Showing posts with label roti/sandwich. Show all posts
Showing posts with label roti/sandwich. Show all posts

Friday, March 4, 2011

Gulungan Daging Seleraku... sajian petang

Waktu petang macam ni, surirumah macam K.An dok sibuk fikir nak sediakan juadah minum petang pulak. Almaklum, kalau asyik goreng pisang, cekodok, dan cucur udang gerai Kak Mah je hari-hari, turun le saham kan... sesekali, buatlah juadah yang lain sikit. Barulah suami dan anak-anak senyum lebar..." tak mau dah yang lain.."

Tak ada idea, puan-puan boleh cuba resepi ni... mudah dan mengenyangkan. Kalau tak nak minum petang, boleh sediakan untuk sarapan.

Resepi ni K.An olah sendiri berpandukan gulungan daging yang sepertinya yang dihidangkan oleh rakan K.An- Siti Khadijah masa di Bandar Tasik Puteri dulu-dulu. Cuba sendiri nanti ye..

Bahan-bahan: menghasilkan 15 gulungan daging

200 gm daging kisar Ramly ( 1/2 peket 400gm)- masukkan dalam penapis halus. lalukan air untuk membersihkan daging. toskan
1 tangkai cili merah dicincang
1 labu bawang besar (saiz kecil) didadu kecil
1 biji kentang didadu kecil- (ataupun dicincang kasar)
2 ulas bawang putih dicincang
2 sudu besar sos cili
1 sudu teh sos tiram
1 sudu teh serbuk cili -ikut citarasa (K.An gunakan 1 peket chilli flakes Domino Pizza)-tak cukup pedas
garam dan gula secukup rasa
1 sudu besar tepung gandum
minyak untuk menumis
Roti sandwich secukupnya
2 biji telur-campur sedikit garam dan dipukul sedikit

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak. tumiskan bawang besar, bawang putih dan cili merah hingga layu.
2. Masukkan daging dan goreng hingga daging masak dan kering sedikit airnya. Masukkan sos tiram, sos cili, kentang dan serbuk cili. Masak hingga kentang empuk
3. Tambahkan garam dan gula. Perlahankan api. Setelah cukup rasa, taburkan tepung gandum dan kacau sebati agar inti pekat. Matikan api dan sejukkan sebentar.

Penyediaan roti

1. Gelek roti dengan pencanai agar nipis. Panaskan kuali leper dan letakkan sedikit margerin. Letakkan inti secukupnya, dan gulung roti. Sapukan sedikit telur di tepi roti sebagai pelekat.

2.Golekkan ke dalam telur yang telah dipukul tadi. Panggang di dalam kuali leper hingga permukaan roti keperangan dan telur masak. Sedia dihidang panas atau sejuk.


Wednesday, February 2, 2011

Croissant dan chicken-mayo sandwich

Idea nak buat croissant sendiri ni dah laaaama sangat dipendam.... almaklum, tak pernah pergi kelas atau kursus membuat croissant ni.. harapkan belajar dari blogger lain dan buku masakan je. Kena pulak masa yang terhad... asal nak buat, ada je halangannya. Tapi bulan Disember lepas, masa cuti sekolah panjang, sempatlah K.An mengumpul tenaga bagi menjayakan projek menghasilkan croissant sendiri. Walaupun tak secantik yang dibuat professional chef, tapi rasanya sungguh sedap. (sebab boleh ulang buat lagi) Agak rumit dan susah tapi berbaloi mencuba jika ada masa lapang. Kali pertama buat, saiznya agak kecil, jadi bila kali ke dua, K.An besarkan sikit dan alhamdulillah adalah rupa croissant...

Sebenarnya K.An suka sangat chicken-mayo sandwich menggunakan roti croissant yang dibeli di Dunkin Donut. Puas makan... siapa yang belum cuba, cubalah beli.. rasa sendiri kesedapannya..
Bila sebut Dunkin Donut pulak, teringat adik-adik junior K.An di Aisyah College, UIA yang rajin buat kerja part-time di Dunkin Donut- Hospital Universiti, setiap hari lepas kuliah. Ita, Atie, Sher dan Liza.... selalu juga bawak balik bekalan lepas habis kerja. Rajin adik-adik K.An ni.. walaupun penat tapi enjoy je. Pengalaman dapat, duit extra pun dapat. Dah lebih 15 tahun tak jumpa mereka ni... rindu rasanya...

Oklah... bernostalgia la pulak. Resepi kali ni sekadar berkongsi je.. tak payahle buat kalau tak ada masa... remeh sikit kerjanya.. Tukang masak pro yang baca entry ni janganle gelakkan K.An ye.. almaklum, belajar sendiri.."idakle cantik ghupe croissant teman nih..hihiihi.."

Resepi asal dan teknik membuat dari buku Aneka Roti oleh Saadiah Mohamad terbitan Alaf 21 Sendirian Berhad.

Bahan-bahan:

125 gm tepung berprotein tinggi (tepung roti)
100 gm tepung gandum
1/2 sudu teh garam
25 gm mentega dicairkan
120 gm margerin pastry(untuk lipatan)- boleh beli dari kedai bahan-bahan bakeri
1 biji kuning telur- untuk disapu di permukaan croissant

Bahan (A) dilarutkan
100 ml susu segar
50 gm gula kastor
7 gm yis segera

1biji telur

Cara membuatnya:

1. Ayak tepung roti dan garam ke dalam mangkuk adunan. Masukkan telur dan margerin. Gaulkan hingga rata.

2. Tuangkan bahan A. Uli doh hingga lembut dan kenyal. (uli selama lebih kurang 15 minit) . Bulatkan doh, masukkan ke dalam mangkuk. Tutup dengan tuala dapur atau cling wrap. Biar doh naik selama 40 minit atau dua kali ganda.
3. Canaikan doh sekali lagi hingga lembut. Masukkan margerin pastri seperti gambar di atas. Margerin pastri juga perlu dicanai beralaskan plastik supaya sesuai besar dan lebarnya dengan doh. Buat proses lipatan seperti di atas.

4. Balut dengan cling wrap dan rehatkan selama 20 minit di dalam freezer. Selepas 20 minit canai leper doh bentuk segiempat panjang dan ulang melipat seperti di atas.(tak perlu letak margerin pastri lagi). Rehatkan lagi di dalam freezer. Ulang proses sama selama 3 kali.
5. Setelah dikeluarkan dari freezer, canai doh pastri seperti gambar. Lebar yang dicadangkan ialah 25 sm dan 2 mm tebal. Boleh ikut saiz yang dikehendaki juga.

6.Potong doh menjadi bentuk segi tiga seperti gambar. gulung dan bentukkan seperti bulan sabit. Letakkan di dalam loyang pembakar dan biarkan croissant naik dua kali ganda. Panaskan ketuhar ke suhu 200 darjah Celcius dan bakar croissant hingga ke perangan.

***hati-hati ketika proses membakar. kurangkan sedikit suhu kalau rasa nak terhangit croissant tu mcm K.An punya... huhuhu...
Dah siap... dapat banyak jugak... tapi sekejap je habis bila dah dijadikan chicken-mayo sandwich. Yang pasti, saki baki lebihan doh tu, K.An gulung dan bakar sekali. Makan macam tu saja pun sedap.
Nak buat sandwich senang je. .. boleh guna isi ayam goreng, salad, sos, mayonaise. Belah dua roti dan isikan semuanya. K.An perapkan dada ayam dengan sedikit paprika, lada hitam, rosemary kering,garam dan madu. Panggang dan hiris nipis. sedap tau...

Thursday, August 26, 2010

Sandwich Goreng...menu bujang...

Assalamualaikum...

Hari ni, kononnya nak puasa juga sebab rasa tak seronok juga bila orang lain puasa, tapi kita, bangun sahur juga, tapi tak boleh puasa.... Habis juga sehari penuh sampai berbuka , tapi belum ada rezeki nampaknya... kepada ibu-ibu lepas bersalin tentu faham kan... kadang-kadang sampai 10 kali bersuci pun, belum tentu suci... Ada lah hikmahNya tu... belum cukup rehat agaknya..

Kali ni, untuk semua menu ringkas, sesuai untuk semua acara di bulan puasa, sahur boleh, berbuka boleh, nak makan masa 'moreh' pun boleh... Di rumah K.An, laku betul sandwich goreng ni... senang dan mengenyangkan..
Bahan-bahan: Menghasilkan 4 set sandwich

Inti:( boleh guna untuk 2 kali hidangan)

1 tin kecil sardin
2 sudu besar cili kisar
1 labu bawang besar dihiris nipis
sedikit garam
1 sudu teh gula

Cara menyediakan: Tumiskan bawang hingga layu. Masukkan cili kisar dan tumis hingga masak. Masukkan sardin bersama sosnya. Tambahkan sedikit air, garam dan gula. Didihkan sebentar hingga pekat. Ketepikan.

Adunan luaran sandwich:

1 biji telur A
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar air biasa
secubit garam

*** bancuh sebati didalam mangkuk leper.

Cara membuat sandwich goreng.

Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Potong dua roti sandwich. Hancurkan isi sardin bersama kuahnya. Isikan inti dan cantumkan. Celupkan ke dalam adunan telur. Goreng hingga keperangan menggunakan api sederhana.. Toskan dan sedia dinikmati panas atau sejuk.
Sandwich kekal lembut walau beberapa jam selepas disediakan..

Monday, March 29, 2010

Sandwic Cendawan dan Keju

Kepada ibu-ibu dan isteri-isteri yang dah tak ada idea nak buat sarapan dengan roti, hari ni, K.An kongsikan resepi sandwic istimewa ala-ala piza rasanya. Resepinya K.An dapat daripada buku 'Creative Recipes with Bread' yang dihadiahkan rakan Abang Azam yang bertugas di Kilang Roti Gardenia Shah Alam sempena kunjungan tak dirancang kami ke sana tahun lepas.

Dah tua-tua ni pun seronok juga pergi melawat tempat-tempat macam ni.. almaklum, dapatle tengok pembuatan roti dari dekat. Beribu-ribu buku roti dihasilkan sehari dengan mesin yang canggih di kilang ni.
Roti yang dah siap dibakar, dibawa ke tempat penyejukan...
Tuan Haji Rosli sedang memberi penerangan kepada kami... macam budak sekolah... teruja..!!
Bertingkat-tingkat, roti yang siap dibakar sedang disejukkan. Setelah melihat sendiri keadaan di kilang ni, memang semakin yakin dengan reputasi cemerlang Gardenia dalam pembuatan roti terunggul di negara ini...

Dah siap lawat kilang, jom kita masak.....

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-4 orang)... kalau selera Abang Azam, hidangan untuk 2 orang je...

2 sudu kecil minyak masak
1 labu bawang besar Holland saiz sederhana- kalau besar, separuh pun cukup
8 cendawan butang- hiris sederhana tebal (K.An guna cendawan tiram segar- agak2 banyaknya)
1/4 biji lada benggala hijau - hiris nipis
1/2 biji cili merah- hiris nipis- ikut citarasa
2 sudu teh oregano kering
1/2 sudu teh lada hitam- 10 biji lada hitam, K.An tumbuk halus
1 sudu besar rata tepung gandum
2 sudu besar daging segar dicincang kecil
1 sudu besar kicap manis
4 keping keju Cheddar
1/6 st garam

4 keping roti sandwic atau boleh ganti roti wholemeal kepada yang menjaga diet

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang besar seketika. Masukkan daging dan biar hingga daging masak dan bawang layu.
2.Masukkan cili merah dan lada benggala. Kacau rata. Masukkan cendawan dan sedikit air. Masukkan oregano, lada hitam, garam dan kicap.
3. Kacau sebati dan masukkan tepung gandum. Gaul sebati dan ratakan di dasar periuk. Matikan api dan susun keju di atas inti tadi. Tutup periuk dan biar keju cair.

4. Sementara menunggu keju cair, bakar roti hingga keperangan. Bahagikan inti kepada 4 bahagian dan ratakan di atas roti. Sedia dihidang sebagai sarapan yang sangat mengenyangkan.

Sesuai juga dijadikan bekal ke pejabat dan untuk anak-anak ke sekolah....


*** kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih di atas pelawaan Tuan Haji Rosli melawat Kilang Gardenia Shah Alam dan kesudian beliau meluangkan masa melayan kami pada hari tersebut. Tak lupa juga terima kasih atas 'goodies bag' yang diberi... Lain kali nak bawa anak-anak yang besar pulak pergi..

Thursday, October 29, 2009

Roti Sosej Goreng

Musim periksa macam sekarang ni, elok juga kalau kita sediakan sarapan dan bekal sekolah yang mengenyangkan untuk anak-anak. Almaklum, kalau perut kenyang, cukup tenaga nak memerah otak dan lancarlah menjawab soalan yang ditanya...

Dalam sibuk pagi-pagi, kenalah cari menu yang cepat disediakan sperti roti sosej goreng ni... Nak bawak bekal pun senang. Satu gulung dah cukup..
Bahan-bahan:

10 batang sosej
10 keping roti sandwich- gilis dengan 'rolling pin' hingga nipis
1 1/2 cawan serbuk roti
1 biji telur dipukul sedikit
1 sudu besar tepung gandum dicampur 1 sudu teh air- bancuh rata untuk dijadikan gam

minyak untuk menggoreng
sos cili, mayonaise ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Sediakan serbuk roti dahulu: 2 cawan kulit/kubit roti. Kalau takde, guna 2 keping roti sandwich- letakkan dalam piring, biar terbuka dan simpan dalam peti ais semalaman. Kulit roti akan keras di pagi esoknya. Kisar halus. Letakkan dalam pinggan leper.

2. Sediakan bahan lain. Letakkan sosej di bahagian dalam roti. Gulung kemas dan sapukan bancuhan tepung gandum ditepi gulungan. Cantumkan.

2. Celupkan ke dalam telur dan golekkan di dalam serbuk roti hingga rata keseluruhannya. Goreng dalam minyak sederhana panas dan golekkan roti agar masak rata. Angkat dan toskan apabila roti keperangan. ulang proses untuk kesemua roti dan sosej.

Hidangkan bersama sos cili atau sos tomato.

** jalan-jalan ke blog lain, ternampak cikwan pun buat roti sosej macam ni jugak.... macam janji pulak..

Monday, June 29, 2009

Sandwich Ayam

Ada ayam goreng yang tak habis dimakan terutama bahagian dada, jangan dibuang... Meh K.An jelmakan dia jadi sesuatu yang sangat sedap lagi menyelerakan.. (k.an belajar daripada k. Khairani -Nani UiTM).. tiba-tiba terasa rindu pulak dekat k.Nani..huhuk..
Bahan-bahannya macam kat dalam gambar tu;
Ayam goreng (panggang/ berempah/KFc/ ayamas dll)-hiris nipis-nipis
Salad/ timun/ tomato
margerin/ mayonaisse
sos cili jika perlu- kAn tak letak sebab guna ayam goreng pedas KFC yang tersangat pedasnye..
Roti sandwich dibuang kulitnya (jangan buang, nanti k.an bagi resepi agar-agar guna kulit roti pulak)
Cara membuatnya: senang dan seperti sandwich lain; sapukan kepingan roti dengan margerin. Sapukan mayonaisse. Lagi banyak, lagi sedap. Boleh letak thousand island kalau suka...Susunkan timun, dan salad yang lain. Letak kepingan ayam dan cantumkan roti... Dah siap.
*** K.An bungkus dalam plastik dan siap untuk bekal anak dan abang Azam esoknya..

Sunday, June 28, 2009

Roti Manis Berkismis

Bila dah sekali menjadi buat roti, memang gian nak buat lagi. Walaupun penat menguli, tapi puashati bila dapat makan 'home-made bread' ni... Tambahan pula bila aroma roti yang dibakar memenuhi ruang dapur... macam aroma terapi pulak.. heheh (jadila kan... aroma terapi kat dapuur..)

K.An memang suka roti manis macam ni terutama yang ada kismis atau apricot. Manis dan ada masam-masam sikit.

Setelah belek-belek pelbagai resepi roti, K.An pun merekaciptala roti yang tak seberapa ni..

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung protein tinggi (200gm)
1 sudu teh penuh yis kering
2 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam
1 biji telur
3/4 cawan air suam
1 sudu besar susu tepung
1 sudu besar mentega
1/4 cawan kismis

Cara membuatnya:

1. Campurkan semua bahan kering kecuali mentega dan air suam di dalam mangkuk. Buat lubang di tengahnya. Pecahkan telur dan gaul rata.

2. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil uli tepung hingga menjadi doh. Tambah mentega dan uli lagi hingga menjadi doh yang kenyal dan licin. Bulatkan, tutup mangkuk dan rehatkan 10 minit. Selepas 20 minit, tumbuk doh bagi mengeluarkan udara.

3. Uli lagi dan bentukkan ikut suka hati. Masukkan ke dalam loyang 3 in X 8 in X 3 in. yang telah dilengser dengan mentega. Rehatkan lagi 30 minit.

4. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius dan bakar roti selama 20 minit atau hingga roti keperangan.

5. Keluarkan daripada loyang dan potong roti kepada kepingan sebelum dihidang.

Wednesday, June 17, 2009

Mexican Bun (Roti Boy/ papa Roti/ Mama Roti)

Dah lewat malam baru sempat mengadap blog ni.. resepi dan ceritanya, k.An taip esok lah ye...

Sambung cerita... sejak balik bercuti, pergerakan periuktanah agak perlahan sebab cuti sekolah.. abang Azam out-station lagi (ke Sabah) dan K.An sibuk lah melayan kerenah anak-anak di rumah.. Bila dah habis cuti, barulah boleh menjalankan aktiviti seperti biasa termasuk membawa keluar resepi-resepi minggu lepas yang dok tersimpan di dalam bakul kat dapur tu..
Dalam sibuk-sibuk mengemas minggu lepas, sempat K.An buatkan Mexican Bun ni untuk anak-anak. Dah lama tak makan sebenarnya.

Awal-awal roti ni diperkenalkan di Malaysia ni (kurang lebih 7 tahun lepas) harganya di bakeri cuma RM 1. Masa tu nama dia Papa Roti ( kami kenal sebab ada dijual di tingkat atas Pasaraya Hiong Kong kat Sg Buloh). Tiap kali pergi, mesti beli 4 biji. Kemudian harga nya naik ke Rm 1.20. Masa tu kami beli di Selayang Mall. (rasanya nama dia Mama Roti ke, Mama Bun... dah tak ingat)

Tahun berganti tahun, seiring dengan kenaikan harga tepung, gula, mentega dan macam-macam lagi, harga Mexican Bun ni dah mencecah RM 1.60... Ahli keluarga K.An pun dah bertambah. Kalau beli, nak kena ada 7 biji paling kurang... nampaknya kenalah buat sendiri, baru puas makan...

Kepada yang suka roti ni, cubalah buat sendiri, memang tak susah... kena rajin sikiiit je. Resepi ni K.an salin daripada dapur cikwan (aisyah)

K.An sediakan Inti dan Toppingnya waktu malam dan simpan dalam peti ais. Esoknya baru uli tepung untuk roti.

Bahan Inti:

200 gm mentega
1/2 sudu teh esen vanilla
70 gm gula perang

Cara membuatnya:

Pukul mentega dengan mixer pada kelajuan sederhana selama 3 minit. Masukkan esen dan gula perang. Pukul lagi hingga sebati. Simpan dalam bekas bertutup dalam peti ais hingga sedia digunakan.

Topping: (banyak ni dah cukup, k.An ikut kata Hana) - resepi asal sukatannya 2 kali ganda

100gm mentega
80 gm gula icing (tak ada gula icing, k.An guna gula halus je..)
2 biji telur gred B
1 sudu besar nescafe dicampur 1/2 sudu besar air panas
100 gm tepung gandum

Cara membuatnya:

Putar mentega dengan mixer pada kelajuan sederhanan selama 5 minit. Perlahan-lahan masukkan telur, gula icing dan kopi segera. Ayakkan tepung ke dalam adunan dan putar lagi pada kelajuan perlahan sehingga semua sebati. simpan dalam peti ais sehingga sedia untuk digunakan.

Doh Roti
500 gm tepung berprotein tinggi (tepung roti)- diayak
1 sudu kecil bread improver + 1 sudu kecil bread softener (optional)
20 gm susu tepung
75 gm gula kastor
3 sudu teh yis kering
1 sudu teh garam
1 biji telur dipukul

250 ml air/ susu segar (jangan guna susu tepung jika guna susu segar)
60 gm mentega

Cara membuatnya:

1. Gaul rata tepung, gula dan garam di dalam mangkuk. Masukkan yis, bread improver dan softener (jika menggunakannya) dan gaul rata lagi.

2. Masukkan telur dan air/ susu segar.

3. Uli adunan sehingga menjadi doh. (K.An uli di atas meja supaya senang menggunakan teknik tarik dan tolak doh agar doh cepat lembut) Masukkan mentega dan uli lagi sehingga doh kenyal dan tidak melekat di tangan selama 10- 15 minit.

4. Bahagikan doh kepada 17/ 18 bola kecil sebesar bola golf dan tutup dengan 'cling wrap' selama 10 minit.

5. Leperkan doh di atas tapak tangan dan isikan 2 sudu teh inti. Tutup seperti membuat pau, agar inti tidak meleleh keluar sewaktu dibakar. (senang dibuat sewaktu inti masih beku)

6. Susun di atas loyang pembakar yang telah dilenser dengan mentega. K.An jarakkan dalam 1 1/2 inci antara satu sama lain.

7. Rehatkan selama 45 minit di tempat agak panas (warm)

8. Sementara tu, keluarkan topping dari peti ais dan masukkan dalam piping bag. Selepas 45 minit, paipkan topping di atas bun secara spiral bermula dari top centre.

9. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 darjah celcius selama 15 minit atau bun keperangan. (letakkan loyang di tengah oven agar bun masak sempurna)

** memandangkan oven K.An kecik je, k.an kena masak 4 round, tapi jangan risau,hasilnya alhamdulillah... sangat memuaskan. Abg Azam kata, lepas ni memang tak payah beli lagi kat kedai.. yum, yumm..kata Maryam..

Friday, May 29, 2009

Sandwich Gulung Istimewa


Selain rupa yang menarik, sandwich ni sangat praktikal sebagai bekalan ke sekolah atau jalan-jalan dan berkelah. Penyediaannya di waktu malam dan di pagi hari, boleh terus disajikan. Sandwich ni juga berkhasiat dan mengenyangkan kerana padat dengan lauk dan sayuran. Resepi asalnya daripada Puan Lin (Norzailina Nordin) yang mana K.An tonton rancangan masaknya lebih kurang 6 tahun lepas... (lamanya dah..) Mungkin Puan Lin pun dah tak ingat rancangan tu..

Bahan-bahan: (menghasilkan 4 gulung sandwich)

8 keping roti sandwich
1 mangkuk sambal sardin yang dihancurkan isinya bersama kuahnya
2 keping slice cheese dipotong 2(ikut citarasa) boleh diganti dengan cream cheese
daun salad secukupnya
hirisan tomato
margerin secukupnya

***timun, telur dadar ikut citarasa boleh juga dijadikan filling

Cara membuatnya

1. Nipiskan roti menggunakan pencanai agar tekstur roti padat. Buat hingga habis. Kemudian sapukan margerin/mentega di atas setiap keping roti.

2.Letakkan inti sardin dan daun salad di atas sekeping roti dan letakkan cheese dan tomato di atas kepingan roti kedua. Gulungkan roti seperti dalam video.




3. Bungkus dengan kemas dengan foil aluminium . Buat hingga habis dan simpan dalam peti sejuk selama 4 jam atau semalaman. Selepas itu, buka pembungkus dan potong sandwich setebal 1/3 inci dan boleh dihidang.
..

Wednesday, May 20, 2009

Roti Kentang dah Siap Mat...!

Sudah sekian lama K.An teringin nak buat roti yang lembut dan gebu macam yang dijual di kedai-kedai tu, tapi tak kesampaian. Banyak dah rancangan memasak termasuk rancangan Yuk Buat Roti oleh Chef Wan K.An tonton, tapi bila cuba, tak jadi juga.

Bila tersinggah blog Mat Gebu yang memang pandai memasak serba-serbi tu, tengok roti kentang yang dia buat..alamak tergoda K.An. Pergi kedai, beli bahan yang sepatutnya, terus buat roti kentang tu... Berulangkali K.An baca Bismillah masa uli tepung.. dan hasilnya, alhamdulillah.. gebu dan cantik macam yang kat kedai. Terima kasih juga kepada Kak Rin yang mula-mula buat roti ni sblm Mat. K.An bagi resepi yang Mat bagi.


Bahan-bahan:

Bahan Doh Roti:
300 g tepung roti (high protein)
2 camca teh yis segera (mauripan atau apa-apa jenis)
3/4 sudu besar susu tepung
1/2 camca teh garam
60 gm gula castor
60 gm kentang lecek (dah direbus lebih dahulu)
1/2 biji telur (guna lagi 1/2 untuk sapu atas roti)
135ml air sejuk (dari peti ais)
30 gm mentega
1/2 camca teh bread improver
1/2 camca teh bread softener

Bahan Kastard:
1 camca besar tepung gandum
1 camca besar tepung kastard
4 camca besar gula halus
1 cawan susu segar
1 biji telur saiz A
1 camca besar mentega

Cara membuatnya:
1. Untuk Doh Roti: Satukan bahan untuk doh roti kecuali air dan mentega. Gaul dengan tangan hingga sekata. Buat lubang di tengah dan tuang air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh. (K.An buat kat atas meja supaya senang menguli)
2. Tambah mentega dan terus menguli hingga menjadi doh yang kenyal dan lembut.
3. Bulat-bulatkan doh dan perap 1 jam hingga doh kembang.

Untuk Kastard:
Sementara menunggu doh naik, buat kastard. Satukan semua bahan kastard kecuali mentega dalam bekas tahan panas. Kacau rata dengan whisk. Masak secara double boiler sambil terus mengacau hingga pekat dan berkilat. Alihkan dari double boiler dan masukkan mentega. Kacau hingga sebati. Tutup kastard agar permukaannya tidak keras.

Untuk Roti kentang:
1. Keluarkan doh. Tumbuk doh untuk membuang udara. Bahagikan doh kepada 15 atau 16 bahagian. Bulat-bulatkan setiap bahagian dan susun dalam bekas yang telah disapu mentega. Buat hingga siap. Tutup adunan dan biarkan 45 minit hingga doh mengembang lagi.

Selepas 45 minit, panaskan oven. Sapukan permukaan roti dengan baki 1/2 bahagian telur tadi. Isikan kastard dalam piping bag (plastik dilubangkan di penjuru bawahnya) dan paipkan secara bersilang atas roti tadi.
Bakar dalam oven pada suhu 180 darjah celcius selama 20 minit atau hingga masak. (letakkan loyang di tengah oven)Sejukkan atas jaringan sebelum dihidang.
** memandangkan oven k.An kecik je, K.An bahagikan kepada 2 loyang. 2 kali bakar le maksudnya. Hasilnya tetap memuaskan... jangan risau kalau tak ada oven besar macam Mat.. boleh buat juga..

Thursday, March 26, 2009

'Home-made' Shawerma

Selain suka masak-masak, makan-makan, 'JJCM', kami sekeluarga juga suka makan kat dalam kereta sambil ronda-ronda atau makan kat dalam kereta dalam perjalanan ke satu tempat yang agak jauh..(pelik pulak bunyinya)
Dalam erti kata lain, berkelah kat dalam keretalah... Kadang-kadang, kalau k.An terlebih masak makanan, K.An masukkan dalam bekas bekal, ajak Abang Azam jalan-jalan bawak anak-anak dengan kereta.... dan makanan tu pasti habis. Budak-budak ni kalau kat dalam kereta, makan berebut-rebut.... makanan yang banyak pun boleh jadi tak cukup. Yang penting, tu strategi k.An menghabiskan makanan..

Satu perkara lagi, kalau kami nak ke satu tempat yang perjalanannya memakan masa yang panjang, K.An juga suka sediakan bekalan air dan makanan yang mencukupi kat dalam kereta. Selain menjimatkan duit, jimat juga masa sebab bila terpaksa berhenti untuk mengisi perut... banyak kerenahnya dengan anak-anak kecil ni. Lagipun susah nak cari makanan yang betul-betul sedap kat R & R ni.. kebanyakannya asal ok je sebab pengguna dah tak ada pilihan. Lapar punya pasal, beli aje..

Balik ke kampung cuti lepas, k.an sempat sediakan bekal 'home-made' shawerma untuk kami makan di dalam perjalanan yang mengambil masa hampir 5 jam. K.An namakan begitu kerana kat rumah tak ada pemanggang daging shawerma macam kat kedai.. tapi rasanya hampir sama dan tak kurang sedapnya. K.An panggang kat dalam kuali je dan gunakan roti hot-dog. Boleh juga digunakan roti pita (seperti kebab Melawati) atau roti Arab.

K.An tak namakan 'kebab' kerana setahu k.An kebab adalah daging cincang yang dicampur rempah-ratus dan dikepal macam pegedil besar, dicucuk pada besi pemanggang dan dipanggang atau bakar macam sate...
Diringkaskan cerita, cubalah resepi mudah ini...

Bahan-bahan: (menghasilkan 6 biji roti shawerma)

1 bungkus roti hot-dog (boleh diganti dengan 3 keping roti pita dipotong 2)
4 keping daging burger ayam/ daging Ramly
1 biji tomato saiz besar-didadu kecil
1/2 batang timun didadu kecil
1 labu bawang besar didadu kecil
1/2 cawan sos cili
mayonaise secukupnya
margerin secukupnya

Cara membuatnya:

1. Keluarkan daging burger daripada 'freezer' dan biarkan lembut seketika.(jangan terlalu lembut, nanti tak boleh dipotong pulak) Apabila boleh dipotong, potong daging berbentuk dadu . Buat hingga habis.
2. Panaskan kuali. Letakkan 1 sudu kecil margerin. Masukkan bawang dan goreng hingga layu. Jangan sampai perang. Angkat dan ketepikan.
3. Menggunakan kuali yang sama, masukkan daging dan panggang hingga nampak garing diluarnya. Kacau sentiasa agar daging masak rata.
4.Masukkan sos cili, tomato, timun dan bawang dan gaul rata. Tutup api dan cedok daging ke dalam mangkuk.

5. Belah dua roti hot-dog. Sapukan sedikit margerin dan mayonaise secukupnya. Letakkan inti daging dan bolehlah dihidang dan dinikmati di mana sahaja. Tambahkan sos cili jika suka lebih pedas.


***lakukan proses sama jika menggunakan roti pita atau roti arab. Potong 2 roti pita dan besarkan lubang di tengahnya. Sapukan margerin dan mayonaise. Isikan inti. 3 keping roti pita menghasilkan 6 keping shawerma.

Friday, November 28, 2008

Minum petang dengan Sandwich Sardin

Pagi tadi K.An buat penkek dengan sambal sardin.. Ada separuh periuk lagi sambal sardin, jadi petang ni bolehlah buat sandwich pulak.. Jimat masa sebab tinggal nak letak kat roti je lagi.
Seingat K.An kalau buat sandwich macam ni, tak pernah tak habis.. memang laku je.

Kalau nak pergi berkelah ke, nak musafir jauh ke, sesuai juga bawak bekal sandwich macam ni sebab senang nak makan kat dalam kereta. Lagipun lebih jimat sebab kalau beli dah siap kat bakery atau stesen minyak 1 set dah RM2..

Kalau tak ada sardin, boleh diganti dengan baki ayam goreng atau tuna dalam tin. Cuma sapukan margerin pada roti dan tambah dengan salad, timun dan tomato. Ayam goreng tu, hiris nipis dan buang tulang.. dan sapu sos dan mayonaise pada roti. Sedap..


Sunday, November 9, 2008

Roti John Kak An

Ceritera Roti John... tak tau la K.An siapa yang bagi roti ni nama 'John'. Yang dok makannya orang Malaysia- Melayu, China, India... tak nampak pun John yang beli atau buat.. ha..hah

Kami sekeluarga kenal roti ni 6 tahun lepas kat Bandar Tasik Puteri. Ada pasar tani hari Rabu kot, (da tak ingat harinya..) Ada satu gerai jual 'Roti John' ni. Tiap minggu gerai ni paling meriah sebab panjang Qnya.. Kami pun cuba dan memang sedaap.. Adik-adik tukang masak tu pun ramah dan bersopan-santun.. Tu nilai tambah yang penting dalam berniaga.

Macam biasa misi K.An, masa tunggu dia masak roti ni, K.An tengok dan belajar.. Senang je.. Cumanya, sehingga hari ni, banyak-banyak Roti John yang kami cuba, resepi Bdr Tasik Puteri ni yang paling sedap...(ikut selera K.An la..orang lain tak tau). Dan yang K.An dan A.Azam paling kagum, salah seorang tukang masaknya kurang upaya, tapi cekap mengendalikan roti tu kat atas kuali.. hebat. Tu yang buat K.An malu kalau kita yang sempurna ni tak pandai buat.


Bahan-bahan:

Roti John/6 Roti Hotdog

1/2 cawan isi ayam dicincang atau potong kecil (boleh ganti dengan daging)

2 sudu besar rempah kari ayam/daging

1 labu bawang besar didadu

2 ulas bawang putih dicincang

3 biji telur

1 sudu teh serbuk lada hitam/ lada hitam ditumbuk halus

timun dicuci dan diparut kasar- jangan kupas kulitnya

margerin, sos cili dan mayyonaise secukupnya

Cara-cara:

Penyediaan inti:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang hingga wangi. Masukkan rempah kari yang dicampur 1/4 cawan air. Kacau agar tidak hangus. Masukkan ayam/ daging.

2. Masukkan sedikit garam. Kacau hingga ayam masak dan kuah pekat. Tutup api, ketepikan.

3. Belah dua roti dan sapukan margerin. Panaskan kuali leper. Bakar bahagian dalam roti yang disapu margerin tadi 1 minit. Ulang proses untuk kesemua kepingan roti. Ketepikan.

4. Sementara tu, masukkan inti ayam ke dalam mangkuk. Campurkan dengan telur, serbuk lada hitam dan sedikit garam (biar sedikit, jangan terlebih masin). Pukul sebati dengan garpu....

5. Letakkan sedikit margerin pada kuali Sapukan/ ratakan 1 -2 sudu besar inti pada roti dan terlangkupkan di atas kuali (cepat-cepat agar tak tumpah.) Panggang hingga masak (2-3 minit).Angkat dan ketepikan.

*** jika kuali besar saiznya, boleh buat banyak sekaligus macam kat gerai selalu tu..

6. Ulang proses untuk kesemua kepingan roti. Selepas semuanya selesai, parut kasar timun ke dalam mangkuk.

7. Sapukan sos cili/ tomato dan mayonnaise di atas roti dan taburkan timen parut tadi. (3 bahan ni, lagi banyak, lagi sedap)

Dah siap...dah jimat RM 10

***Timun parut boleh diganti dengan timun dihiris, tomato atau salad -ikut citarasa.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin