Monday, October 31, 2011

Pai Crumble Keledek... transformasi berjaya.,..

Assalamualaikum semua...



Hari ini, K.An nak kongsi resepi Pai Crumble Keledek yang asalnya adalah resepi lain yang tak kena dengan selera K.An....huhuhu... Resepi asalnya adalah Kaserol Keledek Butter Crumbled yang K.An salin daripada satu Majalah masakan.. (tak perlu disebut namanya..)

Bila dah siap.. jadi elok rupanya tapi..... rasanya, tak kena dengan tekak K.An... ada rasa maniiiis je (walaupun K.An dah kurangkan gulanya)  Untuk tidak membazir dan di'tong' sampahkan, kepala ligat memikirkan cara mengubah kuih tu menjadi benda lain yang sedap... fikir punya fikir akhirnya, K.An jadikannya pai... sedap....alhamdulillah, K.An dan Sarah jadi tukang makannya...(yang lain phobia sebab teringat-ingat rasa yang sebelum ni)



Bila dah jadi sedap, bolehlah K.An kongsikan resepinya di sini...boleh juga tukar selera sekali-sekala.. selalunya buat pai labu, apa kata kali ni kita  buat pai keledek.

Bahan-bahan:    (PASTRI PAI)

200 gm tepung gandum
secubit garam halus
100 gm   mentega  /   margerin
2-3 sudu besar air ais
1 biji telur
1 sudu besar tepung jagung

Cara membuatnya:

1.   Ayak tepung gandum dan tepung jagung bersama garam ke dalam mangkuk.

2   Masukkan mentega.  Gaul ramas sehingga menjadi serbuk roti.

3.   masukkan telur. Tambahkan air ais sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga menjadi doh lembut.

4.   Isikan ke dalam plastik atau balut dengan 'cling wrap'.  Rehatkan di dalam peti ais selama 20 minit.


Sementara tu sediakan lapisan kastard dan inti pai.

Bahan-bahan kastard:

1/2 tin susu cair
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan di dalam periuk. Gaul dengan whisk hingga sebati.

2. Letakkan periuk di atas dapur dan hidupkan api perlahan. Masak kastard sambil dikacau sehingga kastard pekat. Ketepikan.


Cara memasak pastri. 

1. Keluarkan doh daripada peti sejuk. Canai pastri pada ketebalan bersesuaian dan letakkan di dalam tin pai bersaiz 7 inci. Biar berlebihan di tepi acuan kerana pastri akan sedikit mengecut apabila masak.

2. Panaskan oven pada suhu 180 C.  Masukkan tin pastri di tengah oven dan bakar selama 20 minit menggunakan api atas dan bawah.

Bahan-bahan Inti Pai:

150 gm keledek putih/merah- dipotong kiub dan direbus empuk
50 gm gula perang
1 biji telur
20 gm mentega
60 ml susu segar
1/2 sudu teh esen vanilla
1/4 sudu teh garam

Bahan Crumble

50 gm gula perang
20 gm tepung kek/ tepung berserbuk penaik
15 gm mentega
3 sudu besar kacang tanah yang telah disangrai dan dikisar
1/2 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Lecek keledek hingga halus. Campurkan dengan gula, mentega, esen, telur dan garam. Gaul sebati.

2. Keluarkan pastri yang telah dibakar tadi dan ratakan kastard di atasnya.  

3. Ratakan pula campuran keledek di atas lapisan kastard. Akhir sekali satukan semua bahan crumble dan gaul sebati. Taburkan di atas lapisan keledek.

4. Masukkan pai ke dalam bahagian tengah oven dan bakar pada suhu 160 C selama 30-40   minit lagi.  Sejukkan sebelum dihidang.

Friday, October 28, 2011

Tercapai Sudah Hasrat Di Hati...

Hari ni K.An pinjam Tajuk blog Kak Ina KL...tertunai hasrat di hati  .....

Alhamdulillah, akhirnya Allah pertemukan juga K.An dengan blogger masak-masak yang tak kurang 'femesnya' -Kak CM atau nama penanya Cik Manggis di majlis perkahwinan anak beliau pada 23 Oktober yang lepas... Berkali-kali kami ni ingin berjumpa, tapi ada saja aralnya walaupun tinggal sepelaung sahaja jaraknya... Syukur alhamdulillah...


Seronok tak terkata, tapi tak sempat nak berbual panjang sebab tak nak ganggu tuan rumah melayan tetamu yang hadir... Nanti kita janji makan-makan kat rumah ye kak...




Pengantin yang sama cantik, sama padan... Bagaikan Pinang Dibelah dua


Sebelum balik, ambik gambar dengan Kek Pengantin yang nampak sungguh Eksklusif...

Akhir kata, Tahniah untuk Kak CM, suami dan keluarga atas kehadiran ahli keluarga baru.. Terima kasih banyak atas jemputan... makan pun sungguh sedap, sampaikan tanpa segan silu, kami tambah nasi dan lauk-pauk.. hihihih.... Ok Jumpa lagi...

Sunday, October 23, 2011

Keledek Rebus Cicah Kelapa... bila penyakit 'M' datang




Assalamualaikum warahmatullah...

Hari ni, K.An bukan nak kongsi resepi tapi cuma nak berkongsi gambar keledek rebus dengan kelapa parut yang K.An dan Maryam makan buat minum petang kelmarin... Asalnya rebus keledek untuk dibuat cucur Badak, tapi tiba-tiba Abang Azam balik awal pulak... Tak sempat nak proses inti...Maka cucur badak jadi Cek Mek Molek... dan baki keledek, sebahagiannya K.An buat begini je.

Bukannya apa, dah lama teringin nak makan dengan kelapa parut macam dulu-dulu kat kampung tu... Sedap tau. Mudah sangat... Rebus keledek sampai empuk. Toskan. Kemudian gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam dan gula. Biar ada rasa masin dan manis.. tapi lebihkan manis... Lepas tu...Bismillahirrahmaanirrahim...ngapp...

Dulu-dulu, mak K.An banyak tanam keledek di batas bendang... Selalunya lepas menangguk Anak ikan, kami ramai-ramai cabut ubi keledek manis yang kecik-kecik warna ungu tu.. Balik rumah, bersihkan kulitnya, tak payah kupas. Rebus sekali dengan kulit untuk mengekalkan rasa manis ubi. Kalau hujan-hujan ni, memang sedap makan ramai-ramai... makan dengan kelapa parut... Cuba nanti ye...


Tiba-tiba terasa rindu dengan kampung halaman.....huhuk...

Saturday, October 22, 2011

Mihun Goreng Putih aka Mihun Goreng Singapore


Salam sejahtera dan salam persaudaraan untuk semua... Kepada yang sedang bersarapan, K.An ucapkan selamat bersarapan...kepada yang tengah fikir nak masak apa untuk keluarga di hujung minggu ni, boleh cuba Mihun Goreng putih ni... Boleh dihidangkan untuk minum petang nanti ataupun sarapan pagi esok. Mudah dan ringkas tapi sedap...

Selalunya K.An memang buat Mihun Goreng biasa seperti dalam resepi-resepi K.An yang lepas sebab anak-anak sukakan mihun yang ada warna.. merah ataupun gelap sedikit. Yang putih, banyak pulak soalnya nanti.. Tapi sesekali K.An nak juga makan yang putih macam ni tapi buatan sendiri yang tak ditambah bahan perisa tiruan/ segera  .. almaklum, kalau makan di kedai... aduuuh terasa di tekak banyaknya bahan perisa yang digunakan. Konon nak sedap tapi sudahnya balik rumah sakit kepala seharian...

Sebenarnya ini nasihat K.An kepada yang baru nak belajar memasak.. jangan mula gunakan sebarang bahan perisa kecuali garam, gula, asam, bawang dan yang lain-lain kecuali yang segar dan asli. Yakinlah kepada diri anda bahawa, dengan menggunakan ayam, udang, daging, sotong dan sebagainya sudah cukup untuk menyedapkan masakan anda. Penggunaan air rebusan ayam, daging dan kulit udang juga banyak membantu menambah kelazatan masakan anda terutama untuk sup dan goreng-goreng. Yang penting yakin dengan kebolehan diri.



Sebagai contoh mihun goreng putih ni, K.An gunakan sotong dan air rebusan daging sebagai bahan utama.. alhamdulillah walaupun ringkas, tapi tak kurang kesedapannya.

Bahan-bahan mihun goreng Putih: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 bungkus mihun- rendam dalam air biasa secukupnya selama 30 minit
1 labu bawang besar dihiris
5 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
200 gm daging- dihiris kecil dan direbus dengan  hingga empuk- ketepikan
100 gm sotong dihiris kecil
1 pokok sawi- K.An gunakan sawi hijau yang pendek-pendek tu- ptoong 1 sm panjang
100 gm kobis-hiris kecil
 1 tangkai cili merah dihiris
1 biji telur

1/2 sudu teh serbuk lada putih
secubit serbuk lada hitam (sedikit sahaja)
garam dan secubit gula
1 sudu besar sos tiram
minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:

1. Toskan mihun. Keluarkan daging daripada air rebusan. Panaskan 3-4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang besar dan bawang putih hingga agak layu dan berbau wangi. 

2. Masukkan sotong, daging, cili merah, sawi dan kobis. Goreng hingga sayur layu sedikit. Masukkan sos tiram, sedikit garam, sedikit lada putih, lada hitam dan gula (boleh tambah kemudian jika tidak cukup). Kacau sebentar dan pecahkan telur. Biarkan telur agak masak baru dikacau agar telur tidak hancur.

3. masukkan 1 cawan air rebusan daging. Biarkan mendidih barulah dimasukkan mihun yang telah ditoskan tadi. Kacau sekali-sekala hingga semua bahan rata dan mihun lembut. Bergantung kepada jenis mihun yang digunakan.... tambah air rebusan jika mihun belum cukup masak. Kacau lagi hingga semua bahan sebati.

4. Rasa mihun goreng dan tambah  garam, lada putih atau lada hitam lagi jika perlu... Bila mihun kering matikan api dan sedia dihidang panas-panas.

*** Taburkan bawang goreng dan daun bawang sebagai tambahan. K.An gorengkan Nugget Tempura Ramly sebagai hiasan untuk menarik minat si kecik 2 orang tu.... Tak ada pun , mihun ni dah sedap.

*** Untuk resepi mihun Goreng Putih Versi lain, boleh singgah dapur  Bro Rozzan  atau kak Ummi.

Thursday, October 20, 2011

Tart Bunga Jem Mangga... naik keretapi Senandung Malam..

Assalamualaikum semua... adik, kakak, abang, makcik, pakcik... semua follower Periuktanah yang sentiasa memberi sokongan... apa khabar pagi ni.. dah sarapan ke belum? Kalau belum tu, cepat-cepat isi perut ye.. kalau lewat nanti takut masuk angin pulak..



Hari ni, K.An tak kemana-mana pun, cuma tiba-tiba teringat zaman naik keretapi Senandung Malam dari KL ke Parit Buntar zaman belajar muda belia dulu... kadang-kadang cepat, tapi selalunya lambat yang amat.. Kesian Arwah ayah yang terpaksa tunggu kadang-kadang sampai berjam-jam di stesen sebab zaman dulu tak ada telefon nak 'call'.. sabar ajalah..

Macam tu le gayanya tart bunga K.An ni gamaknye... terlambat sikit datangnya sebab naik keretapi Senandung Malam..hihiihi... 

Cerita tart Bunga ni lebih kurang cerita tart Nenas:........rumah K.An ni alhamdulillah rezeki melimpah ruah.. selalu ada buah tangan daripada rakan-rakan atau jiran tetangga. Almaklum kata mereka, kalau bagi An insyaAllah tak membazir.. akan jadi sesuatu akhirnya. Ada rezeki dapat hasilnya kepada mereka kembali.. Ada pisang jadi cekodok, ada mangga jadi kerabu, ada nenas jadi tart dan kalau ada keledek jadi karipap... Seronok juga dapat jiran dan kawan yang murah hati... Alhamdulillah rezeki Allah...

Di suatu malam, kawan K.An, Noni Paraparasapura singgah membawa seplastik besar berisi lebih 20 biji Mangga Epal.. katanya, mangga di belakang rumah je... alhamdulillah.. moga murah rezeki Noni sekeluarga.. Bila dah banyak tu, K.An agihkan pula kepada jiran dan kawan-kawan.. sempat juga dibuat jus , kerabu dan dimakan begitu sahaja. Masih berbaki 2,3 biji maka K.An buatkan jem mangga. Idea datang hasil perkongsian mak mertua Usop (rakan baik abg Azam kat kampung) masa kami bertandang ke rumah mertuanya di Perak. 
Banyak kuih dan biskut raya yang dihidangkan termasuk tart mangga yang dibuat ala tart nenas.. Kata mak Nurul (isteri Usop) ada baki doh tart nenas, tapi jem nenas dah habis, maka mangga di depan rumah dijolok dan dijadikan jem menggantikan jem nenas... hmmm sedap sangat dan rasanya tak berbeza dengan jem nenas. 

Bila kejadian sama berlaku dengan K.An, ada baki doh tart nenas hari tu, maka K.An jadikan ia tart Mangga berbentuk bunga.. Dapat juga dalam 15 ketul.. cukupla K.An buat kudapan..


Cara buat jem mangga lebih mudah kerana tak perlu diparut. Hanya hiris isinya dan campurkan sedikit gula. Masak seperti jem nenas. Kalau nak disapu pada roti, tak perlu dimasak hingga kering. Biarkan berair dan lembut. Tapi kena simpan dalam peti ais jika ingin tahan lebih lama.. Untuk inti tart, K.An masak hingga kering   dan kental.. Untuk resepi doh tart boleh Klik kat sini ye..

Wednesday, October 19, 2011

Jom Makan Ulam...



Bila malam, Abang Azam dan Sarah mintak pulak nasi goreng..   Sudahnya hanya di hujung minggu K.An masak 2,  3 jenis lauk sebab nak berkelah di asrama anak-anak... Itupun, anak-anak dah ada menu permintaan. Ada yang nak nasi Lemak, Kue-teow Goreng, Ayam Masak Merah... kalau tak pun nasi Maqlubah... Jadinya tak adalah masa nak membelek resepi-resepi baru untuk dicuba.   Kebanyakan masa diperuntukkan membelek (dalalam erti kata lain melayan le....) 3 orang budak comel ni....


Kakak 'Aisyah, Kakak Maryam dan Baby Aireen (anak jiran sebelah rumah yang  dah 3 bulan K.An jaga..)

Tekak Kak An masih lagi tekak orang kampung... sesekali teringin nak layan selera sendiri, K.An buat je sayur Lemak Bayam, buat sambal tempoyak dan Goreng Ikan Sardin salut tepung... puas makan.... Makan dengan ulam Pucuk Janggus tu memang best.

 Susah nak dapat pucuk   Janggus/ Gajus sekarang ni... tapi alhamdulillah K.An selalu ada bekalan pemberian Bilal Haji Salleh (Surau Al-Mizan) yang ada pokok Gajus di rumahnya... Kepada yang mengidam pucuk Janggus, bolehle berkunjung ke rumah K.An.. nanti K.An dapatkan bekalan daripada Haji Salleh... (kalau nak beli, sahih dia tak bagi)... Apapun, terima kasih Haji dan Hjh Baayah yang dah banyak sedekah pucuk Janggus kepada jemaah surau Al-Mizan...    makin subur pokok tu sebab berkat..

Tuesday, October 18, 2011

Kek Karamel... demam berjangkit...

Salam Sejahtera semua... moga semuanya sihat walafiat dan dapat menikmati kehidupan dengan baik pada hari ini dan hari-hari seterusnya... Jom kita layan gambar kek Karamel ni dulu sementara K.An taipkan resepinya...

Demam kek Karamel melanda kembali  setelah lama menyepi...





Seingat K.An, kali pertama tengok kek ni  dalam setahun lepas.. Masa tu kawan K.An masa di UIA dulu, Shahrina Sharkawi buat kek ni bersama anak-anaknya... Dia masukkan gambar aktiviti mereka dalam facebook.. memang menarik.. lepas tu, K.An tengok sorang kawan K.An yang 'terer' masak aneka kek ni, Noni aka Paraparasakura masukkan step-by-step cara buat kek karamel, juga dalam facebook. Almaklum masa tu sibuk sarat mengandunglah... bersalinlah... jaga anaklah... maka K.An tangguhkan hasrat nak mencuba kek karamel ni walaupun hati meronta-ronta nak rasa kesedapannya ... (seperti bualan ramai tu..)

Beberapa hari lepas ketika berjalan-jalan ke dapur rakan-rakan blogger masak-masak... terpandanglah kek Karamel di dapur Cik Manggis... jiran sepelaung di Putrajaya ni..hihihih...( kak CM sibuk ye sekarang ni..) Kalaulah kak CM boleh buat, takkanlah  K.An yang pangkat adik daripada Kak CM ni tak ambik inisiatif membuatnya... hmmm.. sedut tenaga dan semangat daripada Kak CM...

Rupa-rupanya demam kek karamel berjangkit lagi.. ramai lagi rakan-rakan blogger yang tayang kek karamel di dapur masing-masing.. memang macam ni selalunya.. kalau demam roti, semua meroti.. kena demam kek lapis..ramai-ramai pakat melapis.. Itu bagusnya blogger ni.. selalu praktis, makin mahirlah jadinya..

Diriwayatkan resepi  Kek Karamel ni adalah daripada Puan Munira Baharom... (k.an tak ada linknya).. telah dicuba ramai orang dan ada yang telah diubahsuai sedikit sebanyak juga, mengikut tangan pembuatnya.. Resepi yang K.An kongsi ni, K.An petik daripada blog Diana  ....boleh jenguk juga dapur Kak Ummi Kuantan atau dapur Ita  ..semua keknya cantik-cantik belaka.. Terima kasih semua sebab, Kek Karamel K.An menjadi dengan elok walaupun pertama kali mencuba... anak-anak mintak buat lagi dan lagi..


Bahan-bahannya:

I)   karamel- 3 sudu besar gula pasir halus atau gula kastor. (boleh tambah jika suka banyak) Taburkan di dalam loyang berukuran 8 inci. Hidupkan api dapur perlahan dan Letakkan loyang.

Biarkan gula cair dan bertukar perang. Goyang/ gelekkan loyang kekiri -kanan agar karamel rata di permukaan. Ketepikan dan sejukkan

Sediakan Bahan II)

Puding Karamel

1/2 tin susu cair
70 gm gula kastor
1/2 sudu teh esen vanilla
3 biji kuning telur

***Masukkan semua bahan di dalam mangkuk. Kacau dengan whisk hingga gula larut dan semua sebati. Ketepikan sebentar.

Bahan III)   Kek Span:

A)   3 biji kuning telur
    135 ml air
    45 ml minyak masak
    70 gm gula kastor

B)    140 gm tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powder

Pukul bahan A hingga kembang. Masukkan B dan kacau rata.

Bahan III-meringue

6 biji putih telur    (diasingkan daripada telur puding dan bahan A)
1 sudu teh cream of tartar- dapatkan daripada kedai bahan-bahan kek
70 gm gula kastor

***pastikan semua peralatan betul-betul kering. Masukkan putih telur ke dalam mangkuk. Pukul dengan kelajuan tinggin hingga gebu. Masukkan gula dan cream of tartar sedikit demi sedikit dan putar lagi hingga kental. Jika diterbalikkan mangkuk,   meringue tidak jatuh.

*** Tips K.An: jika meringue tidak kental kesemuanya (tidak melekat pada mangkuk jika disengetkan) anda jangan panik. Ini disebabkan masih ada kandungan air yang berlebihan dalam putih telur. Jadi caranya, cedok putih telur  yang kental sahaja dan dimasukkan ke dalam adunan kek. Buangkan baki air yang tertinggal. Jika tidak, kek akan bantat atau tidak naik gebu.

Cara menyediakan kek Karamel.

1. Sediakan oven dan loyang besar berisi air mendidih kerana kita akan memasak kek menggunakan teknik steam-bath. Panaskan oven pada suhu 170 darjah celsius api bawah sahaja. (untuk lebih jelas boleh rujuk dapur Diana atau Ita)

2.Tapiskan adunan puding karamel ke dalam loyang. Tak perlu masak dulu kerana puding dimasak sekaligus bersama kek.

3. Masukkan 1/3 meringue ke dalam adunan kek (B). Kaup-balikkan menggunakan senduk agar rata. Masukkan baki meringue dan gaul adunan kek perlahan-lahan hingga sebati.  Bahagikan kepada warna kesukaan.  K.an bahagi kepada 3 warna.1 - pink, 2. hijau dan 3-dibiarkan kosong (k.An campur sedikit esen vanilla.

4. Masukkan 1 senduk adunan kosong di bahagian tengah loyang (yang telah diisikan bancuhan puding karamel). Masukkan pula 1 senduk adunan pink ditengahnya. Kemudian masukkan 1 senduk adunan hijau di tengan adunan pink. Ulang proses hingga adunan habis. Jika loyang tidak cukup dalam, jangan isi adunan kek hingga penuh kerana kek akan naik ketika dimasak. Tinggalkan lebih kurang 1 cm ruang loyang untuk kek naik. Lihat gambar. Lorekkan permukaan kek dengan lidi ikut citarasa.

5. Masukkan loyang kek ke dalam loyang berisi air dan masak kek selama 1 jam menggunakan api bawah. Setelah 50 minit, K.An onkan api atas dan masak lagi 10 minit agar kek masak elok di permukaannya dan lebih harum.


Sejukkan kek dan biar kek renggang daripada tepi loyang. Sisikan tepi kek menggunkan pisau hingga keseluruhan kek tidak melekat pada loyang sebelum diterbalikkan ke dalam bekas yang sesuai...



Simpan kek di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.. cuma malangnya, kebanyakan kek karamel tak tahan lama sebab habis dimakan oleh tukang masak dan anak-anak dalam masa beberapa minit..hahahah...

Kek ni sangat sedap dimakan ketika sejuk.... macam kek aiskrim gitu... sejuk dan gebu.. boleh makan banyak sebab tak begitu manis....

Saturday, October 15, 2011

Tart Nenas... edisi Ketinggalan Keretapi..

Assalamualaikum dan salam sejahtera... Selamat berhujung minggu kepada semua..

Cuti-cuti begini ramai yang ambil keputusan nak bermalas-malasan, ada yang nak membeli-belah (...SOGO SALE segala...) ada yang nak mengemas (selamat datang ke Putrajaya- Intan, Syed, Afif dan Aqeel) dan ada juga yang nak ke pasar dan memasak untuk keluarga... Apapun aktiviti yang dilakukan, pastikan ianya bermanfaat ye...

K.An pun ada senarai panjang tugasan nak dibuat dalam 2 hari ni...hmmm, tak pasti yang mana nak dicapai dulu.. dalam dok menung tu, eloklah K.An masukkan dulu resepi yang dah ketinggalan keretapi laju ni..hihihih.. 


Tart Nenas ni dah berulang-kali buat sebenarnya.. untuk Hari Raya tahun lepas pun dah buat, tapi entah kenapa, bila ada yang tanya resepi baru-baru ni, selongkar Periuktanah, rupanya terlupa K.An nak masukkan resepinya... Kebetulan di hujung bulan puasa yang lepas, jiran K.An, Kak Ju bagi sebiji nenas yang hampir masak dan tak sempat K.An pajerikan atau gulaikan... Masuk dalam peti ais, lepas cuti raya barulah K.An proseskan menjadi jem nenas. Di hujung Syawal, baru sempat menjadikannya tart nenas... Itulah yang jadi ketinggalan keretapi.. 

Tak apalah kan... di rumah K.An pun biskut-biskut macam ni tak tunggu raya... ada je permintaan.. K.An buatkan.. Raya Haji pun dah nak dekat.. boleh buat nanti..

Sebelum ketinggalan lagi, jom cepat-cepat kita tengok resepinya...

Bahan-bahan jem Nenas:

1 biji nenas masak- kalau nak sedap beli yang nenas madu, selalunya mahal sikit daripada nenas hijau tu..
4-5 sudu besar gula pasir
3 kuntum bunga cengkih

Cara membuatnya:

1. Kupas nenas dan bersihkan durinya..Parut halus dan masukkan ke dalam periuk. Tinggalkan empulurnya ya..

2. Masukkan gula pasir dan bunga cengkih. Hidupkan api sederhana dan kacau nenas hingga menjadi pekat.. Rasa sedikit dan jika rasa kurang manis, tambahkan sedikit lagi gula. Perlahankan api. Kacau lagi hingga jem kental dan kering.. sesuai untuk buat jem tart... Sejukkan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara sebelum sedia untuk digunakan...

***Jem yang betul-betul kering memang tahan lama walaupun tidak disimpan di dalam peti ais..


Bahan-bahan tart nenas:

*** Resepi ni K.An ambil dari kotak acuan tart/ semperit beberapa tahun dulu... inilah resepi yang dah berulangkali K.An buat.. memang sedap dan disukai ramai..

125 gm mentega- K.An gunakan Butterlite atau ButterCup
30 gm gula ising
1/2 sudu teh esen vanilla
220 gm tepung gandum
 1 biji kuning telur

**kuning telur untuk hiasan
** jem nenas untuk inti- bentukkan bulat bujur sebesar hujung jari telunjuk/ kelingking..(ikut saiz jari.. hihihi..)

Cara membuatnya:

1. Kacau mentega dan gula menggunakan belakang senduk hingga lembut. Masukkan esen vanilla dan kuning telur. Pukul sebentar menggunakan kelajuan sederhana hingga adunan sebati.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh lembut.

3. Kepalkan doh secukupnya dan masukkan ke dalam acuan tart/ semperit... K.An guna yang manual, picit dengan jari je. Panjangnya anggaran 1 inci untuk tart comel atau 1 1/2 inci untuk tart yang agak besar.

4. Letakkan jem nenas yang telah dibentuk tadi. Gulung kemas dan letakkan di dalam loyang yang telah dilengser. K.An gunakan mangkuk kertas kecil agar tart tidak mudah hancur dan mudah ketika hendak menyimpan. Sapukan sedikit kuning telur di atas tart sebagai hiasan..

5. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 160- 170 darjah Celsius selama 15 minit atau tart kekuningan.. ikut jenis oven masing-masing. (Tart adalah jenis biskut yang cepat masak, jadi tengok-tengok selalu agar tidak hangus) Untuk tart nenas ni, K.An letakkan loyang ditengah-tengah oven agar tart masak elok..

***kepada yang bertanya tu.. silalah cuba ye.. kalau buat banyak, jangan lupa hantar sebalang kat K.An.. heheheh....

**** tart nenas yang sedap bergantung kepada jem yang sedap.. K.An memang buat sendiri jemnya agar kita dapat tentukan rasa yang diingini. Jem yang siap dijual tu bukan sahaja mahal tapi agak masam rasanya.. anak-anak tak gemor..

Thursday, October 13, 2011

Salad Kentang..melengkapi hidangan Nasi Arab

Sambungan N3 lepas.. K.An hidangkan pula salad kentang ringkas.... boleh dimakan bersama nasi, chicken chop atau dimakan begitu sahaja sebagai snek...



Bahan-bahan:

5 biji kentang
2 sudu besar mayonaise
2 -3 sudu besar susu segar (full-krim/ low/fat/ fresh milk)
sedikit garam
sedikit serbuk lada hitam- ikut citarasa (1/2 sudu teh- 1 sudu teh)

Cara membuatnya:

1. Bersihkan bahagian luar kulit kentang. Basuh bersih. Belah bahagian tengah kentang (tidak putus) agar kentang cepat empuk. Rebus dalam air secukupnya hingga kentang empuk. Toskan.

2. Apabila kentang sejuk, kupas/ kopek kulitnya. Potong dadu ikut saiz kesukaan anda. Buat hingga habis.

3. Masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan mayonaise, susu segar dan garam. Gaul rata. Masukkan lada hitam dan gaul lagi.  Sedia dihidang.

Nasi Arab dan Ayam Kabsa.. jamu Fizah dan keluarga

Alhamdulillah... tercapai juga hasrat Fizah dan keluarga nak berjumpa K.An dan keluarga dan tercapai juga hasrat K.An nak menjamu Fizah. Asalnya pada hari raya ke-4 Fizah bercadang nak berkunjung ke rumah mak K.An di kampung, tetapi ada aral melintang terpaksa ditangguhkan ke raya ke-4.. walaupun K.An sempat masakkan spaghetti untuk Fizah tapi tak ada rezeki nak bersua muka. 2 minggu lepas kembali ke Putrajaya, K.An menerima panggilan daripada Ustaz Samsul (anak saudara Fizah)... jeng..jeng.. Kami nak datang rumah...!!! Walaupun short notice, k.An usahakan juga untuk sediakan sesuatu yang istimewa untuk orang Tangkak dan  yang dekat (putrajaya...)

Memang betul, kalau Allah dah tentukan ada rezeki, memang tak ke mana.. Terima kasih kepada Hajah Firooz yang menghadiahkan rempah Kabsa dan Saffron dari Oman... Almaklum, harga saffron ni kurang sikit daripada harga emas tau... mahal yang amat...

Alhamdulillah berbaloi K.An masak nasi Arab dan ayam menggunakan rempah kabsa tu.. Di  Malaysia tak ada pulak jual macam ni.. Apapun K.An kongsi juga resepinya dengan rempah tersedia..
Bahan-bahan untuk nasi: (hidangan untuk 6 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak)

3 cawan beras basmathi (K.An gunakan Faiza Basmathi Kashmir)... kalau mampu beli yang Moghul memang firts class...
1 sudu besar rempah kurma ayam/daging- bancuh dengan 1/2 cawan air
3 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 labu bawang besar didadu
1 inci halia diketuk
1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih, 5 biji buah pelaga dan 5 biji lada hitam
1 helai daun pandan, dicarik dan disimpul
3 sudu besar minyak zaitun/ minyak masak
secubit saffron
2 sudu teh garam
5 cawan air (sebaiknya air rebusan ayam atau daging)
segenggam kismis hitam
Cara memasak nasi:

1. Basuh beras dan toskan. Gunakan periuk nasi biasa tetapi letakkan atas dapur gas dahulu untuk proses menumis.

2. Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang merah, bawang putih, bawang besar, halia, daun pandan dan rempah ratus hingga bawang layu dan rempah berbau wangi. Masukkan rempah kurma  dan tumis hingga terbit minyak.

3. Masukkan beras dan goreng 1 minit. Masukkan air rebusan dan garam. Kacau dan matikan api. Alihkan periuk ke punca elektrik. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi masak, ambil sedikit saffron dan taburkan di atas nasi. Biarkan seketika.

4. Ketika nasi ingin dihidang gaulkan nasi dan taburkan kismis. Renjiskan sedikit lagi minyak zaitun untuk menambah keenakan nasi...

Bahan-bahan ayam Kabsa:

1 peket rempah Kabsa Knorr
1 ekor ayam (2kg) dipotong 8 atau 10 ikut saiz- bersihkan , gaul dan perapkan dengan rempah Kabsa selama 1 jam
5 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1/2 inci halia ditumbuk halus
1 labu bawang besar dipotong gelang
sedikit rempah ratus 3 serangkai
1/2 cawan sos cili
1 cawan tomato sup dalam tin
5 biji badam dibuang kulit dan ditumbuk halus
garam dan gula secukup rasa

Cara memasaknya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak didalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan ayam bersama rempah perapan. Masukkan tomato sup dan sos cili. kacau.

2. Tutup periuk dan biar ayam mereneh selama 20 minit. Terbalikkan ayam sekali-sekala agar ayam masak sekata. Masukkan badam dan bawang yang dipotong gelang. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Cucukkan ayam dengan pisau dan jika air yang keluar maka ayam masak sempurna. Tambahkan sedikit air jika ingin kuah yang banyak. Atau pekatkan kuah dengan memperlahankan api sambil ayam dikacau sekali sekala. Bila kuah nampak berminyak dan merah, matikan api dan sedia dihidang.

Ini giliran kaum ibu menikmati hidangan. kaum bapa dah kenyang dan tersandar kat sofa... hahahah...semua bekas dah hampir kosong..

Bersama-sama nasi dan ayam, K.An juga buatkan Salata dan Salad Kentang. Resepi salad Kentang di N3 akan datang ye... InsyaAllah.

Nasi seperti ini K.An masakkan juga untuk Adik K.AN- Nida dan Keluarga dan sepupu K.An, Nazirah dan keluarga yang datang mengejut juga di hujung minggu akhir Syawal...Cuma kali ni K.An buatkan nasi Arab seperti dihidangkan di Restoran, ayam dimasak sekali bersama nasi sebab lebih cepat dan mudah...alhamdulillah... kenyang perut dan semua suka hati...

Monday, October 10, 2011

Menjamu Selera di Al-Sinni

Alhamdulillah...berbaloi jalan-jalan cari makan K.An dan keluarga malam Jumaat lepas setelah restoran yang ingin K.An kunjungi tidak beroperasi....maka kami membuat lencongan mencari restoran lain dengan hasrat ingin mencuba menu baru.. beberapa restoran kami tinjau dan akhirnya kami singgah di Restoran Chinese Muslim Al-Sinni yang baru dibuka di jalan Sungai Merab Bangi.... (berhampiran Perantau Hill-tetapi di jalan arah bertentangan)



Restoran ini beroperasi dari pukul 7.00 malam hingga 11.00 malam- buat ketika ini. Menghidangkan sajian Buffet steamboat dan BBQ dengan harga yang amat berpatutan. RM 19.90 bagi dewasa dan kalau tak silap K.An RM 9.90 untuk kanak-kanak.

Memandangkan ini cubaan pertama, maka kami memilih untuk makan ala-carte sahaja... Ada banyak menu ala-carte makanan China dan Arab... Tuan punya restoran Encik Yusof mencadangkan kami mencuba Nasi Ayam Hainan dan Nasi Bukhara Kambing....

Alhamdulillah...memang sedap dan menepati citarasa kami sekeluarga... memang boleh datang lagi lain kali, bawak Asma' dan Iqbal pulak...
Ini seksyen buffet steamboat dan BBQ... macam-macam ada.. buffet termasuk minuman, nasi goreng, ais-krim dan pencuci mulut... Yang paling K.An suka, syarat restoran ni, jangan membazir makanan. Setiap sisa makanan akan ditimbang dan dikenakan caj RM 10 setiap 100 gm...

Set yang dihidangkan memang banyak.. jadi kami pun asalnya cuma nak cuba.. kat rumah tadi dah makan pun... maka kami pun bungkus makanan yang tak dapat dihabiskan...

Kepada pembaca periuktanah, bolehlah ramai-ramai pergi ke Al-Sinni .. sambil makan sambil beri sokongan kepada Encik Yusof dan anaknya Aiman yang turut sama memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah mengusahakan restoran halal untuk umat Islam...

Doa K.An dan keluarga, moga Al-Sinni terus maju ke hadapan. Terima kasih banyak atas layanan Encik Yusof dan kakitangan semua...

Sunday, October 2, 2011

Kuih Kasturi / 'Cucoq' Kacang

Budak-budak zaman sekarang, kalau tunjuk kuih ni kat kedai, sahih 90 % tak tau nama dia.. apalagi pernah merasanya... almaklum, kuih kasturi ni memang tradisi betul dan jarang orang hidang di jamuan atau di kenduri  di bandar-bandar ni. Jual di gerai tepi jalan macam karipap dan pisang goreng pun payah nak jumpa. Cuma sejak akhir-akhir ini boleh juga kita jumpa kuih kasturi sejuk beku yang dikomersialkan.... alhamdulillah, taklah kuih ini pupus ditelan zaman...

Dulu-dulu masa K.An kecik, mak selalu buat kuih kasturi atau kami panggil 'cucoq Kacang' ni sebab kosnya amat murah dan hasilnya banyak.... sesuai dengan rakyat jelata di rumah..hihihi... jadinya, memang tahu sangat macamana nak membuatnya. cuma sebelum-sebelum ni, K.An pun main agak-agak je... Tapi untuk kemudahan semua, kali ni K.An bagi sukatan.... Boleh cuba nanti..

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 40-30 biji kuih kasturi mengikut saiz masing-masing)

2 cawan kacang hijau- rendam dengan air secukupnya semalaman
1 cawan kelapa parut putih
3/4 cawan gula pasir
1-2 sudu besar gula merah- ikut citarasa manis
sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak

Bahan salutan tepung:

1 cawan tepung gandum
1 biji telur
air secukupnya
sedikit serbuk kunyit dan sedikit garam
Minyak masak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Keesokan paginya, toskan kacang hijau dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan 2 cawan air biasa dan rebus kacang sehingga empuk dan kembang. (lebih mudah dan cepat jika menggunakan periuk tekanan)

2, Masukkan gula pasir, garam dan kelapa parut. Kacau rata dan perlahankan api bila kacang mula kering. Tambahkan gula merah ikut citarasa. Gaul lagi hinggalah campuran kacang menjadi pekat dan tidak berair.

3. Matikan api dan masukkan kacang ke dalam dulang ,talam atau loyang. Ratakan setebal kira-kira 1 sm. Sejukkan kira-kira 2-3 jam. (Kalau sikit, cepatle sejuk)

5. Setelah sejuk, jemputkan kacang dan bulatkan anggaran sebesar bola ping-pong. Leperkan dan padatkan. Buat sehingga habis campuran kacang.

6. Sediakan bancuhan tepung. Teksturnya agak cair sedikit daripada tepung pisang goreng agar kuih bersalut cantik. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.

7. Celupkan kuih ke dalam tepung dan goreng hingga kekuningan.... Angkat, toskan dan sedia dinikmati. 

Jika ingin dibekukan, goreng kuih separa masak dan susunkan di dalam bekas bertutup. Bekukan dan kuih ni tahan berbulan-bulan di dalam peti beku... Bila nak makan, cuma perlu digoreng semula hingga garing..
Selamat mencuba...!!!

Saturday, October 1, 2011

TomYam Kelapa Muda

Kali pertama makan TomYam kelapa Muda di Nim's Little Island Cafe- Jalan Sungai Ramal Dalam, kami sekeluarga terus jatuh cinta dengan kesedapannya.. dah  lebih 2 tahun rasanya kami dok berulang-alik ke sana semata-mata kerana nak menikmati tomyam kelapa Muda... almaklum, walaupun boleh buat sendiri, tapi nak juga rasa air tangan tukang masak di restoran tu.... lagipun sekali-sekala, nak juga berekreasi di luar kan...? Tapi di bulan puasa, bila teringin nak makan, malas pulak nak bersusah payah makan di kedai.. sudahnya K.an buat sendiri di rumah je... Boleh juga K.an kongsi resepinya dengan semua...
 Cara K.An memang sentiasa mudah... Mula-mula, beli kelapa muda.. seeloknya isinya yang sedang elok lembut dan tidak terlalu tebal...
Sediakan bahan tomyam dan masak tomyam... Bagi K.An paling sesuia buat Tomyam Kung sebab tomyam ni agak pekat dan bila dicampur air kelapa, memang sesuai rasanya... Boleh semak resepi TomYam Kung di sini
 Bila dah siap tomyam, hiriskan bahagian atas kela[a dan lebarkan bukaannya. Keluarkan airnya. Biarkan isi di dalam. Campurkan tomyam dengan air kelapa dan masukkan semula ke dalam kelapa... sedia dihidang. Kokot isi kelapa dengan sudu dan makan bersama isi tomyam... Selamat Mencuba..

Syawal 1432 Hijrah... sana- sini...

Assalamualaikum warahmatullah...

Puas bercuti panjang, pagi ni K.An kembali bersiaran bersama anda semua.. dengan harapan tak ada yang merajuk sebab dah lama K.An tak kongsi resepi baru...

Sebenarnya, bukannya periuktanah ganti periuk atau gantung periuk, cuma tuannya yang masih dalam proses menyesuaikan diri mengatur masa untuk berkarya kembali. Untuk pengetahuan semua, K.An sehingga hari ini, dah lebih 2 bulan K.An jadi pengasuh 'baby' Aireen- puteri sulung jiran sebelah rumah K.An di Putrajaya ni..

Maka... K.An kembali sibuk menguruskan rumahtangga dan anak-anak dan tak berkesempatan mengadap lap-top segala.... apatah lagi nak mengarang cerita panjang-panjang untuk tatapan semua. Ditambah kesibukan bulan Ramadhan dan Syawal... hmmm.... maka, K.An ambik cuti sendiri le jawabnya...

Lagipun Ramadhan kali ini, kami sekeluarga ( K.An , abang Azam, Sarah, Aisyah dan Maryam)hampir setiap hari berbuka puasa ramai-ramai dengan jemaah Surau Al-Mizan... Bukan sahaja meriah, malahan dapat merapatkan ukhuwwah sesama jemaah... anak-anak pun seronok...
Raya.. kami balik bercuti di kampung halaman di Perak selama 6 hari... alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar.. hampir setiap hari, K.An sinsing lengan menjamu orang kampung dan tetamu yang masing-masing dah ada menu permintaan....hmmm.. puas hati juga dapat jamu orang. Mak mertua K.An pun tak ketinggalan minta buatkan itu-ini...
Sekembali ke sini, selain sibuk dengan tugas seharian, kami sibuk juga dengan jemputan rumah terbuka dan sibuk menerima tetamu yang datang berkunjung... alhamdulillah pendek kata, Syawal kali ini sungguh bermakna buat K.An sekeluarga...

Di sini K.An paparkan sebahagian gambar-gambar sekitar Syawal...


 Majlis sambutan Aidilfitri Surau Al-Mizan
Menjamu bekas student K.An di UiTm dulu, Fizah dan Hairul dan keluarga
Di rumah terbuka rakan baik Ustaz Wan Hamiluddindan Munirah
Yang ini, di rumah terbuka Haji Omar dan Kak Sal di kediaman indah mereka di Bangi
Maryam dapat duit raya dari Makcik Salehan..
Rumah terbuka rakan Asma' -Fatini, juga di Bangi... terima kasih sudi jemput kami ke kediaman mereka
Yang ini, tetamu paling jauh.. Kak Sharifah dari Sarawak.....jamu mee Tomyam Kung...