Friday, January 30, 2009

Tiada Lagi Rahsia..Mee Abah

Alkisah tersebut ceritanya di sebuah pekan di utara Perak bernama Bagan Serai, tinggal sebuah keluarga yang amat dihormati penduduk sekitar iaitu keluarga Haji Abdullah dan Hajjah Siti Zainab atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Dolah dan Cikgu Zainab kerana kedua-duanya adalah pesara guru sekolah.

Selain terkenal kerana tugas mendidik anak bangsa, Cikgu Haji Dolah juga terkenal kerana perniagaan menyewakan van dan pengangkutan bas kilang suatu ketika dulu. Dipendekkan cerita, satu lagi sebab mereka terkenal adalah kerana mee abah yang hanya dihidangkan kepada tetamu di Hari Raya Aidilfitri saban tahun sejak berpuluh tahun dahulu..
Antara tetamu Cikgu Haji Dolah ialah arwah ayah K.An yang merupakan kawan baik cikgu Dolah yang kini bapa mertua K.An...he..heh..
Seingat K.An, masa K.An kecik-kecik lagi bila tibanya Hari Raya, arwah ayah yang bertandang ke rumah abah akan dibekalkan mee abah untuk kami sekeluarga nikmati di rumah. (Kami tak ke sana sebab jarak rumah ketika itu dikira jauh dan kami tiada pengangkutan untuk ke sana)

Kerana persahabatan yang terjalin itulah maka salah satu sebabnya K.An dan abang Azam disatukan... selain kami memang mengenali antara satu sama lain. Alhamdulillah ada hikmahnya kerana sehingga sekarang, hanya K.An yang mewarisi resepi mee abah ni...

Sementelah adanya blog periuktanah, ingin K.An kongsikan resepi mee abah untuk semua kerana takut tiada lagi yang mewarisinya kalau Abah dan K.An tak sempat memperturunkannya. Kan sayang, resepi yang istimewa dan sedap, tidak dapat dinikmati oleh orang lain hanya kerana nak menyimpannya sebagai harta 'ekslusif'...

Bersempena cuti Tahun Baru China baru-baru ni, K.An masak 'mee abah' dan menjemput jiran tetangga dan saudara mara terdekat datang ke rumah bagi menikmati sendiri mee abah, daripada air tangan K.An. Lebih kurang 50 pinggan dihidangkan... (termasuk 10 pinggan untuk A.Azam..he..heh)



Bahan-bahannya: (hidangan 30-50 pinggan)

10 bungkus mee kuning, dicelur, siram dengan air sejuk dan toskan

Kuahnya:
1 batang tulang kaki / 'gear-box' (berat lebih kurang 3 kg)
1 kg daging campur (gred 2) dipotong sederhana (1x1 inci)
300 gm udang putih/ harimau saiz kecil- dibersihkan dan dikisar tanpa dibuang kulit dan kepala
3-5 biji kentang dikupas kulit dan dikisar
3 ketul tauhu putih dilecek/ hancurkan
2 ikat sawi dipotong 2 inci panjang
1 kg sos cili (K.An guna sos kimball dalam peket)
1/2 cawan sos tiram
1/2 cawan sos tomato
1 cawan kicap manis
1 cawan kacang tanah yang telah disangrai, dan dikisar halus
50 sen daun sup dan bawang dipotong 1 inci

3 bungkus sup bunjut/ sup bunjut tulang

Bahan tumisan:

10 ulas bawang merah dihiris nipis

5 ulas bawang dihiris nipis

4 inci halia dipotong kecil dan diketuk

Kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih secukupnya

Cara-cara membuatnya: (masak waktu malam)

1. Rebus tulang 'gear-box' bersama daging dalam 10 liter air (lebih kurang) selama 4 jam. Gunakan api sederhana. Masukkan sup bunjut dan didihkan lagi. Tumis bahan tumisan didalam kuali lain sehingga bawang keperangan dan tuang ke dalam sup.

(Kalau nak makan sup gear-box dah boleh dah ni, tapi masukkan garam berasingan di dalam mangkuk lain)

2. Sup tadi hendaklah sentiasa dibiar di atas api perlahan sepanjang proses memasak. Masukkan sos cili, sos tiram, kicap dan bahan-bahan lain (sawi, udang, kacang, tauhu, kentang, daun sup)ke dalam sup. Didihkan lagi dan masukkan garam secukupnya.

3. Sekiranya kuah nampak terlalu pekat, tambahkan 3 cawan air lagi. Tutup periuk dan renehkan kuah di atas dapur dengan api perlahan 1 jam lagi. Tutup api, dan buka sedikit tudung periuk agar kuah menyejuk sebelum dirapatkan tudungnya.

Keesokan paginya didihkan lagi kuah agar, rasa kuah sebati dan makin pekat.

Bahan-bahan ditabur di atas mee:

5 biji tomato dihiris nipis

13 biji telur direbus, dikupas kulit dan dibelah 4

5 biji kentang sederhana besar direbus bersama kulit hingga empuk. Kupas kulit dan potong sederhana nipis

5 tangkai cili merah dihiris nipis

10 biji limau kasturi dibelah 2

50 sen tauge dicelur sebentar

5 keping tauhu digoreng dan dipotong dadu kecil

Daun sup dan bawang secukupnya dihiris halus

Bawang goreng secukupnya

Cara menghidang:

Masukkan mee ke dalam pinggan. Taburkan bahan hiasan dan tuangkan kuah ke atas mee. Lagi banyak kuah lagi sedap... Pastikan limau diperah ke dalam mangkuk kerana rasanya bertambah sedap dengan perahan air limau.

Teringat K.An, ketika kami di SBPI Rawang, mee abah memang terkenal di kalangan guru-guru yang pernah merasa kesedapannya dan satu ketika, K.an masak istimewa mee abah untuk kumpulan In-Team yang datang memberi kursus motivasi kepada pelajar SBPI Rawang...

Selamat mencuba dan mudah-mudahan resepi ini akan menjadi sebahagian amal jariah Keluarga Cikgu Dolah kepada semua pembaca blog periuktanah. (Kepada yang tak sempat masak sendiri, boleh tempah je dengan K.An dengan saiz hidangan di atas)

Thursday, January 29, 2009

Pai Pisang

Bagi yang menggemari hidangan berasaskan pisang, sesekali pelbagaikanlah resepi. Tentu anak-anak suka. Pai pisang ni K.An reka sendiri berpandukan resepi pai yang lain (seperti pai strawberi, pai ceri, dan pai labu) daripada buku resepi dan rancangan di televisyen. Mudah dan enak.


Bahan-bahannya: (hidangan untuk 6 orang)
Kulit Pai
150 gm tepung gandum diayak
1/2 sudu teh gula aising
65 gm mentega sejuk didadu
45 ml air ais
Cara-cara:
1. Campurkan tepung, gula dan mentega. Gaul ramas hingga menjadi serbuk roti. Campurkan air dan uli hingga menjadi doh. Masukkan ke dalam plastik dan simpan dalam peti sejuk selama 20
minit.
2. Sediakan loyang pai berukuran 8 inci. Lenserkan dengan margerin. Keluarkan doh daripada peti sejuk dan canai mengikut saiz loyang. Letakkan ke dalam loyang. Cucukkan dengan garpu untuk menghilangkan gelembung udara ketika memasak. Panaskan oven ke suhu 200 darjah C. Masukkan loyang dan bakar selama 10 minit.
Kastard:
1 biji telur
2 biji kuning telur sahaja
3 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam
1 cawan susu sejat
Topping
5 biji pisang awak/ emas dihiris nipis
1 sudu besar gula pasir/ perang
Cara-cara:
1.Pukul semua bahan menggunakan 'whisk' hingga sebati. Masukkan ke dalam periuk. Masak di atas api perlahan hingga campuran pekat. Kacau sentiasa agar tidak hangus.
2. Tutup api dan tuang kastard ke atas doh pai. Susun hirisan pisang di atas kastard dan taburkan gula pasir di atas pisang. Turunkan suhu ke 160 darjah dan bakar pai selama 20 minit.
Keluarkan dan sejukkan sebelum dihidang.

Cucur Jagung

Jagung manis ni, selain sesuai dimakan begitu sahaja dengan direbus, dikukus atau dibakar, sedap juga kalau dibuat bubur jagung dan cucur jagung. Selain tidak bermusim, jagung senang didapati samada di pasar-pasar basah, pasar malam ataupun di pasaraya.

Di kampung K.An, jagung ditanam di batas-batas sawah dan di tepi-tepi taliair sebagai tanaman kontan sebelum tibanya musim menuai padi. Masa K.An kecik-kecik dulu, sekali tiba musim menuai jagung, sekali petik dapat seguni... memang puas makan anak-beranak.

Maka sebab itulah, daripada dulu-dulu lagi K.An dah biasa sangat dengan makanan dan kuih- muih berasaskan jagung. Cucur jagung ni pula sedap dimakan panas-panas dengan sos cili samada waktu pagi ataupun petang. Kalau makan ramai-ramai, sambil berebut-rebut, paling kurang 3 adunan baru cukup...


Bahan-bahannya: (untuk hidangan 3-5 orang)

1/2 tongkol jagung dihiris isinya (kalau kecil, guna 1 tongkol)

1/2 labu bawang besar dihiris nipis

1 cawan tepung gandum

1 biji telur ayam

1 sudu teh garam

1 sudu besar udang kering (geragau) ... boleh diganti dengan udang putih dihiris halus atau udang kering biasa ditumbuk halus

120 ml air (lebih sedikit daripada 1/2 cawan)

Cara-caranya:

1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk dan gaul sebati.

2. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Jemputkan adunan dan goreng hingga keperangan. Ulang hingga adunan habis.

3. Sedia dihidang panas-panas bersama sos cili yang dicampur sedikit air dan gula pasir.

Wednesday, January 28, 2009

Keledek dan Pisang Goreng Rangup

Minum petang dengan sajian pisang goreng, keledek goreng atau cempedak goreng sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia. Sebabnya sajian ini mudah didapati samada dibeli siap di gerai-gerai di tepi jalan atau disediakan sendiri di rumah. Tambah pula kalau musim hujan. Pekena teh o panas atau kopi o panas dengan pisang goreng, memang tak cukup sepinggan..

Walaupun mudah, tapi tak semua yang tahu macamana nak menyediakan bancuhan tepung yang rangup bila digoreng dan dihidang. Ada yang guna tepung rangup yang dah siap dijual, ada yang guna tepung beras campur air kapur, ada yang guna tepung gandum campur tepung beras dan pernah juga K.An belajar dengan seorang kawan, guna tepung beras campur perahan air limau nipis.
Resepi yang K.An beri ni, yang mudah sahaja..:


Bahan-bahan:(hidangan untuk 2 orang)

5 biji pisang awak separa masak dikupas kulit dan belah dua

2 sudu besar tepung gandum

1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi

1 sudu besar tepung beras

1/2 cawan air

1/4 sudu teh garam

****( sudu besar penuh)

Cara-cara:

1 Bancuhkan adunan di dalam mangkuk dan gaul hingga sebati. Masukkan pisang dan gaul rata.

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng pisang hingga keperangan.

3. Hidangkan ketika masih panas. Pisang goreng akan kekal rangup sehingga 20 minit selepas digoreng dan diletak di dalam pinggan.

*** Gunakan sukatan sama untuk keledek tetapi hiris keledek nipis-nipis dan hidangkan keledek goreng dengan madu atau gula.

Wednesday, January 21, 2009

Citarasa semua... Nasi Ayam

Setelah hampir seminggu bercuti dari menulis di blog ni, K.An kembali dengan resepi nasi ayam yang juga mudah dan cepat disediakan. Hasilnya juga.. enak dinikmati bersama keluarga mahupun tetamu yang datang bertandang. Tak sempat nak fikir lauk apa nak masak, nasi ayam adalah jalan penyelesaian yang mudah.

Nasi ayam adalah antara resepi terawal yang K.An pelajari bukan daripada mak. Masa tu K.An belajar di Pusat Matrikulasi UIA dan belum ada adik-beradik lain yang tinggal di Kuala Lumpur. Yang ada emak dan bapa saudara pupu (sepupu)- anak kepada arwah Toksu K.An. Salah seorangnya, Makcik Arbaayah yang tinggal di Selayang Baru, dekat dengan Pasar Borong Selayang. Memandangkan senang dapat bas ke sana, di hujung minggu kalau tak ada program luar, K.An akan naik bas dekat Bankok Bank menuju ke Selayang Baru.

Di kesempatan hujung minggu tulah K.An belajar masak nasi ayam yang belum pernah dipelajari di kampung sebab dulu-dulu tak ada orang kat kampung yang tahu buat nasi ayam. (nasi ayam datang daripada pengaruh masyarakat cina di bandar). Alhamdulillah sejak tahu resepinya, dapatlah K.An sesekali pulang ke kampung, K.An masak untuk mak, arwah ayah dan keluarga.

Dalam tempoh hampir 20 tahun, pelbagai nasi ayam telah K.An jamah. Antara yang paling K.An ingat kesedapannya:
Nasi ayam kat medan selera seksyen 11 S.Alam- sosnya sedap
Nasi ayam dan nasi goreng ayam melaka di medan selera seksyen 14 P.Jaya- dulu-dulu selalu ulang beli
Nasi ayam di medan selera Tesco Saujana Impian - ada bau daun ketumbar-sedap
Nasi ayam Rasamas (dulunya Ayamas) -ayam 'black-pepper')dan sosnya sedap juga
dan yang terbaru K.An rasa nasi ayam Chef Sabri di Seri Teja presint 9.. lain sebab ada sos black-pepper.
Walau apapun, yang asas tetap sama; ayam, sup, sos, kicap dan ulam-ulamannya:
Resepi ni adalah yang pertama K.An belajar dan tak banyak diubah...


Bahan-bahannya: (untuk hidangan 5 orang/ 5 pinggan)

A) sup

1/2 ekor ayam-dibersihkan- direbus hingga empuk bersama 1 bungkus sup bunjut adabi dan 10 cawan air. Letakkan garam secukup rasa.Ketepikan dulu.

5 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1 inci halia dihiris halus

2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih dan 3 biji buah pelaga

5 sudu besar marjerin

daun sup dan bawang secukupnya

Cara-caranya:

1. Masukkan margerin ke dalam kuali. Tumis bawang dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan.

2. Bahagi dua bahan yang ditumis tadi. Satu bahagian bersama minyaknya dimasukkan ke dalam periuk nasi. Satu bahagian lagi dituang ke dalam sup ayam tadi.

Nasi:

1. Cuci 2 1/2 cawan beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk berisi bahan tumisan. Masukkan 5 cawan air sup dan masak nasi seperti biasa. Kalau suka nasi yang berwarna kuning, tambahkan sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk nasi.

Ayam:

1.Keluarkan ayam daripada sup dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan 1/2 cawan sup ke dalam mangkuk.Tuangkan kicap manis secukupnya. Terbalikkan ayam agar kicap rata. Perap 15 minit.

2. Selepas 15 minit, keluarkan ayam dan goreng dalam minyak banyak. Asingkan kicap dan masukkan ke dalam mangkuk lain untuk dihidang bersama nasi nanti. Goreng sebentar sahaja (sehingga nampak ayam berkilat) bagi mengelakkan ayam keras.

3. Angkat ayam dan potong 5 bahagian.

***boleh ditambah madu atau lada hitam yang ditumbuk semasa proses memerap ayam untuk kelainan rasa

Sos:

Masukkan 3 sudu besar sos cili, 1/2 biji tomato, 2 biji cili merah, 1 biji cili padi dan 1/2 cawan air ke dalam pengisar. Kisar bahan hingga hancur dan sebati. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk. Tambah garam dan gula secukup rasa. (jika suka rasa bawang putih, masukkan 1 ulas kecil bawang putih semasa mengisar)

Akhir sekali panaskan sup dan taburkan daun sup dan bawang sebelum dihidang. Sediakan ulaman seperti timun, salad dan tomato.

Tuesday, January 20, 2009

Malas Memasak..? Sambal Telur Pun Sedap..

Tinggal di kawasan yang cukup semua prasarana macam rumah K.An ni mencabar juga.. Semuanya dekat tak sampai 5 minit berjalan kaki.. Medan selera, kedai mamak, Bakers Cottage semua depan mata. Kalau malas berjalan angkat telefon, telefon je Domino Pizza... Broom.. sampai kat depan pintu... memang mencabar kerajinan memasak.

Tengahari, Abang Azam tak balik makan, anak-anak pula kalau balik sekolah semua nak cepat, sebab nak ke sekolah agama pulak. Nak kena makan yang mudah je. Disebabkan malas nak masak yang remeh-temeh, K.An buat je sambal telur.. Anak-anak suka tak kira masa. (kalau ada baki sambal nasi lemak pagi tadi, lagi senang, goreng telur, gaul je dengan sambal...ha..dah siap)


Disebabkan tak ada sambal nasi lemak, K.An buat sambal baru lah..

Bahan-bahan (hidangan untuk 3 orang)

3 biji telur- digoreng garing satu persatu, pecahkan kuning telur semasa menggoreng- ketepikan

Bahan sambal:

segenggam ikan bilis siap dikopek

3 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk halus

1/2 cawan cili kisar

1 sudu besar air asam jawa-cair

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Masak hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa. Masukkan garam dan gula. Didihkan dan tuang sambal ke atas telur goreng... siap.
Alhamdulillah, dalam malas-malas pun dapat masak juga...

Monday, January 19, 2009

Agak Remeh Tetapi Berbaloi..Ayam Merah Kukus

Ada banyak sebab kenapa wanita gemar membeli majalah.. Ada majalah keluarga, ada majalah fesyen, ada majalah hiburan dan ada majalah hiasan dalaman... Apa yang dibeli adalah mengikut apa yang ingin dibaca dan dilihat. Ramai juga yang membeli majalah hanya kerana nak baca resepi yang ada di dalamnya..

K.An pun kalau belek majalah keluarga, ruangan yang K.An selak dulu ialah ruangan resepi. Kalau ada yang menarik dan baru, K.An akan beli majalah tu. Tapi tu dulu-dulu lah.. Sekarang dah jarang sangat beli sebab banyak lagi keperluan anak yang nak dipenuhi. Jadinya, sekarang K.An cuma belek majalah lama dan cuba resepi-resepi yang ada dalam koleksi buku resepi peribadi.
Resepi ayam merah kukus ni, K.An dapat daripada Majalah Mingguan Wanita lebih kurang 4 tahun lepas. Masa tu bulan puasa juga (selalunya bulan puasa kena pelbagaikan resepi supaya semuanya berselera nak makan sahur)... Dalam majalah tu, ayam ni dimasak seekor terus, tapi untuk memudahkan anak-anak makan, K.An potong kecil-kecil sebab rasanya tetap sama.

Dah banyak kali menu ni K.An hidangkan untuk saudara-mara dan kawan-kawan... semuanya suka tetapi bila dengar cara memasaknya ada 3 peringkat, (goreng, masak dan kukus)resepi tinggal resepi... tak ada lagi yang cuba masak sendiri di rumah.

Percayalah.. walaupun nampak remeh, tapi bila selalu buat, senang je dan kalau masak ayam merah kukus, dah cukup dimakan dengan nasi. Tak perlu lauk lain lagi...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

A)

1/2 ekor ayam (dipotong 5)

2 sudu besar tepung jagung

sedikit garam dan kunyit

minyak untuk menggoreng


Cara-cara:

1.Gaulkan ayam dengan garam dan kunyit hingga rata. Taburkan tepung jagung dan gaul hingga sebati. (seperti dalam gambar). Goreng hingga kekuningan dan ketepikan.


B) Bahan-bahan masak merah
5 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1 sm halia- dikisar halus
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato/ 1/2 biji tomato dicincang
1 batang serai
1/4 cawan santan pekat/ 1/4 cawan susu cair
1 biji kentang, kupas kulit dan belah 8
garam, gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bahan yang ditumbuk hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar. Tumis 1 minit. Masukkan sos cili, tomato/ sos tomato dan serai. Tambah 1/2 cawan air.
3. Masukkan kentang dan santan. Masak hingga kentang empuk. Masukkan ayam dan gaul rata. Biar 1 minit dan tutup api.
Cara mengukus:
1.Sediakan 2 keping pembungkus aluminium (agak cukup untuk membalut ayam). Panaskan air dalam pengukus.
2. Keluarkan ayam dan kentang daripada periuk dan masukkan ke dalam pembungkus aluminium.Curahkan sedikit kuah ke atas ayam. Balut ayam dan masukkan ke dalam pengukus. Kukus 15 minit dengan api kuat.
3. Selepas 15 minit, keluarkan ayam dan hidang dengan nasi bersama baki kuah masak merah.

Sunday, January 18, 2009

Hidangan Mewah Di Rumah- Apple Crumble

Sekiranya ada yang nak taja K.An sambung belajar, ada dua bidang yang K.An nak ambil. Yang pertama, kaunseling dan yang kedua,' pastry'. K.An suka sangat pelbagai hidangan pencuci mulut, kek, manisan, pai dan puding. Kalau ada peluang makan di hotel, K.An cari yang tu dulu.. Setakat hari ini banyak jenis kuih-muih, kek, puding,mafin dan pai yang K.An dah cuba buat. Banyak juga yang diulang berkali-kali sebab anak-anak suka.

Mungkin kalau masa zaman K.An kat sekolah menengah dulu, bidang masakan dan katering ni popular macam sekarang, tentu K.An dah sambung belajar dalam bidang tu. Baru pagi tadi K.An tengok cerita pasal 'World's Richest People' salah seorangnya adalah chef berasal dari Peranchis yang membuka perniagaan coklat di New York. Baru berumur 48 tahun tapi bernilai 25 billion Dolar US... Wauu..

Dulu-dulu, tak ada cerita tukang masak jadi kaya-raya.. tu sebabnya tak tau..he..heh. Sekarang, bila duduk di rumah, semua rancangan masakan K.An tengok. Yang ada Bob Blumer, Jamie Oliver, Chef Skuter, Chen Kenichi, Anna Olsen, Nigella, chef in Black... semua K.An suka. Yang kat Malaysia, no.1 mesti Chef Wan.. sebab dia ni kalau masak, terangkan caranya sampai kita faham betul. Yang lain K.An suka, Chef Liza, Chef Sabri dan Norzailina Nordin.

Resepi 'Apple Crumble' ni, K.An tengok sambil lalu masa sahur puasa tahun lepas. Rancangan memasak bersama MM VitaOil. Puan Norzailina yang masak.Tak salin pun resepinya, tapi sempat tengok bahan dan dicuba.. Sedaap...3 kali K.An buat untuk makan berbuka puasa tahun lepas. Tapi K.An dah ubahsuai sedikit sebab, kalau Puan Lin baca resepi ni, tak sama pulak macam dia buat... anyway, terima kasih Puan Lin, Apple Crumble ni memang sedap..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-10 orang)

A) Intinya:

4 biji epal hijau, dikupas kulit dan dipotong dadu

1 biji buah lai (XL- kalau saiz kecil, guna 2 biji)-dikupas kulit dan didadu juga

1/2 cawan gula

1/3 cawan air

1 batang kulit kayu manis (1 inci)

Cara membuatnya:


1. Campurkan buah-buahan tadi di dalam periuk. Asingkan 1 cawan dan ketepikan dulu. Masukkan gula, air dan kulit kayu manis ke dalam periuk dan masak inti menggunakan api sederhana.

2. Apabila mendidih kacau sentiasa inti, hingga sebati. Apabila epal hancur dan hampir pekat, keluarkan kulit kayu manis dan masukkan 1 cawan buahan tadi ke dalam periuk (supaya inti ada rasa rangup apabila dikunyah)

3. Apabila inti pekat, tutup api dan ketepikan dulu.

Bahan-bahan 'crumble':

1 1/2 cawan tepung gandum

100gm margerin

1 cawan nestum original dewasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan tepung dan margerin ke dalam mangkuk. Gaul ramas menggunakan hujung jari hingga menjadi serbuk roti.

2. Masukkan nestum dan gaul rata.

3. Sediakan loyang empat persegi 18 sm x 18 sm. (loyang bulat pun tak apa) Lengserkan dengan margerin. Panaskan oven ke suhu 180 darjah api atas dan bawah.

4. ambil 1 1/2 cawan adunan crumble dan ratakan di dalam loyang. Jangan ditekan. Masukkan kesemua inti dan ratakan. Akhir sekali ambil lebihan 'crumble dan ratakan menutupi semua inti.

5. Masukkan loyang di rak bawah sekali dan bakar lebih kurang 20 minit pada suhu 190 C, atau hingga Apple Crumble berbau wangi.

Apabila masak, sejukkan sebelum dipotong dan dihidang bersama sos kastard.

Cara membuat sos kastard:

Masukkan 1 tin susu cair, 2 sudu besar gula dan 2 sudu besar tepung kastard di dalam 'blender' . Kisar 1 minit. Tuang ke dalam kuali atau periuk dan masak hingga hampir pekat. Gunakan api perlahan dan kacau sentiasa agar tidak hangus. Jangan masak hingga pekat sangat, agak-agak cantik dituang... ke atas 'Apple Crumble'.. Selamat Mencuba..

Saturday, January 17, 2009

Cucur Badak dan Kuih Gelang (Keria)

Kuih Keria dan Cucur Badak ni dah menjadi kegemaran K.An adik-beradik sejak kecik-kecik lagi. Yang paling K.An ingat, Kak N dan Kak Mah selalu beli dua jenis kuih ni dari pasar malam Parit Buntar yang sangat terkenal di kawasan kami Daerah Kerian. Bersempadan dengan Bandar Bharu, Kedah dan Seberang Prai, P.Pinang, menjadikan pasar malam P.Buntar menjadi tumpuan beribu pengunjung setiap petang Jumaat.

Masa K.An kecik-kecik dulu (belum sekolah lagi) pasar malam ni letaknya di sepanjang sungai Kerian di pekan Parit Buntar. Luas sangat.. dan sekarang, setelah tepi sungai dicantikkan menjadi tempat rehat yang lebih selesa, pasar malam Jumaat ni mengambil tempat di tengah pekan lama Parit Buntar. Namun tetap meriah macam dulu-dulu juga.

Berbalik cerita kuih cucur badak dan keria.. Dulu-dulu kuih cucur badak berharga 20 sen adalah sebesar tapak tangan dan kuih keria pun kalau nak makan kena potong 4.. kami panggil kuih tayar lori sebab saiznya yang besar.. Yang istimewanya rasanya yang sedap, lembut dan asli.

Kalau ditanya daripada siapa K.An belajar buat kuih ni..? Mestilah daripada mak K.An (Hajah Selamah).. memang pakar buat kuih tradisi.. Kalau kami sekeluarga, sekali buat, satu talam besar baru cukup.. tapi saiznya comel-comel, baru senang nak makan...

Untuk periuktanah K.An buat satu adunan dan kemudian dibahagi 2:

Bahan-bahan: ( menghasilkan 8 biji cucur badak dan 6-8 biji keria)

500 gm keledek- dikupas kulit dan potong sederhana besar
1 cawan tepung gandum

Cara membuat doh:

1. Rebus keledek dalam air yang banyak sehingga empuk. Toskan dan lecek hancur menggunakan penekan daging burger. Kalau tak ada, boleh guna belakang senduk. (Buat ketika keledek masih panas). Sejukkan 5 minit.
2. Masukkan keledek ke dalam mangkuk. Campurkan tepung sedikit demi sedikit dan uli hingga sebati. kalau masih melekat-lekat, jangan tambah terlalu banyak tepung tetapi, taburkan tepung di tapak tangan ketika membentuk kuih. (ada jenis keledek yang berair, tapi kalau keledek yang K.An beli ni, inilah sukatan yang tepat)

3.Apabila doh sebati, bahagi dua. satu untuk keria, satu untuk cucur badak.

Bahan-bahan inti cucur badak:

1 cawan kelapa putih

15 ekor udang putih - bahagi 2, sebahagian dihiris kecil-kecil, sebahagian dibiar seekor-seekor

1 batang serai-dititik dan tumbuk halus

1 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk halus

sedikit serbuk kunyit

2 sudu besar cili kisar

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang tumbuk dan serai hingga wangi. Masukkan udang yang dihiris kecil dan cili kisar. Kacau seketika. Masukkan kelapa dan sedikit serbuk kunyit. Masukkan garam dan gula. Kacau rata.

2. Masukkan 1 sudu teh garam dan gula (anggaran 1 sudu besar). Gaul hingga kelapa sebati dengan semua bahan lain. Tutup api dan bolehlah dimasukkan ke dalam doh.

Cara membuat cucur badak:

1. Bulat-bulatkan doh sebesar bola ping-pong. Tekan leper dan isi inti secukupnya. Tutup kuih dan bulatkan kembali. Tekan sedikit menjadi bentuk cucur badak dan letakkan udang di atasnya. Buat hingga habis.

2. Goreng kuih hingga keemasan. Cara membuat kuih Keria:

1. Bentukkan bulat sebesar bola golf. Tekan leper dan buat lubang di tengahnya. Bentukkan menjadi kuih keria.

2. Buat hingga habis dan goreng hingga keemasan. Ketepikan.

Cara membuat sira gula:

1/4 cawan gula pasir dicampur 1/4 cawan air. Masukkan dalam kuali dan kacau hingga mendidih. Gunakan api sederhana. Kacau sentiasa hingga air gula agak pekat. Perlahankan api tapi pastikan air gula sentiasa mendidih. Masukkan semua kuih keria dan terus mengacau hingga menjadi sira. Tutup api. dan sejukkan kuih.

Friday, January 16, 2009

Mee Goreng Mamak

Kami sekeluarga jarang sangat pesan mee goreng di kedai kecuali mee goreng mamak. Sebabnya, jarang sekali dapat yang betul-betul puas di tekak dan puas di hati. Selalunya kalau nak makan mee goreng basah, K.An masak sendiri ( nanti K.An kongsi resepinya sebab dah masak hari tu, tapi habis licin sebelum sempat ambil gambar) dan kalau nak makan mee goreng mamak, barulah kami makan di ...kedai mamak.. memang lain rasanya. Lagipun itulah peluang nak rehat memasak dan makan di kedai.. ye tak? he..heh..

Yang ini rasanya macam mee goreng mamak tapi dimasak oleh ummi Raihan... Yang 'special'nya mee kuning ni dibuat sendiri oleh adik K.An (Raidah) hasil kursus membuat mee yang dihadirinya. Untuk mee kuning Ateh ni, K.An bagi 5 bintang..

