Thursday, April 29, 2010

Kerabu Jantung Pisang

Alhamdulillah, berkat doa semua, hari ni K.An dah hampir pulih sepenuhnya daripada sakit perut yang menyerang 3 hari lepas... Sampai habisla ubat yang doktor bekalkan... malam tadi ada lagi sesekali sakitnya, tapi menjelang petang rasanya macam dah ok betul...

Bila dah ada tenaga kembali, semangat nak memasak pun kembali seperti biasa. Tengahari tadi K.An sempat buat Kerabu Jantung Pisang yang cukup menyelerakan ini. Sesuai le kalau nak dijadikan juadah berbuka atau bersahur di bulan puasa.

Resepi asal adalah daripada buku Air Tangan Sheila Rusly, (pelakon serba-boleh tuuu....) Edisi 20 Resepi Kerabu terbitan Karangkraf... Macam-macam kerabu ada kat dalam buku ni... Terima kasih le kepada adik K.An Hanida yang hadiahkan buku ni masa hari Jadi K.An tahun lepas.. berbaloi..
K.An dah ubahsuai sikit resepinya mengikut bekalan bahan yang ada dan citarasa K.An.. Apapun terima kasih banyak Kak Sheilaaaa...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

Bahan A:

1 biji cili merah
5 biji cili padi
1 sm belacan siap dibakar
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 biji lada hitam

*** tumbuk semua bahan A hingga lumat

Bahan B:

1/2 biji jantung pisang awak- saiz besar, kalau kecik guna 1 biji ye..
- buang kulit luarnya hingga tinggal bahagian dalam berwarna cerah.
1 biji tomato dihiris nipis
1/2 labu bawang besar dihiris nipis
1 ekor ikan senangin/ kembung/ sardin- gaul garam dan kunyit dan goreng separa garing (resepi asal ikan kembung direbus)- ambil isinya sahaja dan carikkan dengan tangan.
2 sudu besar santan pekat/ pati santan
1 biji limau nipis- diperah jusnya
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Didihkan air dalam periuk. Jantung pisang dibelah 2 dan dicuci dengan air.Rebus jantung pisang selama 15 minit. Angkat dan toskan. Hiris nipis dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan Bahan A yang telah ditumbuk diikuti bahan B. Gaul rata dan rasa masin dan manisnya. Jika cukup, bolehlah dihidangkan. Simpan dalam bekas bertutup di dalam peti ais jika ada baki sebelum dihidang lagi....
Selamat Mencuba...

*** tips sedap: kerabu memang selalunya lebih enak jika terasa kepedasannya, tapi bagi yang 'perut nipis'boleh gantikan cili padi dengan cili merah atau kurangkan jumlahnya....

***kerabu ni boleh dimakan dengan nasi putih tanpa lauk lain kerana telah ada isi ikan di dalamnya.

Wednesday, April 28, 2010

Jambangan Bunga daripada Atie... cantiknyaaa....

Untung juga ada blog ni ye... bukan Anniversary, bukan Birthday pun boleh dapat bunga... haaa, tengok tu sikit punya besar lagi. Terima kasih banyak K.An ucapkan kepada Atie yang sudi kirim jambangan bunga yang cantik ni untuk kawan-kawan blogger... moga kehidupan Atie sekeluarga tambah bahagia dan diberkati Allah sentiasa...

Terima kasih

Dua hari ni badan rasa tak sedap lagi akibat tidur tak lena di malam hari.... menahan sakit perut... alhamdulillah hari ni agak lega sikit, walaupun sesekali datang juga sakit perut tu... sabar jelah..

Disebabkan tak ada 'mood' nak melayan internet, banyak komen kat 'chatbox' tak sempat K.An balas... InsyaAllah hari ni K.An buat ulangkaji sikit ye... Terimakasih kepada semua yang sudi singgah menjenguk periuktanah dan sudi cuba resepi-resepi di sini... moga kena dengan selera tuan-tuan dan puan-puan ye...

Terima kasih kepada Kak Aida, Kak asma, Aini, adik Manja, Yaya, Mas, Mamasyipah, Hamsini, Azatie, Yat Maria, wani (ummiaffaf), semalu, hazila, Kak Rose, salida dan mamaMimy yang sudi singgah di sini... jenguklah chat box tu.... Terima kasih juga kepada tetamu yang tak tinggalkan jejak.. Kepada yang ada blog, K.An link sekali...

Kalau ok sikit petang nanti dapatle masukkan N3 baru...

Tuesday, April 27, 2010

Pecal Jawa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua... harapnya sihat ye...

K.An dah sehari semalam dilanda sakit perut yang amat sangat... macam sakit nak bersalin tu... nak tahu kenapa? Apa lagi, penangan makanan berangin le ni... tapi silap K.An jugak sebab lambat makan tengahari, perut dah masuk angin. Petang, buat pecal yang penuh dengan bahan2 berangin..... makan macam tak ingat apa dah... sedap punya pasal... semalam, jenuh le menahan sakit perut. Hari ni pun belum pulih lagi sepenuhnya... huhukkk... sakiit..

Yang jadi buat pecal ni pun sebab teringin sangat nak makan banyak.. Minggu lepas masa pergi Hi-tea kat Quality Hotel Shah Alam dengan kawan-kawan masa belajar di UIA dulu, salah satu hidangannya pecal Jawa ni... sedaaap, tapi makan sepiring je sebab nak rasa juadah yang lain lagi.
Daripada teringat-ingat, baikle buat sendiri.. dah nampak kat dapur Abbot, bulan lepas dan kat dapur Cik Mat Gebu lama dulu..... apa lagi... jom kita buat pecal.. TQ Mat.. resepi ni memang sedap... (tapi mengandung macam K.An ni kena beringat sikit... hormon tak berapa stabil... jadi sakit perut pulak da.....)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

150 gm kacang tanah- sangrai, buang kulit dan kisar separa halus (kasar dan halus)
10 tangkai cili kering- kerat, basuh dan toskan.
5 tangkai cili padi akar (resepi mat dan Abbot 10-15 tangkai... K.An tak tahan pedas melampau, 5 tangkai pun dah berasap...)
7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan -dibakar
2 inci isi cekur- (k,An tak letak sebab tak ada stok)
1 1/2 sudu besar udang kering- rendam 10 minit, toskan dan sangrai
1/2 sudu teh pati asam jawa Adabi + dengan 1/2 cawan air
1 sudu teh garam
5 sudu besar gula
1/2 cawan air

Bahan lain:

1 bungkus tempe- hiris nipis, gaul garam dan kunyit (campur sedikit air)- goreng
2 keping tauhu- goreng- hiris kecil
tauge- buang ekor dan dicelur sebentar
3 urat kacang panjang, celur dan kerat 1 inci
1 ikat kangkung - celur
1/2 biji sengkuang- kupas, hiris panjang-panjang
timun -hiris panjang-panjang
jantung pisang, celur
pucuk ubi- celur

*** seperti biasa, K.An celur dalam periuk berisi air dan 1 sudu besar minyak masak. Sayur nampak cantik dan jantung pisang tak lebam

cara membuat kuah:

1. Goreng cili kering dan cili padi dalam 1/2 cawan minyak masak ,2-3 minit. Angkat dan toskan. Goreng juga bawang merah dan bawang putih hingga bahagian luarnya layu. Angkat dan toskan.

2. Goreng tempe dan tauhu menggunakan kuali yang sama.

3. Masukkan cili kering, cili padi, air asam jawa, ubi cekur, belacan dan udang kering ke dalam pengisar. Kisar halus. Tuangkan ke dalam mangkuk. Licinkan baki bahan kisar dalam pengisar dengan 1/2 cawan air lagi. Masukkan ke dalam mangkuk.

4. Campurkan kacang tanah, garam dan gula. Kacau sebati.
Sediakan bahan sayuran dan hidangkan bersama kuah pecal.....
Tak kalah pecal yang chef sediakan kat Hotel Quality tu... yang ni pun sangat sedap.. rugi kalau tak cuba...
Terima kasih Mat dan sesiapa yang terlibat menyumbangkan resepi ni...

Saturday, April 24, 2010

Nasi Arab


Assalamualaikum semua... di hujung minggu macam ni, ramai yang mengambil peluang bersama keluarga kan.. ada yang masak untuk keluarga dan makan bersama, tak kurang juga yang keluar bersiar-siar, membeli-belah dan makan-makan bersama keluarga. Apapun aktivitinya, moga semuanya bergembira.

Hari ni K.An nak kongsi resepi nasi Arab yang mudah dan paling asas menggunakan bahan yang ada di dapur kita sentiasa. Tak tahulah kenapa, mengandungkan anak ke-6 ni, K.An suka makan yang 'simple' je, kurang berempah tapi kena ada pedas... Sayur atau salad kena banyak.. Itulah ragam ibu mengandung...
Kebetulan pulak di Malaysia ni dah dilanda fenomena restoran makanan Arab yang muncul bagai cendawan di merata tempat di Kuala Lumpur ni. Nasi beriyani Arab makin popular, menggantikan nasi beriyani mamak atau versi India/ Pakistan.
Bagi K.An, rasanya memang ringkas, tidak muak dimakan banyak sebab tidak berempah atau berlemak. Sejak mengandung ni, memang berulangkali kami makan nasi Restoran Saba' di Cyberjaya (dine-in ataupun tapau). Kalau tak pun K.An buat Nasi Maqlubah kat rumah. Belum jemu lagi.. Tapi pilihan K.An memang nasi berlaukkan ayam panggang (grilled).. kambing atau daging, kurreng sikit la...

Ok semua.... jom kita tengok resepi ni yang disesuaikan daripada resepi nasi Chicken Mandy dari blog Ya Salam Cooking... Asalnya nak buat Chicken Mandy tapi bahan tak cukup.. jadi ikut yang mudah ni je.. Rasanya tak mengecewakan tukang rasa no. 1... (cik abang sayalah tu...)- tak cukup nak makan sampai malam...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 ekor ayam- boleh dipotong 2 atau dipotong 5 ikut citarasa
2 sudu besar rempah kurma ayam/daging- bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 sudu teh serbuk kulit kayu manis
2 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
5 ulas bawang merah dihiris nipis
2 ulas bwang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris halus
7 cawan air
3 sudu besar minyak masak


Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis semua rempah ratus,(kecuali serbuk kulit kayu manis) bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan rempah kurma. Tumis hingga pecah minyak sambil dikacau sekali-sekala. Gunakan api perlahan.

2. Masukkan air dan ayam. Biar hingga mendidih. Masukkan garam secukupnya dan biar mereneh 5 minit. Tutup api dan keluarkan ayam dari sup. Gaul ayam dengan serbuk kulit kayu manis dan panggang dalam ketuhar atau kuali. (ikut citarasa nak garing macamana)

Bahan untuk nasi:

2 1/2 cawan beras basmathi- basuh dan toskan
4 cawan air rebusan/ sup ayam tadi
1 labu bawang besar didadu kecil
1 biji tomato didadu kecil
5 biji lada hitam
5 biji buah pelaga
2 sudu besar margerin/ mentega
1 helai daun pandan-carik dan simpul

Cara memasak.

