Wednesday, September 30, 2009

Chocholate Chip

Atas permintaan kawan-kawan yang nak cuba buat sendiri biskut ni, hari ni K.An kongsi resepinya. Resepi asal, Kak Eton juga, diperturunkan kepada Kak N (kakak sulung K.An) kemudian kepada K.An serta adik-beradik yang lain dan diperturunkan untuk semua pembaca periuktanah. Ini pun kegemaran kami sekeluarga dan kuih wajib setiap tahun...

Minta halal resepi ye Kak Eton.. moga lebih berkat hidup K.Eton sekeluarga..


Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 200 biji kuih... untuk percubaan buat separuh adunan pun dah banyak)
385 g margerin
200 g gula pasir halus
2 biji kuning telur
155 g tepung jagung
385 g tepung gandum
2 camca teh baking powder
2 camca teh esen vanilla
200 g coklat hirisan (cooking choc. yang dihiris kecil-kecil)
100 g cornflake ditumbuk kasar

** boleh tambah kekacang jika suka seperti badam, kacang tanah dsb ikut citarasa

Cara membuatnya:
1. Pukul margerin dengan gula hingga sebati. (guna kelajuan sederhana)

2. Masukkan telur dan esen vanilla. Gaul sebati menggunakan senduk. Masukkan coklat kesemuanya dan gaul denga senduk hingga adunan bertukar warna gelap dan coklat sebati
dengan adunan.

3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder. Uli hingga sebati.
4. Masukkan cornflake dan gaul rata. Bentukkan adunan menggunakan sudu dan garpu dan susun atas loyang yang telah dilengser dengan margerin. Hiaskan dengan chocolate chip.

5. Panaskan oven pada suhu 170 darjah Celcius dan bakar selama 15- 20 minit atau hingga biskut masak dan berbau harum

SELAMAT MENCUBA...

Kuih Lompang Kak Mah


Assalamualaikum wrt...

Minggu kedua Syawal, ramai yang dah mula puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal. Tapi ramai juga yang tak mampu melakukannya kerana dugaannya lebih besar berbanding puasa Ramadhan.. Kepada yang dah habis dan beraya, tahniah diucapkan. Kepada yang belum mula, masih sempat lagi untuk mencuba.

Kepada yang berpuasa dan nak resepi kuih untuk berbuka, hari ni, K.An kongsi resepi kuih Lompang tradisi ni yang sungguh enak dimakan waktu berbuka puasa. Resepi dan kuih dalam gambar adalah hasil tangan K.Mah (kakak K.An yang ke-2) di masak atas permintaan K.An ketika berkunjung ke rumahnya pada raya ke-4 lepas. Terima kasih K.Mah... mak mertua K.An pun suka sangat dapat makan lompang lembut dan elok berlubang di tengahnya..


Bahan-bahan:

1 cawan tepung beras
2 cawan air gula merah
3/4 sudu teh air kapur cair
1 camca besar tepung jagung

kelapa putih secukupnya digaul sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan dalam mangkuk. Gaul hingga sebati. Tapiskan ke dalam mangkuk lain.
2. Panaskan pengukus dan sediakan acuan. Sendukkan adunan ke dalam acuan dan kukus selama 15 minit atau hingga kuih masak.

3. Keluarkan kuih daripada acuan dan letakkan kelapa parut di tengahnya. Sedia dinikmati.

Monday, September 28, 2009

Rezeki di akhir Ramadhan


Ingat lagi masak lemak jantung pisang dalam entry beberapa bulan lepas..? Setelah sabar menunggu berbulan-bulan, akhirnya minggu akhir puasa lepas, masak juga pisangnya...

Tengokle sikit punya besar tandannya... Dapat 9 sikat semuanya. Dapat le k.An kongsi denga jiran tetangga dan siap boleh bawak balik kampung lagi.. 2 sikat untuk mertua dan 2 sikat untuk mak. K.An... alhamdulillah berkat berbudi pada tanah, ada hasilnya..




Masa K.An hantar pada jiran belakang rumah, dia bagi pulak serumpun daun pandan besar-besar tu, sebab dia tengah 'melapangkan' kebun belakang rumah dia... Apa lagi, buat tako le kita.. Hidangan untuk 'pot-luck' buka puasa di rumah K.T... alhamdulillah.
Tako (resepi) tak sempat posing elok-elok sebab nak cepat ke Semenyih, takut 'jem' kat jalan...

Cornflake Madu


Selain masakan lauk-pauk yang mudah, biskut raya pun K.An pilih yang mudah je... contohnya cornflake madu ni.. Rasanya, budak Darjah 6 pun boleh buat sendiri..... Tak tipu, memang betul..
Resepi asal daripada majalah rasa edisi syawal 2005..

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih 150 mangkuk kertas kecil)

280 gm cornflake
180 gm madu
140 gm mentega (k. An kurangkan jadi 120 g je, supaya tidak berminyak)
bijan secukupnya
*** boleh tambah hirisan badam, choc-rice dsb ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Cairkan mentega dan madu di dalam periuk. Sejukkan seketika,
2. Setelah sejuk, masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan cornflake dan gaul rata.
3. Sediakan mangkuk kertas di dalam loyang pembakar. Masukkan cornflake madu ke dalam mangkuk menggunakan sudu. Taburkan bijan. Buat hingga habis. Bakar pada suhu 150 darjah selama 10 minit.

Sejukkan sebentar sebelum dimasukkan ke dalam balang, bagi mengekalkan kerangupannya.

sedia dinikmati.



Fruity Cornflakes

Assalamualaikum semua... Salam Aidilfitri dan selamat kembali bertugas...

Setelah sekian lama bercuti dan beraya sakan di kampung, baru hari ni sempat menjenguk kembali periuktanah K.An yang lama terperap kat dapur tu.. Walaupun jadual beraya padat, tapi alhamdulillah kali ni, semua perancangan berjalan dengan lancar. Perjalanan balik ke Perak dan kembali ke Putrajaya juga lancar tanpa menghadapi kesesakan lalulintas...

Seperti biasa bila di kampung, walaupun ramai kakitangan di dapur, K.An tetap turut 'sinsing lengan' menyediakan pelbagai juadah untuk hariraya dan hari-hari selepasnya.. memang tak sempat kemaskini blog... maaf ye..

Hari ni , jadual K.An kembali seperti biasa... K.An kongsi resepi biskut ni yang dah bertahun-tahun K.An dan K.N buat sebab sedap dan tak jemu dijamah...K.An buat lagi biskut raya untuk hidangan jiran tetangga dan kawan-kawan anak-anak yang datang berkunjung ke rumah kat sini..
Resepi asal daripada K.Eton yang jual aneka biskut raya, tapi K.An dah hilang jejaknya... Apapun, terima kasih K.Eton..


Bahan-bahan: (menghasilkan lebih 200 biji kuih)

540 g margerin
265 g gula kastor
4 biji kuning telur
640 g tepung gandum
2 camca teh baking powder
240 g cornflake yang diramas kasar (tumbuk pun boleh)
180 gm kismis- gunting kecil (ikut citarasa, k.An buat separuh je)
ceri merah dan hijau sebagai hiasan
1 camca teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Pukul margerin dan gula guna kelajuan sederhana hingga sebati (2 minit ). Masukkan kuning telur satu persatu dan pukul lagi.

2. Masukkan esen vanilla. Gaul rata. Masukkan cornflake dan kismis. Gaul sebati menggunakan senduk.

3. Masukkan tepung yang telah diayak. Gaul rata. Lengser loyang. gunakan sudu dan garpu untuk membentuk kuih. Susun dalam loyang dan hias dengan ceri merah dan hijau.

4. Bakar pada suhu 175 darjah celsius selam 10-15 minit atau hingga biskut wangi dan keperangan.

Wednesday, September 16, 2009

Mee Hailam

Istimewa atas permintaan Nurul, K.An kongsikan resepi Mee Hailam Periuktanah- hasil gabungan pengalaman merasa aneka mee hailam di gerai, restoran, rumah terbuka dan sebagainya... Ada pengalaman enak dan banyak yang kurang enaknya...

Antara mee hailam yang masih K.An ingat kesedapannya, ialah di Cafe Kolam Renang UiTM Shah Alam (zaman K.An kerja 8 tahun lepas), mee hailam di Zai Tomyam dan mee hailam yang kakak K.An, K.t buat masa 'open-house' harijadi anaknya Firzanah beberapa tahun lepas...

Yang lain... belum ada dalam ingatan kerana kebanyakannya hanya mee kuah berperisa sos tiram dan kicap.. tiada yang istimewa.
Versi periuktanah adalah gabungan perkongsian rasa dan maklumat antara kawan-kawan dan pelbagai cubaan... insyaAllah, ini yang paling sedap di tekak kami sekeluarga..
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 bungkus mee kuning (450 gm)- celur sebentar dalam air mendidih, lalukan air sejuk dan toskan

Bahan kuah:

100 gm daging tetel (banyak pun tak apa)- hiris nipis dan rebus empuk dengan 4 cawan air dan sup bunjut / bunjut sup tulang
5 ekor udang harimau
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih- ditumbuk halus
1 sm halia- diketuk
serba sekuntum bunga cengkih, lawang, kulit kayu manis dan pelaga
1 sudu besar sos tomato

minyak untuk menumis
sayuran seperti jagung manis, karot, bunga kobis dan sawi serba sedikit
1 biji telur
1 sudu besar rata tepung jagung- dibancuh dengan sedikit air
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.

3. Masukkan sos tiram, dan air rebusan daging dan daging. Biar mendidih. Masukkan sos cili, kicap, sos tomato dan sayuran. Biar mereneh hingga sayuran lembut.