Bahan-bahan: (hidangan 5 pinggan)

1 bungkus mee kuning- dicelur dengan air panas seketika,toskan)
2 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
5 ekor udang harimau (kalau kat kedai tak ada udang)
1 biji telur
1 keping tauhu lembut dihancurkan
segenggam taugeh
2 tangkai sawi dipotong 1 inci

1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar cili kisar
sedikit kicap manis dan kicap masin ikut rasa
limau kasturi untuk diperah airnya di atas mee

bawang goreng untuk ditabur
*** jangan letak garam ketika menggoreng mee kerana mee dah masin dan kicap juga dah masin


Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. (Gunakan api besar untuk hasil yang memuaskan) Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan sawi, kicap dan udang. Goreng seketika.
3.Masukkan tauhu yang dihancurkan, telur dan taugeh. Masukkan mee dan kacau cepat-cepat.
4. Tambah kicap manis jika perlu. Kacau rata dan tutup api. Hidang bersama bawang goreng dan limau kasturi.

Thursday, January 15, 2009

Aneka sayur

Bila kita memasak untuk keluarga, ingatlah bahawa diri kita adalah apa yang kita makan... Makanan seimbang penting untuk kesihatan. Lebihkan sayuran dan makanan berserat. Lagipun memasak sayuran ni, mengambil masa yang singkat dan boleh melatih anak ke dapur... Kalau K.An, masa nilah K.An minta bantuan Asma' dan Sarah potong sayur sebab kerjanya mudah dan menyeronokkan.. (budak-budak suka buat kerja orang dewasa..he..heh)



Sayur campur tumis air (jenis sayur boleh ditambah ikut citarasa)

Bahan-bahan:(hidangan untuk 3 orang)

200 gm bunga kobis dipotong ikut suka

sedikit sayur sawi dipotong 1 inci panjang

200 gm cendawan tiram dicarik-carik

5-10 ekor udang putih

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dalam periuk/ kuali. Tumis bawang merah dan putih seketika. Jangan sampai perang. Masukkkan udang, kacau sedikit dan terus masukkan sayuran.

2. Masukkan 1/2 cawan air. Tutup periuk 1 minit. Buka tudung periuk, masukkan sedikit garam. Kacau sedikit dan tutup api.

Sedia dihidang.

Labu Air Rebus (orang Banjar kata, Gangan Labu Ayaq)

Bahan-bahan:(hidangan untuk 3 orang)

1/2 biji labu air- kupas kulit dan potong 1/2 sm tebal
1 labu bawang besar dihiris nipis membujur
5-10 ekor udang putih
garam sebukup rasa
suun (direndam 2 minit)-kalau suka

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang dan udang hingga bawang layu.
2. Masukkan 1 cawan air (atau lebih). Masukkan labu air dan tutup periuk. Biar mendidih dan labu empuk(warnanya bertukar jernih)
3. Masukkan suun dan sedikit garam. Tutup api bila suun lembut. Sedia dinikmati.

Bayam Tumis dengan Lobak Merah

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

sedikit ikan bilis telah dikopek

1 ikat bayam dibersihkan dan dipetik daun dan batang yang lembut sahaja

1/2 batang lobak merah dihiris nipis

1 biji cili merah dihiris serong

garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang dan ikan bilis hingga wangi. Masukkan 1/4 cawan air.

2. masukkan sayuran. Kacau sedikit dan tutup periuk 1 minit. Masukkan garam.

3. Kacau rata sayur dan tutup api bila sayur sudah masak.

Wednesday, January 14, 2009

Bubur Asyura Manis

Bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ni, K.An teringat resepi Bubur Asyura yang K.An tulis untuk mama esyaelyn tahun lepas. Masa tu K.An bagi panduan je. Kebetulan K.An ke pasaraya Sabtu lepas dan lalu di seksyen kekacang. K.An ambil sikit-sikit 3 jenis kacang (dlm 50 sen ke Rm 1.00 harganya) dan buat bubur Asyura manis ni..

Rujuk resepinya di post 2008...




Monday, January 12, 2009

Masak Kicap Bawal

Ingat lagi 15 minit menu...? 3 hari lepas sekali lagi K.An praktikkan teknik yang sama apabila adik abang Azam kata nak menyinggah ke rumah lewat petang Ahad tu. Adik abang Azam, Atie dan Zul ada 'baby' kembar tiga campur 2 orang anak perempuan dia... tentu kena jamu nasi kat rumah sebab tak boleh makan kat kedai..Letak telefon terus mula masak sebab tengahari K.An tak masak nasi. Kami makan di sekolah Iqbal je sambil melawat dia. Jadi petang tu mula daripada 0, K.An sediakan makan malam untuk 4 orang dewasa dan 5 orang kanak-kanak. (4 orang 'baby' tak makan nasi... he..heh)

K.An sempat sediakan nasi dengan lauk masak kicap ikan bawal, ikan tamban masin goreng, ikan bawal goreng (anak-anak atie dan 'Aisyah suka), Masak lemak cili api udang dengan nanas, ulam-ulaman dan sambal budu. Pukul 6.30 mula masak, pukul 7.00 dah boleh makan...Alhamdulillah


Masak Kicap Bawal

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang bersama lauk lain)

1 ekor ikan bawal sederhana besar (dilumur garam kunyit dan digoreng separa garing-ketepikan)

3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dihiris nipis

1 sudu besar serbuk rempah kurma

5 sudu besar kicap manis (kalau suka hitam, tambah lagi)

1 labu bawang besar dihirs 1/2 sm melintang (onion ring)

1 biji cili merah dan 1 biji cili hijau dihiris serong

sedikit garam jika perlu

Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang hiris hingga wangi.

2. Masukkan rempah kurma yang dibancuh dengan 1/4 cawan air. Tumis hingga pecah minyak.

3. Masukkan 1/4 cawan air dan campurkan kicap. Masukkan bawang besar hiris dan cili hiris. Didihkan dan kacau rata. Tambah garam jika perlu. (rasa dulu sebab ikan dah masin dan kicap dah ada rasa manis). Masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Gaul sebentar dan tutup api.

4. Sedia dihidang.

Kerang Rebus dan Sos Kacang

Di kampung K.An, di bulan puasa, selain meriah berpuasa, meriah bertarawikh, meriah juga bila gerai kerang rebus dibuka semata-mata di bulan Ramadhan sahaja. Selalunya selepas solat tarawikh, yang lelaki tak balik rumah terus, tapi singgah dulu makan kerang sambil sembang-sembang isu semasa sebab siangnya tak ada peluang nak sembang sambil minum kopi waktu pagi..(agaknyalah..)
Tapi sedapnya kerang rebus atau bakar ni bergantung kepada kesedapan sosnya. Sos kacang memang paling sesuai dipadankan dengan kerang.. Resepi ni K.An olah sedikit berpandukan resepi sepupu K.An, Faizah dan Din yang buka gerai ikan bakar dan kerang rebus di Seberang Prai. Abg Azam kata..LULUS..


Bahan-bahan: (Hidangan untuk 5 orang)
1 kg kerang, dibersihkan dan direbus di dalam periuk( dicampur 1 batang serai diketuk dan 1 sudu teh garam) didihkan sekejap sahaja agar manisnya tidak hilang
1/2 cawan kacang yang telah disangrai dan dikisar halus
1/2 cawan sos cili
2 sudu besar gula
1/4 sudu teh garam
1 cawan air
Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan didalam periuk.
2. Masak dengan api sederhana sambil dikacau hingga kuah mendidih dan pekat. Sedia dihidang bersama kerang rebus

Saturday, January 10, 2009

Kerabu Mangga

Sebut je mangga, terus kecur air liur sebab yang masam-masam ni kata orang pembuka selera. Dibulan puasa K.An memang hampir setiap hari buat pelbagai kerabu supaya berselera masa makan sahur. Kalau tak ada kerabu, K.An buat acar ikan masin atau sambal kering ikan bilis. Memang laju makan...

Buat kerabu ni tak susah kalau kita dah sediakan bahan asasnya 'in advanced' Contohnya; K.An memang sentiasa ada dalam simpanan, kacang tanah yang siap disangrai (goreng tanpa minyak), ikan bilis yang siap dikisar, udang kering yang telah disangrai dan dikisar, kerisik dan kelapa putih yang disangrai hingga agak keperangan dan wangi. Semuanya K.An masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Bila nak digunakan, keluarkan je dan campur dengan bahan-bahan basah.

Kerabu Mangga

Bahan-bahan: Hidangan untuk 5 orang

2 biji mangga muda dikupas dan hiris halus memanjang
2 sudu besar kacang tanah yang telah disangrai dan dikisar halus
1 sudu besar udang kering, disangrai dan dikisar halus
2 biji cili padi, 1 batang serai dititik, 2 ulas bawang merah- dikisar halus 2 biji cili merah dibuang biji dan hiris memanjang
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar 'brown sugar'
2 sudu teh gula pasir
1/2 sudu teh garam
1/2 biji limau nipis diperah airnya

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata. Sedia dihidang.
2. Kalau tak habis, simpan di dalam peti ais di dalam bekas bertutup. makan masa sejuk pun sedap.

Thursday, January 8, 2009

Jalan-jalan Cari Makan.. Ummp..Sedaap

Dah selalu masak di rumah, sesekali kami pun pergi jalan-jalan cari makan.. masa cuti 25 Disember cadangnya kami nak ke Alamanda.. Sampai je kat lampu isyarat nak masuk tempat letak kereta, berjujut-jujut orang keluar masuk Alamanda. Kereta pulak berderet-deret di tepi jalan.. Tak jadila kami ke situ dan Abang Azam mengubah haluan ke Cyberjaya.

Di sana ada restoran kegemaran Abang Azam. Namanya Restoran Saba' yang menyediakan menu makanan asli Arab. (cari di http://www.wikimapia.org/ dan search for cyberjaya saba restaurant ) Dia dah beberapa kali ke sana dengan kawan-kawan sepejabatnya. Ceritanya memang sedaplah.. Abang Azam bagi 5 bintang sebab katanya kalau nak rasa masakan asli Arab, carilah di Saba'. Antaranya kebab, shawerma,mutabal, hummus, cream caramel dan jus mangga. Cumanya petua K.An kalau nak cuba, belilah set nasi dengan ayamnya.. memang puas hati dan banyak. Kalau yang lain, takut tak kena dengan tekak kita yang bukan tekak Arab. Tapi, banyak-banyak restoran kat situ, memang restoran Saba' menjadi pilihan rakyat Malaysia yang pernah menetap di Timur Tengah sebab daripada pemerhatian K.An, pengunjungnya sentiasa ramai.

Kebetulan hari tu kami tak bawa kamera, jadi tak ada la gambar kedainya. kami letak gambar menu je..

Minggu terakhir cuti sekolah pula, kami ke Nilai 3 mencari pakaian sekolah anak-anak. Balik tu, kami lalu Bukit Mahkota sebab Abang Azam ada misi membawa kami ke Restoran Zurina di bukit Mahkota yang menyediakan Makanan Ala-Thai... Dia pernah menjamu selera di situ dengan Haji Mus (bos dia) dan katanya sedap..
Jadi malam tu, kami pesan makanan goreng-goreng. Layanan bagus, cepat dan hidangannya 5 bintang. Tengokla kat gambar tu. Dari atas kiri, K.An pesan Nasi goreng Ladna, Asma' dan Sarah-Nasi Goreng Pattaya, Iqbal-Nasi Goreng Daging Merah dan Abg.Azam pesan Kue-teow Kungfu..

Dah makan.. memang sedap. 5 bintang..

Olla..olla..Spaghetti Bolognese

Kali pertama menikmati pasta dan yang sewaktu dengannya.. tak berapa 'kena' dengan selera K.An. Waktu tu, kawan sekerja di Uitm belanja makan kat satu Restoran Ala Barat di Seksyen 9, Shah Alam. Dah le mahal (RM9.00 sepinggan), rasa pulak tak biasa.. Tapi sebab dia belanja, kira ok la..

2 tahun selepas tu, Abang Azam ada pot-luck kat sekolah dia di Bukit Rahman Putra. K.An dah tak ingat masak apa, tapi A.Azam bawak balik spaghetti bolognaise sebab ada banyak lebih.. Dia kata sedap, jadi K.An pun rasa... Betuul. Sedaap.

K.An belek dan perati, tak lama lepas tu, K.An pun cuba buat sendiri di samping tengok chef-chef masak spaghetti kat TV.. Lama-lama K.An dapat satu rasa yang stabil dan sesuai dengan lidah Orang Melayu.

Masa kami berniaga di Bandar Tasik Puteri, spaghetti ni antara menu yang jadi pilihan pelanggan K.An. Antaranya bekas 'student' K.An kat UiTM, Arfah dan suaminya Norhizam Omar. Petang lepas kerja, singgah gerai K.An semata-mata nak bungkus spaghetti bolognaise.. Kesian kalau dia terlambat, tak ada le rezeki.. Lagipun masa tu, K.An jual RM 3.50 je sebungkus/ satu hidangan. Mana nak dapat kat tempat lain..?

Resepi ni dah diperturunkan kepada adik K.An, Hanida dan Moon.. Nida punya K.An dan A.Azam dah rasa; LULUS. Tapi Moon, bila nak buat sesi merasa? He..heh..
Baru-baru ni, masa Kimi dan Miza datang, K.An sempat masak untuk 'supper'. Ingatkan cukup sampai sarapan esok. Tapi rupanya ada tiga 'gergasi' Kimi, Azam dan Iqbal yang mengerjakan spaghetti di tengah malam dan tinggal 'ciput' je untuk sarapan dan untuk K.An ambil gambarnya. OK la..janji ada..

Bahan-bahan: (Hidangan untuk 5-8 orang..ikut saiz perut)

1 peket spaghetti
1 cawan tomato puri (1 tin sederhana besar)
1/2 cawan sos cili
1 peket daging lembu cincang Ramly - basuh dengan melalukan air di dalam penapis
1 labu bawang besar Holland di dadu kecil
1 labu bawang besar India didadu kecil
5 ulas bawang putih diketuk dan dicincang halus
1 biji besar tomato didadu kecil
2 biji cili merah dibuang biji dan dihiris halus
1 peket cendawan tiram, dicuci dan dicarik-carik (Kalau suka banyak, boleh tambah sepeket lagi).. macam Hafiz Hamidon yang suka cendawan
garam dan gula secukup rasa

bahan tambahan ikut citarasa:
1 sudu teh oregano kering
keju cheddar diparut

Cara-cara:

1. Didihkan air dalam periuk besar. Agak-agak cukup untuk merebus spaghetti. Keluarkan pasta, genggam dihujung dan celupkan ke dalam air dan perlahan-lahan masukkan kesemuanya ke dalam periuk. Masukkan 2 sudu teh garam dan masak hingga pasta lembut.

2. Apabila lembut, toskan pasta dan segera lalukan air sejuk agar pasta tidak bertukar warna lebam. Gaulkan dengan minyak masak atau mentega agar pasta tidak melekat antara satu sama lain. Ketepikan.

3. Panaskan 5 sudu besar minyak masak.(Boleh guna minyak zaitun kalau suka) Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu dan wangi.

4. Masukkan daging cincang Ramly dan didihkan sambil dikacau rata lebih kurang 5 minit atau daging masak. Masukkan cili merah yang dihiris dan tomato cincang. Masak hingga tomato agak hancur dan kuah berbau wangi.

5. Masukkan sos cili dan tomato puri. Campurkan 1/2 cawan air. Didihkan. Masukkan cendawan, garam dan gula dan masak hingga kuah pekat.

6. Tambahkan serbuk oregano dan tutup api. Letakkan spaghetti di dalam pinggan dan tuang kuah di atasnya. Kalau suka taburkan keju parut... ( sesetengah orang tak suka rasa keju, jadi terpulang ikut citarasa)

Tuesday, January 6, 2009

Nasi Briyani, Ayam Masak Merah, Daging Masak Merah berempah Ala Utara, Jelatah dan Dalca Daging

Walau sesedap manapun nasi briyani, nasi minyak, nasi tomato atau nasi hujan panas dsb, kalau lauknya tak sedap, takkan ke mana jua.. Lauk dan nasi seperti irama dan lagu..he..heh.. tak dapat dipisahkan.

K.An tak pakar masak nasi briyani, setakat boleh saja.. tapi kalau nak makan yang betul-betul sedap K.An dan abang Azam akan pergi cari yang memang tersohor dengan nasi briyani. Contohnya, Restoran Anje Briyani Gam Johor (memang masuk senarai kami) di Bangi atau Presint 9 dan JM Briyani Gam di Shah Alam...(dah ada kat Alamanda juga rupanya)

Jadinya kalau nak resepi nasi briyani, K.An ikut yang tertera di peket rempah briyani je. Nasi briyani yang ada kat gambar di bawah ni pun K.An ikut resepi pada peket Rempah Briyani Faiza. Alhamdulillah.. sedap.


Di daerah sebelah utara, kalau ada majlis kenduri kahwin , daging masak merah kami adalah yang berempah dan banyak kuah. Memang enak dimakan dengan nasi minyak, nasi tomato atau nasi briyani. Ada dua cara memasaknya, samada menggunakan rempah kurma ataupun mencampur sendiri serbuk jintan putih, serbuk jintan manis, serbuk ketumbar dan kas-kas.

Kalau 10 tahun lepas, di kampung-kampung, rempah-rempah ni digiling sendiri menggunakan batu penggiling dan hasilnya memang tak terbanding... asli.

Daging Masak Merah Berempah Ala Utara (Hidangan untuk 10 orang)

Bahan-Bahan:

A)

1 kg daging dipotong nipis sederhana besar- basuh dan toskan

5 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1 inci halia dihiris halus

2 labu bawang besar dipotong melintang berbentuk gelang (onion ring)

B)

1 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga lawang

3 kuntum bunga cengkih

3 biji buah pelaga

C) 5 sudu besar rempah kurma ayam dan daging

1/2 cawan tomato puri (atau sos tomato)

1/2 cawan sos cili

segenggam badam dibuang kulit dan ditumbuk halus

1 sudu teh serbuk kas-kas (kalau tak ada pun tak apa)

3 biji cili merah dibelah 4

Cara-cara:

1. Masukkan daging ke dalam mangkuk. Campurkan rempah kurma, sos cili dan tomato puri dan sedikit air. Gaul rata. Perap 15 minit.

2. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah campur (B) hingga bawang keperangan dan wangi.

3. Masukkan daging beserta rempah yang diperap tadi. (kesemuanya) Tutup periuk dan perlahankan api. Masak hingga daging empuk.

4. Apabila daging empuk, tambahkan sedikit air. Masukkan badam,serbuk kas-kas, bawang besar yang dihiris cili merah, garam dan gula. Gaul rata dan biar bawang layu.

5. Apabila kuah pekat dan pecah minyak, tutup api.

Ayam Masak Merah (hidangan untuk 10 orang)

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dipotong 10

1 labu bawang besar holland dikisar

10 ulas bawang merah dan 5 ulas bawang putih dikisar

1 inci halia dihiris

5 biji cili merah dikisar

1/2 cawan cili kisar (cili kering yang dikisar)

1/2 cawan tomato puri

1 biji tomato dikisar

1/2 cawan sos cili

2 batang serai diketuk

1/4 cawan santan

Cara-cara:

1. Lumurkan ayam dengan garam dan kunyit. Goreng separa garing. Ketepikan.

2. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan cili kisar dan cili merah kisar dan tumis hingga pecah minyak.

3. Tambah 1/2 cawan air. Masukkan sos cili, tomato kisar dan tomato puri. masak seketika. Masukkan serai, santan, garam dan gula secukup rasa.

4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau sebati dan biar mendidih. Tutup api dan sedia dinikmati bersama nasi briyani.

Dalca Daging( Hidangan untuk 10 orang)

Bahan-bahan:

500 gm daging no.2 (daging campur)

1/2 cawan kacang dal direndam semalaman

5 sudu besar rempah kari

5 urat kacang panjang dipotong 1 1/2 inci

1 batang karot dipotong 1 inci panjang

1 batang terung dipotong sederhana

4 biji cili hijau dibelah 4

1 biji tomato didadu kecil

1 labu bawang besar dipotong dadu

3 ulas bawang putih dihiris

1/2 inci halia dihiris halus

1 batang kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih,2 biji buah pelaga

1 cawan santan

2 sudu besar sos tomato/ tomato puri

Cara-cara:

1. Rebus kacang dal hingga empuk. Toskan.Bahagi 2. Separuh dikisar halus dan separuh lagi dibiar begitu sahaja.

2. Panaskan 5 sudu besar minyak didalam periuk. Tumis bawang besar, halia, dan rempah campur hingga berbau wangi. Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak.

3. Tambahkan 1/2 cawan air. Masukkan daging. Kacau rata dan tutup periuk. Perlahankan api dan masak hingga daging empuk.

4. Apabila daging empuk, masukkan kacang dal, sayur-sayuran, sos tomato, tomato dadu dan cili hijau. Masukkan santan dan biar mendidih.

5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Apabila sayuran telah empuk, tutup api dan boleh dihidang.

***Daging boleh direbus empuk terlebih dahulu bagi menjimatkan masa memasak dalca.

Jelatah (Acar timun dan Nanas)- hidangan untuk 10 orang

2 biji timun dikupas kulit dan dihiris nipis

1/4 biji nanas dihiris kecil-kecil

2 biji cili merah dihiris serong

2 biji cili hijau dihiris serong

1 labu bawang besar dihiris nipis-nipis -melintang

3 sudu besar cuka

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan gaul rata.

Sambal Tempe

Disebabkan berkawan dengan ramai kawan-kawan berketurunan Jawa masa di UIA dulu, makan terjangkitlah juga sedikit sebanyak kesukaan terhadap tempe ni. Bukan sikit-sikit, kadang-kadang lebih daripada orang Jawa sendiri... Apa taknya, kalau goreng tempe untuk dibuat sambal, sebelum jadi sambalnya dah separuh mangkuk K.An 'belasah' macam tu je.. Memang sedap... rangup dan masin-masin. Ummmp..


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 peket tempe (dipotong nipis)
5 ulas bawang merah, 1/2 labu bawang besar dan
2 ulas bawang putih dikisar
segenggam ikan bilis yang telah dikopek
1 biji kentang dihiris nipis
1 cawan cili kisar
2 sudu besar air asam jawa
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Lumurkan tempe dengan garam dan kunyit. Renjiskan sedikit air agar garam dan kunyit sebati.

2. Goreng tempe, ikan bilis dan kentang berasingan hingga garing. Ketepikan.

3. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan tadi dan masukkan ke dalam periuk. Tumis bawang yang dikisar hingga wangi.

4. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Tambahkan sedikit air. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukupnya. Kacau hingga sambal pekat. Tutup api dan masukkan tempe, ikan bilis goreng dan kentang. Gaul rata dan sedia dihidang.

*** Lebihkan gula untuk sambal tempe berbanding sambal lain, bagi mengekalkan kerangupan bahan yang dicampur dan menaikkan rasa sambal.

Monday, January 5, 2009

15 minit menu... Masak Kicap Udang

Seperti yang K.An ceritakan terdahulu, di musim cuti sekolah yang lepas, rumah kami tak putus-putus dikunjungi tetamu yang datang bercuti dan juga datang kerana pelbagai urusan. Ada yang memang diketahui lebih awal kedatangannya dan ada juga yang lagi 30 minit nak sampai, barulah telefon... Tapi jangan risau, insyaAllah, kalau ada stok dalam peti ais, K.An akan usaha juga untuk menyediakan juadah pengalas perut...

Ada satu ketika, dalam 30 minit, K.An sempat sediakan hidangan makan malam untuk 4 orang tanpa bantuan abag Azam sebab dia tak ada di rumah... Cuma Asma' yang tolong jaga 'baby Maryam'. Yang penting jangan 'panik'.

5 minit pertama, K.An keluarkan bahan yang senang dimasak daripada peti ais- udang, santan, ikan tenggiri dah siap dipotong. Fikir menu; masak lemak cili api telur, ikan tenggiri goreng, masak kicap udang, ulam dan sambal budu.



K.An pilih udang dan ikan kerana dua bahan ni lebih cepat dinyahbekukan berbanding ayam dan mengambil masa yang singkat untuk dimasak. Yang utama ada kuah, ada pedas, ada lauk goreng dan ada sambal. K.An masak nasi menggunakan periuk tekanan dan mengambil masa cuma 10 minit...

Selepas 30 minit, tetamu sampai, K.An jamu nasi... dan tak sempat ambil gambar sebelum. Yang ada cuma selepas....

Di hari yang lain K.An masak semula masak kicap udang ni, semata-mata kerana nak berkongsi resepinya dengan pembaca semua...

Bahan-bahan:(hidangan untuk 3-5 orang)

500 gm udang harimau
1 labu bawang besar Holland dihiris membujur
1 biji cili merah dihiris serong
3 biji cili padi diketuk
2 urat daun bawang dipotong 1 inci
1/2 biji tomato dipotong 3
5 sudu besar kicap manis

Cara-cara:

1. Gaulkan udang dengan garam dan kunyit
2. Panaskan minyak, tumis bawang besar, cili merah, cili padi hingga layu.
3. Masukkan udang, kicap, tomato dan 1/2 cawan air.
4. Kacau rata. Biar 3 minit hingga udang masak. Taburkan daun bawang dan sedia dihidang.

** jika suka kuah banyak, tambahkan kicap, air dan sedikit garam.

Tiada Alasan...Telur Bistik

Tidak semua orang suka memasak sebab tugas memasak bermula dengan penyediaan bahan mentahnya. Ikan perlu disiang, ayam perlu dibersihkan dan dipotong, udang perlu dikopek kulitnya, daging perlu dihiris dan macam-macam lagi perlu dibuat. Belum lagi nak mengupas dan menghiris bawang... Pendek kata, memang perlukan kerajinan....

Tapi, bagi yang tak suka kerja-kerja 'busuk dan kotor'... masih boleh memasak pelbagai jenis menu menggunakan telur, sebab telur adalah bahan mentah yang senang diuruskan..Kalau nak dikira lebih 10 jenis masakan mudah boleh disediakan dengan menggunakan telur ayam, telur itik atau telur puyuh.
Yang penting RAJIN.. tanpa alasan.

Telur Bistik
Bahan-bahan: (hidangan untuk 2 orang)
1/2 labu bawang besar dihiris nipis membujur
3 biji telur
**campurkan bahan dan letak sedikit garam. Buat telur dadar seperti biasa. Ketepikan.
Bahan Kuahnya:
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
1/2 biji tomato didadu
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili 1 sudu teh sos ikan
2 sudu besar sayur campur dalam peket (karot, kacang peas dan jagung)
Cara-cara:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tomato. Masak hingga tomato hancur.
2. Masukkan sayur campur, sos cili dan sos ikan. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan 1 sudu teh gula dan masak hingga kuah pekat dan sayur empuk. Tutup api dan tuangkan kuah ke atas telur dadar.
Sedia dinikmati bersama nasi...
*** jika menggunakan sos ikan, tak perlu letak garam lagi kerana sos ikan dan telur dadar dah masin.

Selera anak-beranak.. Sotong masak Sos.

Yang ini memang senang dan cepat dimasak. Kalau ada tetamu terkejut-tergempaq datang, ada stok sotong, masak je dengan sos macam ni. Cepat dan sedap. Bahan-bahan: (Hidangan untuk 5 orang)

10 ekor sotong saiz sederhana besar( dipotong gelang kecil)
5 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar, tumis seketika. Masukkan sos cili, sos tomato dan sotong. Kacau rata dan tutup periuk.
3. Biarkan sotong mendidih lebih kurang 3 minit. Buka tutup periuk dan masukkan garam dan sedikit gula. Kacau hingga kuah agak pekat sedikit dan tutup api. Sedia dihidang bersama nasi.

Friday, January 2, 2009

Banjar Jua..Kalakatar

Air kelapa muda... semua orang tahu, tapi kalau 'kalakatar' cuma orang Banjar yang kenal dan tau kesedapannya.
Dulu-dulu, mak K.an selalu buat sebab arwah ayah suka air kelapa muda, suka kalakatar dan rajin kait kelapa muda kat pokok. Bila arwah ayah meninggal, dah takde yang rajin dan jaranglah kuih ni dibuat...
Bila keluar cerita kalakatar kat majalah 3 masa bulan puasa baru ni, terdetik di hati K.An, bagus juga kalau kongsi resepinya supaya tak hilang ditelan zaman. Kena pulak ceritanya di kampung K.An (Batu 5).. jadi elok sangatlah kalau resepinya datang dari situ juga.

Macam biasa kalau tanya mak, jawapannya agak-agak je. Jadi K.An dah cuba beberapa kali dan hasilnya kuih kalakatar yang telah di cop LULUS oleh Hajah Selamah..ibu tercinta.


Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang... tapi kalau K.an, sorang pun habis..hi..hih)
1 sudu besar tepung gandum
1 cawan tepung beras
3 cawan air kelapa muda -diambil daripada 1 biji kelapa muda)
5 sudu besar gula pasir
1 biji telur
isi kelapa muda yang diambil daripada 1 biji kelapa (seeloknya yang lembut) Kalau isinya agak keras, gunting kecil-kecil agar senang dipotong nanti
1/8 sudu teh garam

Cara-cara:

1. Panaskan oven pada suhu 200 darjah Celsius. Gunakan api atas dan bawah.
2. Masukkan gula dan telur ke dalam mangkuk. Pukul hingga gula hancur.
3. Masukkan tepung beras, tepung gandum dan air kelapa berselang-seli sambil digaul menggunakan pemukul.
4. Masukkan garam dan kacau rata.
5. Lengserkan loyang dengan margerin. Tuang adunan ke dalam loyang dan masukkan ke dalam oven. (Letakkan di rak kedua daripada bawah)
6. Selepas 15 minit keluarkan loyang dan kacau rata adunan untuk mengelakkan tepung mendap ke bawah. Taburkan isi kelapa muda di atas adunan dan masukkan semula ke dalam oven.
7. Masak lebih kurang 1 jam atau sehingga kuih nampak keperangan di bahagian atas seperti di dalam gambar.
8. Setelah masak, keluarkan kuih dan sejukkan sebentar sebelum dipotong dan dihidang.

Rendang Hati

Rendang hati ni K.An masak lepas Hari Raya Korban hari tu sebab dapat bekalan daripada mak mertua yang menunaikan ibadah Korban. Selain masak Goreng kunyit, dan sambal, hati juga sedap dibuat rendang. Boleh dimakan dengan nasi, lemang atau ketupat nasi.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

300 gm hati lembu- dihiris nipis

1/2 cawan cili kisar

2 sudu besar kerisik

1 cawan santan pekat

1 helai daun kunyit dihiris halus

Bahn dikisar:

7 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

2 batang serai dititik

1/2 inci halia

1/2 inci lengkuas

cara-cara:

1. Lumurkan hati dengan garam dan kunyit. Goreng separa garing. Ketepikan.

2. Masurkan semua bahan kisar, santan dan cili ke dalam kuali. Masak sambil dikacau hingga mendidih dan pecah minyak.

3. Masukkan hati, garam, gula dan kerisik. Kacau hingga rendang pekat. Taburkan daun kunyit dan tutup api.