Wednesday, September 2, 2020

Jalan2 Cari Makan

 Assalamualaikum... salam sejahtera semua😍

Lama sungguh tak bersiaran.... ramai yang minta kak An kembali menulis

Memandangkan lama berehat, kita panaskan enjin dulu dengan cerita jalan- jalan cari makan semasa cuti kemerdekaan baru2 ini...

Cuci mata dulu...

InsyaAllah...nanti kita sambung cerita lagi yr








Saturday, March 21, 2015

Berkelah Bersama Keluarga

Assalamualaikum semua,

2 tahun cuti bersiaran dan 2 tahun cuti menulis... hihihi... hari ni Kak An merajinkan diri melaporkan aktiviti terkini keluarga di hujung minggu... 

Walaupun ringkas, tapi sungguh menyeronokkan dan amat sihat untuk seisi keluarga.. Bangun awal pagi, rekreasi memasak, makan , main basikal, jalan -jalan dan menghirup udara segar... bertepatan dengan pesta belon Udara Putrajaya, dapatlah keluarga Kak An dan keluarga Mun cuci mata sekali... diam tak diam, adik Kak An ni dah ada seorang puteri... Muna zafirah namanya... 

Cuma Asma' yang tak ada di sini sebab ada program untuk pelajar Tingkatan 5 di sekolah... apa lagi..jom layan gambar







Bunga sakura versi putrajaya sedang berkembangan mekar... Subhanallah cantiknya

Wednesday, March 6, 2013

Rocher Praline Chocolate

Salam ukhuwwah semua...

Kebiasaannya, apabila selesai tugas memasak untuk tadika di petang hari, K.An sangat-sangat memerlukan kerehatan minda dan fizikal. Sam bil mengemas dapur dan segala peralatan memasak, K.An akan mengunyah sesuatu yang manis sebagai terapi.. adakalanya roti, biskut ataupun baki kuih yang digoreng untuk minum petang.. terasa kelegaannya.

Hari ini K.An akan kongsikan salah satu kudapan enak dan mudah disediakan.. Selain dijadikan hidangan petang, boleh dijadikan juadah di musim perayaan ataupun buahtangan di majlis perkahwinan.

Resepi sumbangan Pengeluar coklat Beryl's Gourmet yang dipromosikan di Kedai barangan Bakeri, Yummys Bandar Baru Bangi... Promoter tu hulur sepotong kepada K.An... hmmm sedap..sedap..sedap.. dengan resepi yang diberi, maka terhasillah coklat yang sedap ini.
Rocher Praline Chocolate
Bahan-bahannya:

200 gm Kacang Badam- dipanggang
100 gm kacang Pistachio- dipanggang
30 gm bijirn nestum
30 gm rice bubbles
30 gm wafer- k.An guna wafer dalam peket perisa original
200 gm Beryl's Gourmet White/ Dark/ Milk Compund Chocolate - K.An gunakan white choc.

Cara membuatnya:

1. Cincang kasar semua kekacang. Cairkan coklat menggunakan teknik double boiling ataupun cairkan dalam ketuhar gelombang mikro.

2. Menggunakan mangkuk berlainan, campurkan kesemua bahan kering dan gaul rata.

3. Tuangkan coklat yang telah dicairkan ke dalam bahan kering dan gaul rata.

4. Menggunakan sudu, cedok dan jatuhkan campuran coklat ke dalam paper cup. Hias ikut citarasa dan sejukkan sebelum dihidang.


*** simpan di dalam peti ais dan keluarkan apabila ingin dinikmati..
Suhu simpanan 16- 20 darjah C

Selamat mencuba

Ayam Panggang bersama Cendawan Shitake

Cuaca di luar agak panas dan berbahang... tidak senyaman dan sesejuk cuaca petang beberapa minggu lepas... namun alhamdulillah, itulah nikmat Allah yang patut kita fikirkan hikmah kejadiannya.. Hujan, panas, ribut, tenang, aman dan  kacau, pasti ada sebab dan musababnya..

Begitulah juga dengan kekalutan yang berlaku di Sabah ketika ini. Apapun, doa K.An agar Allah memberi kita jalan keluar yang terbaik dan memelihara umat Islam semua.. Takziah kepada semua ahli keluarga pejuang kita yang terkorban. Percayalah, tidak sia-sia pengorbanan mereka itu...

Bila berlakunya situasi begini, Terasa betapa masa yang kita ada tidak tentu bila hujungnya.. mungkin esok, mungkin minggu depan... maka cepat-cepat K.An kembali menulis supaya lebih banyak resepi dapat K.An kongsikan dengan semua... mata dah nak pejam, tapi caiyo-caiyo... teruskan usaha ....

Hari ni, K.An kogsi resepi mudah ayam panggang bersama cendawan shitake.




Cendawan shitake segar ini adalah buah tangan Abang Azam ketika bermesyuarat di Gunung Jerai Kedah Darul Aman.. Dipetik dari ladang dan dipek cantik seperti di dalam gambar. Menurut pemilik ladang, cendawan shitake ini banyak khasiatnya dan boleh merawat pelbagai penyakit seperti tertulis di kotak tersebut. Kalau nak tahu, cendawan ni boleh dimakan mentah atau dimasak mengikut citarasa masinbg-masing.

Puas juga kami makan cendawan sebab Kak An keluarkan cendawan dari kotak dan simpan dalam bekas kedap udara (tupperware) kemudian baru disimpan di dalam peti sejuk. Tahan sebulan lamanya..

Diringkaskan cerita, ini resepi ayam panggang bersama cendawan shitake..

Bahan-bahan:

1 kg ayam (K.An ambil bahagian pinggan ke peha ayam)
1 sudu teh rempah campuran arab (abaikan jika tiada)
1 sudu teh paprika
1 sudu teh oregano kering (ikut citarasa)
1 sudu teh lada hitam segar dikisar
3-5 sudu besar minyak zaitun
sedikit garam dan kuyit secukup rasa
sedikit (1/8 st) serbuk kulit kayu manis)
Cendawan shitake ikut suka banyaknya

Cara membuatnya:

1. Gaulkan semua bahan perapan bersama minyak zaitun di dalam mangkuk. Ratakan ke seluruh bahagian ayam dan perap 15 minit.

2. Panaskan kuali pemanggang dan gliskan sedikit dengan minyak zaitun. Masukkan ayam dan tuangkan sebahagian bahan perapan bersama. Tutup kuali pemanggang agar ayam dimasak tidak kering. Masak selama 15 minit setiap bahagian. Cucuk bahagian peha ayam dengan pisau untuk mengetahui ayam sudah cukup masak atau tidak. Bahagian dalam ayam sudah masak jika air yang keluar adalah jernih dan tidak berwarna merah bila dicucuk dengan pisau.

3. Masukkan cendawan yang telah dihirs ke dalam mangkuk bahan perapan dan perap sementara ayam dipanggang.

4. Keluarkan ayam daripada kuali dan terus gorengkan cendawan selama 3- 5 minit kerana khasiatnya akan hilang jika dimasak terlalu lama. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain atau enak dimakan begitu sahaja bersam sos cili, sos thai atau sos lada hitam.

Thursday, January 31, 2013

Wajik Warisan Jangan Dilupa

Assalamualaikum pembuka bicara..

Semenjak akhir-akhir ini, kenduri kahwin tidak lagi terhad diadakan di musim cuti sekolah sahaja. Malahan, hampir setiap hujung minggu, di sana-sini kita akan melihat papan tanda tunjuk arah majlis perkahwinan di simpang-simpang jalan. Almaklum, kalau dulu, orang kampung akan mengadakan kenduri bila selesai musim menuai padi, sebab masa itulah baru ada duit lebih sikit untuk belanja kenduri kendara. Berbanding sekarang, semuanya dah `makan gaji' dan gaji ada setiap hujung bulan. Tak perlu juga tunggu cuti sekolah kerana, tak perlu banyak tenaga untuk gotong-royong. Sediakan duit, cari 'caterer', insyaAllah adalah hidangan untuk tetamu...

Banyak yang sudah berubah, termasuklah hidangan untuk tetamu, kuih-muih pencuci mulut dan juga buah tangan yang dijadikan hantaran. Sudah jarang kelihatan dodol, halwa maskat ataupun wajik di majlis kenduri kahwin. Yang 'popular' adalah aneka biskut, 'cupcakes' dan coklat. Sedih juga sesekali bila mengenangkan anak-anak kita sudah tidak mengenali kuih-muih tradisional yang tidak kurang enaknya.

Maka, bila jiran K.An- Suhaida minta tolong buatkan satu hidangan untuk hantaran kahwin adiknya, teringat K.An untuk buatkan Wajik, kuih warisan Melayu. Kalau tak kenal,  jom kita tengok resepinya...

Bahan-bahan (hidangan untuk 20 orang)

Resepi rujukan: Chef Agustina Aming dari PPR Beringin, Kepong. Disiarkan dalam majalah Rasa Mei 2012- K.An dah ubahsuai sedikit ikut citarasa

1 kg beras pulut
500 gm gula merah
100 gm gula pasir
1 liter santan pekat
sedikit garam

Cara memasak:

1. Rendam beras pulut selama 4 jam dalam air secukupnya. (1 jari lebih daripada paras beras) Toskan dan kukus selama 30 minit.

2. Angkat dari kukusan. Gaul sedikit dan kukus lagi selama 15 minit.

3. Sementara pulut dikukus, didihkan gula merah dan gula pasir bersama 2 cawan air sehingga sebati kemudian tapis.

4. Masak semula air gula bersama santan dan garam. Didihkan. Kacau air gula sekali-sekala hingga menjadi agak pekat dan berkilat.

5. Masukkan pulut yang telah dikukus tadi dan gaul rata sehingga air gula kering dan pulut nampak berkilat. Angkat dan sejukkan.

6. Masukkan pulut ke dalam acuan pilihan dan hiaskan mengikut citarasa anda.
Alhamdulillah, wajik ni disukai Su,  dan semua yang menjamahnya... anak-anak K.An pun suka sebab K.An kurangkan kemanisannya dan pulut dikukus lebih lama agar lebih lembut.

Selamat mencuba


Wednesday, January 23, 2013

Sekilas sebelum kembali bersiaran....


Assalamualaikum wrt...

Seingat K.an, dalam setahun lepas,  cukup sedikit penampilan K.An di ruang periuktanah dek kesibukan tugas seharian dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Hari ini pada tanggal 23 Januari 2013, genaplah usia K.An - 41 tahun... K.An pilih tarikh ini untuk kembali aktif menulis atas permintaan ramai rakan Periuktanah.. Walaupun tetap dengan ruang masa yang terhad, insyaAllah K.an akan cuba sesekali berkongsi resepi baru (walaupun ada yang dah lama k.An cuba) agar bertambah ilmu yang ada.

Diringkaskan cerita, K.An taklah berhijrah ke mana pun, cuma di usia 40 tahun, terasa begitu banyak tanggungjawab yang perlu dipikul seiring kematangan usia. Di usia itu K.An pilih untuk lebih fokus kepada keluarga. Kesihatan ibu-bapa, kesihatan dan pelajaran anak-anak, dan juga perkembangan sosial mereka. Tak kurang juga kesibukan seharian memasak untuk pelanggan-pelanggan setia K.An.. Terima kasih rakan-rakan surau Al-Mizan, Kak Ani, Kak Mai, kak saba, kak Ton, pemilik BBIM Saadiah dan suami yang memberikan pengalaman baru, Tadika anak Soleh-Waridah dan guru-guru dan murid-murid yang tak jemu dengan masakan K.An , Lina  -Nexus School dan ramai lagi yang sentiasa setia dengan K.An.. sesungguhnya banyak pengalaman manis telah terukir.

Ringkasnya, sebahagian detik-detik kehidupan ini dirakamkan melalui foto-foto berikut:


menghirup cocochino panas, menyegarkan diri dari penat seharian
bijaknya pembuat roti salad ni yang sempat menghiburkan kami dengan hiasan ringkas tapi menarik ini
antara kenangan yang sempat dirakamkan ketika almarhum bapa mertua  K.An berada di  Putrajaya
cucu-cucu yang tak jemu menghiburkan Tok Wan
di tingkap inilah K.An menyedut udara petang Putrajaya yang sungguh segar dan nyaman... sambil tangan sibuk menyiapkan hidangan petang tadika
dalam kesibukan, sempat berkumpul dengan rakan-rakan sekolah lama yang sangat dirindui
penyejuk mata
kelahiran baby Muna Zafirah yang ditunggu selama lebih 10 tahun, sungguh bermakna kepada adik K.An , Mun dan suami -Zul
Yang ini, gambar raya tahun lepas....


Friday, August 3, 2012

Salam Ramadhan Al-Mubarak


Alhamdulillah, dipanjangkan jua umur kita bagi menikmati sekali lagi Bulan Ramadhan yang mulia. Sedar tak sedar dah separuh Ramadhan berlalu. Ramai di antara kita yang dah sibuk mengatur persiapan berhariraya walaupun Ramadhan masih berbaki setengah bulan lagi... maka sebagai peringatan untuk diri K.An dan semua pembaca periuktanah, janganlah kerana nak beraya, terlupa pula dengan azam kita di awal Ramadhan nak bertarawikh di masjid, nak khatam Al-Quran, nak berzikir, bersedekah, beri'tikaf dan sebagainya..

Yang penting sekali, eloklah kita muhasabah juga banyak mana makanan yang telah dibazirkan sepanjang hari-hari puasa yang lalu.. masih ada masa untuk kita perbaiki mana yang patut dan masih ada masa untuk kita meningkatkan amal ibadah di baki hari-hari yang ada.. Selalulah bertanya kepada diri " Adakah ada lagi Ramadhan untukku di tahun hadapan...?"

Kepada yang bertanyakan juadah untuk berbuka, bagi K.An, bulan Ramadhan adalah bulan untuk berjimat.. masaklah apa yang perlu dan jangan berlebihan. Kalau masak lebih, hulurkanlah sepiring dua kepada jiran-jiran berdekatan. Moga akan merapatkan lagi ukhuwwah sesama insan.

Akhir kata di 'entry ' ini, banyakkanlah berdoa di bulan puasa ini kerana doa orang yang berpuasa akan dimakbulkan Allah terutama ketika sebelum berbuka puasa..insyaAllah... setakat ini sahaja untuk kali ini.. jumpa lagi di lain masa... Hari ini k.an sekeluarga akan pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta.. bye..bye..

Thursday, May 17, 2012

Nasi Kuning, Rendang Ayam

Assalamualaikum wrt...

Rindunya tak terkata pada semua rakan-rakan, kaum kerabat, saudara-mara pengunjung Periuktanah... Dah lebih 3 bulan K.An tak bersiaran disebabkan padatnya jadual memasak setiap hari. K.An tak ke mana pun... di dapur menyiapkan menu harian tadika dan selanjutnya menjalankan tugas penghantaran pagi, tengahari dan  petang. Memang tak bernafas rasanya.... apa lagi nak mengadap lap-top dan bersantai-santai macam dulu-dulu. Jauh lagi nak melawat dapur kawan-kawan....

Banyak yang nak diceritakan, tapi K.An tangguhkan dulu bagi memberi laluan kepada menu kita hari ini. Ringkas tapi menyelerakan...

Nasi Kuning ni amat sesuai untuk mereka yang tak tahan perut kalau makan pulut banyak-banyak, tapi suka dengan rasa pulut kuning. Sebabnya, nasi kuning ni, sekali pandang dan sekali jamah, saling tak tumpah dengan rasa pulut kuning. Anak-anak K.An yang kecik dua orang tu pun masih tak percaya bila K.An kata ...ini nasi, bukan pulut.... Ahh.. tak kisahlah, asalkan mereka tetap gemarkannya...

Dalam tempoh 3 bulan, dah 3 kali K.An masak nasi kuning ni sebab K.An letakkan dalam menu tadika. Budak-budak memang suka.. tambahan pula dipadankan dengan rendang ayam ataupun daging... Kalau nak tahu, bolehlah cuba sendiri..

Bahan-bahan Nasi:

(Hidangan untuk 5 orang dewasa)

2 cawan beras super 5%
1/4 sudu teh serbuk kunyit- ikut jenis kunyit juga, ada yang kuning, ada yang tidak.. (pandai-pandai 'adjust' ye)
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1/2 sm halia diketuk
5 biji buah pelaga- untuk menghasilkan bau harum nasi
1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih dan 1 inci kecil kulit kayu manis
3 1/2 cawan air biasa
1 sudu teh garam
1 helai daun pandan- dicarik dan disimpul

Cara membuatnya:

1. Letakkan periuk nasi di atas dapur gas. Masukkan minyak dan panaskan. Tumis bawang, halia dan rempah ratus hingga wangi.
2. Masukkan daun pandan dan beras dan goreng beras sambil dikacau selama 2 minit.
3. Angkat periuk dan alihkan ke punca elektrik. Masukkan air, garam dan kunyit ke dalam periuk nasi. Kacau sedikit dan masak nasi seperti biasa sehingga masak.

Rendang Ayam

1/2 ekor ayam anggaran 1 kg- bersihkan dan potong kecil
2 cawan santan pekat- 1 cawan pati santan dicampur 1 cawan air  (boleh tambah jika ingin kuah yang lebih banyak)
1 sudu besar kerisik
***3 tangkai cili merah dan 3 tangkai cili padi akar(ikut citarasa kepedasan)
***5 ulas bawang merah, 1 sm halia, 1 sm lengkuas, 2 tangkai serai dihiris nipis, 1/4 sm kunyit hidup
kisar bahan bertanda *** hingga halus
daun kunyit dan sedikit daun limau purut diracik halus
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan ayam dan semua bahan kisar ke dalam kuali. Masukkan santan dan hidupkan api. Biar santan mendidih barulah kacau rendang sekali-sekala. Gunakan api sederhana. Masukkan sedikit garam dan gula.

2. Kacau rendang sehingga kuah menjadi pekat dan pecah minyak. Masukkan kerisik dan gaul rata. Tambah garam atau gula jika perlu. Akhir sekali taburkan daun kunyit dan daun limau purut. Gaul sebati dan matikan api. Sedia dihidang bersama  nasi kuning. Jika suka ada rasa masam-masam dalam hidangan, bolehlah tambah acar buah, atau jelatah atau pajeri nanas... pasti tidak mengecewakan.

*** Kalau ada tetamu yang datang terkejut tergempar, bolehlah cuba menu ni, sebab bahannya mudah dan selalunya ada di dalam simpanan kita.

Selamat mencuba!!

Wednesday, February 1, 2012

Sambal Telur Burung Puyuh

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Agak lama tak berkongsi resepi baru periuktanah, maka hari ni K.An tayang jelah gambar Sambal Telur Puyuh ni... Lauk biasa je, tapi tak ramai yang selalu makan telur puyuh kan..? kalau burung Puyuh goreng berempah tu ada jugak jual di restoran. Telur Itik masak lemak Cili api pun selalu juga jumpa. Tapi kalau sambal telur puyuh, memang kena buat sendiri.

Resepinya macam sambal yang kita buat selalu je.. cuma rebus telur puyuh, kopek kulitnya dan masukkan dalam sambal. Ada juga yang goreng sedikit telur yang dah dikupas tu dalam sedikit minyak agar luarnya garing, baru dicampur sambal tumis.    memandangkan anak-anak K.An tak gemar versi goreng, jadi, K.An biarkan begitu sahaja... Mudah dan Ringkas...

Jom Makan....

Saturday, January 28, 2012

Rezeki datang Dalam Pelbagai Bentuk..

Selepas pulangnya keluarga Pakcik, K.An menerima panggilan telefon daripada Junior K.An di UIA dulu, Mimi mengkhabarkan berita baik untuk K.An.....  Sepupunya memerlukan pembekal kuih-muih untuk Kafe yang baru diambil-alih di Wisma Putra, Putrajaya..  alhamdulillah. Walaupun K.An terpaksa tolak tawaran seorang lagi usahawan yang yang menawarkan K.an menjadi pembekal Kek Karamel kerana masalah jarak jauh, tetapi akhirnya, datang juga tawaran lain yang lebih dekat.

Keesokan harinya pula, seorang lagi rakan menghubungi K.An, menawarkan kontark membekalkan makanan untuk Tadikanya yang memulakan operasi januari 2012...

Alhamdulillah... masa untuk bekerja ya Ummi...

Tapi ada cabarannya... sebaik sahaja K.An setuju dengan kedua-dua tawaran, 'Aisyah pulak tak sihat... Athmanya datang balik gara-gara minum air sirap... (kat surau dan kenduri kahwin...) dia memang tak boleh minum air yang ada pewrana berlebihan.. makanan pun sama... Sudahnya, 3 hari seterusnya K.An berkampung di Hospital Putrajaya...


'Aisyah dah hiaskan penkek leper ni dengan jem... hmmm nampak sedap juga kan...?


 Dah cabut IV, 'Aisyah dah boleh pergi main kat playground... bestnya...





Walaupun tak sihat, 'Aisyah bagus sangat bila tiba waktu makan... dia makan banyak, makan ubat ikut jadual (walaupun kena kejutkan dari tidur waktu tengah malam) dan alhamdulillah, cepat sihat... selepas 3 hari, 'Aisyah pun boleh balik rumah..  tapi selepas ni, kami kena pantau kesihatan dia dengan lebih teliti...

beberapa hari lepas tu, K.An kena pulihkan rumah yang jadi tunggang-langgang selama ketiadaan K.An.. Terima kasih kepada Abi dan anak-anak yang telah membantu sedaya upaya....

Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara,

Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum Mati....

Maka.... hargailah setiap rezeki dan peluang yang mendatang...

Kunjungan tetamu Membawa Rezeki...

Kata orang, tetamu bawak rezeki... memang betul..

Sejak dari dulu lagi, keluarga K.An memang suka menerima tetamu dan menjamu tetamu...   sejak zaman arwah ayah ada lagi, kami anak-anak suka sangat ajak kawan-kawan balik ke rumah untuk bermalam...    masa tu, mak dan ayah akan layan tetamu sebaik mungkin.. jadinya kami anak-anak pun terus dengan tradisi yang sama..

 kalau ada yang nak datang ke rumah, silakan.... tapi kalau nak makan spesel, jangan lupa bagitau awal-awal, bolehlah K.An buat persediaan...

Sekembalinya dari Hari Keluarga, kami menerima kunjungan Pakcik Subki, Makcik Mashitah dan Suraya.. (anak2 lain tak ikut)
Bawak Pakcik dan Makcik Ronda-ronda Putrajaya... Maryam jadi pemandu pelancong..





Alhamdulillah... sempat juga buat makan-makan dan ajak semua anak saudara Pakcik yang tinggal berdekatan Putrajaya... (Kajang, Bangi dan Semenyih...) meriah sangat dan terima ksih kepada semua yang datang.... Menu Periuktanah, nasi Putih, Tomyam Kung, Ikan Bawal Bakar, Ayam Panggang Cikgu Aziz, Kek Pisang, Salad kentang, Apam Beras (sumbangan Kak Ti, Tembikai, sumbangan Moon, dan Sate UK sumbangan Hazidah...)

3 hari Pakcik dan Makcik berada di sini... puas hati dapat melayan mereka yang pertama kali datang Putarajaya... InsyaAllah ada rezeki datang lagi ye...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin