Wednesday, September 16, 2009

Apam Balik

Assalamualaikum semua... blog lain dah penuh dengan resepi biskut raya.... K.An tak mula lagi.. kalau sempat masukkan ada lah ye... Dah siap 5 jenis yang mudah-mudah je..

Alhamdulillah, puasa kali ni kami dapat mengekalkan rekod sekali je ke bazaar Ramadhan (tu pun masa bercuti ke Morib awal puasa dulu tu..) Yang lain, masak dan ada sekali dua tapau nasi beriyani kedai mamak dan tapau Domino pizza.. lega rasanya dapat berjimat di bulan puasa.

Tapi ni kes surirumah macam K.An le, kalau dah kerja.. balik lambat, mana nak sempat godek dapur lagi kan..? beli je kat bazaar tu daripada 'tension' nak masak. Cuma, kadang-kadang bila dah beli banyak-banyak, rasanya tak lalu dek tekak... membazirlah jawabnya. 2 hari lepas balik dari hantar Iqbal ke asrama, kami lalu di gerai jual-jualan makanan sempena bulan puasa ni (kat Uniten tu). Singgah nak beli air soya dan air tebu.. ternampak apam balik.. belilah satu... Balik rumah, masa berbuka tu.. jamah satu... aduuuh.. semua kurang. Gulanya kurang, kacang pun kurang, jagung laaagi kurang. Rasa... tawar je...

Kelmarin, pergi kedai, beli jagung, balik rumah buat sendiri... puas hati...
Resepi asal daripada Majalah Rasa edisi Ramadhan tahun 2006

Bahan-bahan: (menghasilkan 6 keping apam balik saiz besar)

500 gm tepung gandum
125 gm gula kastor
375 ml air
1 biji telur
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder

Bahan inti:

150 gm kacang tanah- sangrai, buang kulit dan kisar halus
150 gm jagung krim
150 gm gula kastor
margerin secukupnya

Cara membuatnya:

1. Pukul gula bersama telur hingga kembang.
2. Masukkan soda, air, serbuk penaik dan kacau lagi hingga sebati. Ayakkan tepung dan gaul hingga adunan tidak berketul. Boleh guna pengadun letrik atau 'whisk' sahaja.

3. Panaskan kuali leper. Sapukan sedikit margerin. Masukkan 2 senduk kecil adunan dan ratakan. Perlahankan api jika kuali jenis nipis. Tutup sebentar hingga adunan setengah masak.

4. Taburkan gula, kacang tanah dan jagung ikut citarasa banyaknya. Tutup kembali dan biar masak. Lipat apam balik dan sapukan margerin di permukaannya. Angkat dan ulang proses hingga habis.

Selamat mencuba.






No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin