Tuesday, October 18, 2011

Kek Karamel... demam berjangkit...

Salam Sejahtera semua... moga semuanya sihat walafiat dan dapat menikmati kehidupan dengan baik pada hari ini dan hari-hari seterusnya... Jom kita layan gambar kek Karamel ni dulu sementara K.An taipkan resepinya...

Demam kek Karamel melanda kembali  setelah lama menyepi...





Seingat K.An, kali pertama tengok kek ni  dalam setahun lepas.. Masa tu kawan K.An masa di UIA dulu, Shahrina Sharkawi buat kek ni bersama anak-anaknya... Dia masukkan gambar aktiviti mereka dalam facebook.. memang menarik.. lepas tu, K.An tengok sorang kawan K.An yang 'terer' masak aneka kek ni, Noni aka Paraparasakura masukkan step-by-step cara buat kek karamel, juga dalam facebook. Almaklum masa tu sibuk sarat mengandunglah... bersalinlah... jaga anaklah... maka K.An tangguhkan hasrat nak mencuba kek karamel ni walaupun hati meronta-ronta nak rasa kesedapannya ... (seperti bualan ramai tu..)

Beberapa hari lepas ketika berjalan-jalan ke dapur rakan-rakan blogger masak-masak... terpandanglah kek Karamel di dapur Cik Manggis... jiran sepelaung di Putrajaya ni..hihihih...( kak CM sibuk ye sekarang ni..) Kalaulah kak CM boleh buat, takkanlah  K.An yang pangkat adik daripada Kak CM ni tak ambik inisiatif membuatnya... hmmm.. sedut tenaga dan semangat daripada Kak CM...

Rupa-rupanya demam kek karamel berjangkit lagi.. ramai lagi rakan-rakan blogger yang tayang kek karamel di dapur masing-masing.. memang macam ni selalunya.. kalau demam roti, semua meroti.. kena demam kek lapis..ramai-ramai pakat melapis.. Itu bagusnya blogger ni.. selalu praktis, makin mahirlah jadinya..

Diriwayatkan resepi  Kek Karamel ni adalah daripada Puan Munira Baharom... (k.an tak ada linknya).. telah dicuba ramai orang dan ada yang telah diubahsuai sedikit sebanyak juga, mengikut tangan pembuatnya.. Resepi yang K.An kongsi ni, K.An petik daripada blog Diana  ....boleh jenguk juga dapur Kak Ummi Kuantan atau dapur Ita  ..semua keknya cantik-cantik belaka.. Terima kasih semua sebab, Kek Karamel K.An menjadi dengan elok walaupun pertama kali mencuba... anak-anak mintak buat lagi dan lagi..


Bahan-bahannya:

I)   karamel- 3 sudu besar gula pasir halus atau gula kastor. (boleh tambah jika suka banyak) Taburkan di dalam loyang berukuran 8 inci. Hidupkan api dapur perlahan dan Letakkan loyang.

Biarkan gula cair dan bertukar perang. Goyang/ gelekkan loyang kekiri -kanan agar karamel rata di permukaan. Ketepikan dan sejukkan

Sediakan Bahan II)

Puding Karamel

1/2 tin susu cair
70 gm gula kastor
1/2 sudu teh esen vanilla
3 biji kuning telur

***Masukkan semua bahan di dalam mangkuk. Kacau dengan whisk hingga gula larut dan semua sebati. Ketepikan sebentar.

Bahan III)   Kek Span:

A)   3 biji kuning telur
    135 ml air
    45 ml minyak masak
    70 gm gula kastor

B)    140 gm tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powder

Pukul bahan A hingga kembang. Masukkan B dan kacau rata.

Bahan III-meringue

6 biji putih telur    (diasingkan daripada telur puding dan bahan A)
1 sudu teh cream of tartar- dapatkan daripada kedai bahan-bahan kek
70 gm gula kastor

***pastikan semua peralatan betul-betul kering. Masukkan putih telur ke dalam mangkuk. Pukul dengan kelajuan tinggin hingga gebu. Masukkan gula dan cream of tartar sedikit demi sedikit dan putar lagi hingga kental. Jika diterbalikkan mangkuk,   meringue tidak jatuh.

*** Tips K.An: jika meringue tidak kental kesemuanya (tidak melekat pada mangkuk jika disengetkan) anda jangan panik. Ini disebabkan masih ada kandungan air yang berlebihan dalam putih telur. Jadi caranya, cedok putih telur  yang kental sahaja dan dimasukkan ke dalam adunan kek. Buangkan baki air yang tertinggal. Jika tidak, kek akan bantat atau tidak naik gebu.

Cara menyediakan kek Karamel.

1. Sediakan oven dan loyang besar berisi air mendidih kerana kita akan memasak kek menggunakan teknik steam-bath. Panaskan oven pada suhu 170 darjah celsius api bawah sahaja. (untuk lebih jelas boleh rujuk dapur Diana atau Ita)

2.Tapiskan adunan puding karamel ke dalam loyang. Tak perlu masak dulu kerana puding dimasak sekaligus bersama kek.

3. Masukkan 1/3 meringue ke dalam adunan kek (B). Kaup-balikkan menggunakan senduk agar rata. Masukkan baki meringue dan gaul adunan kek perlahan-lahan hingga sebati.  Bahagikan kepada warna kesukaan.  K.an bahagi kepada 3 warna.1 - pink, 2. hijau dan 3-dibiarkan kosong (k.An campur sedikit esen vanilla.

4. Masukkan 1 senduk adunan kosong di bahagian tengah loyang (yang telah diisikan bancuhan puding karamel). Masukkan pula 1 senduk adunan pink ditengahnya. Kemudian masukkan 1 senduk adunan hijau di tengan adunan pink. Ulang proses hingga adunan habis. Jika loyang tidak cukup dalam, jangan isi adunan kek hingga penuh kerana kek akan naik ketika dimasak. Tinggalkan lebih kurang 1 cm ruang loyang untuk kek naik. Lihat gambar. Lorekkan permukaan kek dengan lidi ikut citarasa.

5. Masukkan loyang kek ke dalam loyang berisi air dan masak kek selama 1 jam menggunakan api bawah. Setelah 50 minit, K.An onkan api atas dan masak lagi 10 minit agar kek masak elok di permukaannya dan lebih harum.


Sejukkan kek dan biar kek renggang daripada tepi loyang. Sisikan tepi kek menggunkan pisau hingga keseluruhan kek tidak melekat pada loyang sebelum diterbalikkan ke dalam bekas yang sesuai...



Simpan kek di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.. cuma malangnya, kebanyakan kek karamel tak tahan lama sebab habis dimakan oleh tukang masak dan anak-anak dalam masa beberapa minit..hahahah...

Kek ni sangat sedap dimakan ketika sejuk.... macam kek aiskrim gitu... sejuk dan gebu.. boleh makan banyak sebab tak begitu manis....

8 comments:

Anonymous said...

ya allah sedapnya, kek karamel ni ketagih makannya, tapi mengenangkan kolestrol tak berani nak buat lg

aritu buat sehari pun boleh abis, sedap sangat =)

indahhouse said...

Salam kak raihan,
Wah... cantiknya kek karamel kak an. Memang special sbb ada lapisan kek dan karamel. yum.... hehe

eliyaezlinalias said...

iskkkkk...da kronik demam kek karamel neh kan....

cik cek said...

Memang demam org ngan kek karamel ni...kak cek je lum sampai seru nak buat lagi....nampak gebu n halus je kek ni ek....

Wanieyra said...

salam.

sana sini dok tayang kek sedap ni. ira mmg dah lama teringin nak try cuma belum sampai seru lagi. Takut pun ada....

ZianaRazali said...

Akak salam kenal..
seronok tengok menu2 resepi akak..xder oven lah nak try kek ni..ruginya..kukus xleh ker?huuu..

cikmanggis said...

salam An..wah "virus"kek ni dah sampai kat dapur An ya..mmg sedap.Sejuk bila telannya.Walaupun "bizi" sempat jalan jalan ke dapur kawan kawan ni:)

ilahjy said...

salam dek ann
anak kak no 3 akak panggil dek ann hehhee kalian sama nama

aahah hari ni kita sama menu yaaaa hehehe resepi jer lain2...
kak punya guna cawan mudah dan senang sikit kwn ajar semasa di maktab TAT

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin