Wednesday, March 30, 2011

'Comei'nya Cek Mek Molek



Ampun maaf ye tuan-tuan dan puan sebab pagi-pagi lagi K.An dah goda dengan Cek Mek Molek ni...hihihiih.. Bukannya apa, cuma nak melontarkan idea untuk puan-puan di rumah menyediakan juadah minum petang nanti.. Senang sangat, tapi sedaaap hingga menjilat jari. K.An kata kat Abg Azam, ni kuih untuk sesiapa yang malas nak buat inti segala... isi je gula, 'abbbih ceghite'....
 Sebenarnya, kuih ni k.An buat disebabkan atas tersesat beberapa biji keledek putih di antara keledek merah yang dibeli untuk dijadikan inti karipap. Bila K.An timbang, elok-elok je 250 gm.. ok, boleh le buat cek mek molek.. Sambil masak inti karipap, cek mek molek pun siap...

Resepi dohnya sama dengan resepi cucur badak dan kuih keria. Bezanya hanyalah inti... Jangan lupa ya... sambil buat tu bolehle berdendang lagu Cek Mek Molek....ahai...

Bahan-bahan (menghasilkan lebih kurang 10 biji cek mek molek.

250 gm keledek putih- kupas kulit, potong kecil, rebus hingga empuk dan toskan. Lecek hingga hancur ketika masih panas menggunakan penekan daging burger

1/2 cawan tepung gandum
 gula pasir secukupnya

 Cara membuatnya:
1. Campurkan tepung ke dalam mangkuk berisi keledek yang telah dilecek dan disejukkan tadi. Uli hingga menjadi doh. Jangan tambah tepung jika lembek, sebaliknya taburkan tepung di tapak tangan ketika membentuk nanti.
2. Bulat-bulatkan sebesar bola golf. Leperkan di atas tapak tangan seperti gambar. Isikan gula secukupnya ikut citarasa sebagai inti. Cantumkan dan bentuk lonjong. Buat hingga habis doh.




3. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng hingga keperangan. Sedia dinikmati.

Monday, March 21, 2011

Mafin Bluberi dan Mafin Pandan- Resepi 2

Salam Sejahtera semua... terima kasih banyak-banyak kerana terus menyokong K.An dalam perkongsian pelbagai resepi hidangan harian kegemaran semua.. Alhamdulillah dipanjangkan umur lagi kita hari ini dan dapatlah K.An terus menulis dan bersiaran..... Almaklum, baru tadi tengok berita di TV dan disiarkan berita tentang beberapa orang mangsa gempa dan tsunami di Jepun yang terselamat walaupun selepas 9 hari kejadian. Itulah yang ditakdirkan Allah SWT.

Hari ni K.An kongsikan satu lagi resepi mafin bluberi kegemaran K.An dan juga mafin pandan sebagai resepi sampingan. K.An memang tak tahan godaan mafin.. nampak je resepi kat majalah,  mesti nak cuba.
Berbeza dengan resepi klasik sebelum ni, mafin kali ni lebih gebu dan ringan kerana perbezaan teknik yang digunakan ketika penyediaan adunan. Apapun 5 bintang K.An bagi untuk resepi... sungguh sedap dan yang pasti , tak cukup makan 1, 2 atau 3.....
Resepi asal; kumpulan chef dari Hotel Nikko KL, yang disiarkan dalam majalah Rasa Edisi Rumah Terbuka 2010

Bahan-bahan: menghasilkan lebih kurang 100 biji mafin bersaiz sederhana.

500 gm gula
250 gm mentega (resepi asal  gunakan mentega tanpa garam)+ 5 gm garam jika gunakan mentega tanpa garam
7 biji telur A
750 gm tepung kek
60 gm baking powder
500 ml susu segar
1/2 sudu teh esen vanilla
jem bluberi secukupnya

Cara membuatnya:

1. Pukul gula, mentega dan garam di dalam sebuah bekas dengan kelajuan sederhana.
2. Apabila sudah kembang, masukkan telur. Kacau sebati.
3. Selepas itu, masukkan tepung kek dan baking powder yang telah diayak bersama.Kacau lagi hingga sebati
4. Masukkan susu dan esen vanilla.Kacau perlahan gunakan senduk atau whisk hingga sekata.
5. Tuangkan adunan ke dalam cawan kek yang dialas atau acuan separuh penuh. Sudukan/ paipkan jem bluberi. Tutup dengan sedikit lagi adunan hingga 3/4 penuh acuan.
6. Bakar pada suhu 180 darjah Celcius selama 25-30 minit atau mafin masak. Sejukkan sebelum  dihidang atau disimpan di dalam bekas kedap udara.

Mafin sedap dimakan ketika telah sejuk atau keesokan harinya kerana mafin akan menjadi lembap dan lebih gebu.
K.An buat separuh adunan menghasilkan lebih kurang 50 biji mafin saiz sederhana... puas kami makan dan bawak bekal jenguk anak-anak di asrama...

Tambahkan peawrna hijau dan perisa pandan menggantikan esen vanila di dalam adunan. jadilah Mafin pandan. K.An taburkan cip coklat untuk lebih menarik.

Sunday, March 20, 2011

Pulut Panggang

 Salam sejahtera semua..sarapan apa pagi ni..? Di Malaysia ni kebanyakan kita bersarapan dengan makanan berat, walaupun  tenaga yang nak digunakan selepas makan tu tidak menggunakan tulang empat kerat... haaa... akibatnya ramailah yang membina badan terutamanya membina pinggang dan perut... kalau setakat membina badan je tak apalah, tapi janganlah sampai tabiat makan kita mengundang pelbagai penyakit.

Jadi sesuaikanlah tabiat kita mengikut keadaan. Yang pasti zaman sudah jauh berubah.. kalau dulu , kebanyakan masyarakat kita adalah golongan petani, maka sesuailah sarapan dengan nasi lemak, pulut ikan masin ataupun nasi berlauk. Kalau setakat nak bekerja di hadapan komputer, cukuplah sarapan yang ringan aje.. Kalau nak kenyang, ada pulut panggang dengan secawan kopi pun dah elok  sangat..

Kalau sebut pulut panggang, pastinya tak terlawan pulut panggang yang dimasak di atas dapur kayu atau dapur arang. Harum dan ada aroma asli... Yang K.An buat ni, panggang atas kuali je... segan pulak nak memanggang kat luar rumah.. mau pulak kena buat 100 batang, baru sesuai dan boleh diagihkan kepada jiran yang melihat..hehehheh...

Bahan-bahannya mudah sahaja ..

Bahan A: (lebih kurang 15 batang pulut panggang)

2 cawan beras pulut
3 sudu besar minyak masak + 2 cawan air / boleh gantikan dengan 2 cawan santan cair
sedikit garam

*** Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi, masak seperti memasak nasi biasa. Sejukkan sebentar

Bahan Inti:

1 1/2 cawan kelapa parut putih
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih- tumbuk halus
2 batang serai- hiris halus dan tumbuk
3 sudu besar cili kisar- ikut citarasa pedas
segenggam udang putih- buang kepala dan ekor- hiris kecil
 sedikit serbuk kunyit
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Hidupkan api sederhana dan kacau campuran inti hingga sebati dan agak kering. Tambah garam dan gula secukupnya.

*** Jika ingin inti lebih tahan lama, tumiskan bawang, merah dan putih, serai,udang dan cili hingga garing, kemudian barulah dimasukkan kelapa... Kacau sebati hingga inti agak kering.

Sediakan daun pisang yang dilayur secukupnya. Sapukan sedikit minyak dan buatlah mengikut gambar di bawah.

Kalau suka bahagian luar pulut panggang garing, pangganglah lebih lama. Apabila  bahagian luar daun pisang kehitaman, bolehlah diangkat dan dihidang.

****pulut panggang yang sedap sangat bergantung kepada kesedapan inti yang cukup rasa masin, manis (daripada udang) dan beraroma serai juga kunyit.

Friday, March 18, 2011

Sotong Tiga Rasa- resepi 2

Hari ni, otak ni macam 'jem' pulak sebab dok teringat kejadian copy gambar dan resepi pagi tadi... Tapi tak apalah, K.An ada terapi sendiri... sibukkan diri, masak dan makan...

Hari ni k.An kongsi sotong 3 rasa yang diubahsuai sedikit daripada resepi lepas dan K.An puas hati dengan rasa dan rupanya. Boleh cuba untuk makan tengahari atau malam ye..

Bahan-bahannya:

300 gm sotong- bersihkan dan potong kecil- gaul dengan garam dan kunyit
1/2 labu bawang besar- dicincang
2 ulas bawang putih dicincang
1 tangkai cili merah-dicincang
2 tangkai cili padi dicincang- ikut citarasa kepedasannya
**2 sudu besar sos Thai- K.An gunakan Sos Thai Maggie
**2 sudu besar sos cili
1/2 cawan air
sayuran seperti bunga kobis, jagung muda- ikut citarasa
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

** boleh tambah sos jika ingin kuah yang banyak..

Cara membuatnya:

1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Gorengkan sotong yang telah digaul dengan garam dan kunyit tadi. Goreng anggaran 1 minit sahaja. Kemudian masukkan bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili padi. Gaul sebentar.

2. Masukkan sos cili, sos Thai, air, sayuran, garam dan gula secukup rasa. Kacau sebentar hingga kuah pekat. sedia dihidang dan dinikmati bersama keluarga.

Pinjam gambar, copy resepi dan ucapan penghargaan

Assalamualaikum wrt...

Entah kenapa rasa terkilan pulak pagi ni bila salah seorang follower Periuktanah mengkhabarkan satu berita yang tak ingin mana-mana 'blogger' dengar.... huhuhuk...

Bab 'copy' n 'paste' resepi... sebelum ni ramai rakan yang dah terkena dan nampaknya giliran K.An pulak. Terima kasih Anna sebab bagitau.. almaklum, K.An memang sibuk dan tak sempat nak jalan-jalan laman sesawang orang lain lama-lama... tambah pulak nak menyiasat kes curi-mencuri ni. (kepada tuan punya blog, sila ambil perhatian ye...)

Nak disingkatkan cerita, K.An jelaskan di sini, atas dasar moral dan pertimbangan hati mulia seorang insan.... Resepi di sini K.An kongsikan kerana ingin berbakti kepada masyarakat.. memberi sumbangan sekadar kemampuan dalam mengekalkan resepi masakan keluarga dan warisan. Semua pembaca SANGAT DIALUKAN mencubanya dan menyebarkan kepada orang lain. TETAPI janganlah lupa bila 'copy' (istilah salin tak berapa sesuai) letaklah RUJUKAN dan berilah penghargaan agar kita sama-sama mendapat manfaat. Tambahan pula kalau 'copy' gambar 100 peratus... KESIAAAAN SAYA.....

Hargailah penat lelah kami blogger yang belum ada copyright rasmi...

Friday, March 11, 2011

Lempeng Pisang dan Sambal Sardin

Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera semua...

Pagi ni K.An menerima berita daripada rakan baik di UK,mengkhabarkan rakan karib K.An dan abang Azam yang juga pengapit pengantin kami sedang dirawat di hospital Exeter, UK setelah menjalani pembedahan di sana. Sedih dan terkejut pun ada juga. Rakan kami ni, seorang yang sangat aktif terutamanya dalam aktiviti berbasikal.. merata-rata dia dah pergi hanya dengan berbasikal.. Itulah kehendak Allah.. sakit, sihat adalah ujianNya.
Sama-samalah kita saling mendoakan kesejahteraan dan kesihatan menemani kehidupan kita.

Kepada yang belum bersarapan, walaupun sibuk isilah perut walau sedikit sebagai pembekal tenaga untuk bekerja. Ini pun tips untuk jaga kesihatan diri juga.

Bagi ibu-ibu di rumah yang tak sempat nak masak yang susah-susah, boleh buat lempeng pisang dan sambal sardin ni untuk sarapan. Boleh juga dihidangkan untuk minum petang. Sedap dan kenyang..

Lempeng dan sambal sardin ni dah beratus kali buat, tapi untuk kemudahan pembaca periuktanah, K.An sertakan resepinya. almaklum bila dah biasa, semua main campak-campak je.. 'test' dengan jari dah ok.

Bahan-bahan lempeng:

500 gm pisang masak- K.An gunakan pisang awak masak( boleh ganti dengan pisang emas, abu, raja dll yang tidak berair)

1/4 cawan gula pasir
1/2 cawan air
200 gm tepung gandum (2 cawan)
1/2 st garam

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit pisang dan lecek halus. Masukkan ke dalam mangkuk dan campurkan dengan bahan-bahan lain. Gaul sebati.

2. Panaskan kuali. gunakan api sederhana. Ratakan sedikit minyak dan sendukkan adunan ke dalam kuali. Ratakan dengan belakang senduk atau sudu. Bila permukaan lempeng mengering, terbalikkan untuk memasak satu lagi bahagian.

