Ketupat sotong pun asalnya dari sebelah pantai timur juga cuma bagi versi Kelantan, rasanya manis dimasak dengan gula melaka (nira)dan dimakan sebagai hidangan sampingan seperti kuih-muih. Bagi ketupat sotong Terengganu pula ada rasa pedas dan berempah sikit.
Versi K.An pulak direka mengikut selera orang utara...lah... sebab yang ini paling K.An suka.
Bahan-bahan: (hidangan untuk 2-4 orang)
2 ekor sotong besar -dibersihkan dan dibuang kulit luarnya
Bahan dikisar/ tumbuk halus:
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 sm halia
1/2 sm lengkuas
2 biji buah keras
1/4 cawan kacang tanah yang telah disangrai
Bahan lain:
1 batang serai diketuk
1 cawan santan pekat- dibahagi 2
2 sudu besar cili kisar
1/2 cawan beras pulut direndam 1 jam
garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:
1. Toskan beras pulut. Masukkan dalam bekas tahan panas. Panaskan pengukus dan kukus pulut 10 minit. Keluarkan.
2. Gaulkan pulut dengan 1/2 cawan santan yang dicampur secubit garam. Isikan pulut tadi ke dalam sotong hampir penuh. Sumbatkan kepalanya dan cucuk dengan lidi agar tidak tercabut.
(perlu dilakukan dengan sabar seperti mengisi buluh lemang). Ulang proses untuk sotong yang lain.
3. Masukkan bahan kisar, 1/2 cawan santan, cili kisar, serai , garam dan gula ke dalam loyang/ bekas tahan panas. Gaul rata. Masukkan sotong dan kukus selama 15 minit dengan api kuat.
4. Keluarkan sotong dan masukkan ke dalam pinggan. Panaskan kuah tadi (yang dikukus bersama sotong)di atas dapur dan kacau hingga kuah pekat dan berkilat. Curahkan ke atas sotong dan sedia dimakan begitu sahaja atau dijadikan lauk nasi.
No comments:
Post a Comment