Thursday, May 27, 2010

Karipap Pusing

Assalamualaikum.... Hari ni kita layan tengok gambar ye... Kalau tak, nanti tak faham pulak.

Karipap pusing ni, K.An belajar cara membuatnya daripada Kakak sulung Kak An (pakar buat kuih juga ni... suami dia, Abg Mie, pakar masak lauk-pauk). Dah lama juga sesi pembelajaran tu (lebih 5 tahun lepas) dan beberapa kali buat ikut resepi yang dia ajar.

Baru-baru ni terfikir nak cuba cari resepi lain yang mungkin ada kelainan dan boleh perbaiki resepi lama. Terjumpa di fotopages kak Rinn, nampak ok jugak... K.An juga ada tengok resepi di MyResipi dan kat dapur Hana bulan Mac lepas. Berdasarkan pengalaman yang lepas dan resepi-resepi tersebut, K.An menghasilkan resepi ni yang K.An rasa puas hati.... Tengoklah nanti kalau terjumpa yang lain, Kak An kongsi lagi kat periuktanah.

Bahan-bahan:

Doh A:

3 cawan tepung gandum
1/2 cawan margerin
1 sudu teh garam
1/2 cawan - 3/4 cawan air sejuk dari peti ais

Doh B:

1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan margerin

Cara membuatnya:

1. Masukkan Bahan doh A ke dalam mangkuk kecuali air. Gaul ramas macam buat karipap biasa hingga jadi serbuk. Tambahkan air sedikit-demi sedikit hingga adunan menjadi doh lembut dan licin.

2. Bahagikan kepada 4/6/ 8 bahagian. K.An buat waktu malam dan dah mengantuk, jadi K.An bahagikan 4 je... (jumlah pembahagian ini menentukan saiz karipap tau... K.An punya karipap saiz harga 50 sen.

3. Masukkan pula bahan Doh B ke dalam mangkuk berasingan. Uli hingga jadi doh licin. Bahagika juga seperti Doh A (4/6/8 bahagian)
4. Rujuk gambar. Canai doh A dan isikan dengan bebola doh B. Bulatkan. Buat hingga habis.
5. Canai satu bebola doh yang telah diisi doh B anggaran 1 1/2 sm tebal. Gulung kemas. Canai sekali lagi. (doh akan jadi panjang)
6. Gulung sekali lagi. ke arah bujur agar gulungan jadi pendek. Potong guna pisau seeloknya yang bermata gergaji setebal 1 sm.

7. Canaikan dan terbalikkan. ( supaya corak yang terbentuk seperti diingini) Isikan inti secukupnya. (boleh semak resepi inti di post karipap keledek ye)
8. Kelim karipap seperti biasa. Doh sebanyak ni menghasilkan lebih kurang 30-35 ketul karipap. Malam tu sempat goreng 10 biji sebab anak-anak nak 'supper'. Yang lain K.An bekukan untuk sarapan esok pagi dan bekalan anak-anak ke sekolah juga suami ke pejabat.
*** Jika ingin simpan beku karipap, alas bekas dengan plastik dan setiap lapisan karipap. Goreng dengan minyak yang telah dipanaskan ketika karipap masih beku. Perlahankan api atau gunakan api sederhana agar karipap cantik ketika digoreng.

**** Gambar tu, warnanya agak tidak sekata sebab goreng waktu subuh untuk sarapan dan bekal anak juga suami. Nak cepat masak, guna api yang agak besar... petang tu, K.an goreng guna api perlahan, cantik je 'kaler' dia...

**** K.An suka resepi ni sebab lapisan tidak berderai ketika digoreng dan kekal rangup selepas 8 jam..

Wednesday, May 26, 2010

Keropok Lekor

"Solli aaa... ini kelopok, lupa takda.. taaapi, rasa dia.... sedddap punya..." saya punya laling sama anak-anak pun kata luluus...

Dah lama menyimpan hasrat nak buat sendiri keropok lekor lembut ala-ala Losong tapi rasa macam Ma....... je.. Entah macamana tiba-tiba, Hari Sabtu lepas dapat tenaga tambahan untuk menjayakan juga projek keropok lekor di rumah... alhamdulillah jadi.. kalau tak memang penat tau dibuatnya..

Resepi asal daripada aa iezah dari MyResepi. K.An dah ubahsuai sikit berpandukan maklumbalas ramai yang dah mencuba resepi tersebut. Terima kasih banyak aa iezah..

Bahan-bahannya: (hasilnya sangat banyak, boleh makan sekampung..hehehh..) agak-agak ye, kalau nak makan 2,3 mulut je...

1 kg ikan kembung/ selayang- K.An gunakan 500 gm ikan kembung dan 500 gm ikan pelaling
500 gm tepung sagu ( takde kat sini- K.An gunakan 300 gm tepung ubi dan 200 gm tepung gandum)
sedikit garam
beberapa ketul kiub ais
air secukupnya anggaran 125 ml

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ikan dan asingkan isi dengan tulang. Proses ni memerlukan kesabaran kalau buat banyak.... habis satu badan bau ikan.. Kemudian potong kecil isi ikan dan tumbuk halus.

2. Ketika menumbuk isi ikan masukkan kiub ais berselang-seli. Tujuannya supaya keropok tidak liat nanti. (k.An gunakan blender dan campurkan air ais bersama isi ikan. Seeloknya kisar sedikit demi sedikit. Jangan dimasukkan sekaligus.)

3. Masukkan isi ikan ke dalam mangkuk dan campurkan tepung dan garam sedikit-demi sedikit hingga campuran boleh dibentuk. Tambahkan air jika perlu.

4. Akhir sekali gentel adunan menjadi panjang dan sambil tu bolehlah dididihkan air untuk merebus keropok. K.An taburkan sedikit tepung gandum pada dulang dan gentel adunan di atas tepung tersebut agar tidak melekat.

5. Masukkan keropok ke dalam air dan angkat bila timbul, menandakan keropok masak. Toskan dan hiris ikut citarasa sebelum digoreng.
Tengok le rupa keropok K.An yang agak 'buruk' akibat terlebih masuk air ni...Alhamdulillah tak liat setelah digoreng..

Siap digoreng bolehlah dihidangkan bersama sos cili atau sos keropok lekor.

Selamat mencuba... Penat, tapi berbaloi...

**** Hari ni baby Maryam masih demam... panasnya badan dia setiap kali habis kesan ubat demam. Kena ke klinik lagi le petang ni.

Monday, May 24, 2010

Kuih Lapis- Resepi II

Assalamualaikum semua... Salam penuh ceria untuk kawan-kawan blogger tak kira di mana berada dan juga salam penuh bahagia kepada 'follower rasmi dan tak rasmi.... Ina, Ana, siti, Nur, Asha, Ijan(Finland), Hana(Jepun), Abbot (sihat ke pagi ni..?), Cik Mat (masak apa Mat..?) Mun, Kak Rose, Rose, mamahafiy, Mai, Kak Cm, Kak Salma, Pak Ngah, Maria (Brunei), Fida (Ireland) dan ramai lagi yang tak tersebut namanya di sini...

Jangan sedih-sedih, kalau sakit, selsema, batuk, cepat-cepatle makan ubat.. jangan biar melarat.. Kalau takde selera nak makan nasi hari ni, jom kita makan kuih lapis. Tengok warnanya pun dah membangkitkan rasa ceria....

K.An buat kuih lapis ni atas permintaan anak kecik K.An Maryam yang ternampak gambar kuih Lapis kat Periuktanah masa dia tumpang 'Main mashak-mashak ngan Ummi'. Dia kata nak kuih 'pink' yang boleh wat camni-camni... (sambil tangan comelnya buat aksi makan kuih lapis -selak sekeping demi sekeping dan masyuk mulut)... kelakar pulak rupanya... selagi tak buat selagi tu dia tanya... dah 'syiap' ke Ummi kuih pink tu...? Kena buat jugak le...

Sebelum ni K.An dah kongsi resepi kuih lapis Melaka yang banyak menggunakan tepung beras, dan kali ni, K.An kongsi resepi saaaangat mudah yang diberi Mak Mertua K.An.. Hjh Zainab. Mak dapat resepi ni daripada seorang kawan di kampung masa buat 'pot-luck' kaum ibu-ibu...

Rasanya memang sedap. Teksturnya lebih kenyal dan lembut tetapi perlu disejukkan lebih lama sebelum dipotong.(berbanding resepi K.An sebelum ni). Kalau tak, lapisnya tertanggal pulak. Satu perkara lagi, bila lembut ni, kenalah makan habis sekali hidang jika tidak disimpan di dalam peti ais.... (kalau sedap, cepat je habisnya...hihihii...)

Panjang sangat dah cerita, jom kita tengok resepinya:

Bahan-bahan: menghasilkan satu loyang bulat berdiameter 7 inci)

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 cawan gula pasir
5 cawan santan sederhana pekat (daripada sebiji kelapa) - K.An guna pati santan yang dibeli dipasar RM 1 sebungkus tu. campur air menjadi 5 cawan... sedang elok lemaknya
sedikit pewarna merah dan esen ros/ pisang( setitik, dua je)
1/4 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus.
2. Dalam satu mangkuk besar, campurkan tepung gandum, tepung beras, gula pasir dan santan. Gaul sebati menggunakan whisk. Tapiskan ke dalam bekas lain agar adunan sebati.

3. Bahagikan kepada 2 bekas. Untuk selamat kira secawan demi secawan. Kalau nak buat 7 lapis, bahagikan mengikut nisbah 3:4. Bahagian yang 4 cawan diwarnakan merah dan biarkan satu bahagian lagi putih.

4. Letakkan garam di dalam adunan putih dan esen ros di dalam adunan merah.

5. Letakkan loyang di dalam pengukus. Tuangkan satu cawan adunan berwarna merah dan kukus selama 7-10 minit. Ulang proses hingga lapisan terakhir berwarna merah. K.An tambah sedikit lagi pewarna merah untuk lapisan akhir agar warnanya menyerlah.

6.Setelah siap, keluarkan daripada pengukus dan sejukkan. Kalau nak cepat, rendamkan loyang dalam dulang berisi air ais dan bila loyang sejuk , barulah dimasukkan ke dalam peti ais.

Potong dan hidangkan.


"Kami suuuuka kuih 'pink' dan semuanya yang berwarna 'pink'..."... Yang ini ummi buat, jemput makan...

Sunday, May 23, 2010

Nasi Lemak Daun Pisang dan Serunding Kerang 2

Memang sedap kalau dapat makan nasi lemak daun pisang dengan Serunding Kerang..... taaaapi, kalau beli di gerai atau kedai, ada risikonya. Dah banyak kali K.An terkena. Lepas makan je, perut terus memulas... aduuuuh, asal nak sedap, jadi penyakit pulak.

Sebabnya kerang ni antara makanan yang agak sensitif dan mudah jadi beracun jika tidak dimasak dengan betul dan tidak dimasak ketika segar. Jadinya, kalau nak selamat, kena masak sendiri sebab kita boleh tahu yang kerang yang kita beli tu, segar dan masih hidup ketika diproses.

Tapi ada satu lagi masalahnya... kalau nak makan nasi lemak, tentu sesuainya waktu pagi. Bila pulaknya nak ke pasar, nak merebus kerang, nak mengopek kulit dan nak memasaknya...??

Di sini K.An bagi caranya... insyAllah praktikal dan siap boleh jamu tetamu lagi...

Caranya begini, kalau nak makan pagi esoknya, beli kerang waktu petang. Pastikan kerang segar ye... hidup lagi dan tidak bercampur air atau ais. Balik tu terus bersihkan dan rebus. Selepas tu ikut langkah seperti resepi.

Bahan-bahan Serunding Kerang: (hidangan untuk 5 orang) - dimakan bersama sambal ikan bilis juga atau sambal kosong

1/2 kg kerang- bersihkan, rebus bersama 1 batang serai yang dititik dan sedikit garam. Tutup api sebaik mendidih ( kulit kerang terbuka) dan kacau rata kerang. Kalau lama merebus, manis kerang akan hilang. Setelah sejuk, kopek kulit kerang dan ambil 1/2 cawan air rebusan kerang.

A)
1 cawan cili kisar
5 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dikisar halus
1 sudu teh air asam jawa
1 labu bawang besar dihiris halus
garam dan gula secukup rasa

B) 1 batang serai dihiris halus
1/2 sm lengkuas dipotong kecil
*** tumbuk halus kedua-dua bahan di atas
sehelai daun kunyit dihiris halus

C) 2 sudu besar kerisik yang telah ditumbuk hingga terbit minyak.

Cara memasaknya: Buat waktu malam

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan air rebusan kerang dan air asam jawa. Masukkan juga bawang besar dan masak hingga sambal pekat. Masukkan isi kerang dan tambah garam, gula secukupnya. Kacau sebati dan padamkan api.

3. Setelah sejuk, masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti ais.

4. Pagi esoknya, sementara nasi lemak dimasak, keluarkan sambal kerang. Masukkan ke dalam periuk/ kuali. Tambahkan kerisik,lengkuas dan serai yang ditumbuk, daun kunyit yang dihiris halus dan panaskan. Gunakan api perlahan dan kacau serunding hingga sebati. Sedia dihidang bersama nasi lemak daun pisang.

Ni fesyen Nasi Lemak kat kampung-kampung... tapi memandangkan pokok pisang belakang rumah Kak An ni berdaun mengalahkan pokok kat kampung, boleh le K.An balut nasi lemak macam ni.... hmmmm... baunya... saaangat mengancam jiwa..

Friday, May 21, 2010

Kek Coklat Kukus Untuk Hari Guru

Tak lama lagi dah nak masuk bulan Rejab... pastu Sya'aban, pastu, Ramadhan.... Haa.. kepada sesiapa yang nak menambah pendapatan tu, boleh le jual kek coklat kukus ni di musim perayaan nanti.
Tahun ni nampaknya, K.An tutup kedai le jawabnya sebab insyaAllah bersalin awal Ramadhan nanti. Tak dapat buat sendiri, bagi peluang kat orang lain pun dapat pahala jugak kan..

Hujung minggu baru ni, K.An sibuk buat kek Coklat kukus ni untuk dijadikan buah tangan sempena Hari Guru anak-anak di sekolah. Resepinya mudah dan boleh di sesuaikan rasanya jika ingin kurang manis atau ingin yang lembab atau agak gebu....
Resepi ni memang digunakan seantero Malaysia dan tak tahulah siapa yang jadi pereka pertamanya... dah banyak tempat K.An tengok resepi ni,(blog masak ataupun majalah) tapi yang ini K.An salin daripada SajiOnline... terima kasih banyakle kepada pencipta asal resepi ni..banyak pahala beliau.... memang sedap

Bahan-bahan: (boleh buat 2 loyang bulat macam K.An punya tu, ataupun loyang 4 persegi 7 X 7 inci)

A)
1 cawan serbuk koko
1 cawan margerin cair ( K.An guna 3/4 cawan minyak masak dan tambah margerin hingga penuh cawan)
1 cawan susu cair
1 cawan gula

**** masukkan bahan di atas di dalam periuk. Masak di atas api perlahan sambil dikacau hingga gula hancur dan bahan sebati. Ketepikan seketika hingga adunan agak suam.

B) 1/2 cawan susu pekat
4 biji telur B/ 3 biji telur A- dipukul guna 'whisk' hingga kembang sedikit

C) 1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder

ayak bersama bahan C

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus. Gunakan api kuat.
2. Masukkan susu pekat ke dalam adunan A. Kacau sebati. Masukkan telur. Kacau lagi menggunakan 'whisk' agar mudah sebati.

3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder dan soda bikarbonat tadi sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk. Pastika sebati dan tidak berketul-ketul.

4. Bahagikan kepada 2 acuan dan tuangkan adunan kek. Kukus selama 20-30 minit. Kalau guna acuan berlubang macam K.An tu, K.An kukus 20 minit je dah masak.

5. Angkat daripada kukusan dan kukus sebahagian lagi adunan.

***panduan: lebih besar dan dalam bekas yang digunakan lebih masa mengukus diperlukan. Contohnya jika adunan penuh dikukus sekaligus, masa yang diperlukan adalah 45 minit ke 1 jam agar kek betul-betul masak.

*** jika menggunakan bekas kecil atau cawan kertas yang diisi di dalam acuan apam, masa mengukus hanyalah selama 5- 10 minit.


