Thursday, July 29, 2010

K.An Dah Selamat Bersalin..Alhamdulillah...

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah pada 27 Julai 2010 bersamaan 15 Syaaban 1431 yang lepas K.An telah selamat melahirkan anak yang ke -6 , seorang puteri yang kami namakan Munirah Huda.

Asalnya baru je K.An nak masukkan N3 menceritakan yang doktor K.An nak tetapkan 1 Ogos sebagai tarikh bersalin sebab tak nak kelam kabut dan risau tak sempat sampai hospital waktu sampai masa nanti.

Tapi itulah yang dikatakan manusia merancang tapi Allah yang menentukan. Allah dah tentukan lebih awal lagi dan mengambil sempena hari yang mulia dan mudah didingati .. Hari Nisfu Sya'aban. Alhamdulillah semuanya juga berjalan lancar dan mudah.

24-26 Julai: dah terasa sakit-sakit perut yang ketara... doa supaya bersalin selepas Asma' selesai trial UPSR yang berakhir Rabu 28 Julai.

27 Julai... malam tu dah terasa sakit makin kuat tapi buat kerja macam biasa. Cuci kain, masak, mengemas dsb. Tapi dah tengahari tu, rasa tak tertahan pulak sakitnya. Telefon segera abang Azam, suruh dia balik tengahari tu juga. Tunggu anak-anak balik sekolah, siap dan terus ke Pusat Rawatan Putra, Sg. Buloh.

4.00 ptg: tiba di hospital, doktor suruh masuk wad terus tapi K.An nak buat CTG dulu. Dah buat CTG, cek pintu rahim dan contraction, doktor kata kena tahan daaa......

6.00 ptg, sekali lagi cek memang sah dah nak bersalin. Doktor K.An kata dia akan datang segera untuk sambut baby...

7.15 mlm: doktor pecahkan air ketuban dan selepas tu mula contraction yang lebih kerap. Pukul 8.15 mulalah proses kelahiran...

8.43 malam: K.An selamat melahirkan bayi Munirah ke dunia ini.. Alhamdulillah....


Terima kasih tak terhingga kepada semua yang mendoakan K.An dan baby dan kepada semua kakitangan Pusat Rawatan Putra Sg. Buloh yang dah macam ahli keluarga kami sendiri.. Jasa kalian dikenang selamanya...

Saturday, July 24, 2010

Nasi Dagang Terengganu dan Gulai Ikan Tongkol

Masuk yang ini dah 3 kali K.An buat nasi Dagang Terengganu berlaukkan Gulai Ikan Tongkol resepi yang disalin daripada rumah Mat Gebu beberapa bulan lepas.

Sebelum ni tak masukkan dalam periuktanah sebab tak berapa cukup bahannnya. tapi kali ni, semua bahan lengkap tapi rasanya tak banyak lari daripada yang K.An masak sebelum ni. Memang puas hati sebab dapat rasa keasliannya.
Dulu-dulu ada kawan K.An orang Terengganu yang bekalkan rempah siap, tapi sejak pindah ke sini, terpaksalah buat ramuan sendiri. Dengan resepi ni, tak kempunan le K.An nak makan nasi Dagang asli ni..
Terima kasih banyak Mat sebab tolong sebarkan resepi sebab kalau Mat yang masak, insyaAllah boeh sangaaat dipercayai...

Bahan-bahan Nasi Dagang:

K.An yang dah 'buyong' ni masak yang simple je, tak pakai pengukus sebab nak cepat... Nak versi kukus, cari kat Dapur Mat ye..

2 cawan beras super 5%- basuh dan toskan
1/2 cawan beras pulut- basuh dan toskan
4 cawan santan cair- ikut citarasa.. kalau nak pekat sikit pun tak apa. K.An jaga kesihatan..heheheh
3 ulas bawang merah dihiris
1/2 inci halia dihiris
1/2 sudu teh halba biji
garam secukup rasa

Cara memasaknya: Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.


Gulai Ikan Tongkol: sumber Mat Gebu

K.An dah kurangkan sikit ikannya sebab yang ini pun dah banyak. Mat kata dia dapat tips memasak gulai ni daripada Kak Maz.., bolehle jenguk dapur Kak Maz sekali ye..

Bahan-bahan:

1 ekor ikan tongkol 500 gm- potong kecil
4 keping asam gelugor(keping)
1 camca besar gula melaka
1 st garam
1/2 inci halia-hiris
3 ulas bawang putih- diketuk
air secukupnya

**** rebus semua bahan di atas hingga ikan empuk. K.An rebus dalam periuk tekanan selama 1/2 jam hingga tulang ikan pun lembut. Jika guna periuk biasa biarkan rebusan mendidih selama 1 jam

Bahan lain:

700 ml santan sederhana pekat
1 batang serai dititik
5-6 biji cili padi- ketuk
1 sudu besar kerisik
garam dan gula
2 sudu besar cili kisar - K.An letak 5 sudu besar sebab suka lebih pedas

Bahan dikisar halus:

8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 sm lengkuas
2 sudu besar ketumbar- ganti dengan serbuk pun ok jugak rasanya
1 st jintan putih
2 biji buah keras

Cara memasaknya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan kerisik. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan 1 cawan air rebusan, santan, ikan, cili padi, asam gelugor , serai, garam dan gula. Masak Gulai hingga kuah pekat.

Matikan api dan sedia dihidang bersama nasi dagang dan acar mentah/ jelatah.

*** gulai Ikan tongkol lebih sedap setelah dipanaskan berulangkali seperti kuah laksa utara.


Bubur Nasi je...

Sekali-sekala makan bubur nasi macam ni sedap tau... buat sahur boleh, sarapan boleh, buat supper pun ok juga. Kena pulak kalau dalam pantang.. berselera juga bila nampak sup ayam yang dipadankan bersama. Yang kecil, besar, tua, muda, semua boleh makan...

Bubur ni pun K.An jamu mak dan adik-adik untuk sarapan masa mereka di sini hari. Kena pulak anak Kimi- hanany tengah sakit mulut, boleh le dia menjamah bubur nasi dengan sup ayam..

Resepi nak juga ke...? Senang bangat nih... tapi bagi yang tak pernah buat sebab tak ada anak kecik kat rumah, tak tahu juga sukatannya yang sesuai.

Untuk bubur nasi: (hidangan untuk 5 orang)

1 cawan beras super 5%- basuh dan toskan
5 cawan air
sedikit garam


Cara membuatnya:
1)
1. Masukkan air ke dalam periuk biasa. Didihkan. Masukkan beras dan perlahankan api. Biar bubur mendidih dan kacau sekali-sekala agar tidak melekat. Proses agak lama hinggalah nasi menjadi bubur. Masukkan garam dan kacau sebati. tak perlu masin sangat sebab nanti dimakan dengan sup.

2)
Masukkan beras , garam dan air ke dalam periuk nasi elektrik yang ada fungsi bubur. Tekan on dan biar masak.

3)
Cara paling pantas ialah menggunakan periuk tekanan. Masukkan beras, air dan garam ke dalam periuk. Tutup rapat tudungnya dan hidupkan api besar. Biarkan hingga mendidih dan keluar wap. Perlahankan api dan biar 15 minit. Matikan api, buka tudung periuk dan kacau sebati. Jika ingin bubur lebih pekat, hidupkan api perlahan dan masak lagi hingga bubur pekat dengan periuk terbuka.

Sediakan sup ayam. Keluarkan ayam dan carikkan isinya. Gunakan untuk ditabur di atar bubur. Bahan-bahan lain.

Bawang goreng,
daun sup/ bawang,
kacang tanah goreng,
ikan bilis digoreng
telur masin
lobak masin
kicap pedas- kisar 2 ulas bawang merah bersama 10 biji cili padi akar. Campurkan dengan 1/2 cawan kicap manis, sedikit garam dan perahan limau kasturi

Masukkan bubur ke dalam mangkuk. Cedokkan sup dan tabur bahan lain. Sedia dinikmati


Thursday, July 22, 2010

Pau Kacang Merah

K.An suka tetamu datang berkunjung ke rumah sebab tetamu ni bawak rezeki. Selain suasana meriah, juga boleh merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita. Lagi pula bila tetamu datang, kita akan masak lain sikit berbanding hari biasa kerana mengikut selera tetamu yang datang.
Bila mak dan adik-adik K.An datang baru ni, K.An sempat buat pau kacang merah yang jarang dibuat sendiri di rumah. Almaklum tak ramai yang rajin buat intinya kan.. Kebetulan K.An baru je beli inti kacang merah yang dah siap di kedai bahan-bahan kek masa 'check-up' perut baru-baru ni. Ada mak, boleh le menolong membuatnya.. K.An buat banyak sebab nak bagi jiran sekali...
Intinya beli dah siap... jadinya, tak ada resepi kat sini... ampun ye... Dohnya K.An cuba resepi baru daripada majalah Saji keluaran Februari 2009. Resepi oleh Encik Shamsudin Mapiah dari Sungai Merab, Bangi, Selangor. Resepi asal berintikan kelapa, K.An ganti dengan kacang merah.

Bahannya lain sedikit daripada yang selalu K.An buat sebab ditambah baking powder dan lemak sayuran (shortening) Hasilnya memang memuaskan hati. Lembut, gebu dan tidak 'penyek' walaupun selepas 5 jam dikukus (simpan dalam bekas bertutup setelah disejukkan)

Resepi ni menghasilkan lebih kurang 40-45 biji pau... Kalau nak sikit buat separuh adunan je ye...

Bahan-bahan:

1 kg tepung pau (K.An guna 500 gm tepung pau + 500 gm tepung gandum biasa)
200 gm gula kastor
1 sudu besar yis kering
1 sudu besar baking powder (serbuk penaik)
500 gm air- masukkan sedikit demi sedikit sebab tepung berlainan jenis, memerlukan jumlah air berbeza
1 sudu teh garam
125 gm lemak sayuran (K.An letak 100 gm je)

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kering ke dalam mangkuk dan gaul sebati.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli.
3. Masukkan lemak sayuran dan uli lagi sehingga menjadi doh yang kenyal dan lembut. Lebih mudah jika guna mesin atau ke dua belah tangan. Doh lembut dan tidak melekat di tangan. Tambah sedikit tepung jika doh melekat.
4. Ambil sedikit doh dan bulatkan sebesar bola pingpong. Leperkan dan isikan inti secukupnya. K.An letak banyak inti sebab anak-anak suka inti kacang merah yang banyak. Bulatkan kembali menggunakan tapak tangan.
5. Letakkan kuih pau diatas lapik kertas minyak atau daun pisang. Susun di dalam loyang dan biarkan selama 30 minit. Ulang proses sama sehingga doh habis. Sementara tu bolehlah dipanaskan pengukus dan kukus kuih selama 10-15 minit.

Sedia dihidang panas-panas.....


Sebahagian pau ni dimakan segera, sebahagian dibekalkan untuk mak balik kampung, sebahagian bagi jiran sebelah dan tinggal 6 biji lagi, K.An masuk dalam freezer dan kukus semula pagi esoknya untuk sarapan pagi..... puas hati. Alhamdulillah...

Foto terkini...

Perut dah mula sakit-sakit.... badan dah makin berat.. jalan pun dah makin perlahan. Apa taknya, K.An + 11 kg nak dibawa ke sana-sini... hihihhii.... Hujung Minggu ni dah masuk minggu ke 38. Kebiasaannya K.An bersalin awal daripada tarikh. Paling awal, 'Aisyah yang lahir di minggu ke -36. Maryam minggu ke 38 + 3 hari... Yang ini belum pasti lagi walaupun ikut tarikh, 17 Ogos. Entah-entah keluar 1 Ramadhan... ambik berkat bula mulia...
Apapun, doakan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah ye..