3. Angkat lempeng bila masak. Ulang proses hingga habis adunan.

Sambal sardin:

1 tin besar sardin
1/2 cawan cili kisar
5 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1-2 sudu besar gula-ikut citarasa
3 tangkai cili api diketuk
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Cara memasak.

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan cili padi hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan pula sos tomato dalam sardin. Kacau dan biar mendidih. Akhir sekali masukkan ikan sardin, garam dan gula secukup rasa.

Sedia dihidang bersama lempeng pisang.

Thursday, March 10, 2011

Paf Lapis Epal a.k.a Danish

Yang ini... isi je inti apa-apa, bagi je nama ikut suka hati masing-masing......
Di rumah kami ni, apa-apa yang diintikan pisang atau epal.... selamat...liciiin...
Mudah membuatnya..cepat dihidang, cepat juga dihabiskan

Bahan-bahan: (untuk 10 keping danish)

Kepingan pastri secukupnya
Inti:
3 biji epal merah atau hijau
2 biji buah lai
2-3 sudu besar gula
1 inci kulit kayu manis
1 sudu besar tepung jagung-bancuh dengan sedikit air
1 biji telur untuk sapuan

Cara memasak inti:

1. Kupas kulit lai dan epal. Dadu kecil.
2. Masukkan ke dalam periuk bersama kulit kayu manis dan gula. Tambah 2 sudu besar air. Hidupkan api sederhana dan kacau campuran hingga epal dan lai agak lembut. Tambahkan bancuhan tepung jagung dan kacau hingga inti pekat. Tambah sedikit lagi gula jika kurang manis. Ketepikan sebentar.
Membuat danish:

1.Keluarkan pastry dari 'freezer'. Susun di dalam loyang yang dilengser sedikit mentega. Potong pastri seperti gambar

2. Panaskan oven pada suhu 200 darjah Celsius. Sapukan bahagian tepi danish dengan telur. Bakar paf atau danish selama 15 minit atau permukaannya keperangan. Sedia dinikmati

Bawal Kukus Bertaucu

Salam sejahtera, salam bahagia dan salam ceria semua... sedar tak sedar 2 hari lagi cuti sekolah akan tiba lagi... insyaAllah kali ni, K.An sekeluarga akan pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta di sana. Kebetulan Mak saudara K.An akan melangsungkan perkahwinan.. elok sangatlah tu.. Maknanya musim kenduri kahwin pun datang lagi.

Bila dah banyak makan lauk daging, nasi minyak dan ayam tu, sesekali nak diselangkan juga dengan ikan.. Jadi, kali ni K.An bawakan satu lagi resepi ringkas yang kalau diletakkan di depan Tom Collichio (Top Chef- ch 702) awal-awal lagi dia tolak tepi..heheheh... dia kata resepi ringkas tak diterima untuk tahap chef.. takpelah... ni tahap ibu-ibu dan nenek kat rumah (kata Fabio...) ringkas, tapi sedap tau..
Resepi campak-campak daripada K.An:

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

1 ekor ikan bawal saiz sederhana
1 peket taucu BILAL- 2 sudu besar
1 labu bawang besar dihiris nipis
1 tangkai cili hijau dan 1tangkai cili merah-dihiris
1 sudu teh air asam jawa
1 inci halia dihiris halus
1/2 sudu teh serbuk lada hitam- ikut citarasa
1 batang serai dititik
sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ikan dan lumurkan sedikit garam. Masukkan ke dalam bekas tahan panas.
2. Panaskan pengukus. Masukkan semua bahan lain kedalam bekas berisi ikan tadi. Kukus ikan selama 15-20 minit atau sehingga ikan masak. Sedia dihidangkan bersama nasi, air asam ataupun sambal belacan dan ulam-ulaman.

Friday, March 4, 2011

Gulungan Daging Seleraku... sajian petang

Waktu petang macam ni, surirumah macam K.An dok sibuk fikir nak sediakan juadah minum petang pulak. Almaklum, kalau asyik goreng pisang, cekodok, dan cucur udang gerai Kak Mah je hari-hari, turun le saham kan... sesekali, buatlah juadah yang lain sikit. Barulah suami dan anak-anak senyum lebar..." tak mau dah yang lain.."

Tak ada idea, puan-puan boleh cuba resepi ni... mudah dan mengenyangkan. Kalau tak nak minum petang, boleh sediakan untuk sarapan.