Hari Ahad, K.An buat dalam bekas kecil untuk dijadikan buahtangan untuk guru-guru sekolah. Satu adunan penuh di atas menghasilkan 25 bekas dadih kecil.
Kalau isi dalam mangkuk kertas kecil macam ni, boleh dapat dalam 100 biji.. sesuai untuk majlis harijadi atau buahtangan kenduri kahwin...
Yang ini Abang Azam bawak pergi 'opis' baru bagi kawan-kawan dia rasa... semua suka sebab tak manis sangat.. sedang gitu je rasanya...


Selamat mencuba...

Thursday, May 20, 2010

Nasi Tomato dan Kurma Merah

BismillahirRahmaanirRahiiim...
Jemput makan nasi tomato semua... dah siap lauk sekali tu.. Siapa-siapa yang tak sempat tu, tengahari ni boleh masak sendiri ye... K.An bagi resepinya...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 cawan beras basmathi- cuci dan toskan
1 labu bawang besar didadu kecil
2 ulas bawang putih diketuk
1/2 inci halia dihiris halus
sekuntum bunga lawang, 2 kuntum bunga cengkih, 5 biji buah pelaga, 1 inci kulit kayu manis
1/2 cawan tomato puri
1/2 cawan susu cair
2 1/2 cawan air- K.An suka nasi yang lembut, kalau suka yang agak kering kurangkan 1/2 cawan air
sedikit garam
1/2 biji tomato didadu kecil
2 sudu besar minyak sapi

Cara memasaknya:

1. Gunakan periuk nasi biasa. Letakkan di atas dapur gas dahulu. Panaskan minyak sapi dalam periuk. Tumis, bawang besar, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi.

2. Masukkan beras dan goreng seketika- (anggaran 1 minit). Masukkan tomato puri, susu cair, air, buah tomato dan garam. Kacau sebati. Matikan api dan alihkan periuk ke punca elektrik.

3. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi masak, kacau dengan senduk atau garpu agar nasi peroi. Tambah kismis, gajus dan daun sup/ bawang jika suka. (arwah ayah K.An dulu-dulu suka tambah kacang 'peas' hijau kat dalam tin tu.... (toskan dalam 2 sudu besar, lepas tu campurkan dalam nasi...) sedap juga...

**** nasi tomato ni macam-macam versi orang membuatnya. Yang ini resepi K.An masa berniaga kat gerai 'dolu-dolu' (zaman lapang takde anak kecik tuuu...)

Dah masak nasi, kenalah ada lauknya pulak... boleh dipadankan dengan rendang ayam/daging, masak merah, kurma ataupun dalca... Acar mentah atau acar masak pun boleh menambah keenakannya.

Kali ni K.an buat kurma merah.. Di kampung K.An, kami panggil masak merah je.. (versi berempah macam daging masak merah berempah) ala-ala masak Kashmir dan Masala gitu..
Bahan-bahan:

A)
1/2 ekor ayam saiz besar- dipotong kecil
garam dan kunyit secukupnya

B)
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1/2 inci halis dihiris nipis
serba satu bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan 1/2 sudu teh jintan manis+ jintan putih biji
minyak untuk menumis

C)
2 sudu besar rempah kurma ayam/daging- bancuh dengan 1/2 cawan air
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar tomato puri
1 sudu besar susu cair atau 1/2 cawan santan
garam, gula dan
air secukupnya

*** tambahan jika ada, 3 biji badam ditumbuk halus, dan 1/4 sudu teh serbuk kas-kas

Cara membuatnya:

1. Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit. Goreng separa garing. Ketepikan.
2. Sambil tu, panaskan minyak dan tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga keperangan. Masukkan rempah kurma dan cili kisar.

3. Tumis lagi hingga pecah minyak. Gunakan api perlahan dan kacau sekali-sekala agar rempah tidak hangus.

4. masukkan tomato puri, susu cair/ santan, 1 cawan air dan ayam yang telah digoreng tadi. Biarkan mendidih dan kuah nampak pekat dan berwarna merah cantik. Kacau sekali-sekala. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

5. Jika ada badam dan serbuk kas-kas, masukkan ke dalam kurma merah dan kacau sebati. Tambah air lagi jika ingin kuah yang banyak. Masak hingga kuah pekat.

Hidangkan bersama nasi tomato atau nasi putih..

****lauk-pauk berempah sebegini, memang lebih sedap jika dimasak lebih lama...

Di tempat K.An, kami makan nasi tomato dan lauk ayam dengan air asam... wajib buat...kalau tak, tak lengkap.

Wednesday, May 19, 2010

Kerabu Selom dan Taugeh

Assalamualaikum wrt...

Kalau 20 tahun lepas, orang berkarya dengan mata pena.. maka jika tak da pensil atau pen, tak dapatlah nak menulis. Tapi sekarang hampir semua orang berkarya di skrin komputer... tak ada komputer atau komputer riba, maka... patahle tangan...

Macam tulah keadaan K.An sejak Abang Azam bertukar tempat kerja ni.. patah tangan kerana mata pena dibawa bersama ke tempat kerja. Hari ni, ada peluang sebab dia 'out-station' ke Johor... heheheh... bolehle pinjam kejap ye bang...

Banyak resepi dan hidangan yang tertangguh sejak seminggu lepas... K.An mulakan dengan kerabu Selom dan Taugeh ni... Belajar daripada jiran K.An dan juga isteri Pengetua sekolah lama Abang Azam dulu.. K.Yah.. ni kes tukar-tukar juadah masa bulan puasa la ni... tapi dah 5 tahun berlalu.. K.Yah ni orang Jawa, seangkatan dengan Hana.. tapi K.Yah ni Jawa Tanjung Karang. Bukan Jawa Johor..

Resepinya: Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 ikat selom (kalau beli kat pasar le... kalau petik sendiri anggaran 2 cekak)- hiris halus
10 sen taugeh- buang ekornya
1/2 cawan kelapa putih- disangrai sedikit hingga kering dan wangi. (jangan sampai perang)
1 tangkai cili merah dihiris
**5 biji cili padi
**1 batang serai
** 3-4 ulas bawang merah
**segenggam ikan bilis dibersihkan

***kisar / tumbuk halus semua bahan bertanda **
1 biji limau nipis saiz besar-diperah jusnya
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1 Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. Perahkan jus limau nipis. Boleh tambah kalau suka lebih masam. Masukkan garam dan gula secukupnya. Gaul sebati.

2. Sedia dihidang.

*** taugeh boleh juga diganti dengan bunga kantan atau ditambah kacang panjang yang dihiris halus... sedap juga...

Thursday, May 13, 2010

Ikan Bawal Kukus

Hari ni kita jimatkan tenaga, tak payah cerita panjang-panjang... terus je cerita pasal lauk kita ni. Ikan Bawal Kukus ni dah pernah K.An siarkan sebelum ni dan gambarnya pun lagi 'cun' berbanding gambar kali ni... Cuaca kat luar tu redup je.. tak dapat cahaya cukup pulak ikan ni.. Tak apalah kan... Yang penting resepinya dan rasanya yang sedap.

Ikan Bawal Kukus ni kalau tak ada air asam pun tak kisah sebab dah cukup rasa masam, manis dan pedasnya.. Kalau cicah air Asam, memang tambah ummph la rasanya... Dah bertahun-tahun K.An guna resepi ni, dan anak-anak daripada yang besar sampai ke yang kecik sekali (2 tahun lebih) sukakan ikan kukus ni. Tiap kali masak licin sampai tinggal tulang.... Alhamdulillah..

Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal hitam (500-600 gm)
1 inci halia dihiris panjang-panjang, nipis
1 labu bawang besar- belah dua- dihiris nipis membujur
1 batang serai- hiris nipis (boleh juga kalau diketuk sahaja)
1 tangkai cili merah- hiris serong
3 tangkai cili api- ketuk
5 biji lada hitam- tumbuk halus
1 sudu teh pati asam jawa Adabi dicampur dengan 1/2 cawan air
2 biji limau kasturi diperah airnya
sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Didihkan air kukusan. Lumur ikan dengan garam. Masukkan ke dalam bekas tahan panas. Taburkan semua bahan ke atas ikan. Masukkan juga air asam jawa dan perahan limau kasturi. Kukus ikan selama 15- 20 minit. Cucuk ikan dengan garpu untuk mengetahui ikan telah masak.

2. Keluarkan ikan daripada kukusan dan sedia dihidang bersama air asam. (resepi air asam dalam entry lepas2 dah ada ye)

*** kali ni K.An cuma sediakan cicah budu. Hiris bawang merah, tomato, cili padi dan perahkan limau kasturi ke dalam semangkuk budu... hmmm... sedap...

*** boleh ganti ikan bawal hitam dengan bawal putih, siakap, kerapu dll ikan yang berisi lembut. Kalau nak kukus ayam pun boleh gunakan resepi ni..

Wednesday, May 12, 2010

Daging Kicap Lada Hitam- Chinese Style

Assalamualaikum wrt...

2, 3 hari ni sibuk dengan kerja-kerja rumah yang perlu diselesaikan segera sementara badan masih cergas ni dan ringan ni... nanti dah sarat.. tak larat pulak.. mengemas mana yang patut, kumpul baju-baju 'baby' yang lama tapi masih baru dan boleh digunakan, dan mengemas stor dan buang apa yang patut.

K.An juga dok menyiapkan, menjahit bantal, tilam dan sarung bantal untuk ' baby' yang bakal lahir nanti.. nanti k.An 'share' gambarnya ye... Dah siap 2 bantal dan sarungnya, si Maryam pun nak juga bantal macam 'baby'.. kenalah buat satu set lagi... hmmm budak-budak macam tulah kan...

Baru ni ada kawan yang kata, K.An lebih suka masak kuih dari lauk-pauk... Sebenarnya tak juga. semua aktiviti memasak dan jenis masakan K.An suka. Cuma bila dah ada anak ramai, kita akan memasak ikut selera orang yang nak menjamahnya. Bila cuba resepi lauk yang baru ni, kadang-kadang banyak soalnya sebelum makan tu.

Contohnya Daging Masak Kicap Lada Hitam ni, sorang tanya," kenapa tak sama macam ummi masak selalu?" Sorang lagi kata, "Kita suka daging lada hitam resepi ummi" Ayahnya pulak kata, kenapa banyak rasa halia, ngan ada sayur campur ni...?" Malasnya nak menjawab... K.An kata ni resepi ummi cuba dari majalah... saja tukar selera.... OOOOooooo.... lain kali buat yang macam selalulah...

Tengoklah tu... itu sebabnya kalau cuba resepi baru, kena pastikan kena selera mereka ni... Satu perkara lagi kalau buat kuih-muih, memang tak banyak tanya... makan je...

Dipendekkan cerita, resepi ni K.an dapat dari koleksi resepi Majalah Mingguan Wanita... Banyak simpan koleksi, tapi ada 4,5 resepi je yang teringin dicuba.... Daging Masak Kicap Lada Hitam ni, stail masakan China, memang lain dari resepi K.An. Boleh le cuba...

****Boleh klik resepi Daging Masak Lada Hitam K.An kat sini. Atau Daging Masak Kicap berlada di sini

Bahan-bahan:

300 gm daging batang pinang- hiris nipis, basuh dan toskan
1 inci halia dihiris halus
3 ulas bawang putih diketuk

*** bahan perapan
1/2 sudu teh lada hitam ditumbuk halus
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis
1 sudu teh minyak bijan

sayur campur
kicap secukupnya
garam dan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Perap daging bersama bahan perapan selama 15 minit.

2. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali atau periuk. Tumis halia dan bawang putih hingga wangi. Masukkan daging beserta bahan perapan dan gaul seketika. Tambah 1/4 cawan air dan perlhankan api. Tutup periuk dan biar mereneh hingga daging empuk selama +/- 20 minit, ikut jenis daging.

3. Setelah empuk masukkan sayur campur, garam dan gula secukupnya. Jika ingin kuah banyak, tambahkan lagi kicap dan sedikit sos tiram. Jika suka kuah pekat, bancuhkan 1 sudu teh tepung jagung dengan sedikit air dan campurkan ke dalam masakan. Gaul rata dan bolehlah dimatikan api sebelum dihidang.

*** suami dan anak-anak K.An suka resepi versi K.An... (tekak Melayu asli) jadinya lain kali K.An tak buat dah..(huhuhk) Tapi rasanya sedap jugak tau, macam rasa Beef Steak Chinese Style (stir fry tu..)

Monday, May 10, 2010

Masalode@Wadei

Assalamualaikum wrt...

Kuih kat gambar tu dah tak perlu diperkenalkan lagi.... di tengah masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ni, kuih-muih sebegini bukan sahaja digemari masyarakat kaun India sahaja, tetapi turut menjadi kesukaan masyarakat Melayu dan China.

Kalau nak tahu asalnya K.An kenal kuih ni semasa di sekolah menengah lebih 20 tahun dahulu. Masa tu di kantin sekolah kami ada sepasang Ane dan Aci yang jual pelbagai maruku dan wadei yang sungguh sedap..

Wajib ada bekalan maruku untuk kudapan waktu kelas persediaan ataupun di waktu lapang lain. Kadang-kadang K.An dan kawan-kawan beli yang dijual di stesyen bas Ipoh... tak kurang juga sedapnya... tak tahulah sekarang ni ada lagi ke tidak... (mana pulak datangnya underline nih.. tak boleh buang pulak...)
Dah bertahun tinggalkan zaman sekolah, tapi kesukaan kepada masalode tetap sama. Kali ni dibuat sendiri di rumah ye... Asalnya belajar daripada adik K.An, Moon yang siap buat demo dengan praktikal kat kampung masa balik raya tahun lepas. Buat sebesen besar... habiiis.. Moon kata dia dapat resepi daripada adik K.An sorang lagi Raidah dan Raidah dapat daripada kakak sulung K.An kat Ipoh tu... Kak N. Tapi memandangkan suami Moon paling suka kuih ni, maka dialah yang paling pakar...

Resepi yang ini, K.An sukat sendiri untuk kemudahan semua sebab yang nama-namanya tersebut di atas tu bagi bahan je, tanpa sukatan...hehehheh...

Bahan-bahan: (menghasilkan +/- 10 ketul kuih ikut saiz)

1 cawan kacang dhal- basuh dan rendam semalaman
1 labu bawang besar- didadu kecil
1 tangkai cili merah saiz besar- buang biji dan hiris halus
2-3 tangkai daun kari- lurut daunnya dan hiris halus
1/2 sudu teh jintan manis
1/4 sudu teh jintan putih
1/2 sudu teh rempah kari (boleh tambah jika ingin lebih pedas)
garam (1 sudu teh ++)
sedikit serbuk cili jika suka
1 biji telur gred B

Cara membuatnya:

1. Toskan kacang dhal dan bahagikan dua. Satu bahagian dikisar halus dalam pengisar kering. Satu bahagian lagi ditumbuk kasar atau dikisar kasar. K.An tumbuk untuk mendapat hasil yang sekata.

2. Satukan kacang dhal bersama semua bahan lain di dalam mangkuk besar. Gaul dengan tangan dan rasa masinnya. Jika cukup rasa, bentukkan bulat dan leperkan sedikit menggunakan tangan.

3. Panaskan minyak untuk menggoreng di dalam kuali. Goreng kuih hingga keperangan.. K.An suka garing di luar jadi pastikan gunakan api sederhana ketika menggoreng.

Hmmm... kalau dah mula mengunyah, memang boleh habis 10 ketul sorang...

Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua....

Di hari yang indah ini, K.An mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu dan bakal ibu di seluruh dunia terutama kepada Ibu tercinta Hajjah Selamah dan Ibu mertua tersayang Hajjah Siti Zainab. Halalkan segala makan-minum dan ampunkan segala salah dan silap selama ini.

Tak ketinggalan kepada kakak-kakak dan adik-adik K.An juga saudara mara dan sahabat handai semua. Jasa kalian sebagai ibu, tidak terbalas dengan kata-kata mahupun harta benda. Percayalah bahawa balasan yang menanti di akhirat nanti tidak terbanding nilainya..... I Love You all....!!

Friday, May 7, 2010

Roti Arab

Assalamualaikum semua,
Mata ni tersangatle beratnya dek kerana mengantuk, tapi demi pengikut dan pembaca setia Periuktanah....haaa... kena gagahkan juga bukak mata ni 'besor-besor' dan mengemaskini resepi baru...
Tengahari semalam K.An masak menu kegemaran sepanjang masa- kari ikan pari. Seperti biasa, tu masakan 2 dalam satu. Kalau selalunya sebelah petangnya, samaada buat 'cekodok' ataupun roti canai buat cicah dengan kari tu.
Petang semalam, teringin nak buat benda baru pulak. Resepi ni dah lama K.An belek, tapi tak terbuat-buat sebab, bila pergi Mydin je, beli Roti Arab yang dah siap... bila masa pulak nak buat sendiri.

