Thursday, May 17, 2012
Nasi Kuning, Rendang Ayam
Rindunya tak terkata pada semua rakan-rakan, kaum kerabat, saudara-mara pengunjung Periuktanah... Dah lebih 3 bulan K.An tak bersiaran disebabkan padatnya jadual memasak setiap hari. K.An tak ke mana pun... di dapur menyiapkan menu harian tadika dan selanjutnya menjalankan tugas penghantaran pagi, tengahari dan petang. Memang tak bernafas rasanya.... apa lagi nak mengadap lap-top dan bersantai-santai macam dulu-dulu. Jauh lagi nak melawat dapur kawan-kawan....
Banyak yang nak diceritakan, tapi K.An tangguhkan dulu bagi memberi laluan kepada menu kita hari ini. Ringkas tapi menyelerakan...
Nasi Kuning ni amat sesuai untuk mereka yang tak tahan perut kalau makan pulut banyak-banyak, tapi suka dengan rasa pulut kuning. Sebabnya, nasi kuning ni, sekali pandang dan sekali jamah, saling tak tumpah dengan rasa pulut kuning. Anak-anak K.An yang kecik dua orang tu pun masih tak percaya bila K.An kata ...ini nasi, bukan pulut.... Ahh.. tak kisahlah, asalkan mereka tetap gemarkannya...
Dalam tempoh 3 bulan, dah 3 kali K.An masak nasi kuning ni sebab K.An letakkan dalam menu tadika. Budak-budak memang suka.. tambahan pula dipadankan dengan rendang ayam ataupun daging... Kalau nak tahu, bolehlah cuba sendiri..
Bahan-bahan Nasi:
(Hidangan untuk 5 orang dewasa)
2 cawan beras super 5%
1/4 sudu teh serbuk kunyit- ikut jenis kunyit juga, ada yang kuning, ada yang tidak.. (pandai-pandai 'adjust' ye)
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1/2 sm halia diketuk
5 biji buah pelaga- untuk menghasilkan bau harum nasi
1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih dan 1 inci kecil kulit kayu manis
3 1/2 cawan air biasa
1 sudu teh garam
1 helai daun pandan- dicarik dan disimpul
Cara membuatnya:
1. Letakkan periuk nasi di atas dapur gas. Masukkan minyak dan panaskan. Tumis bawang, halia dan rempah ratus hingga wangi.
2. Masukkan daun pandan dan beras dan goreng beras sambil dikacau selama 2 minit.
3. Angkat periuk dan alihkan ke punca elektrik. Masukkan air, garam dan kunyit ke dalam periuk nasi. Kacau sedikit dan masak nasi seperti biasa sehingga masak.
Rendang Ayam
1/2 ekor ayam anggaran 1 kg- bersihkan dan potong kecil
2 cawan santan pekat- 1 cawan pati santan dicampur 1 cawan air (boleh tambah jika ingin kuah yang lebih banyak)
1 sudu besar kerisik
***3 tangkai cili merah dan 3 tangkai cili padi akar(ikut citarasa kepedasan)
***5 ulas bawang merah, 1 sm halia, 1 sm lengkuas, 2 tangkai serai dihiris nipis, 1/4 sm kunyit hidup
kisar bahan bertanda *** hingga halus
daun kunyit dan sedikit daun limau purut diracik halus
garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:
1. Masukkan ayam dan semua bahan kisar ke dalam kuali. Masukkan santan dan hidupkan api. Biar santan mendidih barulah kacau rendang sekali-sekala. Gunakan api sederhana. Masukkan sedikit garam dan gula.
2. Kacau rendang sehingga kuah menjadi pekat dan pecah minyak. Masukkan kerisik dan gaul rata. Tambah garam atau gula jika perlu. Akhir sekali taburkan daun kunyit dan daun limau purut. Gaul sebati dan matikan api. Sedia dihidang bersama nasi kuning. Jika suka ada rasa masam-masam dalam hidangan, bolehlah tambah acar buah, atau jelatah atau pajeri nanas... pasti tidak mengecewakan.
*** Kalau ada tetamu yang datang terkejut tergempar, bolehlah cuba menu ni, sebab bahannya mudah dan selalunya ada di dalam simpanan kita.
Selamat mencuba!!
Thursday, October 13, 2011
Nasi Arab dan Ayam Kabsa.. jamu Fizah dan keluarga
Bersama-sama nasi dan ayam, K.An juga buatkan Salata dan Salad Kentang. Resepi salad Kentang di N3 akan datang ye... InsyaAllah.
Nasi seperti ini K.An masakkan juga untuk Adik K.AN- Nida dan Keluarga dan sepupu K.An, Nazirah dan keluarga yang datang mengejut juga di hujung minggu akhir Syawal...Cuma kali ni K.An buatkan nasi Arab seperti dihidangkan di Restoran, ayam dimasak sekali bersama nasi sebab lebih cepat dan mudah...alhamdulillah... kenyang perut dan semua suka hati...
Saturday, July 24, 2010
Nasi Dagang Terengganu dan Gulai Ikan Tongkol


Sunday, June 13, 2010
Nasi Jagung Sesuci Lebaran

Saturday, April 24, 2010
Nasi Arab


Tuesday, March 23, 2010
Nasi Daging

Thursday, December 10, 2009
Nasi Ayam 2


Wednesday, November 18, 2009
Nasi Minyak Hujan Panas dan Ayam Masak Merah (resepi II)

Friday, November 13, 2009
Harumnya Nasi Lemak Pandan

Saturday, October 24, 2009
Nasi Antara Benua


Friday, July 31, 2009
Beriyani Darat Johor


Tuesday, May 26, 2009
Mari-mari... Nasi Lemak Sardin Panaaas..!


Gerai ini kemudian diwarisi anak beliau yang juga telah meninggal dunia iaitu arwah Shukor.. dan sekarang gerai tersebut diuruskan oleh isteri arwah dan ahli keluarga mereka yang lain,telah berpindah di tapak pekan Rabu juga di Batu 5 kerana pertambahan pelanggan dan suasana kedai yang lebih selesa.
Zaman K.An sekolah dulu, harga nasi lemak sardin ni cuma 30 sen dan sekarang 50 sen, tetapi yang penting rasanya tetap sama..sedaap.
Tapi yang dalam gambar tu, K.An punya nasi lemak ye... walaupun tak sama 100% tapi bila dibungkus dalam daun pisang, tak kurang enaknya..alhamdulillah..
Resepi sambal sardin ni dah pernah K.An siarkan, tapi khusus untuk nasi lemak bungkus ni, K.An tulis sekali lagi untuk kemudahan semua.
Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 pinggan)
1 tin besar sardin (KingCup atau Ayam Brand)
3-5 biji cili padi diketuk
5 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih dikisar halus
3-5 ulas bawang merah dihiris (dimayang)
1 cawan cili kisar
1 labu bawang besar dihiris gelang
Cara membuatnya:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah hiris hingga wangi dan keperangan. Masukkan bawang kisar, cili padi dan tumis seketika. Masukkan pula cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana agar cili tidak hangus.
2. Masukkan sos tomato dalam tin sardin. Gaul rata dan tumis lagi. Tambahkan 1/4 cawan air. Masukkan ikan sardin dan bawang besar. Didihkan dan tambah garam, gula secukupnya. Padamkan api apabila cukup rasa. Sedia dihidang bersama nasi lemak.
Cara membuat nasi lemak:
3 cawan beras super 5% dibasuh dan toskan
5 1/2 cawan santan daripada 1 biji kelapa
1 inci halia diketuk
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul
2 sudu teh garam
1 sudu teh jintan putih dan jintan manis biji(dicampur)
Cara memasak:
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.
***apabila nasi masak hidangkan di dalam pinggan berlapik daun pisang kerana aroma daun pisang menyedapkan lagi rasa nasi lemak.
Wednesday, May 6, 2009
Nasi Dagang
Dari umur 7 tahun sampai sekarang, dok ingat lagu tu.. masa dulu-dulu, tak tahu pun camna rupa dan rasa nasi dagang ni. Bila masuk universiti, campur dengan ramai kawan dari Kelantan, siap berniaga lagi masa konvo atau 'open day'... maka, bukan setakat tahu, tapi sangaaat menggemarinya.
Teringat lagi masa di Matrik UIA Lembah Pantai, diketuai K.Ana (Kelantan) yang pandai masak, kami bergotong-royong menyediakan nasi Kerabu dan Nasi Dagang untuk dijual di gerai kolej sempena 'Open-Day' Memang kagum dengan orang Kelantan yang cekap masak dalam kuantiti yang banyak. Masa tu K.Ana kukus nasi Dagang ni ikut cara orang Kelantan masak.
Tapi K.An tak sempat nak kukus... haa tanak je macam nasi biasa...
Masa belajar dulu-dulu, K.An tak boleh sarapan dengan nasi dagang. Sebabnya.... kalau tak, lepas tu bukannya nak dengar kuliah pensyarah.. tapi zzzz... lemak campur pulut campur santan... memang melayukan mata...
Baru-baru ni kami 'ter' singgah ke satu restoran kopitiam kegemaran kami di Bandar Baru Bangi.. dan 'terorder' nasi dagangnya... mak oii..! sedapnya sampai minta tambah kuah gulainya. Rasa macam tak puas makan sebab kongsi je dengan A. azam.. (taknak makan banyak lepas pukul 10 malam..he..heh)
Esoknya, pergi pasar, terjumpa beras nasi dagang dan rempahnya sekali... pucuk dicita ulam mendatanglah.. Jom masak sendiri nasi dagang..
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)
Bahan untuk nasi:
2 cawan beras nasi dagang
3 cawan santan sederhana pekat
3 ulas bawang merah dihiris
1/4 sudu teh halba biji
sedikit halia dihiris halus
garam secukupnya (1 1/2 sudu teh/=)
Cara membuatnya:
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.
Bahan untuk gulai:
1 ekor ikan tongkol-dibersihkan dan dipotong kecil
3 sudu besar rempah gulai nasi dagang
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
2 sudu besar cili kisar
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dimayang
1. Rebus ikan tongkol bersama asam keping selama 20 minit. Ketepikan.
3. Tumis hingga pecah minyak. Kemuadian masukkan ikan tongkol dengan 1/2 cawan air rebusannya. Didihkan.
5. Masukkan santan pekat, garam dan gula secukupnya. Apabila mendidih, padamkan api dan boleh dihidang bersama nasi dagang dan acar timun.
Wednesday, January 21, 2009
Citarasa semua... Nasi Ayam
Nasi ayam adalah antara resepi terawal yang K.An pelajari bukan daripada mak. Masa tu K.An belajar di Pusat Matrikulasi UIA dan belum ada adik-beradik lain yang tinggal di Kuala Lumpur. Yang ada emak dan bapa saudara pupu (sepupu)- anak kepada arwah Toksu K.An. Salah seorangnya, Makcik Arbaayah yang tinggal di Selayang Baru, dekat dengan Pasar Borong Selayang. Memandangkan senang dapat bas ke sana, di hujung minggu kalau tak ada program luar, K.An akan naik bas dekat Bankok Bank menuju ke Selayang Baru.
Di kesempatan hujung minggu tulah K.An belajar masak nasi ayam yang belum pernah dipelajari di kampung sebab dulu-dulu tak ada orang kat kampung yang tahu buat nasi ayam. (nasi ayam datang daripada pengaruh masyarakat cina di bandar). Alhamdulillah sejak tahu resepinya, dapatlah K.An sesekali pulang ke kampung, K.An masak untuk mak, arwah ayah dan keluarga.
Dalam tempoh hampir 20 tahun, pelbagai nasi ayam telah K.An jamah. Antara yang paling K.An ingat kesedapannya:
Nasi ayam kat medan selera seksyen 11 S.Alam- sosnya sedap
Nasi ayam dan nasi goreng ayam melaka di medan selera seksyen 14 P.Jaya- dulu-dulu selalu ulang beli
Nasi ayam di medan selera Tesco Saujana Impian - ada bau daun ketumbar-sedap
Nasi ayam Rasamas (dulunya Ayamas) -ayam 'black-pepper')dan sosnya sedap juga
dan yang terbaru K.An rasa nasi ayam Chef Sabri di Seri Teja presint 9.. lain sebab ada sos black-pepper.
Walau apapun, yang asas tetap sama; ayam, sup, sos, kicap dan ulam-ulamannya:
Resepi ni adalah yang pertama K.An belajar dan tak banyak diubah...

Bahan-bahannya: (untuk hidangan 5 orang/ 5 pinggan)
A) sup
1/2 ekor ayam-dibersihkan- direbus hingga empuk bersama 1 bungkus sup bunjut adabi dan 10 cawan air. Letakkan garam secukup rasa.Ketepikan dulu.
5 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1 inci halia dihiris halus
2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih dan 3 biji buah pelaga
5 sudu besar marjerin
daun sup dan bawang secukupnya
Cara-caranya:
1. Masukkan margerin ke dalam kuali. Tumis bawang dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan.
2. Bahagi dua bahan yang ditumis tadi. Satu bahagian bersama minyaknya dimasukkan ke dalam periuk nasi. Satu bahagian lagi dituang ke dalam sup ayam tadi.
Nasi:
1. Cuci 2 1/2 cawan beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk berisi bahan tumisan. Masukkan 5 cawan air sup dan masak nasi seperti biasa. Kalau suka nasi yang berwarna kuning, tambahkan sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk nasi.
Ayam:
1.Keluarkan ayam daripada sup dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan 1/2 cawan sup ke dalam mangkuk.Tuangkan kicap manis secukupnya. Terbalikkan ayam agar kicap rata. Perap 15 minit.
2. Selepas 15 minit, keluarkan ayam dan goreng dalam minyak banyak. Asingkan kicap dan masukkan ke dalam mangkuk lain untuk dihidang bersama nasi nanti. Goreng sebentar sahaja (sehingga nampak ayam berkilat) bagi mengelakkan ayam keras.
3. Angkat ayam dan potong 5 bahagian.
***boleh ditambah madu atau lada hitam yang ditumbuk semasa proses memerap ayam untuk kelainan rasa
Sos:
Masukkan 3 sudu besar sos cili, 1/2 biji tomato, 2 biji cili merah, 1 biji cili padi dan 1/2 cawan air ke dalam pengisar. Kisar bahan hingga hancur dan sebati. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk. Tambah garam dan gula secukup rasa. (jika suka rasa bawang putih, masukkan 1 ulas kecil bawang putih semasa mengisar)
Akhir sekali panaskan sup dan taburkan daun sup dan bawang sebelum dihidang. Sediakan ulaman seperti timun, salad dan tomato.
Tuesday, January 6, 2009
Nasi Briyani, Ayam Masak Merah, Daging Masak Merah berempah Ala Utara, Jelatah dan Dalca Daging
K.An tak pakar masak nasi briyani, setakat boleh saja.. tapi kalau nak makan yang betul-betul sedap K.An dan abang Azam akan pergi cari yang memang tersohor dengan nasi briyani. Contohnya, Restoran Anje Briyani Gam Johor (memang masuk senarai kami) di Bangi atau Presint 9 dan JM Briyani Gam di Shah Alam...(dah ada kat Alamanda juga rupanya)
Jadinya kalau nak resepi nasi briyani, K.An ikut yang tertera di peket rempah briyani je. Nasi briyani yang ada kat gambar di bawah ni pun K.An ikut resepi pada peket Rempah Briyani Faiza. Alhamdulillah.. sedap.
Di daerah sebelah utara, kalau ada majlis kenduri kahwin , daging masak merah kami adalah yang berempah dan banyak kuah. Memang enak dimakan dengan nasi minyak, nasi tomato atau nasi briyani. Ada dua cara memasaknya, samada menggunakan rempah kurma ataupun mencampur sendiri serbuk jintan putih, serbuk jintan manis, serbuk ketumbar dan kas-kas.
Kalau 10 tahun lepas, di kampung-kampung, rempah-rempah ni digiling sendiri menggunakan batu penggiling dan hasilnya memang tak terbanding... asli. Daging Masak Merah Berempah Ala Utara (Hidangan untuk 10 orang)
Bahan-Bahan:
A)
1 kg daging dipotong nipis sederhana besar- basuh dan toskan
5 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1 inci halia dihiris halus
2 labu bawang besar dipotong melintang berbentuk gelang (onion ring)
B)
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
C) 5 sudu besar rempah kurma ayam dan daging
1/2 cawan tomato puri (atau sos tomato)
1/2 cawan sos cili
segenggam badam dibuang kulit dan ditumbuk halus
1 sudu teh serbuk kas-kas (kalau tak ada pun tak apa)
3 biji cili merah dibelah 4
Cara-cara:
1. Masukkan daging ke dalam mangkuk. Campurkan rempah kurma, sos cili dan tomato puri dan sedikit air. Gaul rata. Perap 15 minit.
2. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah campur (B) hingga bawang keperangan dan wangi.
3. Masukkan daging beserta rempah yang diperap tadi. (kesemuanya) Tutup periuk dan perlahankan api. Masak hingga daging empuk.
4. Apabila daging empuk, tambahkan sedikit air. Masukkan badam,serbuk kas-kas, bawang besar yang dihiris cili merah, garam dan gula. Gaul rata dan biar bawang layu.
5. Apabila kuah pekat dan pecah minyak, tutup api.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam dipotong 10
1 labu bawang besar holland dikisar
10 ulas bawang merah dan 5 ulas bawang putih dikisar
1 inci halia dihiris
5 biji cili merah dikisar
1/2 cawan cili kisar (cili kering yang dikisar)
1/2 cawan tomato puri
1 biji tomato dikisar
1/2 cawan sos cili
2 batang serai diketuk
1/4 cawan santan
Cara-cara:
1. Lumurkan ayam dengan garam dan kunyit. Goreng separa garing. Ketepikan.
2. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan cili kisar dan cili merah kisar dan tumis hingga pecah minyak.
3. Tambah 1/2 cawan air. Masukkan sos cili, tomato kisar dan tomato puri. masak seketika. Masukkan serai, santan, garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau sebati dan biar mendidih. Tutup api dan sedia dinikmati bersama nasi briyani.
Dalca Daging( Hidangan untuk 10 orang)
Bahan-bahan:
500 gm daging no.2 (daging campur)
1/2 cawan kacang dal direndam semalaman
5 sudu besar rempah kari
5 urat kacang panjang dipotong 1 1/2 inci
1 batang karot dipotong 1 inci panjang
1 batang terung dipotong sederhana
4 biji cili hijau dibelah 4
1 biji tomato didadu kecil
1 labu bawang besar dipotong dadu
3 ulas bawang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih,2 biji buah pelaga
1 cawan santan
2 sudu besar sos tomato/ tomato puri
Cara-cara:
1. Rebus kacang dal hingga empuk. Toskan.Bahagi 2. Separuh dikisar halus dan separuh lagi dibiar begitu sahaja.
2. Panaskan 5 sudu besar minyak didalam periuk. Tumis bawang besar, halia, dan rempah campur hingga berbau wangi. Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak.
3. Tambahkan 1/2 cawan air. Masukkan daging. Kacau rata dan tutup periuk. Perlahankan api dan masak hingga daging empuk.
4. Apabila daging empuk, masukkan kacang dal, sayur-sayuran, sos tomato, tomato dadu dan cili hijau. Masukkan santan dan biar mendidih.
5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Apabila sayuran telah empuk, tutup api dan boleh dihidang.
***Daging boleh direbus empuk terlebih dahulu bagi menjimatkan masa memasak dalca.
Jelatah (Acar timun dan Nanas)- hidangan untuk 10 orang
2 biji timun dikupas kulit dan dihiris nipis
1/4 biji nanas dihiris kecil-kecil
2 biji cili merah dihiris serong
2 biji cili hijau dihiris serong
1 labu bawang besar dihiris nipis-nipis -melintang
3 sudu besar cuka
garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan gaul rata.
Wednesday, December 17, 2008
Nasi Goreng Cina dan Pattaya
Bahan-bahan:
1 mangkuk nasi sejuk
1/2 cawan isi ayam dipotong kecil
3 ulas bawang putih dan 2 ulas bawang merah ditumbuk kasar
3 biji cili api diketuk
1 urat kacang panjang dihiris halus
1/2 batang karot dipotong halus
3 ekor udang harimau dibersihkan
1/4 kiub ikan bilis Knorr
1 sudu kecil serbuk lada putih
2 biji telur
garam secukup rasa
Cara-cara:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak di dalam kuali. Goreng isi ayam hingga wangi dan keperangan.
2. Jangan angkat ayam, terus masukkan bawang dan cili padi. Goreng lagi hingga wangi.
3. Masukkan udang dan sayuran. Tambah 1/4 cawan air dan biar mendidih hingga sayur layu.
4. Masukkan 1/4 kiub ikan bilis, garam dan telur. Kacau sedikit. Masukkan telur,biar 1 minit baru dikacau. Masukkan nasi dan serbuk lada putih. Kacau rata nasi.
5. Rasa nasi goreng, jika belum cukup masin, tambahkan garam dan gaul lagi hingga sebati. Tutup api dan sedia dihidang.
6. Jika ingin membuat nasi pattaya, gunakan kaedah sama seperti membuat telur bungkus.. (rujuk resepi ayam masak merah dan telur bungkus) Formulanya, 3 biji telur untuk 2 hidangan nasi pattaya.
Sementelah buat nasi goreng ni, K.An nak cerita pengalaman kami makan di Bukit Fraser.. Malam Sabtu lepas, di tengah kedinginan grrr... Bukit Fraser, kami membelah malam menuju ke ala..ala medan selera kat sana. Tak banyak pilihan. Ada 5 kedai makan termasuk 1 yang tak beroperasi. Pengunjungnya ramai, tapi, nak tak nak kami pilih satu gerai yang menyajikan masakan panas ala Thai dan sebelahnya ada kedai roti canai. K.An 'order' nasi goreng kampung, iqbal-nasi goreng daging merah dan asma'- nasi goreng ikan masin. Abang Azam 'order' 'yee mee hot-plate'.
Tunggu punya tunggu... kaki dah menggigil baru sampai air dan lama kemudian baru sampai nasi goreng yang pertama. Semua kata nasi goreng kampung kot sebab warnanya tak macam nasi goreng ikan masin.. jadi, K.An makanlah..
Dah 4,5 sudu rasanya macam nasi goreng ikan masin. Kuis-kuis, memang jumpa ikan masin dua-tiga ketul. K.An kata yelah ni, nasi Asma' ni... K.An 'pass' kat dia balik.
Seketika kemudian sampai satu lagi nasi goreng, yang ini kenal sebab ada daging merah. K.An rasa sesudu. Sama rasa dengan nasi asma', cuma takde ikan masin dan yang ini dimakan dengan daging merah... Lama pulak kemudian datang nasi K.An dan mee A.Azam. Nasib baikla nasi goreng kampungnya lain rasa daripada yang dua tadi.. Ada Rasa nasi goreng Kampung. Mee A.Azam.. Pangkah... Macam yee mee dicelur dan dituang 1/2 cawan sos tiram dan kicap... tak sedap, tapi A.Azam tala je.. xnak membazir.
Jadinya.. kami rasa, tukang masak kedai ni cuma sempat belajar masak nasi goreng kampung je.. Lepas tu dia terus bukak restoran dan masak ikut suka asal ada warna dan rasa lain..
Lepas bayar, A.Azam 'order' pulak 2 benjo dan 2 burger daging kat gerai burger sebab tak puas hati makan kat gerai tadi...he..heh
Pengajarannya, kalau buat nasi goreng, biar jelas namanya... walaupun main campak je bahannya, tapi nak jual kat orang, biar betul-betul.. kalau tak, alamat sekali jelah orang makan kat gerai kita... lepas tu..Pangkah..
Sunday, November 30, 2008
Nasi Lemak Telur Mata

***untuk makan 6 orang
2 cawan beras dibasuh dan ditoskan
4 cawan santan (kalau suka nasi yang peroi, kurangkan 1/4 cawan)
1 helai daun pandan dicarik dan diikat
1 inci halia diketuk
2 sudu teh garam
sedikit jintan putih dan jintan manis
Campurkan kesemuanya di dalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila dah masak gaul dengan senduk agar santan sekata.
Sambal ikan bilis.
1 cawan ikan bilis yang telah dikopek dibasuh dan toskan
5 ulas bawang merah dan 1/2 labu bawang besar dikisar
3 ulas bawang putih ditumbuk atau kisar bersama bawang merah
3 cawan cili kisar/ cili boh
3 sudu besar air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar dihiris membujur
Cara-cara:
1. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis menggunakan api perlahan hingga ikan garing. Angkat dan ketepikan.
2. Ambil 5 sudu besar minyak gorengan ikan bilis tadi dan panaskan di dalam periuk. Tumis bawang kisar hingga wangi. (5 minit+/-)
3. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak. Tambah sedikit air jika terlalu pekat dan sambal belum pecah minyak. Kacau selalu.
4. Masukkan air asam jawa, bawang hiris, garam dan gula. Masak hingga sambal pekat.
5. Buangkan lebihan minyak sebelum dicedok untuk dimakan bersama nasi lemak dan ikan bilis goreng dan telur mata kerbau. (***kurangkan minyak dalam masakan...)

Sunday, November 16, 2008
Maqluba @ Maqlubah -Gabungan citarasa Arab-Melayu
Dua tiga hari ni, internet kat rumah 'problem' sikit. Kejap-kejap 'disconnect'.. 'Tension' jugak sebab tengah sedap taip resepi, tiba-tiba hilang.. termasukla resepi maqluba ni. Sebenarnya K.An dah taip berkajang-kajang(he..heh) tiba-tiba hilang. Apa lagi, K.An tangguhkan le dulu sebab banyak kerja lain nak buat.
Maqlubah dan Salata: (Nasi ni tak sama rasanya dengan nasi ayam, nasi beriyani, nasi tomato atau mana-mana nasi goreng sebab kesedapannya terhasil daripada air ayam dan sayur-sayuran yang dimasak bersama)
Nasi ni menjadi hidangan istimewa kami sekeluarga sebab tak dapat di tempat lain termasuk di kedai-kedai yang menghidangkan masakan Arab. Sebabnya, resepi asalnya K.An dah ubahsuai mengikut citarasa Malaysia. Abang Azam yang memperkenalkannya kepada K.An seawal perkahwinan kami.. Dia dapat dari Jordan semasa dia belajar di sana dulu-dulu. Bila mula-mula rasa, memang sedap.. tapi K.An rasa ada yang perlu ditambah agar lebih...laju lagi masa makan.
Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya K.an menghasilkan resepi maqluba edisi K.AN. Ini pun dah lebih 10 tahun kami simpan.. bukannya apa, tak ada orang yang mintak sebab nampak macam susah.. Adik-beradik dan saudara-mara pun, kalau nak makan, suruh A.Azam atau K.An yang masak.
Jadi di sini K.An perturunkan resepi ni sebagai sebahagian amal jariah kami.. Selamat mencuba sebab memang sedap dan kalau K.An masak untuk keluarga, terpaksa 'double' sukatan daripada nasi biasa..
*** kalau tak sempat habis ada masalah internet la ni..
Bahan-bahan: (untuk makan 10 orang)
(A)
1 ekor ayam dipotong 10
4 cawan beras super 5%
(B)
Rempah dibancuh dengan secawan air:
6 sudu besar serbuk ketumbar Babas
2 sudu besar rempah kari ayam/daging
1 sudu besar rempah sup Adabi(serbuk)
12 cawan air biasa
(C)
Sayur-sayuran:
2 batang lobak merah dibelah empat dipotong panjang 1 inci
2 batang terung panjang dibelah dua dan potong 1 inci(jangan kupas)
2 biji kentang dikupas kulit dipotong 8
bunga kobis dipotong sederhana besarnya
***Goreng semua sayuran berasingan dalam minyak baru yang banyak hingga keperangan.Angkat dan ketepikan dulu.
Bahan Salata (Salad)
2 biji timun dipotong dadu kecil
3 biji tomato dipotong dadu kecil sama saiz dengan timun
5 sudu besar cuka
garam,gula secukup rasa
**** campurkan semua, gaul dan sejukkan dalam peti ais
Untuk ditumis:
5 ulas bawang merah dimayang
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 kuntum buah pelaga
Cara-cara memasak ayam:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk besar. Tumiskan bahan tumisan hingga wangi dan keperangan.
2.Masukkan rempah. Rempah hendaklah dikacau sentiasa agar tidak hangus dan tambahkan sedikit air jika perlu. Tumiskan hingga pecah minyak
3.Masukkan 12 cawan air ke dalam periuk. Masukkan ayam. Masak hingga mendidih dan ayam masak.
4. Masukkan garam secukupnya. Didihkan lagi dan tutup api.
Cara memasak nasi:
!. Basuh beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk nasi. Masukkan ketulan ayam. Susun di atas nasi. Taburkan sayuran di atas ayam.
2.Masukkan 8 cawan air rebusan ayam tadi ke dalam periuk nasi. (Kacau dahulu air rebusan setiap kali menceduk agar rempah tidak mendap)
***kurangkan 1/2 cawan air jika beras jenis lembek
3. Masak nasi seperti biasa hingga masak.
Sementara tu masak semula lebihan air rebusan untuk dijadikan sup. tambah secawan air dan sedikit lagi garam. Didihkan. Taburkan daun sup dan bawang.
Bahan Sos: 5 biji cili merah. 2 biji cili padi. 1 biji tomato. 1/2 cawan sos cili. 1/2 cawan air.
Masukkan kesemuanya ke dalam pengisar dan kisar sampai hancur. Keluarkan dan tambah garam, gula secukupnya. Lebihkan rasa manis untuk sos yang sedap.
Apabila semuanya siap, hidangkan bersama salata, sup dan sos seperti di dalam gambar. Memang menyelerakan. tak percaya, rasalah sendiri. Mula-mula masak, memang nampak susah dan renyah, tapi bila dah selalu buat, senang dan tak payah pening kepala fikir lauk apa nak masak.. Tapi kalau malas juga, 'order' je kat K.An... Sentiasa sedia berkhidmat.. He..heh
Alhamdulillah, berjaya juga disiapkan resepi ni.. lepas ni nak me'ngeteh' ngan A.Azam dan anak-anak kat kedai mamak.