

Nostalgia Ramadhan....Kuih Kosui Pandan

Setiap kali tibanya Ramadhan, ada satu perasaan halus di sudut hati ini yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ketenangan, kemeriahan, kehibaan dan kesyukuran... Yang pasti, bagi setiap umat Islam kedatangan Ramadhan sangat dinanti-nantikan sebelum tibanya hari kebesaran umat Islam pada 1 Syawal. Bagi K.An, saban tahun, Ramadhan dan Syawal meninggalkan pelbagai kenangan manis tidak kira di mana kami sekeluarga menyambutnya.

Selain Ibadah puasa dan solat Tarawikh yang ditunaikan, setiap juadah yang dijamah juga ada sejarah tersendiri. Macam-macam jenis makanan telah K.An pelajari di sepanjang hidup selama 39 tahun lepas. banyak yang telah K.an kongsikan resepinya pada tahun-tahun lepas, antaranya kuih kosui pandan ini.


Terima kasih kak Su (Puan Suliza - bekas guru di SBPI Rawang) yang berkongsi keenakan kuih ini lebih 6 tahun lepas.... setiap kali K.An membuatnya, pasti terkenangkan Kak Su sekeluarga...

Kepada pembaca Periuktanah, sekali lagi K.An kongsikan resepi mudah tapi sedap ini...

Bahan-bahan: menghasilkan +/- 25 ketul kuih bersaiz lompang.

1  1/2  cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir
1 cawan air pandan (kisar  4 helai daun pandan bersama 1 cawan air- perah dan tapis)
2 cawan air biasa
sedikit pewarna hijau
1/2 sudu teh air kapur cair- sangat cair ye...

kelapa putih secukupnya digaul dengan sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Sediakan acuan lompang. Panaskan air kukusan dan biar hingga mendidih. (Alas penutup kukusan dengan kain bersih agar air tidak menitis ke dalam kuih ketika mengukus)

2. Campurkan semua bahan kecuali kelapa putih di dalam mangkuk adunan. Gaul sebati menggunakan whisk hingga gula hancur. Tapiskan ke dalam mangkuk lain agar adunan tidak berbintil. Gaul rata dan terus isikan ke dalam acuan lompang. Isikan hampir penuh acuan. 

3.Kukus dengan api kuat selama 15-minit atau kuih nampak jernih. Angkat dari pengukus dan sejukkan selama 1/2 jam sebelum kuih dikeluarkan daripada acuan. Hidangkan bersama kelapa putih..

Jika adunan dibuat dalam kuantiti yang banyak, pastikan adunan dikacau sekali-sekali sebelum dimasukkan ke dalam acuan agar adunan tidak mendap ke bawah. Kuih ini boleh juga dikukus di dalam loyang yang bersesuaian saiznya.

Selamat mencuba...

Tomyam Kung

Kepada yang rasa tak sempat nak masak banyak-banyak lauk untuk berbuka puasa, bolehlah mencuba resepi Tomyam Kung yang sangat mudah ini. Boleh juga ajar anak perempuan yang dah boleh pegang periuk dan senduk masak sebelum mak balik dari kerja... serius! sangat senang, tapi sedap.

Bahan-bahannya:

200 gm ayam dipotong kecil -boleh juga gunakan dada ayam dipotong kecil.
serba sedikit, sotong, udang, ketam dan daging yang telah direbus empuk-  ikut citarasa
1 sudu besar pes Tomyam Kung Adabi
1 biji tomato masak dicincang
1/2 batang seleri dihiris serong
1/2 labu bawang besar Holland (warna kuning tu)
5 biji cili api diketuk- ikut citarasa pedas
sedikit karot, bunga kobis dan kobis
2 batang serai diketuk
1 biji limau nipis- diperah jusnya
garam dan gula secukup rasa
2 sudu besar santan sederhana pekat
sedikit daun limau purut

Cara membuatnya:

1. Masukkan ayam bersama 3 cawan air ke dalam periuk. Didihkan selama 5 minit, kemudian masukkan pes tomyam bersama daging,bawang besar, cili padi, tomato, karot, seleri dan serai. Didihkan lagi sebentar.

2. Kemudian masukkan sayuran lain seperti kobis, bunga kobis dan  juga santan. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Tambah air jika ingin kuah yang banyak. Akhir sekali masukkan udang dan daun limau purut yang telah dicarik kecil. Matikan api. Masukkan ke dalam mangkuk dan perahkan air limau nipis. Sedia dihidang bersama nasi panas atau mee, kue-teow dan mihun...

Tuesday, July 26, 2011

Kek Coklat Kukus lagi...

Assalamualaikum wrt...

Alhamdulillah, semalam selesai juga K.An menggantikan 30 hari puasa Ramadhan tahun lepas yang tak dapat K.An tunaikan kerana nifas selepas melahirkan almarhumah Munirah Huda... Lega rasanya sebab dah terbayar hutang dengan Allah... Bagi yang belum selesai meng Qada' puasa, ada lagi tinggal beberapa hari lagi sebelum masuk Ramadhan...

Kembali ke dapur periuktanah, hari ni K.An lontarkan idea juadah mudah untuk berbuka puasa minggu depan. Sesuai kalau nak masak banyak untuk diberi kepada jiran2 ataupun dijadikan buahtangan untuk majlis berbuka puasa di rumah mertua, kawan-kawan atau rakan sekerja di pejabat.  Sesuai juga kalau nak buat juadah untuk moreh di rumah atau surau...

Yang inipun K.An buat banyak untuk dibawa ke surau sebagai juadah pencuci mulut lepas solat Isya' di malam Jumaat. Buat kecil-kecil supaya senang dimakan dan tak membazir...

Walaupun resepinya dah ada sebelum ni, tapi K.An kongsikanjuga sebab kali ni, K.An gunakan minyak masak sepenuhnya menggantikan margerin cair.

(sumber asal daripada SajiOnline: telah diubahsuai sedikit sebanyak mengikut citarasa K.An)

Bahan-bahannya: (menghasilkan lebih kurang 90 ketul kek saiz kecil seperti apam)

3/4 cawan serbuk coklat
1 cawan gula pasir- K.An kurangkan 2 sudu besar
1 cawan minyak masak
1 cawan susu cair/ sejat
1/2 cawan susu pekat
1 1/4 cawan tepung gandum***
1 sudu teh soda bikarbonat***
1 sudu teh baking powder***

bahan bertanda *** diayak bersama

3 biji telur Gred A atau B dipukul sedikit.

Cara membuatnya:

1. Campurkan serbuk coklat, gula pasir, susu cair  dan minyak di dalam periuk. Hidupkan api sederhana. Kacau adunan hingga gula cair dan bahan sebati. Tak perlu mendidih. Angkat daripada dapur dan biarkan suam.
2. Sementara itu, ayak bersama tepung , soda bikarbonat dan baking powder.

3. Tuangkan susu pekat atau krimer manis ke dalam periuk adunan  yang dah menjadi suam tadi. Gaul rata. Masukkan telur dan gaul sebati.

4. Akhir sekali masukkan tepung sedikit-demi sedikit dan gaul hingga sebati. Sediakan acuan apam dan alas dengan cawan kertas kecil. Isikan adunan kek 3/4 penuh acuan. Kukus selama 10 minit.

Adunan boleh juga dimasukkan ke dalam loyang besar yang sesuai. Pastikan adunan cuma diisi 3/4 penuh kerana kek akan mengembang setelah dimasak. Jika menggunakan loyang masa mengukus adalah 30 minit atau sehingga kek masak (cucuk dengan lidi, bersih apabila dikeluarkan.)

Selamat mencuba

Kek Coklat kukus ini sungguh sedap kerana teksturnya yang lembab, kurang manis dan senang dimakan... dah bayak kali K.An ulang buat menggunakan resepi yang sama. Ramai juga pembaca periuktanah yang dah mencuba menggunakan resepi sebelum ini dan mendapat hasil yang memuaskan...

Thursday, July 21, 2011

Kuih Kalakatar lagi... 'febret' di bulan puasa

Antara kuih-muih tradisi yang paling dicari di kampung K.An, di bulan Ramadhan ialah kuih Kalakatar.... Istimewanya, telah K.An ceritakan dalam 'entry' kuih kalakatar sebelum ni. Kuih yang berasaskan air kelapa muda, isi kelapa muda dan tepung beras ni memang istimewa bagi masyarakat Banjar di tempat K.An. Bagi K.An tiada yang lebih istimewa berbanding kuih kalakatar buatan sendiri dari rumah.. Almaklum, yang dijual, agak kedekut sikit isi kelapanya dan ada yang tidak asli menggunakan air kelapa muda.(dicampur air biasa) tambahan lagi, kuihnya tidak lembut dan 'menggeletar' apabila diangkat. Sedangkan dari situlah datangnya nama kuih ini... KALAKATAR...

Istimewa sempena hari-hari mendekati Ramadhan, K.An sajikan sekali resepi kalakatar. Kali ni dalam jumlah yang lebih banyak. 2 kali ganda daripada resepi sebelum ni. Loyang kecil tak cukup...

Bahan-bahannya:

6 cawan air kelapa muda -daripada 2 biji kelapa muda yang agak besar saiznya
isi kelapa muda- seeloknya yang lembut dikokot menggunakan sudu. Jika isi kelapa muda agak keras, gunting kecil-kecil agar kuih senang dipotong nanti.

2 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung gandum
2 biji telur B
8-10 sudu besar gula pasir- jika air kelapa sudah manis, kurangkan gula
secubit garam

Cara membuatnya:

1. Lengser loyang berukuran 8X8 inci atau yang bersesuaian dengan sedikit mnargerin. Tidak perlu dialas.
2. Panaskan oven ke suhu 200 darjah Celsius api atas dan bawah.
3. Masukkan telur dan gula ke dalam mangkuk adunan. Pukul telur dan gula menggunakan 'whisk' hingga gula larut dan telur berbuih. Tak perlu kembang.
4. Masukkan tepung beras, tepung gandum dan air kelapa secara berselang-seli, sedikit demi sedikit hingga habis sambil digaul menggunakan 'whisk.' (pemukul telur manual) Pastikan adunan sebati.
5. Masukkan bater ke dalam loyang. Letakkan loyang di rak paling bawah di dalam oven. Bakar pada suhu 200 darjah Celcius. Selepas 15 minit, keluarkan loyang dan kacau adunan kuih agar kuih tidak mendap ke bawah. Setelah dikacau rata, Taburkan isi kelapa muda di permukaan kuih. Terus membakar kuih di bahagian tengah oven selama 30-40 minit atau sehingga kuih masak. Bahagian atas kuih nampak keperangan apabila kuih masak seperti di dalam gambar.

6. Sejukkan kuih sepenuhnya sebelum dihidang. Jika ingin dijadikan juadah berbuka puasa eloklah jika kuih ini dimasak di waktu pagi. Atau lebih mudah masak di waktu malam dan sejukkan di dakam peti ais. Potong keesokan harinya ketika hendak berbuka puasa... 



****Tips periuktanah. Gunakan cawan yang sama saiznya untuk menyukat tepung beras dan air kelapa. K.An menggunaka cawan berisipadu 220 ml. tepung gandum disukat penuh sudu, bukan rata..

Selamat Mencuba

Wednesday, July 20, 2011

Bun Kacang Merah

Assalamualaikum wrt.

Tak sampai 2 minggu lagi, kita akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan di mana kita umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan dan disunatkan memperbanyakkan amal ibadah kerana ganjaran Allah yang berlipat ganda..

Ramai yang sibuk buat persiapan raya walaupun puasa pun belum mula... macam tak kena kan...? Bagi K.An, dalam seminggu dua ni sibuk ulangkaji aneka resepi dan juadah yang bakal disajikan untuk keluarga tercinta. Walaupun puasa yang mesti diutamakan, tapi menghidangkan makanan dari dapur sendiri juga termasuk dalam ibadah. Selain bersedia untuk kekuatan fizikal, tubuh yang sihat dan cukup khasiat juga memungkinkan kita menjalani ibadah puasa seterusnya menunaikan solat fardhu dan tarawikh dengan sempurna.



Sambil-sambil tu, K.An masak juadah ulangan je untuk keluarga... ada satu dua resepi yang boleh K.An kongsikan di sini. Satunya Bun Kacang Merah dan Bun Manis yang dibuat bagi menghabiskan stok tepung Roti (tepung protein tinggi yang dah nak habis tarikh).... kalau tak dikerjakan, membazir pulak nanti

Bahan-bahan:

Doh Bun Manis- (resepi asal dari buku Alex Goh- disalin semula oleh Mat Gebu dan dicuba oleh K.An beberapa kali sudah.... memang mudah dan sedap.)

Bahan A:

480 gm tepung roti (tepung protein tinggi yang boleh dibeli dari kedai bahan-bahan bakeri)
120 gm tepung gandum
110 gm gula halus
10 gm garam
20 gm susu tepung
4 sudu teh yis kering
1 sudu teh bread improver**
1 sudu teh bread softener**

**tak letak pun tak apa

Bahan B
1 biji telur
300 ml air
Bahan C
60 gm mentega

*** inti kesukaan secukupnya- boleh guna inti manis seperti kacang merah, kaya atau kelapa. Boleh juga guna inti sardin dan sambal bilis

Cara membuatnya:

1. Satukan bahan A dan gaul rata. Tambah bahan B dan uli hingga menjadi doh. Tambah Bahan C dan terus menguli hingga menjadi doh yang lembut dan anjal. (Uli selama 20-25 minit menggunakan teknik tarik dan tolak dengan kedua belah tangan)

2. Alih ke dalam bekas yang disapu mentega dan tutup dengan plastik 'cling'. Biar 1 jam hingga doh naik 2 kali ganda.

Boleh juga guna bread maker... lebih mudah. Masukkan semua bahan ke dalam bread maker dan pilih setting doh. Biar hingga siap dan kemudian alihkan ke dalam bekas yang lebih besar dan perap 1 jam.

Untuk Bun inti Kacang:.

1. Ambil 600 gm doh tadi (yang lain boleh buat roti jenis lain) Bahagikan kepada 12 bahagian sama besar. (50 gm setiap bahagian) Bulat-bulatkan dan ketepikan. Ambil satu canai membujur. Potong seakan-akan jejari seperti di dalam gambar. Isi dengan inti kacang merah. Gulung dan alihkan ke dalam dulang pembakar yang disapu sedikit mentega. Buat hingga siap. Biar 40-50 minit hinggga naik. Bakar dalam oven pada suhu 180 darjah selama 20-25 minit.

2. Lepas 15 minit dibakar, K.An ikut tips Mat Gebu, keluarkan roti dari oven dan sapukan bancuhan telur pada permukaan roti. Sambung bakar hingga siap. Sejukkan atas jaringan.

Baki doh, bolehlah dibuat aneka bun lain bentuk bulat atau masukkan dalam loaf tin. Potong roti apabila siap.

Thursday, July 14, 2011

Mee Rebus Tulang Rusuk

Minggu lepas, untuk kesekian kalinya Kak Azah order mee rebus untuk pot-luck di pejabatnya. Macam yang lepas, tak sempat K.An nak ambil gambar ketika bahan-bahannya lengkap sebab bakinya habis dimakan isi rumah ni... ada saki baki sikit tu, letak je kat dalam pinggan... tulangnya, dagingnya, udangnya... semua dah tak ada... bayangkan jelah ye.. ada semua benda tu di atas mee rebus tulang rusuk ni...

Resepi K.An setelah mencuba pelbagai resepi mee rebus... yang ini dah berkali dibuat, selalunya istimewa untuk tempahan atau menjamu tetamu di hari istimewa..

Bahan-bahan (hidangan untuk 20 orang)

5 peket mee kuning (celur sebentar dengan air mendidih, toskan dalam penapis dan lalukan air sejuk)

Bahan Kuah:

1/2 kg tulang rusuk- dipotong kecil
200 gm daging tetel- potong kecil
1 bungkus sup bunjut
3 liter air

*** rebus tulang rusuk dan daging dan biar mereneh (Api perlahan) sehingga daging empuk. Masukkan sup bunjut dan biarkan 2-3 jam.

Bahn lain:

 1 kg ubi keledek merah- kupas kulit, potong kecil dan rebus hingga empuk. Toskan.
200 gm udang putih- buang kepala dan ekor, ketepikan
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1 cawan cili kisar/ cili boh
1 cawan sos cili- ikut citarasa pedas
2 sudu besar sos tomato
garam dan gula secukup rasa
200 gm kacang tanah, sangrai, buang kulit dan kisar halus
1/2 cawan minyak untuk menumis
3-5 liter air
3 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1 cawan air
20 ekor udang harimau...atau lebih

Cara membuatnya

1. Kupas dan hiris nipis bawang merah, bawang putih dan halia.
2. Masukkan keledek ke dalam pengisar bersama air. Kisar halus. Masukkan ke dalam mangkuk. Ketepikan.
3. Masukkan pula udang putih bersama air ke dalam pengisar. Kisar halus juga.
4. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga bawang keperangan dan berbau wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Kacau sekali-sekala dan gunakan api sederhana.
5. Masukkan air rebusan tulang beserta tulang dan daging ke dalam periuk. Masukkan juga, keledek yang telah dikisar, sos cili, sos tomato, udang kisar dan kacang tanah. Tambahkan air secukupnya. Biarkan mendidih dengan api sederhana. Tambahkan bancuhan tepung jagung
6. Kacau sekali-sekali. Perasakan dengan garam dan gula. Kuah mesti ada rasa pedas, manis dan masin secukupnya. Apabila kuah mendidh dan nampak pekat, barulah dimasukkan udang harimau. Apabila udang masak, matikan api dan sedia dihidang bersama mee kuning dan bahan taburan.

Bahan taburan

taugeh- dicelur sebentar
4 biji ubi kentang, direbus dengan kulit sehingga empuk- kupas dan hiris nipis
5 biji telur rebus
2 biji tomato-hiris nipis
bawang goreng
cili merah
 daun sup dan bawang
3 keping tauhu- digoreng dan potong kecil
limau kasturi dibelah 2

Masukkan mee ke dalam mangkuk. Taburkan dengan bahan sampingan. Letakkan kuah dan perahkan limau kasturi... Sedia dinikmati.. Rasa sekali, nak lagi..

Thursday, July 7, 2011

Resepi Ulangan...

Hari ni kita layan aneka resepi ulangan di dapur  Periuktanah.. resepi yang tak jemu dijamah kami sekeluarga..

Roti Kentang... resepinya klik SINI....

Kek Lobak Merah untuk Hari Jadi Iqbal -kegemaran dia.. Resepinya di SINI..


Kuih Lapis..  Resepinya Sama yang di sini, cuma K.An tambahkan 2 sudu besar tepung jagung dalam adunan. Kemudian barulah di bahagikan kepada dua adunan. satu diwarnakan merah, satu dibiarkan kosong.
Kuih Cara Berlauk- Untuk resepi klik SINI

Apam Beras

Wednesday, July 6, 2011

Mafin Jagung Manis

Dalam seminggu ni, ketuhar di rumah K.An ni penat bekerja disebabkan kekerapan K.An membakar kek Pisang. Di rumah ni ada banyak stok pisang yang Abang Azam tebang sendiri di belakang rumah (ada cerita kelakar campur sedih sekali...hhii..huk...) dan stok pisang pemberian rakan dan jiran.... Nak bagi orang, pisang ni almaklum, semuanya sibuk dan tak sempat nak mengerjakannya.. sudahnya mereka pun bagi kita sebab takut pisang kuning jadi hitam kat dalam peti sejuk... Untuk tidak membazir, K.An jadikan pisang ni kek dan cekodok....hehehheh...menu paling mudah... hantar kat jiran dan bagi saudara-mara.. InsyaAllah tak membazir..

Walaupun K.An nak selitkan juga gambar kek pisang di akhir nanti, hari ni K.An nak kongsi resepi Mafin Jagung Manis yang K.An buat untuk Hari guru bulan lepas.... mak oiii, lamanya terperap gambar ni.. Dah 2 kali buat, tapi ketiadaan kamera menghalang K.An untuk kongsi gambarnya. Yang ini pun tinggal 2 ketul terakhir sebab yang lain dah dibungkus dan diberi kepada guru-guru Sarah dan Asma'.. Dah tak ada yang merekah di atasnya..


Resepinya mudah, sama seperti resepi mafin pandan dan blueberi sebelum ni..Resepi asal daripada chef-chef Hotel Nikko Kuala Lumpur yang disiarkan dalam Majalah Rasa Edisi Rumah Terbuka Oktober 2010.

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih 50 biji mafin saiz besar).

750 gm tepung kek
250 gm mentega tanpa garam*
5 gm garam*
500 gm gula- K.An kurangkan dalam 1/2 cawan
7 biji telur A
60 gm baking powder
500 ml susu segar
1/2 sudu teh esen vanilla
960 gm jagung manis - K.An gunakan jagung dalam tin je..

Cara membuatnya:

1. Pukul gula, garam dan mentega hingga kembang.
2. Masukkan telur dan kacau guna senduk hingga sebati.
3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder. Gaul lagi hingga rata. Gunakan whisk untuk cepat sebati.
4. Masukkan susu, esen vanila dan jagung. Gaul rata.
5. Tuangkan adunan ke dalam cawan mafin.  Bakar pada suhu 180 darjah C selama 20-30 minit mengikut jenis oven.



Kek Pisang kali ni dibakar menggunakan oven gas saiz besar... Sebelum ni ada yang bertanyakan suhu yang digunakan jika oven berbeza.. suhunya K.An tambahkan sedikit dari 180 ke 185 darjah C.. yang penting 30-40 minit awal, K.An letakkan kek di rak paling bawah. Setelah kek cukup naik dan nampak tepi loyang keperangan, K.An pindahkan kek ke rak yang atas. (bukan di tengah oven) seterusnya bakar hingga warna kek perang sekata. Ini adalah untuk gas oven yang tak ada fungsi grill... insyaAllah kek akan jadi elok.



Untuk Resepi kek Pisang, klik sini ye.
Nampak tak kegebuan kek tu.,...


Tuesday, July 5, 2011

Siakap Kukus Asam Boi

Putrajaya kembali panas.... Siang malam kipas di rumah ni tak henti-henti berputar.... Kalau nak sejuk, cuma di waktu Subuh dan awal pagi... Itupun kena keluar dari rumah atau duduk di tepi tingkap terbuka untuk menghirup kesegaran udara... Di dalam rumah, sama je keadaannya..

Waktu nilah K.An rindukan suasan rumah kampung yang udaranya sejuk menggigit tulang dan segar dihirup terutama di waktu pagi. Sistem pengudaraan rumah kampung juga sangat berkesan dalam menyejukkan isi rumah... hmmm... nak kena reka dan buat sendiri rumah le jawabnya...

Panas-panas gini, tak berapa sesuai nak makan yang berempah dan pekat-pekat... Sedap yang berkuah dan kurang pedasnya... Ada saki baki kaki ketam dan udang buah tangan Sabah, K.An buatkan Seafood Tomyam.. resepi macam tomyam sebelum-sebelum ni juga, cuma tambahkan lebih seafood untuk rasa berbeza..

Yang K.An nak kongsikan hari ni ialah Resepi Siakap Kukus Asam Boi ni... lain sikit sebab dia ada rasa masam manis Asam Boi... Boleh cuba untuk kelainan...

Resepi dan idea asal daripada Encik Zaharum Uda-Bandar Tasik Puteri. Disiarkan dalam Majalah Saji Edisi Februari 2009. Semua resepinya nampak sedap...

Bahan-bahan ikut citarasa K.An:

1 ekor ikan siakap, dibersihkan dan dikelar serong- lumur dengan sedikit garam
5 biji Asam Boi putih
1 labu bawang besar dimayang
1 tangkai cili merah dihiris nipis
3 tangkai cili padi diketuk
1 biji tomato dibelah 6
1 biji limau nipis diperah airnya
1 kuntum bunga kantan dihiris halus (tak ada stok- K.An tak letak)
1 batang serai dititik
1 inci halia muda dihiris halus

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus. Masukkan ikan ke dalam bekas tahan panas.  Taburkan semua bahan di atas ikan dan tuangkan air limau nipis. Kukus Ikan selama 15 minit atau sehingga ikan masak. Sedia dihidang bersama nasi putih,Seafood Tomyam dan air Asam atau sambal belacan jika suka...

Monday, July 4, 2011

Aneka Buah Tangan...

Musim 'out-station' dah tiba... Bukan K.An ye... tapi cik Abang saya la... Kejap ke utara, kejap ke selatan, kejap ke seberang sana, kejap ke pantai timur...

Yang seronoknya bila dapat buah tangan berupa bahan-bahan untuk dimasak... dan dimakan..
Kek Sarawak tentunya dari Sarawak...
Buah Salak dan Avocado dari Tawau Sabah.. terima kasih Pak Yad

Buah belimbing buluh daripada Cikgu Azhari... kat Bagan Lalang je.. buat masak lemak cili api telur itik le jawabnya...

Sotong  besar ni pun dari Sabah... Ada telur besar yang K.An dah buatkan sambal macam sambal sotong, tapi semata-mata telur sotong je K.An guna... sedap.. Habis dan tak sempat ambil gambar

Ada banyak lagi buah tangan kawan-kawan yang belum sempat K.An up-load kan... ada masa kita cerita lagi..