Alhamdulillah semalam dapat tenaga lebih agaknya, maka menjadilah roti Arab hasil buatan sendiri... Cuba tau, jangan tak cuba. Jimat lagi....

Ok, jom kita tengok resepi: Resepi asal: Puan Salhah Bujang dari Mysal Homemade Cake yang disiarkan resepinya dalam Majalah Rasa Edisi Aidilfitri 2008


Bahan-bahan: (menghasilkan 10-12 keping Roti Arab)

****K.An buat separuh adunan je, dapat 6 keping

500 gm tepung protein tinggi (tepung Roti)
40 gm gula halus
100 gm lelemak sayuran (shortening)
160 gm susu tepung
40 gm yis
1 sudu teh pelembut roti
1 sudu teh garam
300 ml air- stok susu tepung K.An habis, jadi K.An ganti air ni dengan susu segar suam

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk. Uli sehingga sebati dan adunan sederhana lembut dan kenyal.

2. Timbang 150 gm dan bulat-bulatkan. (K.An timbang +/-100 gm sebab oven 'kecik') Susun dalam dulang ditabur tepung. Biarkan kembang selama 10 minit (Rujuk gambar)

3. Canai dan leperkan setebal 3/4 sm lebih kurang. Biarkan kembang lagi 10 minit.

4. Bakar pada suhu 180 darjah Celcius selama 15 minit/ roti keperangan. (K.An guna 170 darjah Celcius sebab oven 'kecik' ni cepat panas... nanti hangus pulak roti...) Pandai-pandai 'adjust' ikut oven masing-masing ye).
** seperti biasa, K.An sapukan margerin pada permukaan roti sebaik dikeluarkan daripada oven agar permukaan roti tidak kering
Sedia dihidang bersama sebarang pencicah atau salad.... Memang sedap.... dan rotinya kekal lembut walaupun setelah sejuk. Simpan dalam bekas kedap udara ye...

*** terima kasih Puan Salhah atas resepi yang enak ini, banyak lagi resepi Pn Sal yang K.An nak cuba nih...

Wednesday, May 5, 2010

Pizza Ria

Antara hidangan serba lengkap dan sesuai dihidang tak kira pagi, petang, tengahari mahupun malam ialah Pizza...... Bukan sahaja mengenyangkan, malahan boleh dipelbagaikan 'topping' nya mengikut citarasa kita..

Bulan April lepas, masa jalan-jalan di dapur Mat Gebu tergoda K.An dengan resepi Pizza Gebunya... Mat Gebu gunakan resepi Alex Goh untuk dohnya dan topping ala-ala Italia asli... sangat menarik persembahannya..
Kalau, di rumah K.An ni, nak letak dengan buah zaitun hitam dan hijaunya lagi dengan jeruk lagi, dengan capsicum beso-beso lagi, alamatnya budak-budak ni akan ketepikan topping dan makan roti dengan sos pizza je... kalau nak rasa macam Pizza Gebu, buat satu loyang cukup lah...

Jadi kali ni, K.An cuba resepi dohnya yang lain sikit sebab ada madu dan istilah 'gebu' yang digunakan tu amat mengujakan... toppingnya K.An buat sendiri ikut citarasa suami dan anak-anak. Hasilnya amat memuaskan hati semua... sehingga riang-ria selepas menjamahnya... tu sebab bagi nama Pizza Ria... hehehh..

Sebenarnya K.An buat pizza ni masa sakit perut yang amat sangat tu... macam nak merangkak masa menyediakannya... alhamdulillah selesai juga.. Abang Azam kata, tengok pizza tu macam tukang masaknya tak sakit... Yelah kan... dah tanggungjawab, sakit pun dikuatkan juga....
Bahan-bahan: (menghasilkan 3 loyang bulat berdiameter 7/8 inci- ikut ketebalan doh masing-masing)

Doh: Resepi Alex Goh, dan dipopularkan semula oleh Mat Gebu

300 gm tepung gandum
6 gm yis segera ( 1/2 peket)
20 gm mentega- (k.An guna margerin)
10 gm gula halus
1 st bread improver
1/4 st garam
1 1/2 sudu besar madu
170 ml air- K.An guna air suam
sedikit tepung untuk ditabur ketika mencanai

Cara membuatnya:

1. Masukkan 100 ml air suam ke dalam mangkuk. masukkan gula dan yis. Biarkan yis mengembang selama 10 minit (yis akan berbuih). Masukkan bahan lain ke dalam mangkuk kecuali tepung untuk ditabur.

2. Masukkan campuran yis tadi dan uli tepung hingga menjadi doh. Tambahkan baki 70 ml air sedikit demi sedikit ketika menguli. Uli sehingga doh tidak melekat di tangan dan kenyal lagi licin.

3. Bulatkan dan tutup dengan 'cling wrap'. Biar selama 10-15 minit. Selepas itu tumbuk doh bagi mengeluarkan angin dan uli semula. Bahagikan kepada 3 bahagian atau ikut saiz loyang masing-masing. Canaikan dan letak di dalam loyang yang telah dilengser dengan sedikit margerin tekan doh dengan hujung jari bagi memenuhi loyang dan tebalkan bahagian tepi seperti di dalam gambar. Cucukkan dengan garpu dan bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190 darjah Celcius selama 10-15 minit. (bahagian atasnya nampak kering)

Sementara tu sediakan bahan-bahan topping: ikut citarasa masing-masing. Yang ni yang K.An buat.. boleh ikut juga..

Untuk sos:

1/2 cawan tomato puri/ sos tomato
1 labu bawang besar di dadu
2 ulas bawang putih dicincang
1/2 cawan ayam dicincang- boleh ganti daging
3 sudu besar sos cili
1/2 biji tomato
sedikit garam dan gula
1 biji cili merah dicincang
minyak
sedikit air

Cara membuatnya:

1. Tumiskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Boleh juga guna minyak zaitun. Tumis bawang besar dan putih hingga layu. Kemudian masukkan ayam. Goreng sebentar.
2.Masukkan sos cili, tomato puri, buah tomato dan cili merah. Tambah sedikit air anggaran 1/4 cawan. Masak hingga pekat. Tambah garam dan gula secukup rasa. Ketepikan.

Bahan lain:

4 batang sosej- apa-apa perisa- potong serong
4 batang jejari ketam- potong 1/2 sm tebal
1/2 biji tomato- didadu
2 keping nenas bulat dipotong kecil
capsicum hijau jika suka
1 sudu teh oregano
keju mozarella secukupnya- boleh juga guna keju cheddar, almaklum mozarella tersangatlah mahalnya... huhuk...
sedikit daun ketumbar- baunya sangat sedap..

** bahagikan sama banyak untuk 3 pizza

Cara menyediakan pizza:

1. Keluarkan doh yang dibakar tadi. Sapukan sos secukupnya. Taburkan bahan sayuran, keju dan oregano kering. Bakar pada suhu 190 darjah Celcius hingga roti pizza nampak perang dan keju mencair.... hidangkan panas-panas..

**** jika inginkan sos pizza yang sedap, gunakan tomato puri yang ada buah tomato didalamnya dan ramaskan buah tersebut sebelum dimasak. K.An gunakan tomato segar dan hasilnya tidak mengecewakan.

**** topping boleh dipelbagaikan ikut citaras dan boleh ditambah kepedasannya dengan menambah sos cili atau cili merah.

Pizza Ria ni, boleh dimakan begitu sahaja tanpa perlu dicicah sos cili dan sebagainya kerana rasanya yang lengkap.. Yang penting tak ada bahan-bahan yang dikelurkan daripa roti pizza... licin dijamah.

Petang tu, Asma' dan Sarah pergi kelas Fardhu Ain berbekalkan 2 keping pizza setiap seorang :))
Abang Azam terbang ke Kelantan, dan kami makan pizza sampai ke malam...

Terima kasih banyak pada Mat Gebu sebab kongsi resepi roti pizza yang gebu dan lembut ni.. memang tak rugi cuba..

Garden Wedding @ Taman Botani, Putrajaya

Pada 1 Mei lepas berlangsung majlis perkahwinan anak jiran K.An (sebelah pintu rumah je...) Shahreen dan pasangannya Abdullah Dahlan di Taman Botani Putrajaya. K.An masukkan dalam N3 ni kerana majlisnya yang istimewa, ringkas dan lain daripada yang lain....
Majlis santapan pengantin bersama keluarga. Jiran K.An puan Azlin Lee Abdullah (2 dari kanan) suaminya, En Ghazali dan pasangan pengantin.. walaupun cuaca panas, tapi angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dari tasik sebelah tu..
Khemah santapan pengantin dan keluarga
Sebelum balik, buahtangan untuk anak-anak berupa belon putih... semua suka hati.. tapi belon Sarah diterbangkan angin, beberapa langkah je selepas dapat..hehehh
Pengantin 'lama' tumpang posing dengan 'pose' intimewa 6 bulan hamil... perut dah sama naik ngan Abang Azam...hhiihih
'Aisyah kat belakang sekali, takmau balik la tu... tapi suka dapat belon...
Khemah tetamu

Tuesday, May 4, 2010

Buahtangan Dari Kelantan


Alhamdulillah, di pagi indah ini, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan umur dan dapat menikmati lagi kehidupan di dunia ini. Almaklum, sejak akhir-akhir ini, ramai yang pergi meninggalkan kita tanpa disangka dan diduga. Tak mengira sakit atau sihat, muda atau tua.... bila ajal menjemput, tiada siapa dapat menahannya..

Selepas diserang sakit perut, K.An dan anak-anak diserang batuk pulak... itu sebabnya bila ditanya dah sihat ke belum, takpasti nak jawab apa... kurang sihat sikit la.. tapi kehidupan tetap berjalan seperti biasa dengan jadual yang padat dan banyak perkara yang berlaku.

Masa K.An dok sakit perut tu, Abang Azam ke Kelantan atas urusan kerja. Seperti biasa kalau ke Kelantan, tak sah kalau tak bawa balik Murtabak Raja yang sangant terkenal dengan keenakannya ni. Bagi yang belum pernah cuba, boleh cari di Kelantan atau boleh beli di Mudah.com... Kalau bulan puasa beribu-ribu keping murtabak dihasilkan sepanjang bulan tau....
Alhamdulillah kali ni, ada rezeki K.An dan anak-anak.... Murtabak ni tebal ,setebal 3 keping murtabak dan kaya dengan isinya yang enak. Dimakan bersama jeruk bawang, dan kebetulan hari tu K.An masak lauk Kari ikan Tenggiri... hmmm, memang sepadan buat pencicah..

Kalau nak resepi muratabak periuktanah, boleh klik sini... dah pernah buat dulu...

**** murtabak ni dijual secara sejukbeku berharga RM 15 sekeping-bersama jeruk bawangnya. Bila nak makan cuma panaskan semula dalam kuali atau microwave oven.