4. Masukkan udang, garam dan gula. (sedikit sahaja kerana sos dan kicap dah ada rasa). Masukkan tepung jagung dan kacau rata. Pecahkan telur dan biar seketika sebelum api dipadamkan.

5. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atasnya. Taburkan bawang goreng, daun sup dan perahkan limau kasturi sebelum dimakan....

*** boleh tambah sotong dan lebih telur ikut citarasa.
*** hasilnya mungkin tidak 100 % seperti yang K.An buat, tapi insyaAllah boleh ikut resepi ni sebagai panduan sebab air tangan ni memainkan peranan juga... (bak kata Cik Mat Gebu..)


Apam Balik

Assalamualaikum semua... blog lain dah penuh dengan resepi biskut raya.... K.An tak mula lagi.. kalau sempat masukkan ada lah ye... Dah siap 5 jenis yang mudah-mudah je..

Alhamdulillah, puasa kali ni kami dapat mengekalkan rekod sekali je ke bazaar Ramadhan (tu pun masa bercuti ke Morib awal puasa dulu tu..) Yang lain, masak dan ada sekali dua tapau nasi beriyani kedai mamak dan tapau Domino pizza.. lega rasanya dapat berjimat di bulan puasa.

Tapi ni kes surirumah macam K.An le, kalau dah kerja.. balik lambat, mana nak sempat godek dapur lagi kan..? beli je kat bazaar tu daripada 'tension' nak masak. Cuma, kadang-kadang bila dah beli banyak-banyak, rasanya tak lalu dek tekak... membazirlah jawabnya. 2 hari lepas balik dari hantar Iqbal ke asrama, kami lalu di gerai jual-jualan makanan sempena bulan puasa ni (kat Uniten tu). Singgah nak beli air soya dan air tebu.. ternampak apam balik.. belilah satu... Balik rumah, masa berbuka tu.. jamah satu... aduuuh.. semua kurang. Gulanya kurang, kacang pun kurang, jagung laaagi kurang. Rasa... tawar je...

Kelmarin, pergi kedai, beli jagung, balik rumah buat sendiri... puas hati...
Resepi asal daripada Majalah Rasa edisi Ramadhan tahun 2006

Bahan-bahan: (menghasilkan 6 keping apam balik saiz besar)

500 gm tepung gandum
125 gm gula kastor
375 ml air
1 biji telur
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder

Bahan inti:

150 gm kacang tanah- sangrai, buang kulit dan kisar halus
150 gm jagung krim
150 gm gula kastor
margerin secukupnya

Cara membuatnya:

1. Pukul gula bersama telur hingga kembang.
2. Masukkan soda, air, serbuk penaik dan kacau lagi hingga sebati. Ayakkan tepung dan gaul hingga adunan tidak berketul. Boleh guna pengadun letrik atau 'whisk' sahaja.

3. Panaskan kuali leper. Sapukan sedikit margerin. Masukkan 2 senduk kecil adunan dan ratakan. Perlahankan api jika kuali jenis nipis. Tutup sebentar hingga adunan setengah masak.

4. Taburkan gula, kacang tanah dan jagung ikut citarasa banyaknya. Tutup kembali dan biar masak. Lipat apam balik dan sapukan margerin di permukaannya. Angkat dan ulang proses hingga habis.

Selamat mencuba.






Monday, September 14, 2009

Buah Melaka dan Dadih Coklat

Assalamualaikum semua... dah selesai tarawikh ke...? kalau dah sudah alhamdulillah... dah berbaki beberapa hari je lagi sebelum raya... K.An pun dah siap 4 jenis kuih raya.. tapi setiap satu jenis, 2,3 balang sebab nak bawak balik kampung rumah mak dan mertua sekali..

Sebelum habis puasa, tak sah kalau tak buat buah melaka... senang tapi semua suka...

Resepinya kali ni, K.An tak sukat tapi mudah je caranya.. kat blog masak2 lain pun ada..
Bahan-bahan:

1 cawan tepung pulut
1/2 cawan air suam dicampur sedikit pewarna hijau dan perisa pandan
secubit garam

Gula melaka didadu kecil untuk inti

Kelapa putih digaul garam secukupnya

Cara membuatnya:

1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Campurkan sedikit demi sedikit air sambil diuli hingga menjadi doh. Cubit doh sebesar guli dan tekan leper menggunakan jari. isikan gula melaka dan tutp rapat dan golekkan bulat. Letak di dalam dulang yang ditabur sedikit tepung pulut. Buat sehingga habis.

2. Setelah siap semuanya, rebus air dalam periuk hingga mendidih. Masukkan buah melaka ke dalam air dan tunggu hingga ia timbul. Cedok menggunakan penapis dan toskan seketika. Masukkan ke dalam kelapa parut dan golekkan. Pindahkan ke dalam piring dan sedia dinaikmati.

Gambar kat bawah ni pulak, dadih coklat yang k.An buat untuk pot-luck berbuka kat asrama Iqbal... buat guna campuran dadih yang siap dijual tu... ikut resepi kat peket... siap.



Daging Dendeng


2, 3 hari lepas berjaya juga menonton siaran pilihan K.An setelah puas berebut dan pujuk-memujuk baby berdua tu daripada pilih 'channel' kartun je... nak dikatakan kalau selalunya dalam bulan puasa ni, setiap hari dapat kumpul resepi baru sebab ada 2,3 rancangan yang menyiarkan pelbagai resepi sempena bulan Ramadhan

Tapi tahun ni sesekali je dapat peluang sebab berebut dengan 'Aisyah dan Maryam.. dalam kesempatan menonton Wanita Hari ini 9 September lepas, resepi yang dikongsi chef jemputan dari Giatmara menarik perhatian K.An. Dia kongsi resepi daging Dendeng bonda beliau sendiri. Nampak menarik, dan K.An cuba semalam. Memang lain sedikit daripada dendeng yang pernah K.An buat sebelum ni. Lebih sedap, pekat dan rasa yang berbeza daripada daging masak hitam atau daging masak kicap.

Bahan-bahannya: (Resepi Chef Sheikh Ezuddin bin Sheikh Mohd. Mustaffa dari GiatMara Shah Alam)

500 gm daging Batang Pinang - potong besar, rebus empuk dan hiris nipis.
Kicap pekat secukupnya (K.An guna kicap manis)
15 biji cili kering- buang biji, rebus dan kisar
*** k.An tambah 1 sudu teh lada hitam ditumbuk halus dan 1 sudu teh re
mpah kari daging

**8 ulas bawang merah
**3 ulas bawang putih
**2 sm halia

**kisar halus

1/2 cawan air rebusan daging (k.An ambil 1 cawan)
200 gm gula melaka dicincang
2 sudu besar gula pasir
garam
2 sudu besar kerisik
1 sudu teh air asam jawa (k.An tak letak)
minyak untuk menggoreng dan menumis

Cara membuatnya:

1. Perap daging yang dihiris tadi dengan kicap selama 10 minit. Goreng seketika dalam minyak
banyak hingga luarnya kehitaman.Toskan. Tumbuk sedikit daging agar isinya pecah-pecah

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. (K.An tambah sedikit lengkuas diketuk,kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih ketika menumis)

2. Masukkan cili kisar, serbuk lada hitam, rempah kari dan tumis hingga pecah minyak. Tambah sedikit air rebusan daging dan biar rempah betul-betul masak.

3. Masukkan kerisik, daging dan air asam jawa. Masukkan gula melaka, gula pasir dan garam. Masukkan air rebusan daging lagi dan masak hingga kuah pekat. Tutup api dan sedia dihidang.

***selain dibuat lauk, daging dendeng sedap dimakan bersama ketupat pulut, lemang atau nasi impit. Sesuai dijadikan sajian di Hari Raya.

Selamat mencuba!!!
Dipadankan dengan dendeng, K.An buat sup siam tulang Rusuk ni dengan sambal kicap pedas.... fuhhh... sedaap... (resepi dah ada kat sini ye..)

Saturday, September 12, 2009

Cendawan Goreng Tepung- original

Sebelum ni dah ada resepi cendawan goreng tepung ni, tapi yang berempah sikit... boleh tengok kat sini . Kali ni K.An buat 'original recipe' sebab sejak baby Maryam dah pandai makan macam-macam ni, dah tak boleh buat yang pedas-pedas. Bukannya apa, kesiaaan tengok dia berpeluh-peluh makan...

Bahan-bahannya:

200 gm cendawan tiram basuh dan bersihkan- carik dua jika saiznya besar agar senang menggoreng
3 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung goreng pisang Adabi
1 sudu besar tepung beras
sedikit garam
1 sudu teh bijan
sedikit air

1.Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Tambah air sedikit demi sedikit dan gaul rata. adunan agak pekat agar tepung melekat elok pada cendawan.

2. Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan cendawan ke dalam tepung dan goreng hingga perang. Buat hingga habis. Toskan cendawan goreng di atas tisu dapur sebelum dihidang bersama sos pencicah.

Sos pencicah:

4 sudu besar sos cili
1 sudu besar gula
1 sudu besar air masak

*** kacau sebati dan sedia dinikmati



Friday, September 11, 2009

Cucur Kucai dan kuah Rojak

Assalamualaikum...

Nampaknya suasana raya dah makin terasa... tapi jangan terlupa, Ramadhan Mubarak akan kita tinggalkan dan belum pasti akan kita temui lagi.. Maka teruskan beribadat sebanyak mungkin bagi merebut rahmat Allah yang melimpah ruah dibulan yang mulia ini. Buat kuih raya, buat juga tapi jangan sampai tertinggal tarawikh dan amalan sunat yang lain ye...

Dah masuk penghujung puasa, pelbagai menu dah disediakan untuk keluarga... kuih muih seperti tepung talam, seri muka, apam beras antara yang diulang masak sepanjang tempoh berpuasa kali ni. Satu lagi yang juga tak jemu di tekak kami sekeluarga ialah cucur udang, cucur kucai, cucur jagung dll cucur yang dicicah dengan kuah rojak. Mak K.An kat kampung pun buat cucur kucai semalam... sama je selera..

Nak tau resepinya...? boleh lah k.an share walaupun hampir semua orang tahu macamana nak membuatnya, tapi bagi yang baru nak berjinak-jinak ke dapur dan segan/ malu nak bertanya... haaa... kat sini ada resepinya.

Bahan-bahan Cucur Kucai:

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung naik sendiri (tepung kek)
2 biji telur
2 sudu besar udang kering- rendam sebentar dan tumbuk halus
4 tangkai daun kucai dipotong 1 sm panjangnya
2 cawan air
1 sudu teh garam
1 labu bawang besar dihiris nipis
sedikit serbuk kunyit
cili merah dihiris halus- jika suka
*** boleh tambah udang putih dipotong kecil atau ikan bilis ditumbuk jika suka

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati dan rehatkan 15 minit.
2. Panaskan minyak untuk menggoreng. Cedokkan adunan dengan sudu atau jemput dengan hujung jari ke dalam kuali. Goreng hingga keemasan. Angkat dan toskan minyaknya. Gunting-gunting cucur dan hidangkan bersama kuah kacang (rojak)

Bahan kuah rojak:

1 cawan kacang tanah yang telah dikisar (telah disangrai dan dibuang kulit- dikisar)
2 cawan air
1/2 cawan cili kisar
1/2 sudu teh garam
2 sudu besar gula.

Caranya:

Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana hingga mendidih. Tambah air jika perlu. Perlahankan api dan kacau kuah sentiasa hingga ianya pekat. Rasa sedikit dan tambah garam dan gula jika perlu mengikut citarasa masing-masing.

Dah siap.



Thursday, September 10, 2009

Masak Pedas Hati

Kalau dah terbiasa sibuk... tak kira musim, sibuk jugalah memanjang. Ingatkan bila puasa, banyak masa nak mengadap blog, tapi tak juga sebab setiap hari mula 3.30 ptg hingga ke 10.00 malam, masa penuh dengan memasak, berbuka, solat Maghrib, Isya' dan solat Tarawikh.

Lepas tu, tak lapang juga sebab masa nilah, si comel-comel aisyah dan Maryam dah banyak kerenahnya, kakak-kakak pulak dok sibuk buat 'home-work'... jadi cikgu tuisyen lagi (tak rasmi)... pukul 12.00 sepatutnya tidur, tapi si comel berdua tu, selagi abi belum balik dari surau, selagi tule mata bulat bersinar... pukul 12.30 tgh malam dah tak larat bukak mata dah....

Maka... banyak le terlepas pelbagai masakan dari dapur K.An ni... Yang dah ada resepi sebelum ni, kita 'skip' je lah... Yang baru je, K.An sempatkan cerita di sini...

Kali ni, K.An kongsi resepi masak pedas hati turun-temurun mak K.An juga... Bulan puasa terutamanya makan waktu sahur, memang ummmph!! Selalunya K.An padankan dengan sup daging tetel atau sup ayam..


Bahan-bahannya:

200 gm hati lembu
5 ulas bawang merah dikisar halus
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, sedikit halia dihiris halus
Kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang serba sedikit
1 labu bawang besar dipotong gelang
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar air asam jawa cair
garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Hiris hati nipis-nipis. Basuh bersih berulangkali dan toskan. Gaulkan dengan garam dan kunyit dan goreng separa garing. Ketepikan.

2. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan tadi dan panaskan dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan halia serta rempah ratus hingga wangi. masukkan bawang kisar dan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

3. Masukkan bawang besar dan air asam jawa. Masukkan hati yang digoreng tadi. Gaul rata. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Apabila mendidih dan sebati bolehlah ditutp api dan dihidang.

****tips: pilih hati yang segar untuk mempastikan hasil masakan yang terjamin sedap...

Dalam sibuk-sibuk pun, alhamdulillah dah masuk hari ke -20 kita berpuasa dan malam ke 21-bertarawikh ... yang penting Ibadat diutamakan. Rebutlah segala peluang di bulan puasa ni sementara diberi peluang oleh Allah SWT...

Tuesday, September 8, 2009

Mee Rebus Udang Tradisi

Resepinya... lepas tarawikh nanti K.An sambung...

Alhamdulillah selesai tarawikh tapi...., tak sempat taip resepi sebab baby 2 orang tu.. ajak main macam-macam.. Ayahnye pulak out-station, kakak-kakak buat kerja sekolah, jadi ummi le kena melayan main 'puzzle', 'wipe-out', doktor dengan pesakit... nyanyi2... haaa sampai tertidur semuanya...

Dah sahur pagi ni 3 beranak... buat nasi goreng kampung, telur mata.. makan dengan sambal goreng ikan bilis.. Alhamdulillah

Ok, kita terus ke resepi mee rebus udang ni... seperti biasa resepi asal daripada ibu tercinta..Hjh Selamah yang dimasak turun-temurun oleh anak-anak perempuan dalam keluarga.. Bezanya, dulu-dulu (sekarang pun rasanya) mak gunakan udang laut yang memang banyak di kampung sana... Kita di bandar ni semuanya guna udang harimau bela..

Malahan di bulan puasa ni, bekalan udang putih kecil pun langsung tak ada di Putrajaya ni... Jadinya masak je apa yang ada..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

A)
2-3 peket mee kuning- celur air mendidih, toskan dan segera lalukan air sejuk

B)- kuah

250 gm keledek- kupas kulit, potong kecil dan rebus hingga empuk
1/2 cawan udang putih, buang buang kepala dan kisar halus. (kalau tak ada, guna isi udang harimau)
1/2 cawan kacang tanah yang siap disangrai, buang kulit dan kisar halus
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dihiris halus
3/2 cawan cili kisar (pekat)- tambah jika suka lebih pedas
10 cawan air rebusan kulit udang
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar gula
10 ekor udang harimau
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan halia hingga wangi dan keperangan. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan air rebusan kulit udang. Sementara mendidih, kisar keledek hingga halus(+ sedikit air agar mudah hancur)

3. Apabila rebusan mendidih, masukkan keledek, kacang tanah, sos tomato dan udang yang dikisar. Masukkan tepung jagung, garam dan gula. Biar mereneh dan kacau kuah agar sebati dan agak pekat.

4. Akhir sekali, masukkan udang harimau dan tutup api sebaik sahaja udang masak. Siap dihidang bersama mee dan bahan taburan.

C) ditabur di atas mee

2 biji tomato dihiris halus
3 biji telur direbus dan belah 4
2 biji kentang, rebus empuk dengan kulit sekali, kupas kulit dan hiris nipis
tauhu digoreng- hiris nipis
bawang goreng secukupnya
daun sup dan bawang dihiris halus
limau kasturi

Taburkan bahan C di atas mee sebelum dicurahkan kuah di atasnya. Mee rebus udang sedap dimakan dengan kuah yang banyak... selamat mencuba.




Kue-Teow Goreng Sayur

K.An pernah janji nak kongsi resepi kue-teow goreng ala-ala vegetarian yang Abg.Azam pelajari masa dia bermesyuarat di sebuah hotel di Melaka... (macam K.An, dia tengok chef tu masak, balik rumah dia praktis dan jamu K.An... sedaap)

Bagi yang alahan kepada makanan laut terutamanya udang dan kerang, tak perlu risau untuk menikmati kue-teow yang sedap, kalau tahu resepi ni... Boleh cuba sendiri nanti.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)

1 bungkus kue-teow
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
3-5 sudu besar kicap manis
sedikit garam
1 biji telur
aneka sayur seperti sawi (pak-choy pun sedap), bunga kobis, karot, jagung muda dipotong kecil.
sedikit minyak untuk menumis dan sedikit air

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Basuh kue-teow dengan air biasa dan toskan. Tumis bawang yang ditumbuk hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis seketika.

3. Masukkan sayuran dan sedikit air. Biar sayur sedikit layu. Masukkan sos tiram, kicap dan garam (sedikit je). Masukkan telur dan kue-teow. Gaul rata dan sedia dinikmati.

Monday, September 7, 2009

Bun Kaya Kelapa dan Mini Bun Kaya

Di bulan puasa ni, sambil kita sibuk berpuasa, jangan dilupa anak-anak kecil yang masih di bawah umur yang belum mampu berpuasa dan masih perlu disediakan makanan di siang hari.

Nak masak nasi memang kadang-kadang merenyahkan, jadi apa kata kita buat roti untuk anak-kecil kita ni. Kali ni, K.An gunakan resepi roti naik dari Mat Gebu dan diisikan inti kaya agar mudah dimakan. K.An buat 2 jenis, satunya besar-besar dan ditabur kelapa ketika roti separuh masak dan satu lagi dibuat comel-comel, agar sekali 'ngap' dah habis....

Bahan-bahannya: (Roti Naik daripada Resepi.Net)

400 gm tepung roti
100 gm tepung gandum
250 ml air
50 gm susu pekat
180 gm gula perang
100 gm mentega
11 gm yis segera (1 peket)
1 ct esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk kecuali mentega dan uli hingga menjadi doh. (10-15 minit) Masukkan mentega dan uli lagi hingga menjadi doh yang licin dan kenyal
(petua pakar buat roti- (masukkan doh ke dalam plastik bersih dan uli dengan menggunakan plastik selama 10-15 minit.) Keluarkan dan sedia untuk proses seterusnya.

2. Cara lain: masukkan semua bahan ke dalam bread-maker, tekan setting doh dan tunggu hingga siap.

3. Tak perlu diperap, tetapi terus bahagikan doh kepada 16-20 bahagian (ikut saiz pilihan). Bulat-bulatkan, kemudian leperkan di tapak tangan.

4. Isikan inti kaya pandan dan cantumkan hujung doh menggunakan hujung jari. Pintal kemas seperti membuat pau agar inti tidak terkeluar ketika membakar. (lebih mudah jika kaya dalam keadaan sejuk dan agar pekat)

5. Susun dalam loyang yang telah dilengser dengan jarak 2 sm antara satu sama lain dan perap 45- 60 minit sebelum dibakar. Boleh ditutup dengan tuala dapur atau cling wrap. Tetapi jangan terkena permukaan roti pulak...

6. Panaskan oven pada suhu 190 darjah Celcius dan masukkan loyang roti di bahagian tengah oven. Bakar selama 15-20 minit atau hingga permukaan roti keperangan. Sapukan margerin pada permukaan roti sebaik roti dikeluarkan. Sejukkan sepenuhnya sebelum disimpan dalam bekas bertutup. Roti tahan hingga 4 hari jika disimpan ditempat kering dan sejuk.




Friday, September 4, 2009

Kari Udang Belimbing Buluh

Minta ampun banyak-banyak ye... Bukan nak menggoda keimanan orang berpuasa tapi nak meniup semangat agar ke dapur petang nanti....hihih... Masak sendiri lebih sedap, bahan
digunakan terjamin halal, bersih dan segar dan... bila sedap, suami dan anak-anak maaakin sayang.
Tapi kalau dah balik kerja, sampai rumah dah 6.30 ptg.. terpaksalah buat yang paling mudah je agar diri tak terbeban dan ditimpa tekanan perasaan pulak.

Sebut mudah, kari udang nipun tak susah sangat.. boleh cuba. Resepinya k.An dapat dari keratan resepi dari suratkhabar lebih 20 tahun dulu..heheh( kegemaran mengumpul resepi dari zaman sekolah) Walaupun gambarnya hitam-putih dan tak nampak langsung rupa kari udangnya, tapi melihatkan bahannya yang nampak 'spesel' , K.An cuba resepi ni.

Dah diubahsuai sikit, tapi rasanya abang Azam kata sedaaap.. dan tak berat sangat.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5-10 orang bersama lauk lain)

500 gm udang harimau- buang ekornya
10 biji belimbing buluh- yang besar K.An belah 2
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2-5 biji cili hijau (ikut citarasa)
1/2 inci halia
1 batang serai
3 tangkai daun kari
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar cili kisar- pekat
***boleh tambah cili padi yang diketuk jika suka pedas
garam secukup rasa
1 cawan santan sederhana pekat
Cara membuatnya:

1. Ambil bawang merah, bawang putih dan halia dan ditumbuk hingga halus (dalam resepi, giling sebab resepi lama)
2. Hiris halus serai. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan ditumbuk halus hingga wangi. Masukkan serai, daun kari dan serbuk ketumbar (yang dibancuh dengan 1/2 cawan air). Tumis hingga berbau wangi.... (memang wangi)

3. Masukkan santan dan biar mendidih. Kemudian masukkan udang, belimbing buluh, cili hijau dan biar mereneh selama 3 minit dengan api sederhana besarnya.

Siap untuk dihidang.

Thursday, September 3, 2009

Kuih Ketayap lagi...

Ingat lagi, baki inti kelapa yang K.An guna untuk badak Berendam hari tu..? Kebetulan, mamahafiy minta demokan cara mendadar kuih gulung/ ketayap /lempeng berinti daging. Jadinya, Sabtu lepas, K.An buat ketayap untuk dirakamkan cara membuatnya.

Sebenarnya untuk mudah, kena gunakan kuali tradisi antik macam K.An punya... Kalau nak guna 'non-stick pan' mungkin adunannya kena cair lagi sebab K.An dah cuba, agak susah sedikit dan tak berapa nipis, senipis kuali bulat lengkung.

Lagipun sejak kecik lagi K.An dok tengok mak buat ketayap macam nilah caranya... yang terbaik. Untuk resepi klik sini ye. Cara mendadar seperti video... kuali tu antik sikit ye, tapi banyak berjasa....

Selamat mencuba



Daging Masak Merah Berempah


Assalamualaikum... semalam, seharian internet bermasalah... sejuk, sesejuk udara di luar.... tapi alhamdulillah, puasa tahun ni, cuacanya sangat nyaman dengan hujan sekali-sekala di Putrajaya ni. Anak-anak pun tak 'komplen' lapar atau dahaga. Rezeki Allah kan...

Tak perlu cerita panjang (sebab dah berderet entry tertangguh) K.An terus ke menu hari ni. Dah pernah K.An siarkan resepi Daging Masak Merah Berempah ni, tapi kali ni ada bahan yang diubah sikit bagi menambahkan keenakannya. K.An tanya K.N (kakak sulung K.An) resepi abg Mie (abg ipar) sebab hari tu makan masak merah yang dia buat, memang lebih sedap dan pedas.

Bagi yang tak suka pedas, boleh tengok resepi K.An kat sini.

Resepi kali ni: (hidangan untuk 5-10 orang)

****K.N bagi bahan je, sukatannya k.An buat sendiri dan hasilnya sangat memuaskan.

500 gm daging- seperti biasa K.An hiris nipis dan rebus dalam pressur cooker dulu- kalau tak ada, boleh masak seperti biasa tapi ambil masa 1-2 jam hingga daging empuk.

Bahan A
3 sudu besar rempah kurma ayam/daging Baba's
3 sudu besar cili kisar/ cili boh
1/2 cawan tomato puri
5 biji badam direndam air panas, kopek kulit dan tumbuk halus *** kalau tak ada boleh ganti kacang tanah
1 sudu besar sos cili
1 sudu teh serbuk kas-kas
1 cawan air

Perap daging bersama bahan A selama 15 minit. (gaul rata)

Bahan B: tumis

*5 ulas bawang merah dan*2 ulas bawang putih dikisar/ tumbuk halus
sedikit halia dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
1 batang kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Bahan C

1/2 cawan susu cair
1 labu bawang besar dihiris gelang
2 tangkai cili merah dibelah 4

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis semua bahan B hingga wangi. Masukkan daging yang diperap bersama kesemua bahan perapan kedalam periuk. Tambahkan sedikit lagi air jika agak kering. Biar mendidih.

2. Perlahankan api dan kacau daging sekali-sekala. Tutup periuk dan biar hingga daging empuk. Tambah 1 cawan air jika perlu.

3. Apabila daging empuk, masukkan susu cair dan biar mereneh hingga kuah cantik berkilat. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan cili merah dan bawang besar. Didihkan lagi
dan tutup api apabila kuah nampak pekat.


*** daging masak merah ni lebih sedap apabila dipanaskan berulang-kali. Makan keesokan harinya laaagi sedap sebab rempahnya sudah sebati dengan daging yang makin lembut.

Kebiasaan kami masa'kecik-kecik dulu, wajib bila mak buat masak merah ni, mesti buat cekodok pisang. Cicah dengan kuahnya... mmmmph, sedap tak terkata..!! Jadi K.an pun buat juga cekodok. Ingatkan dah ada resepinya, rupanya belum ye... (nanti K.An kongsi sebab cekodok keluarga kami comel-comel dan kekal lembut walau dimakan ketika sejuk) heheh...

Wednesday, September 2, 2009

Tips PeriukTanah

tips1
Bawang hiris yang digoreng akan menambahkan aroma pada masakan.

Tips2
Santan segar boleh tahan berbulan lamanya jika disimpan di tempat beku di dalam peti sejuk.

Tips3
Cili kisar akan tahan lebih lama jika dicampur dengan minyak dan garam ketika mengisar.


Tuesday, September 1, 2009

Kerabu Sotong

Kalau nak berselera makan di bulan puasa ni, kalau di tekak K.An anak-beranak, nak kena pedas dan ada masam-masam sikit, terutamanya waktu sahur.... Untuk anak-anak wajib lauknya mesti ada warna merah. Tapi kalau untuk abinya, ada kerabu ni... dah cukup membuka selera.

Sepertimana kerabu siam yang lain, bahannya hampir sama, cuma bahan utamanya kita tukarkan seperti ayam, udang dan sotong. Boleh juga guna isi ikan yang digoreng. Selamat mencuba..!!

Bahan-bahan; (hidangan untuk 5 orang)

200 gm sotong sederhana besar- dipotong cincin
1/2 cawan kelapa putih disangrai sebentar hingga berbau wangi- jangan garing, cukup keperangan sedikit sahaja

Bahan dikisar halus:

2 batang serai dihiris kecil
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
5 tangkai cili api akar- ikut citarasa

2 biji limau nipis diperah jusnya
1 sudu besar rata gula pasir- boleh ganti dengan gula perang
1 sudu teh sos namphla
1/2 sudu teh garam
segenggam taugeh-buang akarnya- jirus air panas sebentar
1 urat kacang panjang dihiris halus
1/2 labu bawang besar dihiris halus
1 biji cili merah dihiris panjang- untuk warna

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan di atas hingga halus. Masukkan 1/4 cawan kelapa goreng dan kisar 3 saat, agar kelapa halus. (baki kelapa simpan dalam bekas bertutup dalam freezer untuk buat kerabu lain)

2. Celur sebentar (2 minit) sotong dalam 1/4 cawan air mendidih dan toskan. Jangan buang airnya.
3. Masukkan bahan kisar termasuk kelapa, isi sotong, jus limau dan 2 sudu besar air rebusan di dalam mangkuk. Masukkan sos ikan, cili merah, bawang besar hiris, taugeh, kacang panjang, sedikit garam dan gula dan gaul sebati kerabu.

4. Boleh dihidang segera atau sejukkan dalam peti ais sebelum dihidang.