Wednesday, July 21, 2010

Kunjungan Keluarga dan Potluck

Minggu lepas, hari yang sibuk dan penuh dengan aktiviti kerana kunjungan mak K.An dan adik-adik dari kampung. Sebenarnya adik K.An menjalani pembedahan kecil jantung di IJN pada 15 Julai lepas. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Seperti kebiasaan kami, bila ada peuang berkumpul, aktiviti wajib kami ialah buat majlis kesyukuran keluarga + makan-makan. Dalam perkataan lainnya 'potluck'. Bukannya susah pun, masing-masing masak ikut kepakaran sendiri. Lauk-pauk mudah dan kuih-muih biasa pun jadi sedap bila makan ramai-ramai.
Kami buat di rumah adik K.An ,Mun di Semenyih sebab mak dan adik bermalam di sana dulu sebelum ke rumah adik-beradik yang lain. K.An masak lauk yang orang lain tak kuasa nak masak sendiri. Daging Dendeng... (nak resepi, cari kat cari resepi tu ye...)
Sambal tempe sebab di kampung K.An susah nak dapat tempe sedap. Kegemaran semua....
Kuih apam dan kek pisang sebab yang ini yang mudah untuk ibu sarat mengandung. Satu adunan apam beras dapat lebih kurang 60 ketul. Satu adunan kek pisang pulak boleh dapat lebih kurang 40 potong.... Kan senang tu...

Tuan rumah, Mun buat laksa, sup sayur, sambal belacan + ulam-ulaman dan sedia buah-buahan sebagai pencuci mulut.
Sorang lagi adik K.An -Nida, bawak sate Kajang dan buat puding santan pandan dan agar-agar merah.... Semuanya sedaaap.. Alhamdulillah.
Selepas Asar, kami ke rumah Kak T dan dijamu dengan Mee/ Kue-teow sup tulang, cucur badak dan kuih koci.... Memang best....

Thursday, July 15, 2010

Classic Blueberry Muffins

Assalamulikum wrt...

K.An belum bersalin lagi ye...heheheh... cumanya pergerakan dah makin perlahan dan terhad.. almaklum usia dah meningkat, tenaga pun dah makin kurang. Masak hari-hari, resepi ulangan je.. campur dengan masak makanan kegemaran suami dan anak-anak, sementara larat ni.. macam-macam permintaan nak kena penuhi...

Minggu lepas sempat juga luangkan sedikit masa buat menu kegemaran diri sendiri pulak. Ada baki jem blueberry, dapatle K.An buat mafin ni.
K.An suka resepi klasik yang menghasilkan mafin sebenar dan bukan kek cawan seperti kebanyakan resepi sekarang. Kalau nak tahu, ada beza antara kek dan mafin ni. Teknik menyediakan mafin lebih mudah dan ringkas, menggunakan susu sebagai bahan utama dan teksturnya bersarang, kasar dan garing di luar. K.An sukakan mafin sehari selepas dibakar kerana lebih lembab dan lembut.

Resepi ni K.An ambil dari buku resepi lama K.An "Muffins and Quick Bread" terbitan Richard Carroll" (2000).

Bahan-bahan: (menghasilkan 6-8 biji mafin besar)

315 gm tepung naik sendiri
1 sudu teh baking powder
90 gm gula
2 biji telur A dipukul sebentar- guna garpu atau whisk
250 ml susu segar
60 gm mentega dicairkn
125 gm bluberry segar -jika ada.... Hana.. pos sikit kat K.An!!! hehehe... (tak ada, K.An guna jem bluberry je..
2 sudu besar 'coffee sugar crystals'- K.An guna gula perang

Cara membuatnya:

1. Ayak tepung dan baking powder ke dalm mangkuk. campurkan gula, dan gaul rata menggunakan senduk.

2. Campurkan telur, susu dan mentega di dalam mangkuk lain. Gaul rata. Campurkan bahan basah dan kering bersama . Gaul sebati menggunakan 'senduk atau 'whisk'. Gaulkan bluberi segar jika ada.

3. Sendukkan adunan ke dalam acuan mafin yang di alas mangkuk kertas. Masukkan jem bluberi ke dlam piping bag. Paipkan jem ke dalam adunan. Taburkan gula perang di permukaan mafin.

4. Bakar mafin pada suhu 190 darjah celsius (api atas dan bawah) selama 20-30 minit atau sehingga mafin masak.

*** parutan kulit oren boleh juga dicampurkan ke dalam adunan untuk menambah keenakan mafin.



Thursday, July 8, 2010

Tat Keju Bluberi

Assalamualaikum wrt...

Demam Piala Dunia makin terasa akan meninggalkan kita.. kalau panjang umur dapatlah kita menonton lagi aksi jaguh-jaguh bolasepak dunia 4 tahun dari sekarang.... sedih pulak rasanya sebab kali ni K.An pun turut serta menyaksikan hampir setiap perlawanan disebabkan jadualnya bersesuaian dengan waktu santai kami sekeluarga....

Minggu depan, rutin harian kita pun akan kembali seperti biasa... tinggal menunggu bulan Ramadhan pulak menyambut kita sebulan dari sekarang insyaAllah..

Hujung minggu baru ni, bila anak bujang K.An balik bermalam, sperti biasa K.An buatlah sesuatu yang istimewa sikit untuk minum petang keluarga. Asalnya nak buat 'cheese cake' tapinya bila terpandang 'cheese tart' kat rumah Ira menu pun bertukar. Macam biasa belek koleksi majalah kat rak buku, terjumpa beberapa resepi tat keju yang nampak menyelerakan. Dalam banyak-banyak tu, K.An pilih yang menggunakan bahan yang mudah dicari dan mudah cara menyediakannya.

Masa tat ni dibakar, terbukti pilihan resepi kali ni tidak silap... baunya sungguh mengujakan. Bila siap... rasanya pun sungguh enak.. tak kalah rasa tat di hotel-hotel dan bakeri yang pernah K.An nikmati. Terima kasih, Puan Salhah Bujang dari MYSAL HOMEMADE CAKE yang berkongsi resepinya dalam Majalah Rasa Edisi Aidilfitri 2008. K.An pernah cuba resepi Roti Arab daripada beliau sebelum ni.. juga tak mengecewakan..

Jom kita tengok resepinya:

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 40 biji tat saiz besar)

Bahan Pastri Tat:

250 gm mentega- sederhana lembut
120 gm gula aising
500 gm tepung gandum
2 biji kuning telur
2 sudu teh esen vanilla
2 sudu teh air sejuk

Bahan inti keju:

500 gm krim keju
50 gm mentega
120 gm gula halus
2 biji telur

Hiasan:
jem bluberi secukupnya

Cara membuatnya:

1. Untuk pastri; campur tepung dan gula aising di dalam mangkuk. Campurkan mentega dan gaul ramas hingga menjadi 'crumb' kasar.

2. Masukkan esen vanilla, kuning telur dan air sejuk. Uli hingga menjadi doh lembut. Rehatkan selama 15 minit.

3. Canai dan terap ke dalam acuan yang telah dilenser dengan mentega dan bakar daam ketuhar bersuhu 180 darjah Celsius selama 10- 20 minit atau setengah masak. (K.An bakar hingga masak sebab suka rasanya yang lebih rangup.)

4. Bila siap, keluarkan daripada acuan dan sejukkan seketika.



Untuk membuat intinya:

1. Pukul krim keju (K.An guna Philadelphia cream cheese), mentega dan gula hingga kembang dan lembut. (high speed)

2. Masukkan telur dan pukul hingga sebati (kelajuan sederhana)

3. Masukkan ke dalam 'piping bag' dan paipkan ke dalam pastri yang telah dimasak tadi. Paipkan jem bluberi di atas adunan keju.

4. Bakar selama 15 minit pada suhu 180 darjah Celsius. (tak perlu guna kaedah 'Bain marie')


**** masing-masing nak jem banyak dan tulis nama sendiri..... yang ni sebelum dibakar
***** K.An senagaja buat pastrinya tebal sedikit supaya sesuai dengan inti keju yang diisi. almaklum kalau banyak sangat keju, nanti rasa muak pulak.

*** tat keju ni sungguh sedap dimakan setelah disejukkan di dalam peti ais.

Monday, July 5, 2010

Pengat Biji Nangka

Assalamualaikum wrt semua...

Entah kenapa, hari-hari yang berlalu terasa begitu pantas.... rasa baru je bangun tidur, tau-tau dah tengahari.... siap masak, makan.... tau-tau dah lewat petang.

Rasa macam baru je pergi buat pemeriksaan bulanan pertama untuk 'baby' dalam perut ni, tup-tup... dah masuk 8 bulan kandungan ni... tak lama lagi bertambah le ahli rumah ni.... memang cepat masa berlalu.
Sebelum terlewat, jom kita semak resepi hari ni..

Pengat Biji Nangka ni sedap juga dibuat juadah berbuka puasa. Mau 2, 3 mangkuk habis kalau dah jatuh cinta dengan rasanya. Di rumah ni, semua anak-anak K.An suka... buat tak rugi sebab habis licin tak berbaki. Kalau di Pantai Timur orang panggil Kuih Butir Nangka. K.An panggil pengat Biji nangka dan K.An tambah dengan isi nangka agar rasanya lebih enak dan berlainan daripada pengat yang lain.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 1/2 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung beras -k.An letak agar kuih tidak terlalu kembang, tak letak pun tak apa
3/4 cawan air suam dicampur sedikit pewarna hijau
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh air kapur cair
4-5 biji nangka- dibuang biji dan gunting kecil-kecil
1 helai daun pandan- carik dan simpul

Untuk kuah:

2-3 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1 cawan pati santan


Cara membuatnya:

1 Masukkan tepung pulut, tepung beras, garam dan air kapur ke dalam mangkuk. Campurkan air beserta pewarna hijau sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut.

2. Ambil sedikit tepung, dan bentukkan menjadi bulat bujur seperti di dalam gambar. Susun di atas pinggan/ talam yang ditabur sedikit tepung. Buat hingga habis.

3. Didihkan 2-3 cawan air bersama daun pandan. Masukkan kuih yang siap tadi dan masak hingga timbul seperti memasak buah melaka.

4. Apabila masak kesemuanya, masukkan gula, nangka dan pati santan. Perlahankan api. Masukkan sedikit garam dan kacau hingga pengat mendidih sekali lagi. Matika n api dan sejukkan sebelum dihidang.
****K.An suka makan sebarang pengat atau bubur beberapa jam selepas dimasak kerana ketika ini, rasa kuah telah sebati dengan kuih dan pengat menjadi lebih pekat.

Monday, June 28, 2010

Talam Keladi

Mesti cuba resepi ni sebab inilah Talam Keladi yang paling sedap yang pernah K.An cuba buat. Sebelum ni dah cuba beberapa resepi daripada pelbagai sumber di internet, tapi K.An tak ulang sebab tidak menepati citarasa K.An.

Baru-baru ni sambil lalu beli batang keladi untuk Asam Pedas Pari, K.An beli sekali ubi keladi dengan niat membara nak buat talam keladi. Setelah di'google' K.An tertarik dengan resepi dari blog myzana - dapur myzana.blogspot.com. Puas hati dengan rasanya, K.An kongsikan resepinya di sini. Boleh buat juadah berbuka puasa hari ni ye....

Terima kasih zana atas resepi yang sungguh sedap.. 5 ***** K.An bagi. Cara membuatnya K.An dah ubahsuai sedikit mengikut pengalaman yang ada agar kuih menjadi elok.

Bahan-bahan: (K.An cadangkan buat separuh adunan jika pertama kali cuba. Gunakan loyang saiz 7 inci agar kuih tidak terlalu tebal)

***Resepi yang ini adunan penuh ye.(sesuai untuk loyang 10 inci atau 2 loyang 6 1/2 atau 7 inci)
- boleh jamu satu kampung...heheheh...

Lapisan Bawah:
300 gm keladi
600 ml santan cair (daripada 1/2 biji kelapa)
150 gm tepung beras
20 gm tepung ubi (lebih kurang 2 sudu besar)
1/2 sudu teh garam- K.An lebihkan sikit, sebab ingin rasa lebih lemak masin

Lapisan Atas:

250 gm gula pasir
1 cawan tepung beras
3 cawan santan pekat (daripada 1 biji kelapa)- K.An campurkan 1 1/2 cawan pati santan (krim) dengan 1 1/2 cawan air
1/2 sudu teh garam
pewarna ungu dan esen keladi
Cara membuatnya:

1. Kupas keladi dan cuci bersih. Potong dadu dan rendam dalam air garam selama 10 minit. Petua K.An untuk hilangkan gatal jika ada. Toskan dan cuci bersih sekali lagi.

2. Panaskan pengukus. Masukkan keladi ke dalam penapis dan kukus selama 15 minit. Asingkan 3/4 bahagian keladi dan masukkan ke dalam pengisar bersama santan cair. Kisar hingga halus.

(K.An tinggalkan 1/4 keladi lagi dalam bentuk dadu sebab K.An suka lapisan bawahnya apabila dikunyah ada rasa keladi asli.