Resepi ni K.An olah sendiri berpandukan gulungan daging yang sepertinya yang dihidangkan oleh rakan K.An- Siti Khadijah masa di Bandar Tasik Puteri dulu-dulu. Cuba sendiri nanti ye..

Bahan-bahan: menghasilkan 15 gulungan daging

200 gm daging kisar Ramly ( 1/2 peket 400gm)- masukkan dalam penapis halus. lalukan air untuk membersihkan daging. toskan
1 tangkai cili merah dicincang
1 labu bawang besar (saiz kecil) didadu kecil
1 biji kentang didadu kecil- (ataupun dicincang kasar)
2 ulas bawang putih dicincang
2 sudu besar sos cili
1 sudu teh sos tiram
1 sudu teh serbuk cili -ikut citarasa (K.An gunakan 1 peket chilli flakes Domino Pizza)-tak cukup pedas
garam dan gula secukup rasa
1 sudu besar tepung gandum
minyak untuk menumis
Roti sandwich secukupnya
2 biji telur-campur sedikit garam dan dipukul sedikit

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak. tumiskan bawang besar, bawang putih dan cili merah hingga layu.
2. Masukkan daging dan goreng hingga daging masak dan kering sedikit airnya. Masukkan sos tiram, sos cili, kentang dan serbuk cili. Masak hingga kentang empuk
3. Tambahkan garam dan gula. Perlahankan api. Setelah cukup rasa, taburkan tepung gandum dan kacau sebati agar inti pekat. Matikan api dan sejukkan sebentar.

Penyediaan roti

1. Gelek roti dengan pencanai agar nipis. Panaskan kuali leper dan letakkan sedikit margerin. Letakkan inti secukupnya, dan gulung roti. Sapukan sedikit telur di tepi roti sebagai pelekat.

2.Golekkan ke dalam telur yang telah dipukul tadi. Panggang di dalam kuali leper hingga permukaan roti keperangan dan telur masak. Sedia dihidang panas atau sejuk.


Lemak Kuning Nangka dengan Udang

Setiap kali ke pasar, K.An sibuk mengira penjimatan yang akan kita dapat kalau kita tinggal di kampung yang dikelilingi dengan pelbagai tumbuhan dan sayuran yang ditanam sendiri. Kalau sehari jimat Rm 10, kalau setahun kan dah jadi lebih Rm 3600... banyak juga tu.. boleh simpan dalam tabung Haji... 4 tahun dah boleh pergi Mekah... hmmm... memang menarik.... antara yang selalu dijumpa di kampung dan tak habis-habis dimakan, ialah nangka muda ni.. selain dimakan sendiri, boleh juga dijual.. hmmmm...ok Bang, 3 tahun lagi kita balik kampung je lah... heheheh...

Entah kenapa sejak akhir-akhir ni terasa begitu laju mengalirnya sumber dari dompet K.An ni...yang akhirnya membawa kami ke pasar borong Selangor di sini.. almaklum, bila semua barang naik, kenalah pandai berjimat.... alhamdulillah, selepas ni, memang beli ikan dari pasar borong je.. walau sibuk, kena cari masa juga ke sana.

Oklah.. berbalik ke tajuk lemak kuning nangka ni... dah banyak kali buat tapi rasany belum ada dalam periuktanah. lauk orang kampung yang mudah... dulu-dulu mak K.An masak campur dengan ikan darat. ikan puyu ataupun ikan sepat yang dijala dari parit di tepi bendang.. sedaaap..
Resepi biasa-biasa je, ikut sedap tekak..

Bahan-bahan:

300 gm nangka muda- potong kecil dan rebus hingga empuk- toskan. nak tahu nangka dah lembut, warnanya akan bertukar jernih selepas direbus

**4 ulas bawang merah
**2 ulas bawang putih
** 1/2 inci halia
** 3 tangkai cili padi
**1 tangkai cili merah
1 batang serai- dititik
2 cawan santan cair
1/2 cawan pati santan.
sedikit serbuk kunyit
garam dan gula secukup rasa
udang harimau secukupnya

Cara membuatnya:

1. Tumbuk Bahn bertanda ** hingga halus. Masukkan ke dalam periuk bersama nangka, udang, santan, serai dan serbuk kunyit. Didihkan.

2. Perlahankan api dan masukkan pati santan. Masukkan garam dan sedikit gula. Setelah mendidih sekali lagi, kacau sebentar dan matikan api. sedia dihidang