1. Panaskan margerin di dalam periuk nasi di atas dapur. Tumis bawang besar, buah pelaga dan lada hitam hingga bawang layu sedikit. Masukkan beras , kacau dan goreng seketika. (1 minit)

2. Masukkan sup dan alihkan periuk ke punca elektrik. Masukkan daun pandan ke dalam periuk. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi masak, taburkan buah tomato dan gaul sedikit. Boleh juga diwarnakan nasi seperti nasi beriyani jika suka.

3. Hidangkan nasi bersama salad, ayam, coleslaw dan sup.

Friday, April 23, 2010

Pau Sambal lagi...

Semenjak akhir-akhir ni selalu 'benor' le K.An buat pau sambal ni sebab banyak permintaannya. Minggu depan pun ada lagi permintaan yang sama. K.An tanya 'diorang' ni taknak ke tempah kuih lain?... taknak juga, nak pau sambal juga. Oklah, ikut suka hatilah kan... K.An tolong buat ikut permintaan. Resepi dah letak pun lama dulu... tapi tak ada masa nak buat bagi yang bekerja tu.. Tempah kat K.An lagi senang..hehehhh...

Kepada yang nak buat sendiri, K.An masukkan sekali lagi resepi yang K.An dok buat selalu.. Kalau ikut resepi ni, pau akan kekal lembut walaupun selepas berjam-jam lamanya. Kalau nak elok, jangan letak sambal dulu, simpan dalam bekas bertutup (setelah disejukkan) dan bila nak makan barulah disapu sambal ikan bilis..
Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 30 biji pau)
A)
1 peket yis kering (11 gm)
1/2 sudu teh gula
1 cawan air suam

B)
5 cawan tepung gandum = 500 gm
2 biji telur gred B/ C
2 sudu besar margerin
2 sudu besar susu tepung
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1/2 biji kentang saiz besar / 1 biji kentang kecil- dikupas kulit, hiris nipis dan rebus empuk- kemudian lecek halus

sedikit tepung untuk ditabur pada pencanai dan dulang

Cara membuatnya:

1. Campurkan bahan A. Kacau dengan hujung jari agar yis larut. Biarkan 10 minit atau campuran berbuih.
2. Sementara itu masukkan semua bahan B ke dalam mangkuk besar. Buatkan lubang di tengahnya dan tuangkan campuran A.
3. Uli campuran hingga menjadi doh yang licin dan kenyal.

**** jika ada mesin penguli boleh juga gunakan penguli. Ataupun masukkan ke dalam bread maker dan pilih setting doh.

4. Setelah siap doh, bulatkan dan tutup dengan tuala dapur dan rehatkan selama 15 minit di tempat suam. (suhu bilik)
5. Tumbuk doh untuk mengeluarkan udara, Uli semula lebih kurang 5 minit. Sediakan papan pencanai dan penerap. K.An gunakan gelas plastik je....
6. Bahagikan doh kepada 4 bahagian. Canai doh menjadi 1/2 sm tebal. Terap bulat dan susun dalam dulang yang ditabur tepung seperti di dalam gambar. Buat hingga habis doh.
7. Sementara doh siap diterap, pau yang mula-mula diterap akan mengembang. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Setelah minyak panas, perlahankan api dan masukkan pau dan sentiasa terbalikkan pau agar tidak hangus dan pau masak rata. Angkat pau setelah warnanya keperangan,
8. Goreng hingga siap.

Bahan inti:

10 tangkai cili kering- seeloknya yang diketahui tidak terlalu pedas- Buang biji, rebus.
segenggam ikan bilik siap dibersihkan- rendam seketika, toskan dan tumbuk halus
1 labu bawang besar dihiris nipis
5 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih dikisar halus
5 sudu besar minyak masak
5 sudu besar gula pasir++
garam secukup rasa
1 sudu teh air asam jawa
1 keping asam keping

1 biji timun

Cara membuatnya:

1. Kisar cili bersama 3/4 cawan air hingga halus. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan ikan bilis dan tumis hingga naik bau.

2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga terbit minyak. Kacau sambal sekali-sekali agar tidak hangus. Masukkan air asam jawa dan asam keping.

3. Masukkan garam dan gula. Kacau rata. Masak hingga sambal berkilat dan nampak cantik. Masukkan bawang besar dan biar bawang layu. Rasa garam dan gulanya. Tambah jika perlu. Jika cukup rasanya, bolehlah dipadamkan api.

Hiris timun 2 mm tebalnya. Belah pau di tengahnya tetapi tidak putus. Sapukan sambal dan letakkan hirisan timun. Sedia dinikmati.

**** K.An bagitau kawan-kawan, nanti bila K.An bersalin, bolehle buat sendiri ikut resepi ni... sama je, tak ada rahsia....

*** sambal pau lebih manis agar naik rasanya.


Selamat Berangkat ke Tanah Suci

'Aisyah dengan Paksu dan sepupu-sepupunya Izzati dan Husna

Dua hari lepas (Rabu) hampir separuh hari kami berkampung di KLIA kerana menghantar mak dan ayah mertua, juga keluarga kakak ipar yang pergi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
Seawal pagi K.An sediakan bekalan makanan secukupnya untuk semua agar tidak 'kelaparan' nanti. Almaklum, kalau setakat seorang, dua, bolehlah membeli di sana nanti. Tapi bila dah ramai, banyak pulak belanjanya. K.An masak nasi lemak berlaukkan rendang ayam, serunding kerang dan telur dadar. Sempat juga buat sandwich sardin dan nasi goreng cina.

InsyaAllah cukup untuk semua yang menghantar.
Seperti yang dijangkakan, kapalterbang lewat 2 jam dari jadual. Alhamdulillah, kami tak risau sebab cukup bekalan makanan. Tapi yang bagusnya, Saudi Airlines juga bekalkan kupon makanan (Burger King) sebagai pengganti kelewatan jadual tersebut... Lega rasanya...
Lebih kurang pukul 4 petang, rombongan bersedia untuk masuk ke ruang menunggu. Doa kami moga semuanya diberi kesihatan agar dapat menjalani ibadah umrah dengan sempurna. InsyaAllah selamat pergi dan selamat kembali.

Tuesday, April 20, 2010

Bun Pandan Kismis

Sabtu lepas mertua K.An datang ke Kuala Lumpur sementara menunggu hari untuk bertolak menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada hari Rabu ni. (esok) Transit di rumah Abang sulung di Salak Tinggi, kami pun bertandanglah ke sana. Tak lengkap kunjungan kalau tak bawa buah tangan.

Memandangkan dah janji dengan mak mertua K.An nak buatkan dia kuih lapis resepi periuktanah, rasanya sesuailah dijadikan bekalan ke sana nanti. Lagipun kuih lapis ni mudah je membancuhnya. Kukus dalam loyang... dah siap. Teringat pulak, mak belum pernah rasa roti air tangan K.An... belek-belek resepi, akhirnya buat keputusan buat bun Pandan Kismis ni. Resepi asal daripada Daput Mat Gebu tapi, K.An dah sesuaikan ikut bekalan bahan yang ada di dapur ni....
Bahan-bahan: (menghasilkan 2 loaf tin 4 persegi 7 inci X 7 inci atau loyang bulat diameter 7 inci)

300 gm tepung roti (high protein)
2 sudu teh yis segera
45 gm gula halus
1/2 sudu teh bread improver (tak letak pun tak apa)
1/2 sudu teh garam halus
1/2 biji telur A
1 sudu teh pandan paste (atau guna pewarna hijau dan 2 titik perisa pandan)
165 ml susu segar suam
130 gm kismis- K.An guna buahan campuran sebab kismis 'yellek'
1 sudu besar mentega

Cara membuatnya:

1. Jika menggunakan Bread Maker: masukkan semua bahan ke dalam BM. Tekan setting 'dough' dan tunggu siap. Kalau bread maker tu rajin sangat- (automatik uli sampai lebih 30 minit, bila nampak doh dah licin dan kenyal (selepas 20 minit) bolehlah di keluarkan doh daripada mesin. Masukkan ke dalam mangkuk besar dan tutup dengan tuala dapur atau cling wrap. Perap selama 30 minit atau doh naik 2 kali ganda.
2. Jika menguli dengan tangan, uli di atas meja menggunakan teknik tarik dan tolak hingga doh tidak melekat di tangan dan doh licin lagi kenyal. Selepas itu masukkan ke dalam mangkuk besar dan perap seperti 1.

3. Selepas 30 minit, keluarkan doh dan uli lagi selama 5 minit. Bulat-bulatkan doh sebesar bola golf dan susun di dalam loyang pilihan yang telah dilenser mentega. Tutup dan perap lagi selama 20- 30 minit (bun naik 2 kali ganda)

4. Panaskan ketuhar pada suhu 185 darjah Celcius (api atas bawah). K.An spray sedikit air di permukaan bun dan taburkan bijan. Bakar roti selama 20 minit atau bun keperangan. Keluarkan loyang dan Sapukan margerin agar permukaan bun cantik berseri.
Tekstur bun ni sungguh gebu.. K.An memang suka bun macam ni. Yang ini yang dibakar di dalam mafin cup tu....
Yang ini kuih lapis, sedia untuk dibawa untuk dijamu kepada mertua.... potong kat sana nanti ye...

Monday, April 19, 2010

Jamu tetamu Lagi...

Assalamualaikum... lamanya tak bersiaran.. ramai yang dah tanya ni, ke mana K.An pergi. Tak ke mana sebenarnya, cuma sibuk dengan pelbagai aktiviti memasak yang tak dirancang. Jika minggu sebelum ni jamu kawan sekolah lama, beberapa hari lepas, kami jamu kawan Abang Azam masa belajar di Jordan dan di Diploma Pendidikan UIA dulu... Dah lama kami berumahtangga, inilah kali pertama dia datang ke rumah. Kebetulan ada mesyuarat di Putrajaya, jadinya Abang Azam ajak bermalam di rumah kami... lama sikit boleh sembang-sembang dan cerita-cerita..

Petang dia sampai, K.An jamu teh O dengan cekodok pisang je sebab cadang nak jamu makan malam yang berat.... Sambil mereka minum-minum, K.An lari sekejap ke pasar, beli bahan untuk masak makan malam...

Dalam masa yang singkat macam ni, masakan yang sesuai dengan masa suntuk dan masa makan malam, di fikiran K.An tentunya masakan ala-Thai.... tak pun jenis sup-sup atau nasi goreng...

Lepas Maghrib, mula bersilat di dapur, lepas Isya' siap le makan malam untuk kami semua. Alhamdulillah... Nasi putih, Tomyam Campur, Kerapu sweet-sour, Kailan Ikan masin dan sambal belacan. Buah betik sebagai dessert.. (pemberian Haji Darus kawan opis Abang Azam)
Seperti kebiasaan, dapat 'snap' gambar lepas semua habis makan... tu je bakinya... Ikan kerapu segar tu, dari Kuala Selangor hari tu. K.An memang dah niat nak jamu siapa-siapa yang bertandang ke rumah.. Rezeki Lutfi rupanya...
Keesokan pagi... hidangan sarapan untuk tetamu, dan tuan rumah. Mihun Goreng dan Kuih Apam... kesian Lutfi, tak sempat makan banyak sebab nak cepat ke pejabat. Lain kali datang lagi ye.. K.An memang suka tetamu makan berselera bila dijamu... Jangan malu, jangan segan bila datang sini....