3. Masukkan bahan yang dikisar bersama baki ubi keladi, tepung beras, tepung ubi dan garam ke dalam periuk. Hidupkan api perlahan dan gunakan whisk untuk mengacau agar adunan rata dan tidak berketul. Masak hingga campuran pekat.

4. Sediakan loyang bersaiz 10 inci (jika buat adunan penuh) dan panaskan pengukus. Lengser loyang dengan sedikit minyak. Masukkan adunan lapisan bawah (sebaik diangkat dari dapur) ke dalam loyang dan kukus 15-20 minit)

5. Sementara tu, sediakan lapisan atas. Campurkan kesemua bahan dan kacau sebati dengan 'whisk'. Tapiskan ke dalam periuk dan masak sebentar menggunakan api perlahan hingga adunan hampir pekat. (Jika terlalu pekat, nanti permukaan kuih talam tidak licin)

6. Tuangkan adunan ke atas lapisan bawah yang dicakar dengan garpu dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak. Angkat dan sejukkan sepenuhnya (3-5 jam) sebelum dipotong. Selalunya kuih talam (sebarang jenis talam kukus) dibuat di waktu malam dan boleh dinikmati di waktu pagi.
Sedia dihidang....

Friday, June 25, 2010

Kerutuk Ayam Adabi

Assalamualaikum dan Salam Jumaat semua... hari penuh keberkatan dan kenikmatan kepada seluruh umat Islam.. Kepada yang berpuasa sunat semalam pasti lebih terasa kemeriahannya.. Banyakkanlah bersedekah agar rezeki yang ada tambah berkat...
Hari ni kita masak istimewa sikit sempena hari Jumaat. Juadah Pantai Timur ni selalunya disajikan di Hari Raya ataupun dipadankan dengan nasi minyak ketika kenduri kendara... Inilah kali pertama K.An masak kerutuk sebab di tempat K.An tak ada masakan begini.

Minggu lepas masa mencari bahan-bahan masakan termasuk rempah ratus yang dah susut stoknya di dapur K.An, ternampak rempah Kerutuk Adabi di rak rempah ratus... Bagus juga kalau mencuba. Resepi pun dah tersedia... Beli ayam dan bahan-bahan lain, dan kita masaak....

Resepinya k.An ikut yang ada di peket rempah. Dah siap, rasa macam kurang pedas, K.An ketuk 5 biji cili padi dan campur semula dalam masakan... mmmp.. baru naik rasanya.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 peket rempah kerutuk Adabi
800 gm ayam dipotong kecil
2 sudu makan kerisik
1 1/4 cawan santan pekat- daripada 1 biji kelapa

Bahan A: (dikisar)
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih

Bahan B:( dikisar)
1/2 inci halia
5 ulas bawang putih
1/4 inci lengkuas

2 batang serai ditumbuk
80 gm gula merah/ gula melaka
1 sudu teh pati asam jawa Adabi
2 cawan air
garam secukup rasa

Cara memasaknya:

1. Bancuh rempah kerutuk dan bahan A dengan sedikit air.
2 Panaskan minyak dalam periuk. Tumiskan bahan B bersama serai hingga wangi. Masukkan Campuran rempah dan tumis hingga pecah minyak. (gunakan api perlahan dan gaul sekali-sekala)

3.Kemudian masukkan ayam, kerisik, santan pekat, asam jawa, air dan gula merah. Masak sehingga pekat. Masukkan garam dan cili padi yang diketuk. Gaul rata. Jika cukup rasa, bolehlah dimatikan api dan dihidangkan.

Thursday, June 24, 2010

Ketupat Pulut Jagung Manis

Jangan marrrrah ya.... hari ni punya menu pun mengimbau gema takbir raya ye.... macam terdengar-dengar pulak masa menjamah ketupat pulut jagung manis dengan kari ayam.. macam yang K.an kata sebelum ni, sementara boleh makan ni, K.An dah mengatur macam-macam menu yang kena 'pantang' masa lepas bersalin nanti.. terutamanya juadah Raya... huhuk.. tak le nanti rasa kempunan tak dapat menjamahnya..

Kebetulan minggu lepas ada tempahan pulut kuning dengan Kari ayam dan kek pisang daripada teman pejabat Abang Azam. Cikgu Azhari siap bagi beras pulut sekali... melihatkan banyaknya beras tu, K.An saja ketepikan sikit untuk buat ketupat pulut jagung manis ni supaya ada kepelbagaian... Alhamdulillah, kata Abang Azam, awal-awal lagi ketupat ni licin sebab jarang jumpa kat tempat lain kan... tak rugi buat..

Bahan-bahan:

3 cawan beras pulut
3 cawan santan sederhana pekat daripada 1 biji kelapa- pastikan kelapa yang dimesin putih sahaja supaya rupa pulut tidak lebam. Kalau beli santan pekat dah siap tu, jangan masukkan hampasnya..
sedikit garam
1/2 cawan jagung manis- yang dipeket atau jagung segar dihiris. (boleh tambah kalau suka lagi banyak jagung

*** sedikit gula jika nak rasa macam ketupat manis pantai timur- K.An tak letak sebab dah ada rasa jagung manis.

5-8 helai daun pisang berukuran 7 X 8 inci- dilayur terlebih dahulu
*** boleh guna daun palas jika ada

tali rafia untuk mengikat

Cara membuatnya:

*** Boleh Rujuk juga di 'Entry' Pulut Pasong

1. Masukkan pulut, santan, garam dan jagung ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa hingga masak. Biar suam-suam sedikit sebelum dibalut.

2. Sediakan daun pisang. Sendukkan pulut ke atas daun pisang. Padatkan seperti membuat lopes. Bentukkan silinder dan gulung kemas.

3. Ikat bahagian tengah. matikan ikatan dan potong tali. Padatkan di kedua hujung daun pisang. Ikat kemas setiap satu. Buat hingga habis pulut.

4. Panaskan kukusan. Susun ketupat di dalam periuk pengukus dan kukus selama 20 minit. Matikan api dan angkat ketupat. Sejukkan sebelum dipotong.
Dah siap potong, bolehlah dihidang bersama kari ayam, rendang daging atau ayam, serunding dan daging dendeng....

Jemput semua..

Tuesday, June 22, 2010

Asam Pedas Pari dengan Keladi

Dah selalu sangat buat Asam pedas sekarang ni sebab anak-anak K.An dah makin suka makan makanan pedas. Kalau tak ada pedas, semua sibuk mencari cili padi nak dipicit ke dalam nasi.... hmmm... lidah ngan tekak orang Melayu.. semuanya kena bercili.

Walaupun dah berpuluh kali masak asam pedas, tak kiralah ikan kembung ke, daging tetel (mmmph sedapnya..) ayam, ikan tenggiri masih tak jemu lagi.... Kali ni ter'rajin' sedikit K.An tambah keenakannya dengan keladi... Lagi banyak batangnya... lagi sedap..

Resepi macam biasa sama je, tapi K.An letak semula untuk kemudahan semua..... Bila dah selalu buat dan pandai ... campak-campak je... tak payah dah ikut resepi.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

300- 500 gm ikan pari dipotong kecil- K.An letak lebih sebab ikan pari ni 'febret' anak-anak
5-8 ulas bawang merah- lagi banyak lagi sedap
1 sudu teh belacan siap dibakar (1 sm persegi lebih kurang)
3 ulas bawang putih
1/2 cawan cili kisar pekat
3 biji cili padi diketuk
1 cawan air asam jawa- K.An bancuh 1 sudu besar pati asam jawa Adabi dengan 1 cawan air
2 keping asam keping
daun kesum secukupnya
4 batang keladi- beli kat pasar yang ada batang panjang dan sedikit ubinya
garam, gula secukupnya
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Kisar bawang merah, bawang putih dan belacan hingga halus. ketepikan.
2. Potong batang keladi sepanjang 2 inci dan ubinya setebal 1/2 sm. Kupas bahagian luar batang keladi,( macam kupas kulit sengkuang) dan rendamkan di dalam air sementara siap semua batang dikupas.
3. didihkan air secukupnya di dalam periuk bersama 2 keping asam keping. Masukkan ubi dan batang keladi dan rebus hingga separa empuk. Matikan api, toskan dan masukkan air lagi dan rebus sekali lagi hingga empuk. Proses ini adaah untuk menghilangkan rasa gatal keladi.
Toskan dan sedia digunakan.

4. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga berbau semerbak (terutamanya berbau belacan). Proses ini menentukan kesedapan asam pedas. kalau tak cukup tumis, kurrrreng sedapnya nanti.

5. Masukkan cili kisar dan sedikit air. Tumis lagi hingga terbit minyak. Kacau sekali-sekala. Bila dah pekat, masukkan air asam jawa. Biar mendidih.

6. masukkan ikan, cili padi dan 1 cawan air. Apabila ikan masak, barulah dimasukkan keladi, garam dan sedikit gula. Jika ingin lebih masam tambahkan asam keping. Nak kuah lebih, tambah sedikit air. Didihkan dan tutup api. sedia dihidang.

***** ikan parinya licin dikerjakan anak-anak, ubi keladi dan batangnya pulak, k.An dan abang Azam yang kerjakan... alhamdulillah... puas hati betul, sebab kalau di kedai, tak selalu dapat asam pedas yang 'kau' punya....

Monday, June 21, 2010

Pulut Tanak, Telur Dadar dan Sambal Ikan Bilis

Ramai yang bersemangat pagi ni nampaknya terutamanya kepada penyokong skuad Brazil... tahniah sebab menang 3-1, lewat pagi tadi ke atas Ivory Coast... (tapi kesian plak Kaka kena aniaya...huhuk...)

Kepada yang puasa sunat Bulan Rejab dan Isnin, selamat berpuasa... moga ibadah yang dilakukan akan menambah keimanan kepada Allah SWT.

Kepada yang belum bersarapan, masih tercari-cari hidangan yang nak dijamah... K.An bawakan pulut tanak bertemankan telur dadar dan sambal ikan bilis pagi ni... Lepas makan, semua pakat pergi kerja ye... pergi pejabat boleh, pergi kebun boleh... tak pun pergi cuci kain ye... bakar semua lemak-lemak yang terkumpul... kalau makan kat kedai, balik 'opis'.. naik tangga... jangan naik lif tau... hehehheh....

Set ni tak perlu resepi kot... sebab masak pulut macam biasa je:

Sukatan 1:1 .Contohnya 1 cawan beras pulut denganh 1 cawan air.

Caranya:
1. Kalau masak guna periuk nasi, Basuh beras pulut, toskan...
2. Didihkan air bersama 1 sudu besar minyak masak dalam periuk nasi. Bila air mendidih, masukkan beras pulut. Kacau sedikit dan tutup periuk. Biarkan hingga masak. Boleh dihidang bersama lauk-pauk kegemaran..

*** kepada yang ada periuk tekanan, memasak pulut lebih cepat mudah jika tahu caranya. Masukkan beras pulut, air dan sedikit minyak masak ke dalam periuk tekanan. Hidupkan api sederhana besar (di atas dapur gas) bila keluar wap... kecilkan api.. paling kecil. Biar 5 minit. Matikan api dan tunggu sehingga periuk boleh dibuka. (atau buka injap tekanan, jika ada) Kacau dan sedia dihidang

Sunday, June 20, 2010

Sotong Tumis Berempah

Assalamualaikum wrt...

Mesti ramai yang dok mengadap TV menonton Piala Dunia waktu ni.... bola, bola juga, jangan sampai dapur tak berasap ye... kang tak pasal-pasal kena makan cucoq bola pulak... (teringat iklan Adibah Nor masa musim Piala Dunia lepas... hihihi...kelakar)
Dalam sibuk menonton tu, jom ke dapur kejap... kita masak sotong tumis berempah ni.. selalu jumpa kat kedai mamak lauk-pauk macam ni... ringkas, tapi membuka selera..
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

300-500 gm sotong- bersihkan dan potong kecil
1 sudu besar rempah kari
sedikit serbuk kunyit
3-5 tangkai kacang buncis- hiris serong
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai cili merah- hiris serong
1 tangkai daun kari-lurut daunnya
1/2 labu bawang besar, dihiris membujur
1 biji tomato- dibelah 6
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak masak

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak untuk menumis. Tumis bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga wangi. Masukkan rempah kari (bancuh sedikit air) dan kacau hingga terbit minyak.

2. Masukkan sotong,serbuk kunyit, cili merah, bawang besar, tomato dan kacang buncis. Kacau dan tutup periuk hingga mendidih. Masukkan garam dan gula secukup rasa.Kacau hingga kuah pekat. (ikut citarasa)
Matikan api dan sedia dihidang.


Tuesday, June 15, 2010

Salad Ayam Seleri @ Kerabu Ayam 2

Sejak akhir-akhir ni, ingatan K.An tak berapa sempurna sikit. Agaknya banyak terminum air atau gula bekas semut yang dok berkeliaran di serata rumah ni...

Masa dok edit gambar ni, di ingatan K.An kerabu ayam je... bila dah selesai, jenguk semula resepi asal,..... alamak!!! rupanya, namanya Salad Ayam Seleri.... ikutlah nak guna yang mana pun. Salad tu 'omputih' kata, kerabu tu, Orang Melayu kata....

Bahan senang, sajian sihat, cara membuat pun saaangat mudah... Apa lagi, cubalah resepi ni. Walaupun ringkas, tapi cukup membuka selera.

Resepi asal daripada sekumpulan Chef Hotel Allson Klana, Putra Nilai, Negeri Sembilan. Disiarkan dalam Majalah Rasa Oktober 2009 Edisi Rumah Terbuka Hari Raya... (ramai chefnya, tak tau siapa punya air tangan..

Bahan-bahan:(hidangan untuk 5 orang)

200 gm isi ayam- potong kecil dan rebus dalam sedikit air

**2 batang seleri
**2 helai daun limau purut
**1 labu bawang besar holland
**2 batang serai
**5 biji cili padi

semua bahan bertanda** dihiris halus
1 sudu makan pes tomyam- ikut citarasa
1/4 sudu teh lada sulah
garam dan gula secukup rasa


Cara membuatnya:

1. Toskan isi ayam dan masukkan ke dalam mangkuk. Campurkan bahan lain yang telah dihiris dan tambahkan pes tomyam, lada sulah, garam dan gula.

Pes tomyam yang K.An gunakan. Boleh cuba jenama lain juga

2. Tambah sedikit air rebusan jika suka salad sedikit berkuah. Gaul rata dan sedia dihidang
*** baru-baru ni, K.An telah menjalani ujian kesihatan, dan telah dinasihatkan doktor agar kurangkan makanan berminyak walaupun mempunyai berat badan ideal... tapi nampak gayanya 'sinki' K.An pun dan macam sinki sumbat.... huhuk... terpaksalah kurangkan makan nasi lemak dan kuih-muih tradisi kegemaran K.An tu.... Kita makan salad ngan kerabu je ye..

Sunday, June 13, 2010

Nasi Jagung Sesuci Lebaran

Assalamualaikum semua..

Berlalu sudah 10 hari dengan pantas sekali... Pelbagai peristiwa yang berlaku dan aktiviti yang dilakukan bersama keluarga.. Ambik Kad Laporan Prestasi anak-anak, Maklong dimasukkan ke ICU (alhamdulillah dah kembali sihat), Hi-Tea bersama keluarga di Shah Alam, menghadiri kenduri kahwin dan kesyukuran dan balik kampung selama 5 hari.

Hampir 7 hari tak menjenguk komputer dek kerana liputan terhad di kampung dan aktiviti padat. Malam ni, diluangkan juga masa mengemaskini apa-apa yang patut..

Nasi Jagung ni dah lama beratur dalam senarai N3... dalam siri mengumpul resepi untuk bulan puasa dan hari Raya.. Walaupun lambat lagi, tapi mengingatkan yang K.An akan bersalin di awal puasa, banyak le juadah yang teringin dijamah sebelum masa berpantang nanti. Belek pelbagai majalah edisi hariraya dan puasa, K.An tertarik dengan Resepi Puan Ramlah bt Mohamad dari Bandar Puncak Alam, Selangor dalam Majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008. Dinamakan Nasi Jagung Sesuci Lebaran. Seperti biasa K.An ikut bahan-bahan yang diberi tapi kuantitinya dah disesuaikan mengikut jumlah nasi yang dimasak.

Memang sedap, tak muak tapi rasa lemak manis jagung gitu.... Silalah cuba..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-8 orang)

2 1/2 cawan beras Basmathi
1/2 cawan susu cair
2 sudu besar tomato puri
1/4 sudu teh lada sulah
1 labu bawang besar didadu
3 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
Buang cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis serba sedikit
5 biji buah pelaga
1/2 sm halia dihiris halus
1 helai daun pandan dicarik dan disimpul
1 cawan jagung manis- K.An guna yang dijual beku sedia untuk dikukus tu..
2 sudu besar margerin untuk menumis
1 sudu teh garam
3 cawan air rebusan ayam- K.An rebus beberapa ketul ayam bahagian bertulang dan ambil sebahagian airnya. Isinya K.An gunakan untuk buat dalca ayam

Cara memasaknya:

1. Basuh beras dan toskan. Letakkan periuk nasi di atas dapur gas. Hidupkan api dan masukkan margerin.
2. Tumis bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, daun pandan dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan beras dan goreng sebentar.
3. Masukkan tomato puri susu cair, garam, jagung dan air rebusan ayam. Matikan api dan letakkan periuk nasi pada punca elektrik.

4. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi mendidih, kacau rata dan tutup periuk semula. Biarkan hingga masak. Apabila nasi masak, gaul dengan senduk agar nasi peroi. Sedia dinikmati bersama lauk-pauk lain.

Yang mudah, K.An buat ayam masak merah dan dalca ayam. Buat juga acar mentah.

Tak rugi cuba... Nasi ni memang sedap. Terima kasih Puan Ramlah...

Wednesday, June 2, 2010

Makaroni Goreng

Alhamdulillah, anak-anak di sekolah Kebangsaan dah selesai menghadapi peperiksaan Pertengahan tahun dan telahpun mendapat keputusan cemerlang seperti yang diingini. Tahniah Asma' dan Sarah. Tinggal Iqbal di Tingkatan 3 yang masih berjuang hingga ke hujung minggu ni. Lega sikit dan rutin harian K.An pun kembali seperti biasa. Almaklum, bila anak-anak periksa, maknya yang lebih-lebih risau dan 'tension'. Anak-anak ni boleh releks je..


Sebagai pembukaan bulan Jun ni, K.an kongsi resepi mudah makaroni goreng. Sesuai sungguh dihidangkan di waktu minum petang dan menjadi kesukaan anak-anak sebab K.An letak sosej sekali...

Tak perlu panjang cerita, jom kita tengok resepi.

Bahan-bahan: hidangan untuk 5 orang dewasa

1 1/2 cawan makaroni- rebus dalam air mendidih yang dicampur sedikit garam hingga lembut. Toskan
1/2 cawan tomato puri
1 labu bawang besar didadu
1/2 cawan daging cincang- K.An guna daging segar (kalau guna daging kisar Ramly tu, jangan lupa letakkan dalam penapis dan lalukan dulu di bawah air agar daging bersih)
2 ulas bawang putih dicincang
3 sudu besar sos cili
1 tangkai cili merah dihiris
1/2 sudu teh oregano kering
1/2 biji tomato segar didadu
4 batang sosej dipotong kecil
sedikit sayuran seperti kobis dan karot yang dihiris halus
sedikit garam dan gula jika perlu
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu. Masukkan daging dan goreng hingga masak.

2. Masukkan tomato yang didadu, tomato puri, cili merah dan sos cili. Kacau hingga buah tomato lembut. Masukkan sedikit air, sosej dan sayuran. Tambah garam dan gula secukup rasa.

3. Masukkan makaroni yang telah direbus lembut tadi. Gaul sebati. Masukkan oregano kering dan kacau rata. Sedia dihidang.



Al-Fatihah

Pada 28 Mei 2010 (Jumaat), kami sekeluarga dikejutkan dengan pemergian Paksu Saufi (adik bongsu mak K.An) ke Rahmatullah. Arwah meninggalkan seorang isteri dan 5 orang anak yang masih kecil (yang sulung berusia 10 tahun). Mengikut laporan perubatan, arwah meninggal mengejut kerana serangan jantung. Walaupun sedih dan berat hati menerima berita tersebut, sebagai seorang Islam yang beriman dengan Qada' dan Qadar Allah SWT, kita yang hidup wajib merelakan pemergian tersebut dengan hati terbuka.
Setiap yang hidup, pasti menemui kematian dan setiap ketentuan Allah ada hikmah di sebaliknya. semoga Roh arwah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah.

Kami sekeluarga juga mendoakan agar Maksu, tabah menghadapi ujian Allah ini. InsyaAllah akan ada sinar di hujung jalan yang bakal menanti Maksu sekeluarga.

Maksu (kanan sekali) semasa turut serta di majlis perkahwinan adik K.An Hanida di Seremban.
Tak masuk pulak gambar arwah dan keluarga masa ni...

Thursday, May 27, 2010

Karipap Pusing

Assalamualaikum.... Hari ni kita layan tengok gambar ye... Kalau tak, nanti tak faham pulak.

Karipap pusing ni, K.An belajar cara membuatnya daripada Kakak sulung Kak An (pakar buat kuih juga ni... suami dia, Abg Mie, pakar masak lauk-pauk). Dah lama juga sesi pembelajaran tu (lebih 5 tahun lepas) dan beberapa kali buat ikut resepi yang dia ajar.

Baru-baru ni terfikir nak cuba cari resepi lain yang mungkin ada kelainan dan boleh perbaiki resepi lama. Terjumpa di fotopages kak Rinn, nampak ok jugak... K.An juga ada tengok resepi di MyResipi dan kat dapur Hana bulan Mac lepas. Berdasarkan pengalaman yang lepas dan resepi-resepi tersebut, K.An menghasilkan resepi ni yang K.An rasa puas hati.... Tengoklah nanti kalau terjumpa yang lain, Kak An kongsi lagi kat periuktanah.

Bahan-bahan:

Doh A:

3 cawan tepung gandum
1/2 cawan margerin
1 sudu teh garam
1/2 cawan - 3/4 cawan air sejuk dari peti ais

Doh B:

1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan margerin

Cara membuatnya:

1. Masukkan Bahan doh A ke dalam mangkuk kecuali air. Gaul ramas macam buat karipap biasa hingga jadi serbuk. Tambahkan air sedikit-demi sedikit hingga adunan menjadi doh lembut dan licin.

2. Bahagikan kepada 4/6/ 8 bahagian. K.An buat waktu malam dan dah mengantuk, jadi K.An bahagikan 4 je... (jumlah pembahagian ini menentukan saiz karipap tau... K.An punya karipap saiz harga 50 sen.

3. Masukkan pula bahan Doh B ke dalam mangkuk berasingan. Uli hingga jadi doh licin. Bahagika juga seperti Doh A (4/6/8 bahagian)
4. Rujuk gambar. Canai doh A dan isikan dengan bebola doh B. Bulatkan. Buat hingga habis.
5. Canai satu bebola doh yang telah diisi doh B anggaran 1 1/2 sm tebal. Gulung kemas. Canai sekali lagi. (doh akan jadi panjang)
6. Gulung sekali lagi. ke arah bujur agar gulungan jadi pendek. Potong guna pisau seeloknya yang bermata gergaji setebal 1 sm.

7. Canaikan dan terbalikkan. ( supaya corak yang terbentuk seperti diingini) Isikan inti secukupnya. (boleh semak resepi inti di post karipap keledek ye)
8. Kelim karipap seperti biasa. Doh sebanyak ni menghasilkan lebih kurang 30-35 ketul karipap. Malam tu sempat goreng 10 biji sebab anak-anak nak 'supper'. Yang lain K.An bekukan untuk sarapan esok pagi dan bekalan anak-anak ke sekolah juga suami ke pejabat.
*** Jika ingin simpan beku karipap, alas bekas dengan plastik dan setiap lapisan karipap. Goreng dengan minyak yang telah dipanaskan ketika karipap masih beku. Perlahankan api atau gunakan api sederhana agar karipap cantik ketika digoreng.

**** Gambar tu, warnanya agak tidak sekata sebab goreng waktu subuh untuk sarapan dan bekal anak juga suami. Nak cepat masak, guna api yang agak besar... petang tu, K.an goreng guna api perlahan, cantik je 'kaler' dia...

**** K.An suka resepi ni sebab lapisan tidak berderai ketika digoreng dan kekal rangup selepas 8 jam..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin