Showing posts with label biskut. Show all posts
Showing posts with label biskut. Show all posts

Thursday, October 20, 2011

Tart Bunga Jem Mangga... naik keretapi Senandung Malam..

Assalamualaikum semua... adik, kakak, abang, makcik, pakcik... semua follower Periuktanah yang sentiasa memberi sokongan... apa khabar pagi ni.. dah sarapan ke belum? Kalau belum tu, cepat-cepat isi perut ye.. kalau lewat nanti takut masuk angin pulak..



Hari ni, K.An tak kemana-mana pun, cuma tiba-tiba teringat zaman naik keretapi Senandung Malam dari KL ke Parit Buntar zaman belajar muda belia dulu... kadang-kadang cepat, tapi selalunya lambat yang amat.. Kesian Arwah ayah yang terpaksa tunggu kadang-kadang sampai berjam-jam di stesen sebab zaman dulu tak ada telefon nak 'call'.. sabar ajalah..

Macam tu le gayanya tart bunga K.An ni gamaknye... terlambat sikit datangnya sebab naik keretapi Senandung Malam..hihiihi... 

Cerita tart Bunga ni lebih kurang cerita tart Nenas:........rumah K.An ni alhamdulillah rezeki melimpah ruah.. selalu ada buah tangan daripada rakan-rakan atau jiran tetangga. Almaklum kata mereka, kalau bagi An insyaAllah tak membazir.. akan jadi sesuatu akhirnya. Ada rezeki dapat hasilnya kepada mereka kembali.. Ada pisang jadi cekodok, ada mangga jadi kerabu, ada nenas jadi tart dan kalau ada keledek jadi karipap... Seronok juga dapat jiran dan kawan yang murah hati... Alhamdulillah rezeki Allah...

Di suatu malam, kawan K.An, Noni Paraparasapura singgah membawa seplastik besar berisi lebih 20 biji Mangga Epal.. katanya, mangga di belakang rumah je... alhamdulillah.. moga murah rezeki Noni sekeluarga.. Bila dah banyak tu, K.An agihkan pula kepada jiran dan kawan-kawan.. sempat juga dibuat jus , kerabu dan dimakan begitu sahaja. Masih berbaki 2,3 biji maka K.An buatkan jem mangga. Idea datang hasil perkongsian mak mertua Usop (rakan baik abg Azam kat kampung) masa kami bertandang ke rumah mertuanya di Perak. 
Banyak kuih dan biskut raya yang dihidangkan termasuk tart mangga yang dibuat ala tart nenas.. Kata mak Nurul (isteri Usop) ada baki doh tart nenas, tapi jem nenas dah habis, maka mangga di depan rumah dijolok dan dijadikan jem menggantikan jem nenas... hmmm sedap sangat dan rasanya tak berbeza dengan jem nenas. 

Bila kejadian sama berlaku dengan K.An, ada baki doh tart nenas hari tu, maka K.An jadikan ia tart Mangga berbentuk bunga.. Dapat juga dalam 15 ketul.. cukupla K.An buat kudapan..


Cara buat jem mangga lebih mudah kerana tak perlu diparut. Hanya hiris isinya dan campurkan sedikit gula. Masak seperti jem nenas. Kalau nak disapu pada roti, tak perlu dimasak hingga kering. Biarkan berair dan lembut. Tapi kena simpan dalam peti ais jika ingin tahan lebih lama.. Untuk inti tart, K.An masak hingga kering   dan kental.. Untuk resepi doh tart boleh Klik kat sini ye..

Saturday, October 15, 2011

Tart Nenas... edisi Ketinggalan Keretapi..

Assalamualaikum dan salam sejahtera... Selamat berhujung minggu kepada semua..

Cuti-cuti begini ramai yang ambil keputusan nak bermalas-malasan, ada yang nak membeli-belah (...SOGO SALE segala...) ada yang nak mengemas (selamat datang ke Putrajaya- Intan, Syed, Afif dan Aqeel) dan ada juga yang nak ke pasar dan memasak untuk keluarga... Apapun aktiviti yang dilakukan, pastikan ianya bermanfaat ye...

K.An pun ada senarai panjang tugasan nak dibuat dalam 2 hari ni...hmmm, tak pasti yang mana nak dicapai dulu.. dalam dok menung tu, eloklah K.An masukkan dulu resepi yang dah ketinggalan keretapi laju ni..hihihih.. 


Tart Nenas ni dah berulang-kali buat sebenarnya.. untuk Hari Raya tahun lepas pun dah buat, tapi entah kenapa, bila ada yang tanya resepi baru-baru ni, selongkar Periuktanah, rupanya terlupa K.An nak masukkan resepinya... Kebetulan di hujung bulan puasa yang lepas, jiran K.An, Kak Ju bagi sebiji nenas yang hampir masak dan tak sempat K.An pajerikan atau gulaikan... Masuk dalam peti ais, lepas cuti raya barulah K.An proseskan menjadi jem nenas. Di hujung Syawal, baru sempat menjadikannya tart nenas... Itulah yang jadi ketinggalan keretapi.. 

Tak apalah kan... di rumah K.An pun biskut-biskut macam ni tak tunggu raya... ada je permintaan.. K.An buatkan.. Raya Haji pun dah nak dekat.. boleh buat nanti..

Sebelum ketinggalan lagi, jom cepat-cepat kita tengok resepinya...

Bahan-bahan jem Nenas:

1 biji nenas masak- kalau nak sedap beli yang nenas madu, selalunya mahal sikit daripada nenas hijau tu..
4-5 sudu besar gula pasir
3 kuntum bunga cengkih

Cara membuatnya:

1. Kupas nenas dan bersihkan durinya..Parut halus dan masukkan ke dalam periuk. Tinggalkan empulurnya ya..

2. Masukkan gula pasir dan bunga cengkih. Hidupkan api sederhana dan kacau nenas hingga menjadi pekat.. Rasa sedikit dan jika rasa kurang manis, tambahkan sedikit lagi gula. Perlahankan api. Kacau lagi hingga jem kental dan kering.. sesuai untuk buat jem tart... Sejukkan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara sebelum sedia untuk digunakan...

***Jem yang betul-betul kering memang tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais..


Bahan-bahan tart nenas:

*** Resepi ni K.An ambil dari kotak acuan tart/ semperit beberapa tahun dulu... inilah resepi yang dah berulangkali K.An buat.. memang sedap dan disukai ramai..

125 gm mentega- K.An gunakan Butterlite atau ButterCup
30 gm gula ising
1/2 sudu teh esen vanilla
220 gm tepung gandum
 1 biji kuning telur

**kuning telur untuk hiasan
** jem nenas untuk inti- bentukkan bulat bujur sebesar hujung jari telunjuk/ kelingking..(ikut saiz jari.. hihihi..)

Cara membuatnya:

1. Kacau mentega dan gula menggunakan belakang senduk hingga lembut. Masukkan esen vanilla dan kuning telur. Pukul sebentar menggunakan kelajuan sederhana hingga adunan sebati.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh lembut.

3. Kepalkan doh secukupnya dan masukkan ke dalam acuan tart/ semperit... K.An guna yang manual, picit dengan jari je. Panjangnya anggaran 1 inci untuk tart comel atau 1 1/2 inci untuk tart yang agak besar.

4. Letakkan jem nenas yang telah dibentuk tadi. Gulung kemas dan letakkan di dalam loyang yang telah dilengser. K.An gunakan mangkuk kertas kecil agar tart tidak mudah hancur dan mudah ketika hendak menyimpan. Sapukan sedikit kuning telur di atas tart sebagai hiasan..

5. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 160- 170 darjah Celsius selama 15 minit atau tart kekuningan.. ikut jenis oven masing-masing. (Tart adalah jenis biskut yang cepat masak, jadi tengok-tengok selalu agar tidak hangus) Untuk tart nenas ni, K.An letakkan loyang ditengah-tengah oven agar tart masak elok..

***kepada yang bertanya tu.. silalah cuba ye.. kalau buat banyak, jangan lupa hantar sebalang kat K.An.. heheheh....

**** tart nenas yang sedap bergantung kepada jem yang sedap.. K.An memang buat sendiri jemnya agar kita dapat tentukan rasa yang diingini. Jem yang siap dijual tu bukan sahaja mahal tapi agak masam rasanya.. anak-anak tak gemor..

Thursday, July 8, 2010

Tat Keju Bluberi

Assalamualaikum wrt...

Demam Piala Dunia makin terasa akan meninggalkan kita.. kalau panjang umur dapatlah kita menonton lagi aksi jaguh-jaguh bolasepak dunia 4 tahun dari sekarang.... sedih pulak rasanya sebab kali ni K.An pun turut serta menyaksikan hampir setiap perlawanan disebabkan jadualnya bersesuaian dengan waktu santai kami sekeluarga....

Minggu depan, rutin harian kita pun akan kembali seperti biasa... tinggal menunggu bulan Ramadhan pulak menyambut kita sebulan dari sekarang insyaAllah..

Hujung minggu baru ni, bila anak bujang K.An balik bermalam, sperti biasa K.An buatlah sesuatu yang istimewa sikit untuk minum petang keluarga. Asalnya nak buat 'cheese cake' tapinya bila terpandang 'cheese tart' kat rumah Ira menu pun bertukar. Macam biasa belek koleksi majalah kat rak buku, terjumpa beberapa resepi tat keju yang nampak menyelerakan. Dalam banyak-banyak tu, K.An pilih yang menggunakan bahan yang mudah dicari dan mudah cara menyediakannya.

Masa tat ni dibakar, terbukti pilihan resepi kali ni tidak silap... baunya sungguh mengujakan. Bila siap... rasanya pun sungguh enak.. tak kalah rasa tat di hotel-hotel dan bakeri yang pernah K.An nikmati. Terima kasih, Puan Salhah Bujang dari MYSAL HOMEMADE CAKE yang berkongsi resepinya dalam Majalah Rasa Edisi Aidilfitri 2008. K.An pernah cuba resepi Roti Arab daripada beliau sebelum ni.. juga tak mengecewakan..

Jom kita tengok resepinya:

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 40 biji tat saiz besar)

Bahan Pastri Tat:

250 gm mentega- sederhana lembut
120 gm gula aising
500 gm tepung gandum
2 biji kuning telur
2 sudu teh esen vanilla
2 sudu teh air sejuk

Bahan inti keju:

500 gm krim keju
50 gm mentega
120 gm gula halus
2 biji telur

Hiasan:
jem bluberi secukupnya

Cara membuatnya:

1. Untuk pastri; campur tepung dan gula aising di dalam mangkuk. Campurkan mentega dan gaul ramas hingga menjadi 'crumb' kasar.

2. Masukkan esen vanilla, kuning telur dan air sejuk. Uli hingga menjadi doh lembut. Rehatkan selama 15 minit.

3. Canai dan terap ke dalam acuan yang telah dilenser dengan mentega dan bakar daam ketuhar bersuhu 180 darjah Celsius selama 10- 20 minit atau setengah masak. (K.An bakar hingga masak sebab suka rasanya yang lebih rangup.)

4. Bila siap, keluarkan daripada acuan dan sejukkan seketika.



Untuk membuat intinya:

1. Pukul krim keju (K.An guna Philadelphia cream cheese), mentega dan gula hingga kembang dan lembut. (high speed)

2. Masukkan telur dan pukul hingga sebati (kelajuan sederhana)

3. Masukkan ke dalam 'piping bag' dan paipkan ke dalam pastri yang telah dimasak tadi. Paipkan jem bluberi di atas adunan keju.

4. Bakar selama 15 minit pada suhu 180 darjah Celsius. (tak perlu guna kaedah 'Bain marie')


**** masing-masing nak jem banyak dan tulis nama sendiri..... yang ni sebelum dibakar
***** K.An senagaja buat pastrinya tebal sedikit supaya sesuai dengan inti keju yang diisi. almaklum kalau banyak sangat keju, nanti rasa muak pulak.

*** tat keju ni sungguh sedap dimakan setelah disejukkan di dalam peti ais.

Wednesday, September 30, 2009

Chocholate Chip

Atas permintaan kawan-kawan yang nak cuba buat sendiri biskut ni, hari ni K.An kongsi resepinya. Resepi asal, Kak Eton juga, diperturunkan kepada Kak N (kakak sulung K.An) kemudian kepada K.An serta adik-beradik yang lain dan diperturunkan untuk semua pembaca periuktanah. Ini pun kegemaran kami sekeluarga dan kuih wajib setiap tahun...

Minta halal resepi ye Kak Eton.. moga lebih berkat hidup K.Eton sekeluarga..


Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 200 biji kuih... untuk percubaan buat separuh adunan pun dah banyak)
385 g margerin
200 g gula pasir halus
2 biji kuning telur
155 g tepung jagung
385 g tepung gandum
2 camca teh baking powder
2 camca teh esen vanilla
200 g coklat hirisan (cooking choc. yang dihiris kecil-kecil)
100 g cornflake ditumbuk kasar

** boleh tambah kekacang jika suka seperti badam, kacang tanah dsb ikut citarasa

Cara membuatnya:
1. Pukul margerin dengan gula hingga sebati. (guna kelajuan sederhana)

2. Masukkan telur dan esen vanilla. Gaul sebati menggunakan senduk. Masukkan coklat kesemuanya dan gaul denga senduk hingga adunan bertukar warna gelap dan coklat sebati
dengan adunan.

3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder. Uli hingga sebati.
4. Masukkan cornflake dan gaul rata. Bentukkan adunan menggunakan sudu dan garpu dan susun atas loyang yang telah dilengser dengan margerin. Hiaskan dengan chocolate chip.

5. Panaskan oven pada suhu 170 darjah Celcius dan bakar selama 15- 20 minit atau hingga biskut masak dan berbau harum

SELAMAT MENCUBA...

Monday, September 28, 2009

Cornflake Madu


Selain masakan lauk-pauk yang mudah, biskut raya pun K.An pilih yang mudah je... contohnya cornflake madu ni.. Rasanya, budak Darjah 6 pun boleh buat sendiri..... Tak tipu, memang betul..
Resepi asal daripada majalah rasa edisi syawal 2005..

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih 150 mangkuk kertas kecil)

280 gm cornflake
180 gm madu
140 gm mentega (k. An kurangkan jadi 120 g je, supaya tidak berminyak)
bijan secukupnya
*** boleh tambah hirisan badam, choc-rice dsb ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Cairkan mentega dan madu di dalam periuk. Sejukkan seketika,
2. Setelah sejuk, masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan cornflake dan gaul rata.
3. Sediakan mangkuk kertas di dalam loyang pembakar. Masukkan cornflake madu ke dalam mangkuk menggunakan sudu. Taburkan bijan. Buat hingga habis. Bakar pada suhu 150 darjah selama 10 minit.

Sejukkan sebentar sebelum dimasukkan ke dalam balang, bagi mengekalkan kerangupannya.

sedia dinikmati.



Fruity Cornflakes

Assalamualaikum semua... Salam Aidilfitri dan selamat kembali bertugas...

Setelah sekian lama bercuti dan beraya sakan di kampung, baru hari ni sempat menjenguk kembali periuktanah K.An yang lama terperap kat dapur tu.. Walaupun jadual beraya padat, tapi alhamdulillah kali ni, semua perancangan berjalan dengan lancar. Perjalanan balik ke Perak dan kembali ke Putrajaya juga lancar tanpa menghadapi kesesakan lalulintas...

Seperti biasa bila di kampung, walaupun ramai kakitangan di dapur, K.An tetap turut 'sinsing lengan' menyediakan pelbagai juadah untuk hariraya dan hari-hari selepasnya.. memang tak sempat kemaskini blog... maaf ye..

Hari ni , jadual K.An kembali seperti biasa... K.An kongsi resepi biskut ni yang dah bertahun-tahun K.An dan K.N buat sebab sedap dan tak jemu dijamah...K.An buat lagi biskut raya untuk hidangan jiran tetangga dan kawan-kawan anak-anak yang datang berkunjung ke rumah kat sini..
Resepi asal daripada K.Eton yang jual aneka biskut raya, tapi K.An dah hilang jejaknya... Apapun, terima kasih K.Eton..


Bahan-bahan: (menghasilkan lebih 200 biji kuih)

540 g margerin
265 g gula kastor
4 biji kuning telur
640 g tepung gandum
2 camca teh baking powder
240 g cornflake yang diramas kasar (tumbuk pun boleh)
180 gm kismis- gunting kecil (ikut citarasa, k.An buat separuh je)
ceri merah dan hijau sebagai hiasan
1 camca teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Pukul margerin dan gula guna kelajuan sederhana hingga sebati (2 minit ). Masukkan kuning telur satu persatu dan pukul lagi.

2. Masukkan esen vanilla. Gaul rata. Masukkan cornflake dan kismis. Gaul sebati menggunakan senduk.

3. Masukkan tepung yang telah diayak. Gaul rata. Lengser loyang. gunakan sudu dan garpu untuk membentuk kuih. Susun dalam loyang dan hias dengan ceri merah dan hijau.

4. Bakar pada suhu 175 darjah celsius selam 10-15 minit atau hingga biskut wangi dan keperangan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin