Friday, March 20, 2009

Masak Asam Keladi

Masak Asam Keladi ni kegemaran kami adik beradik sekeluarga bila balik kampung... Antara permintaan wajib minta mak K.An masakkan. Satu sebabnya keladi kat kampung memang sedap, lembut, muda dan tak gatal. Sebab yang lain... he..heh.. malas nak masak sendiri. Takut risiko gatal tangan dan gatal tekak.
Tapi masa balik kampung 2 minggu lepas, tak sempat nak 'request' sebab balik cuma 3 hari. Kejap sangat. Bila balik Putrajaya, kena pulak kak N dan keluarga datang, nampak keladi kat pasar, terus beli dan masak sendiri asam keladi ni. Alhamdulillah, tak gatal... dan sedaaap.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)
1 ikat batang keladi (dijual Rm 1 selalunya )-dijual berasingan dengan ubinya. Kalau suka, beli ubi berasingan

3 ulas bawang merah ditumbuk bersama 1 sudu teh belacan yang telah dibakar

3 keping asam keping

1/2 cawan air asam jawa cair

2 sudu besar cili kisar

air secukupnya- lebih kurang 4 cawan

**** sediakan juga asam jawa dan asam keping untuk mencuci batang dan ubi keladi

Cara membuatnya:

1. Potong batang keladi 2 inci panjang. Jangan ambil bahagian batang yang keras. Kupas bahagian luar batang keladi seperti mengupas kulit sengkuang. (kopek dan tarik)Ini adalah untuk mengeluarkan getahnya. Buat sehingga habis.

2. Kupas ubi keladi dan potong bulat. Rendam batang dan ubi dalam air asam jawa dan asam keping. Gunakan sarung tangan getah atau plastik untuk mencuci (ramas)batang keladi. Bilas sekurang-kurangnya 3 kali sebelum merebusnya.

3. Setelah dicuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk. Isi air biasa hingga tenggelam batang dan ubi keladi. Masukkan 1 keping asam keping. Rebus hingga mendidih.

4. Tapis batang dan ubi keladi dan lalukan dibawah air paip. Toskan dan masukkan semula ke dalam periuk. Masukkan air, bawang merah, cili kisar, belacan, asam keping dan air asam jawa. Masak hingga mendidih dan masukkan garam dan sedikit gula. Gaul sebati dan sedia dihidang bersama ikan goreng garing dan sambal belacan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin