Friday, May 29, 2009

Sandwich Gulung Istimewa


Selain rupa yang menarik, sandwich ni sangat praktikal sebagai bekalan ke sekolah atau jalan-jalan dan berkelah. Penyediaannya di waktu malam dan di pagi hari, boleh terus disajikan. Sandwich ni juga berkhasiat dan mengenyangkan kerana padat dengan lauk dan sayuran. Resepi asalnya daripada Puan Lin (Norzailina Nordin) yang mana K.An tonton rancangan masaknya lebih kurang 6 tahun lepas... (lamanya dah..) Mungkin Puan Lin pun dah tak ingat rancangan tu..

Bahan-bahan: (menghasilkan 4 gulung sandwich)

8 keping roti sandwich
1 mangkuk sambal sardin yang dihancurkan isinya bersama kuahnya
2 keping slice cheese dipotong 2(ikut citarasa) boleh diganti dengan cream cheese
daun salad secukupnya
hirisan tomato
margerin secukupnya

***timun, telur dadar ikut citarasa boleh juga dijadikan filling

Cara membuatnya

1. Nipiskan roti menggunakan pencanai agar tekstur roti padat. Buat hingga habis. Kemudian sapukan margerin/mentega di atas setiap keping roti.

2.Letakkan inti sardin dan daun salad di atas sekeping roti dan letakkan cheese dan tomato di atas kepingan roti kedua. Gulungkan roti seperti dalam video.




3. Bungkus dengan kemas dengan foil aluminium . Buat hingga habis dan simpan dalam peti sejuk selama 4 jam atau semalaman. Selepas itu, buka pembungkus dan potong sandwich setebal 1/3 inci dan boleh dihidang.
..

Tuesday, May 26, 2009

Mari-mari... Nasi Lemak Sardin Panaaas..!


Setiap kali balik kampung, jarang sekali kami melepaskan peluang menikmati nasi lemak sardin di gerai milik keluarga arwah Pakcik Halim yang terletak di hadapan Masjid Batu 5 dahulu. Selalunya selepas solat Subuh, seawal pagi lagi gerai ni dah dipenuhi pelanggan yang gemar menikmati mihun sup, kuih-muih dan nasi lemak sardin yang disajikan di sini.

Gerai ini kemudian diwarisi anak beliau yang juga telah meninggal dunia iaitu arwah Shukor.. dan sekarang gerai tersebut diuruskan oleh isteri arwah dan ahli keluarga mereka yang lain,telah berpindah di tapak pekan Rabu juga di Batu 5 kerana pertambahan pelanggan dan suasana kedai yang lebih selesa.

Zaman K.An sekolah dulu, harga nasi lemak sardin ni cuma 30 sen dan sekarang 50 sen, tetapi yang penting rasanya tetap sama..sedaap.
Tapi yang dalam gambar tu, K.An punya nasi lemak ye... walaupun tak sama 100% tapi bila dibungkus dalam daun pisang, tak kurang enaknya..alhamdulillah..


Resepi sambal sardin ni dah pernah K.An siarkan, tapi khusus untuk nasi lemak bungkus ni, K.An tulis sekali lagi untuk kemudahan semua.
Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 pinggan)

1 tin besar sardin (KingCup atau Ayam Brand)
3-5 biji cili padi diketuk
5 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih dikisar halus
3-5 ulas bawang merah dihiris (dimayang)
1 cawan cili kisar
1 labu bawang besar dihiris gelang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah hiris hingga wangi dan keperangan. Masukkan bawang kisar, cili padi dan tumis seketika. Masukkan pula cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana agar cili tidak hangus.
2. Masukkan sos tomato dalam tin sardin. Gaul rata dan tumis lagi. Tambahkan 1/4 cawan air. Masukkan ikan sardin dan bawang besar. Didihkan dan tambah garam, gula secukupnya. Padamkan api apabila cukup rasa. Sedia dihidang bersama nasi lemak.

Cara membuat nasi lemak:

3 cawan beras super 5% dibasuh dan toskan
5 1/2 cawan santan daripada 1 biji kelapa
1 inci halia diketuk
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul
2 sudu teh garam
1 sudu teh jintan putih dan jintan manis biji(dicampur)

Cara memasak:

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.

***apabila nasi masak hidangkan di dalam pinggan berlapik daun pisang kerana aroma daun pisang menyedapkan lagi rasa nasi lemak.

Senangnya nak Buat Kerabu Tomato...

Abang Azam tak balik makan tengahari sebab nak turunkan berat badan...?... K.An masak yang mudah-mudah je sebab anak-anak tak cerewet nak makan banyak jenis lauk. Tekak ni terasa nak makan kerabu tapi malaaas nak buat yang 'renyah-renyah' tu sebab satu mulut je nak makan. Sudahnya k.An buat je kerabu tomato ni...paaling senang. Ini resepi adik k.An, Moon yang pakar menyediakan sayuran dan ulaman mengikut kehendak suaminya.. heheh..

Bahan-bahan:

1 biji tomato dihiris nipis
2 sudu teh sambal belacan

Cara membuatnya:
Satukan tomato dan sambal belacan.. Gaul rata. Masukkan ke dalam piring... sedia untuk dimakan.. Tak tipu... senang dan sedap.

**** tips daripada Moon.. kalau nak tambah kaler pada kerabu, tambahkan kacang panjang yang dihiris kecil-kecil dan gaulkan dengan ikan bilis/ udang kering ditumbuk halus. Kalau rajin lagi tambahkan bawang besar dihiris halus... memang terangkat..

Monday, May 25, 2009

Pulut Kuning dengan Kari Ayam

Kepala K.An ni berdenyut-denyut sakitnya dah 2 hari disebabkan cuaca yang amat panaaasnya kat luar dan dalam rumah... Makan pun tak berapa selera sebab tekak rasa pahit-pahit sikit.. Sudahnya masak je kari ayam. Tengahari makan dengan nasi, petang nanti boleh buat pulut kuning makan dengan kari.. mmph sedap tu. Sebenarnya pulut ni 'ubat' sakit kepala lagi...hihik. biarkan..dah sakit nak buat macamana kan..? Belasah je labu...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)

1 cawan beras pulut- direndam dengan 2 cawan air, 1 keping asam keping dan sedikit serbuk kunyit semalaman atau 5 jam.

1 cawan santan pekat

garam secukup rasa

sehelai daun pandan dicarik dan disimpul

Cara memasak pulut kuning:

1. Toskan beras pulut di dalam penapis dan lalukan air bersih. Panaskan pengukus. Masukkan beras ke dalam loyang atau bekas tahan panas. Masukkan santan dan garam. Gaul rata. Letakkan sekali daun pandan. Kukus selama 20 minit atau sehingga masak.

***cara lain. Masukkan beras ke dalam periuk nasi. Masukkan 1 cawan santan, garam dan daun pandan dan masak seperti biasa.

Kari Ayam:

500 gm ketulan ayam dipotong kecil

2 sudu besar rempah kari dibancuh dengan 1 cawan air

1 biji kentang dibelah 6

2 tangkai daun kari

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis

sedikit halia dihiris halus

1 kuntum bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis

1 cawan santan sederhana pekat

Cara membuatnya:

1.Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan rempah kari dan daun kari. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan ayam dan 1 cawan air. Tutup periuk dan didihkan. Setelah mendidih, masukkan kentang dan santan. Tambah air jika kuah terlalu pekat. Gaul rata. Masukkan garam secukupnya. Didihkan lagi. Padamkan api apabila kentang empuk dan sedia dihidang.

Sunday, May 24, 2009

Laksa Beras Utara

Kepada sesiapa yang biasa ke Pasar Malam Paya Jaras atau Bandar Baru Sungai Buloh, pastinya kenal benar dengan Pak Ndak Zahir yang menjual laksa Utara dengan periuk besarnya... Bukan sahaja laksanya sedap, keramahan Pak Ndak Zahir juga menggamit ramai pelanggan yang saban kali ulang membeli laksa utara di gerainya. Dah lama sebenarnya kami sekeluarga tak ke sana sejak berpindah ke Putrajaya ni. Ada lagi ke Pak Ndak di situ lagi..?

Selain Pak Ndak Zahir, bila sebut laksa utara, K.An teringat Pakcik Mie yang menjual laksa hanya dengan menaiki motorsikal di sekitar kampung K.An. Walaupun jalan kampung dah lebar dan boleh dilalui kereta, Pakcik Mie masih menjual laksa dengan motorsikalnya.. dah biasa agaknya.. Yang sedap dan istimewanya, laksa beras dengan kuih seperti telur sebagai bahan taburannya.. Jangan salah sangka.. ianya bukan telur.. k.an bagi resepinya.. (mak mertua k.An yang ajar)


Bahan-bahan:

1 kg laksa beras basah(k.an beli di pasar presint 8 putrajaya ni... memang sedap) cuma lalukan dengan air mendidih. Toskan.

Kuah Laksa:

1/2 kg ikan sardin segar- rebus dengan air banyak dengan 3 keping asam keping. Didihkan dan ketepikan.

5 biji cili merah*

1/4 cawan cili kisar

4 biji cili api*

3 labu bawang besar dikupas dan potong kecil*

1 sudu besar belacan dihancurkan*

2 kuntum bunga kantan dipotong kecil

segenggam daun kesum

3 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan bertanda * hingga halus. Toskan ikan, simpan air rebusan untuk kuah. Asingkan isi ikan dengan tulang. K.An asingkan kepala ikan dan kisar campur dengan sedikit air.. kemudian tapis. Kisar/ tumbuk isi ikan dan ketepikan.

2. Masukkan air rebusan ikan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar dan tambah air secukupnya. Masukkan isi ikan, asam keping dan cili kisar. Masak kuah hingga mendidih.

3. Biar kuah mereneh. Masukkan garam, bunga kantan dan daun kesum. Tambah sedikit garam untuk sedikit rasa manis. Perlahankan api dan biar kuah mendidih di atas dapur.

Bahan ditabur di atas laksa:

Timun, bawang besar, daun selom, cili padi dihiris halus berasingan.

Telur rebus dibelah 2 atau empat

nenas dihiris kecil jika suka

Cara membuat kuih kuning:

2 sudu besar tepung gandum dicampur dengan 1/2 cawan air. Campurkan sedikit serbuk kunyit dan garam. kacau rata. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Dadarkan kuih seperti telur dadar. Terbalikkan dan angkat apabila masak. Gunting kecil-kecil dan tabur di atas laksa.

Masukkan laksa dan bahan taburan ke dalam mangkuk. Cedokkan kuah secukupnya... sedia dinikmati.

**boleh tambah petis udang kalau suka
***kuah laksa lebih sedap apabila dipanaskan berulang kali kerana rasanya lebih sebati. Boleh tahan sehingga 5 hari jika dipanaskan selalu.

Friday, May 22, 2009

Tak Jadi tapi Sedaaap.. Slice Cheese Cake

Buat pertama kalinya K.An tak rasa kecewa bila kek yang K.An buat tak jadi sama macam resepi asal... hahhaah.. Sebabnya, walaupun tak jadi tapi dia jadi versi lain yang tak kurang sedapnya... Panjang salasilahnya kek keju ni,tapi dipendekkan cerita. K.An salin daripada blog Hana Resepi Pandan Slice Cheese Cake . Hana belajar daripada rosonigiri Terliur nengoknye.."
Tapi kenapa agaknya K.An buat jadi 2 lapis pulak ye..? Lapis atas tu memang lembut dan gebu, lapisan bawah macam puding lemak manis keju..Dah 2 kali buat sama juga.. A.Azam kata.. bior jelah..yang penting sedaaap.. (Mungkin sebab jenis cheese kot... nanti cuba jenama lain pulak.. tengok macamana hasilnya.

Bahan-bahan:

4-5 keping cheese (k.An guna 4 keping)

200 ml susu segar

70gm butter

70 gm tepung gandum (ayak dahulu)

70 gm gula

4 biji telur saiz M

esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Potong/ gunting kepingan keju kecil-kecil dan campurkan dengan susu segar. Masukkan ke dalam periuk. K.An guna kaedah 'bain-marie' ikut cara Mat Gebu. Gunakan api perlahan dan biarkan keju cair. Kacau sentiasa.

3. Masukkan butter dan kacau hingga larut. Tutup api dan sejukkan sebentar.

4. Dalam bekas lain, asingkan putih telur dan kuning telur. Pukul putih telur bersama gula hingga menjadi meringue.

5. Di dalam bekas lain, pukul kuning telur hingga kembang dan masukkan ke dalam adunan cheese tadi. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul lagi. Pastikan adunan tidak berketul.

6. Akhir sekali, campurkan meringue ke dalam aduanan tadi dan beberapa titik esen vanilla. Gunakan cara kaup balik supaya adunan cepat rata. Glis acuan kek dengan margerin dan alaskan dengan kertas. Masukkan adunan kek ke dalam acuan.

7. Bakar pada suhu 170 darjah selama 20 minit dan turunkan suhu ke 140 darjah selama 40 minit. Gunakan acuan kek berukuran 20 cm dan letakkan sedikit air di bawah loyang (kaedah 'bain-marie')untuk mendapatkan kek yang halus.

Apabila kek masak-, sejukkan sebelum dikeluarkan daripada loyang... selamat mencuba... tengok yang mana satu hasilnya..heheh

***tolong Hana.. tolong Mat..!! Kenapa kek akak jadi gitu..?

*** Tips daripada Ros empunya resepi: Bahagikan meringue kepada 3 bahagian dan campurkan sedikit demi sedikit ke dalam aduanan. Gaul menggunakan senduk kayu dan jangan 'over-mix'


Wednesday, May 20, 2009

Kuih Nagasari

Musim panas kering macam sekarang ni, tekak pun nak menjamah yang lembut-lembut, sejuk dan cair kat lidah je... kurang juga guna tenaga mengunyah.. Baki pisang ada lagi kat peti ais. Malas nak buat yang susah, buat je kuih nagasari ni... kuih tradisi lagi..


Bahan-bahan: (menghasilkan 10-12 bungkus nagasari)

Bahan A

50 gm tepung beras (3/4 cawan)

1/2 liter santan sederhana pekat(3/4 cawan)

1 sudu teh garam

Bahan B:

5-7 biji pisang masak dan manis(raja/ awak /emas)

daun pisang bersaiz 6 inci X 6 inci secukupnya

Cara membuatnya:

1. Layur daun pisang di atas api agar lembut. Ketepikan.

2. Masukkan bahan A ke dalam periuk dan kacau sebati menggunakan api perlahan. Kacau hingga adunan pekat dan berkilat. Matikan api. Ketepikan.

3.Belah dua pisang memanjang. Sediakan daun pisang. Ambil 1 sudu besar adunan bahan A yang dimasak tadi dan letakkan di atas daun pisang. Ratakan sedikit.

4. Letakkan sebelah pisang di atasnya dan ambil lagi sedikit adunan bagi menutup pisang itu.

5. Bungkus dengan kemas. Buat hingga habis. Panaskan pengukus dan kukus kuih selama 10 minit. Keluarkan daripada pengukus dan sejukkan sebelum dihidang.

Tu dia... sedia untuk di mamammm...

*** adunan yang sama boleh digunakan untuk buat kuih Tepung Bungkus

Roti Kentang dah Siap Mat...!

Sudah sekian lama K.An teringin nak buat roti yang lembut dan gebu macam yang dijual di kedai-kedai tu, tapi tak kesampaian. Banyak dah rancangan memasak termasuk rancangan Yuk Buat Roti oleh Chef Wan K.An tonton, tapi bila cuba, tak jadi juga.

Bila tersinggah blog Mat Gebu yang memang pandai memasak serba-serbi tu, tengok roti kentang yang dia buat..alamak tergoda K.An. Pergi kedai, beli bahan yang sepatutnya, terus buat roti kentang tu... Berulangkali K.An baca Bismillah masa uli tepung.. dan hasilnya, alhamdulillah.. gebu dan cantik macam yang kat kedai. Terima kasih juga kepada Kak Rin yang mula-mula buat roti ni sblm Mat. K.An bagi resepi yang Mat bagi.


Bahan-bahan:

Bahan Doh Roti:
300 g tepung roti (high protein)
2 camca teh yis segera (mauripan atau apa-apa jenis)
3/4 sudu besar susu tepung
1/2 camca teh garam
60 gm gula castor
60 gm kentang lecek (dah direbus lebih dahulu)
1/2 biji telur (guna lagi 1/2 untuk sapu atas roti)
135ml air sejuk (dari peti ais)
30 gm mentega
1/2 camca teh bread improver
1/2 camca teh bread softener

Bahan Kastard:
1 camca besar tepung gandum
1 camca besar tepung kastard
4 camca besar gula halus
1 cawan susu segar
1 biji telur saiz A
1 camca besar mentega

Cara membuatnya:
1. Untuk Doh Roti: Satukan bahan untuk doh roti kecuali air dan mentega. Gaul dengan tangan hingga sekata. Buat lubang di tengah dan tuang air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh. (K.An buat kat atas meja supaya senang menguli)
2. Tambah mentega dan terus menguli hingga menjadi doh yang kenyal dan lembut.
3. Bulat-bulatkan doh dan perap 1 jam hingga doh kembang.

Untuk Kastard:
Sementara menunggu doh naik, buat kastard. Satukan semua bahan kastard kecuali mentega dalam bekas tahan panas. Kacau rata dengan whisk. Masak secara double boiler sambil terus mengacau hingga pekat dan berkilat. Alihkan dari double boiler dan masukkan mentega. Kacau hingga sebati. Tutup kastard agar permukaannya tidak keras.

Untuk Roti kentang:
1. Keluarkan doh. Tumbuk doh untuk membuang udara. Bahagikan doh kepada 15 atau 16 bahagian. Bulat-bulatkan setiap bahagian dan susun dalam bekas yang telah disapu mentega. Buat hingga siap. Tutup adunan dan biarkan 45 minit hingga doh mengembang lagi.

Selepas 45 minit, panaskan oven. Sapukan permukaan roti dengan baki 1/2 bahagian telur tadi. Isikan kastard dalam piping bag (plastik dilubangkan di penjuru bawahnya) dan paipkan secara bersilang atas roti tadi.
Bakar dalam oven pada suhu 180 darjah celcius selama 20 minit atau hingga masak. (letakkan loyang di tengah oven)Sejukkan atas jaringan sebelum dihidang.
** memandangkan oven k.An kecik je, K.An bahagikan kepada 2 loyang. 2 kali bakar le maksudnya. Hasilnya tetap memuaskan... jangan risau kalau tak ada oven besar macam Mat.. boleh buat juga..

Donut warna-warni..

Alahai Intan.. macam tau-tau je K.An belum tidur lagi.. Nak tau tak, Jumaat lepas K.An buat roti kentang. Sementara tunggu doh roti tu kembang, baki kentang lecek yang ada tu, K.An kerjakan buat donut... Adunannya macam resepi yang ada tu (tengok kat resepi kuih-muih-pau sambal), cuma dah lepas goreng, K.An sapukan susu pekat dan taburkan 'rice' warna-warni tu... Laju je sorang-sorangnye makan..
Dulu masa kat Rawang, ada anak kawan K.An yang selalu 'order' donut macam ni.. Bila kami pindah, dia selalu tanya mak dia, bila nak dapat makan donut Cik An lagi...?
*** nak lembut lagi donut tu, tambah 1 sudu besar (rata)susu tepung dalam campuran bahan kering sebelum diuli dengan air.

Tuesday, May 19, 2009

Ikan Tenggiri Sambal

Dah memang tekak orang Melayu yang tak boleh makan nasi tanpa lauk pedas... Kalau tak ada sambal belacan, atau asam pedas, atau sambal tumis, atau kari atau masak lemak cili api.... mmph memang perlahan je suapnya. Paling kurang kena buat kicap pedas atau budu dikawankan dengan cili padi..

Di rumah ni pun dalam setiap hidangan, kena ada yang warnanya merah. Tambahan pulak si Sarah (anak K.An yang no-3 tu). Kalau bukak tudung saji, ada sambal tumis.. terus je kata sedapnya... walaupun belum makan...

Lagi satu perkara, selain boleh dibuat taucu, kalau ada lebihan ikan goreng yang tak habis, boleh juga dibuat sambal tumis macam ni.. tak membazir...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

3 ketul ikan tenggiri- bersihkan, lumur dengan garam kunyit dan goreng separa garing. Ketepikan

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk/kisar halus

1/2 cawan cili kisar

1 labu bawang besar dipotong gelang

1 sudu kecil pati asam jawa Adabi dicampur 1/2 cawan air

garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga pecah minyak.

2. Masukkan air asam jawa dan bawang besar. Biar mendidih dan bawang layu. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan sedia dihidang.

Rendang Udang

Sebenarnya tak ada idea nak masak apa... jenguk peti ais , bahan apa yang ada. setengah jam lagi abang Azam dan anak-anak dah nak balik, lengkuas ada, serai, cili, santan semua ada. Daun kunyit dan daun limau petik je kat depan rumah... Buat rendang lah kita...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

300 gm udang harimau
1 cawan cantan pekat

bahan dikisar halus:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang serai-dihiris halus
1 sm lengkuas
3 biji cili padi- tak perlu kalau tak suka pedas

2 sudu besar cili boh/kisar
1 sudu besar kerisik
daun kunyit dan daun limau purut dihiris halus

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kisar, cili kisar dan santan ke dalam kuali. Masak dengan api sederhana hingga mendidih. Kacau sentiasa hingga kuah pecah minyak dan pekat.
2. Masukkan udang dan kerisik. Kacau sebentar hingga udang masak. Masukkan garam, gula secukup rasa. Padamkan api dan taburkan daun limau purut dan daun kunyit.

Sesangan Pisang Muda dengan ikan Tenggiri

Selain pisang masak untuk dibuat kuih-muih, dapat juga bekalan pisang muda dari kampung secara tak sengaja. Masa K.An dan Abang Azam dok menebang pokok pisang kat kampung kami tu, ada la pokok yang rapaat sangat dan rapaat pula dengan pagar jaring reban ayam jiran sebelah. Dek kerana nak mengelak tumbang ke pagar jiran tu, terkorbanlah sepokok pisang yang masih muda belia buahnya... Tak apalah, kita gulaikan je pisang ni.. hihih..

Gulai lemak kuning kalau dicampur dengan ikan, kami orang Banjar namakan Sesangan. Lebih sedap jika ada ikan darat seperti sepat, haruan atau puyu... mmmph wal lllah..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1 sikat pisang muda- kupas kulit, potong serong dan rendam dalam air seketika
3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
sedikit serbuk kunyit
1 keping asam keping
1 ketul ikan tenggiri dipotong 4
1 biji cili merah dihiris serong

Cara membuatnya:

1. Rebus pisang hingga lembut. (lebih kurang 5-minit je). Toskan.
2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali santan pekat. Didihkan dan kacau sentiasa dengan api sederhana.
3. Masukkan santan pekat dan garam dan gula secukup rasa. Apabila mendidih, padamkan api dan sedia dihidang.

*** dalam gambar tu dah tak ada ikannya sebab dah habis dikerjakan a.azam dan anak-anak. Asma' kata ikan tu sedap macam ayam...heheh..

Buat sendiri Pop-Corn

Minggu lepas, terlapang sikit, dan K.An dapat panggilan daripada mak kawan Asma' yang sudi kongsi resepi pop-corn. Pergi ke c4, beli jagung kering dan jadilah pop-corn buatan sendiri. Lebih sedap, lemak dan manis. Resepinya nanti mintak izin daripada empunya resepi dulu ye...

Dah dapat keizinan untuk dikongsi resepinya.. (thanx Jeanna)

Bahan-bahan: (menghasilkan 1 periuk 4 liter pop-corn)
1/2 cawan jagung kering (murah je beli di pasaraya)

1/2 cawan minyak masak

1/2 cawan margerin

1/2 cawan gula pasir (K.an gunakan gula castor)

Cara membuatnya:

1. Panaskan kuali. Tuangkan semua minyak bermula di sekeliling kuali agar minyak rata. Masukkan jagung. Tutup kuali. Gunakan api sederhana.

2. Biarkan jagung meletus 'pop'. Semakin kurang bunyi, perlahankan api dan apabila habis bunyi, baru buka tudung kuali. Matikan api. Ketepikan dulu.

Karamel:

Dalam kuali lain, campurkan margerin dengan gula. Hidupkan api sederhana. Apabila margerin mula cair, perlahankan api. Kacau campuran gula dan margerin hingga gula hancur dan agak pekat. Jangan biar hangus. Matikan api dan masukkan jagung. Gaul rata.


Sedia dinikmati bersama keluarga...

Thursday, May 14, 2009

Sagu Gula Melaka

Di suatu hari... K.an menonton rancangan Food Lover's Guide to Australia (rancangan fav. K.An tapi, tolak bab tunjuk makan yang tak halal..). Kali ni dia melawat restoran nyonya yang menyajikan pelbagai kuih-muih tradisonal nyonya yang sangat terkenal tu... antaranya sagu gula melaka. Siap demo cara dia buat... mmp..lain sikit daripada yang selalu K.An buat dan baca di majalah. Nampak lebih mudah dan praktikal. K.An dah cuba dan memang hasilnya sangat memuaskan. Baby Maryam dan Princess 'Aisyah pun suuukaa sangat.

Bahan-bahan: (menghasilkan 5 bekas dadih kecil)

1/2 cawan sagu biji (K.An gunakan yang warna hijau)- rendam dengan 1 cawan air selama 15 minit
4 cawan air biasa
1 biji putih telur
acuan secukupnya

Cara membuatnya:

1.Masukkan air ke dalam periuk. Didihkan. Biar api sederhana. Masukkan sagu yang direndam tadi (jangan toskan) dan kacau sentiasa hingga sagu timbul dan jernih. Tuangkan ke dalam penapis halus.
2. Dalam bekas lain, kacau putih telur dengan garpu. Masukkan ke dalam mangkuk dan gaul rata bersama sagu yang ditoskan tadi. Masukkan campuran sagu ke dalam acuan dan sejukkan di dalam peti ais.

Bahan sirap gula melaka:

Cairkan 1 keping gula melaka dengan 1 cawan air mendidih. Kacau sentiasa hingga air gula mendidih. Padamkan api dan sejukkan.
Campurkan sedikit garam dengan 1 cawan santan pekat. Sejukkan dalam peti ais. (jika ingin santan tahan lama, masak di atas api perlahan seperti menyediakan santan untuk cendol.

Hidangkan sagu bersama 2 sudu besar air gula melaka dan 2 sudu besar santan. (tambah jika tak cukup manis atau lemak)

Pisang....Buah Tangan dari Kampung


Paling menyeronokkan bila balik kampung ni, bila boleh petik, kutip, ambik macam-macam bahan mentah yang harganya berlipat ganda di bandar macam KL dan Putrajaya ni. Contohnya bunga kantan dan pisang. Memandangkan kampung K.An ada banyak pisang, memang setiap kali balik inilah buahtangan wajib yang akan kami bawa balik adik-beradik. (cerita lain..singgah Suara Hati) Banyak jenis kuih yang boleh dibuat dengan pisang.

Kali ni K.An bawak balik 7 sikat pisang awak (bagi jiran sikit) dan sesikat pisang berangan (PakTam yang bagi ni). Dah macam-macam dibuat termasuk pisang goreng, cekodok dan mafin. Ada sikit lagi stok dalam peti ais untuk dibuat murtabak, kek pisang dan lempeng... mmmp sedapnye...


Kebetulan pulak, semalam, pokok pisang awak yang K.An tanam kat belakang rumah ni dah mengeluarkan jantung yang pertama setelah berusia hampir 1 tahun 3 bulan... Alhamdulillah



Wednesday, May 13, 2009

Mafin Pisang

2 bulan lepas...rasanya.. K.An ada janji kat Intan (Geneva) untuk bagi resepi mafin pisang yang selalu K.An gunakan. Masa tu Intan tersilap beli pisang dan rupa mafin yang dibuatnya tak berapa cantik... Kebetulan minggu ni ada masa sikit nak godek oven dan ada susu segar kat peti ais, K.An sempatkan juga buat mafin pisang ni. Resepi ni K.An ambil dari majalah apa tak ingat dah, lebih 3 tahun lepas... Selalunya buat memang jadi cantik..

Bahan-bahan: (menghasilkan 13 biji mafin besar)


*** sukatan boleh guna ukuran metrik atau cawan yang K.An sukat tu
150ml minyak masak - 3/4 cawan
150 ml susu segar- 3/4 cawan
150gm gula castor-3/4 cawan
100 gm telur = 3 biji
sedikit esen pisang
250 gm tepung kek = 2 1/2 cawan, ayak dahulu

(tambah 15gm serbuk penaik, jika guna tepung gandum)
80 gm pisang emas/ pisang awak masak- (3 biji saiz sederhana besar)- hiris nipis dan lecek

Cara membuatnya:

1. Pukul telur dengan gula hingga kembang
2Campurkan minyak, susu dan esen pisang. Kacau sebati.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau rata menggunakan 'whisk'
4. Masukkan pisang lecek. Gaul sebati. Panaskan oven pada suhu 190 darjah.

5. Masukkan paper-cup dalam acuan mafin.

6. Tuang adunan 3/4 penuh ke dalam acuan. Bakar 20 minit menggunakan api atas dan bawah. Letakkan tray di tingkat kedua dari bawah agar mafin masak elok.


***mafin ni sedap dimakan bila dah sejuk sebab teksturnya jadi lebih lembut dan lembab.. kalau nak tahan lama, simpan dalam bekas bertutup dalam peti ais.

Nostalgia Mee Sanggul dengan Kuah Kacang

Anak-anak suka betul dengar cerita zaman dulu-dulu masa K.An 'kecik' dan masa K.An sekolah rendah sebab semua tu dah tak ada di zaman Malaysia membangun ni.
Masa tu bekal belanja cuma 30 sen. harga kuih 10 sen. Nasi lemak 30 sen. air pun cuma 10 sen segelas. Siapa bawak duit bekal 50 sen, dah kira anak orang berada yang bapaknya ada sawah berekar-ekar. Tak pun anak tauke kedai runcit.

Ya lah, zaman tu gaji pegawai besar pun cuma RM 1 ribu lebih. Arwah ayah K.An yang jadi cikgu lebih 15 tahun pun gajinya cuma RM 700... tapi bahagia betul zaman tu.. Pergi sekolah, naik basikal sejauh 2 batu. Kalau hujan, kena pakai baju biasa dan selipar je ke sekolah sebab takut kotor. Dah sampai sekolah, baru tukar dengan 'uniform'. Itupun kalau ada sebab bagi yang kurang mampu, baju sepasang basah dek hujan (tak ada mesin basuh masa tu) tak kering di jemuran... alamatnya pakai baju biasa je. Yang penting belajar...

Kantin sekolah K.An masa tu kecik je tapi cukup untuk menampung 2 sesi rehat semua pelajar. Makanannya semua sedap sebab orang kampung yang masak... selain nasi lemak dan laksa, K.An ingat betul mee sanggul kuah kacang yang dibalut dengan daun pisang yang dijual di kantin tu. 'Simple' tapi sedap... Baru-baru ni mak mertua K.An bekalkan mee sanggul buatan orang Islam.. mmmph, teringat nostalgia dulu-dulu. Apa salahnya buat dan bagi anak-anak rasa.


Bahan dan cara membuatnya sama macam kuah kacang biasa cuma untuk menyedapkan lagi, tambahkan udang putih kecil atau udang harimau ketika memasak kuah kacang. Resepi asal kat kantin sekolah K.An, guna udang kering atau udang kecil je. Celurkan mee sanggul dan tuangkan kuah kacang ke atasnya, macam nak makan spaghetti.


Rupa mee sanggul setelah digaul dengan kuah kacang...

Monday, May 11, 2009

LaiciKang.. penawar Panas Badan..

Dah lebih 2 minggu Putrajaya tak dilimpahi hujan... Cuacanya sangat panas terutama waktu siang dan lewat malam. Mandi 5 kali sehari pun tak terasa apa.. Air berjag-jag dan berteko-teko habis... Aktiviti luar pun terpaksa dikurangkan. Itulah ujian Allah dengan kepanasan... baru kat dunia, belum lagi kat akhirat sana..
Berbeza dengan kampung K.An masa kami balik 1 Mei hari tu... Hujan hampir 24 jam tak berhenti... sejuk, nyaman dan segar rasanya.. Alhamdulillah, disebabkan kawasan sawah, hujan banyak mana pun tak banjir sebab banyak taliair dan parit di semua kampung. Cubalah hujan camtu di KL, pasti tak sampai 2 jam, dah heboh banjir.

Selalunya bila cuaca panas, selera makan berkurangan dek banyak minum air... Lagipun memang elok bagi menjaga kesihatan. Lagi elok kalau dapat minum laicikang yang bukan sahaja penyejuk tekak, tapi menyejukkan badan dari dalam.

Bahan-bahan; (hidangan untuk 10 orang)

1 tin laici dalam tin

1/2 cawan barli- rebus hingga lembut (gunakan periuk tekanan jika ada)

1/2- 1 cawan air gula pekat

1 bungkus cincau dicincang

1 sudu besar selasih direndam dengan air biasa

3 biji kembang semangkuk dan getah anggur- direndam air masak biasa hingga kembang

5 ketul gula batu- masukkan ke dalam rebusan barli apabila barli lembut

kurma merah jika ada

kacang tanah masin jika suka- beli dalam peket

Cara membuatnya:

Masukkan semua bahan dalam mangkuk besar atau bekas 'punch'. Masukkan air sejuk dan gula secukupnya. Sedia dinikmati.

Udang Besar Buah Tangan Sabah

Awal bulan April lepas, A.Azam ke Sabah atas urusan kerja.. ada buah tangan udang besar Sabah daripada seorang rakan... selalunya udang saiz XL je yang dibawa pulang. Tapi kali ni Xtra punya XL. macam udang galah yang arwah ayah K.An tangkap guna tombak zaman dulu-dulu...

Terkejut gak tengok saiznya.. alhamdulillah. terima kasih En Awang yang bagi buah tangan ni... dapatla K.An bahagi-bahagikan kepada jiran dan saudara-mara terdekat kat sini... sama-sama dapat merasa. Moga Allah SWT murahkan lagi rezeki En. Awang sekeluarga..
Waktu sibuk macam ni, buat udang goreng kunyit je yang sempat..

Bahan-bahan:

300 gm udang (udang galah boleh, udang harimau pun boleh)

1 labu bawang besar dihiris membujur

garam dan kunyit secukupnya

1 biji tomato dibelah 6

1 biji cili merah dihiris serong/ cili padi jika suka

Cara membuatnya;

1. Gaulkan udang dengan garam dan kunyit. Untuk udang yang saiznya agak besar K.An belah bahagian belakangnya supaya cepat masak

2. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Masukkan bawang besar dan cili dan goreng 1 minit. Masukkan udang dan goreng hingga masak. Terbalikkan udang agar amasak rata.

3. Masukkan sedikit air jika perlu. Masukkan hirisan tomato dan tambah sedikit garam jika perlu. Apabila cukup rasa, padamkan api. Taburkan daun bawang ketika menghidang.

Sibuknya saya.....

Sekembalinya dari kampung minggu lepas, komputer K.An ni meragam sikit. Skrinnya tak boleh ditegakkan... kalau tak.... hilang... ni akibat terhentak-hentak kat dalam kereta la ni.. (jalan kat kampung pun dah makin berlubang-lubang)

Kerja rumah banyak.. tak habis-habis, anak-anak pun nak perhatian lebih. Kena jadi cikgu Umi kepada 'Aisyah dan Maryam lagi..hi..hih.. Minggu depan anak-anak nak periksa. Jadi cikgu tuisyen lagi.. rasa tak cukup 24 jam.. Tidur malam ala kadar je.. Camtu la rutin surirumah macam K.An ni.

Kepada pengunjung periuktanah, ampun maaf sebab tak sempat nak update blog..taip 2,3 baris dah iklan susu pulak.. Hari ni sempatkan juga masukkan sajian mudah ubi kayu rebus dengan kelapa lemak manis, masin ni..

Bahan-bahan:

300 gm ubi kayu- potong 2 inci panjang. kupas kulit dan rebus hingga empuk

1/2 biji kelapa parut putih- campurkan dengan 2 sudu besar gula dan 1 sudu teh garam. Gaul rata dan hidangkan bersama ubi kayu rebus... Sedaap..

Wednesday, May 6, 2009

Nasi Dagang

Pernah tak dengar lagu zaman 70-an yang didendangkan penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang- Rosemaria Abdul Hamid...? " Nasi Dagang itulah namanya..terkenal di merata-rata.. campur santan kelapa dan halba..bawang hiris dan juga halia....eeenak rasa...!"

Dari umur 7 tahun sampai sekarang, dok ingat lagu tu.. masa dulu-dulu, tak tahu pun camna rupa dan rasa nasi dagang ni. Bila masuk universiti, campur dengan ramai kawan dari Kelantan, siap berniaga lagi masa konvo atau 'open day'... maka, bukan setakat tahu, tapi sangaaat menggemarinya.

Teringat lagi masa di Matrik UIA Lembah Pantai, diketuai K.Ana (Kelantan) yang pandai masak, kami bergotong-royong menyediakan nasi Kerabu dan Nasi Dagang untuk dijual di gerai kolej sempena 'Open-Day' Memang kagum dengan orang Kelantan yang cekap masak dalam kuantiti yang banyak. Masa tu K.Ana kukus nasi Dagang ni ikut cara orang Kelantan masak.

Tapi K.An tak sempat nak kukus... haa tanak je macam nasi biasa...

Masa belajar dulu-dulu, K.An tak boleh sarapan dengan nasi dagang. Sebabnya.... kalau tak, lepas tu bukannya nak dengar kuliah pensyarah.. tapi zzzz... lemak campur pulut campur santan... memang melayukan mata...

Baru-baru ni kami 'ter' singgah ke satu restoran kopitiam kegemaran kami di Bandar Baru Bangi.. dan 'terorder' nasi dagangnya... mak oii..! sedapnya sampai minta tambah kuah gulainya. Rasa macam tak puas makan sebab kongsi je dengan A. azam.. (taknak makan banyak lepas pukul 10 malam..he..heh)
Esoknya, pergi pasar, terjumpa beras nasi dagang dan rempahnya sekali... pucuk dicita ulam mendatanglah.. Jom masak sendiri nasi dagang..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

Bahan untuk nasi:

2 cawan beras nasi dagang

3 cawan santan sederhana pekat

3 ulas bawang merah dihiris

1/4 sudu teh halba biji

sedikit halia dihiris halus

garam secukupnya (1 1/2 sudu teh/=)

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.

Bahan untuk gulai:

1 ekor ikan tongkol-dibersihkan dan dipotong kecil

3 sudu besar rempah gulai nasi dagang

1 cawan santan pekat

1 cawan santan cair

2 sudu besar cili kisar

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dimayang

sedikit halia
1 keping asam keping
Cara membuatnya:

1. Rebus ikan tongkol bersama asam keping selama 20 minit. Ketepikan.

2. Dalam periuk lain, panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan cili kisar dan rempah yang dicampur dengan 1/2 cawan air.

3. Tumis hingga pecah minyak. Kemuadian masukkan ikan tongkol dengan 1/2 cawan air rebusannya. Didihkan.

4. Masukkan santan cair dan didihkan lagi. Biar mendidih dengan api perlahan selama 10 minit supaya rempah meresap ke dalam ikan.

5. Masukkan santan pekat, garam dan gula secukupnya. Apabila mendidih, padamkan api dan boleh dihidang bersama nasi dagang dan acar timun.