Thursday, April 15, 2010

Tapai Ais-Krim

Kepada sesiap yang terasa panas ke, dahaga ke, 'tension' lagi, jom kita pekena tapai ais-krim yang sangat menyegarkan ini...
Gabungan rasa tradisi manis tapai dan kedinginan ais-krim vanilla menyebabkan kita lupa sebentar kepanasan yang dirasa.

Kali pertama K.An cuba di Restoran Nim's Little Island Cafe di Sungai Ramal Dalam, Bangi. (Hafiz Hamidun yang 'rekemen') Puas hati dengan keunikan rasanya menyebabkan tak puas makan sekali.. nak berulangkali...

Semalam 'baby' dalam perut, ketuk-ketuk pintu mintak tapai ais-krim... K.An beli tapai di Mydin. Dengan harapan tapai tu manis sebab kalau tak manis, hilanglah kesedapan tapi-ais-krim ni. Kemudian beli ais-krim perisa vanilla....
Balik rumah... masukkan ke dalam mangkuk... sedia dinikmati... Cubalah rasa.. di tekak K.An memang enak sekali... Kalau ditanya perisa ais-krim yang sesuai, rasanya vanillalah yang paling sepadan. lemak manis gitu...

Tapai yang K.An beli di Mydin tu pun tak mengecewakan. Namanya Tapai Sarimah- bolehle cari kat pasaraya Mydin.. tapainya maaaniiis yang amat. Kalau nak yang buat sendiri, nanti kalau K.An rajin K.An letak dalam N3 ye...

Tuesday, April 13, 2010

Kuih Koci Sagu

Di petang yang nyaman ini, K.An kongsi satu lagi resepi kuih tradisi Banjar yang mak K.an ajar sejak kami kecil lagi... Ini kali pertama K.An buat di rumah ni sebab selalunya buat bila balik kampung je... berpuluh bungkus kami buat sebab ramai tukang 'ngap'nye..

Semalam ada baki inti buat ketayap masa minum petang, K.An buat sikit je sebab takut anak-anak tak pandai makan... kalau abang Azam memang tak berapa 'gemor' kuih manis... Alhamdulillah pandai pulak budak-budak ni makan. Jadinya... lain kali boleh buat banyak lagi..


Di tempat K.An nama kuih ni Kuih Koci, tapi kalau di bahagian selatan Malaysia ni, sebut kuih Koci, kuihnya dibuat daripada tepung pulut hitam tapi intinya sama, kelapa manis macam ni.

Kalau begini rupanya, di selatan kuih ini dikenali juga sebagai Abok-abok Sagu tapi caranya berbeza sikit sebab pernah K.An baca dalam majalah kuih Abok-abok ni intinya cuma gula melaka. Sagunya digaul siap dengan kelapa dan garam. Teringin juga nak cuba nanti versi macam ni.

Dah penat bercerita, kita semak resepi Kuih Koci Sagu ni:

Bahan-bahan: (menghasilkan 10 biji kuih)

10 helai daun pisang berukuran 6 inci X 7 inci- dilayur
1 cawan sagu biji- rendam dengan 1 cawan air dan 1/4 sudu teh garam selama 10 minit- toskan di dalam penapis

sedikit minyak untuk disapu pada daun

inti kelapa- K.An masak 1/2 cawan air gula merah dengan 1 cawan kelapa parut putih. Tambah sedikit gula putih jika kurang manis. Masak dengan api sederhana sambil dikacau hingga air kering dan inti berderai.

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus. Sapukan minyak pada daun. Bentuk daun menjadi kelonsong seperti di dalam gambar.

2. Isikan lebih kurang 1 sudu besar sagu biji menggunakan sudu seperti di dalam gambar. Isikan inti dan tutupkan inti. Bungkus kemas. Masukkan ke dalam pengukus. Buat hingga habis sagu.

3. Kukus kuih selama 15 minit dengan api kuat. Angkat dan sejukkan sebelum dinikmati... Selamat mencuba...


Jamu kawan lama dengan Puding Roti dan Roti Jala

Apa agaknya yang terlintas di fikiran kita bila ada tetamu nak bertandang ke rumah ye..?? Dulu-dulu masa awal-awal berumahtangga (lebih 15 tahun lepas) agak kelam-kabut juga bila nak fikir apa yang nak dimasak..... yang senangnya buat yang goreng-goreng seperti mee atau mihun goreng, ataupun kue-teow goreng. Kalau rajin sikit dan tahu kedatangan tu lebih awal, bolehlah ditambah dengan agar-agar ataupun puding sebagai hidangan sampingan. ... itu kalau minum petang..

Kalau makan tengahari, yang paling senang dan tak payah fikir banyak, buat je nasi ayam..... selamat..

Bila dah lama ni dan dah terima beratus tetamu, banyak le idea hidangan yang nak dimasak. Tapi kadang-kadang, tak semestinya apa yang kita suka, tetamu kita pun suka... tak kisahlah, asalkan tak dijamu air teh O atau kopi o je... kesian tetamu... kalau tak sempat masak, pergi le cari goreng pisang ke ataupun roti krim kat kedai..... berseri sikit meja...


Baru-baru ni, ada kawan sekolah lama K.An nak menyinggah sebab dia nak beli pes mee Bandung Muar yang K.An jual dalam kuantiti yang banyak... dia datang sorang je sebab isterinya sedang melanjutkan pelajaran di luar negara...

Selain meraikan tetamu, sebagai tanda terima kasih juga, K.an jamu dia dengan roti Jala (resepi) dan Puding Roti. Sama sahaja resepinya dengan yang lepas cuma roti Jala tu dicicah dengan sambal sardin. Puding Roti pulak, K.An buatkan sos vanilla ..... anak-anak pun tumpang sekaki.. 'Aisyah suka sangat puding roti tu..
Resepi puding Roti, boleh semak di sini ye...

Sos Vanilla: 1 tin susu cair dicampur dengan 1 sudu besar gula, 1 sudu besar tepung jagung dan sedikit esen vanilla. Masukkan ke dalam periuk. Gaul rata dulu menggunakan 'whisk' hingga tepung sebati. Hidupkan api perlahan dan masak sos hingga agak pekat. Padamkan api dan sejukkan sebelum dihidang. Sebelum ni, K.An guna susu segar dan rasanya sama sedap jika menggunakan susu cair....

*** kawan kami Asmawi ni pemalu orangnya... sikiit je dia jamah hidangan tu... agaknya dia takut anak-anak K.An tak cukup makan.. hihihi... lain kali awie, kalau datang sini, makan je puas-puas.. anak-anak K.An memang berselera je makannya... tapi banyak lagi kat dapur tu..

Lemak Kuning Ikan Baung dengan Ubi Kayu

Assalamualaikum wrt... kepada semua pembaca Periuktanah yang disayangi.. Moga dilindungi dan dirahmati Allah sentiasa... Jangan lupa ye, mulakan setiap pekerjaan yang dilakukan dengan ucapan Bismillah dan diakhiri dengan alhamdulillah.... barulah semuanya jadi ibadah..

Dua tiga hari ni, K.An masak biasa-biasa je, samada untuk sarapan, makan tengahari mahupun minum petang.. Contohnya, ahad lepas, K.An buat nasi lemak pandan, sambal ikan bilis dengan ayam goreng berempah... sarapan campur makan tengahari sekali.

Semalam pulak, masak singgang ikan tenggiri, udang goreng bercili, sambal belacan dan ikan goreng.... tengah sedap makan dengan abang Azam, anak-anak balik dari sekolah macam biasa bawak kawan-kawan... tambah lagi masak telur dadar.... alhamdulillah..

Sebenarnya, anak-anak K.An (Asma' dan Sarah) memang selalu bawak kawan balik rumah waktu makan tengahari sebab ramai yang 'stay-back' di sekolah je sementara menunggu kelas KAFA petang ataupun aktiviti ko-kurikulum dan kelas tambahan di sekolah. Selain boleh tumpang merehatkan diri, solat, makan dan boleh juga menambah 'kakak-kakak' kepada 'Aisyah dan Maryam.... (budak kecik kan ke suka kakak yang lain daripada kakak betul dia...hehheh..)

Panjang cerita kali ni, K.An terus ke lauk hari ni.. Walaupun dah ada sebelum ni lemak kuning ikan plotan, tapi kali ni lemak kuning ikan baung ni K.An masak dicampur dengan ubi kayu.... ramai tak pernah buat kan...? Ni belajar daripada mak, dulu-duluuuuu lagi..
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 ekor ikan baung saiz agak besar. Potong 3 keping (ikan ni dah dibersihkan dan dicuci dengan garam dan limau nipis/kasturi)
4 ulas bawang merah, 1/2 inci halia, 2 ulas bawang putih, 3 biji cili padi, 1/2 inci kunyit hidup- ditumbuk halus
2 cawan santan biasa***
1 cawan santan pekat***
***daripada sebiji kelapa
2 keping asam keping- boleh diganti dengan belimbing buluh, nenas, atau timun tua
200 gm ubi kayu, kupas kulit, potong 1 inci panjang dan belah 4- rebus hingga empuk dan toskan.
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan termasuk ikan ke dalam periuk kecuali santan pekat. Hidupkan api dan masak hingga mendidih.

2. Perlahankan api dan kacau gulai lemak hingga ikan empuk. masukkan santan pekat. Kacau sekali-sekala. Tambah garam dan gula dan biar gulai mendidih lagi. Jika sudah cukup rasa, bolehlah dimatikan api dan dihidang.

***ubi kayu akan menambahkan kepekatan kuah dan rasa lemak masakan ini...


Saturday, April 10, 2010

Bengkang @ Bingka Ubi Kayu

Siapa yang belum pernah rasa keenakan bengkang @ bingka ubi kayu ni, carilah kat mana-mana dan cuba rasa... Bagi K.An yang saaaangat gemarkan kuih-muih Melayu ni, bengkang ni antara top 10 kuih 'febret' tau....

Seperti dalam entry yang lepas-lepas, bab kuih-muih tradisi ni memang sajian harian kami sekeluarga masa kecil-kecil di kampung dulu-dulu. Almaklum, ubi kayu ni tanam di batas bendang je.... tau jelah, batas bendang ni kan ke subuuur yang amat. Sementara padi masak, ubi kayu ni dah cukup matang untuk diambil ubinya... besar-besar gajah tau satu rumpun tu.,.. puas direbus, tapai, buat lempeng, lepat dan bengkang.

Masa abang Azam pergi memancing di Gerik baru-baru ni, selain ikan sungai yang dibawa pulang, masyarakat orang Asli di situ juga bermurah hati bagi seguni ubi kayu yang saiznya pun besar-besar gajah....(bahagi 4 orang yang pergi sekali)
Apa lagi, dua hari (2 loyang) K.An buat bengkang ubi. Siap boleh bagi kawan-kawan pejabat dan kawan surau Abang Azam... Almaklum tak ramai yang rajin buat bengkang ni sebab tak kuasa nak memarutnya. Tapi sebab K.An memang suka, sakit pinggang pun... buat juga sampai siap...


Sebenarnya, resepinya dah pernah masuk sebelum ni, tapi untuk rujukan semua, K.An tulis sekali lagi ye..

Bahan-bahan: menghasilkan satu loyang bengkang 7 inci X 7 inci

4 cawan ubi kayu siap diparut - tak boleh bagi sukatan ubi kayu dalam kg sebab ubi kayu ni kadangkala ada yang keras dan tak boleh diparut. susut isinya pulak. Jadi yang tepat, sukat setelah diparut.

2 cawan santan pekat daripada 1 biji kelapa
1 cawan gula pasir
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning

Cara membuatnya:

1. Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah Celcius (api atas dan bawah). Masukkan semua bahan ke dalam loyang berukuran 7 inci X 7 inci (atau 6 X 6- bingka agak tebal). Gaul rata hingga gula hancur dan santan sekata. Ratakan.

2. Masukkan loyang ke dalam ketuhar dan letakkan di rak paling bawah. Bakar bengkang selama 1 jam - 1 1/2 jam atau hingga bahagian atas bengkang keperangan. Setelah masak, keluarkan dan Sejukkan lebih kurang 3-5 jam sebelum dipotong dan dihidang.
*** ramai yang tanya kenapa bengkang K.An lembut dan lemak manis, K.An kata kalau nak macam tu juga, ikut resepi ni, jangan tambah atau kurangkan. Banyak resepi kuih berasaskan ubi kayu yang K.An baca dalam majalah atau blog mempunyai arahan berbeza dalam penyediaannya.Contohnya ada yang dicampur air, ditapis dan buang hampasnya, ambil sagunya sahaja dan kemudian dicampur tepung...

Bagi K.an mudah sahaja; ubi kayu yang siap diparut tu, terus dicampur santan, gula, garam dan masuk loyang terus. Kacau, dan masak... tak perlu tepung sebab ubi kayu ni dah berkanji... loyang pun tak perlu dilengser kerana santan pekat menyebabkan kuih tidak melekat dan senang dipotong dengan syarat kuih telah cukup disejukkan.

***sebarang kemusykilan boleh angkat tangan tanya ye....heheh..

Rezeki lagi... Pokok Pisang ke-2 Berbuah....

Ingat lagi pokok pisang kat belakang rumah kami ni...? bukan kat kampung ye... kat Putrajaya je..
Tahun lepas dah mengeluarkan buah sulung yang sungguh lumayan panjang tandannya. 2 minggu lepas, di pagi yang nyaman, K.An nampak muncul jantung pisang daripada salah satu pohonnya.. alhamdulillah... sehingga hari ni, dah sampai ke penghujung jantungnya, cukup 7 sikat semuanya. InsyaAllah merasa lagi le K.An dan jiran tetangga hasil yang tak seberapa ni.

Kebetulan juga, minggu lepas, mak K.An bagitau, pisang di kebun kecil kami di kampung pun dan mengeluarkan buah.... seronoknya rasa di hati...

Thursday, April 8, 2010

Pajeri Nenas

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua..... moga semuanya dah selamat sampai ke tempat kerja masing-masing, termasuklah yang bekerja di rumah..... jangan malas-malas ye hari ni, kerja, jaaaangan tak kerja...

Yang kat rumah tu, fikir-fikirlah nak masak apa hari ni.. kalau tak ada idea, haaa... google kat internet ni. Macam-maaaacam ada....

K.An pun belum fikir lagi nak masak apa hari ni... sementara cari idea tu, biar K.An kongsi resepi pajeri nenas yang K.An masak minggu lepas, menemankan ikan senangin masak Asam hari tu... walaupun resepi pajeri dah ada, tapi saje je nak mencadangkan menu... kadang-kadang kita ni, masak lauk sampai penuh meja, tapi tak kena selera la pulak. Kadang-kadang pulak, masak dua jenis lauk je, tapi makan bertambah-tambah...

Sebenarnya cara kita memadankan lauk tu penting.. Ikut selera orang yang nak memakannya. Kalau di rumah K.An ni, mesti ada lauk yang pedas sikit.. kalau tak pun mesti ada sambal, tak kira sambal belacan ke, sambal kicap ke, budu dipecahkan cili padi ke.... haaa.. baru laju nak makan...
Oklah semua, kita semak dulu resepi pajeri nenas ni....

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

3 keping nenas dipotong bulat 1 sm tebal- belah dua
2 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 inci halia dihiris halus
2 sudu besar rempah kari ikan- bancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu besar kerisik- kelapa disangrai dan ditumbuk lumat hingga terbit minyak
2 cawan santan sederhana pekat
garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan halia hingga berbau wangi dan bawang merah keperangan. Masukkan rempah kari dan kerisik.

2. Tumis hingga terbit minyak sambil dikacau sekali-sekala. Gunakan api perlahan agar rempah tidak hangus. Jika rempah tidak masak betul, pajeri kita akan kurang keenakannya.

3. Masukkan santan dan nenas. Masak hingga mendidih. Masukkan garam dan 2 sudu besar gula. Didihkan lebih kurang 5 minit atau kuah nampak pekat. Jika cukup masin dan manisnya, bolehlah dimatikan api dan hidangkan bersama lauk-pauk lain.




Tuesday, April 6, 2010

Apple Crumble II

Hari ini, K.An sambung semula edisi koleksi daripada buku ' Creative Recipes With Bread', almaklum semua resepi di sini memang kratif dan nampak menyelerakan. Selain sandwic, roti juga boleh dijadikan pelbagai 'dessert' yang membuka selera. Memandangkan sajian berasaskan epal, tak pernah ditolak anak-anak, 2 hari lepas, K.An sediakan 'Apple Crumble' ni untuk minum petang. Versi ni agak berbeza daripada versi apple crumble yang selalu K.An buat bukan sahaja daripada segi bahan , tetapi juga rasanya.... tetap enak, tapi K.An lebih suka versi menggunakan tepung dan nestum seperti yang selalu... (boleh tengok resepi kat sini ye...)

Bahan-bahan:

Untuk membuat 'crust'

3 cawan serbuk roti-( dibuat daripada 5-7 keping roti sandwich) caranya- bakar sebentar dalam toaster dan kisar halus
60 gm mentega tidak bergaram didadu

Inti:

6 biji epal merah rangup, dibuang kulit dan dipotong dadu kecil atau kepingan nipis
2 sudu besar jus lemon- boleh ganti dengan jus oren
1/3 cawan gula perang
1/4 st serbuk kulit kayu manis**
1/4 st serbuk buah pala**

*** ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah Celcius.
2. Gaulkan serbuk roti dan mentega menggunakan hujung jari hingga berderai. Taburkan deraian serbuk roti tadi ke atas dulang pembakar yang telah dilengser mentega. Tekankan menjadi 'crust' dasar pai. Tinggalkan sedikit untuk ditabur dibahagian atas pai nanti.
3. Bakar di bahagian tengan ketuhar hingga keemasan dan biarkan sejuk.

4. Masukkan epal kedalam mangkuk besarkan dan campurkan, jus lemon, gula perang, serbuk kulit kayu manis dan serbuk buah pala. Gaul sebati. Tuangkan campuran inti ke dalam 'crust' tadi. Ratakan dan taburkan baki serbuk roti di atasnya.

5. Tutup dengan kerajang aluminium. Bakar selama 40 minit sehingga inti epal berbuih. Alihkan kerajang aluminium dan sambung bakar selama 10-15 minit atau sehingga serbuk roti menjadi perang.

6. Biarkan sejuk sebelum dipotong dan dihidang.

Rezeki dan Award


Alhamdulillah... rezeki Allah tu datang dalam pelbagai bentuk kan...? Adakalanya, datang dalam bentuk kewangan, adakalanya, makanan, dan ada kalanya kesihatan. Tak kurang juga datangnya rezeki melalui anak-anak. Jadi janganlah kita lupa bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan kepada kita.

Begitu juga dengan keluarga kami.. jika minggu lepas dapat rezeki ikan laut, minggu ni pula, rezeki ikan sungai...

Sabtu dan Ahad baru-baru ni, Abang Azam dan 3 orang rakannya pergi memancing di Empangan Bersia, Gerik Perak... Mesti ramai yang tak pernah dengar nama tempat tu... Dipendekkan cerita, selain hasil tangkapan melalui pancing, mereka juga dibekalkan pelbagi jenis ikan oleh Abg Din, tuan empunya tempat tu... alhamdulillah.. tengokle kat gambar tu.. (ikan ni didapati melalui pukat)

Yang istimewanya, ikan-ikan ni tak berbau hanyir langsung. Segar dan bersih, membayangkan tempat tu masih lagi belum tercemar. Tak sabar nak merasa, malam semalm, terus K>An bakar seekor ikan lampam tu menggunakan kuali 'grill' je...
Tak menghampakan kami, dengan lauk ikan bakar (cuma gaul dengan garam, kunyit dan balut dengan daun pisang) dan air asam dengan nasi putih panas.... terasa seperti makan di tepi sungai pulak bernaungkan dedaun pokok hutan... cheeewah...heheh.. puas hati dan alhamdulillah...
Opsss... tapi hati-hati ye, ikan lampam ni banyak tulang, jadi terpaksalah K.An tolong asingkan tulang dulu supaya anak-anak senang nak makan..

Habis cerita ikan, yang ini rezeki tiara bertatah Delima Award daripada fiza (nenek gelarannya) yang terkenal dengan pelbagai baju bersulam manik yang 'grand' gitu...... terima kasih banyak ye.. Ingatkan jadi 'Queen' ngan 'Princess' je bolah dapat tiara cantik gini... jadi blogger pun dapat juga... itupun rezeki jugak kan....
Apapun, terima kasih tak terhingga kepada semua...

Saturday, April 3, 2010

Sayur Campur Goreng Mamak

Assalamualaikum.. hari ni tak kuasa nak cerita panjang-panjang sebab banyak lagi resepi yang tunggu giliran nak masuk siaran periuktanah ni.. lagipun yang penting orang nak tengok resepi, bukannya nak dengar celoteh K.An kan...?

Hari ni, kita masak sayur goreng mamak ni. kegemaran kami sekeluarga. Kalau nak suruh anak-anak K.An makan sayur yang banyak, haaa... buat je sayur ni...Cukup senang dan boleh dipelbagaikan jenis sayurnya. Yang wajib, kobis ye puan-puan....

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1/2 biji kobis- racik halus
3 tangkai kacang buncis
1/2 batang karot- racik halus juga- ikut citarasa
1/2 sudu teh biji sawi
1 tangkai daun kari- lurut dari tangkai
1 tangkai cili merah- hiris nipis
1/2 labu bawang besar- hiris nipis
2 ulas bawang putih- hiris nipis
sedikit serbuk kunyit
1 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, cili merah, biji sawi dan daun kari hingga wangi dan bawang layu.

2. Tambah sedikit air dan serbuk kunyit. Masukkan semua sayuran dan gaul rata hingga sayuran masak. Tambah garam secukup rasa dan gaul sebati. Matikan dan sedia dihidang.

Sayur ni paling sesuai dipadankan dengan kari... kebetulan ada bekalan ikan segar pemberian kawan Abang Azam mas dia ke Kuala Selangor baru-baru ni.... Hmm ... apa lagi, menggulai le kita. Tengok le rupa ikan tenggiri yang sangat segar tu. Memang rugi kalau tak dibuat kari kepala ikan. Ok... semua, jemput makan....