Monday, August 31, 2009

Kuih Seri Ayu @ Putu Ayu

Kuih Seri Ayu ni sangat terkenal dan tak perlu lagi diperkenalkan. Bukan sahaja 'ayu' tapi sangat sedap dimakan. Sesuai dijamu waktu pagi, minum petang dan juga waktu berbuka puasa.

Resepi adalah sumbangan Kak T (kakak K.An) yang juga pandai masak macam-macam kuih dan lauk... cuma dia sibuk sikit sebab wanita bekerjaya...

K.An bagi resepi penuh, tapi K.An buat semalam separuh adunan je.... dapat anggaran 30 biji.. Banyak tu dan siap boleh kongsi dengan jiran-jiran sebelah rumah.

Bahan-bahan; (menghasilkan 60 biji kuih)

1 biji kelapa parut putih
sedikit garam
1 sudu besar tepung sagu (ubi)

3 cawan tepung gandum (ayak)
1 sudu besar ovellette
2 cawan gula pasir
4 biji telur gred A (kalau gred c ke bawah tambah jadi 5)
2 cawan santan pekat (pati santan)
sedikit pewarna hijau dan perisa pandan

Cara membuatnya:

1. Gaulkan kelapa, garam dan tepung sagu- ketepikan.

2. Pukul telur dengan gula hingga kembang dan gebu(gunakan kelajuan tinggi). Masukkan tepung gandum, ovellete , pewarna hijau dan perisa pandan. Gaul guna senduk.

3. Masukkan santan pekat dan gaul lagi hingga sebati. Panaskan pengukus.
4. Susun acuan dalam pengukus. Isi acuan dengan kelapa putih. Tekan padat menggunakan hujung jari. Kukus 2 minit.

5. Isikan dengan bater (adunan kuih) seperti di dalam gambar. Kukus lagi selama 10 minit. Apabila masak, Keluarkan daripada acuan dan sedia dihidang.
Memang ayu sungguh rupa kuih ni....

Tukar Selera dengan Kentang Bakar

Dua hari berturut-turut K.An buat kentang bakar ni disebabkan kesedapannya..heheeh... Resepi asalnya oleh Puan Norzailina Nordin yang disiarkan dalam Majalah Jelita sempena puasa tahun 2003 (lamanya dah tu..). Majalah ni koleksi kesayangan k.An dulu-dulu lah ni tapi baru sekarang nak mencubanya....

Senang dan cepat disediakan. Tak perlu bahan yang banyak dan tenaga yang banyak.. yang penting, cuba, jangan tak cuba..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-10 0rang)

600 gm kentang- basuh bersih dan potong berbaji 6
1 camca teh oregano
3 camca besar minyak masak
sedikit garam
1 sudu teh serbuk lada hitam -ikut citarasa banyaknya
**k.An tambah 2 sudu teh paprika

*** sos thousand Island untuk menghidang

Cara membuatnya:

1. Gaul sebati kentang bersama minyak masak, oregano, garam, serbuk lada hitam dan paprika di dalam mangkuk.
2. Susun di atas loyang pembakar beralas kertas aluminium agar kentang tidak melekat.
3. Bakar pada suhu 200 darjah Celcius selama sejam sehingga kentang empuk. Apabila separuh masak, terbalikkan kentang.
4. Hidang bersama sos thousand island.


Saturday, August 29, 2009

Selera Tradisi- Badak Berendam

Dulu-dulu, kuih Badak Berendam ni senang nak jumpa kalau ke bazaar Ramadhan. Tapi sekarang dah makin susah nak cari. Dalam majalah pun payah benar nak jumpa resepinya. Kalau adapun dah diubahsuai ikut suasana atau selera tukang masaknya.

Kebiasaan di bulan puasa juadah tradisi jadi pilihan ramai terutamanya kuih-muih seperti badak berendam ni. Kebetulan beberapa bulan lepas ada pengunjung periuktanah yang inginkan resepi Badak Berendam. Jadi bersempena kemeriahan bulan puasa, K.An kongsikan resepi ini...

K.An pun dah lama tak buat, hinggakan anak-anak K.An 'dok sibuk' bertanya macamana rupa dan rasa kuih ni di sepanjang proses k.an buat kuih ni... masa berbuka kelmarin, bila dah rasa, berebut-rebut semuanya... sekelip mata liciiin badak berendam k.An.. alhamdulillah.

Bahan-bahan: (menghasilkan 10-13 biji badak berendam, bergantung kepada saiz)
Inti: (k.An buat lebih dan bakinya simpan sejuk untuk buat kuih lain nanti)

1 cawan kelapa parut putih- kalau dapat yang muda sikit kelapanya lagi sedap
1/2 keping gula melaka dicairkan (dimasak) dengan 1/2 cawan air- tapis
1 sudu besar gula putih

***Masak kelapa parut, air gula melaka dan gula putih dalam periuk dengan api perlahan. Gaul rata sentiasa hingga air gula kering dan inti sebati. Tutup api dan sejukkan inti,

Doh:

1 cawan tepung pulut
1/2 cawan air suam dicampur pewarna hijau dan perisa pandan+ secubit garam (1/6 sudu teh)
1/2 sudu teh air kapur cair

Bahan kuah: 1 cawan santan pekat (pati)+ 1/4 sudu teh garam - bahagi 2
1 bahagian dicampur 1 sudu teh tepung jagung- kacau dengan garpu.

Cara membuatnya:

1. Campur semua bahan di atas dan uli hingga menjadi doh. Jika doh agak keras, tambah sedikit air lagi (1 sudu teh).
2. Bulat-bulatkan doh kecil sedikit saiznya daripada bola ping-pong. Leperkan dan isi inti di tengahnya.
3. Cantumkan hujung doh dan genggam perlahan bebola agar padat antara tepung dan inti agar mudah membentuknya nanti.
4. Bulatkan bebola dengan menggolekkan bebola di antara tapak tangan. susunkan di dalam bekas tahan panas. Buat hingga habis. Sementara tu panaskan pengukus.

5. Kukus kuih selama 15 minit dengan api kuat. Keluarkan daripada pengukus dan siram dengan 1/2 cawan santan. terbalikkan kuih dan kukus lagi 10 minit.

6. masukkan santan yang dicampur dengan tepung jagung ke dalam periuk/kuali. seeloknya yang non-stick. tuang santan didalam bekas kuih yang dikukus tadi juga ke dalam kuali (campurkan keduanya). masak santan dengan api perlahan sambil mengacaunya hingga pekat.

Tuang kuah santan ke atas kuih dan sejukkan seketika sebelum dihidang.

Resepi ini juga antara resepi mesti cuba daripada periuktanah...

Friday, August 28, 2009

Mesti Cuba....Ketam Bercili

Walaupun baru balik, tanggungjawab memasak tetap dijalankan. Dah le dapat gelaran "Tukang Masak Sejati" (abang Azam bagi).... so hari ni kena masak 'spesel' sikit untuk semua.

Ketam bercili ni adalah kombinasi pelbagai resepi ketam bercili yang pernah K.An tengok, belajar dan baca. Hasilnya alhamdulillah.... abg Azam bagi markah penuh... memang sedap dan mesti cuba...

Bahan-bahan:

1/2 kg ketam- dibersihkan dan potong ikut suka (k.An belah dua dan potong sepitnya)
Gaul dengan garam dan kunyit dan goreng - sekejap je ye puan-puan sebab ketam ni walaupun bercengkerang tapi bila warnanya bertukar merah, masak le tu isi dalamnya.

Bahan dikisar halus:

3 ulas bawang merah-belah 4
2 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah -saiz besar

Bahan lain:

2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar cuka
1 sudu besar sos ikan (namphla)
1 sudu besar sos tomato
1 1/2 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Masukkan ketam yang telah digoreng ke dalam mangkuk. K.An pecahkan (ketuk) sepit ketam agar mudah bila nak makan nanti.

2. Panskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi (3 minit) Kacau rata. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

3. Tambahkan 1/2 cawan air. Masukkan sos cili, sos tomato, sos ikan dan cuka. Didihkan. Masukkan gula dan kacau kuah hingga pekat. Tutup api dan tuang sos ke atas ketam. Ketam bercili sedia untuk di'kerjakan'....

***K.an tak letak garam sebab namphla dah masin dan ketam goreng juga dah cukup garamnya.


Marilah pulang..

Siap menyediakan hidangan berbuka, kami siap-siap dan pergi ke bazaar Ramadhan di Kanchong Darat. Seronok sebab tak berapa besar, jadi elok-elok je jalan sikit sambil cuci mata, beli sedikit sebanyak kuih kegemaran anak-anak dan balik tanpa sakit kaki penat berjalan. Tahun lepas, dalam sebulan puasa cuma sekali je kami ke bazaar Ramadhan di Putrajaya ni.

Harapnya tahun ni pun kekal rekod tu.. InsyaAllah


Alhamdulillah, walaupun penuh meja, semuanya habis licin sebab beli sikit-sikit je. Tak membazir...

Hari ke-4, tiba masa untuk pulang. Dah puas berehat, kenalah balik ke rutin harian di Putrajaya. InsyaAllah ada rezeki, kami datang lagi.

Thursday, August 27, 2009

Ayam Sos Pedas, Lemak Cili Api Tenggiri dan Puding Santan Pandan


Sepatutnya cuma 3 hari di Morib ni, tapi berat hati pulak nak balik.
Belum puas bersantai bersama suami dan anak-anak. Abang Azam pun memang awal-awal lagi ambil cuti sampai Rabu. Sudahnya, pukul 10 pagi K.An telefon pengurus Rumah peranginan... merisik kekosongan rumah. Banglo yang kami duduk ni, dah ada penghuni untuk hari ni, tapi nak dikatakan ada rezeki kami... ada lagi rumah berkembar yang kosong. Tanpa fikir panjang, K.An tempah terus sampai esok....

Kemas barang, angkut ke rumah depan... hahah... kelakarnye.. Rumah ni pencahayaannya sangat bagus... puas hati... Lepas Solat Zohor, terus masak sebab lepas Asar nak ke bazar Ramadhan pulak....
Iqbal dah pesan, hari ni nak makan yang pedas-pedas... ok... ikan cantik ada, cili api ada tapi lesung batu pulak tak ada... Buat aje, asal jadi...

Bahan-bahan:

3 keping ikan tenggiri
5-10 tangkai cili api- k.an cincang halus je sebab tak boleh tumbuk**
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, dicincang halus**
sedikit halia diketuk
sedikit serbuk kunyit
1 1/2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam dan gula secukup rasa
1 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, kecuali santan pekat. Biar mendidih. Perlahankan api.
2. Terbalikkan ikan agar masak rata. Masukkan garam. Cucuk ikan dengan garpu untuk mengetahui ikan telah masak sepenuhnya.
3. Masukkan santan pekat dan didihkan. Kacau seketika dan tutup api.

pencuci mulut hari ni- puding santan pandan.. resepinya di sini. Kali ni rupanya lebih cantik dan licin..

Ayam Sos Pedas

Menu ni pun dah ada dalam entry lepas.. kali ni k.An lebihkan cili kisar untuk lebih pedas. Yang lain sama sahaja.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

5 ketul ayam- gaul dengan garam dan kunyit. Goreng separa garing.
3 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bawang putih dihiris nipis
sedikit halia dihiris halus
kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih serba satu
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam periuk atau kuali. Tumis bawang merah, putih halia dan rempah ratus hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos cili dan 1/2 cawan air. Masukkan ayam dan tutup seketika hingga mendidih.

3. Buka tudung periuk. Gaul rata ayam dan kuah. Masukkan gula dan tambah garam jika perlu. Angkat bila kuah pekat dan boleh dihidang bersama lauk lain.

Kurma Ayam


Pemandangan kaki langit sebelum matahari terbenam


Masih di Morib. Tengok le gambar pun tak cukup pencahayaan. Dah tak dapat ditolong.... Gambar ala kelabu asap nilah yang boleh disiarkan. Kena pulak warna masak kurma pun kelabu asap... kamera pun tak boleh baca 'kaler' lain...

Hantam saja labu... Jom kita layan resepinya..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

500 gm ayam (5 ketul ayam)
3 sudu besar (penuh) rempah kurma- dibancuh dengan 1 cawan air
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis
sedikit halia dihiris halus
bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis
1 tangkai daun kari
1 cawan santan sederhana pekat
cili merah, cili hijau dibelah 4
1 biji kentang dibelah 4
1 labu bawang besar dihiris 1/2 sm tebal bentuk gelang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah campur hingga berbau wangi dan bawang keperangan.

2. Masukkan rempah kurma dan daun kari. Perlahankan api. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan 1 cawan air dan ketulan ayam. Tutup periuk dan biar hingga mendidih.

3. Buka tudung periuk, masukkan kentang dan terbalikkan ayam. Masukkan santan, bawang besar dan cili merah. Didihkan lagi.

4. Masukkan garam secukup rasa. Biar mereneh 5 minit hingga kuah pekat. Kacau rata.Tutup api dan sedia dihidang.

Bubur Gandum Mak (resepi mak)

Hari kedua berpuasa di Morib. Tengahari tadi sempat 'ronda' pekan Banting sambil 'beli dan belah'..... Hilang penat puasa anak-anak tu... Hari ni balik awal sikit supaya ada masa untuk jalan-jalan di pantai lepas siap masak nanti.

Seperti kebiasaan, hidangan biasa, cuma ulang resepi kegemaran anak-anak dan tambah 1 resepi baru untuk periuktanah. Hari ni buat sup ayam, kurma ayam, ikan goreng, air asam dan cuci mulut dengan bubur gandum.

Bubur gandum yang k.An buat mungkin tak dapat lawan rasa bubur gandum mak punya yang main agak-agak je, tapi rasanya 5 bintang. k.An yang baru belajar ni, mungkin 3 bintang je kot... tapi cubalah ye.. sedap, tetap sedap...
Sebelum buat, telefon mak dulu, nak 'confirmkan' langkah demi langkahnya....


Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

1 cawan biji gandum- basuh dan toskan
10 cawan air
2 cawan santan sederhana pekat (daripada 1 biji kelapa)
1 helai daun pandan dicarik dan disimpul
1/2 cawan gula pasir
1 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Masukkan air dan biji gandum ke dalam periuk. (guna periuk yang agak besar) Masak dengan
api sederhana hingga gandum kembang dan empuk (lebih kurang 1 jam). Warna gandum akan bertukar daripada coklat ke warna cerah agak putih.

2. Masukkan daun pandan, gula dan garam dan didihkan lagi. Pastikan biji gandum, betul-betul kembang dan empuk sebelum santan dimasukkan. Pada ketika ini, air rebusan pun hampir kering. Tambah air jika gandum belum empuk sepenuhnya.

3. Masukkan santan dan kacau hingga mendidih dan bubur agak pekat. Tutup api dan sejukkan sebelum dihidang. (boleh juga dimakan ketika panas)

Bersahur dengan Nasi Goreng Ikan Masin

Alhamdulillah di hari pertama di Rumah Peranginan, selesai solat Tarawikh Berjemaah bersama keluarga dan tadarus bersama anak-anak. Lain juga rasanya bila tak ada pengaruh Astro ni. Hidup lebih lapang dan lebih banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga.

Waktu sahur, k.An buat Nasi Goreng Ikan Masin dengan Nugget Tempura Goreng. Sedia sekali untuk dua orang baby yang tak 'poce' tu... tak payah pening kepala nak masak lagi siang nanti.

Inipun dah ada resepinya, tapi k.an ulang tayang je.. lain sikit-sebanyak tu biasalah... ikut citarasa masing-masing dan bekalan bahan yang ada.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

3 cawan nasi putih sejuk
1-2 keping ikan tenggiri masin (ikut saiz dan citarasa)- k.An suka banyak
sedikit isi ayam-bahagian dada
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar atau dicincang halus
sayuran ikut bekalan
2 tangkai cili padi diketuk- tambah jika suka pedas
1 biji telur
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng ikan masin hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
2. Masukkan isi ayam dan goreng seketika hingga wangi. Masukkan cili padi, bawang merah dan putih dan tumis hingga wangi juga. Masukkan sayuran dan biar layu sebentar.

3. Masukkan telur, nasi dan ikan masin yang telah dihancurkan dan gaul rata. Masukkan garam atau sos ikan jika nasi belum cukup masin. Tambahkan sedikit lada sulah jika suka.
Tutup api dan sedia dihidang.


Menu Ringkas- Ayam merah dan Ikan Bakar

Kunjungan ke Morib ni adalah yang kedua dalam setahun sebab tempatnya dekat dengan Putrajaya dan k.An suka sangat dengan suasananya. Tambah pulak, dalam perjalanan ke sana kami berpeluang membeli ikan segar berdekatan tempat kami menginap.

Ikannya saaangat segar dengan harga berpatutan. Kalau ikut hati nak beli berkilo-kilo, tapi mengingatkan ruang peti ais terhad, k.An beli seekor ikan tenggiri, 2 ekor ikan cencaru dan 1/2 kg ikan pelaling. Cukup untuk bekalan 3 hari. (kalau lebih, boleh bawa balik Putrajaya kan...) Lagipun K.An dah ada ayam 'sekor' kat peti sejuk tu..


Tengokle rupa ikan yang berkilat-kilat dan mata segar bugar
... geramnye.. belum tengok ikan merah, kembung dan bawal....
menggoda semuanya..


Sampai je ke 'rumah' terus sediakan juadah berbuka sebab dah pun jam 4.oo petang. Kena cepat ni.

Mula-mula buat kuih sagu dulu (nak sejukkan ambil masa 1/2 jam) Resepi kat sini. Tak bawak pewarna merah, k.an buat warna hijau ...



Ikan yang segar bugar tu, K.An bakar dalam kuali je.
Cuma gaul dengan garam dan kunyit, sebab ikan segar, sedap buat camtu je. Buat Ayam masak merah (resepi kat sini) dan panaskan baki tomyam udang sahur pagi tadi.
Buat cicah budu, masak nasi.. dah siap.
Sementara k.An di dapur, abg.Azam bawak anak-anak main layang-layang. Kat sini angin sentiasa menderu-deru. Sekejap je, layang-layang terbang tinggi...

Lagi 10 minit waktu berbuka, semuanya dah sedia. Alhamdulillah, tunggu Azan Maghrib ye..

Sambal Goreng Tempe


Hari kedua puasa, kami pergi bercuti lagi.. Kali ni ke Morib. Nak menghirup udara tepi pantai pulak. Kesempatan cuti sekolah dan bulan Ramadhan ni, kami ambil untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga sambil menghayati kesucian bulan puasa. Bunyinya agak pelik sebab bercuti masa puasa... tapi seronoknya tak terkata.. lagipun di tempat ni, k.An masak macam di rumah sendiri juga sebab kelengkapan memasak disediakan di tempat kami menginap.

Sebelum cerita menu hari pertama di Rumah Peranginan Persekutuan Morib ni, K.An masukkan dulu resepi sambal goreng Tempe (ala-ala Jawa gitu) atas permintaan adik k.an Saleha. Sambal goreng macam ni memang popular di bulan puasa ni bagi menambah selera waktu bersahur. Buat banyak2 dan simpan dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti ais lagi tahan lama. Bila teringin nak makan, tak payah masak lagi... Resepinya lebih kurang sambal goreng ikan bilis, tapi tambah bahan lain seperti tempe, kacang goreng dan kentang.

Bahan-bahan:

4 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
segenggam ikan bilis siap kopek, dibasuh dan toskan. seeloknya yang agak halus
1 keping tempe peket- k.an suka yang dalam peket plastik. Nampak isi putihnya.- hiris nipis, gaulkan dengan sedikit garam, kunyit dan 1/2 sudu teh air.
sedikit kacang tanah
1 biji kentang dikupas kulit dan hiris nipis
4 sudu besar cili kisar pekat
2 sudu besar gula
2 sudu teh air asam jawa -jika guna pati asam jawa Adabi, guna 1/2 sudu teh je

Cara membuatnya:

1. Goreng tempe, ikan bilis, kacang tanah dan kentang berasingan hingga garing. Gunakan api sederhana. Ketepikan dahulu.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

3. Masukkan 1/4 cawan air dan air asam jawa. Didihkan. Masukkan gula dan sedikit garam. Kacau hingga sambal pekat dan berwarna gelap. Tutup api dan masukkan semua bahan siap digoreng tadi. Gaul sebati dan sedia dihidang.

*** dalam gambar tu, k.An sengaja buat agak berkuah atas permintaan anak-anak. Makan sekaligus habis. Kalau nak simpan, kena masak sambal hingga pekat baru dicampur bahan gorengan.

Selamat mencuba!!!




Wednesday, August 26, 2009

Tomyam Udang di Singgah Sahur


Sejurus sebelum berbuka puasa hari pertama, k.An menerima panggilan telefon daripada seseorang yang menyatakan hasrat untuk bersahur di rumah kami, jika tak keberatan katanya. Bagi K.An kecil tapak tangan, seluas rumah kami tadahkan... Kalau sanggup tengok muka-muka comot masa bersahur (nada berseloroh...heheh) ... silakanlah.... meriah lagi sahur kami. Anak-anak pulak bila dikhabarkan, gembira tak terkata semuanya...

Sebenarnya di rumah kami, waktu berbuka dan sahur memang sentiasa meriah dan selera makan pun tak berbeza. Bukannya lauk 'spesel' ke.., cuma suasana tu agaknya yang menyebabkan tiada beza berbuka dan sahur.

Lauk-pauk, macam biasa yang mudah k.An sediakan. Selalunya lauk berbuka dimasak 2 kali ganda cukup untuk bersahur sekali. Bila ada tetamu yang nak singgah sahur, k.An cuma tambah sikit sebanyak je lagi. Menu kami hari tu, daging 'black-pepper' dengan kailan (menu wajib bulan puasa)- resepi kat sini.. telur bistik dan tomyam udang. Hmmm... licin periuk nasi kami...

Yang mudahnya, kuah tomyam dan kuah telur bistik, K.An masak malam sebelum tidur dan waktu sahur, cuma campakkan udang dan buat telur dadar... Panaskan kuah...

Resepi tomyam, lebih kurang yang dulu juga, tapi sebab nak mudahkan bulan puasa, k.An tulis sekali lagi ye...

Bahan-bahan:

10 ekor udang harimau (masukkan masa panaskan kuah)
1 labu bawang besar holland dihiris sederhana tebal
2 ulas bawang putih diketuk
1/2 biji tomato dikisar halus
1 ketul kiub tomyam knorr
3 batang serai diketuk
sedikit halia diketuk
5 biji cili padi diketuk
1 batang seleri dihiris serong
sayuran ikut citarasa- karot, bunga kobis, cendawan tiram)
1 biji limau nipis diambil jusnya (k.An perah sebelum menghidang)
daun limau purut dicarik
daun sup dan bawang dihiris halus
1/2 biji tomato dibelah 3

Cara membuatnya:

1. Kali ni kita buat cara cepat, tak perlu tumis. Masukkan semua bahan kecuali udang dan daun2 bersama 4 cawan air ke dalam periuk. Masak hingga mendidih. Masukkan udang, daun limau purut, daun sup dan bawang. Tambah garam secukupnya. Perahkan limau nipis dan hidangkan.

Sedapnya bersahur bersama Fitri dan rombongan.. Sofea (anak Fitri, sedap lena dibuai mimpi) Tak sempat snap gambar lauk... dah liciiiin...
K.An dan adik-adik Fitri UNIC, Soleha, Nazirah, dan Isteri Fitri, Saleha (sama namanya ngan adik)
Sesiapa nak buat program macam ni lagi.. sila e-mail k.An ye sebelum jadual penuh..heheh.. Seronok juga singgah sahur ni. Berbeza dengan majlis berbuka puasa.. sesekali buat kelainan, apa salahnya kan...

Tak lupa, terima kasih, Fitri dan keluarga kerana sudi bersahur dengan kami... lain kali datang lagi ye..

Karipap Ayam/daging- Rezeki pertama Ramadhan

Assalamualaikum semua.... Kami sekeluarga bercuti sebenarnya dan tempat kami berada ni liputan internetnya saaangat perlahan. Maka, dah berkali-kali mencuba nak masukkan entry baru terbantut. Hari ni adalah hari terakhir kami di sini dan alhamdulillah laju sikit internet ni.. bolehlah k.An masukkan cerita baru.

Di hari pertama puasa ada rezeki sikit daripada jiran dan rakan surau, Abang Termizi dan Kak Sabariah. Asalnya K.An cuma mintak benih roselle tapi diberi pelbagai hasil kebun mereka di belakang apartment di Presint 8 ni. Tengoklah, macam-macam ada. Keledek, kacang panjang, kacang tanah, benih terung dengan terung sekali, benih cili, kacang panjang dan roselle.

Alhamdulillah, kacang dah direbus dan keledek k.An buat karipap. Buat banyak dan hasilnya dikongsi masa berbuka puasa. Inilah berkat Ramadhan.

Beza karipap kali ni ialah K.An buat menggunakan mesin mee dan juga acuan karipap. Lebih mudah dan cepat dan kurang tenaga digunakan. Almaklum bulan puasa....

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 35 biji karipap- terlupa kira hari tu)

Inti keledek:

500 gm keledek- kupas kulit dan didadu kecil
2 sudu besar rempah kari daging
100 gm daging/ isi ayam dihiris kecil
sedikit daun sup/ bawang dihiris kecil
1/2 labu bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
Garam gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Cuci bersih keledek yang didadu dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk. tumis bawang besar, putih dan daging hingga wangi. Masukkan rempah kari. Tumis hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana.

2. Masukkan 1/2 cawan air dan keledek. Tutup periuk dan biar mendidih. Perlahankan api agar inti tidak hangus. Bila keledek agak empuk masukkan garam dan gula. Gaul rata hingga inti pekat. Tambah air jika inti belum empuk. Masukkan daun bawang dan sup dan gaul rata. Tutup api sebelum dan biar sejuk sedikit sebelum digunakan.

***jika suka lebih pedas tambahkan 1 sudu kecil cili kisar ketika menumis

Pastri:

400 gm tepung gandum
80 gm margerin
3 sudu besar minyak masak
120-150 ml air sejuk dicampur 1/2 sudu teh garam
Cara membuat doh:

1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar. Buat lubang ditengahnya.
2. Panaskan margerin di dalam kuali hingga cair dan campurkan minyak. Tuang ke dalam tepung dan gaul guna garpu (sebab minyak panas) Bila agak sejuk, gaulkan adunan dengan hujung jari menggunakan teknik gaul ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
3. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh.


Cara membuat karipap.

K.An dah sedikan videonya tapi, k.an masukkan kemudian nanti bila balik Putrajaya ye.. Kalau buat di sini, alamatnya petang nanti le baru siap... (dah siap videonya.. boleh tengok sendiri)

1. Bulat-bulatkan doh sebesar bola ping-pong hingga habis doh. Set mesin mee ke no 6 (kedua tebal) nipiskan bebola doh 2,3 kali dan buat hingga habis.
Tukar ketebalan ke no-4 dan ulang proses menipiskan kepingan pastri hingga habis. Ketika ini pastri sangat licin dan berbentuk bujur sesuai dengan acuan.

3. Letakkan kepingan pastri di atas acuan dan isikan inti. sapukan air di tepi pastri dan cantumkan acuan. Keluarkan karipap dan susun dalam dulang. Buat hingga habis. Simpan di dalam freezer sebelum digoreng agar kulit karipap cantik apabila digoreng.

3. Panaskan minyak dalam kuali. Sebaik minyak panas, perlahankan api. Masukkan karipap yang telah disejukkan tadi, dan goreng hingga keperangan. Apabila siap, sedia dinikmati untuk berbuka puasa.



Friday, August 21, 2009

Roti Putih..... (pastinya yang mudah...)

Assalamualaikum semua... InsyaAllah esok kita akan mula berpuasa dan malam ni solat Tarawikh.. seronoknya dan rasa bersyukur sangat sebab diberi kenikmatan daripada Allah untuk mengecapi rahmat Ramadhan Al-Mubarak. Moga tahun ni lebih banyak amal ibadah dapat dijalankan...

Sebelum menutup bulan Sya'aban, K.An kongsikan resepi roti putih (white Bread) yang sangat mudah ni.. Ini resepi junior K.An di UIA dulu, Nurbani yang sangat rajin juga memasak.. dia kongsi resepi ni kat facebook... seronoknya bila cuba terus jadi elok. Terima Kasih Bani.

Rasa dan tekstur roti ni 'sebijik' macam roti bai naik motor kat kampung dulu-dulu. Kat kampung K.An dia jual roti dengan home-made kaya sekali. Lewat petang kami beli roti dan makan ramai-ramai dengan arwah ayah sebelum dia ke surau.... nostalgia lagi...


Bahan-bahan: (menghasilkan 2 buku roti guna loaf tin saiz sederhana)

500 gm tepung protein tinggi
3 sudu besar minyak masak
1/2 peket yis kering
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh gula
1-2 cawan air suam (tambah sikit-sikit)

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan kecuali air di dalam mangkuk. Campurkan air sedikit demi sedikit sambil menguli hingga jadi doh. Tutup mangkuk dengan cling wrap dan perap 1 jam.

2. Tumbuk doh untuk mengeluarkan angin dan uli lagi 5 minit. Lengserkan loyang dan bahagi dua doh jika guna loyang kecil. Masukkan ke dalam loyang dan perap lagi 45 minit.

3. Panaskan oven pada suhu 190 darjah celcius dan bakar roti selama 30-40 minit atau roti keperangan.

K.An buat separuh adunan je, tapi tak puas makan. Kejap je habiiiish...

Thursday, August 20, 2009

Kek Koko Basah

Mungkin ada yang pernah tengok resepi macam ni kat mana-mana kan...? Sebabnya ramai yang dah tahu resepi kek coklat mudah macam ni. .. sebab senang sangat..
K.An dapat daripada kakak K.An (K.Mah) dah bertahun dahulu.. dia dapat daripada majalah Jelita dan ramai yang sudah mencubanya.

Baru ni masa majlis bertunang adik K.An, sempat K.An menghabiskan stok coklat dan tepung kek bagi menghasilkan kek koko basah ni. Selalunya taklah basah sangat sebab guna minyak jagung. Tapi minyak jagung tak ada, guna minyak peket je... hasilnya tersangatle basah kek ni. Asalnya tak nak siarkan, tapi tetamu yang makan semua suka... siap bagi komen "moistnye kek ni...best!!!)

Macam tu le makanan ni, bagi kita tak jadi, tapi ok je rupanya bagi yang menjamahnya... Jadi, kita siarkanlah resepinya....


Bahan-bahan:

2 cawan gula pasir
1 3/4 cawan tepung gandum (ayak bersama **)
3/4 cawan serbuk koko
1 cawan minyak jagung (jadi elok kek ni)
1 cawan air panas suam
1 cawan susu cair
1 sudu teh soda bikarbonat**
1 sudu teh baking powder**
2 biji telur

** tak perlu jika guna tepung kek

Cara-cara:

1. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius.
2. Campurkan kesemua bahan kecuali air panas di dalam mangkuk besar. Kacau sebati dengan whisk.
3. Masukkan air suam dan gaul lagi hingga sebati.. Sediakan loyang 8 inciX 8 inci yang dilengser margerin dan dialas kertas minyak. Tuang adunan dan bakar pada suhu 180 darjah selama 45 minit atau hingga masak (bergantung jenis oven) .Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

*** adunan kek ni tidak perlu dipukul. Cukup dengan mengacau sebati je..

Tuesday, August 18, 2009

Bingka Tepung Beras

Teringat dan terbau-bau lagi aroma bengkang yang dibakar di dapur kayu dengan sabut diletak di atas tudung periuk zaman K.An 'kecik-kecik' dulu... Memang sedaaap.. Bangun pagi memang segar sebab mak K.An dah awal-awal lagi buat macam-macam kuih untuk anak-anak... 'Respect' betul kat mak K.An dari dulu sampai sekarang. Walaupun tak ada buku resepi, tapi kalau mintak buat kuih macam ni, rasanya mesti 'standard'.... 5 bintang.

Memandangkan sekarang dah tak ada dapur kayu, kita bakar bengkang ni (bingka tepung beras) kat dalam oven je.. Rasanya sama, tapi tak ada bau sabut atau kayu macam yang klasik tu... Dengan resepi ni, boleh juga dibuat bingka Tepung Beras yang warna putih (gula pasir biasa) atau Bingka Gula merah... ganti gula putih dengan gula melaka atau gula merah,

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

300 gm tepung beras
150 gm gula pasir
1 sudu teh garam
1000 ml santan daripada sebiji kelapa
4 helai daun pandan dikisar halus- ramas dengan 1/2 cawan air dan dapatkan patinya
sedikit pewarna hijau

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan gaul dengan whisk hingga sebati. (boleh juga campur semua bahan di dalam mangkuk lain dan kemudian tapis ke dalam periuk agar tidak berketul) Hidupkan api sederhana dan kacau sentiasa.

2. Apabila bancuhan mula berketul, perlahankan api dan terus mengacau hingga hampir pekat.

3.Angkat dan tuang adunan ke dalam loyang yang telah dilengser dengan minyak atau margerin dan ratakan.

4. Bakar pada suhu 300 darjah celsius selama 30 minit atau bahagian atasnya keperangan.
Sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong. Seeloknya, masak di waktu malam untuk hidangan pagi.

Maryam yang dah makin 'excited' dengan kerja ummi

Monday, August 17, 2009

Rendang Tok

Assalamualaikum semua..
alhamdulillah k.An kembali bersiaran setelah agak lama merehatkan diri dari blog ni.. Masih belum pulih 100%, tapi anak-anak, alhamdulillah dah sihat semuanya. K.An masih batuk dan sakit-sakit badan..
Allah dah bagi sihat lama, sekali-sekala demam dan sakit ni kita terima sebagai penghapus dosa kan.. Dalam tempoh seminggu ni berat badan K.An turun lagi 2 kg. Jadi kepada yang kali terakhir jumpa, kata K.An dah susut, tengok sekarang...laaagi susut. Kelakarnya, dalam 3 hari ni dah 2 orang yang menjengah di pintu bertanyakan tuan rumah.. ada yang kata panggilkan mak kepada K.An... heheh... Sorry ye.. kat rumah ni sayalah mak..!!

Oklah... banyak yang berlaku dalam tempoh seminggu... yang gembira, sedih dan macam-macam lagi. Adik K.An pun dah selamat bertunang minggu lepas.. selesai satu peringkat. InsyaAllah bulan Disember nanti satu peringkat lagi menyusul.

Ketika majlis minggu lpeas, kami di Putrajaya diamanahkan menyediakan pulut kuning dan rendang sebagai mengisi salah satu dulang hantaran. Dah lama tak cuba resepi tradisi perak, ada peluang , sesuai sangat rasanya kalau pulut kuning tu dipadankan dengan Rendang Tok Perak.. Alhamdulillah memang sedap. Sambil mengacau rendang, hampir semangkuk masuk mulut tukang kacau dulu....hihih...

Bahan-bahan:

1 kg daging (biasa)- dipotong dadu, jika guna daging batang pinang, potong besar-besar agar tidak hancur ketika dikacau.
1 kati bawang merah- resepi lama guna Kati-.....heheh
5 ulas bawang putih
15 tangkai cili kering- rebus lembut dan kisar halus
1 peket kecil rempah kari daging
2 inci halis
1 inci lengkuas
10 batang serai
3 biji kelapa- diambil 5 mangkuk santan
1/2 biji kelapa dijadikan kerisik
1 sudu kecil jintan putih-disangrai wangi
1 sudu kecil biji ketumbar
3 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit
garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:

1. Giling atau kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, ketumbar, jintan hingga halus.
2. Gaulkan bahan giling tadi, cili kisar, kerisik dan rempah kari dengan daging. Perap selama 10 minit.
3. Masukkan daging dan semua bahan perapan ke dalam kuali dan jerang atas api sederhana. Masukkan santan.
4. Apabila mendidih, kacau sekali sekala agar semua bahan mesra. Proses mengambil masa lebih kurang 2 jam.
5. Bila rendang mula pekat (gambar 3) masukkan garam, gula dan serai yang diketuk. Masukkan juga daun kunyit dan daun limau purut yang dihiris halus. (K.An suka rasa rendang waktu ni.. sangat sedap. Kalau tak nak kering dan nak berkuah, bolehlah dihidangkan masa peringkat ni sahaja..)
6. Perlahankan api dan kacau rendang hingga kering dan berwarna gelap.


Friday, August 14, 2009

Al-Fatihah

Selamat Tinggal
Kepada Semua
Yang tinggal hanyalah kenangan...
Diiring doa dan airmata yang pergi
takkan kembali lagi...
Hanya amalan jadi bekalan..
Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Asri Rabbani yang telah kembali ke rahmatullah semalam, 13 ogos 2009. Semoga rohnya diangkat bersama para syuhada', solihin dan mukminin...

Ingatlah bahawa akan tiba juga saat kita nanti. Maka bersedialah sebelum tiba akhir waktu itu.

Tuesday, August 11, 2009

Mohon berehat Seketika


Assalamualaikum semua.. moga sihat dan gembira selalu.

K.an dan anak-anak sedang 'dilanda' demam, batuk dan selsema. Mood pun tak ada dan tenaga pun terpaksa dikerah-kerah. Jadi K.an mohon berehat seketika bagi mengembalikan tenaga yang dah hilang...

Doakan kami cepat sembuh ye..


Wednesday, August 5, 2009

Asam Pedas Daging Tetel

Asam Pedas daging tetel ni sesuai sangat dipadankan dengan kerabu telur kat bawah tu... kena makan dengan nasi panas, waktu sahur pun makan berpinggan-pinggan... Ulang masa buka puasa pun masih ok lagi....

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

300 gm daging tetel- hiris kecil-kecil dan rebus hingga empuk. (guna pressure-cooker lagi bagus)
1/2 cawan cili kisar pekat- kalau nak banyak kuah, lebihkan lagi
1/2 cawan air asam jawa cair
1/2 cawan air rebusan daging
5 tangkai kacang bendi dibuang tampuknya
daun kesum secukupnya
minyak untuk menumis

Bahan dikisar halus;

5 ulas bawang merah saiz besar
2 ulas bawang putih
sedikit halia
1/2 inci belacan siap dibakar
2 biji cili padi

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan daging,air asam jawa dan air rebusan daging. Biar mendidih. Masukkan garam secukup rasa. Masukkan bendi dan daun kesum. Biar mereneh hingga bendi lembut. Tutup api dan hidangkan bersama nasi putih, ulam-ulaman dan sambal belaca
n... kerabu telur jangan lupa ye...

Nyonya Kerabu Telur

Sangaaaat sedap...!!!

Inilah komen yang K.An beri kepada resepi Nyonya Kerabu Telur ni... resepi oleh Mat Gebu yang sangat mengancam semua masakannya tu... Tak pernah, K.An rasa kerabu macam ni... Masa dok menggaul bahannya pun dah kecur liur.. baunya saaangat sedap. Tak sabar nak makan.
Bila siap je, ngap sesudu...waaah memang secantik rupa, rasanya.... cuma bagi yang perut nipis tu, boleh kurangkan cili padinya.. Masa K.An dan Abg.Azam makan...fuah..fuah... kepedasan.!!!

K.An close-up rupa kerabu ni, sebab di Dapur Tanpa Sempadan Mat tayang pinggan antik dia yang cun melecun tu.. sampai tenggelam rupa kerabu...heee...

Bahan-bahan: (K.An kurangkan sikit daripada resepi asal- hidangan cukup untuk 5 orang)

3 biji telur
1 biji bawang besar Holland (kuning)
1 biji tomato
1 kuntum bunga kantan
3 biji cili padi
sedikit daun kesum (K.An tak ada stok, ganti dengan 3-5 tangkai daun selom)
1 biji besar limau nipis diperah airnya (mat guna limau kasturi)
garam dan gula secukup rasa

Bahan ditumbuk Halus:

1 biji cili merah
3 biji cili padi
1 ulas bawang putih
1/2 inci belacan dibakar

Cara membuatnya:

1. Dadar nipis telur satu persatu seperti buat ketayap. Gulung dan gunting 1/2 sm lebar.
2. Tomato dibelah 4 dan buang bijinya. Hiris nipis-nipis. Hiris kecil bunga kantan, daun selom, cili padi, cili merah dan bawang besar.
3. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan ditumbuk , garam, gula dan perahan limau nipis. Gaul rata dan sedia dihidang.