Sunday, May 24, 2009

Laksa Beras Utara

Kepada sesiapa yang biasa ke Pasar Malam Paya Jaras atau Bandar Baru Sungai Buloh, pastinya kenal benar dengan Pak Ndak Zahir yang menjual laksa Utara dengan periuk besarnya... Bukan sahaja laksanya sedap, keramahan Pak Ndak Zahir juga menggamit ramai pelanggan yang saban kali ulang membeli laksa utara di gerainya. Dah lama sebenarnya kami sekeluarga tak ke sana sejak berpindah ke Putrajaya ni. Ada lagi ke Pak Ndak di situ lagi..?

Selain Pak Ndak Zahir, bila sebut laksa utara, K.An teringat Pakcik Mie yang menjual laksa hanya dengan menaiki motorsikal di sekitar kampung K.An. Walaupun jalan kampung dah lebar dan boleh dilalui kereta, Pakcik Mie masih menjual laksa dengan motorsikalnya.. dah biasa agaknya.. Yang sedap dan istimewanya, laksa beras dengan kuih seperti telur sebagai bahan taburannya.. Jangan salah sangka.. ianya bukan telur.. k.an bagi resepinya.. (mak mertua k.An yang ajar)


Bahan-bahan:

1 kg laksa beras basah(k.an beli di pasar presint 8 putrajaya ni... memang sedap) cuma lalukan dengan air mendidih. Toskan.

Kuah Laksa:

1/2 kg ikan sardin segar- rebus dengan air banyak dengan 3 keping asam keping. Didihkan dan ketepikan.

5 biji cili merah*

1/4 cawan cili kisar

4 biji cili api*

3 labu bawang besar dikupas dan potong kecil*

1 sudu besar belacan dihancurkan*

2 kuntum bunga kantan dipotong kecil

segenggam daun kesum

3 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan bertanda * hingga halus. Toskan ikan, simpan air rebusan untuk kuah. Asingkan isi ikan dengan tulang. K.An asingkan kepala ikan dan kisar campur dengan sedikit air.. kemudian tapis. Kisar/ tumbuk isi ikan dan ketepikan.

2. Masukkan air rebusan ikan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar dan tambah air secukupnya. Masukkan isi ikan, asam keping dan cili kisar. Masak kuah hingga mendidih.

3. Biar kuah mereneh. Masukkan garam, bunga kantan dan daun kesum. Tambah sedikit garam untuk sedikit rasa manis. Perlahankan api dan biar kuah mendidih di atas dapur.

Bahan ditabur di atas laksa:

Timun, bawang besar, daun selom, cili padi dihiris halus berasingan.

Telur rebus dibelah 2 atau empat

nenas dihiris kecil jika suka

Cara membuat kuih kuning:

2 sudu besar tepung gandum dicampur dengan 1/2 cawan air. Campurkan sedikit serbuk kunyit dan garam. kacau rata. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Dadarkan kuih seperti telur dadar. Terbalikkan dan angkat apabila masak. Gunting kecil-kecil dan tabur di atas laksa.

Masukkan laksa dan bahan taburan ke dalam mangkuk. Cedokkan kuah secukupnya... sedia dinikmati.

**boleh tambah petis udang kalau suka
***kuah laksa lebih sedap apabila dipanaskan berulang kali kerana rasanya lebih sebati. Boleh tahan sehingga 5 hari jika dipanaskan selalu.

No comments:

Post a Comment